Saturday, January 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 45 (Ibu Suruh Anak Minta Cerai, Hukum Isbal, Wanita Haid Membaca Al-Quran, Hati Keras Dan Binatang Perosak)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 45 adalah menjelaskan persoalan ibu suruh anak perempuan minta cerai, hukum isbal, hukum wanita haid membaca al-Quran, banyak bercakap hati keras dan membunuh binatang perosak. 

281. Soalan : Saya hendak tanya apakah hukum seorang ibu meminta anak perempuannya bercerai hanya kerana beliau tidak suka dengan menantu bukan pilihannya?

Jawapan : 

Seorang ibu yang meminta anaknya minta cerai adalah berdosa besar jika tidak ada alasan yang syarak benarkan. Contoh jika suami tak memberikan nafkah , suka memukul isteri, melakukan dosa-dosa besar dan meninggalkan kewajipan solat. Jika ibunya tak suka suami kerana suami tak hensom, gajinya kecil atau kerana suaminya tak dapat nak memberikan hajat-hajat duniawinya maka seorang anak tak wajib taat pada arahan ibunya , kerana seorang isteri wajib patuh pada suaminya melebihi kepatuhan ibunya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak masuk Syurga mereka yang memutuskan silaturahim."
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud "Sesiapa yang suka supaya diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia menjalankan hubungan tali silaturahim."(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Ibu bapa yang bertakwa akan mengutamakan agama bukan harta benda dunia, tidak menjadi anak derhaka jika isteri tidak ikut perintah ibunya yang suruh dia minta cerai dengan suaminya. Jika isteri ikut arahan ibunya maka dia akan menjadi isteri nusyuz dan tidak akan cium bau syurga.Si ibu tadi akan mendapat dosa besar kerana cuba memecahbelahkan keluarga yang bahagia dan telah memutuskan silaturahim.

282. Soalan : Saya ingin bertanya satu soalan...Adakah memakai seluar yang senting itu sunnah Rasulullah?

Jawapan : 

Terdapat hadis yang melarang memakai seluar atau kain sarung atau jubah melebihi buku lalai (mata kaki) kerana sombong. Maksud isbal adalah memanjangkan kain sarung / jubah / seluar melebihi mata kaki. Terdapat khilaf dikalangan ulama. Sebahagian ulama mengatakan memakai pakaian melebihi mata kaki (buku lali) haram samaada dengan sombong atau tidak. Sebahagian ulama pula menyatakan bahawa tidak haram jika kain melebihi buku lali bukan kerana sombong. Ulama yang mengatakan jika melebihi mata kaki tetapi tidak sombong tidak menjadi haram. Hujah-hujahnya adalah seperti berikut : Dari Ibnu ‘Umar diriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat.” Kemudian Abu Bakar bertanya, “Sesungguhnya sebagian dari sisi sarungku melebihi mata kaki, kecuali aku menyingsingkannya.” Rasulullah SAW menjawab, “Kamu bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong.” [HR. Jama’ah, kecuali Imam Muslim dan Ibnu Majah dan Tirmidizi tidak menyebutkan penuturan dari Abu Bakar.]

Dari Ibnu ‘Umar dituturkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“Isbal itu boleh terjadi pada sarung, sarung dan jubah. Siapa saja yang memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah SWT tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat.” [HR. Abu Dawud, an-Nasa`i, dan Ibnu Majah]

Kata khuyalaa’ berasal dari wazan fu’alaa’. Kata al-khuyalaa’, al-bathara, al-kibru, al-zahw, al-tabakhtur, bermakna sama, yakni sombong dan takabur.
Huraian hadis ini, Ibnu Ruslan dari Syarah al-Sunan menyatakan, “Dengan adanya taqyiid “khuyalaa’” (kerana sombong) menunjukkan bahawa siapa saja yang memanjangkan kainnya melebihi mata kaki tanpa ada unsur kesombongan, maka dirinya tidak terjatuh dalam perbuatan haram. Hanya saja, perbuatan semacam itu tercela (makruh).”

