Wednesday, December 4, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 13 (Solat Di utamakan, Hubungan Suami isteri, Menggantung Gambar,Solat Berjemaah dan Iddah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 13 adalah menjelaskan persoalan masuk waktu Zohor, hubungan di antara suami dan isteri, menggantung gambar, cara-cara solat berjemaah dengan isteri dan jenis-jenis iddah.


61. Soalan : Pertanyaan dari saudara perempuan saya :

1. Rehat pukul 1, Zohor sudah masuk tapi kawan-kawan ajak keluar makan dulu baru solat Zohor, balik makan tengahari baru solat...Apakah dikira berdosa dan dikira melambatkan solat?..

2. Perlukah saya menolak pelawaan itu..kerana boleh dikatakan selalu merrka mengajaknya...

3. Jika saya berbohong untuk mengelak pelawaan itu sebgai alasan apakah berdosa?

Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan :

 1. Amalan paling baik dilakukan adalah solat berjemaah apabila masuk waktu solat. Terutama apabila mendengar laungan azan.Mendirikan solat lima waktu, dalilnya adalah hadis Nabi SAW maksudnya : “Tidak ada seorang muslim-pun yang kedatangan shalat lima waktu lantas dia menyempurnakan wuduknya, memaksimalkan khusyuk dan rukuknya (dalam mendirikan solat-solat tersebut) kecuali akan menjadikan baginya penghapus dosa-dosanya selama dia tidak melakukan dosa besar, dalan jangka waktu setahun penuh” (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

 2. Sebaik-baiknya tolaklah pelawaan tersebut jika boleh ajak mereka solat dahulu baru makan bersama. Jika mereka tak mahu maka tinggalkan mereka dan utamakan solat kerana akan memberikan banyak keberkatan di dalam urusan kerja kita.

3. Tidak payah berbohong nyatakan terus saya nak solat dulu. Kerana takkan setiap hari nak berbohong kerana tak ada daruratnya kita berbohong. Berbohong dalam kes seperti ini berdosa.

62. Soalan :Ustaz saya nak tanya.orang yang baik dengan isterinya.dan bertangung jawap.tapi kalau hati kosong.takada rasa sayang dan cinta.berdosa tak ustaz?

Jawapan : 



Soal cinta dan tanggungjawab adalah perkara yang berbeza. kalau cinta tetapi tak tunaikan tanggungjawab sebagai isteri, maka isteri berkenaan tetap berdosa. Tetapi jika isteri tunaikan tanggungjawab dan melayani suami dengan baik sedang hatinya `kosong' dan tidak pula mempunyai hubungan dengan lelaki lain, maka tidaklah berdosa . 

Hidup berumah tangga perlu saling kasih mengasihi dan sayang menyayagi. Jika perasaan ini sudah hilang dan tak dapat di hidupkan lagi maka mereka boleh berpisah. Perceraian bukan semestinya ketika ada masalaah rumah tangga, tetapi jika sudah tak cinta dan hidup tidak ada keseronokkan lagi maka di haruskan berpisah, kerana kes seperti ini pernah berlaku dikalangan sahabat Rasulullah SAW di antara Zaid bin Haritsah dengan Zainab binti Jahsy. Zaid seorang suami yang bertanggungjawab dan Zainab pula seorang muslimah yang solehah tetapi oleh kerana tidak ada persefahaman dan keserasian maka diharuskan mereka bercerai.

Hati tidak boleh dipaksa untuk mencintai samaada suami atau isteri.Urusan hati adalah urusan Allah SWT maka apabila kita berhajat untuk mencintai orang yang tidak kita cintai (suami) maka mohonlah kepada Allah SWT supaya Dia mencampakkan rasa cinta hati kita kepada suami yang lama menjadi suami kita dan juga cinta suami kembali pulih dan mencintai kita. Banyakkan berdoa dan solat hajat merayu kepada Allah SWT.

63. Soalan : Apakah hukum menggantung gambar-gambar yang hidup seperti gambar manusia dan gambar haiwan..?

Jawapan :



Kebanyakkan di rumah-rumah orang Islam masih terdapat di dinding-dinding rumah mereka tergantung gambar-gambar manusia samaada tuan rumah sendiri atau ahli keluarganya. Atau pun gambar-gambar binatang  menghiasi dinding rumah mereka sebagai perhiasan. Tidak kurang juga kita dapati ada sebahagian mereka yang menjadikan patung-patung binatang sebagai koleksi perhiasan yang diletakkan dialmari perhiasan sebagai hobi tuan rumah.

Adakah amalan seperti ini dilarang atau dibenarkan? Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada :

Pertama : Gambar
Kedua : Patung
Ketiga :  Anjing
Keempat : Orang yang junub.

64. Soalan : Ketika kita solat berjemaah bersama isteri dan anak-anak sahaja, adakah suara isteri itu termasuk aurat? Kerana ketika selesai membaca suratul fatihah, isteri dan anak-anak akan mengamiinkan "amiiiin" dengan jelas malah terdengar suara isteri. Kedua - bolihkah isteri membetulkan kealpaan suami yang menjadi imam dengan mengucap "subhanallah". Mohon penerangan ustaz.

