Saturday, January 4, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 38 (Kisah Nabi Isa , Hadis Palsu, Ciri-ciri Ahli Syurga, Ciri-ciri Ahli Neraka dan Hukm Faraid)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 38 adalah menjelaskan persoalan kisah Nabi Isa a.s, hadis palsu daripada Syiah, ciri-ciri ahli syurga, ciri-ciri ahli neraka dan hukum faraid.

186. Soalan : 1. Seorang saudara baru bertanya pada saya," Jika benar Nabi Isa a.s. masih hidup, adakah dia akan turun pada akhir zaman dan mengadili umat manusia mengikut Syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.? Apakah bukti-buktinya? Dan bagaimanakah kita mahu membuktikan kesilapan dakwaan orang Kristian yang menolak bahawa baginda akan turun atau akan mengadili manusia? " Boleh ustaz memberi huraiannya.

Jawapan :

1. Nabi Allah Isa a.s., anak Maryam akan turun di akhir zaman dan akan mengadili umat manusia mengikut Syariat yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad SAW. Baginda akan menghancurkan salib-salib, membunuh babi/khinzir (kerana Nabi Isa as mengharamkan babi kepada umatnya)..Baginda tidak akan menerima lagi jizyah (bayaran yang dibayar oleh orang kafir yang tinggal di negara Islam, kerana mereka mahu kekal dalam agama asal mereka).Dia hanya akan menerima Islam sebagai agama bagi semua orang.Firman Allah Taala yang bermaksud:"Tiada seorang pun daripada ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya.Dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka." (Surah an-Nisa (4) ayat 159)

Allah telah menyatakan di dalam Al-Quran bahawa semua ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani, akan beriman kepada Isa bin Maryam a.s sebelum kematiannya, iaitu sebelum kematian Nabi Isa a.s. Itu hanya akan berlaku pada akhir zaman di mana dia akan diturunkan sebagai hakim yang adil dan penyeru kearah Islam, sebagaimana yang akan disebutkan dalam hadis-hadis berikut yang menceritakan akan kedatangannya itu. 

Ayat di atas juga menerangkan pendirian sebenar golongan Yahudi terhadap Nabi Isa a.s dan konspirasi jahat mereka terhadapnya. Ia juga menunjukkan bagaimana Allah menyelamatkan Nabi Isa a.s dan menggagalkan segala tipudaya musuh-musuhnya.Kedua-dua gantinama di dalam ayat di atas i.e. 'beriman kepada'nya' sebelum kematian'nya' adalah merujuk kepada Nabi Isa a.s seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat yang sebelumnya.Hadis-hadis sahih yang mutawatir (hadis yang diriwayatkan dalam berbilang sanad, oleh bilangan perawi yang ramai sehingga kesahihannya tidak dapat disangkal lagi) membuktikan bahawa Allah telah mengangkat Nabi Isa a.s ke langit. Mereka juga menyebut bahawa Nabi Isa a.s akan turun pada akhir zaman sebagai hakim yang adil dan akan membunuh mereka yang menentang ajarannya (Anti-'Isa). 

Ulama menjelaskan selepas menyebut beberapa sanad hadis yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s telah diangkat ke langit dan akan diturunkan pada akhir zaman-, " Hadis-hadis ini adalah mutawatir daripada Nabi Muhammad SAW. Ia telah diriwayatkan dari Abu Hurairah,Ibnu Mas'ud,'Uthman ibn Abu Al-As, Abu Umama, Al-Nawas ibn Samaan, Abdullah ibn Amr ibn Al-As, dan Hudahifah ibn Usaid r.a. Hadith-hadith ini juga menerangkan tanda-tanda bagaimana dan dimana Nabi Isa a.s akan diturunkan. 

Antaranya,dari Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:" Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya telah dekat masanya Isa anak Maryam akan turun ditengah-tengah kamu sebagai hakim yang adil. Dia akan menghancurkan salib-salib, membunuh babi/khinzir dan mengharamkan jizyah. Dan kekayaan akan melimpah ruah sehingga tiada seorang pun mahu menerimanya." Kemudian Abu Hurairah r.a berkata:"Jika kamu suka bacalah:"Tiada seorang pun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya (Isa) sebelum kematiannya. Dan di Hari Kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka." Surah An-Nisa' (4) ayat159 [Sahih Bukhari & Muslim]

Dalam riwayat lain dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: "Bagaimanakah kamu, bila anak Maryam turun di tengah-tengah kamu dan pemimpin kamu adalah dari kalangan kamu sendiri?" [Sahih Bukhari & Muslim]. Dalam hadis sahih yang lain, dari Jabir ibn Abdullah bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda;" Akan sentiasa ada sehingga hari Kiamat segolongan umatku yang berjuang menegakkan kebenaran dan mereka pasti menang." Sabda Rasulullah SAW selanjutnya," Nabi Isa a.s akan turun di tengah-tengah mereka, lalu pemimpin mereka berkata (kepada Isa a.s)," Ayuhlah engkau menjadi pemimpin dan imam solat kami." Jawab Nabi Isa a.s, "Tidak! Allah telah memuliakan umat kamu dengan menjadikan sebahagian kamu sebagai pemimpin kepada ummat yang lain." [Hadis Sahih Riwayat Muslim]. 

Hadis-hadis tersebut membuktikan bahawa Nabi Isa a.s akan turun pada akhir zaman dan akan mengadili umat manusia mengikut Syariat Nabi kita Muhammad SAW. Ia juga menunjukkan tanpa sangsi bahawa sesunguhnya akan ada seorang imam/ketua bagi seluruh umat manusia pada masa itu. Pada masa yang sama, tiada percanggahan antara turunnya Nabi Isa a.s dan hakikat Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul yang terakhir. Ini adalah kerana Nabi Isa a.s tidak membawa syariat yang baru. Segala undang-undang adalah milik Allah, awal dan akhir.Dia berkuasa melaksanakan apa yang dikehendakiNya dan memerintah mengikut iradat/kehendakNya. Tiada siapa yang boleh menolak perintahNya . Dia yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. 

(Jawapan oleh Lajnah Tetap, Fataawaa Islamiyah, Jilid 1, m/s 141 )

187. Soalan :  Ada hadis mengatakan," Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya." adakah hadis ini hadis palsu atau hadis sahih?

Jawapan : 

Hadis mengatakan," Aku adalah kota ilmu dan Ali adalah pintunya." adakah hadis ini hadis palsu atau hadis sahih? . Ini adalah hadis palsu yang direka oleh golongan Syiah yang hendak mengagongkan Saidina Ali dan menolak kelebihan sahabat-sahabat yang lain. Syiah mendakwa, dengan berdalil dengan ‘hadis’ ini , bahawa pendapat mereka adalah benar; iaitu bahawa ‘Ali adalah pintu ilmu, oleh itu sesiapa yang ingin memasuki rumah, maka wajiblah melalui pintunya dan –kata mereka- satu-satunya pintu itu adalah ‘Ali, sehingga sekiranya tidak melalui pintu tersebut, maka tidak sah.

Memang tidak diragukan bahawa ‘Ali merupakan seorang yang berpengetahuan tinggi di kalangan para shahabat dan memiliki banyak keutamaan. Tetapi keutamaan itu tidaklah sepatutnya dilebih-lebihkan sebegitu rupa sehingga diangkat setaraf dengan nabi SAW bersifat maksum dan tidak melakukan kesalahan langsung.Teks Hadis

أَنَا مَدِيْنَةُ اْلعِلْمِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا

“Aku (Rasulullah) adalah kota ilmu dan ‘Ali adalah pintunya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tirmizy dari hadis ‘Ali dan katanya , “Hadis Munkar.” Hadis ini juga ditolak oleh al-Bukhary. Imam az-Zahaby berkata, “Ianya hadis Maudu’ (Palsu).”

Ad-Daruquthni berkata, “Tidak sah.”

Ibn Daqiq al-Ied berkata, “Mereka (ulama hadis) tidak menilainya sebagai sah.” Bahkan Ibn al-Jauzi memasukkannya di dalam kitabnya al-Mawdhuu’aat (kitab yang khusus mengumpulkan hadits-hadits Maudhu’).

Pendapat Syaikh Muhammad Luthfi Ash-Shabbaagh, Penahqiq (Peneliti) Buka:ad-Durar al-Muntatsiarah Fi al-Ahaadiits al-Masyhuurah karya Imam as-Suyuthi, tahqiq, Syaikh Muhammad Luthfy ash-Shhabbaagh, h.70, hadis no.38)

Hadis ini MAUDHU’ (PALSU), untuk keterangan lanjut sila rujuk :

- al-Maqaashid al-Hasanah karya as-Sakhawi, h.97
- TamyÎz ath-Thayyib Min al-Khabiits… karya Ibn ad-Dubai’, h.33
- Kasyf al-Khafaa` karya al-‘Ajluni, Jld.I, h.203
- Al-Mawdluu’aat karya Ibn al-Jawzi, Jld.I, h.439at. Imam Tirmizi mengatakan, “Hadits Gharib Munkar.” 
Ath-Thibi mengatakan, “Orang-orang Syiah nampaknya berpegang pada perumpamaan ini iaitu bahawa, mengambil ilmu dan hikmah dari beliau SAW. adalah khusus buat ‘Ali, tidak seorang pun boleh melakukannya kecuali melalui perantaraannya kerana memasuki rumah hanya boleh dari pintunya di mana Allah berfirman, ‘Dan masukilah rumah-rumah tersebut dari pintu-pintunya.’ Padahal sebenarnya itu sama sekali tidak dapat menjadi hujjah bagi mereka kerana Daar al-Jannah (Rumah syurga) sendiri tidak seluas Daar (rumah) hikmah, Dalam keadaan itu pun , ia ( Darul al-Jannah) memiliki 8 pintu.” (Maksudnya, dari arah mana saja dari kelapan-lapan pintu itu boleh dimasuki, tidak semestinya satu pintu sebagaimana dakwaan Syiah tersebut-Penyunting ).

Al-Qaari mengatakan, “Ali adalah salah satu dari pintu-pintunya (pintu hikmah). Akan tetapi adanya pengkhususan itu mengisyaratkan penghormatan kepadanya di mana beliau r.a. memang mempunyai kedudukan yang tinggi bila dibanding dengan sebahagian sahabat dari sisi keagungan dan ilmu. Di antara hal yang menunjukkan bahawa kedudukan para sahabat mempunyai kelibihan masing-masing. Sebagai bukti, para Tabi’in juga mengambil ilmu-ilmu syari’at seperti bacaan, tafsir, hadis, fiqih dari para sahabat lain selain ‘Ali. Dengan itu, dapat diketahui bahawa pintu itu tidak khusus milik Ali r.a. sahaja, kecuali dalam satu pintu, iaitu masalah qada’ sebab memang ada hadis mengenai dirinya dalam hal itu, yang berbunyi, ‘Ia (‘Ali) adalah orang yang paling mengerti mengenai qada' di antara kamu.’ Sama seperti yang dikatakan kepada Ubay bahawa dia adalah ‘orang yang paling bagus bacaannya di antara kamu' , Zaid bin Tsabit sebagai yang ‘paling mengerti masalah faraidh di antara kamu’ dan Mu’adz bin Jabal sebagai yang ‘paling mengerti masalah halal dan haram di antara kamu.’ ”

Dan hal ini sesuai dengan makna hadis sahih yang diriwayatkan Muslim, isinya, ‘Bintang-gemintang adalah amanah langit, bila bintang-gemintang itu hilang maka akan datanglah apa yang dijanjikan kepada ahli langit.’ Pendapat al-Baihaqi ini didukung oleh Ibn Hajar sekali pun beliau menegaskan bahawa makna zahir hadis yang ada di dalam Sahih Muslim itu (hanya) berbicara tentang fitnah yang akan terjadi setelah berakhirnya masa sahabat, iaitu dengan munculnya berbagai bid’ah dan perbuatan-perbuatan keji di seluruh muka bumi.” 
(Lihat, Tuhfah al-Ahwadzi Syarh Sunan at-Turmudzy karya al-Mubaarakfuri, berkaitan dengan syarah hadis di atas)

Kesimpulan:

a) Hadis tersebut adalah MAUDHU’ sebagaimana yang dianalisa oleh Syaikh Muhammad Luthfi ash-Shabbaagh.

b) ‘Ali r.a. memang memiliki kedudukan lebih dari sebahagian sahabat dari sisi keagungan dan ilmu, tetapi tidak boleh dikatakan bahawa oleh sebab itu, beliaulah satu-satunya pintu ilmu, apalagi dengan dakwaan hal itu telah dikhususkan oleh Nabi SAW kepadanya. Tambahan pula, hujjahnya bersandarkan kepada hadis Maudhu di atas, Wallahu a’lam.

