Wednesday, December 25, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 32 ( Nazar, Hukum Berhias Ketika Keluar Rumah, Suara Pelat, Kenduri Kahwin Dan Sistem Wadi'ah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 32 adalah menjelaskan persoalan hukum nazar, hukum isteri berhias keluar rumah, suara pelat untuk sebut al-Fatihah, membantu kenduri kahwin dan sistem wadi'ah dalam Islam.

156. Soalan : Saya ingin minta penjelasan mngenai nazar. Bagaimanakah niat dan cara-caranya.? Terima kasih.

Jawapan : 


Makna nazar sudut bahasa ialah berjanji dengan kebajikan atau kejahatan.

Makna nazar sudut syarak pula ialah melazimkan berbuat kebajikan pada perkara yang tidak lazim.

Dalil nazar

Firman Allah SWT maksudnya : “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu”. (Surah al-Hajj ayat 29)

Rukun Nazar

1. Orang yang bernazar.

2. Pekara yang dinazarkan.

3. Ucapan yang diguna untuk bernazar.

Syarat orang yang bernazar

1. Islam, tidak sah nazar kafir, kerana kafir tidak sah berbuat kebajikan.

2. pilihan sendiri yakni tidak dipaksa, tidak sah nazar orang yang dipaksa.

3. Lulus memerentah pada benda yang dinazarkan, tidak sah dinazar seumpama menyembelih kambing oleh orang yang ditahan daripada memerantah harta dengan sabab muflis/bengkrap, bodoh, kanak kanak dan oramg gila. Syarat ini pada nazar yang melibatkan harta adapun nazar yang tidak melibatkan harta maka sah nazar orang yang muflis dan bodoh, seperti bernazar hendak berpuasa.

4. Boleh memperbuat perkara yang dinazarkan. Maka tidak sah bernazar seorang akan puasa yang dia tidak kuasa lakukan seperti puasa sepanjang hayat atau bernazar hendak mengerjakan haji pada tahun ini pada hal dia tidak sempat hendak pergi ke Mekah dengan sebab jauh atau sempit waktu.

Syarat Ucapan yang diguna untuk bernazar

*Disyaratkan pada ucapan nazar hendaklah lafas yang memberi tahu melazimkan (mewajibkan) sesuatu, seperti berkata seorang yang bernazar “Jika akan lulus pereksa akau akan puasa sehari ”. 
*Tidak sah nazar dengan diniat didalam hati, kerana nazar termasuk dalam akad maka syaratnya mesti berlafas.

Syarat perkara yang dinazarkan

*Hendaklah perkara yang dinazarkan itu kebajikan yakni taat yang mendampingkan diri kepada Allah yang tidak tertentu atasnya.

*Tidak sah nazar pada perkara yang tertentu wajib atas orang yang bernazar, seperti sembahyang fardu.

*Tidak sah nazar pada perkara maksiat seperti sembahyang dengan tidak berwuduk, minum arak dan lainnya.

*Tidak sah nazar pada perkara yang makruh seperti puasa selama lamanya bagi mereka yang takut mudarat atau takut luput hak, seperti nafkah keluarga.

*Tidak sah nazar pada perkara yang harus seperti makan, berdiri atau duduk, sama ada nazar hendak melakukan perkara yang harus itu atau tidak mahu melakukannya.

*Apabila seorang itu bernazar pada perkara yang tidak sah nazarnya nescaya dia tidak wajib membayar kafarah dengan sebab dia menyalahi dengan apa yang dinazarkan, sekalipun pada perkara yang harus.

Bahagian nazar

Nazar terbahagi dua:

Pertama. Nazar lajaj dan gadab (لجاج وغضب). Makna lajaj ialah berpanjangan pada berkelahi atau bebalah, dan makna gadab marah. Nazar ini makruh.

*Cara nazar ini ialah:

A. seorang itu bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan apabila dia melakukan perkara yang telah dia tegah atas dirinya atau orang lain daripada memperbuatnya, seperti katanya “jika aku bercakap dengan si polan nescaya wajib atas ku puasa”, atau jika si Ahmad bercakap dengan si polan nescaya wajib atas ku berpuasa.

B. atau dia bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan apabila dia tidak melakukan apa yang telah dia tetapkan diatas dirinya atau oranglain, seperti katanya “jika aku tidak bercakap dengan si polan nescaya wajib atas ku puasa, sila kias yang lain

C. atau dia bernazar mewajibkan berbuat kebajikan jika apa yang diceritakan tidak benar, seperti katanya jika aku tak boleh angkat batu ini nescaya wajib atas ku berpuasa. Nazar ini (C) untuk menguatkan berita yang dibawa.

*Wajib orang yang bernazar lajat dan gadab memilih antara melakukan apa yang dia wajibkan atas dirinya seperti puasa pada contoh di atas, atau dia membayar kafarah sumpah iaitu diberi pilih antara memerdekdkan hamba yang mukmin yang tidak ada aib yang menyebab kan tidak boleh berkerja dengan baik, atau memberi makanan kepada sepuluh orang fakir atau miskin setiap orang satu cupak dengan makanan yang mengenyangkan di negerinya atau memberi pakaian dengan mana mana pakaian seperti baju kemeja, kain sarung, baju kurung, atau sapu tangan.

Kedua. Nazar tabarrur (تبرر) ) maknanya kebajikan. Nazar ini sunat kerana (للوسائل حكم المقاصد) bagi wasilah (nazar) mengikut hukum perkara yang diqasadkan (ibadat)

*Cara nazar ini ialah:

A. seorang itu bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan dengan ketiadan taklik (pergantungan), seperti berkata seorang yang telah sembuh dari penyakitnya “wajib atas ku berpuasa kerana Allah telah memberi nikmat kepada ku iaitu Dia sembuhkan penyakit ku”, atau “wajib atas ku menyembelih kambing qurban”. Maka wajib orang itu melakukan apa yang dinazarkan itu dengan segera dan tidak ada pilihan yang lain.


B. seorang itu bernazar mewajibkan dirinya berbuat kebajikan dengan taklik iaitu mengantungkan berbuat kebajikan dengan dapat nikmat atau hilangnya bencana seperti katanya “jika sembuh aku dari penyakit ini wajib atas ku puasa”. Maka wajib orang itu melakukan apa yang dinazarkan apabila didapati sifat yang digantungkan seperti puasa pada contoh dan tiada baginya pilihan yang lain. Wallahua'lam

157. Soalan : ustaz harap pertanyaan saya ni dapat menghuraikan persoalan saya selama ni ...saya ingin tahu perhiasan yang bgiaimana di benarkan seorang isteri ketika keluar dengan suami nya .atau si isteri keluar dengan kawan-kawannya. Perlukah dia berhias ?

Jawapan :

Seorang isteri apabila dia keluar dengan suaminya atau kawan-kawan wanitanya adalah serupa saja wajib menutup aurat, tidak memakai wangi-wangian (hingga menarik perhatian orang lain), tidak boleh bersoleh berlebih-lebihan hingga dipanggil tabaruj. Tudung yang dipakai janganlah terlalu kecil dan nipis, labuhkan sedikit untuk menutup dada. Pakaian pula jangan memakai pakaian yang terlalu ketat hingga menapkan kan susuh tubuh badan. Barang perhiasan yang boleh dinampakkan hanyalah cincin sahaja sedangkan gelang tangan, subang telinga , rantai emas adalah hanya dibenarkan ditunjukkan kepada suami dan mahram dirumah saja.

158. Soalan : Saya nak tanya,jika kita mempunyai masalah suara seperti pelat @ sengau walaupun sudah berusia 22 tahun menyebabkan bacaannya dalam solat dan ketika membaca Al-Quran berbeza daripada yg sepatutnya,adakah dia mendapat pahala,solatnya sah ke tak ataupun berdosa?

Jawapan :



Bacaan fatihah bagi orang yang `pelat atau sengau ' dari asalnya dan bukan dibuat-buat tetap sah solatnya asal sahaja dia tidak melakukan kesalahan besar dalam bacaan seperti mengubah baris huruf dalam bacaan yang boleh mengubah maksud kalimah.

Kalau dia pelat sejak asalnya, dan sebutan pelatnya menyebabkan huruf yang dibaca tidak memenuhi hak-haknya iaitu tidak mengikut mahraj adalah termasuk dalam kesalahan kecil atau tersembunyi. Ini tidak membawa kepada perubahan makna atau maksud ayat. Dan kesalahan ini tidak merosakkan sembahyangnya. Sah sembahyangnya. Tidak sah berimamkan denganya jika terdapat makmum yang lebih qari daripadanya (tepat bacaan fatihahnya)

159. Soalan : Ustaz apakah hukumnya kita membantu orang kenduri kahwin tetapi pengantin tidak tutup aurut (tidak pakai tudung).?

Jawapan :



Setiap amal bergantung pada niat..pengantin tak tutup aurat itu urusan dia dengan Allah SWT...kita bantu menjayakan majlis dengan ikhlas dan tanggungjawab sebagai membantu meringankan kerja kerja di majlis tersebut,insyaAllah akan diberi ganjaran dari Allah SWT...

Di dalam majlis perkahwinan adalah berlaku tolong menolong di antara ahli keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai. Dengan pertolongan ini akan melahirkan ukhwah Islamiah dan perhubungan yang baik di dalam masyarakat. Harus kita memberikan bantuan di dalam urusan yang bukan maksiat seperti penyediaan kemah, masak memasak, memasang kerusi meja , melayan tetamu dan urusan menyediaan makanan dan basuh membasuh. Perkara lain yang melibatkan membuka aurat, persandingan dan karoke yang lari daripada garis panduan Islam itu urusan tuan rumah sendiri dan kita tak perlu melibatkan diri. Wallahua'lam

160. Soalan : Ustaz,banyak perbankan menyatakan satu bentuk simpanan berlandarkan wadi'ah.Adakah ianya benar-benar praktik syarak dalam produk wadi'ah itu?

Jawapan :

Wadiah adalah salah satu skim dalam perbankan Islam yang dikhususkan untuk urusan simpanan. pihak bank adalah pihak pemegang amanah yang kita lantik untuk menjaga wang kita simpan dalam bank berkenaan.Penyimpan akan diberikan 'hibah' atas kadar tertentu, atas budi bicara pihak bank, sebagai satu penghargaan kerana membenarkan penggunaan simpanan penyimpan oleh bank. ia berlainan dengan skim Mudharabah yang mana skim mudharabah adalah lebih khusus kepada perkongsian dari keuntungan yang pihak bank laburkan dari wang yang kita salurkan kepada pihak bank. kedua-dua skim ini atau yang lainnya dalam sistem perbankan islam yang berasaskan fiqh muamalat adalah bebas dari unsur-unsur riba'. Setiap bank yang mengamalkan sistem ini terdapat didalamnya unit syariah untuk memastikan segala urusan yang berkaitan adalah patuh syariah. Untuk memastikan perbankan ini patuh syariah perlu kepada pengauditan. Selagi tiada penemuan daripada pihak tertentu yang mengatakan sesebuah bank itu tidak patuh syariah, maka dibolehkan untuk kita menggunkan produk ini di bank-bank yang ada menawarkan skim ini. 

Demi manfaat dan untuk pencerahan kepada kalangan ahli, kita boleh bincangkan satu persatu jika tidak keberatan. Semua ini haruslah dilakukan dengan hikmah dan bijaksana untuk mencari kebenaran dan redha dari Allah. Pertamanya marilah kita sama-sama perbetulkan niat kita. Semoga Allah memberkati.

