Saturday, January 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 47 (Tinggalkan Solat, Hukum Onani, Fidyah Puasa, Cara Bertaaruf, Kawan Tak Jujur, Berdoa Dan Suami Memburukkan Isteri)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 47 adalah menjelaskan persoalan akibat tinggalkan solat, hukum onani, fidyah puasa, cara bertaaruf, kawan tak jujur, berkongsi doa dan suami suka memburukkan isteri.

291. Soalan : Ustaz.. saya nak tanya beberapa soalan.. 

1.Kalau kita tak solat apa akibat terhadap diri dan keluarga? 

2.Macam mana nak buat kita cakup waktu untuk solat tidak tinggal walau pun satu waktu? 

3.Apa maksud onani dan jika terdapat kesan buruk sila nyatakan? 

4. Nak bayar fidyah macamana dan barapa cupak bagi 1 hari?

Harap ustaz dapat memberi keterangan dengan lebih jelas..

Jawapan  : 

1. Mereka yang meninggalkan solat adalah berdosa besar.Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (Surah al-Maa’un ayat 4-5)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (Surah al-Muddathir ayat 42-43)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. ((Hadis Riwayat Baihaqi). Akibat daripada meninggalkan solat tidak ada keberkatan di dalam hidup, wajahnya hilang cahaya, rezekinya sempit, jiwanya tidak akan tenang dan mati akan mendapat su'ul khatimah (mati yang buruk) nauzubilaahiminzalik.

2. Solat tidak boleh ditinggalkan walau pun satu waktu kerana besar dosanya di sisi Allah SWT. Jika kita boleh berhenti rehat waktu kerja untuk makan kenapa kita tak boleh berhenti sebentar dalam masa 5 minit untuk solat fardu? Semuanya bergantung pada iman dan keyakinan kita kepada Allah SWT.Perlu berazam dan bertekat untuk melaksanakan solat walau dalam keadaan apa sekali pun, kena ingat bahawa kematian datang bila-bila masa cuba bayangkan jika kematian datang sedangkan kita tak solat? 

Bagaimana kita nak jawab soalan di alam barzakh dan hari akhirat? Utamakan yang paling utama dalam hidup kita dan tinggalkan yang tidak penting, solat adalah perkara yang paling utama daripada kerja-kerja lain. Jika perasaan ini ada di dalam hati kita akan memudahkan kita untuk mengerjakan solat dalam waktu-waktu yang ditetapkan.

 3. Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang bermaksud: "Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Surah Al-Mukminun ayat 5-7)

Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.Kesan buruknya dia tidak berminat untuk berkahwin kerana dia rasa dia sudah dapat kepuasan seks, sedangkan perkahwinan adalah sunah Rasulullah SAW dan melahirkan keluarga bahagia.Melayani syahwat dengan cara haram (perbuatan onani) adalah salah satu punca kehancuran kemanisan solat, tanpa kemanisan solat, runtuhlah 'tiang agama' dalam diri seseorang. Mereka yang kerap melakukan onani akan menyebabkan kurang tenaga batin boleh mengakibatkan seseorang lelaki "mati pucuk". 

4. Seseorang yang meninggalkan puasa Ramadan wajib mengqadakannya sebelum datang Ramadan tahun hadapannya. Jika seseorang tidak membayar qada puasa Ramadan melepasi setahun maka puasa wajib di qadakannya termasuk membayar fidyah sebanyak 556 gm beras untuk sehari meninggalkan puasa. Kadar fidyahnya mudah sahaja, iaitu sehari tinggal puasa bersamaan dengan fidyah secupak beras untuk tahun pertama. 

Secupak beras adalah bersamaan dengan 556 gram, iaitu lebih sedikit daripada setengah kilo, tetapi tidak sampai satu kilo.

Wallahu a'lam.

292. Soalan : Saya cuma bermesej saja dengan dia. setelah dia datang berjumpa dengan ibu bapa saya, dan sekarang kami cuma berhubung melalui mesej saja. Apakah dibolehkan ustaz? Maaf ya ustaz, saya tidak berapa jelas dengan maksud Taaruf?

Jawapan : 

Bertaaruf melalui mesej dengan niat untuk berumah tangga diharuskan berhubung tetapi menjaga batas-batas syarak darisegi kawal emosi dan berhubung perkara yang berfaedah dan tidak menimbulkan fitnah. 

Taaruf bermaksud mengenali latar belakang keluarga, pendidkan , kerjaya dan sejauh mana penglibatannya di dalam aktiviti kemasyarakatan dan dakwah. Lebih baik taaruf di isi dengan bahan-bahan ilmu yang bermanfaat sebagai persiapan sebelum mendirikan rumah tangga.

293. Soalan : Ustaz, macamana kalau kawan rapat yang kita anggap sebagai adik beradik sendiri, kira-kira 8 tahun berkawan tiba-tiba tikam kita daripada belakang, apa perlu saya buat? Adakah tinggalkan saja kawan seperti ini?

Jawapan  : 

Kita bersahabat perlulah anyak bersabar di atas perbuatan sahabat kita. Maafkanlah kesalahannya ke atas diri kita. Jangan putuskan silaturahim. Berdoalah kepada Allah SWT semoga Allah SWT ampunkan dosanya dan dosa kita mungkin keadaan ini berlaku kerana kesilapan kita sendiri. Jika kita jaga hati sahabat, sentiasa bertolak ansur dan saling bermaaf-maafan maka selagi itulah rahmat dan kasih sayang Allah SWT akan kita terima. 

Bersahabat yang sebenar adalah persahabatan yang bukan setakat di dunia sahaja, tetapi persahabatan yang sebenar adalah persahabatan sehingga bertemu di syurga. Kita tidak mungkin selamat mengarungi bahtera kehidupan yang sangat luas dengan ancaman badai fitnah ini seorang diri. Kita tak dapat lolos dari ancaman fitnah dengan hanya mengandaikan kemampuan sendiri. Kerana kita diciptakan sebagai makhluk yang penuh kelemahan dan mudah terpedaya.

Kebersamaan dan persahabatan di jalan Allahlah yang akan menghantarkan kita menyelesaikan hidup dengan kebaikan. Persaudaraan, kebersamaan dan persahabatan di jalan Allahlah yang juga akan mengiringi kita pada kebahagian akhirat.

Dan hanya persahabatan atas dasar iman dan takwalah yang abadi. Hal ini selaras dengan firman Allah dalam Al-Quran: “Teman-teman akrab pada hari itu(hari kiamat) sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.” (Surah az-Zukhruf ayat 67)

Ibnu Katsir mengatakan, seluruh persahabatan yang tidak dilandaskan kerana Allah pada hari kiamat akan berubah menjadi permusuhan. Begitu juga pesan Rasulullah SAW dalam hadisnya yang menyebutkan bahawa,”Kita akan dibangkitkan di hari kiamat bersama orang yang kita cintai.”

Siapa orang yang kita cintai? Siapa orang-orang yang paling dekat dengan kita dalam menjalani hidup ini? Siapa orang yang paling menghiasi ingatan kita? Siapa yang menemani langkah-langkah hidup kita? Orang solehkah dia? Mengajak ke arah kebaikan dan keredaan Allah kah dia? Dan alangkah indahnya seandainya ada pertemuan yang sangat mengharukan dan penuh kegembiraan. Mari mulai sekarang kita bersahabat dengan orang-orang yang mendekatkan kita pada reda Allah SWT.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud: "Di dalam syurga ada pasar tetapi tidak ada jual beli, hanya orang-orang berkumpul membicarakan keadaan ketika di dunia dan cara beribadat, bagaimana keadaan antara si fakir dengan yang kaya dan bagaimana keadaan sesudah mati dan lama binasa dalam kubur sehingga sampai di syurga".

Sahabat-sahabat yang pernah bertemu di dunia ini kerana Allah SWT dan berbincang bersama-sama untuk menjalankan kerja-kerja dakwah, tarbiah, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajak manusia lain untuk kembali kepada ajaran Islam nanti akan bertemu disyurga. Mereka akan mencari sahabat-sahabat mereka yang lain kenapa ada diantara mereka tidak berada disyurga? Sekiranya ada dikalangan mereka yang telah memasuki neraka maka mereka akan cuba memohon kepada Allah SWT untuk memberi syafaat kepada sahabat-sahabat mereka yang diseksa dineraka.

Salah satu sifat mahmudah adalah sifat pemaaf dan lawan daripada sifat ini adalah sifat pemarah dan pendendam. Pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat itu yang juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah SWT.

Jika umat Islam mengikuti akhlak Rasulullah SAW dan mudah memaafkan kesalahan orang lain ini adalah akhlak terpuji yang boleh menjadi daya tarikan dakwah kepada orang bukan Islam untuk mendekati Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali-Imran ayat 132).

Orang yang mulia adalah orang yang suka memafkan. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, bahwasannya Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ ( Hadis Riwayat Baihaqi )

Jangan putuskan perhubungan dengannya teruskan memberi nasihat kerana tidak rugi memberikan banyak nasihat dan peringatan. Mungkin keimanan dan ketakwaannya belum benar-benar menyerap masuk di dalam hatinya. Allah SWT saja yang akan memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki. Banyakkan berdoa semoga Allah SWT membuka pintu hati sahabat kita ini untuk berubah dan meninggalkan perbuatannya yang tidak baik.

294. Soalan :  Ustaz mohon pencerahan salahkah kita kongsi berdoa...ada yg mengatakan jika berdoa biarlah antara kita dan Allah sahaja.. kadang-kadang saya ada juga berdoa dan menulis di laman muka buku saya dengan harapan kawan-kawan saya sama-sama mangaminkan doa dan harapan saya...terima kasih ustaz.

Jawapan : 

Di haruskan kita berkongsi doa, berdoa untuk diri sendiri dan mendoakan pada orang lain. Berdoa adalah senjata orang mukmin dan gunakanlah dimana-mana saja tidak kira masa dan tempat kerana berdoa bermaksud kita mengharapkan pertolongan dan belas ihsan Allah SWT kepada kita sebagai makhluk yang hina dina.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
"Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan diterima oleh Allah SWT." (Hadis Riwayat Muslim)

Orang mukmin sentiasa berbaik sangka sesama sahabatnya, persahabatan yang terjalin kerana ikatan kasih sayang kerana Allah SWT. Semasa dia berdoa untuk dirinya sendiri dia akan masukkan bersama doa itu untuk kebaikan sahabat-sahabatnya. Salah satu doa yang sangat makbul ialah mendoakan kepada sahabatnya yang berjauhan.

Kalau kita mempunyai sesuatu hajat maka panjatkan doa kita itu kepada Allah SWT dan panjatkan juga doa kita untuk sahabat yang lain.Saling menghadiahkan doa ini akan bertambah menambat hati antara sesama sahabat. Sayidina Umar Al Khattab sangat-sangat bersyukur, berterima kasih dan menghargai rakyatnya yang menghadiahkan doa untuk dirinya dan beliau pula membalas dengan berdoa pula kepada rakyat beliau.

295. Soalan : Saya ingin tahu bagaimana hukumnya seorang suami yang suka memburuk-burukkan isteri, suka mendengar kata-kata iparnya dan keluarga serta sahabatnya manakala anak isteri di abaikan...

Jawapan   : 

Seorang suami berdosa jika memburuk-burukkan isterinya dan mendengar kata-kata iparnya tanpa disiasat adakah berita tersebut sahih atau pun tidak. Dalam kehidupan sehari-hari, kita sering mendengar berita yang tidak jelas asal-usulnya. Kadang kadang isu kecil di perbesarkan dalam berita yang di edarkan atau sebaliknya. Kadang kadang berita itu berkait dengan kehormatan seseorang muslim. Bagaimanakah sikap kita terhadap berita yang belum tahu kebenarannya dan bersumber dari orang yang belum kita ketahui kejujurannya?

Dalam naskah berikut ini, seorang suami perlulah berhati-hati jangan cepat percaya kerana mungin berita tersebut lahir daripada sifat hasad dengki. 
Allah berfirman, maksudnya:-

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. (Surah Al Hujurat ayat 6)

Dalam ayat ini, Allah melarang hamba-hambanya yang beriman percaya kepada berita angin. Allah menyuruh kaum mukminin memastikan kebenaran berita yang sampai kepada mereka. Tidak semua berita itu benar, dan juga tidak semua berita yang disampaikan ada faktanya. Ingatlah. Maka wajib atas kamu untuk selalu berwaspada, hingga kamu boleh kenal pasti orang yang hendak menyebarkan berita yang tidak benar.

Allah berfirman, maksudnya, “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti”

Maksudnya, janganlah kamu menerima (begitu saja) berita dari orang fasik, sebelum kamu periksa, teliti dan mendapatkan bukti kebenaran nya.

(Dalam ayat ini) Allah memberitahu, bahwa orang-orang fasik itu pada dasarnya (jika berbicara) dia dusta, akan tetapi kadang kala ia juga benar. Kerana, berita yang disampaikan tidak boleh diterima dan juga tidak ditolak begitu saja, kecuali setelah diteliti. Jika benar sesuai dengan bukti, maka diterima dan jika tidak, maka ditolak.

Kemudian Allah menyebutkan illat (sebab) perintah untuk meneliti dan larangan untuk mempercayai berita-berita tersebut. Allah berfirman.

“Agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya”. Dalam kes ini suami tak boleh mudah mempercayainya dan perlu disiasat dan tanya sendiri isteri tersebut supaya tidak berlaku keretakan rumah tangga angkara ahli keluarga sendiri.
Suami tak boleh abaikan tanggungjawab memberi nafkah dan pendidikan kepada isteri dan anak-anak kerana amanah ini akan ditanya nanti di akhirat apabila suami mengabaikannya.
Isteri tidak boleh meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak. 

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Jabir r.a yang menyebutkan bahawa Rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian dia mengirimkan bala tenteranya. Orang bawahan yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah lakukan ini dan itu.’ Lalu Iblis menjawab, ‘Engkau belum melakukan apa-apa lagi yang besar.”

Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, “Aku mengikuti manusia sehingga aku tidak meninggalkan mereka melainkan aku telah berhasil memisahkan seorang suami dan isterinya.’’ Lalu iblis memanggilnya agar dia dijadikan dekat dengan Iblis dan berkata, “Sebaik-baik fitnah adalah usaha yang telah engkau lakukan.” (Hadis Sahih riwayat Muslim no. 2813)

Seorang ulama’ ahlul sunnah pernah menyebutkan bahawa tidaklah ada perkahwinan melainkan seorang wanita itu pasti pernah meminta cerai daripada suaminya lantaran didesak oleh Syaitan.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak." 

Dan lagi: "Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak." (Riwayat Abu Dawud)

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Mana-mana wanita yang meminta cerai daripada suaminya tanpa mempunyai sebab yang diterima Islam, maka diharamkan baginya untuk mencium bau syurga." (Hadis Riwayat al-Hakim, 2/200, hadis yang sahih)






No comments:

Post a Comment