Wednesday, December 4, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 12 (Jam Sadur Emas, Aurat Wanita, Kawin Sepupu, Terbuka Aurat Ketika Solat Dan Anak Susuan)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 12 adalah menjelaskan persoalan hukum memakai jam sadur emas, aurat wanita di rumah mertua, berkahwin dengan sepupu, terbuka kaki ketika solat dan anak susuan.


56. Soalan : Saya nak bertanya tentang hukum,seorang lelaki memakai jam atau kaca mata yang besinya dicampur dengan emas 24k...Terima kasih.


Jawapan :



Lelaki haram memakai emas walau pun sedikit di sadur dibahan besi seperti jam dan bingkai cermin mata.

Dari Abu Musa bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Dihalalkan emas dan sutera untuk kaum wanita dari umatku dan diharamkan keduanya terhadap kaum lelaki." Terdapat satu riwayat bahawa Rasulullah SAW pernah melihat sebuah cincin dari emas ditangan seseorang, maka Rasulullah SAW meragutnya lalu membuangnya lantas bersabda, "Seseorang dari kamu sengaja memegang bara api dari neraka lalu diletakkan ditangannya", lalu Rasulullah meninggalkan lelaki pemilik cincin tersebut dan membiarkan cincinnya terbuang di hamparan bumi lantas sebahagian orang berkata kepada si pemilik cincin, "Rasulullah telah pergi, ambil cincinmu dan pergunakanlah", Lelaki itupun menjawab dengan tegas, "Tidak, Demi Allah aku tidak akan mengambilnya apa yang sudah dilempar Rasul".


Menurut para Fuqaha" golongan Maliki, bagi kaum lelaki boleh memakai cincin dari perak asalkan tidak lebih dari dua dirham dengan syarat bertujuan mengikut jejak Rasulullah s.a.w. Berdasarkan analogi cincin ini, maka setiap benda yang diperbuat daripada emas (termasuk emas putih) yang dipakai untuk berhias oleh kaum lelaki, maka benda-benada tersebut hukumnya tetap diharamkan bagi mereka (Yunos Ali al-Mudhor: Terjemahan Halal dan Haram dalam Islam).


57. Soalan : Saya ada sedikit pertanyaan, jika seorang wanita bertandang ke rumah mertuanya yang tinggal bersama adik ipar (bukan mahram) .. Bagaimana auratnya.? Perlukah ditutup lengkap seperti biasa atau ada kelonggaran?


Jawapan :



Adik ipar bukan mahram dan wanita kena tutup aurat dan tidak boleh bersalaman dengan mereka. Jika di rumah diberi kelonggaran sedikit tak payah pakai stokin kerana kesukaran untuk memasuki tandas (mengikut mazhab Syafie jari-jari kaki dan tapak kaki adalah aurat) .Menurut Mazhab Hanafi, menurut riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah, tapak kaki (dalam bahasa Arab, perkataan al-qadam bermaksud tapak kaki merangkumi bahagian atas, iaitu kura-kura kaki dan bawah) bukan aurat. Maka harus mendedahkannya serta harus bagi lelaki ajnabi melihatnya. 

Hujjahnya ialah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat (dan janganlah wanita mukminah mendedahkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya), maksud “apa yang zahir” yang disebut di dalam ayat itu ialah “al-qulbu wal-fatakhah”, iaitu cincin yang dipakai dijari kaki. Maka ini menunjukkan bahawa harus mendedahkannya kerana Allah Ta’ala melarang wanita mendedahkan perhiasan, dan Dia mengecualikan apa yang zahir. Dari segi lojiknya kita lihat, tapak kaki memang terdedah ketika berjalan. Maka ia termasuk dalam anggota yang dikecualikan daripada kewajipan menutupnya.


Sebaliknya, tapak kaki tidak ada keperluan untuk membukanya. Maka ia wajib ditutup. jika ada keperluan maka boleh dibuka. Bahagian lain kena tutup seperti biasa. 


Tidak ada nas yg direct atau langsung dalam masalah ini melainkan sepotong ayat umum dari Surah an-Nuur: 31 .

"...dan janganlah mereka (perempuan Islam) menzahirkan perhiasannya kecuali yg biasa nampak dari padanya..." 

