Thursday, November 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 03 (Bersyukur dan Bersabar, Wanita di Neraka, Dosa Sesama Manusia Dan Ungki-ungkit Pemberian)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Tanyalah  Ustaz Siri 3 membicarakan persoalan sunah Rasulullah SAW, bersyukur dan bersabar dengan pasangan hidup, ramai wanita di neraka, dosa sesama manusia dan suka menghina dan ungkit-ungkit pemberian.

11. Soalan : Sungguh indah jika Nabi Muhammad SAW masih bersama kita diwaktu ini, itu yang selalu saya fikirkan. Soalan saya Ustaz, bagaimanakah kita hendak selalu kekalkan perasaan ini walaupun baginda sudah wafat?

Jawapan :

Tanda kita kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW hendaklah kita banyak berselawat kepada baginda, kita amalkan semua sunah yang dihayati baginda SAW di dalam kehidupan setiap hari.

Tanda kita beriman dan cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan kita melaksanakan amalan-amalan sunah yang dilakukan oleh baginda dan meninggalkan segala larangannya. Segala perbuatan, percakapan dan diamnya Nabi SAW adalah merupakan wahyu daripada Allah SWT melalui perbuatan atau lisan baginda kerana baginda tidak akan melakukan sesuatu menurut hawa nafsunya.

Terdapat tujuh amalan sunah yang sentiasa dilakukan oleh baginda setiap masa, 

Tujuh amalan sunah Nabi SAW adalah seperti berikut :

Pertama : Solat Tahajjud.

Kedua : Membaca al-Quran

Ketiga : Solat fardu berjemaah di masjid.

Keempat : Solat duha.

Kelima : Bersedekah  setiap hari. 

Keenam : Sentiasa berwuduk.

Ketujuh : Beristighfar setiap hari.

Huraiannya :

Pertama : Solat Tahajjud.

Solat sunat yang amat dituntut untuk dikerjakan oleh seorang mukmin dan tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi SAW adalah solat tahajjud. Kekuatan solat tahajjud adalah dapat membina hubungan hati dengan Allah SWT terutama dibulan Ramadan.

“Tahajjud” bermaksud bangun dari tidur pada waktu tengah malam. Solat tahajjud boleh dikerjakan di permulaan, pertengahan atau penghabisan malam, asalkan sesudah menunaikan solat Isyak. Akan tetapi sebaik-baik waktu melakukannya ialah sepertiga malam yang terakhir. Sekurang-kurangnya solat tahajjud dikerjakan dua rekaat.

Firman Allah SWT maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.  (Surah al-Israa’ ayat 79)

Dalam sebuah hadis dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosaatau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”  ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Kedua : Membaca al-Quran

Oleh itu, amat digalakkan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Membaca al-Quran termasuk antara amalan-amalan terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT  di mana pahalanya lebih berlipat-ganda lagi.

Sabda Rasulullah SAW :

مَاْ تَقَرَّبَ الْعِبَاْدِ إِلَى اللهِ تعالى بـِمِثْلِ مَا خَرَجَ مِنْهُ يَعْنِيْ الْقُرْآنَ

Maksudnya : “Tidak (ada cara terbaik) hamba-hamba mendekatkan (diri mereka) dengan Allah seumpama apa yang keluar dariNya (yakni yang datang dari Allah) iaitulah al-Quran”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, at-Thabrani dari Abu Umamah r.a.)

Selain membaca secara bersendirian, digalakkan juga kita membaca secara berkumpulan atau bertadarus. Dalam hadis Bukhari, Ibnu ‘Abbas menceritakan; “Pada setiap malam di bulan Ramadan malaikat Jibri datang kepada Rasulullah SAW. untuk bertadarus al-Quran dengan baginda”.

Mengenai fadhilat bertadarus, ia dijelaskan oleh Rasulullah SAW  dalam satu hadis baginda;

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِيْ بَيْتٍ مِنْ بُيُوْتِ اللهِ يَتْلُوْنَ كِتَاْبِ اللهِ وَ يَتَدَاْرَسُوْنَهُ فِيْمَاْ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِيْنَةُ وَ غَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَ حَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَ ذَكَرَهُمُ اللهُ فِيْمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya : “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di suatu rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelarinya antara sesama mereka (yakni bertadarus), maka turunlah ke atas mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisiNya”. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ketiga : Solat fardu berjemaah di masjid.

Solat berjemaah di masjid adalah 27 kali lebih baik daripada solat dirumah seorang diri.

Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat fardu berjemaah di masjid. Bila musafir sekalipun baginda akan tetapi mengerjakan solat berjemaah di dalam perjalanan.

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :“Solat seorang lelaki beserta dengan seorang lelaki lain lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat seorang diri dan solat seorang lelaki beserta dua orang lelaki lebih banyak pahalanya daripada dia bersolat dengan seorang lelaki sahaja. Manakala jemaah yang lebih ramai maka jemaah itu adalah lebih dikasihi Allah.”

Nabi SAW mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Sabda Rasulullah SAW. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu duha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat".
(Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Keempat : Solat Duha.

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat duha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah SAW) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan puasa tiga hari setiap bulan, solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur". (Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Kelima : Bersedekah  setiap hari.  

Seorang anak lelaki bertanya Rasulullah SAW : "Sedekah mana yg lebih besar pahalanya? 
Nabi menjawab, "Sedekah yg diberikan sedangkan pada masa itu engkau masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang nak dermakan harta kerana takut jadi fakir dan engkau berangan jadi kaya) maka jangan menangguh sedekah sehingga apabila roh sampai dikerongkongan lalu pada masa itu kau berkata, "ini untuk si anu ini untuk si anu sekian" dan sebenarnya harta engkau pada masa itu memang akan dimilki oleh orang lain."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keenam : Sentiasa berwuduk.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi SAW  bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwuduk, maka ia sempurnakan wuduknya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Hadis ini berbicara tentang fadilat wuduk dan maqam orang yang berwuduk, serta bagaimana wuduk itu mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia disisi Allah SWT.

Ketujuh : Bertaubat dan beristighfar setiap hari.

Bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari. Sesiapa yang sentiasa bertaubat kepada Allah SWT dia akan bersih daripada dosa-dosa.
Sabda Nabi SAW. yang bermaksud : "Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali"(Hadis Riwayat Muslim).


Allah SWT berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."  (Surah Al-Baqarah ayat 222)

12. Soalan :  Betul ke ustaz kalau kita sudah dijodohkan dengan seseorang.kita kena terima, bersyukur dengan kebaikknya.dan bersabar.dengan kekuranganya? Sekiranya suami orang yang baik dengan isterinya dia bertangung jawab tetapi kalau hati kosong tidak rasa kasih dan sayang adakah berdosa ustaz? 

Jawapan :

Besar pahalanya di sisi Allah SWT sekiranya kita sebagai isteri bersyukur dengan kebaikan suami dan bersabar dengan kekurangannya. Bersabda Rasul SAW : "Apabila seorang isteri telah mengerjakan solat lima waktu, dan berpuasa bulan Ramadan dan menjaga kehormatannya serta taat kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya: “Masuklah ke syurga dari pintu mana saja yg kau kehendaki.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sabda Nabi SAW masudnya : “Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).

Sabda Nabi SAW maksudnya: “Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)

 Tetapi jika isteri tunaikan tanggungjawab dan melayani suami dengan baik sedang hatinya `kosong' dan tidak pula mempunyai hubungan dengan lelaki lain, maka tidaklah berdosa kerana perasaan hati tidak boleh di paksa-paksa. Hidup berumah tangga perlu saling kasih mengasihi dan sayang menyayagi. Jika perasaan ini sudah hilang dan tak dapat di hidupkan lagi maka mereka boleh berpisah. Perceraian bukan semestinya ketika ada masalaah rumah tangga, tetapi jika sudah tidak ada perasaan cinta dan hidup tidak ada keseronokkan lagi maka di haruskan berpisah, kerana kes seperti ini pernah berlaku dikalangan sahabat Rasulullah SAW di antara Zaid bin Haritsah dengan Zainab binti Jahsy. Zaid seorang suami yang bertanggungjawab dan Zainab pula seorang muslimah yang solehah tetapi oleh kerana tidak ada persefahaman dan keserasian maka diharuskan mereka bercerai.

13. Soalan : Ustaz bolehkah jelaskan pada saya maksud hadis Nabi SAW bahawa ramai wanita di neraka.? Kenapa wanita ramai yang masuk neraka?

Jawapan :

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah fuqara’ (orang-orang fakir) dan aku melihat ke dalam neraka maka aku menyaksikan kebanyakan penghuninya adalah wanita.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hadis ini menjelaskan kepada kita apa yang disaksikan oleh Rasulullah SAW tentang penghuni syurga yang majoritinya adalah fuqara (para fakir miskin) dan neraka yang majoriti penghuninya adalah wanita. Tetapi hadis ini tidak menjelaskan sebab-sebab yang menyebabkan mereka dimasukkan ke dalam neraka dan menjadi majoriti penghuninya, namun demikian sebab-sebab tersebut disebutkan dalam hadis lainnya. 

Di dalam kisah solat gerhana matahari, Rasulullah SAW. dan para sahabatnya melakukan solat gerhana padanya dengan solat yang panjang , Rasulullah SAW melihat syurga dan neraka. Ketika beginda melihat neraka beginda bersabda kepada para sahabatnya: 


“ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Para sahabat pun bertanya : “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab : “Kerana kekufuran mereka.” Kemudian ditanya lagi : “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab : “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata : ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” (Hadis Riwayat Bukhari) 

Dalam hadis daripada Jabir bin Abdullah, katanya: “Aku hadir bersama-sama Rasulullah mengerjakan sembahyang pada hari raya (selepas sembahyang dan berkhutbah). Baginda kemudian pergi (ke barisan belakang) hingga sampai ke tempat kaum perempuan. Lalu Baginda menasihati dan mengingatkan mereka, serta Baginda (menggalakkan mereka bersedekah), sabdanya: “(Bersedekahlah kamu kerana sesungguhnya kebanyakan kamu menjadi kayu bakaran api neraka.”

Pada saat itu, seorang perempuan yang berkedut kedua-dua pipinya, bangun dari tengah kaum perempuan lalu bertanya: “Mengapa (kami dimurkai Allah seberat itu), Ya Rasulullah? “Baginda menjawab: “Kerana kamu selalu saja mengadu (tidak cukup nafkah), dan kamu pula tidak mengenang budi suami (sedikit pun).”


Jabir (rawi hadis ini) berkata: “Golongan perempuan itu pula tampil bersedekah barang perhiasan badan mereka, mereka meletakkan pada baju Bilal: subang dan anting-anting serta cincin mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

14. Soalan :  Allah SWT itu Maha Pengampun segala kesalahan dan dosa manusia . Banyak post-post yang saya lihat mengatakan dosa sesama manusia takkan terampun selagi mana sesaorang tidak minta maaf, adakah wajar perkara ini tidak semena-mena menjadi kerja kita dimana kita pula yang hanya hamba Allah tidak punya kuasa apa-apa tetapi boleh tahu samada dosa sesama manusia tidak terampun. Mohon penjelasan daripada ustaz. Terima kasih. 

Jawapan :

Dosa dengan Allah SWT apabila bertaubat nasuha akan diampunkan oleh Allah SWT, tetapi dosa sesama manusia jika tidak minta maaf atau pulangkan semula barang yg di ambil atau menzalimi manusia semuanya akan di adili di mahkamah Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Seorang mukmin akan dibebaskan dari api neraka, lalu mereka diberhentikan di atas jambatan (qanthrah) antara syurga dan neraka, mereka akan saling diqisas antara satu sama lainnya atas kezaliman mereka di dunia. Setelah mereka bersih dan terbebas dari segalanya, barulah mereka diizinkan masuk syurga. Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, seorang diantara kalian lebih mengenal tempat tinggalnya di syurga daripada tempat tinggalnya di dunia”.(Hadis Riwayat Bukhari).


Jambatan (qanthrah) disini, bukan sirat yang letaknya di atas Neraka Jahannam. Jambatan ini dibentangkan setelah orang mukmin berjaya melewati sirat yang berada di atas Neraka Jahannam.

Orang yg muflis di akhirat adalah kerana dosa dia sesama manusia tidak minta maaf kerana perbuatan jahatnya kepada orang lain. Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”

Sahabat-sahabat baginda menjawab : “Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”

Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa amal soleh (sembahyang, puasa dan zakat) yang di lakukan sesaorang belum tentu menjamin dia akan masuk syurga , sekiranya di samping dia membuat amal soleh tersebut dia juga melakukan amal kejahatan yang membawa kepada dosa. 

Apabila berlaku proses timbangan segala amalan-amalan manusia yang baik dan buruk , maka sekiranya habis amalan kebaikannya di bayar atas kesalahannya tadi maka ketika ini dia akan jadi Orang Muflis. Segala penyesalannya sudah tidak berguna lagi kerana dia akan di masukkan kedalam neraka.


Jadi memang benar dosa sesama manusia mesti diselesaikan di dunia atau berusaha untuk minta maaf, minta halal, minta ampun barulah habis dosa tersebut. Itu sebab sesiapa yg suka buat fitnah , mengumpat, mengaibkan orang lain, hina orang lain, buat berita palsu, suka share tuduh orang liwat dan tuduh orang zina di facebook, atau blog semuanya merupakan dosa-dosa besar yg sukar di ampunkan kerana dosa itu telah tersebar meluas dan merata tempat hingga sukar hendak minta maaf. Mungkin inilah jenis manusia yang akan menjadi muflis jika tidak cepat-cepat bertaubat dan membaiki akhlak dan diri sendiri.

15. Soalan : Mohon pencerahan ustaz saya ada 3 persoalan :

1. Apakah hukum kalau orang suka mnghina-hina orang dan kutuk orang,dan beritahu kawan yang lain jangan berkawan dengan orang itu,walau pun orang tersebut tidak penah menghina orang lain.?

2. Kalau sesorang telah menuduh sahabatnya sebagai seorang pelacur , dan berbagai lagi tuduhan yang tidak sepatutnya di ucapkan 

3. Kawan saya sering mengungkit-ungkit pemberiannya yang lalu apakah hukumnya? 

Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan :

1. Orang yang suka menghina atau dedahkan aib orang lain 

Jika seseorang suka mendedahkan aib orang lain, nanti Allah SWT akan dedahkan aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat "(Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat. (Hadis Riwayat Muslim).

Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya". (Hadis Riwayat Tirmidzi).

2.  Bersabarlah dengan tuduhan, fitnah dan maki hamun. 

Perbuatan tersebut adalah perbuatan orang fasik yg tak tahu hukum hakam agama. Berdosa besar menuduh seorang muslimah berzina tanpa bawa 4 orang saksi lelaki yg adil hukumnya adalah hukum hudud disebat 80 kali sebatan . 

Salah satu seseorang boleh menjadi muflis adalah kerana suka membuat fitnah dan maki hamun.Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat , sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu , memakan harta orang orang ini ,menumpah darah orang itu dan juga memukul orang . Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu , kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)

Dalam hadis di atas Nabi SAW menyatakan secara khusus mereka yang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah mereka yang suka :

1. Kesalahan memaki hamun orang ini.

2. Menuduh orang itu.

3. Memakan harta orang orang ini.

4. Menumpah darah orang itu dan

5. Memukul orang.

3. Suka mengungkit-ungkit (pemberiannya)

Firman Allah yang bermaksud,"Hai orang yang beriman,jangan kamu batalkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebut dan mengungkit-ungkit (perasaan si penerima) seperti orang yang menafkahkan bertanya kerana riyak kepada manusia dan dia tidak beriman dengan Allah dan hari akhirat" (Surah al-Baqarah ayat 264). 

Mengungkit pemberian terhadap seseorang pasti akan menyinggung perasaan orang yang menerimanya. Perbuatan itu mendatangkan kesan buruk terhadap diri sendiri dan orang yang diungkitnya.

Dalam sebuah hadis disebutkan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari kiamat kelak, serta tidak akan dipandang-Nya, dan tidak pula disucikan-Nya, iaitu orang yang mengulurkan kainnnya, orang yang suka mengungkit-ungkit kebaikannya dan orang yang menjual dagangannya dengan sumpah palsu.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, dan Nasai dari Abu Dzar al- Ghifari).

Mengungkit pemberian bukan sekadar menghapus pahala sedekah tetapi berdosa kerana menyakiti hati orang lain.Sesungguhnya, ia bercanggah dengan seruan persaudaraan yang diwajibkan menjaga hati dan perasaan saudaranya. Lebih besar dosanya apabila seorang anak mengungkit-ungkit pemberiananya kepada kedua ibu bapanya. Anak tersebut menjadi anak derhaka selagi dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan meminta ampun kepada kedua ibu bapanya.

Jika seseorang menyakiti hati kita sekali pun janganlah kita bertindak menyakiti hati orang tersebut di atas amal atau bantuan yg pernah kita berikan. Bantuan yg pernah kita berikan itu sebenarnya adalah hak Allah dan rezeki orang tersebut melalui tangan kita. Jika kita ungkit mengungkit secara otomatik menghapuskan pahala tersebut dan mendapat dosa kerana menyakiti hati orang yg pernah menerima bantuan kita.

No comments:

Post a Comment