Friday, December 6, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 19 (Terlelap Semasa Solat, Mimpi Kucing Hitam, Pinjaman Bank, Solat Berjemaah Dan Bertindik Hidung)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 19 adalah menjelaskan persoalan terlelap sewaktu solat, mimpi kucing hitam, pinjaman duit bank, solat berjemaah dan bertindik hidung.


91. Soalan : Ustaz.. batal ke wuduk kita jika baring dalam keadaan mengiring walaupun tak tidur ?

Jawapan :

 Terlelap atau tertidur berbeza. Tertidur hingga hilang ingatan ketika berdiri, sujud dan rukuk dan tidak menyedari sedang solat maka batal solat tetapi terlelap seketika tidak membatalkan solat.Biasanya kita hanya mengantuk sahaja di tengah solat (yakni terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana tidak membatalkan wuduk) tanpa ada khilaf di kalangan ulamak sama ada mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;

1. Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat. 

2. Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafiie.

Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tibak batal solatnya tanpa khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk (yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan yang lemah; tidak batal solat dan wudhuknya. Namun mengikut pandangan yang menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wudhuknya” (al-Majmu', 2/16. Dinaqalkan secara mafhum).

Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya (dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276).

Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur, dijelaskan oleh ulamak seperti berikut;

a) Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).

b) Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan jatuh/longlai. 

c) Menurut ulamak juga; di antara tanda mengantuk ialah kita masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur (maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah tertidur).


Wallahu a’lam.

92. Soalan : Ustaz..maafkan saya, saya nak bertanya  tentang isteri saya baru-baru ini ada mimpi seekor kucing hitam menerkam dari belakang..lalu isteri saya terjaga dari tidur dalam keadaan ketakutan mimpinya berlaku dalam pukul 2 pagi.

Jawapan :

Mimpi kucing hitam adalah daripada gangguan jin dan syaitan, maka bacalah doa seperti hadis di bawah, ianya tidak akan mendatangkan mudharat. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan, maka ketika salah seorang daripada kamu mimpi buruk, meludahlah ke arah kiri tiga kali, kemudian minta perlindungan kepada Allah, maka mimpinya tidak akan mengkhuatirkan." (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah ia mengucapkan 'alhamdulillah' dan ceritakannya kepada orang yang lain, dan sebaliknya apabila ia melihat mimpi yang menduka citakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah (a’uuzubillahi minasysyaitoonir roojiim) dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”(Hadis Riwayat Bukhari dari Abi Sa’id).

93. Soalan : Adakah boleh kita pinjam duit bank untuk majlis perkahwinan?

Jawapan :

Sebaik-baik perbelanjaan di dalam perkahwinan adalah wang simpanan bertujuan perkahwinan kerana Allah SWT. Jika terpaksa membuat pinjaman bank kerana kos tinggi di zaman sekarang ini di haruskan dengan syarat sumber pinjaman tersebut adalah di buat cara Islam. samaada melalui Bank Islam, Bank Muamatat atau Perbankkan Islam di bank-bank lain. Kerana sumber kewangan secara konvesional adalah HARAM kerana mengandungi riba. Cuma pastikan WANG MAS KAWIN perlu di ambil daripada gaji sendiri kerana yang wajib disediakan oleh bakal suami adalah MAS KAWIN bukannya wang hantaran. Wang hantaran adalah adat saja. Wallahu a'lam

94. Soalan : Mohon penjelasan ustaz.bila saya duduk di rumah dengan keluarga tapi solat masing-masing.dengan alasan saya sembahyang lambat tapi tidaklah terlalu lambat biasa-biasa saja. Berdosa tak jika tak mahu menjadi imam solat dengan isteri dan anak-anak? Tolong beri penjelasan ustaz.

Jawapan :


 Lelaki mukmin disyariatkan untuk solat secara berjemaah, Keutamaan solat berjemaah itu adalah 27 derajat lebih daripada solat bersendirian. Sekiranya kita solat di rumah sedang ada orang yang solat berjemaah di masjid atau surau dalam qariah kita, adalah disyaratkan agar menunggu solat di surau atau dimasjid tamat baharulah kita boleh mendirikan solat berseorangan. Oleh itu diutamakan untuk solat secara berjemaah. Soal lambat atau tidak, di sana ada adabnya sendiri, kalau kita yang menjadi imam, pastikan makmun kita tidak mempunyai orang tua atau ada makmun yang mempunyai urusan yang sangat mustahak. lalu hendaklah kita memendekkan bacaan surah, tetapi bacaan-bacaan lain hendaklah disempurnakan secara tertil. Menjadi imam ini, ada juga adab dan tertibnya. Diutamakan menjadi imam itu orang yang alim ilmu agamanya, lebih baik bacaan solatnya, yang sempurna dan indah pakaian dan rupanya, dan banyak lagi kriteria-kriteia keutamaan bagi menjadi imam.

 Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah apabila mendengar azan tetapi engan menunaikannya solat berjemaah di masjid. Walaupun baginda tidak pernah melaksanakan perkara tersebut, namun amaran keras baginda mengenai perkara ini menunjukkan amalan solat berjemaah di masjid adalah suatu suruhan yang amat penting.

Nabi SAW. mewasiati umatnya supaya tidak meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya, "Sesiapa yang berjalan untuk pergi mendiriian solat fardhu berjemaah, maka ianya seperti pahala haji, dan sesiapa yang berjalan untuk pergi mendirikan solat sunat (iaitu dhuha) , maka ianya seperti pahala umrah sunat". (Hadis Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,Tabrani , Baihaqi )

Dari Ibnu Mas'ud r.a berkata, " Barangsiapa ingin berjumpa dengan Allah pada hari qiamat sebagai seorang Muslim, maka hendaklah ia menjaga solat lima waktu di tempat azan dikemundangkan (di masjid), kerana sesungguhnya Allah telah mensyariatkan kepada Nabi kamu Sunanul-huda (jalan-jalan petunjuk dan kebaikan), dan sesungguhnya solat berjemaah lima kali di tempat azan dikumandangkan adalah termasuk sunanul-huda. Apabila kamu solat di rumah-rumah kamu sebagaimana solatnya orang yang suka tinggal di rumahnya (tidak mau berjemaah), bererti kamu meninggalkan sunah Nabi kamu. Tiada seorang lelakupun yang berwudhuk dengan sempurna, lalu pergi ke salah satu masjid, kecualai Allah mencatat untuknya pada setiap langkah yang dilaluinya satu kebaikan, mengangkatnya satu darjaat, dan menghapuskan dengannya satu kesalahan (dosa). Sungguh aku melihat di kalangan kami tak ada orang yang meninggalkan solat berjemaah di masjid kecuali orang munafik yang telah jelas kemunafikannnya. Dan sungguh, pernah ada seorang lelaki (kerana uzur) di dipapah oleh dua orang untuk mendatangi solat berjemaah, sehingga ia diberdirikan dalam saf".

Dalam riwayat yang lain disebutkan, : "Sungguh aku telah melihat di kalangan kami tak ada orang yang meninggalkan solat berjemaah di masjid kecuali orang munafik yang telah diketahui kemunafik annnya atau orang sakit. Jika dapat, maka seseorang akan berjalan dengan dipapah oleh dua orang sehingga ia mendatangi solat (berjemaah di masjid)"

Ibu Mas'ud berkata, " Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengajari kamu sunan ul-huda, dan sesungguhnya sebahagian dari sunanul-huda itu adalah solat di masjid yang mana azan dikemanadangkan di dalamnya" ( Hadis Riwayat Muslim, Abu Daud, Nasa'i, Ibu Majah- at Targhib)

95. Soalan : Ustaz.saya ada pertanyaan mengenai bertindik hidung.apa hukumnya? Dan nas-nas yang boleh di jadikan rujukan?Terima kasih ustaz

Jawapan :

Rasullulah SAW melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Termasuk menindik hidung kerana dalam adat hindu salah satu kecantikan wanita adalah tindik hidung. Umat Islam juga dilarang mengikut adat atau ajaran sesuatu kaum yg musrik.

 

No comments:

Post a Comment