Friday, April 25, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 100 (Sifat-sifat Allah SWT, Tanda-tanda Allah Sayang, Zakat Pendapatan, Berkhatan Untuk Wanita dan Solat Taubat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 100 adalah menjelaskan persoalan sifat-sifat Allah SWT, tanda-tanda Allah sayang, zakat pendapatan, berkhatan untuk wanita dan solat taubat.

556. Soalan : Ustaz.. boleh terangkan maksud / penerangan dan contoh tentang sifat-sifat ini :

1. Sifat Salbiah
2. Sifat Nafsiyyah
3. Sifat Ma'nawiyyah
4. Dalil Ijmali.


Jawapan : 

SIFAT SALBIYAH

Maksudnya sifat yang menolak apa yang tidak layak bagi Allah. Atau dikatakan juga sifat yang digunakan untuk meniadakan sesuatu yang tidak layak bagi Allah. Sifat Salbiyah ini ada lima sifat yakni, 1- Qidam, 2- Baqo’, 3- Mukhalafatu lil hawaditsi, 4- Qiyamuhu binafsihi, 5- Wahdaniyyah.


SIFAT NAFSIYYAH(SIFAT KEPERIBADIAN)

Maksudnya sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal jika Allah tidak disifatkan dengan sifat ini. Atau boleh juga dikatakan sifat untuk menentukan adanya Allah, di mana Allah menjadi tidak mungkin ada tanpa adanya sifat tersebut. adapun yang tergolong sifat ini hanya satu yaitu sifat wujud.


SIFAT MA’NAWIYAH

Maksudnya sifat Allah yang dilazimkan atau tidak boleh dipisahkan dengan Sifat Ma’ani. Sifat Ma’nawiyah adalah sifat yang mulazimah atau menjadi akibat dari sifat ma’ani. Sifat ini terdiri dari tujuh sifat, yakni 1- Kaunuhu Qadiran, 2- Kaunuhu Muridan, 3- Kaunuhu Aliman, 4- Kaunuhu Hayyan, 5- Kaunuhu Sami’an, 6- Kaunuhu Bashiran, 7- Kaunuhu Mutakalliman.
 

Dalil Ijmali : Bagaimanakah yang dikatakan dalil-dalil secara ijmali ke atas 20 sifat Allah S.W.T.? Katakanlah dalil secara ijmali ke atas sifat wujud bagi Allah S.W.T. Secara ijmali, dalil-dalil yang menunjukkan Allah itu wujud, memadailah dengan mengatakan bahawa buktinya ialah adanya makhluk dan alam ini. Semua langit dan bumi serta segala yang baharu ini adalah membuktikan bahawa adanya Tuhan yang mencipta.

Begitu juga, apakah dalil-dalil ijmali yang menunjukkan bahawa Allah itu bersifat qidam? Cukup dan memadai jugalah kalau kita buktikan sifat itu dengan menunjukkan kepada kejadian alam dan makhluk ini, kepada kejadian Iangit dan bumi dan lain-lainnya.


557. Soalan : Ustaz..nak tanya macammana nak bagi Allah kasih sayang pada kita, macammana nak tahu yang Allah sayangkan kita,adakah nasib malang yang menimpa diri sesaorang di sebabkan Allah sayang pada orang tersebut?

Jawapan : 

1. Tanda Allah SWT kasih dan sayang pada kita adalah diberi kefahaman tentang ajaran Islam . Sabda Nabi SAW maksudnya, "Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang maka Ia memberinya kefahaman mengenai agamanya." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 

2. Allah SWT kurniakan sifat pada kita bersyukur apabila diberikan rezeki dan nikmat dan bersabar ketika di uji, maka kedua-duanya membawa kebaikan.Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya,“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2999) 


3. Tanda Allah kasih kepada hamba-Nya adalah apabila hati kita cenderung kepada kebaikan dan amal soleh dan benci kepada maksia dan dosa.
 

Jika kita diuji oleh Allah SWT sebenarnya Dia kasih dan sayang pada kita untuk menigkatkan iman dan takwa kepaad Allah SWT. Sehubungan itu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya, besarnya pahala sesuai dengan besarnya cubaan. Sesungguhnya, jika Allah mencintai suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Barang siapa yang reda dengan musibah itu maka baginya keredaan Allah. Dan barang siapa yang marah (tidak reda) dengan musibah berkenaan, maka baginya kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Sabda Rasulullah lagi yang maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hakikat dan tidaklah seorang hamba mencapai hakikat iman sehingga dia menyedari musibah yang menimpanya bukan untuk menyalahkannya dan kesalahan yang dilakukannya bukan sebab untuk ditimpakan musibah kepadanya.”

Syuraih rahimahullah berkata: “Aku benar-benar ditimpa musibah. Namun aku memuji kerana empat perkara. Aku memuji kerana musibah itu, bukan yang paling kuat, kerana kau dianugerahkan kesabaran menghadapinya. Kerana aku diberi taufik untuk mengucapkan ‘Ina lillahi wa inna ilaihi raji’un’ sehingga aku boleh memohon pahala, dan kerana musibah itu tidak dijadikan pada agamaku.


558.Soalan : Ustaz, saya nak tanya berkenaan dengan zakat pendapatan. Adakah zakat pendapatan wajib dikeluarkan sekiranya seseorang itu memperoleh gaji bwah RM2000 sebulan. Sebelum ni saya pernah bertanya pada org lain, ada yg berpendapat mengatakan zakat pendapatan sebenarnya tidak wujud, malah di dalam al-Quran pun tidak mengatakan yang zakat pendapatan wajib dibayar...mohon pencerahan

Jawapan : 

Zakat pendapatan adalah fatwa ulama mewajibkannya berdasarkan kemaslahatan umat Islam. Zakat Pendapatan
Majlis Fatwa Negeri Melaka :

Tarikh Keputusan:
22 May, 2000
Keputusan:
Zakat ke atas pendapatan bagi penggajian adalah wajib dikeluarkan oleh setiap orang Islam yang layak bagi seluruh Negeri Melaka.


Keterangan/Hujah:


HUJAH DAN DALIL

• Kewajipan zakat ke atas gaji atau pendapatan adalah berdasarkan kepada dalil Al-Qur’an, hadith Nabi Muhammad sallallahu `alayhi wasallam dan pendapat ulama’, antaranya:

1. Firman Allah Subhanahu Wata`ala:

{ يَأَيـُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ أَنفِقُواْ مِن طَيِّبَتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الأَرْضِ ، وَلاَ تَيَمَّمُ الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِئَاخِذِيهِ إِلاَّ أَن تُغْمِضُواْ فِيهِ ، وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ }

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), pada hal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi sentiasa Terpuji.” (Surah Al-Baqarah, 2:267)

Dalil ini digunakan bagi kewajipan zakat perniagaan tetapi ia boleh diqiyaskan juga kepada pendapatan dari penggajian berdasarkan kepada lafaz ( ما كسبتم ) yang boleh ditafsirkan kepada sebarang bentuk harta yang diusahakan.


2. Sabda Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam:

اعْلَمْ أَنَّ اللهَ قَدِ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَة فِيْ أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ إِلىَ فُقَرَائِهِمْ .
 

Maksudnya: “Beritahulah kamu kepada mereka bahawa Allah subhanahu wata`ala telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk disedekahkan. Diambil dari orang kaya untuk diberi kepada mereka yang faqir”.
(Muttafaq `Alayh)

• Pendapat Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitab Fiqh Az-Zakah seperti berikut:

1. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menggunakan konsep harta perolehan “al-mal al-mustafad”. Beliau menghuraikan harta seperti itu sebagai apa juga perolehan baru yang diperolehi secara halal. Menurut beliau, di bawah harta perolehan ini termasuklah gaji, pendapatan profesional, pendapatan-pendapatan dari modal yang tidak diperniagakan dan sebagainya.

2. Sekiranya “harta perolehan” merupakan keuntungan kepada harta yang sebelumnya telah dizakatkan, seperti harta perniagaan, pembiakan ternakan secara profesional dan sebagainya, maka perolehan itu perlu dicampur dengan kumpulan asal dan akan menjadi sebahagian daripadanya dalam perkiraan hawl dan nisab. Ini bermakna segala modal dan keuntungannya dizakatkan secara bersama. Inilah bentuk zakat yang biasa difahami. Sebaliknya sekiranya perolehan tersebut adalah harta yang telah dizakatkan dan belum sampai hawlnya seperti harga jualan hasil tanaman yang telah dizakatkan atau harga hasil ternakan yang telah dizakatkan sebelum itu, maka ianya tidak akan dikenakan zakat pada waktu itu kerana untuk mengelakkan dikenakan zakat untuk kali kedua.

3. Harta perolehan yang bukan keuntungan pelaburan kepada mana-mana harta yang dimiliki tetapi diperolehi melalui satu cara tersendiri seperti dalam bentuk upah atas apa-apa kerja yang dilakukan, pendapatan-pendapatan daripada modal yang tidak diperniagakan, hadiah, pemberian dan sebagainya adalah dikenakan zakat. Zakat yang diambil dari perolehan ini tidak tertakluk kepada syarat hawl.

• Sheikh Muhammad Abu Zuhrah berpendapat bahawa gaji dan pendapatan profesional dikenakan zakat sekiranya cukup hawl dan nisab. Beliau tidak menjadikan konsep “al-mal al-mustafad” sebagai asas kepada kewajipan zakat tersebut, sebaliknya menggunakan method “maslahah” sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina `Umar bin Al-Khattab radhiyallahu `anh.

• Dr. Yusuf Al-Qardhawi walaupun pada peringkat awalnya mengemukakan alasan secara nas dalam konsep “al-mal al-mustafad” tetapi akhirnya beliau kembali kepada konsep “maslahah” seperti yang dinyatakan oleh Sheikh Muhammad Abu Zuhrah. Beliau banyak menyebut tentang keadilan yang perlu ditegakkan dalam soal pembayaran zakat antara para pegawai dan ahli profesional yang mempunyai pendapatan yang besar dan para petani yang mempunyai pendapatan yang kecil.

• Profesor Madya Dr. Mahmood Zuhdi berpendapat bahawa meskipun nas-nas tidak banyak membantu fatwa mewajibkan pemungutan zakat ke atas gaji dan pendapatan profesional berasaskan kepada konsep “al-mal al-mustafad”, namun maslahah atau kepentingan semasa masyarakat menyokong kuat fatwa seperti itu. Penggunaan konsep maslahah atau kepentingan semasa masyarakat adalah sesuai dan tidak bertentangan dengan kaedah pembinaan hukum Islam yang diterima umum dalam Islam. Meskipun maslahah merupakan sumber subsidiari dalam perundangan Islam, namun ia boleh dipegang dalam keadaan seperti ini iaitu apabila tiada panduan yang jelas dari nas atau qiyas yang berasaskan kepada nas.
 

Umat Islam boleh membuat pilihan samaada nak bayar zakat pendapatan atau pun tidak kerana wang yang diterima tidak cukup tempuh masa setahun Hijrah. Tetapi zakat harta yang cukup nisab dan tempuh setahun wajib dibayar zakat harta 2.5 % ini tak ada khilaf ulama.

559.Soalan : Ustaz saya ada kemusyikilan tentang perkara bersunat bagi kanak-kanak perempuan. Apakah hukumnya jika setelah berumur 10 tahun kanak-kanak ini masih belum disunatkan. Minta pandangan terima kasih.

Jawapan : 

Dalil utama berkaitan 'Khatan' adalah

خمس من الفطرة : الختان والإستحداد وتقليم الأظافر ونتف الإبط وقص الشارب

Ertinya : Lima perkaea fitrah : berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur), memendekkan misai. (Hadis Riwayat Muslim)

Pandangan para ulama dalam memahami hadis di atas terbahagi kepada tiga kumpulan :-

1) Hukumnya sunat bagi lelaki dan wanita . Ia adalah pandangan Imam Malik dalam satu riwayat, Abu Hanfiah dan sebahagian ulama mazhab Syafie.

2) Wajib bagi lelaki dan wanita . Demikian fatwa Mazhab Syafie dan kebanyakan Ulama dan juga pandangan Imam Suhnun anak murid Imam Malik,

3) Wajib bagi lelaki dan hukumnya sunat bagi wanita. Demikian sebahagian ulama Syafie, dan mazhab Hanbali.

Kesimpulan perkara, disepakati bahawa khatan bagi lelaki adalah wajib, dan jika warga lelaki satu negara semuanya tidak berkahatan, maka pemerintah perlu bertindak ke atas mereka.

Syeikh Atiyyah Saqar memberikan ijtihad beliau setelah meneliti dalil-dalil yang ada..katanya tiada dalil yang sohih serta terlepas dari komentar yang menunjukkan wajib bagi wanita untuk berkhatan.

Syeikh Mahmud Syaltut (bekas Syeikhul Azhar) pula mengatakan bahawa para doktor berkata kesan daripada wanita tidak berkhatan adalah akan menaikkan syahwatnya dan dibimbangi mendorong kepada sesuatu yang tidak diingini.

Berkata pula Prof. Dr Md Hasan Al-Hafnawi , pakar perubatan kulit di kuliah perubatan al-azhar dan Dr Md Sadiq selepas meliaht hadith2 Nabi, mereka memberi pandangan dari aspek perubatan .

Kelentt wanita (yang dipotng sebahagian jika dikhatan) yang berada di pangkal faraj wanita memberi rangsangan terkuat untuk hubungan lelaki dan wanita, dan kekuatan rangsangannya boleh mencecah 7 kali lebih sensitif dari zakar lelaki.."

dan pelabagi lagi hasil kajian mereka yang tidak sempat saya terjemahkan. di akhirnya pakar perubatan ini berkata :

" Demi menjaga maruah dan kehormatan wanita dan kewanitaannya, wajiblah kita mengikuti ajaran Islam dalam hal ini, yang terbaik bagi wanita adalah "isymam" atau memotong sedikit hujung dari kelentit . ( Majalah, Oktober 1994)

Menurut pandangan dan kajian oleh Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zadul Ma'ad, pandangan yang paling tepat adalah Rasulullah SAW di khatankan oleh Abd Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda mengikut kebiasaan Arab.


560. Soalan : Ustaz boleh terangkan cara-cara dan tertib untuk menunaikan solat taubat.?

Jawapan : 

Solat Sunat Taubat dilakukan selepas seseorang itu melakukan dosa dan kesalahan atau perlanggaran hukum-hukum agama atau berasa dirinya bersalah dan berdosa kepada Allah SWT. kemudian menyesali atas perbuatan itu dan ingin kembali semula ke jalan Allah (bertaubat).

Rasulullah SAW. telah bersabda: “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT., Allah pasti akan menerima permohonannya itu. Kemudian bacalah ayat ini:

“Mereka yang pernah mengerjakan perbuatan dosa atau telah berbuat dosa terhadap dirinya sendiri lalu mereka bersegera mengingati Allah dengan memohon keampunan Ilahi terhadap dosa yang dilakukan itu. Siapakah yang akan mengampuni segala dosa, selain Allah? Kemudian itu mereka berasa insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka mereka akan diberi pahala dan ganjaran syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan disitulah tempat mereka selamanya.” (HR Abu Daud, Nasa’I, Ibnu Majah dan Baihaqi.)

Solat Taubat boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang dikehendaki, tetapi lebih afdal pada waktu tengah malam dimana suasananya lebih sunyi dan tenang.
.
Fadhilat Taubat:

1. Diampunkan Allah SWT.

2. Dimudahkan segala urusan.

3. Menceriakan kehidupan seharian.

4. Menghilangkan perasaan yang menekan.

5. Mencegah dosa dan menghindari gangguan.
.
CARA SOLAT TAUBAT
.
1. Niat Solat Sunat Taubat: (Sahaja aku solat sunat taubat 2 rekaat kerana Allah Taala)
.
2. Bacaan surah selepas Al-Fatihah:

Rakaat pertama: Surah Al-Kafirun

Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
.
3. Semasa sujud terakhir pada rakaat kedua (sebelum duduk Tahiyyat Akhir) Hendaklah berdoa dan bertaubat di dalam hati di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan dan mohon agar dosa kita di ampunkan oleh Allah SWT.
.
4. Setelah memberi salam hendaklah memperbanyakkan beristighfar :
dan membaca doa Nabi Yunus a.s . Menurut sebuah hadis sahih riwayat Tirmizi, Nabi SAW menyatakan yang bermaksud : "Sesungguhnya tiada seorang muslim pun memanjatkan doa ini dalam apa keadaan sekali pun, melainkan Allah akan memperkenankannya." (Hadis Riwayat Tirmizi dalam bab al-Da'awat no. 3505, di anggap sahih oleh al-Albani)

Firman Allah SWT :

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87

Maksudnya : "Dan (ingatlah kisah) Dzun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahwa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya), maka ia menyeru dalam tempat yang sangat gelap (dalam perut ikan, di dalam laut dan pada malam hari) : 'Bahwa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim'." (Surah al-Anbiya' (21) ayat 87)

a. Bacalah istighfar berikut sebanyak 100 kali;

.Istighfar sebagai penebus dosa, dalam satu riwayat Rasulullah shalallahu alaihi wasalam pernah bersabda:

مَنْ قاَلَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمِ اَلَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيُّ الْقَيُوْمُ وَ أَتُوْبُ إِلَيْهِ

"Barangsiapa mengucapkan 'Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi' akan diampuni dosa-dosanya, meskipun pernah lari dari medan peperangan" (Hadis Riwayat Al Hakim)

b. Kemudian bacalah Penghulu Istighfar sebanyak 3 Kali :"Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hambaMu dan aku di dalam genggamanMu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan Taat ) kepadaMu sekuat mampuku. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau." (Hadis Riwayat Bukhari )

No comments:

Post a Comment