Jawapan :

Cara solat berjemaah sama saja di rumah (bersama suami dan anak-anak) atau di masjid bersama jemaah lelaki, sebutan "amin" untuk wanita adalah perlahan sekadar di dengar oleh telinganya. Jika imam silap bacaan, atau tertinggal fatihah atau meninggalkan sunat ab'ad maka cara wanita menegurnya adalah dengan menepuk lengan tangan kiri dengan tapak tangan kanan tak boleh menegur dengan ucapan "subhanallah". Jika makmum lelaki hendak menegur imam boleh dengan sebutan "subhanallah". Wallahu a'lam

65. Soalan : Ustaz bolehkah ustaz terangkan jenis-jenis iddah dan  pasal tempoh iddah..Saya ada membaca tapi saya tidak faham..apa maksud selepas 3 kali bersuci? Adakah selepas kedatangan haid ke3 atau selepas 3 bulan...

Jawapan : 



Iddah pada pengertian ialah membilang atau menghitung. Maksud Iddah pada Syara' pula ialah seseorang wanita yang telah diceraikan oleh suaminya ataupun yang kematian suaminya, maka wanita tersebut dilarang dari berkahwin dengan lelaki lain untuk tempoh beberapa waktu sehinggalah tempoh waktu itu berakhir. Dengan cara ini dapatlah dipastikan kesucian wanita tersebut, sama ada ia mengandung ataupun tidak.

Hikmah yang lain adalah memuliakan ikatan pernikahan yang lalu, menghormati hak suami yang telah bercerai dan menampakkan kepada masyarakat bahawa ia telah bercerai.

Masa iddah ini terbagi atas 4 jenis iaitu :

1. Iddah masa mengandong .

Waktunya sampai pada masa kelahiran kandungan yang disebabkan talak ba’in (perceraian yang mengakibatkan tidak kembali kepada suaminya) atau talak raj’i (perceraian yang dapat kembali kepada suaminya) dalam keadaan hidup atau mati.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)

2. Iddah muthlaqah (masa perceraian),

Tempoh ini ialah untuk perempuan yang masih didatangi haid dan berpisah melalui perceraian. Maksud tiga kali suci ini ialah, jika dia diceraikan, maka dia perlu beriddah sehingga tiga kali suci daripada haid.

Firman Allah s.w.t, maksudnya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (menunggu) selama tiga kali quru’ (suci).” (Surah al-Baqarah ayat 228)

Bagaimana mengiranya?

Jika dia diceraikan ketika suci dari haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja datang haid yang ketiga.

Contoh: Diceraikan dalam keadaan suci (Suci 1) > Haid 1 > Suci 2 > Haid 2 > Suci 3 > Haid 3 —— iddah habis sebaik sahaja haid 3 bermula.

Jika dia diceraikan ketika haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja kedatangan haid yang keempat.

Contoh: Diceraikan ketika haid (Haid 1) > Suci 1 > Haid 2 > Suci 2 > Haid 3 > Suci 3 > Haid 4 —— iddah habis sebaik sahaja haid 4 bermula.

3. Perempuan yang tidak ada haid.

Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)

Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya (menopause) . Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalah cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!

Firman Allah SWT maksudnya :
“Perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus haid mereka, jika kamu ragui tentang tempoh masa idah mereka, maka masa idah mereka ialah selama tiga bulan. Begitulah juga idah perempuan-perempuan yang belum datang haid.” (Surah al-Talaq ayat 4)

4. Isteri yang ditinggal suaminya kerana meninggal dunia.

Allah SWT menjelaskan masa iddahnya sebagai berikut :

a)Bagi wanita/isteri yang tidak mengandung :

Tempohnya ialah 4 bulan 10 hari dari tarikh kematian. Perlu diingatkan bahawa ‘bulan’ di sini ialah bulan dalam kalender Islam/ Hijrah bukannya kalender Masehi. Oleh itu, jumlah hari yang dia kena beriddah ialah kira-kira 130 hari.

Firman Allah SWT maksudnya : “Orang-orang yang meninggal dunia diantaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari.” (Surah Al-Baqarah ayat 234)

b)Bagi wanita/ isteri yang mengandung.

Untuk wanita seperti ini, secara ringkasnya iddahnya tamat sebaik sahaja melahirkan anak (dan bukan 4 bulan 10 hari). Malah, jika selang masa antara kematian suami dan juga kelahiran anak itu sangat pendek, iddahnya tetap berakhir.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sampai mereka melahirkan.” (Surah Ath-Thalaq ayat 4)

Dalil daripada hadis sahih juga menjelaskan keadaan perempuan yang hamil ketika kematian suami lalu Rasulullah SAW. membenarkannya berkahwin lain selepas bersalin (tidak perlu menunggu hingga 4 bulan 10 hari). Hukum ini telah dijelaskan oleh baginda dalam hadis tentang Sabi’ah al-Aslamiyah yang bersalin beberapa hari selepas kematian suaminya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment