Saturday, February 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 60 (Berdoa Mengangkat Tangan, Menyimpan Rahsia, Islam Sudah Lengkap dan Sempurna, Bersangka Baik Kepada Allah Dan Istidraj)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 60 adalah menjelaskan persoalan doa mengangkat tangan, , menyimpan rahsia kepada bakal suami baru, Islam agama yang lengkap dan sempurna, bersangka baik kepada Allah SWT dan maksud istidraj.

356. Soalan:  Perkongsian ilmu. Kita menadah tangan & mengaamiinkan doa yang dibaca oleh seseorang. Adakah perlu terbalikkan tangan apabila pembaca doa itu membaca doa tolak bala/musibah/bencana. Mohon pencerahan dari ustaz. Terima kasih.

Jawapan :  

Dari Abi Musa Al-Asy'ari ra berkata, "Nabi SAW berdoa kemudian mengangkat kedua tangannya, hingga aku melihat putih kedua ketiaknya." (HR Bukhari)

Hadis ini sohih kerana diriwayatkan oleh pakar hadis, Al-Bukhari. Jelas dan tegas sekali isinya, beliau meriyawatkan dari Abi Musa Al-Asy'ari tentang penglihatan beliau atas diri Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang sedang berdoa dan mengangkat kedua tangannya. Bahkan sampai disebutkan bahawa tingginya beliau mengangkat tangan, sehingga kedua ketiaknya tampak terlihat dan berwarna putih.

Sekilas membaca hadis ini, kita tahu bahawa mengangkat kedua tangan ketika berdoa pernah dilakukan oleh Rasullullah Salallahu 'Alaihi Wasallam.

Hadis berikutnya masih menguatkan hadis di atas:

Dari Salman Al-Farisy ra bahawa Nabi SAW bersabda, "Sesungguhnya tuhan kamu Maha Hidup dan Maha Pemberi. Dia malu kepada hamba-Nya, bila hamba itu mengangkat kedua tangannya, namun mengembalikannya dengan tangan kosong." (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizy dan Ibnu Majah)

Meski tidak tercantum di dalam sohih Bukhari atau sohih Muslim, namun para ulama menyatakan bahawa hadis ini tetap masih boleh diterima. Hadis ini boleh kita temukan di dalam kitab At-Targhib wa At-Tarhib jilid 2 halaman 195.

Isi hadis ini menyebutkan tentang teknik berdoanya seorang hamba, yaitu dengan mengangkat kedua tangannya. Jadi jelaslah bahawa mengangkat tangan ketika berdoa didasari oleh dalil yang kuat.Ulama yang membolehkan berdoa dengan mengangkat kedua tangan di antara mereka adalah Al-Hafidz Ibnu Hajar, ulama yang menulis Fathul Bari, sebuah kitab yang menjadi syarah (penjelasan) atas kitab Sohih Bukhari. Di dalam kitab yang tebalnya berjilid-jilid itu, beliau mengutip begitu banyak pendapat para ulama tentang kesunnahan mengangkat tangan ketika berdoa.

Selain itu ada juga Al-Imam An-Nawawi rahimahullah. Beliau di dalam kitab al-Majmu' Syarah al-Muhazzab menyebutkan bahawa mengangkat kedua tangan ketika berdoa (di luar istisqa') hukumnya sunnah.

Membalikan tangan ketika berdoa tolak bala tidak terdapat di dalam hadis sahih maka sebaik-baiknya kita berdoa seperti biasa membuka tangan semasa berdoa samaada untuk kebaikan atau untuk menolak keburukan / bala bencana. Wallahu a'lam

357. Soalan : Ustaz...saya nak bertanya. ..andai kata seseorg itu pernah terlanjur dan melahirkn seorang anak luar nikah, anaknya di beri kepada keluarga angkat...selepas itu tiba satu hari dia nak berkahwin...patut ke dia berterus terang tentag masa lalunya kepada pasangannya.?

Jawapan :  

Perkara yang telah lalu terutama yang melibatkan maruah dan keaiban wajiblah ditutup. Tidak perlu dibuka dan di ceritakan semula. Anak luar nikah yang telah di berikan kepada keluarga angkat jika hendak berkahwin perlu menjadikan hakim sebagai walinya. Jika keluarga angkat nak mencari wali si anak angkatnya untuk menjadi wali nikah maka ibu kandung anak tadi minta supaya ayah angkatnya menggunakan wali hakim. Jika perlu membuka cerita sebenar maka perlulah di rahsiakan di antara ayah angkat, ibu kandung dan naib kadi dan jangan maklumkan kepada anak luar nikah tersebut.

Seorang muslim yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya hendaklah sentiasa menjaga kehormatan dan aib saudaranya. Segala kekurangan yang ada hendaklah ditutup dan jangan di ceritakkan kepada orang lain. Allah SWT akan memberi ganjaran yang besar dan akan menutup aibnya dihari akhirat kepada mereka yang mengelakkan diri daripada mengumpat dan menceritakan keaiban saudaranya kepada orang lain semata-mata untuk menjaga maruah diri saudara seagama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat " (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat. (Hadis Riwayat Muslim).

Apabila seorang wanita dahulu pernah berzina hingga mendapat anak luar nikah dan dia pula telah mendapat calun suami yang baru maka dia wajib merahsiakan perbuatannya yang dahulu kepada bakal suaminya kerana Allah SWT sudah menutup aibnya maka dia tak boleh membuka aibnya itu kepada orang lain. Yang penting dia bertaubat nasuha dan berazam tidak akan mengulanginya lagi perbuatan terkutuk zina dan berazam untuk menutup aurat dan akan menjadi isteri solehah kepada suaminya yang baru. Wallahu a'lam.

358. Soalan : Apakah yang dimaksudkan bahawa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna dan apakah perbezaan di antara mereka yang menggunakan politik untuk agama berbanding dengan mereka yang menggunakan agama untuk politik? Jika terdapat perbezaan minta tolong diperjelaskan?

Jawapan : 

Islam adalah agama (ad-deen) yang lengkap dan sempurna yang meragkumi semua aspek kehidupan manusia. Dalam Islam terdapat bahagian akidah (tauhid) , ibadah, akhlak, pendidikan, kemasyarakatan, munakahad (kekeluargaan) , muamalat (ekonomi), siyasah (politik), perhubungan antara bangsa dan sebagainya.

Politik tidak boleh dipisahkan dengan ajaran Islam kerana politik adalah sebahagian daripada syariat Islam. Tertegaknya Daulah Islamamiah di Madinah menandakan bahawa perlaksanaan politik Islam telah dijalankan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Menggunakan Politik Untuk Islam 

Mereka yang menggunakan politik untuk Islam adalah mereka yang mengutamakan atau meletakkan Islam ditempat yang paling tinggi dan aktiviti politik itu hanya wasilah(jalan) untuk mendaulatkan Islam dan merealisasikan Islam dalam kehidupan. Berusaha untuk melaksanakan hukum hudud, qisas dan diyat sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Semua bentuk amalan dan perbuatan yang bertentangan dengan Islam akan ditinggalkan.

Semua urusan politik adalah urusan harian yang bersangkut paut dengan kehidupan masyarakat iaitu urusan perniagaan (jual beli) , kerja-kerja kebajikan, dakwah dan tarbiah, amar makruf nahi mungkar, bantu-membantu, ziarah menziarahi, sedekah, pembangunan fizikal, membangunkan kemajuan sain dan teknoloji dan lain-lain semuanya dilakukan semata-mata mencari keredaan Allah SWT dan tidak bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri. Semasa menjalankan aktiviti-aktiviti sesama manusai tidak melakukan rasuah, menipu, pilih kasih, mengambil riba, tamak haloba, hasad dengki, tidak membuat fitnah dan tidak mendedahkan aib orang lain. Matlamatnya bersih dan jalan-jalan yang digunakan juga bersih.(yang dibenarkan oleh syarak). Jika menjadi pemimpin akan bersifat jujur dan amanah dan bersikap adil.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan(Kaffah), dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” 
(Surah Al-Baqarah ayat 208).

Allah SWT menghendaki agar hamba-Nya bila memilih Islam sebagai pedoman hidupnya jangan ambil setengah-setengah, tetapi harus di ambil sepenuhnya dengan keyakinan menjalankan syariat Islam sesuai denga perintah dan larangan-Nya.

Peribadi mereka yang menggunakan politik untuk Islam adalah peribadi mukmin yang sentiasa berada di jalan yang hak , berlemah lembut dan mudah memaafkan kesalahan orang lain.

Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidaklah seseorang itu suka memaafkan, melainkan dia akan semakin mulia.” (Hadis Riwayat Muslim)

Menggunakan (Memperalatkan) Islam untuk politik 

Mereka yang menggunakan Islam untuk politik adalah mereka yang memperalatkan agama demi kepentingan politik mereka. Politik diletakkan di atas sekali sedangkan Islam diletakkan dibawah. Jika politik mereka sesuai dengan Islam baru mereka ambil Islam tetapi jika bertentangan dengan Islam maka Islam mereka tinggalkan dan mereka tetap dengan pendirian mereka. Demi memertabatkan kuasa politik sanggup mengadaikan prinsip Islam.. Mereka akan menggunakan semua cara samaada halal atau haram untuk mencapai matlamat. Kaedah ini dipanggil, "matlamat menghalalkan cara". 

Mereka sanggup membuat fitnah, dedahkan aib orang lain, menuduh zina atau liwath (mereka cipta vedio lucah), mengupah bloger-bloger dan media cetak untuk maki hamun, mengutuk, menghina, menimbulkan kebencian kaum, berbohong, menipu, manipulasi isu-isu, menyebarkan dakyah palsu melalui akhbar, television, media letronik dan mencipta akta-akta baru yang bertentangan dengan hak kebebasan yang dibenarkan oleh Islam. 

Seruan mereka kepada asyabiah kaum bukan kepada penyatuan umat Islam sejagat. Mereka tidak berlaku adil kepada kaum lain dan sering menimbulkan ketegangan dan penghinaan. Sedangkan keadilan Islam meragkumi semua rakyat yang memerlukan keadilan dan pembelaan tidak kira samaada mereka orang Islam atau bukan Islam.

Firman Allah SWT :

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ

Maksudnya: “Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain?”. (Surah Al-Baqarah ayat 85)

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Maaidah ayat 8)

359. Soalan : Apakah yang dimaksudkan dengan bersangka baik (husnul zon) dengan Allah SWT dan bersangka baik sesama manusia?

Jawapan 

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Allah SWT. berfirman, 'Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada diri-Ku." 
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya : "Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaaan kamu berbaik sangka dengan Allah." (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud bersangka baik dengan Allah ialah rasa takut dan harap yang saling bergandingan, ataupun rasa takut mengatasi rasa harap.

Ciri-ciri seorang hamba yang bersangka baik dengan Allah :

1. Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah SWT akan menerima ibadahnya itu dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran pahala.

2. Apabila berdoa dia tahu bahawa Allah SWT akan memakbulkan doanya.

3. Apabila dia berdosa, segera bertaubat dan bersangka baik bahawa Allah SWT akan menerima taubatnya dan mengampunkan dosanya.

4. Apabila ditimpa musibah, dia akan bersangka baik bahawa di sebalik ujian itu ada hikmahnya.

Bagaimana pula cara kita bersangka baik sesama manusia..?

1. Tidak menyebarkan keburukan saudara seIslam yang lain. Apabila mendapat berita daripada orang fasik untuk aibkan saudaranya dia siasat dahulu dan tidak akan mudah mempercayainya.

2. Nasihat-menasihati dan lengkap melengkapi andai ada kekurangan yang terserlah pada saudaranya.

3. Saling mendoakan kesejahteraan saudaranya tanpa diketahuinya.

4. Mudah memaafkan kesalahan saudaranya.

Secara mudahnya, berbaik sangka (husnul zon) ini sama maksudnya dengan berfikiran positif

Sikap berbaik sangka (husnul zon) adalah amalan yang dituntut Islam kerana perbuatan ini dapat mengelakkan dari menuduh orang lain berbuat keburukan yang secara tidak langsung jika tidak mempunyai bukti yang kukuh menjadikan kita pemfitnah. 

Firman Allah SWT: yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka kerana sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain; dan janganlah ada diantara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Apakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Hujuraat, ayat 12)  

360. Soalan :  Apakah itu istidraj minta dihuraikan?

Jawapan : 

Istidraj adalah pemberian Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredainya dan kejadian luar biasa yang diberikan kepada orang fasik yang mengaku mempunyai kelebihan luar biasa dengan mengemukakan pelbagai dalil untuk menguatkan kebohongannya. 

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (derhaka) ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah.”

Firman Allah SWT maksudnya : "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)." ( Surah al-An’aam ayat 44)

Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah SWT, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat.

Allah SWT sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah SWT dengan merendahkan diri. 

Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah SWT. Kemudian Allah SWT gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah SWT. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka. Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment