Sunday, February 2, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 52 (Hukum Menggunakan Jampi, Rawatan Nabi SAW, Sifat Munafik, Hukum Lap Bekas Wuduk Dan Makan Di Gerai Bukan Islam)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 52 adalah menjelaskan persoalan hukum menggunakan jampi, rawatan yang di lakukan Nabi SAW, sifat munafik, hukum lap bekas wuduk dan makan di gerai bukan Islam.

316. Soalan :  Apakah hukum rawatan menggunakan jampi mantera dan serapah. Adakah dibolehkan dalam Islam?

Jawapan : 

Mengubati penyakit atau menolong seseorang yang memerlukan pertolongan sehingga ter­tunai hajatnya, lebih-lebih lagi boleh membantu meng­ikhtiarkan kesembuhan pesakit yang bermasalah adalah pekerjaan mulia. Ia menjadi lebih mulia jika dilakukannya semata-mata kerana Allah SWT, meng­harapkan pahala pada hari akhirat dan tidak membe­bankan pesakit.

Amalan perubatan de­ngan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang dia­kui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah SAW. dalam hadis yang banyak.

Merujuk khusus kepada persoalan saudara iaitu soal jampi. Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab se­bagai ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-­kadang amat digalakkan.

Rasulullah SAW. pernah sakit, suatu ketika Jibril diturunkan untuk memberi tawaran menjampikan baginda, lalu Jibril menjampi Nabi. Ianya disebut sebagai Ruqyatu Jibril.

Adapun menjampi seseo­rang itu dengan menggu­nakan bahasa khusus seperti Jawa, atau bahasa Tamil, Inggeris dan Sepanyol diha­ruskan syarak dengan syarat, bacaan itu diketahui makna­nya dan ia tidak ada sebarang petanda kesyirikan terhadap Allah SWT. Jangan ada sebarang taf­siran yang boleh membawa syirik.

Daripada ayat al-Quran, Allah berfirman (mafhum­nya) : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al­-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’ , ayat 82)

Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak hadis yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan pembacaan ayat-ayat al-Quran dan doa.

Oleh itu maka ulama ber­sependapat (ijmak), bahawa mengikhtiarkan kesembuhan penyakit dengan menggu­nakan kaedah bacaan dan doa serta air adalah diharus­kan, kadang-kadang digalak­kan, sekiranya memenuhi tiga syarat yang utama iaitu:

Pertama, menggunakan pembacaan ayat-ayat al-Qur­an dan as-Sunnah atau ruq­yah dalam bahasa Arab yang diketahui maknanya tidak bertentangan dengan syarak.

Kedua, boleh mengguna­kan bacaan selain daripada yang pertama, dengan apa jua bahasa, tetapi mestilah difahami maknanya dan tidak ada sebarang percang­gahan dengan syarak.

Ketiga, hendaklah yang merawat mengiktikadkan bahawa penyembuh sebe­narnya adalah Allah SWT sahaja. Pengubat hanyalah berikhtiar.

Oleh itu saya suka menje­laskan, jika sudah ternyata al-­Quranlah bacaan utama sebagai penawar terbaik, as-Sunnah (al-Hadis) adalah yang terbaik selain al-Quran, maka mengapakah kita tidak menggunakan bacaan ini sebagai rawatan?

Kita harus membebaskan diri daripada yang kurang baik, lebih-lebih lagi jika ia boleh membawa kepada kesyirikan kepada Allah SWT. Wallahu a'lam.


317. Soalan : Rakan saya mendengar seorang penceramah mengulas sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW, pernah dibawa kepadanya seorang pesakit meminta diubati. Rasulullah tidak mengubatinya, sebaliknya pesakit itu dirujuk kepada pengubat lain.
Kata penceramah itu Rasulullah tidak mengubatkan pesakit. Oleh itu bagaimana kita hendak kaitkan ilmu perubatan Islam dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran sedangkan Nabi tidak melakukannya? Mohon dijelaskan kesahihan hadis tersebut.


Jawapan : 

Hadis yang dirujukkan penceramah tersebut adalah betul. Ia adalah hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim yang didapati dalam banyak kitab seperti Sahih Muslim dan Zaadul Ma’ad oleh Ibnul Qayyim dalam juzuk kelima.

Hadis sepenuhnya bermaksud begini:

Disebut lbnu Syihab az-Zukhri katanya; seorang lelaki telah dipatuk ular berbisa lalu dibawa kepada Rasulullah SAW, sengatan ular ini amat serius, lelaki itu berada di dalam sangat kritikal. Lalu Nabi bertanya kepada sahabat, apakah ada orang yang mahir mengubati bisa ular. Sahabat memberitahunya, ada, iaitu Aalu Hazmin, mereka terkenal dengan ilmu pengubatan ini. Nabi bertanya siapakah nama pengubat yang terbaik itu, lalu mereka menjawab ‘Ammarah Ibnu Hazmin. Pesakit ini dibawa berjumpa dengan ‘Ammarah, tetapi beliau enggan mengubatkannya. Lalu pesakit ini dibawa berjumpa Rasulullah SAW. semula.

Nabi bertanya ‘Ammarah mengapa beliau enggan merawat. Jawabnya, saya telah memeluk agama Is­lam dan saya Mendengar Rasulullah SAW. melarang jampi mantera untuk rawatan. Lalu Rasulullah SAW. berkata kepada beliau, bukan semua jampi mantera diharamkan. Ada yang boleh diamalkan jika tiada dalam jampi itu perkataan yang syirik. “Nabi menyuruh ‘Ammarah membaca jampi yang ada padanya untuk rawatan bisa tersebut. Selepas mendengarnya, Nabi membenarkan ‘Ammarah membacanya untuk tujuan pengubatan. Lalu beliau melakukannya dan pesakit itu sembuh dengan izin Allah SWT”

Permasalahan yang saudara bangkitkan, dengan ulasan penceramah tersebut, seme­mangnya boleh mencelarukan orang yang mendengarnya. Malah boleh memecah­ belahkan orang yang kurang ilmu penge­tahuannya tentang hadis.
Orang yang banyak membaca dan mema­hami ilmu syariat, khususnya menguasai hadis-hadis Nabi yang banyak boleh memahami hadis ini. Kebiasaannya orang yang mahir dengan hukum, tidak mudah untuk membuat kesimpulan semata-mata dengan hanya menjumpai satu hadis sahih sahaja. Tidak wajar, daripada satu hadis sahaja penceramah sudah membuat kesimpulan dan menyalahkan orang lain, kononnya Nabi tidak pernah mengubatkan pesakit.

Hadis-hadis sahih tentang pengubatan, saya dapati amat banyak. Memudahkan untuk kita memahami hadis-hadis ini, saya membuat kesimpulan bahawa hadis-hadis sahih tersebut, dikumpul­kan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Diletakkan dalam satu bab khusus yang dipanggil ‘Babuttadawi’ (Bab Mengubat Penyakit).

Kisah Pertama :
Pesakit datang berjumpa Rasulullah SAW meminta dirawat dan Nabi sendiri merawat mereka dengan bacaan ayat al-Quran ataupun daripada hadis baginda sendiri. Ia terdapat misalnya dalam hadis dari Uthman Ibnul ‘Ass dan Aisyah binti Abu Bakr yang menyebut bahawa Rasulullah SAW. mengubati keluarganya yang sakit. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Demikian juga Anas bin Malik mencerita­kan bahawa Tsabit al-Banani datang kepada baginda mengadu sakit, lalu Nabi merawat­nya. Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Anas, iaitu datang seorang pesakit kepadanya lalu Anas berkata, mahukah kamu, aku jampi ke atas kamu sebagaimana jampi Rasulullah SAW ke atas ku. Jawabnya mengapa tidak. Lalu Anas menjampi nya dengan jampi Rasulullah. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Kisah Kedua :
Nabi mengajar sahabat menjampi pesakit untuk mereka menjadi pengubat. Hal ini sabit dengan hadis dari Aisyah, Uthman Ibnul ‘Ass dan Anas bin Malik, bahawa Nabi mengajar bacaan untuk mengubat penyakit..

Kisah Ketiga :
Nabi sendiri yang sakit, tetapi baginda tidak mengubati dirinya. Sebaliknya diubati oleh Jibril a.s. Hal ini boleh dilihat dari hadis, Abu Sa’id al-Khudri katanya: “Jibril mendatangi Rasu­lullah SAW. lalu berkata, wahai Muhammad apakah anda mengadu kesakitan? Jawab baginda, ya. Lalu Jibril menjampikan baginda.” (Hadis Sahih Muslim).

Ini menunjukkan, bahawa pasti ada pera­wat kepada yang sakit. Pesakit perlu dirujuk kepada perawat atau pakar lain dalam bidang-bidang tertentu.

Kisah Keempat :
Nabi SAW. sakit dan baginda merawat dirinya sendiri. Aisyah rha. menceritakan bahawa Rasulullah SAW. mengadu kesakitan, baginda mengubati dirinya sendiri dengan membaca ayat-ayat al-Quran. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kisah Kelima :
Pesakit yang mahir ataupun pakar, boleh diubati oleh orang yang kurang pakar. Hal ini berlaku, ada ketikanya Jibril yang merawat ke­tika Rasulullah sakit dan dalam hadis sahih se­perti peristiwa menjelang kewafatan baginda, baginda meminta Aisyah rha. merawatnya.

Pada mulanya Aisyah enggan merawat Nabi kerana mengenangkan siapalah dirinya jika hendak dibandingkan dengan Rasulullah. Oleh kerana Rasulullah sendiri yang meminta Aisyah membacanya, lalu Aisyah membaca ayat-ayat al-Quran dengan meme­gang tangan Rasulullah sambil mengharapkan keberkatan yang lebih dari tangan Nabi yang suci itu.

Dalam kisah ini juga, Nabi meminta Aisyah membawa sebekas air untuk didoakan, setelah didoakan, lalu Nabi mencelupkan tangannya di dalam air itu, lalu Nabi menya­pukannya di muka dan di badan baginda.

Kisah Keenam :
Nabi SAW tidak mengubat pesakit (sedangkan baginda boleh berbuat demikian). Kisah ini sama sebagaimana yang disebutkan dalam soalan tadi. Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW. mengajar kita apabila ada pesakit yang serius (seperti dipatuk ular dalam hadis tadi), maka diarahkan supaya dirujuk kepada pakar segera.

Sememangnya Nabi SAW pakar dalam segalanya, tetapi baginda memberi peluang untuk dirujukkan hal-hal tertentu kepada sahabat-sahabat yang lain.

Oleh itu maka hadis yang saudara persoal­kan, hanyalah salah satu episod daripada cara pengubatan Rasulullah SAW.

Wallahu a'lam.


318. Soalan : Ustaz.kalau orang janji dengan kita., kita tunggu tapi dia tak datang... adakah munafik ke tu ustaz?..Tolong jelaskan.

Jawapan : 

Apabila kita sebuat munafik dari segi bahasa maksudnya : "Orang yang menyembunyikan perkara atau maksud sebenar."

Dari segi syarak pula munafik bermaksud : " Seseorang yang tidak menzahirkan kekufuran dengan cara menyembunyikannya di dalam hati."

Sifat munafik ini terbahagi dua bahagian iaitu :

Pertama : Munafik darisegi akidah dan I'tiqad.

Kedua : Munafik darisegi perbuatan dan amalan.

Huraiannya :

Pertama : Munafik darisegi akidah dan I'tiqad.

Munafik darisegi akidah dan I'tiqad adalah orang kafir yang mengaku beriman dan berpura-pura masuk Islam. Golongan ini adalah orang yang tidak mendapat hidayah atau petunjuk dari Allah SWT, sehingga jalan hidupnya yang ditempuhi tidaklah mengandungi nilai-nilai ibadah dan segala amal yang dikerjakan tidak mencari keredaan Alah SWT.

Orang munafik seperti ini adalah orang yang bermuka dua, mengaku beriman padahal hatinya engkar (kufur dan syirik). Perbuatan orang munafik di sebut nifak. Mereka ini hanya pada mulutnya sahaja beriman dan nampak baik tetapi hakikat sebenarnya hanya tipu helah belaka untuk mencari habuan dunia dan merancang untuk menghancurkan Islam.

Ertinya segala amal perbuatan yang dikerjakan itu bukan ditegakkan di atas dasar keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT, akan tetapi hanya didasarkan pada perasaan dan hawa nafsunya semata-mata untuk mencari muka, penampilan, harta dan pangkat, mengambil hati dalam masyarakat dan pandangan orang belaka. Segala perbuatan baiknya itu hanya dijadikan tempat berlindung untuk menutupi segala keburukan I’tikad dan niatnya yang menentang Islam.

Terdapat lima ciri-ciri munafik darisegi akidah dan I'tiqad :

1. Ingin menipu daya Allah SWT.

Firman Allah SWT. yang maksudnya : “Dan diantara manusia ada yang mengatakan,’aku beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian,’padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman.Mereka itu hendak menipu Allah berserta orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri,sedang mereka tidak sedar” (Surah Al Baqarah ayat 8-9)

2. Lebih suka memilih orang kafir sebagai pepimpinnya.

Firman Allah SWT maksudnya : “…..(iaitu) orang yang mengambil orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan disisi orang kafir itu? Maka sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah”
(Surah An Nisa’ ayat 139)

3. Tidak mahu diajak berhukum dengan hukum Allah dan RasulNya.

Firman Allah SWT. maksudnya : “Apabila dikatakan kepada mereka (org munafik) :'Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul,' nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia ) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu”
(Surah An Nisa ayat 61)

4. Malas menegakkan solat, tapi kalau solat suka menunjuk-nunjuk (riyak)

Firman Allah SWT. maksudnya : “Dan bila mereka berdiri untuk melaksanakan solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riyak dihadapan manusia. Dan tidaklah mereka itu menyebut asma Allah, kecuali sedikit sekali."
(Surah An Nisaa ayat 142)

5. Berusaha siang dan malam untuk memadamkan cahaya Allah SWT. Menghidupkan maksiat dan kemungkaran . (sifat bermusuhan dengan para alim ulama, pendakwah Islam, menyekat dakwah, tarbiah dan tazkirah daripada tersebar luas dalam masyarakat)

Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Mereka (orang munafik) hendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka. Dan Allah telah menyempurkan cahayaNya, meskipun orang kafir membenci.”
(Surah Asy-Shaf ayat 8)

Dalam sejarah telah banyak membuktikan bahawa umat Islam zaman dulu sering diperdaya oleh orang munafik dan hal itu akan berterus sampai zaman sekarang bahkan zaman yang akan datang dari generasi ke generasi.

Di zama Nabi SAW , ketua orang munafik bernama Abdullah ibn Ubay ibn Salul dengan hatinya yang busuk mengejek-ejek dan mengancam untuk mengusir Nabi SAW dan kaum muslimin dari kota Madinah. Kemudian setelah ucapannya yang menjelaskan kekentalan kemunafikannya itu dilaporkan kepada Nabi SAW dan baginda pun menegurnya lalu Abdullah ibn Ubay pun mengelak dengan mengatakan bahawa ia tidak pernah mengatakan apa-apa pun seperti yang dilaporkan kepada baginda.

Oleh kerana itu kita umat Islam dimana saja berada hendaknya berhati-hati terhadap orang munafik yang berhasrat mematahkan semangat juang kita umat Islam, memporak-perandakan kekuatan Islam, memadamkan cahaya Allah ditengah-tengah orang Islam dan selalu kerosakan dan kekacauan dimana-mana.

Munafik golongan pertama ini di hari akhirat akan dimasukkan kedalam Neraka Jahanam yang paling bawah sekal kekal selama-lamanyai, lebih azab daripada orang-orang kafir.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka." (Surah. an-Nisaa ayat 145) Kedua : Munafik darisegi perbuatan dan amalan.

Munafik darisegi perbuatan dan amalan adalah masih menjadi orang Islam, akidahnya masih mempercayai Allah dan Rasul dan rukun-rukun Iman yang enam tetapi perbuatan dan amalannya menjurus kepada melakukan dosa-dosa besar.

Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud :
“Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.” (Hadia Riwayat al’Syaikhan dari Ibn ‘Amr)

Berdasarkan hadis diatas jelaslah kepada kita bahawa terdapat empat ciri-ciri munafik darisegi perbuatan dan amalan (melakukan dosa besar) , sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT.

1. Khianat amanah iaitu mencabul dan mengkhianati amanah-amanah yang wajib dipelihara dan meremeh-temehkan amanah yang diberikan padanya atau tidak menunaikan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya yang diserahkan padanya, kerja dengan sambil lewa dan ia gunakan amanah yang diberikan kepadanya untuk mendapatkan kepentingan diri dan keluarganya.

2. Bercakap bohong. Membuat penjelasan, kenyataan dan penerangan yang dusta atau seakan-akan dusta samada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan keterangan yang sebenar, mengubah dan menokok tambah kenyataan untuk disesuaikan dengan seleranya, membuat kempen-kempen atau promosi-promosi dusta dan propaganda liar dan segala bentuk penyelewengan kata-kata dan bicara termasuk membesarkan yang kecil dan memperkecilkan yang besar.

3. Mencabul janji-janji yang diikrarkan dan mencabul perjanjian yang dipersetujui bersama.

4. Ingin menang dalam pertengkaran walaupun terpaksa menegakkan benang yang basah atau terpaksa membawa saksi yang palsu bagi menguatkan hujahnya.

Di dalam masyarakat umat Islam memang terdapat kaum munafik yang berlindung dibalik agama Islam . Mereka ini memerangi saudara seagama, merancang dan menangkap para pejuang Islam yang menegakkan syariat Islam. Mereka lebih gembira bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian atau kaum kafir daripada bekerjasama dengan ulama-ulama, para pendakwah, para mujahidin dan aktivis Islam.

Semua sifat-sifat munafik yang tersebut itu boleh menimbulkan kesan yang amat buruk kepada ketenteraman masyarakat manusia, malah boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan dan boleh menghilangkan rasa kepercayaan terhadap satu sama lain yang merupakan batu asas bagi kerukunan sesebuah masyarakat yang padu dan kukuh, selagi mana ada manusia serupa ini dunia ini tidak akan aman tenteram.

Sifat munafik jenis kedua ini masih berpeluang kembali ke pangkal jalan dan bertaubat kepada Allah SWT. Keempat-empat sifat ini adalah dosa-dosa besar yang hanya boleh diampunkan Allah SWT apabila dia bertaubat nasuhah dan meminta ampun dan maaf sesama manusia jika ada dikalangan manusia yang menjadi mangsa tipu helah dan kezalimannya.

Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daripada sifat-sifat munafik samaada munafik darisegi akidah dan I'tiqad maupun munafik darisegi perbuatan dan amalan.

Jika dalam hati kita bersarang perasaan hasad dengki, ada perasaan benci pada pendakwah Islam, benci pada pakaian menutup aurat dan sering menfitnah para daie yang berjuang menegakkan Islam ini bermakna dalam hati kita masih bersarang sifat nifak atau munafik. Sifat inilah yang akan menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT. Oleh itu sama-samalah kita perbaiki hati dengan mendekatkan diri dengan majlis ilmu, bersahabat dengan orang soleh dan menjauhkan diri daripada orang-orang yang suka melakukan maksiat. Mungkir janji bila berjanji adalah ada ciri-ciri munafik perbuatan dan amal.


