Tuesday, December 3, 2013

Tanyalah Ustaz 10 (Haid, Iddah, Mengucapkan "RIP", Hukum Bekerja Sebagai Veterina Dan Bermimpi)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 10 adalah menjelaskan persoalan darah haid, tempuh iddah, mengucapkan "Rest in Peace", hukum bekerja sebagai veterina dan bermimpi dengan orang yang telah meninggal dunia.

46. Soalan : Saya nak bertanya jika seorang perempuan yang datang haid, kemudian dalam tempoh haid itu dia memotong kuku tangan dan menyimpan kuku. Apabila ingin mandi wajib perlukah kuku itu juga dibersihkan sekali dengan niat mandi wajib?

Jawapan :

Seseorang yang junub, atau dalam keadaan haid, atau nifas di bolehkan menggunting rambutnya, kukunya sebelum mandi. Sebaik-baiknya selepas potong kuku dan gunting rambut maka semuanya ditanam jangan dibuangkan merata tempat. Yang haram bagi seorang yang sedang dalam keadaan junub (termasuk datang bulan) untuk dia kerjakan adalah amalan-amalan keagamaan yang bersyarat dengan adanya wuduk seperti solat sunat dan wajib.” 


Justeru, kita mengetahui tidak disyaratkan adanya wuduk untuk memotong rambut atau kuku. Dan atas dasar penjelasan di atas, kita dapat mengatakan bahawa tidak ada larangan (dalam erti kata haram) untuk membuang rambut yang gugur dan memotong kuku seperti mana yang saudari tanyakan.

47. Soalan : Boleh ustaz terangkan sedikit pasal tempoh iddah..saya ada membaca tapi saya tidak faham..apa maksud selepas 3 kali bersuci? Adakah selepas kedatangan haid ke3 atau selepas 3 bulan?

Jawapan :

Iddah pada pengertian ialah membilang atau menghitung. Maksud Iddah pada Syara' pula ialah seseorang wanita yang telah diceraikan oleh suaminya ataupun yang kematian suaminya, maka wanita tersebut dilarang dari berkahwin dengan lelaki lain untuk tempoh beberapa waktu sehinggalah tempoh waktu itu berakhir. Dengan cara ini dapatlah dipastikan kesucian wanita tersebut, sama ada ia mengandung ataupun tidak.

Hikmah yang lain adalah memuliakan ikatan pernikahan yang lalu, menghormati hak suami yang telah bercerai dan menampakkan kepada masyarakat bahawa ia telah bercerai.

Masa iddah ini terbagi atas 4 jenis iaitu :

1. Iddah masa mengandong, iaitu waktunya sampai masa kelahiran kandungan yang disebabkan talak ba’in (perceraian yang mengakibatkan tidak kembali kepada suaminya) atau talak raj’i (perceraian yang dapat kembali kepada suaminya) dalam keadaan hidup atau mati.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)

2. Iddah muthlaqah (masa perceraian),

Tempoh ini ialah untuk perempuan yang masih didatangi haid dan berpisah melalui perceraian. Maksud tiga kali suci ini ialah, jika dia diceraikan, maka dia perlu beriddah sehingga tiga kali suci daripada haid.

Firman Allah s.w.t, maksudnya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (menunggu) selama tiga kali quru’ (suci).” (Surah al-Baqarah ayat 228)

Bagaimana mengiranya?

Jika dia diceraikan ketika suci dari haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja datang haid yang ketiga.

Contoh: Diceraikan dalam keadaan suci (Suci 1) > Haid 1 > Suci 2 > Haid 2 > Suci 3 > Haid 3 —— iddah habis sebaik sahaja haid 3 bermula.

Jika dia diceraikan ketika haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja kedatangan haid yang keempat.

Contoh: Diceraikan ketika haid (Haid 1) > Suci 1 > Haid 2 > Suci 2 > Haid 3 > Suci 3 > Haid 4 —— iddah habis sebaik sahaja haid 4 bermula.

3. Perempuan yang tidak ada haid.

Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)

Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya (menopause) . Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalah cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!

Firman Allah SWT maksudnya :
“Perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus haid mereka, jika kamu ragui tentang tempoh masa idah mereka, maka masa idah mereka ialah selama tiga bulan. Begitulah juga idah perempuan-perempuan yang belum datang haid.” (Surah al-Talaq ayat 4)

4. Isteri yang ditinggal suaminya kerana meninggal dunia.

Allah SWT menjelaskan masa iddahnya sebagai berikut :

a)Bagi wanita/isteri yang tidak mengandung :

Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena beriddah ialah kira-kira 130 hari.

Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.” (Surah Al-Baqarah ayat 234)

b)Bagi wanita/ isteri yang mengandung.

Untuk wanita seperti ini, secara ringkasnya iddahnya tamat sebaik sahaja melahirkan anak (dan bukan 4 bulan 10 hari). Malah, jika selang masa antara kematian suami dan juga kelahiran anak itu sangat pendek, iddahnya tetap berakhir.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)


Dalil daripada hadis sahih juga menjelaskan keadaan perempuan yang hamil ketika kematian suami lalu Rasulullah SAW. membenarkannya berkahwin lain selepas bersalin (tidak perlu menunggu hingga 4 bulan 10 hari). Hukum ini telah dijelaskan oleh baginda dalam hadis tentang Sabi’ah al-Aslamiyah yang bersalin beberapa hari selepas kematian suaminya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

48. Soalan : Ustaz , saya hendak tanya apa hukum kalau kita ucapkan perkataan 'RIP' (Rest In Peace) kepada orang bukan islam yang telah mati ? Boleh ke orang islam ucapkan perkataan tersebut ?

Jawapan :

Ucapan selamat pada seseorang itu lebih merujuk kepada doa. Oleh itu dapat di fahami bahawa jika kita mengucapkan kepada orang yang bukan Islam (bila dia mati dan kita mengetahui bahawa siimati tidak mendapat redha Allah dan rahmat Allah kerana kekafirannya) maka sama hukumnya bila kita mengucapkan ~ assalmualaiku warahmatulah~ kepada bukan Islam.

Sebaik-baiknya kita berikan nasihat pada keluarga si mati bersabarlah dengan ujian ini tak payah sebut RIP (Rest In Peace) sebab secara lahiriyahnya jika mati di dalam keadaan kafir di sana sedang tunggu seksaan Allah SWT.

49. Soalan : Apa kah hukum bekerja sebagai penolong veteriner ? Tugasan yang memerlukan seorang memegang anjing untuk merawatnya . Di tempat kerja juga disediakan tanah untuk disertu lepas habis kerja . Adakah gaji itu halal ?

Soalan kedua sah tak solat kalau rambut diwarnakan ? Sepupu saya solat , tetapi dia mewarnakan rambut.

Jawapan :

Pertama : Bekerja sebagai penolong Veteriner (pegawi perubatan haiwan) adalah halal gajinya kerana tugasnya bukan saja merawat anjing tetapi semua jenis haiwan penternakan atau haiwan belaan yang lain seperi kucing. Tugas ini mulia kerana memastikan binatang penternakan dijauhi penyakit, jika ada penyakit merekalah yang akan memberikan rawatan dan ubatan. Tidak salah memberi rawatan kepada anjing cuma selepas merawatnya perlulah membasuhnya dengan 7 kali air bilasan dan basuhan pertama dengan air bercampur tanah.

Kedua : Mengenai mewarnakan rambut pastikan pewarna tersebut dibuat daripada bahan yang halal dan bersih dan pewarna yang serap air jika tidak, mandi wajib tidak sah . Dari Ibnu Sirin r. a. katanya:. Aku bertanya kepada Anas bin Malik r.a: "Adakah Rasulullah SAW mencelup rambut baginda?" jawab Anas: "Baginda tidak kelihatan beruban, kecuali di janggutnya nampak beberapa helai rambut putih. Kata Ibnu Sirin: Aku betanya pula kepadanya, adakah Abu Bakar mencelup rambutnya? Jawab Anas: Ada. Dengan inai. (Hadis Riwayat Muslim)

Huraian Hadis: 

Sebahagian daripada perkara yang tergolong di dalam masalah perhiasan ialah mewarnakan rambut atau janggut yang telah beruban. Tetapi dengan warna apa dibenarkan mewarna rambut? 

Apakah dengan warna hitam atau warna-warna lain? Atau mesti mengelakkan dengan warna hitam? Orang yang telah tua, ubannya telah merata sama ada di kepala ataupun di janggut, tidak selayaknya mewarnakannya dengan warna hitam. Oleh itu, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi SAW. pada hari penaklukan Mekah, Nabi melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Nabi bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (Hadis Riwayat Muslim). 

Manakala mereka yang tidak sebaya dengan Abu Qufahah, tidaklah berdosa apabila mewarna rambutnya dengan warna hitam. Dalam masalah ini al-Zuhri telah berkata: "Kami mewarna rambut dengan warna hitam apabila wajah masih kelihatan muda, tetapi apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah goyang, kami tinggalkan warna hitam." (Fathul Bari) Dan di dalam sebuah hadis riwayat Abu Zar mengatakan: "Sebaik-baik bahan yang digunakan untuk mewarna uban ialah pokok inai dan katam." (Hadis Riwayat Tarmizi dan ash-habusunan) 

Katam adalah sejenis pokok yang tumbuh di Yaman yang mengeluarkan pewarna berwarna hitam kemerah-merahan. Dan Inai sejenis pokok berdaun yang mengeluarkan warna merah. Anas bin Malik meriwayatkan, bahawa Abu Bakar mewarna rambutnya dengan inai dan katam, manakala Umar hanya dengan inai sahaja.

50. Soalan : Sahabat saya,kerap bermimpi orang yang sudah meninggal dunia, arwah adalah kawan lelaki kepada sahabat saya. Apa yang harus sahabat saya lakukan kerana dia selalu mendoakan ksejahteraan arwah. dan apakah ia ada maksud tersirat dalaman mimpi tersebut.?

 Apakan maksud bermimpi hari kiamat?

Jawapan :

Mimpi kawan baik yang telah meninggal dunia adalah akan muncul bantuan tidak terduga atau akan mendapatkan berita baik. Sebaik-baiknya hendaklah dia mendoakan arwah semoga di lepaskan seksa kubur dan dirahmati oleh Allah SWT di alam barzakh.

Mimpi berlakunya kiamat tafsirannya di dalam buku Tafsir Mimpi Menurut Islam :"Sesiapa yang melihat seolah-olah sudah terjadi kiamat di satu tempat bermakna akan tertegaklah keadilan di tempat itu, akan jatuhlah orang-orang zalim dan terbela orang yg dizalimi, kerana hari kiamat merupakan hari yg menentukan dan hari keadilan. Wallahu a'lam

Dalam tafsiran yg lain jika orang yang bermimpi org yg soleh maka itu tanda berita gembira baginya, untuk mereka yg suka buat maksiat juga satu berita gembira supaya dia kembali bertaubat kepada Allah SWT itu satu peringatan Allah SWT kepada dirinya.



No comments:

Post a Comment