Salah satu unsur yang ada adalah skim simpanan al-Wadiah adalah hibah dan hibah itu perlu kepada ijab dan qabul. Selain daripada itu, kita juga telah fahami bahawa setiap urusan yang membabitkan pertukaran barang atau perkhidmatan adalah termasuk dalam urusan jual beli. Setiap urusan jual beli itu perlu kepada ijab dan qabul. Saya suka mengambil contoh mengenai penganugerahan tender utamanya , sesebuah syarikat dianugerahkan tender setelah pihak yang menguruskan tender bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh penender. Masing-masing pihak telah setuju dengan menandatangani dokumen tender yang disediakan. Selepas sampai fasa-fasa tertentu, pihak syarikat tersebut mendapat bayaran dari projek yang telah dilaksanakan. Persetujuan ini adalah ijab dan qabul. Sama juga dengan kita yang memakan gaji, setiap bulan kita akan mendapat gaji hasil dari perkhidmatan yang kita berikan. Syarat-syarat perkhidmatan telah pun ditandatangani di awal perlantikan sebagai kakitangan sebagai tanda kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat dan bayaran gaji yang akan diterima. Pada pandangan saya ini adalah sebahagian daripada ijab dan qabul. Kita sedia dan telah memberikan perkhidmatan dan pada akhir bulan kita akan mendapat gaji. kita terima ini sabagai ijab dan qabul walaupun ia tidak dilafazkan. Wallahua'lam.
Ramai dalam kalangan kita yang mungkin tidak berapa faham apa dimaksudkan dengan wadiah, mudhrabah dan lain-lain istilah dalam Sistem Perbankan Islam, walaupun kita sendiri mempunyai akaun, membeli kereta, rumah menggunakan kaedah tersebut. Berdasarkan bacaan dan maklumat dari bank muamalat dapatlah diringkaskan sebahagian dari istilah-istilah yang biasa digunakan.

Konsep Syariah Dalam Perbankan Islam :

Wadiah Yad Dhomanah :

Bank dianggap sebagai penjaga dan pemegang amanah dana. Pendeposit akan mendepositkan wang ke dalam akaun bank dan mengizinkan bank menggunakan wang tersebut untuk tujuan-tujuan yang tidak bertentangan dengan syara`. Pada masa yang sama, bank akan menjamin pembayaran balik kesemua amaun deposit berkenaan atau sebahagian daripada amaun belum jelas apabila pendeposit memintanya.

Mudharabah :

Pengaturan atau perjanjian di antara pemberi modal dan pengusaha projek di mana pengusaha projek boleh menggunakan dana bagi menjalankan aktiviti perniagaan beliau. Sebarang keuntungan yang diperolehi akan dibahagi di antara pemberi modal dan pengusaha projek tersebut mengikut nisbah yang telah dipersetujui, sementara kerugian akan ditanggung seluruhnya oleh pemberi modal.

Musyarakah :

Konsep ini biasanya digunapakai bagi perniagaan perkongsian atau perniagaan usaha sama untuk sesuatu perusahaan perniagaan. keuntungan yang diperolehi akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui manakala kerugian akan ditanggung berdasarkan nisbah sumbangan modal.

Murabahah :

Penjualan barangan adalah pada harga yang termasuk margin keuntungan yang dipersetujui oleh kedua pihak. Harga belian dan jualan, kos-kos lain serta margin keuntungan hendaklah dinyatakan dengan jelas semasa perjanjian jualan dilaksanakan.

Wakalah :

Peserta melantik seorang wakil untuk melaksanakan dan menjalankan transaksi bagi pihak beliau.

Bai` Bithamanin Ajil :

Penjualan barangan berasaskan pembayaran tertangguh pada harga tertentu, yang termasuk margin keuntungan yang telah dipersetujui.

Qardh Hasan :

Pinjaman yang diberikan atas semangat ihsan dan peminjam dikehendaki membayar amaun yang dipinjam sahaja. Walaubagaimanapun, peminjam atas budi bicaranya boleh membayar balik pinjaman melebihi jumlahnya (tanpa berjanji) sebagai tanda penghargaan kepada pemberi pinjam.

Ijarah Thumma Al Bai` :

Konsep ini melibatkan dua kontrak yang berasingan. Pertama ialah kontrak ijarah (sewaan) akan ditandatangani terlebih dahulu sebelum kontrak kedua iaitu Bai` (belian) dimeterai.

Bai` al-Inah :

Pembiaya menjual aset kepada pelanggan secara bayaran tertangguh, seterusnya aset berkenaan akan dibeli kembali oleh pembiaya secara tunai pada harga diskaun.

Hibah :

Hadiah yang diberikan secara sukarela.

No comments:

Post a Comment