Saturday, January 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 44 ( Hukum Wanita Hantar Jenazah, Najis Mughalazah, Tidak Jujur Semasa Kerja, Khusyuk Dalam Solat Dan Permulaan Surah At-Taubah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 44 adalah menjelaskan persoalan wanita hantar jenazah ke kubur, membasuh najis mughalazah, tidak jujur dalam semasa bekerja, khusyuk dalam solat dan surah al-Taubah tidak dimulakan dengan basmallah.

216. Soalan : Saya ada ingin memohon penjelasan berkenaan perkara berikut:

1. Apakah hukumnya jika balu meninggalkan rumah untuk menghantar jenazah suaminya ke kubur? Berlaku 2 situasi di mana:
- balu keluar dari rumah di mana tempoh idddah telah bermula pada masa itu
- balu turut ikut sama menghantar jenazah ke kubur

2. Benarkah pengurusan jenazah seperti memandikan dan mengkafan jenazah tidak boleh dilakukan di masjid walaupun masjid tersebut mempunyai kemudahan pengurusan jenazah? Adakah ianya wajib dilakukan di rumah?

Terima kasih.

Jawapan :

 Wanita yang sedang iddah perlu mematuhi beberapa syarat di antaranya ialah :

1. Wanita yang berada dalam iddah, tidak boleh dipinang atau bertunang.

2. Wanita dalam idah tidak boleh dikahwinkan atau bernikah, kerana dikuatiri bercampur benih suami lama dan suami yang baru dan memastikan rahim wanita tersebut benar-benar bersih dari benih suami yang lama dahulu.

3. Wanita dalam idah tidak dibenarkan memakai hiasan atau pakaian yang cantik. Tujuannya adalah untuk mengelakkan wanita iddah ini diperhatikan oleh lelaki lain atau dijadikan buruan lelaki lain dan untuk mengelakkan wanita ini dipinang atau dikahwini semasa iddah. Hal ini juga bertujuan untuk mengelakkan dari timbulnya fitnah orang akan wanita iddah tersebut. Wanita tersebut hanya berpakaian yang menutup aurat dan pakaian tersebut tidak menampakkan wanita tersebut cantik dan bergaya.

4. Wanita idah tidak dibenarkan keluar rumah atau tidur di rumah bukan kebiasaannya. Jika wanita yang diceraikan suaminya dilarang menghalau atau mengusir isterinya keluar dari rumahnya. Tidak mengapa wanita iddah tinggal di rumah ibu bapanya atau mertuanya, kerana ini merupakan kebiasaannya. Tetapi beza bagi wanita iddah yang mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan seperti berlakunya musibah banjir, rumah runtuh, kebakaran dan seumpamanya, maka dibolehkannya berpindah ke rumah lain.

5. Wanita iddah tidak boleh keluar rumah tanpa tujuan atau keperluan. Hal ini adalah bertujuan untuk mengelakkan dari timbulnya fitnah orang sekelilingnya. Beza bagi wanita iddah yang tiada saudara maranya dan dia terpaksa keluar rumah untuk mencari keperluan hidupnya seperti bekerja, mencari rezeki, keluar membeli barang keperluan dapur dan sebagainya. Tetapi keluar hanya mencari barangan keperluan sahaja, setelah selesai membeli barang atau setelah waktu kerja, maka dia perlu bersegera pulang ke rumahnya. 

Kesimpulannya : Berdasarkan pertanyaan di atas isteri pergi menghantar jenazah suami merupakan perkara yang tidak penting dan doa isteri tersebut boleh melalui rumahnya dan doa tersebut tetap sampai kepada suaminya walaupun jauh. Perkara ini tidak penting sepertimana mencari rezeki atau keluar membeli barang keperluan. Menurut kesimpulan saya lebih baiklah isteri tidak menyertai upacara pengebumian suaminya, kerana untuk mengelakkan dari berdosa dan timbulnya fitnah.

Sebaik-baik urusan mandi dan kafankan jenazah dirumah sendiri. Sekiranya di masjid sudah ada kemudahan bilik mandi mayat maka tidak menjadi kesalahan uruskan jenazah di masjid. Wallahu a'lam

217. Soalan : Ustaz...saya ingin bertanya kalau tersentuh atau pegang bungkusan yang mengandungi daging babi, bagaimana cara mencuci tangan? Kawan saya bekerja sebagai packer di supermarket.?

Jawapan : 

Jika kita pasti tangan kita terkena daging babi tersebut (bungkusan yang basah kerana membungkus daging babi tersebut) maka tangan tersebut hendaklah di sertu iaitu dibasuh dengan 7 kali air basuhan dan air partama bercampur tanah. (Membasuh najis mughalazah iaitu najis daging babi sama dengan najis jilatan anjing) . Menerusi tariq Ibn `Aliyyah daripada Hisham daripada Ibn Sirin daripada Abu Hurayrah, cara menyucikan bekas yang terkena jilatan anjing ialah dibasuh dengan tujuh kali, di mana kali pertamanya ialah dengan tanah. [Musannaf Ibn Abi Shaybah, no. hadith 209, j. 1, h. 200].

Sebaik-baik pekerjaan adalah tidak melibatkan perkara haram seperti jual beli daging babi, arak , urusniaga riba atau judi. Berbincanglah dengan rakan puan supaya beliau berbincang dengan majikannya supaya bertugas dibahagian yang tidak melibatkan barangan haram darisegi hukum Islam.

278. Soalan : Ustaz.,saya nak tanya satu solan...kita berkerja dalam sebuah syarikat, pengurus syarikat kita jalannya tak betul atau jujur dan tak bertanggungjawab contohnya staf tahu tapi kita tak melaporkan pada majikan...adakah staf-staf ini di anggap bersubahat ? Apa hukumnya dalam Islam. Terima kasih.

Jawapan : 

Sifat jujur dan amanah adalah sifat orang mukmin. Tugas yang di amanahkan perlulah diberikan dengan baik dan sempurna kerana kita telah diberikan gaji atau upah di atas kerja-kerja yang kita laksanakan. Jika berlaku penyelewengan di antara staf maka staf yang lain perlu membuat lapuran kepada majikan demi menjaga kepentingan syarikat, jika mereka membiarkan kesalahan tersebut maka mereka akan berdosa dan di anggap tidak amanah. Tegakkanlah yang hak dan kebenaran biar pun orang tidak suka pada kita kerana kita akan ditanya di akhirat nanti di atas sikap tidak bertanggungjawab yang telah kita lakukan.

279. Soalan : Ustaz, agak sukar untuk mendapatkan kekhusyukan dalam solat...pasti ada sahaja yang mengganggu fikiran..adakah ini yang Allah sebutkan solat orang yang lalai ustaz?Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan : 

Tidak khusyuk kerana hati tidak fokus kepada Allah SWT kerana banyak urusan dunia datang ketika solat. Jika hati fokus dan yakin kepada Allah SWT, kosongkan fikiran terhadap permasalahan dunia maka hati akan lebih tenang dan damai. Sebenarnya untuk mendapat khusyuk dalam solat bermula daripada peringkat mengambil wuduk lagi. Ketika wuduk hati dan jiwa sudah fokus untuk solat dan mohon keredhaan Allah SWT supaya Dia terima solat dan ibadah kita kepada-Nya. Cuba lihat kisah dibawah semoga kita dapat perbaiki khusyuk kita ketika solat sebagaimana yang dipraktikkan oleh ulama terdahulu :Isam bin Yusof ialah seorang ahli ibadah (abid) yang sangat khusyuk dalam solat. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk. Dia selalu bertanya kepada orang yang di anggap lebih dalam ibadah untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menemui seorang abid bernama Hatim dan bertanya, "Wahai Abu Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata, "Apabila masuk waktu solat aku berwudhuk zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?"

Hatim menjawab, "Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggata dengan tujuh perkara :

Pertama : Bertaubat.

Kedua : Menyesali dosa yang di lakukan.

Ketiga : Tidak tergila-gila dunia.

Keempat : Tidak mencari atau mengharap pujian orang (riya').

Kelima : Meninggalkan sifat suka berbangga.

Keenam : Meninggalkan sifat khianat dan suka menipu.

Ketujuh : Meninggalkan sifat hasad dengki.

Betapa besarnya dosa orang yang meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya. Renungkan hadis Rasulullah SAW.di bawah yang menghalang perbuatan tersebut .
Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah SAW. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda " Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail". 

Orang yang lalai semasa solat akan mendapat kurang pahala kerana markah penuh adalah bergantung kekhusyukkan kita semasa solat. Kelebihan solat berjemaah jika imam khusyuk semasa solat dan makmum yang lain khusyuk maka kita akan dapat menumpang kekhusyukan ahli jemaah yang lain.

280. Soalan : ustaz..kenapa permulaan surah at-Taubah tidak boleh baca Basmallah seperti surah2 yang lain? Minta pencerahan ustaz...

Jawapan : 

Terdapat banyak pendapat dikalangan ulama berkaitan persoalan ini. Imam Razi berkata bahwa Rasulullah SAW tidak memulakan surah ini dgn Basmalah. Oleh itu, para sahabat juga tidak membaca basmalah dipermulaannya. Oleh yang demikian sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita akur dengan hakikat ini.

Berikut adalah jawapan Sheikh Ibn Uthaimin mengenai persoalan ini.

Tidak dimulakan surah At-Taubah dengan basmalah adalah kerana ia diturunkan Allah kepada Rasulullah SAW sedemikian rupa ( tanpa Basmalah). Sekiranya ia merupakan salah satu daripada surah tersebut, pasti ia tertulis di dalam al-Quran kerana Allah SWT telah berfirman:

“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Qur'an, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr (15) ayat 9)

Walaubagaimanapun, antara para sahabat sendiri berlaku perbezaan pendapat berkaitannya sepertimana yang dikatakan oleh Saidina Uthman. Adakah ia sebahagian surah Al-Anfal ataupun surah yang berlainan? Sekiranya ia merupakan sebahagian surah Al-Anfal, maka mereka tidak meletakkan pemisah maupun basmalah antara keduanya. Sekiranya surah At-Taubah dan surah An-Anfal itu merupakan surah yg berlainan, maka mereka akan meletakkan pemisah serta basmalah. Oleh kerana kedua-duanya tidak terdapat kepastian, mereka akhirnya berijtihad mengambil jalan tengah yakni memisahkan surah Al-Anfal dengan surah At-Taubah tetapi tanpa basmalah.



No comments:

Post a Comment