Secebis ayat umum ini telah melahirkan pelbagai pendapat fiqih mengenai apakah yg boleh dizahirkan oleh perempuan kepada umum bila mereka keluar dari rumah-rumah mereka. Kami simpulkan: 


a. Fiqh Hanafi menetapkan dua kaki wanita bukanlah aurat kerana ia termasuk apa yg biasa nampak darinya kerana keperluan wanita melakukan pekerjaan hariannya. (alKasani, alBada'iy alSana'iy: Kitab alIstihsan, Jld 5) 


b. Fiqh Syafi'iyah, ada dua pendapat: 


Imam Muhyidin anNawawi (Syarah alMuhadzab,:3/173) kaki wanita adalah aurat.


Imam alMuzani pula berpendapat kaki bukan aurat. 


c. Imam atsTsauri juga berpendapat kaki bukan aurat (Syarah alMuhadzab, op cit, ms 173) 


d. Fiqh Maliki menetapkan kaki adalah aurat ( alMudawwanah: 1/109; Syarah alKabeer: 1/215) 


e. Fiqh alHanbaliah juga menetapkan kaki adalah aurat (alMughny: 1/601) 


Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis)


Bila ada banyak pendapat, maka kita beralih pada Fiqh Tahqeeq (Fiqh Analitis): 


a. Imam asySyawkani (Nailool Awthor: 2/144) dan Tafsirnya, Fathul Qadeer: Tafsir surah anNuur) memilih pendapat bahawa kaki bukanlah aurat kerana memberi kemudahan kepada wanita. 


b. Allamah Siddiq Hasan Khan (Nailool Maram: Tafsir surat anNuur ayat 31) memilih pendapat kaki bukan aurat.


c. Syaikhul Islam a Imam Salafiya Taqiyuddin Ahmed Ibn Taymiyah alharani (Majmu' Fatawa, cetakan Riyadh, Jld 22/114-115) juga memilih pendapat kaki bukanlah aurat kerana ia merupakan kesulitan bagi wanita baik dalam solat dan di luar solat berdasarkan Hadis Aisyah ra yg mentafsirkan "apa yg biasa nampak" dalam surah anNuur ialah termasuk Fatkhah (cincin yg dipakaikan oleh wanita Arab pada jari kaki) 


Pendapat yang Rajih : 


Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya berjudul : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198) ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya. 



Kesimpulan : Saya setuju mengatakan kaki adalah aurat tetapi apabila ada keperluan seperti dirumah mertua hendak masuk tandas atau bilik mandi wanita tak payahlah pakai stokin hingga masuk tandas ,boleh membukanya kerana ada hajat. Tetapi apabila keluar rumah eloklah pakai stokin menutup kaki daripada dilihat oleh lelaki ajnabi. Wallahu a'lam

58. Soalan : Apa hukum kahwin bagi pasangan yang mana orang tua kedua-dua pihak adalah adik beradik?. Terima kaseh.


Jawapan :



 Islam tidak pernah menegah perkahwinan sepupu atau saudara-mara selain daripada kaum kerabat yang termasuk dalam kategori mahram. Mahram ialah ibu, nenek, anak perempuan, kakak, ibu saudara sebelah ibu dan bapa, ibu tiri, anak saudara, anak tiri, anak atau ibu susuan, ibu mertua, adik perempuan seibu sebapa dan sebagainya. (Rujuk Surah al-Nisak, ayat 23). 

Sepupu tidak termasuk dalam kategori mahram dan tidak haram dikahwini. Rasulullah SAW pernah mengahwini sepupunya sendiri, iaitu Zainab binti al-Jahsy. Baginda juga pernah mengahwinkan anak baginda, iaitu Fatimah binti Muhammad dengan sepupu baginda, iaitu Ali bin Abu Talib. Perkara yang sama diamalkan oleh ramai di kalangan para sahabat baginda. 

Berhubung dengan pendapat yang mengatakan perkahwinan sepupu boleh menyebabkan lahirnya anak yang kurang cedik atau cacat, ia merupakan kemungkinan yang amat rendah. Berkahwin dengan wanita yang bukan kaum kerabat juga ada kemungkinan untuk mendapat anak cacat. Walau bagaimanapun, jika seseorang ingin mengembangkan sanak saudara, lebih baik berkahwin dengan orang luar yang bukan daripada kaum kerabat sendiri. Wallahu a'lam

59. Soalan : Jika kita solat sendirian kemudian aurat terbuka contohnya nampak kaki dan tiada siapa yang nampak maka solat seseorang itu sah atau tidak?
Lagi satu nak tanya boleh tak kita baca terjemahan al-Quran  seperti baca buku biasa..Maksudnya tanpa tutup aurat dan baca di atas katil sebelum tidur?

Jawapan :



Aurat Wanita Di Dalam Sembahyang

1. Ulama Mazhab Syafie sepakat, aurat wanita di dalam sembahyang, wajib menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Tiada terkecuali biarpun sembahyangnya seorang diri di tempat gelap atau di dalam khemah.

2. Makruh menutup muka seperti memakai purdah yang menampakkan kawasan mata dan dahinya, atas pendapat banyak ulamak. Satu pendapat di dalam Kifayatul Akhyar, membolehkan memakai purdah seperti yang disebutkan itu bagi mengelakkan pandangan liar lelaki ajnabi di dalam masjid.

3. Batas aurat itu adalah ditutup daripada pandangan sebelah atasnya dan daripada kelilingnya. Tiada pada pandangan daripada bawahnya. Jika dia sujud, maka tapak kakinya perlu ditutup dengan pakaian, dan tidak boleh terbuka berdasarkan pandangan daripada keliling.

4. Syarat aurat itu juga ialah kain yang dipakainya mestilah tidak nipis sampai menampakkan warna kulit atau warna rambut.

5. Bila aurat itu terbuka kerana ditiup angin, tidak membatalkan solat dengan syarat ditutup dengan segera dan terbuka itu tidak melebihi kadar waktu melafazkan subhanallah. Sebaik-baiknya semasa solat memakai stokin supaya jika ternampak kaki (terbuka tanpa disengajakan) maka tidak akan membatalkan solat.

Membaca terjemahan al-Quran:

Boleh membaca terjemaahan al-Quran tanpa membaca ayat-ayat al-Quran walaupun tanpa wuduk dan menghadap kiblat. Sebaik-baiknya berwuduk kerana kita suci daripada hadas kecil kerana membaca al-Quran seolah-olah kita sedang berbicara dengan Allah SWT.

60. Soalan : Saya turut menyusu anak adik lelaki. Anak susuan saya adalah perempuan.mohon ustaz memberi penerangan batas pergaulan untuk anak-anak saya Dan anak susuan saya itu..

Jawapan :



Syarat yang berkaitan dengan susu adalah seperti berikut:

a. Susu kekal dalam sifatnya yang asal sama ada mengalir atau sebagainya kerana dengannya akan memastikan tumbesaran tubuh dan penguatan tulang.

b. Sampai susu ke sistem penghadamannya melalui tekak atau saluran hidung.

c. Penyusuan mencecah lima kali kekenyangan bayi. Setiap kali kekenyangan dikenal pasti melalui perbuatan bayi itu sendiri yang meninggalkan susuan secara sukarela dan mengambil tempoh yang lama sebelum menyusu untuk kali yang seterusnya. Sekiranya bayi berhenti menyusu disebabkan oleh gangguan di sekelilingnya, ia tidak dikira sebagai susuan yang mengenyangkan. Susuan yang mengenyangkan tetap dikira sekiranya bayi meninggalkan susuan untuk sementara waktu seperti ingin mengambil nafas, bertukar posisi daripada payudara kanan ke kiri, bersin dan sebagainya.

Apabila semua syarat ini dipenuhi, maka terhasillah hubungan pertalian antara bayi dan wanita yang menyusukannya. Perkara ini disandarkan kepada kaedah fiqh:
Maksudnya: Diharamkan (perkahwinan) disebabkan oleh penyusuan (sepertimana) apa yang diharamkan disebabkan oleh keturunan.

 Islam telah menetapkan jumlah susuan dan jumlah hisapan tertentu yang menyebabkan jadi mahram. Ia sebanyak lima kali susuan atau hisapan yang mengenyangkan. Jumlah penyusuan dan hisapan yang kurang daripada itu tidak diharamkan. Sebagaimana dijelaskan dalam hadis daripada Aisyah, Nabi bersabda: sekali hisapan (susuan) dan dua kali hisapan itu tidak menjadi mahram. 


Konsep susuan yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan oleh syarak tidak mengharamkan. Dalam hadis ini menerangkan dimana sekali susuan itu, iaitu apabila bayi menyusu kemudian dia melepaskan hisapan dengan kehendak dia sendiri ini dikira sekali susuan.

No comments:

Post a Comment