319. Soalan : Ustaz. apa hukumnya kalau lap air wuduk dimuka untuk mengelakkan telekung basah dan berbau.?

Jawapan : 

Terdapat didalam hadis Imam Muslim rh (riwayat dari Nuaim bin Abdullah al-Mujimir) bahawa pada hari Kiamat nanti umat Muhammad akan datang dengan wajah, tangan dan kaki terang benderang kerana bekas wuduk. (Terdapat beberapa perbincangan mengenai hadis ini).

Namum demikian tidak ada nas yang mengatakan bahawa tidak dibenarkan seseorang itu mengeringkan anggota-anggota wuduk dengan tuala dsb. Menurut Ibn Qudamah rh bukanlah menjadi kesalahan mengeringkan anggota wuduk dengan tuala setelah dibasahkan semasa mandi dan berwuduk. Ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan dari Imam Ahmad, begitu juga Uthman ra., al-Hassan ibn Ali ra., Anas ra. dan ramai dikalangan ulama yang menggunakan tuala setelah berwuduk (al-Mughni, 1/195).

Ada dikalangan ulama yang mengatakan bahawa hukum mengelap / mengeringkan anggota dengan tuala adalah makruh berdasarkan hadis Muslim dari Maimunah ra. dimana Nabi SAW pernah diberikan tuala kepadanya dan baginda menolaknya.

Ibn Utsaimin rh mengatakan bahawa Nabi SAW mempunyai sebab-sebab tertentu menolak tuala tersebut; kemungkinan ia berkenaan dengan tuala tersebut, atau disebabkan tuala tersebut tidak bersih dsb. Hakikatnya perbuatan Maimunah membawa tuala tersebut menunjukkan adalah menjadi kebiasaan Nabi SAW mengeringkan dirinya dengan tuala (Majmu’ Fataawa Ibn Utsaimin, 11/93).

Dr Yusuf al-Qaradhawi ha. juga menyatakan alasan yang sama, termasuklah beliau mengatakan bahawa kemungkinan peristiwa ini berlaku dimusim panas, dimana semua orang maklum bahawa Hijaz merupakan satu tempat yang amat panas. Dan kemungkinan besar Nabi SAW inginkan tubuhnya basah dan beberapa kemungkinan yang lain (Fiqh al-Thaharah, ms 164).

Kata al-Qaradhawi lagi, oleh itu Ibnu al-Munzir meriwayatkan bahawa sebilangan sahabat, tabien, dan jumhur Imam-Imam dan Fuqaha’ membenarkannya. Imam al-Nawawi ada mengatakan di al-Majmu’, Yang benar dalam Mazhab kami adalah mustahab ditinggalkan, akan tetapi bukanlah dikatakan Makruh (Fiqh al-Thaharah, ms 165).

Kesimpulannya tidak ada nas yang menghalang perbuatan mengeringkan wuduk dengan tuala, malahan terdapat dikalangan ulama yang melakukannya. Jika anda berada dinegara yang mempunyai musim sejuk, maka akan kelihatan kepada anda tissue-tissue disediakan di tempat mengambil wuduk untuk mengeringkan anggota wuduk semoga dapat mengurangkan kesejukkan. Wallahu a'lam.


320. Soalan : ustaz..,saya nak tanya ada hamba Allah suka makan di sebuah gerai tapi penjualnya bukan Islam adakah halal makan di gerai penjualnya bukan Islam.?.Mohon penjelasan  ustaz.

Jawapan : 

Makanan orang bukan Islam memasaknya jika kita yakin ada barang haram dan mereka tidak mematuhi sembelihan cara Islam maka kita dilarang memasukinya. Ada sebahagian gerai tokehnya orang Islam dan bahan-bahannya di beli oleh tokeh yg Islam hanya tukang masaknya saja bukan Islam maka ketika ini diharuskan. Tetapi sebaik-baiknya untuk menjauhi perkara yg haram dan syubahat maka jauhilah kedai-kedai orang bukan Islam dan masuklah kedai orang Islam , terdapat dua kebaikan : 1. Terjamin kehalalannya (dijauhi daripada makanan haram dan syubahat) 2. Kita membantu ekonomi umat Islam dan membantu saudara seagama.

No comments:

Post a Comment