Friday, December 20, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 25 (Suka Kerana Allah, Hukum Berhutang, Hukum Fotex, Huraian Hadis Dan Tabur Bunga Di Pusara.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 25 adalah menjelaskan persoalan suka seseorang kerana Allah, hukum berhutang, hukum forex, huraian hadis berbangga dengan dunia dan tabur bunga di pusara.

121. Soalan : Ada kawan saya beritahu saya yang kalau kita suka seseorang maknanya iman kita lemah? Betul ke tu ustaz?

Jawapan :



Kedudukan Dua Orang Yang Cinta Mencintai Kerana Allah Sesungguhnya terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kedudukan dan darjat dua manusia yang saling cinta mencintai kerana Allah. Hadis-hadis ini menggambarkan kedudukan mereka yang mulia dan tinggi yang telah disediakan oleh Allah di dalam SyurgaNya. Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja.

Hadis yang bemaksud: “Mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang membesar di dalam beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya terikat kepada masjid-masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita jelita dan cantik rupawan lalu ia berkata “aku ini takut kepada Allah”, seorang lelaki yang bersedekah melalui tangan kanannya lalu disembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengatahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seorang lelaki yang berzikir kerana Allah (yang mengingati Allah) bersunyi ( keseorangan) lalu mengalir air matanya” ( Muttafaqun alaihi)

Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ?

Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu.

Diriwiayatkan oleh Muslim didalam hadis Qudsi yang bermaksud:
“Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali nuangan-Ku”

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah.

Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.

Jika kita mencintai seseorang dengan tujuan menjadikannya sebagai teman hidup perlulah orang yang kita cintai itu orang yang soleh, beriman dan bertakwa. Tidak mungkin cinta kerana Allah SWT kita lebih utamakan harta, wajah dan pangkatnya melebihi agamanya. Jika seseorang beragama dia memiliki segala kebaikan tetapi jika seseorang tak amalkan agama walaupun kaya dan berpangkat ianya tak bernilai di sisi Allah SWT.

122. Soalan : Ustaz..soalan saya ada insan yg berhutang dengan saya,tapi dia tidak hendak bayar hutang itu , kerana tidak kuasa hendak berbahas dengan dia saya suruh dia bayar zakat pada baitulmal..apa hukum kalau dia tak bayar ?

Jawapan :


Hutang wajib dibayar apabila berhutang. Jika tidak membayarnya tetapi dia mampu maka hutang itu akan dituntut diakhirat dan bayarannya nanti bukan dengan wang tetapi dengan amala soleh orang yg berhutang dan diberikan kepada siapa yg dia berhutang.

Kita ada pilihan apabila ada orang yang tidak mahu membayar hutang tersebut : 

1. Kita tuntut hutang tersebut ketika perbicaraan di mahkamah Allah SWT di hari akhirat. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis Riwayat Ibnu Majah). 

2. Kita halalkan dengan niat sedekah dan ganjarannya adalah seperti hadis Rasulullah SAW .

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang Mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi). 

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)


Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Tidak menipu timbangan dan jelas akad jual beli tidak ada unsur-unsur menipu pelanggannya. Begitu juga ketika dia membeli tidak cerewet dan mudah dan mesra semasa membeli jika dia meminta potongan harga adalah dengan harga yang berpatutan tidak menyakitkan hati penjual. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim.

123. Soalan : Bolehkan ustaz menjelaskan tentang FOREX? Adakah perniagaan ini halal atau haram? 

Jawapan :


Fofex adalah suatu perniagaan pertukaran mata wang asing yang berlaku setiap masa iaitu 24 jam di dunia. Forex ialah sepertimana pelaburan pertukaran wang asing yang dijalankan pada setiap Negara tanpa henti. Forex juga merupakan perniagaan pelaburan baru, jadi sebutan dikalangan masyarakat Negara ini tak silap saya pada tahun lepas heboh tentang pelaburan forex. 

Pelaburan forex ini, sepengetahuan saya mempunyai brokernya yang tersendiri. Pelabur yang berminat dengan pelaburan ini akan melantik broker tersebut untuk menguruskan perniagaannya. Jika didapati untung atau apa-apa transaksi berlaku, broker kenakan bayaran yang dipersetujui oleh dua belah pihak.

Menurut Prof. Drs. Masjfuk Zuhdi di dalam bukunya yang berjudul Masail Fiqhiyah menyatakan perdangangan atau pelaburan Forex diharuskan dalam Islam. Hal ini berdasarkan masalah transaksi mata wang menurut Islam ialah :

Adanya ijab dan kabul seperti adanya perjanjian untuk memberi dan menerima. Akad ijab dan kabul dilakukan dengan lisan, tulisan dan utusan. Pelabur dan pihak syarikat broker mempunyai kuasa yang penuh.

Memenuhi syarat transaksi seperti suci barangnya, dapat dimanfaatkan, dapat transaksi mata wang secara jelas, jelas pelaburan dan harganya, pelabur boleh menjual sendiri atau jual melalui brokernya. (Ingatan jika transaksi tidak jelas adalah haram)

Menurut pandangan Ustaz Zaharuddin menyatakan bahawa displin Islam dalam pertukaran emas dan perak. Untuk informasi, ulama bersepakat bahawa matawang (bank note) juga adalah sama displinnya dengan emas dan perak disebabkankan nilai dan fungsinya sebagai 'medium of exchange'. Justeru setiap displin dan syarat transaksi yang melibatkan emas dan perak juga terpakai pada urusan transaksi matwang. Demikian keputusan Majlis Fiqh Antrabangsa dan juga Majlis Kewangan Islam Antarabangsa di bawah AAOIFI. Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud :

“Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata : Pertukaran antara perak dan emas adalah riba kecuali jika ia dilakukan secara serentak (serah terima dalam satu masa)". (Hadis Riwayat Muslim)

Ingatan saya kepada semua, pelaburan yang dijalankan dengan syarikat forex atau brokernya mestilah terlebih dahulu menyelidiki status syarikat, pendaftaran syarikat dan syarikat tersebut benar-benar wujud. Dalam Islam setiap transaksi atau perniagaan mestilah jelas dan memenuhi syarat perniagaan dalam Islam seperti akad, penjual, pembeli, barang yang dibeli mestilah jelas. Jika hal ini tidak dipenuhi dan diingkari, maka pelaburan forex tersebut menjadi haram.


Nasihat saya kepada semua, jika saudara rasa pelaburan ini ragu-ragu dan didapati tidak jelas, lebih baik saudara elakkan kerana ini merupakan subhah (ragu-ragu dengan status halal haramnya). Menghindari perkara yang subhah lebih baik dari melakukannya, kerana dikuatiri jatuh kepada haram. Selidikinya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk masuk, kerana dikhuatiri adanya unsur penipuan. Bagi pendapat saya lebih baik saudara melabur kemana-mana tempat yang sah dari syariat Islam dan diakui halal oleh penal syariah atau Majlis fatwa Malaysia dan kurang risikonya. Pihak yang mengurus pelaburan kita juga jelas terpangpang di depan kita, banknya atau syarikatnya wujud, jelas dan nyata.

124. Soalan : Minta ustaz jelaskan hadis ini "Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga ke atas orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat murka terhadapnya". Sekian terima kasih.

Jawapan :


Dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-banga ke atas orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT akan sangat murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga; maka pada hari kiamat dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama." (Hadis Riwayat Baihaqi)

Huraian hadis :

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa bekerja dan berusaha untuk mencari kekayaan dunia tidak di larang selagi tujuan kekayaan yang diperolehi bukan dengan tujuan bermegah-megah dan berbangga untuk mendapat nama dan pujian. Sifat bermegah-megah ini adalah sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT.

Dalam al-Quran Allah SWT melarang sifat suka bermegah-megah sebagimana firman-Nya yang bermaksud : "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu). " (Surah al-Qasas ayat 76)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Tiada akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada sifat takbur" (Hadis Riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain, dari Amr bin ‘Auf r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka. (Hadis Riwayat Bukhari)

Nafsu manusia tidak akan cukup dengan harta yang berlimpah ruah yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana tidak ada sifat bersyukur dan qanaah.

Dari Abdullah bin Zubair r.huma berkata: "Wahai manusia! Sesungguhnya Nabi SAW pernah bersabda: Kalaulah anak Adam ini diberi satu lembah daripada emas, nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang kedua. Dan sekiranya diberi lembah kedua nescaya dia berkeinginan untuk mendapatkan lembah yang ketiga. Dan sentiasa tidak akan merasa cukup perut anak Adam ini kecuali dipenuhi dengan tanah (iaitu setelah mati). Namun satu rahmat Allah terhadap hambaNya, dari mencintai harta dunia kepada mencintai Allah (Dengannya didunia ini Allah memberi ketenangan dan memelihara dari sifat tamak dan rakus dari mengumpul harta). (Hadis Riwayat Bukhari)


Sekiranya kalian mencari harta dunia dengan cara yang halal (tidak ambil riba, rasuah dan tidak menipu manusia ) bertujuan supaya kalian tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga dan supaya kalian mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga dan saudara seagama maka pada hari kiamat kalian akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajah yang bercahaya seperti bulan purnama dan akan diberikan balasan syurga. Ini adalah jaminan daripada Allah SWT.

125. Soalan : Ustaz...mohon penjelasan..apakah hukumnya amalan tabur bunga dipusara?

Jawapan :


Syaikh Ahmad Syakir (dalam syarah Sunan al-Tirmizi) berpendapat amalan menabur bunga dan meletak kalungan bunga ini diambil dari amalan masyarakat Kristian.
Pandangan ulama yang mengharuskan pula mengatakan perbuatan itu diharuskan kepada semua orang Islam. Syeikh Atiyah Saqar (iaitu seorang Mufti Lajnah Fatwa al-Azhar) berkata: “Ini adalah masalah antara golongan mengharuskan dan golongan yang menegah. Saya melihat tiada tegahan pada perkara ini selagi mana ia beriktikad (menyakini) bahawa yang memberi manfaat dan mudarat itu hanyalah Allah SWT. Apa yang kita hadiahkan kepada si mati seperti doa, sedekah dan lain-lain lagi adalah ‘min babil asbab’ semata-mata mengharapkan rahmat Allah SWT.

Justeru, perbuatan menaburkan bunga sebagai menggantikan pelepah dan ranting basah adalah harus. Bagaimanapun, jika bunga itu dibeli dengan harga mahal semata-mata untuk melakukan perbuatan itu, dibimbangi ia akan jatuh kepada haram disebabkan membazir.

Selain itu ketika menziarahi pusara, anda juga harus membaca al-Fatihah dan surah Yasin. Nabi SAW menganjurkan kita agar membaca surah Yasin bagi masyarakat Muslimin (yang akan atau sudah) meninggal dunia. Wallahua’lam.



No comments:

Post a Comment