188. Soalan : Apakah ciri-ciri ahli syurga yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW?

Jawapan : 

Ciri-ciri ahli syurga : Terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah SWT menyediakan syurga seluas langit dan bumi untak hamba-hamba-Nya yang memenuhi beberapa ciri-ciri mulia yang dinyatakan sendiri oleh Allah SWT. Kita perlulah berdoa kepada Allah SWT semoga dipilih oleh-Nya untuk memasuki syurga . 

Terdapat 13 ciri-ciri ahli syurga :

Pertama. Untuk orang yang bertakwa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Dan bersegeralah kamu semua menuju keampunan daripada Tuhanmu dan juga menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang bertakwa’. (Surah Ali ‘Imran, ayat 133).

Kedua : Untuk orang yang mendapat keampunan Allah SWT dan yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya.

Firman Allah SWT maksudnya : "Berlumba-lumbalah kamu untuk mendapatkan ampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya." (Surah al-Hadid ayat 21)

Ketiga : Untuk orang-orang beriman dan beramal soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka syurga-syurga sebagai tempat mereka kembali’. (Surah al Sajdah, ayat 19).

Keempat : Untuk orang takut kepada Allah dan tidak mengikut hawa nafsu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "dan adapun orang yang takutkan kedudukan Tuhannya dan menahan kemahuan dirinya daripada mengikut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurga adalah tempat kembali baginya" (Surah al-Naazi'at ayat 40)

Kelima : Untuk orang yang bertaubat dan beramal soleh. 

Di dalam surah Ghafir, Allah SWT menceritakan tentang doa yang dipohon oleh malaikat kepada orang-orang yang beriman maksudnya : "Wahai Tuhan kami, Engkau meliputi semua perkara dengan rahmatMu dan ilmuMu. Maka ampunkanlah orang-orang yang bertaubat dan mengikut jalanMu dan jauhilah mereka daripada azab neraka. Wahai Tuhan kami, masukkanlah mereka ke dalam syurga-syurga Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan kepada orang-orang yang soleh dari kalangan bapa-bapa mereka, isteri-isteri mereka dan zuriat mereka. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana" (Surah Ghafir ayat 7-8) 

Keenam : Untuk orang mukmin yang mengikuti cara kehidupan sahabat-sahabat Rasulullah SAW iaitu Muhajirin dan Ansar. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan orang-orang yang terdahulu daripada kalangan Muhajirin dan Ansor dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah telah reda kepada mereka dan mereka juga telah reda kepada Allah. Dan Allah telah sediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kejayaan yang besar" (Surah al-Taubah ayat 100)

Ketujuh : Orang yang menyeru kepada kebaikan dan mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka (orang-orang kafir) mengajak ke neraka, sedang Allah menyeru (manusia) ke syurga dan keampunan dengan izinNya". (Surah al-Baqarah ayat 221)

Kelapan : Orang yang berjaya dipilih oleh Allah SWT untuk dijauhkan daripada neraka (menjauhkan diri daripada dosa-dosa besar dan kecil). 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangsiapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya". (Surah Ali Imran ayat 185)

Kesembilan : Orang yang infak dan bersedekah hartanya di jalan Allah SWT dan berjihad di jalan-Nya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan mereka syurga. Mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janji selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar".(Surah at-Taubah ayat 111)

Kesepuluh : Orang yang berbahagia (diampunkan dosa-dosanya dan mendapat rahmat Allah SWT) di sisi Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adapun orang yang berbahagia (di akhirat) maka tempatnya di dalam syurga". (Surah Hud ayat 108)

Kesebelas : Orang yang berhikmah (berilmu) dan beramal soleh. 

Nabi Ibrahim a.s berdoa kepada Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah aku bahan percakapan yang baik bagi orang-orang yang datang kemudian. Dan jadikanlah aku di kalangan orang-orang yang mempusakai syurga yang penuh kenikmatan". (Surah asy-Syu'ara ayat 83-85)

Kedua belas : Orang yang sabar ketika berhadapan dengan orang yang zalim. 

Di dalam surah al Tahrim, ayat 11 tendapat doa isteri Firaun yang solehah. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Allah menjadikan isteri Firaun sebagai perumpamaan bagi orang-orang yang beriman. Ketika ia berkata: 'Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisiMu di dalam syurga. Dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim'.". (Surah at-Tahrim ayat 11)

Ketiga belas : Orang yang memiliki jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah)

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu".(Surah al-Fajr ayat 30)

189. Soalan : Apakah ciri-ciri ahli neraka yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadis Nabi SAW?

Jawapan : 

Ciri-ciri ahli neraka :

Terdapat beberapa hadis menceritakan sifat-sifat / ciri-ciri ahli neraka. 

1. Dalam hadis yang diriwayatkan Tirmidzi dan Ibnu Majah, Abu Hurairah menceritakan apabila Rasulullah SAW ditanya sebab terbesar yang membawa seseorang masuk syurga, Rasulullah menjawab: “Takwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” Apabila ditanya pula sebab terbesar yang membawa manusia masuk neraka, maka Rasulullah menjawab, “Dua rongga badan iaitu mulut dan kemaluan.” 

Mulut yang jahat dan kemaluan yang suka berzina adalah 2 perkara yang membawa ramai manusia ke neraka. 

2. Dari sahabat Abu Hurairah radiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam telah bersabda : "Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian." 

Lalu (sahabat) bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" 

Lalu baginda menjawab, "Menyekutukan Allah, bakhil (kikir), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasai). 

3. Dari Iyadh bin Himar... r.a, bahawa sesungguhnya didalam khutbahnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Ahli syurga ada 3 golongan, iaitu para penguasa yang menggunakan kekuasaannya untuk keadilan dan kebenaran, seseorang yang penyayang dan lembut hatinya kepada siapa saja dan orang muslim yang menjaga diri dari kemaksiatan. Sedangkan ahli neraka ada lima golongan iaitu:

 i. Orang lemah yang tidak peduli sesamanya, 

ii. Para pengkhianat, 

iii.Penipu yang memperdaya keluarga dan harta orang lain, 

iv. Kikir dan 

v. Pendusta, serta orang yang berakhlak tercela” 

(Hadis Riwayat Muslim)

4. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud : "Dua golongan di kalangan ahli neraka yang tidakkan aku pandang iaitu kaum yang bersama mereka cemeti seperti ekor lembu yang dengannya digunakan memukul orang lain dan wanita-wanita yang berpakaian bagaikan bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk membuat maksiat. Sanggul dikepala mereka ditusuk tinggi-tinggi seperti bonggol unta yang sangat lemah. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya sedangkan sesungguhnya bau syurga itu sudah boleh dicium dari jarak demikian dan demikian." (Hadis Riwayat Muslim). Hadis ini menjelaskan ahli nerka adalah pemimpin yang zalim dan wanita yang tak menutup aurat.

5. Dalam sebuah kisah ketika Rasulullah SAW dan para sahabatnya melakukan solat gerhana, Rasulullah SAW melihat syurga dan neraka.

Ketika beliau melihat neraka baginda bersabda kepada para sahabatnya , “ … dan aku melihat neraka maka tidak pernah aku melihat pemandangan seperti ini sama sekali, aku melihat kebanyakan penduduknya adalah kaum wanita. Sahabat pun bertanya, “Mengapa (demikian) wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Kerana kekufuran mereka.”

Kemudian ditanya lagi, “Apakah mereka kufur kepada Allah?” Baginda menjawab, “Mereka kufur terhadap suami-suami mereka, kufur terhadap kebaikan-kebaikannya. Kalaulah engkau berbuat baik kepada salah seorang di antara mereka selama waktu yang panjang kemudian dia melihat sesuatu pada dirimu (yang tidak dia sukai) nescaya dia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sedikitpun kebaikan pada dirimu.’ ” ( Hadis Riwayat al-Bukhari)

Salah satu ahli neraka adalah wanita yang derhaka kepada suaminya dan tidak bersyukur terhadap rezeki yang dimiliki oleh suaminya.

190. Soalan : Ustaz. seorang ibu yg mempunyai 7 orang anak telah memberikan tanah pusaka kepada 5 orang anak-anaknya, tetapi tidak memberikan langsung tanah pusaka tersebut kepada 2 orang lagi anak lelakinya, dengan alasan anak-anak lelaki tersebut sudah pun mempunyai tanah sendiri hasil pemberian orang tertentu. Adakah berdosa ibu tersebut kerana tidak mengikut hukum faraid serta cara dia menghibahkan hartanya tidak adil kepada anak-anaknya. Mohon penjelasan ustaz. Terimakasih.

Jawapan : 

Jika tanah pusaka itu berasal daripada arwah suaminya maka si ibu tak boleh bertindak suka-suka memberikan tanah tersebut secara hibah kepada nak-anaknya. Perlu diberikan secara hukum faraid. isteri hanya mendapat 1/8 bahagian dan selebihnya untuk anak-anak lelaki dan perempuan (bahagian anak lelaki 2 bahagian berbanding anak perempuan). Jika tanah tersebut telah menjadi milik si ibu maka pemberian kepada anak-anak di panggil hibah (hadiah), dan tidak sepatutnya si ibu berlaku tak adil kepada anak-anaknya bila memberikan tanah secara hibah.

Sikap pilih kasih di antara anak-anak dalam pemberian (yakni sama ada memberi kepada anak tertentu sahaja atau melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain) adalah dilarang oleh Syarak. Rasulullah SAW. bersabda di dalam sebuah hadis;

اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ

“Berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai dari an-Nu’man bin Basyir r.a.. Menurut asy-Syaukani; para perawi hadis ini adalah tsiqah kecuali al-Mufadhdhal bin al-Mihlab di mana ia adalah shaduq. Lihat; Nailul-Autar)

An-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan; bapanya telah membawanya bertemu Rasulullah SAW. dan berkata kepada baginda; “Sesungguhnya aku telah menghadiahkan anakku ini seorang hamba milikku”. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya; “Apakah kepada semua anak kamu kamu beri hadiah serupa?”. Jawabnya; “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda kepadanya; “Ambillah kembali hadiah itu”. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Ada ulamak mentafsirkan larangan di dalam hadis di atas sebagai haram, antaranya Imam Tawus, as-Sauri, Ahmad, Ishaq dan sebahagian ulamak mazhab Maliki. Bagi mereka menyama-ratakan antara anak-anak dalam hibah atau pemberian adalah wajib. Tidak harus mengkhusus sebahagian mereka dari sebahagian yang lain atau melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain. Ada juga ulamak yang mentafsirkannya sebagai larangan makruh sahaja antaranya Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Kesimpulannya, bersikap pilih kasih dalam pemberian kepada anak-anak sekurang-kurang hukumnya adalah makruh iaitu dibenci oleh agama. Hal ini telah menjadi ijmak para ulamak.

Jika perbuatan tersebut telah dilakukan, apakah wajib ditarik balik hibah/pemberian yang telah diberikan kepada sebahagian anak itu? Menurut Imam Ahmad; wajib ditarik balik hibah atau pemberian itu (yakni di sisi Imam Ahmad; hibah tersebut adalah batal). Namun Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Malik berpandangan; tidak wajib ditarik balik. (Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah).

Wallahu a’lam.

1 comment:

  1. Assalammualaikum ustaz.. Maaf saya ingin bertanya.. Suami pada nafkah sangat cukup.. Tetapi kepada nafkah pakaian dan lain2 kepada isteri kurang sempurna bahkan si isteri tiada pakaian yg sesuai untuk dipakai kerana perubahan saiz isteri berubah..sedangkan isteri telah meminta suami untuk membeli pakaian baru supaya lebih selesa dan lebih sopan jika memakai. Tetapi tiada jawapan.. Termasuk juga tentag nafkah batin.kepada isteri yang sering menolak ajakan dengan alasan kepenatan apakah hukum kedua perkara ini ustaz? Sila berikan jawapan

    ReplyDelete