Saturday, December 28, 2013

Tanyalah Ustaz Siri 33 (Hukum Bercinta, Meminjam Duit Ibu, Kisah Nabi Adam, Bertaubat Daripada Dosa dan Kebumikan Jenazah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 33 adalah menjelaskan persoalan hukum bercinta, meminjam duit ibu, kisah Nabi Adam a.s. bertaubat daripada dosa dan kebumikan jenazah.

161. Soalan : Adakah Islam membenarkan seorang lelaki mempunyai kekasih (bercouple) dan apakah hukumnya mereka bercinta?

Jawapan : 

Apabila kita sebut "couple" maksudnya berdua-duaan.  Berdua-duaan itu sendiri dilarang kerana menghampiri zina. Jangan menghampiri zina. Firman Allah SWT

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬ (٣٢)

"Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Surah Al-Israk: ayat 32).

Rasulullah SAW bersabda yang tercatat dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Ibnu Hibban yang bermaksud, “Jangan kamu duduk berdua-duaan dengan seorang wanita kerana sesungguhnya syaitan adalah pihak ketiga antara kamu.”

Imam Ahmad juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia berkhalwat dengan seorang wanita tanpa ada mahram wanita itu kerana syaitan akan menjadi pihak ketiga antara mereka berdua.”

Berikut pula hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud;


“Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda ‘Jangan seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali jika wanita itu ada bersama-sama mahramnya.’ Kemudian, berdiri seorang lelaki dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, isteriku telah pergi menunaikan haji, tetapi aku telah berdaftar untuk berjihad dalam peperangan.’ Rasulullah SAW berkata, "Kembali dan pergilah menunaikan haji dengan isteri kamu."

Apabila lelaki berhajat menjadikan wanita sebagai calun isteri maka di sunatkan melihatnya dan berjumpa dengan wanita yang dihajatkan itu perlulah ada mahram tak boleh jumpa seorang dengan seorang. Islam tak melarang mempunyai kekasih apabila ikut peraturan yang syarak benarkan bertujuan mendidiknya kearah calun isteri. Ramai pemuda dan pemudi yang bercinta dan melanggar garispanduan syarak sehingga sanggup melakuakan perbuatan zina hingga melahirkan anak-anak luar nikah. Itu sebab Islam cukup menjaga perhubungan lelaki dan wanita.

162. Soalan : Saya ingin bertanya, apakah hukumnya seorang anak lelaki meminjam duit ibunya dan berjanji akan membayar balik.tapi pada hakikatnya menjadi hutang bertahun-tahun dan apakah hukumnya anak lelaki tidak memberi walau sedikit pun wang kepada ibunya?dengan alasan selalu tidak ada duit.

Jawapan : 


Jika anak berhutang kepada ibunya maka tetap dikira hutang. Sekirannya ibunya telah meninggal dunia dan tak sempat nak menghalalkan hutang tersebut maka hutang tersebut akan menjadi harta pusaka yang wajib difaraidkan kepada waris-warisnya. Anak lelaki wajib membantu ibu bapanya yang susah atau miskin kerana tanggungjawab anak kepada kedua ibu bapanya. Tetapi sekiranya si anak berpendapatan kecil sedangkan ibu bapanya berharta dan mampu menyara hidupnya maka tak menjadi kesalahan si anak tak memberikan wang pada ibu bapanya,yg paling penting si anak perlu sentiasa menziarahi dan dapat meluangkan masa bersama kedua ibu bapanya kerana kasih sayang bukan hanya bergantung kepada harta tetapi kasih sayang dapat dibina apabila anak sering menziarahi dan menayakan khabar ibu bapa dikampung.

163. Soalan : Saya musykil sikit tentang perihal Nabi Adam . Adakah dia di syurga sebelum turun ke bumi ? Jika Iblis sudah dihalau keluar dari syurga gimana boleh Iblis menggoda Adam ?

Jawapan :


Setelah Nabi Adam a.s. diciptakkan dan Allah SWT menciptakan pula Hawa maka mereka berdua di tempatkan si syurga. Azazil (nama asal iblis) bukan ketua kepada para malaikat kerana ketua para malaikat adalah Jibril a.s. Azazil adalah makhluk dari kalangan jin yang paling hebat beribadah . Azazil mempunyai nafsu dan akal sedangkan malaikat mempunyai akal tetapi tidak mempunyai nafsu. Apabila selesai penciptaan Adam semua para malaikat sujud (memberi penghormatan) kepada Adam sedangkan Azazil enggan kerana walaupun hebat beribadah tetapi di dalam jiwa Azazil mempunyai sifat sombong, bongkak, takbur, ego dan bangga diri. Dia enggan sujud kepada Adam kerana merasai dia lebih mulia daripada Adam maka dengan keengkarannya dia dilaknat dan digelar sebagai iblis dan bertukar wajahnya daripada seorang hamba yang cantik dan elok rupa paras menjadi makhluk yang hodoh dan hina dina dan dihalau daripada syurga. Kesan daripada peristiwa ini iblis bersumpah akan menggoda Adam dan anak cucu cicitnya sehingga hari kiamat untuk menyesatkan mereka. Bermula godaan iblis apabila dia mempengaruhi Hawa dan Adam untuk memakan buah terlarang di syurga hingga menyebabkan Adam dan Hawa di turunkan daripada syurga ke dunia hingga sekarang semua manusia adalah bermula / berasal daripada keturunan Adam dan Hawa sehingga ke hari kiamat. Semua manusia diuji di dunia ini siapa yang baik amal solehnya, beriman dan bertakwa akan dapat mengikuti jejak bapa dan ibu kita yang pertama untuk memasuki syurga dan sesiapa yang bermaksiat dan melakukan dosa dan mengikut telunjuk iblis maka akan dimasukkan ke dalam neraka nauzubilahiminzalik.

Firman Allah SWT maksudnya : "Dan Kami berfirman:` Hai Adam, diamilah oleh kamu dan isterimu syurga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang zalim.(Surah al-Baqarah (2) ayat 35)

Allah SWT. menerangkan bahawa Dia memerintahkan kepada Adam a.s. dan isterinya menempati syurga yang telah disediakan untuk mereka. 
Mengenai syurga yang disebutkan dalam ayat ini, sebagian besar ahli tafsir mengatakan bahwa syurga yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah syurga di langit yang dijanjikan Allah SWT sebagai balasan bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Menurut ahli tafsir yang lain bahwa syurga yang tersebut dalam ayat itu adalah suatu taman, tempat Adam a.s. dan isterinya berdiam dan diberi kenikmatan hidup yang cukup. 

Dalam ayat ini Allah SWT. menerangkan bahwa Adam a.s. dan isterinya dibolehkan menikmati makanan apa saja dan di mana saja dalam syurga tersebut dengan aman dan leluasa, hanya saja Allah SWT. melarang mereka mendekati dan memakan buah suatu pohon tertentu yang hanya merupakan salah satu pohon saja di antara banyak pohon-pohon yang ada dalam syurga itu. Syaitan menamakan pohon tersebut "pohon huldi" kerana menurutnya, jika Adam a.s. dan isterinya memakan buah pohon itu, maka mereka akan dapat kekal selama-lamanya dalam syurga itu. Padahal yang sebenarnya adalah sebaliknya, iaitu, apabila ia dan isterinya memakan buah pohon itu, maka mereka akan dikeluarkan dari syurga kerana hal itu merupakan pelanggaran atau larangan Allah SWT. Jika mereka melanggar larangan itu, maka mereka termasuk golongan orang-orang yang zalim terhadap diri mereka dan akan menerima hukuman dari Allah SWT. yang akan mengakibatkan mereka kehilangan kehormatan dan kebahagiaan yang telah mereka peroleh. 

Dalam ayat ini Allah SWT. tidak menjelaskan hakikat dari pohon tersebut. Seseorang tak akan dapat menentukannya tanpa adanya suatu dalil yang pasti. Lagi pula, maksud utama dari kisah ini sudah tercapai tanpa memberikan keterangan tentang hakikat pohon tersebut. 
Akan tetapi dapat dikatakan, bahwa larangan Allah SWT, kepada Adam a.s. dan isetrinya untuk mendekati pohon itu dan memakan buahnya, tentulah berdasarkan suatu hikmah dari-Nya, iaitu merupakan suatu ujian dari Allah SWT. terhadap Adam a.s. dan isterinya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Lalu keduanya digelincirkan oleh syaitan dari syurga itu dan dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman: `Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan`.(Surah al-Baqarah 92) ayat 36)

Dalam ayat ini Allah SWT. menjelaskan, bahawa syatan telah menggoda Adam a.s. dan isterinya sehingga akhirnya mereka tergoda dan melanggar larangan Allah SWT. untuk memakan buah pohon itu. Dalam ayat lain juga disebutkan bagaimana syaitan itu membujuk Adam a.s. dan isterinya. 
Firman Allah : 

فَوَسْوَسَ إِلَيْهِ الشَّيْطَانُ قَالَ يَا آدَمُ هَلْ أَدُلُّكَ عَلَى شَجَرَةِ الْخُلْدِ وَمُلْكٍ لَا يَبْلَى (120) 

Maksudnya : "Kemudian syaitan membisikkan fikiran jahat kepadanya dengan berkata, "Hai Adam! Mahukah kamu saya tunjukkan. kepada sebuah pohon khuldi dan kerajaan yang tidak akan binasa." (Surah Taha ayat 120) 
Dan dalam firman-Nya yang lain disebutkan pula bujukan syaitan itu: 

وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِين 

Maksudnya : "Ia berkata, 'Tuhan kamu tidak melarangmu dari mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam syurga)". (Surah Al A'rafayat 20) 
Dalam melakukan godaan itu, syaitan berusaha untuk meyakinkan Adam a.s. bahawa ia benar-benar hanya memberikan nasihat yang baik dan untuk itu ia bersumpah. 

Firman Allah: 

إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ (21) 

Maksudnya : "Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua (Surah Al A'rafayat 21) 

Kerana kesalahan yang telah dilakukan Adam dan isterinya itu, maka Allah SWT. mengeluarkan mereka dari kenikmatan (dan kemuliaan yang telah mereka peroleh selama ini, lalu Allah SWT. memerintahkan supaya mereka turun dari syurga itu ke bumi. Mereka dalam keadaan bermusuhan satu dengan yang lainnya. 

Selanjutnya, Allah SWT. menerangkan bahawa mereka itu akan memperoleh tempat tinggal dan kenikmatan hidup di bumi sampai kepada ajal masing masing. Dengan demikian, tak seorang pun yang akan hidup kekal di bumi. Dan teranglah kebatalan bisikan-bisikan syaitan kepada Adam a.s. dan isterinya, bahawa dengan memakan buah pohon itu mereka akan kekal selama-lamanya di dalam syurga itu. 

Dalam ayat tersebut terdapat isyarat, bahawa dikeluarkan Adam a.s. bersama isterinya dari syurga ke bumi bukanlah untuk membinasakan mereka, melainkan agar mereka bekerja memakmurkan bumi ini dan bukanlah menjauhkan mereka dari kenikmatan hidup, sebab di bumi pun mereka tetap dikaruniai kenikmatan itu dan tidak pula untuk hidup kekal kerana suatu ketika mereka akan menemui ajal dan meninggalkan dunia yang fana ini.

164. Soalan : Ustaz, sebagai seorang guru biasa dan hamba Allah yg lemah,saya takut Dan risau kerana pastinya ada kata2 nasihat dan penyampaian ilmu yg salah disisi Islam telah diberikan kepada pelajar...adakah sahamnya dosanya Akan berterusa ustaz sehingga mati?Adakah Allah akan ampuni dosa itu?

Jawapan :



sebagai manusia biasa kita tak terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan. Sebaik-baik orang yang berdosa adalah mohon ampun kepada Allah SWT. Segala salah dan silap bukan disengajakan tidaklah menjadi satu kesalahan kerana niat kita baik dan berusaha kearah kebaikan mendidik anak-anak murid dijalan yang diredhai oleh Allah SWT. Allah SWT akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang tidak di sengajakan. Walau bagaimana pun bertaubat dan beristighfarlah setiap hari kerana Nabi SAW beristighfar 100 kali sehari.Dari Anas bin Malik ra., ia berkata : Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Allah berfirman maksudnya : “Wahai anak Adam ( manusia ), sesungguhnya selama kamu berdo’a dan mengaharap kepadaKu, Aku memberi keampunan kepadamu terhadap apa (dosa ) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampun kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adaml, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi”. (Hadis Riwayat Tarmidzi).

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : “Allah Yang Maha Mulia dan Maha Besar berfirman : “Aku menurut dugaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia ingat kepadaKu. Demi Allah, sungguh Allah lebih suka kepada taubat hambaNya dari pada salah seorang di antaramu yang menemukan barangnya yang hilang di padang. Barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sejengkal maka Aku mendekatkan diri kepadanya sehasta. Dan barangsiapa yang mendekatkan diri kepadaKu sehasta, maka Aku mendekatkan diri kepadanya satu depa. Apabila ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari kecil. (Hadis Riwayat Muslim).

165. Soalan : Jika seseorng meninggal dunia jam 9.30 pagi,dan dibawa jenazah nya balik di kampung,dan di beri mandi pada jam 5.00 petang..dan sudah dkafankan.
Soalan saya ustaz,bolehkah kta menunggu esok hari mengubur jenazah itu ustaz,di sebabkan faktor tiada pengangkutan jalan darat.boleh tak berbuat mcm itu ustaz?

Jawapan :



Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemuinya yang sesuai untuknya. 
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi )

ULASAN HADIS:

1.Hadis di atas menerangkan mengenai 3 perkara yang tidak boleh dilambat-lambatkan atau ditangguhkan iaitu apabila tiba waktu solat, hendaklah bersegera menunaikan solat, apabila jenazah telah siap dimandi dan dikafankan, hendaklah disegerakan pengebumiannya dan bagi wanita yang telah bertemu jodohnya, hendaklah disegerakan perkahwinannya.

2.Apabila bertembung antara tugasan harian dan waktu solat, hendaklah diutamakan solat tersebut. Sebagaimana kita meng’utama’kan Allah SWT didalam urusan kita, sudah pasti Allah akan mengutamakan kita.

3.Begitu juga hal yang berkaitan dengan jodoh, apabila telah sampai jodohnya, hendaklah disegerakan. Namun, bukanlah dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

4. Setiap perkara yang ditetap dan disaran oleh Allah SWT, sudah pasti ada hikmahnya. Justeru, tidak perlu berkira-kira, taat dan patuhlah atas saranannya. InsyaAllah bahagia dunia dan akhirat.

Sebaik-baiknya jika tidak ada halangan jenazah patut disegerakan. Tetapi jika ada halangan tidak ada kenderaan nak membawa jenazah ke kubur maka boleh ditangguhkan keesokan harinya.

Kenapa perlu di segerakan jenazah? Tentu ada sebab-sebabnya. Sabda Rasulullah SAW :

أسرعوا بالجنازة فإن تك صالحة فخير تقدمونها إليه وإن تك سوى ذلك فشر تضعونه عن رقبكم 

Maksudnya : "Hendaklah kamu segera mengkebumikan jenazah(mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkok kamu". (Muttafaq )

No comments:

Post a Comment