Wednesday, February 5, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 53 (Solat Untuk Apa, Ambil Air Kolah Masjid, Memberi Salam, Hati Tak Sedap Dan Wanita Mengandung Bernikah)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 53 adalah menjelaskan persoalan solat untuk apa, ambil air kolah masjid tanpa minta izin, memberi salam pada wanita, sebab hati tak sedap dan nikah wanita mengandung anak luar nikah.

321. Soalan : Saya nak tanya ada seseorang ni tanya saya awak solat untuk apa dan solat awak diterima ke ,kalau diterima macamana nak tahu diterima ?

Jawapan : 

Solat adalah kewajipan kita kepada Allah SWT, Solat juga sebagai tiang agama dan tak akan tertegak agama kalau seseorang itu tak solat. Terima atau tidak solat kita itu urusan Allah SWT yang penting kita melakukan sesuatu kerana suruhan Allah SWT bukan kerana dorongan yang lain. Solat merupakan kewajipan utama bagi setiap Muslim sebagaimana Rukun Islam. Solat mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam islam. Ibadah lain tidak dapat menyamai ibadah ini kerana Solat merupakan suatu manifestasi perhubungan insan kepada Allah, mengandungi pelbagai hikmah serta mampu menjadikan individu Muslim itu benar-benar bertaqwa. 

Pertama : Solat merupakan tiang agama. Islam akan runtuh apabila Solat ditinggalkan penganutnya. Menurut Muaz bin Jabal r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda, ?Mahukah kamu aku khabarkan tentang kepala, tiang dan menara semua perkara ? Aku menjawab, ?Sudah pasti wahai Rasulullah. Baginda berkata: Kepala semua perkara adalah Islam, tiangnya adalah Solat dan menaranya adalah Jihad?. ( H.R Tarmizi ) 

Kedua : Solat termasuk dalam perkara penting selepas melafazkan dua kallimah syahadah. Ia merupakan salah satau cara individu Muslim melahirkan rasa syukur serta membuktikan keimanannya. Sabda Rasulullah s.a.w, ?Islam dibina atas lima perkara; Mengucap dua kalimah syahadah bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan Solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan?. ( H.R Muslim ) 

Ketiga : Ibadah Solat tidak disyariatkan melalui perantaraan malaikat, tetapi Allah telah mengangkat Rasulullah s.a.w ke langit dengan Allah sendiri mewahyukan fardhu Solat lima waktu kepada baginda. Ini berlaku dalam peristiwa Isra & Mikraj. 

Keempat : Solat dapat membersihkan segala kesalahan dan dosa. menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, ?Apa pendapat kamu jika ada sungai di hadapan pintu rumah kamu yang boleh kamu mandi di dalamnya lima kali sehari, adakah masih tertinggal dakinya ? Mereka berkata; Sudah pasti tidak akan tinggal sedikit pun dakinya. Baginda bersabda: Itulah perumpamaan Solat lima waktu. Allah telah membersihkan segala kesalahan dengan mengerjakannnya? . ( H.R Bukhari & Muslim ) 

Kelima : Solat membezakan antara seorang Muslim dengan kafir. Ini bermakna, meninggalkan Solat dengan segaja menjadikan seseorang itu kafir. Dari Jabin bin Abdullah r.a, Rasulullah s.a.w pernah bersabda,? Pembeza antara seorang lelaki Muslim dan syirik atau kufur ialah meninggalkan Solat?. (H.R Muslim) 

Keenam : Solat merupakan perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari kiamat nanti. Abu Hurairah r.a. pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ? Perkara pertama yang ditanya kepada seorang hamba pada hari kiamat tentang amalannya ialah solatnya. Jika baik, dia telah berjaya dan maju. Jika rosak, dia telah celaka dan rugi. Jika amalan fardhunya kurang, Allah berkata : Perhatikan adakah hamba Ku melakukan amalan sunat yang boleh menampung kekurangan amalan fardhunya. Kemudian dilakukan perkara yang sama pada amalan- amalan lain?. ( H.R Al-Nasai & Tarmizi )

322. Soalan : Boleh tak kita ambik air kolah masjid untuk kegunaan perubatan tanpa kita meminta izin terlebih dahulu.sebab saya ada dengar satu kuliah ustaz dekat tempat saya ustaz tu cakap salah sebab kita tak mintak izin daripada ajk atau tok imam atau penjaga masjid atau surau.boleh tolong jelaskan ?  Terima kasih.