Imam Nawawi berkata, “Hukum isbal adalah makruh. Ini adalah pendapat yang dipegang oleh Syafi’iy.”

Imam al-Buwaithiy dari al-Syafi’iy dalam Mukhtasharnya berkata, “Isbal dalam solat mahupun di luar solat kerana sombong dan kerana sebab lainnya tidak diperbolehkan. Ini didasarkan pada perkataan Rasulullah SAW kepada Abu Bakar ra.”

Atas dasar itu, isbal yang diharamkan adalah isbal yang dilakukan dengan kesombongan. Sedangkan isbal yang dilakukan tidak kerana sombong, tidaklah diharamkan. Imam Syaukani berkata, “Oleh kerana itu, sabda Rasulullah SAW ‘Perhatikanlah, sesungguhnya memanjangkan kain melebihi mata kaki itu termasuk kesombongan.’ (Hadis Riwayat Abu Dawud, an-Nasa’i, dan at-Tirmidzi dari hadisnya Jabir bin Salim),  harus difahami bahawa riwayat ini hanya berlaku bagi orang yang melakukan isbal kerana sombong. Sebab, semua orang memahami bahawa ada sebagian orang yang melabuhkan pakaiannya melebihi mata kaki memang bukan kerana sombong.

283. Soalan : Saya ingin bertanya kepada ustaz.. Adakah boleh jika seseorang wanita berkeadaan haid hendak membaca ayat al-Quran untuk menghafal..? Harap penjelasan ustaz..

Jawapan :   

Hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulama seperti berikut;

1. Menurut Jumhur ulama (yakni pandangan teramai ulama termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah SAW bersabda;"Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran" (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulama memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

2. Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

3. Terdapat ulama-ulama yang menganggahi pandangan jumhur ulama di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi SAW. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulama-ulama hadis.

Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan "Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal".

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid). Jika buat di masjid sekali pun kawasan lain yang bukan ruang untuk solat seperti dewan makan masjid, anjung masjid dibenarkan.

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran (contohnya zikir al-Mathurat) hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a'lam

284. Soalan : Bolehkan ustaz huraikan orang banyak bercakap akan menyebabkan hatinya keras.?

Jawapan : 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "Bukanlah dia seorang mukmin (jika) dia suka menuduh, suka melaknat, bercakap kotor dan keji.(Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Pesan Rasulullah SAW maksudnya : "Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya, api Nerakalah paling layak untuknya.(Hadis Riwayat Baihaqi.)

Imam Nawawi ketika membicarakan hal yang sama berkata, ketahuilah, seseorang mukalaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan.

Rasulullah SAW ditanya mengenai kelakuan yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam Syurga. Jawab Baginda: Takwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan keindahan akhlak. Ketika Baginda ditanya apakah yang paling banyak memasukkan seseorang ke dalam Neraka? Baginda menjawab: Kejahatan mulut dan kemaluan. 

Sabda Rasulullah SAW lagi: Sesiapa mengawal lidahnya (daripada memperkatakan kehormatan orang), maka Allah akan menutup kecelaannya (hal yang memalukan). Sesiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya daripada seksaan-Nya. Dan sesiapa yang meminta kelonggarannya kepada Allah, maka Allah akan menerima permintaan kelonggarannya. (Hadis riwayat Ibnu Abib-Dunya.)

285. Soalan : Saya hendak tanya adakah kita boleh membunuh lalat, lipas dan tikus?

Jawapan :  

Binatang-binatang seperti lalat, lipas, tikus, boleh dibunuh kerana ianya terdiri daripada binatang perosak.Binatang-binatang tersebut kotor dan membawa penyakit. Dalam hadis disebutkan binatang-binatang perosak . 

Dari Aisyah r.a, dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud:" Terdapat lima jenis binatang merbahaya yang boleh dibunuh di luar tanah haram ataupun di dalam tanah haram iaitu ular, gagak, tikus, anjing gila dan helang." (Hadis Sahih Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment