Saturday, December 21, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 29 (Persiapan Kematian, Sifat Khauf dan Raja', Cinta Kerana Allah, Bonos ASB Dan Bacaan Tahlil)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 29 adalah menjelaskan persoalan persiapan sebelum mati, sifat khauf dan raja', cinta kerana Allah, hukum bonos ASB dan hukum baca tahlil.

141. Soalan : Sesungguhnya mati itu benar, seksa kubur itu benar, alam barzakh itu benar, alam akhirat itu benar, siratul mustakqim itu benar, syurga itu benar dan neraka itu benar. Bolehkah ustaz jelaskan kisah ulama terdahulu yang bimbang saat kematian kerana takut di akhir kalam tercabut imannya.


Jawapan :


Ingatlah bahawa kehidupan manusia ini, walau apapun yang kita buat dan ke mana kita pergi, apapun perancangan kita, akhirnya kita akan kembali kepada Allah SWT. Hakikat hidup itu ialah bagaimana kesudahan kita mati. Walau amal banyak sekalipun, nilai amal tadi ialah kalau akhir kalam kita baik, baiklah amal kita dan jika sebaliknya, kita akan menanggung kerugian yang amat besar di akhirat.


Oleh itu, jangan lalai daripada mengingati kematian, bagaimana akhir kalam kita. Orang-orang yang Muttaqin selalu fikir bagaimana keadaan dirinya ketika sakaratul maut. Mereka bimbang akan akhir kalam mereka, mereka takut tercabut iman ketika mati.


Seorang ulama sufi bernama Sufyan at-Thauri selalu menangis pada waktu malam. Kadang-kadang anak murid bimbang melihat keadaan beliau, sehingga mereka bertanya, "Wahai guru, mengapa engkau selalu menangis, sedangkan kehidupanmu penuh dengan amal soleh. Pasti Allah ampunkan dosa-dosamu."


Beliau menjawab, "Wahai muridku, aku tidak bimbang bertemu Allah dengan membawa dosa yang banyak, tetapi aku bimbang ketika hampir mati nanti, tercabut imanku ketika itu."


Begitulah ketakutan orang soleh dan para auliya di mana mereka itu tidak kagum langsung pada amal, tidak dihitung langsung amal mereka. Sebaliknya yang dihitung ialah bagaimana akhir kalam mereka nanti, samaada baik atau buruk, kerana kita dalam ilmu Allah. Kita tidak tahu bagaimana akhir kalam kita, bagaimana pandangan Tuhan ke atas kita. Malangnya kita sahaja yang rasa kita sudah baik, banyak beramal tapi bagaimana pandangan Tuhan terhadap amal, zikir dan ibadah kita?


Pandangan manusia berbeza, mungkin manusia tengok kita baik, kuat beramal dan beribadah, tapi Allah bagaimana? Dan apakah jaminan bahawa akhir kalam nanti, kita mati dalam iman atau atau tidak.


Fudail bin 'Iyadh, seorang wali Allah selalu menangis mengenangkan hal ini. Guru beliau dan khadam gurunya, yang selama ini membimbing beliau sehingga mencapai maqam kerohanian yang tinggi pun mati dalam keadaan kufur kepada Allah SWT. Apatah lagi dirinya yang belum dijamin apa-apa oleh Allah SWT. Inilah yang mencemaskan beliau.


Diceritakan ada seorang pencuri kain kapan yang ingin bertaubat di hadapan Abu Yazid al-Bustami. Maka Abu Yazid bertanya kepada orang itu, "Apakah penyebabnya maka engkau ingin bertaubat?"


Ia menjawab, "Lebih kurang seribu kuburan telah aku gali, semua muka mereka itu berpaling dari kiblat, hanya ada dua mayat yang tetap mukanya menghadap kiblat."


Maka Abu Yazid berkata, "Kasihan mereka! Kerana ragu-ragu dengan rezeki menyebabkan muka mereka berpaling dari kiblat." Yang berpaling dari kiblat itu ialah orang yang tercabut iman ketika mati kerana mereka ragu-ragu dengan jaminan rezeki daripada Allah SWT.


Ramai manusia hari ini mati dalam keadaan tercabut iman. Jangan rasa kita orang Islam, maka mati Islamlah kita. Itu adalah tipu daya Iblis untuk merosakkan manusia. Sebab itu ramai orang sibuk menghitung pahala amal mereka, tetapi mereka tidak hitung banyak mana pahala itu ditolak oleh Allah SWT, sebab dalam hatinya kotor, penuh dengan penyakit takabur, ujub dan lain-lain. Sedangkan sifat orang bertakwa itu ialah bila beribadah, mereka bimbang kalau-kalau ibadah mereka tidak diterima Allah SWT.



Oleh itu janganlah merasa selamat dengan amal yang banyak, sentiasalah muhasabah, bersihkan hati, banyak mengingati Allah, takut akan murka-Nya dan mengharapkan keampunan-Nya, moga-moga Allah mengurniakan rahmat-Nya kepada kita di akhirat nanti.

142. Soalan : Ustaz, saya ada terbaca artikel tentag hari kiamat Dan dinyatakn tanda tanda kecil kiamat telah lengkap, hanya menunggu tanda besarnya sahaja. Sejak itu, hati saya jada sangat takut...gelisah dan resah...macam-macam di fikiran saya..saya mula membayangkan keadaan saya Dan apa yang akan dilalui...tambah sedih melihat wajah anak-anak yang masih kecil..terfikir bagaimana agaknya jika mereka melalui saat-saat akhir itu...Saya cuba sedaya upaya baiki amalan saya sebagai persediaan untuk diri saya tapa hata ini tetap risau...kenapa yer ustaz? Saya tahu mengingati mati itu mulia di sisi Allah tapa saya risau perasaan tidak terkawal ini menggangu tanggungjwab saya sehari-hari....Bantu saya ustaz...


Jawapan :


Salah satu sifat orang yang beriman dan bertakwa adalah dia merasai bahawa hidup di dunia ini hanya sementara belaku dan akhiratlah tempat yang kekal abadi. Hati dan jiwanya sentiasa memikirkan kehidupan selepas mati apakah amalan yang akan dibawanya ketika berhadapan dengan Allah SWT di akhirat nanti. 


Perasaan takut inilah yang menyebabkan dia berusaha untuk membuat persiapan untuk mempersembahkan amal solehnya ketika di dunia. Selain daripada perasaan takut dia perlu ada perasaan harap dan mengharapkan keampunan dan rahmat Allah SWT. 



Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Apabila nafas (seseorang) telah sampai ke kerongkong, dan dikatakan kepadanya, "' Siapakah yang dapat menyembuhkan'. Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan dan bertaut betis kiri dan betis kanan, kepada Rabbmulah pada hari itu kamu dikembalikan." (Surah al-Qiyamah ayat 26-30).


Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali."

(Surah al-Anbiyak ayat 35)

Hidup dizaman kemajuan ICT dan dunia tanpa sempadan, kejadian mati mengejut dan mati ditimpa musibah adalah sesuatu perkara biasa. Di negara kita sendiri kematian disebabkan kemalangan jalan raya, mati disebabkan sakit jantung dan mati mengejut yang lain adalah beberapa kes kematian yang sering berlaku setiap hari.


Soalannya, apakah persiapan kita bila mati datang mengejut? Adakah kita telah membuat persiapan sekiranya saat kematian itu datang? Ketika itu apakah yang dapat kita bawa bersama sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di alam barzakh?


Terdapat tujuh amalan atau persiapan yg perlu kita lakukan sebelum ajal datang menjelma, maksudnya kita dah buat persiapan awal tanpa kita tunggu masa yg sesuai, selagi boleh kita buat kita terus melaksanakannya.

Amalan Pertama : Setiap hari hendaklah bertaubat dan beristighfar.


Rasulullah SAW. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah : "Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."


Sabda Rasulullah SAW bermaksud :"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."


Rasulullah SAW .beristigfar lebih tujuh puluh kali sehari supaya lidah dan hati sentiasa menyebut dan mengingati Allah SWT


Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka, sedang mereka meminta ampun (istighfar)”

(Surah Al-Anfal ayat 33)

Amalan Kedua : Betulkan solat kita dan cuba untuk khyusuk.


Jangan lambat-lambatkan solat bagi lelaki cuba solat berjemaah dimasjid. Solat adalah amalan yg pertama disemak di hari akhirat nanti jika solat diterima maka amalan lain juga akan diterima.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :"Berapa ramai orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu lalai dalam solatnya."


Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seorang akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Oramg yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi kata-kata pujian kepada Allah.


Daripada Abu Hurairah, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman: 'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu. Demikianlah keadaan amalan lain."

(Hadis Riwayat Tirmizi)

Amalan Ketiga selesaikan semua hutang :


Roh seorang Mukmin yang beriman atau pun roh seorang syuhada akan tergantung diantara langit dan bumi kerana hutangnya yg belum diselesaikan. Jangan tanguh-tanguh untuk membayar hutang. Apabila mempunyai wang yang cukup terus membayarnya.


Salah satu perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan. Anak-anak , isteri dan waris-waris pula tidak tahu ataupun tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut hadis org yg mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya terapung-apung dilangit dan semua amalannya tergantung.


"Dari Abi Hurairah radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah SAW maksudnya : "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.''

(Hadis Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Oleh itu tulislah satu surat wasiat dan senaraikan semua hutang-hutang yang ada lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang, serahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah (syarikat yang menguruskan wasiat) apabila mati datang mengejut urusan hutang-piutang ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya rohnya kembali kepada Allah SWT. dalam keadaan tenang tidak tergantung.


Amalan Keempat :Banyakkan sedekah jariah.


Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwaqafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewaqafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.


Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.



Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.


Mendirikan rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang memerlukannya. Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang diredhai Allah seperti mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta buku-buku pengetahuan yang berguna dan sebagainya. Amalan "waqaf" dalam Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w.

Selagi harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan semasa ia hidup dan sesudah ia mati.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang solih yang berdo'a untuknya.” 
(Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad.)

Amalan Kelima : Ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang dapat dimanfaatkan maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah al-Qur'an dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan dengannya.

Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun." (Hadis Riwayat Muslim)

Amalan Keenam : Anak yang soleh yang mendoakannya .

Anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang soleh dan sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan doa anak yang soleh kepada orang tuanya diterima Allah SWT.

Doanya itu bukan sahaja rahmat kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup atau yang telah mati, tetapi akan membawa kebaikan dan pahala yang besar kepada anak itu sendiri. Sungguh beruntung anak yang sentiasa mengingati kedua ibu bapanya dengan mendoakan mereka selepas mengerjakan solat dan semasa berada pada hari baik bulan baik atau semasa berada di tanah suci yang sangat berkat dan mustajab doa padanya.

Sebaik-baiknya berdoalah seperti berikut:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيْرًا. 

"Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

Menurut panduan al-Quran pada tiap-tiap kali seseorang itu berdoa memohon rahmat bagi dirinya ibu bapa dan kaum kerabatnya eloklah ia meluaskan doanya itu sehingga meliputi umat Islam umumnya yang hidup dan yang mati.

Sebab itu eloklah ia mengakhiri doanya dengan menyebut:

 وَلِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

"Dan ampunilah dosa-dosa orang-orang Islam lelaki dan perempuan; dan dosa orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; yang hidup dan yang mati. Dengan kelimpahan rahmat-Mu wahai Tuhan yang tidak ada taranya tentang limpahan rahmat-Nya."

Di dalam syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah SWT lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.

Firman Allah bermaksud : “Ini disebabkan doa anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).

Amalan Ketujuh : Meminta maaf kepada semua orang yang kita melakukan dosa kepada mereka.

Tidak perlu menunggu Hari Raya. Dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati orang dan mengambil hak mereka. Jika kita telah terambil hak atau barang-barang mereka maka pulangkanlah.

Anak segeralah memohon ampun kepada kedua ibu bapa. Isteri hendaklah segera memohon ampun kepada suami. Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru. Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan dosa kerana Allah SWT. tidak akan mengampunkan dosa yang dibuat sesama manusia.

Amalkanlah tujuh perkara tersebut sebagai usaha-usaha kita semasa di dunia ini supaya apabila kita bertemu Allah di alam barzakh dan hari akhirat nanti kita telah membuat sesuatu yang dapat membantu kita dan menyelamatkan kita daripada halangan dan gangguan untuk mendapat keampunan di sisi Allah SWT

Pepatah ada megatakan : "Sediakan payung sebelum hujan" untuk kita menghadapi saat kematian maka kita perlu sediakan tujuh perkara sebelum kita dipanggil pulang oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT. maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi direrdhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku” (Surah Al-Fajr ayat 27-30)

143. Soalan : Ada kawan saya beriahu saya yang kalau kita suka seseorang maknanya iman kita lemah? Betul ke tu ustaz?

Jawapan :

Kedudukan Dua Orang Yang Cinta Mencintai Kerana Allah Sesungguhnya terdapat banyak hadith Rasulullah SAW yang menerangkan kedudukan dan darjat dua manusia yang saling cinta mencintai kerana Allah. Hadis-hadis ini menggambarkan kedudukan mereka yang mulia dan tinggi yang telah disediakan oleh Allah di dalam SyurgaNya. Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja.

Hadis Nabi SAW yang bemaksud: “Mereka itu ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang membesar di dalam beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya terikat kepada masjid-masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita jelita dan cantik rupawan lalu ia berkata “aku ini takut kepada Allah”, seorang lelaki yang bersedekah melalui tangan kanannya lalu disembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengatahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seorang lelaki yang berzikir kerana Allah (yang mengingati Allah) bersunyi ( keseorangan) lalu mengalir air matanya”
( Muttafaqun alaihi)

Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ?

Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu.

Diriwiayatkan oleh Muslim didalam hadis Qudsi yang bermaksud:
“Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali nuangan-Ku”

Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah.


Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.

Jika kita mencintai seseorang dengan tujuan menjadikannya sebagai teman hidup perlulah orang yang kita cintai itu orang yang soleh, beriman dan bertakwa. Tidak mungkin cinta kerana Allah SWT kita lebih utamakan harta, wajah dan pangkatnya melebihi agamanya. Jika seseorang beragama dia memiliki segala kebaikan tetapi jika seseorang tak amalkan agama walaupun kaya dan berpangkat ianya tak bernilai di sisi Allah SWT.

144. Soalan : Ustaz. Nak tanya bonus dan dividend ASB ni boleh tak kita beri pada jemaah surau untuk buat pagar surau kerna anjing dikawasan saya tu suka tidor di varendah surau. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan :

Perbincangan simpana di ASB atau ASN telah kita bincangkan secara detail nas-nas yang dikemukankan bahawa kedua-dua amanah saham tersebut dilaburkan di dalam pelaboran tak patuh syariah. Menurut Fatwa Negeri Selangor bahawa pelaburan di dalam ASB dan ASN adalah tidak halal kerana terdapat aktiviti pelaburan yang bercampur-campur yang patuh syariah dan juga yang tidak patuh syariah.

Keputusan fatwa tersebut adalah seperti berikut : 

"Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:- 

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال

Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ” 

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang. 

Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.

2. Kalau wang haram, maka menggunakan atau memakannya adalah haram. Oleh itu wang keuntungan yang haram eloklah diserahkan kepada Baitumal, digunakan untuk kepentingan awam. 


Wallahu a'lam.

145. Soalan : Ustaz, saya nak tanya pasal majlis tahlil arwah. Ada yang kata itu adalah amalan bidaah dan tidak wajar di adakan tahlil kalau ada berlaku kematian. Betul ke?

Jawapan :

Kita sering mendengar perkataan bid'ah yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih daripada Nabi SAW. Terdapat banyak tafsiran mengenai erti bid'ah. Ada pendapat yang yang terlalu ekstrim yang menghukumkan semua perkara baru yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW adalah bid'ah yang sesat tanpa merujuk kepada kaedah usul fiqh yang terdapat dalam ajaran Islam sendiri. Hingga menyebabkan kekeliruan dan timbul perpecahan dan perselisihan pendapat yang menimbulkan ketegangan dikalangan umat Islam.

Ada beberapa pendekatan yang dilakukan oleh para ulama dalam mendefinisikan bid’ah. Perbedaan cara pendekatan para ulama disebabkan, apakah kata bid’ah selalu merujuk dengan kesesatan, atau bergantung kepada sesuatu keadaan  dalam ajaran Islam?

Hal ini disebabkan erti bid’ah secara bahasa adalah : "Sesuatu yang asing, tidak dikenal pada zaman Rasulullah SAW."  

Sehingga  pengertian bid’ah yang sesat yang dimaksudkan adalah: "Segala bentuk perbuatan atau keyakinan yang bukan dari ajaran Islam, dikesankan seolah-olah sebahagian dari ajaran Islam, seperti Ajaran Qadiyani, kaum Mu’tazilah, Qodariyah, Syi’ah, Golongan anti hadis, NGO Wanita (yang mempertikaikan poligami dan harta pusaka menurut Islam), termasuk pula kumpulan Islam Liberal dan lain-lain."

Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam sebagaimana disebutkan dalam kitab Tuhfatul akhwadzi juz 7 hal 34 menyatakan: “Apabila pengertian bid’ah ditinjau dari segi bahasa, maka terbagi menjadi lima hukum :

Haram, seperti keyakinan kaum Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani dan lain-lain.

Makruh, seperti membuat hiasan-hiasan dalam masjid.

Wajib, seperti belajar ilmu nahu bahasa arab dan tajwid

Sunnah, seperti membangun sekolah agama, maahad tahfiz  atau madrasah.

Harus, seperti bersalaman setelah solat.

Menurut Imam ‘Izzuddin, “Segala kegiatan keagamaan yang tidak terdapat pada zaman Rasulullah SAW, hukumnya bergantung pada  salah satu kaidah hukum Islam iaitu haram, makruh, wajib, sunnah, atau harus. Sebagai contoh, belajar ilmu nahu (bahasa arab)  untuk memahami ilmu syariat Islam yang wajib, maka hukum belajar ilmu nahu (bahasa arab) menjadi wajib.”.(Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal. 6-8.)

Penjelasan tentang bid’ah boleh kita ketahui dari dalil-dalil berikut :

Hadis riwayat Sayyidatina Aisyah :

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ. رواه مسلم

“Dari ‘Aisyah r.ha, dia berkata : "Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa yang melakukan suatu perbuatan yang tiada perintah kami atasnya, maka amal itu ditolak” (Hadis Sahih Riwayat Muslim).

Hadis ini sering dijadikan dalil untuk melarang semua bentuk perbuatan yang tidak pernah dilaksanakan pada masa Nabi SAW. Padahal maksud yang sebenarnya bukanlah seperti itu.

Para ulama menyatakan bahawa hadis ini sebagai larangan dalam membuat-buat hukum baru yang tidak pernah dijelaskan dalam al-Quran ataupun hadis, baik secara jelas atau isyarat,  samada dalam bentuk ibadah khusus atau hukum- hakam yang mencakupi hukum hudud, qisas dan diyat.

Oleh kerana itu, ulama membuat beberapa kriteria dalam permasalahan bid’ah ini, iaitu :

Pertama, jika perbuatan itu memiliki dasar dalil-dalil syar’i yang kuat, baik yang berbentuk juz’i (cabang) atau umum, maka bukan tergolong bid’ah. Namun jika tidak ada dalil yang dapat dibuat sandaran, maka itulah bid’ah yang dilarang.

Kedua, memperhatikan pada ajaran ulama salaf (ulama pada abad l, ll dan lll Hijrah.) dan juga ulama mazhab.  Apabila sudah diajarkan oleh mereka, atau memiliki landasan yang kuat mengikut kaedah Islam yang mereka buat, maka perbuatan itu bukan tergolong bid’ah.

Ketiga, dengan jalan qiyas. Yakni, mengukur perbuatan tersebut dengan beberapa amaliyah yang telah ada hukumnya dari nash al-Quran dan hadis. Apabila perbuatan tersebut haram, maka perbuatan baru itu tergolong bid’ah muharromah (bid'ah haram) . Apabila memiliki mirip dengan yang wajib, maka perbuatan baru itu tergolong wajib. Dan begitu seterusnya samaada sunat atau makruh. (Risalatu Ahli as-Sunnah wa al-Jama’ah hal.6-7.)

2. Hadis riwayat Ibn Mas’ud :

عَنْ عَبْدِ اللهِ ابْنِ مَسْعُوْدٍ, أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أَلاَ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ شَرَّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. رواه ابن ماجه

“Dari ‘Abdullah bin Mas’ud. Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “ Ingatlah, berhati-hatilah kalian, jangan sampai membuat hal-hal baru. Kerana perkara yang paling buruk adalah membuat hal baru . dan setiap perbuatan yang baru itu adalah bid’ah. Dan semua bid’ah itu sesat (dolalah).” (Hadis Riwayat Ibnu Majah) .

Hadis inipun sering dijadikan dasar dalam memjelaskan erti bid’ah segala perkara baru yang tidak ada pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat atau tabi’in dengan pertimbangan bahawa hadis ini menggunakan kalimat kullu (semua), yang secara lahiriahnya seolah-olah diertikan semuanya atau seluruhnya.

Namun, dalam memahami makna hadis ini, khususnya pada kalimat وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ, terdapat perbedaan pandangan pandangan di kalangan ulama.

Pertama, ulama memandang hadis ini adalah kalimat umum namun dikhususkan hanya pada sebagian saja (عام مخصوص البعض ), sehingga makna dari hadis ini adalah “bid’ah yang buruk itu sesat” .

Hal ini didasarkan pada kalimat kullu, kerana pada hakikatnya tidak semua kullu bermaksud seluruh atau semua, adakalanya ianya bermaksud kebanyakan (sebagian besar). Sebagaimana contoh-contoh berikut :

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 30 :

وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

“Dan dari air kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30) .

Meskipun ayat ini menggunakan kalimat kullu, namun tidak berarti semua makhluk hidup diciptakan dari air. Sebagaimana disebutkan dalam ayat al-Qur’an berikut ini:

وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ

“Dan Allah SWT menciptakan Jin dari percikan api yang menyala”.
(Surah ar-Rahman ayat 15.)

Begitu juga para malaikat, tidaklah Allah ciptakan dari air.

Hadis riwayat Imam Ahmad :

عَنِ الْأَشْعَرِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلُّ عَيْنٍ زَانِيَةٌ

Dari al-Asyari berkata: “ Rasulullah SAW bersabda: “ setiap mata berzina” (musnad Imam Ahmad)

Sekalipun hadis di atas menggunakan kata kullu, namun bukan bermakna keseluruhan/semua, akan tetapi bermakna sebagian, iaitu mata yang melihat kepada ajnabiyah (bukan mahram).

Kedua, ulama menetapkan sifat umum dalam kalimat kullu, namun mengarahkan pengertian bid’ah secara syar’iyah iaitu perkara baru yang tidak didapatkan di masa Rasulullah SAW, dan tidak ada sandarannya sama sekali dalam usul hukum syariat.

Telah kita ketahui bahwa perkara yang bertentangan dengan syariat baik secara umum atau isi yang terkandung di dalamnya, maka haram dan sesat. Dengan demikian, makna hadis di atas adalah setiap perkara baru yang bertentangan dengan syariat adalah sesat, bukan bererti semua perkara baru adalah sesat walaupun tidak bertentangan dengan syai’at.

Oleh karena itu, jelas sekali bahwa bukan semua yang tidak dilakukan di zaman Nabi adalah sesat. Terbukti, para sahabat juga melaksanakan atau mengadakan perbuatan yang tidak ada pada masa Rasulullah SAW. Misalnya, usaha menghimpun dan membukukan al-Quran, menyatukan jamaah tarawih di masjid, azan Jumaat dua kali dan lain-lain.

Sehingga, apabila kalimat kullu di atas diertikan keseluruhan, yang bermaksud semua hal-hal yang baru tersebut sesat dan dosa. Ini bermakna para sahabat telah melakukan kesesatan dan perbuatan dosa secara bersama.

Padahal, sejarah telah membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang pilihan yang tidak diragukan lagi keimanan dan ketakwaannya. Bahkan diantara mereka sudah dijamin sebagai penghuni syurga.

Oleh kerana itu, sungguh tidak dapat diterima akal, kalau para sahabat Nabi SAW yang begitu agung dan begitu luas pengetahuannya tentang al-Quran dan hadis  tidak mengetahuinya, apalagi tidak mengindahkan larangan Rasulullah SAW. (Mawsu’ah Yusufiyyah juz ll hal 488.)

Oleh itu dapatlah kita simpulkan bahawa bid'ah yang sesat (dolalah) adalah seperti berikut :

1. Mengambil dan menggantikan hukum-hukum  Allah SWT kepada hukum ciptaan manusia. (samaada hukum qisas, hudud dan diyat). Salah satu contoh bid'ah sesat adalah membuat tuduhan seseorang berzina dengan tidak membawa 4 orang saksi yang adil dan menggantikan dengan sumpat laknat. Sumpah laknat dalam ajaran Islam (bab tuduhan zina) hanya berlaku diantara suami dan isteri sahaja di panggil sumpah li'an.

Dalil Sumpah Li'an, firman Allah SWT maksudnya :  "Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.

Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; - Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar. (Surah an-Nuur ayat 6-9)

2. Membawa ajaran sesat yang didakwa daripada ajaran Islam seperti ajaran Qodariyah, Mu’tazilah, Syi'ah dan Qadiyani atau pun kumpulan sesat lain seperti kumpulan anti hadis, kumpulan NGO Wanita menentang poligami dan hukum faraid, kumpulan Islam Liberal dan lain-lain.  Salah satu contoh bid'ah sesat yang dibawa oleh ajaran Sy'iah adalah menghalalkan nikah mut'ah (nikah kontrak) sedangkan nikah ini sudah dimansuhkan hukumnya dan menyeksa diri semasa Hari Asyura.

3. Mengamalkan adat istiadat jahiliah yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti tolak bala dengan mandi safar, mempercayai nombor-nombor tertentu bawa sial atau bawa untung, tepung tawar dan tabur beras kunyit dalam majlis perkahwinan (adat hindu), mempercayai amalan-amalan kurafat seperti membina bangunan di kuburan , mempercayai roh orang mati boleh balik kerumah, bertawasul dimakam orang yang telah mati dan bayar nazar di kuburan dan lain-lain lagi.

Amalan-amalan berikut tidak termasuk perkara bid'ah sesat (dolalah) :

1. Membukukan kitab suci al-Quran dizaman Sayyidina Othman r.a  

2. Solat sunat tarawih Ramadan berjemaah semasa zaman Khalifah Umar al-Khattab sebanyak 20 rekaat.

3. Hukum hudud kerana minum arak di sebat sebanyak 80 kali dizaman Sayyidina Umar. (40 hukum asal dan 40 lagi hukum takzir)

4. Mengadakan majlis Maal Hijrah dan Maulidur Rasul. (Sambutan Maulidur Rasul dimulakan dizaman Sallehuddin al-Ayubi)

5. Berzikir dan berdoa secara beramai-ramai selepas solat fardu.

6. Menghadiahkan bacaan al-Quran dan berdoa untuk orang yang sudah meninggal dunia.

Berlaku perbezaan pendapat di kalangan para ulama tentang adakah sampai kepada mayat pahala bacaan Al-Quran atau zikir kepadanya ataupun tidak. Majoriti mengatakan sampai pahala tersebut.

Ibnu Hajar Al-Haitami menjelaskan di dalam Fatwa Kubranya (bab wasiat, jilid 4, m/s 20): “ Adapun berdoa untuk disampaikan seumpama pahala kepada orang lain (simati) maka tiada mengapa kerana ianya terdiri daripada perbuatan berdoa bagi saudara muslim tanpa kehadirannya (tanpa pengetahuannya). Banyak hadis-hadis yang menunjukkan di atas dimakbulkan doa ini (doa bagi saudara muslim tanpa pengetahuannya) dan selainnya. Lebih-lebih lagi, tidak terdapat larangan padanya maka tiada ada satupun alasan untuk menegahannya.”

7. Membaca talkin untuk simati dan membuat kenduri tahlil untuk mendoakan simati
Ulama di Nusantara (Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Berunai) mengatakan perkara tersebut bukan bid'ah sesat walaupun amalan tersebut tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Majlis fatwa kebangsaan tidak melarang amalan tersebut dan Majlis Fatwa Negeri Johor, Patani dan Brunei mengharuskannya amalan kenduri tahlil)

Oleh itu marilah sama-sama kita beramal denga sunah Rasulullah SAW dan meninggalkan perbuatan dan amalan bid'ah yang sesat  (dolalah). Kerana amalan yang sunnah jelas dan yang haram (bid'ah) juga jelas di antara yang halal dan haram ada amalan-amalan yang syubhah, sesiapa yang meninggalkan amalan yang syubhah bermakna dia menjaga agamanya. Semoga kita dipelihara oleh Allah SWT menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa. Golongan yang suka memecah belahkan umat dengan membidaahkan amalan umat Islam yang tak sesat adalah golongan yang suka memutuskan silaturahim dan suka memecahkan umat, hukumnya jelas berdosa besar.


Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :  "Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :" Tidak akan masuk Syurga bagi yang memutuskan silaturahim". (Hadis Riwayat Al-Imam Muslim)

No comments:

Post a Comment