Jawapan : 

Masjid atau surau adalah rumah ibadah sesiapa pun dikalangan orang Islam boleh masuk bila-bila masa untuk megerjakan solat fardu atau solat sunat. Tandas dan air untuk wuduk boleh digunakan bila-bila masa termasuk air kolah. Boleh ambil air kolah untuk kegunaan berubat tanpa izin kerana air tersebut adalah hak orang ramai. Tetapi jika beritahu imam atau ajk masjid lagi baik kerana sekurang-kurangnya tidak timbul persoalan kenapa ambil air kolah masjid? Cadangan saya setelah ambil air kolah masjid masukkan dalam tabung masjid dengan niat untuk menderma dan berdoa kepada Allah SWT semoga air yang diambil untuk berubat sesuai untuk berubat degan izin Allah SWT.

323. Soalan : Ustaz. saya nak tanya:
1- Selalu dengar orang cakap,kalau perempuan yang berusia, salam dengan lelaki yang jauh lebih muda tidak mengapa, sebab anggap macam anak dengan ibu, tapi kalau lelakinya yang tua, baru berdosa, betul ke?

2- Kalau sepasang suami isteri sudah bercerai hidup/mati, kemudian bekas suami bersalam dengan bekas ibu mertua, apa hukumnya?

3- Seorang wanita yang sedang uzur syar'i bolehkah mencium mayat yang sudah dikafankan?

Jawapan : 

Sesiapa yang memerhatikan nas-nas umum yang menyuruh supaya menyebarkan salam akan mendapati ia tidak membezakan antara lelaki dan wanita seperti hadis yang menyeru supaya memberi makanan, menyebarkan salam, menghubungkan tali persaudaraan, sembahyang malam dalam keadaan orang lain sedang tidur. Dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Demi jiwaku di tangan-Nya kamu tidak akan memasuki syurga sehinggalah kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang, mahukah aku beritahu kepada kamu sesuatu yang kamu lakukan kamu akan berkasih sayang? sebarkanlah salam di kalangan kamu.

Di antara dalil yang umum itu, firman Allah s.w.t.:

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). (Surah al-Nisa`: 86)

Prinsip berkenaan dengan Khitab Syari’ (mesej Allah) ialah merangkumi lelaki dan wanita kecuali yang dikhususkan dengan dalil. Berdasarkan kepada nas al-Qur`an, sekiranya seorang lelaki muslim memberi salam kepada wanita muslimah maka menjadi kewajipan kepadanya untuk menjawab salam dengan cara yang lebih baik atau sekurang-kurang dengan cara yang sama. Begitu juga sekiranya seorang wanita muslimah memberi salam kepada lelaki muslim, maka menjadi kewajipan kepadanya untuk menjawab dengan cara yang lebih baik atau dengan cara yang sama selagi nas-nas itu umum dan tidak terdapat nas lain yang mengkhususkan dan membataskannya.

Bagaimana pun terdapat nas-nas yang menyokong dan menguatkan perbuatan perempuan memberi dan menjawab salam. Nas-nas khusus itu menjelaskan keharusan lelaki memberi salam kepada wanita dan wanita memberi salam kepada lelaki. Di dalam sahih al-Bukhari, diriwayatkan bahawa Ummu Hani` binti Abi Talib berkata: “Saya pergi menemui Rasulullah s.a.w. pada hari pembukaan Kota Mekah, saya dapati baginda sedang mandi dan anaknya, Fatimah menutupnya. Saya memberi salam kepada baginda dan baginda bertanya: “Siapa itu?” Saya menjawab Ummu Hani` binti Abi Talib. Baginda bersabda: “Selamat datang Ummu Hani`. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim.

Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini di bawah tajuk, Bab Lelaki Memberi Salam Kepada Wanita Dan Wanita Memberi Salam Kepada Lelaki.

Hafiz ibn Hajar berkata: “Dengan membuat tajuk ini, al-Bukhari mengisyaratkan bahawa beliau menolak riwayat yang dikeluarkan oleh Abdul Razzaq daripada Ma’mar daripada Yahya bin Abi Kathir, bahawa sampai kepada saya, dimakruhkan kepada lelaki memberi salam kepada perempuan dan perempuan memberi salam kepada lelaki”.

Imam al-Bukhari mengemukakan dua hadis dalam bab ini yang menunjukkan keharusannya.

Hadis pertama yang diriwayatkan oleh Sahl:

Abu Hazim menceritakan bahawa Sahl berkata: Kami sangat gembira dengan kedatangan hari Jumaat. Saya (Abu Hazim) bertanya: Kenapa? Dia menjawab: “Ada seorang wanita tua yang kami kenali selalu menghantar seseorang ke Budha’ah. Ibn Maslamah mengatakan Budha’ah adalah sebuah kebun tamar di Madinah. Dia mengambil akar-akar sejenis sayur silq lalu memasukkannya ke dalam periuk dan mengisar bijiran barli. Apabila kami selesai sembahyang Jumaat kami beredar (menuju ke rumahnya) dan memberi salam kepadanya dan dia menghidangkan kepada kami makanan itu.

Hadis kedua:

Daripada ‘Aishah katanya, Rasulullah SAW. bersabda: “Wahai ‘Aishah, ini Jibril mengucapkan salam kepada kamu. ‘Aishah berkata, saya menjawab salamnya, Wa ‘alaihissalam wa rahmatullah”.

Kata Hafiz Ibn Hajar: “Berhubung dengan perkara ini, terdapat sebuah hadis yang tidak menepati syarat al-Bukhari iaitu hadis Asma` binti Zaid, Rasulullah SAW lalu dekat kami dalam sekumpulan wanita dan baginda memberi salam kepada kami. Imam al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan dan memadai dengan syaratnya walaupun tidak menepati syarat al-Bukhari.

Hadis ini mempunyai syahid (sokongan) daripada hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat: Orang-orang lelaki memberi salam kepada wanita dan wanita tidak memberi salam kepada orang-orang lelaki. Tetapi hadis ini ditolak dengan hadis Ummu Hani` bahawa beliau memberi salam kepada Rasulullah SAW pada hari pembukaan Mekah dan baginda bukan mahram kepada Ummu Hani` bahkan sepupu baginda dan pernah baginda mahu mengahwininya.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad: “Mu’az pergi ke Yaman lalu bertemu dengan seorang perempuan bersamanya dua belas orang anak lelakinya. Tersebut dalam hadis itu, perempuan itu berdiri dan memberi salam kepada Mu’az.

Dalam sanadnya terdapat Syahr bin Hawsyab dan dia dipertikaikan tetapi boleh dijadikan sokongan dengannya walaupun jika beliau meriwayatkan secara berseorangan tidak boleh dijadikan hujah dan al-Tirmizi menghukumkan hadisnya sebagai hasan.

Diriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab telah datang menemui beberapa orang wanita dan beliau memberi salam kepada mereka seraya berkata: “Saya utusan Rasulullah SAW. kepada kamu”.

Ini merupakan petunjuk Rasulullah SAW dan para sahabat berhubung dengan memberi salam kepada wanita atau wanita memberi salam kepada lelaki. Tetapi kebanyakan ulama mensyaratkan keharusan itu apabila selamat daripada fitnah. Al-Halimi berkata: “Rasulullah SAW. kerana sifat maksumnya terpelihara daripada fitnah. Sesiapa yang mempercayai dirinya selamat daripada fitnah,bolehlah dia memberi salam jika tidak, diam itu lebih selamat. Al-Muhallab berkata: “Ucapan salam lelaki kepada wanita dan wanita kepada lelaki harus apabila aman daripada fitnah. Ulama mazhab Maliki membezakan di antara pemudi dan perempuan tua sebagai langkah menutup pintu kemunkaran. Setengah ulama pula mengkhususkan larangan itu kepada remaja lagi cantik. Jika seorang pemudi yang cantik dikhuatiri akan terpesona dengannya, maka tidak disyariatkan memberi salam atau menjawabnya. Rabi’ah menegah secara mutlak. Ulama Kufah, Abu Hanifah dan murid-muridnya mengatakan, tidak diharuskan perempuan memberi salam kepada lelaki kerana mereka ditegah daripada azan, iqamah dan membaca dengan nyaring dalam sembahyang, kecuali salam kepada mahram, kerana itu diharuskan kepada mahramnya.

Hujah pihak lain ialah hadis yang kami telah sebutkan iaitu hadis Sahl yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari. Para sahabat yang menziarahi wanita itu dan dia memberi makan kepada mereka bukanlah mahramnya.

Sesiapa yang meneliti sumber-sumber yang menyebutkan hal ehwal mereka, akan mendapati sebilangan besar mereka berpendapat bahawa tidak mengapa memberi salam kepada wanita terutamanya apabila seorang lelaki itu datang menziarahi wanita-wanita, datang sebagai orang yang merawat, mengajar dan sebagainya. Ini berbeza dengan perempuan yang ditemui di jalan awam, maka ini tidak sesuai memberi salam kepadanya selagi tidak ada sebarang hubungan yang kukuh seperti persaudaraan, persemendaan dan sebagainya.

2. Ibu mertua adalah mahram seumur hidup walaupun beliau sudah berpisah dengan isterinya samaada pisah hidup atau mati, tetapi ibu mertuanya tetap haram di kawini dan boleh bersalaman.

3. Seorang wanita yang sedang haid boleh mencium mahramnya yang telah meninggal dunia tanda penghormatan terakhir. Tetapi tetap tidak boleh menyentuh lelaki yang bukan mahramnya walau pun seseorang itu telah meninggal dunia.

324. Soalan : Ustaz nak bertanya sedikit apa maksud tak sedap hati?mohon penjelasan...

Jawapan :  

Maksud tak sedap hati adalah hati rasa gelisah tidak tenang. Mugkin juga bermaksud hati berdebar-debar kerana mlakukan sesuatu dosa. Daripada Ibnu Masu’d radiallahu anhu berkata : Sesungguhnya orang mukmin itu memandang dosa-dosanya seperti orang yang berdiri di bawah gunung,yang mana dia (sentiasa) rasa takut yang gunung itu nanti akan menghempapnya,dan orang yang keji pula memandang dosa-dosa mereka seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, yang berkata : dengan hanya begini sahaja (iaitu dengan hanya ditepis dengan tangan sahaja) maka dengan mudah sahaja lalat itu terbang » (Hadis Riwayat Bukhari)
 Jangan percaya benda buruk akan berlaku kerana sesuatu itu berlaku adalah dengan kehendak Allah SWT. Orang beriman hati dan jiwanya akan rasa gelisah bila dia melakukan dosa. jika kita merasakan perasaan ini maka banyakkan bertaubat dan beristighfar kepaad Allah SWT. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Siapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya.

Jika dia tidak bertaubat, maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis ini selari dengan firman Allah yang bermaksud "Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka telah diseliputi kekotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

325. Soalan : Mohon penjelasan.. Jika seseorg tu hamil luar nikah dan kemudian nya berkahwin, adakah perkahwinan tu tidak sah? Atau setelah perempuan tu bersalin, mereka perlu nikah semula.?

Jawapan : 

Kes Zina Bermasalah

Bagaimanapun dalam kes ‘iddah bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.

Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.

Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)

Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.

Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :

Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"

Dan juga sebuah lagi dalil iaitu :

لا يحرم الحرام الحلال , إنما يحرم ما كان من نكاح

Ertinya : Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)

Hasil dari dalil-dalil itu, jelas bahawa zina yang haram tidak membawa sebarang hukum ‘iddah, hanya nikah yang sah terdapat ‘iddah. Justeru, perkahwinan penzina wanita yang sedang mengandung itu dengan pasangannya adalah sah menurut mazhab ini dan juga disepakati oleh Imam Abu Hanifah.

Lagi Displin Khas

Bagaimanapun, jika wanita penzina melakukan zina dengan ramai lelaki sehingga ia tidak pasti yang berada di dalam kandungannya adalah dari lelaki tertentu. Pernikahannya itu masih sah menurut seluruh mazhab yang telah disebutkan di atas tetapi dengan SYARAT : MEREKA TIDAK BOLEH BERSETUBUH SEHINGGALAH SI WANITA ITU TELAH BERSALIN!. Jika mereka bersetubuh, maka berdosalah mereka walaupun perkahwinan telah sah.

Ia berdasarkan sebuah hadith yang ertinya :

"Tidaklah halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan RasulNya, untuk menyiram benih kepada tanaman lelaki lain ( iaitu jika wanita sedang mengandungkan benih lelaki lain)" ( Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi : Hadith Hasan)

Sekiranya wanita itu berkahwin dengan satu-satunya lelaki dan pasti pula ia adalah benih lelaki tersebut. Di ketika itu, ia dibenarkan untuk bersama selepas pernikahan dan pernikahan itu juga sah.
Jika seorang wanita mengandung anak luar nikah maka sah dia bernikah dengan lelaki yang berzina dengannya tetapi anaknya jika lahir tak boleh di bin atau bintikan "bapanya" kerana wanita dan lelaki tersebut belum akad nikah. Jika wanita yg mengandung itu berkahwin dengan lelaki lain (bukan lelaki yang berzina dengannya) nikah mereka sah tetapi mereka tak boleh berjimak sehingga isterinya melahirkan anak luar nikah tersebut dan dia juga tak boleh bin atau bintikan anak tersebut atas namanya.


No comments:

Post a Comment