Saturday, April 12, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 92 ( Suami Tak Beri Nafkah, Solat Tahajud, Ibu Kandung dan Ibu Angkat, Rasuah Untuk Dapat Jawatan dan Fidyah Untuk Si mati.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 92 adalah menjelaskan persoalan suami tak beri nafkah, solat tahajud, ibu kandung dan ibu angkat, rasuah untuk dapat jawatan dan fidyah untuk si mati.

516. Soalan : Ustaz,berdosakah seorang isteri bila menegur suaminya supaya mencari nafkah untuk keluarganya,dan apakah hukumnya bila suami mengabainya?

Jawapan : . 

Isteri perlu menasihati suaminya mencari nafkah yang halal untuk keluarga kerana suami yang mengabaikan tanggungjawab ini berdosa disisi Allah SWT melainkan suami yang sakit dan uzur. Suami wajib memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal dengan baik

Yang dimaksud nafkah adalah harta yang dikeluarkan oleh suami untuk isteri dan anak-anaknya berupa makanana, pakaian, tempat tinggal dan hal lainnya. Nafkah seperti ini adalah kewajiban suami berdasarkan dalil Al Quran, hadis, ijma dan logika.

Dalil Al Quran, Allah Taala berfirman,maksudnya, " Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya" (Surah. Ath-Thalaq ayat 7).

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan kewajiban bapa memberi makan dan pakaian kepada isterinya dengan cara makruf (Surah Al Baqarah ayat 233).

Ibnu Katsir rahimahullah berkata, Bapa dari si anak punya kewajiban dengan cara yang makruf (baik) memberi nafkah pada ibu si anak, termasuk pula dalam hal pakaian. Yang dimaksud dengan cara yang makruf adalah dengan memperhatikan kebiasaan masyarakatnya tanpa bersikap berlebih-lebihan dan tidak pula kikir. Hendaklah ia memberi nafkah sesuai kemampuannya dan yang mudah untuknya, serta bersikap pertengahan dan hemat (Tafsir Al Quran Al Azhim, 2: 375).

Dari Jabir, Nabi Sallallahu Alaihi Wa sallam bersabda ketika haji wada,

"Bertakwalah kepada Allah pada (penunaian hak-hak) para wanita, kerana kalian sesungguhnya telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan kalian menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimat Allah. Kewajiban isteri bagi kalian adalah tidak boleh permadani kalian ditempati oleh seorang pun yang kalian tidak sukai. Jika mereka melakukan demikian, pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakiti. Kewajiban kalian bagi isteri kalian adalah memberi mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang maruf (Hadis Riwayat Muslim no. 1218).

Dari Muawiyah Al Qusyairi radhiyallahu anhu, ia bertanya pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa sallam mengenai kewajiban suami pada isteri, lantas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa sallam bersabda,

"Engkau memberinya makan sebagaimana engkau makan. Engkau memberinya pakaian sebagaimana engkau berpakaian -atau engkau usahakan-, dan engkau tidak memukul isterimu di wajahnya, dan engkau tidak memburuk-burukkannya serta tidak memboikotnya (dalam rangka nasihat) selain di rumah (Hadis Riwayat Abu Daud no. 2142. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini hasan shahih).

Dari Aisyah, sesungguhnya Hindun binti Utbah berkata kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa sallam, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang suami yang kikir. Dia tidak memberi untukku dan anak-anakku nafkah yang mencukupi kecuali jika aku mengambil wangnya tanpa sepengetahuannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa sallam bersabda, "Ambillah dari hartanya yang boleh mencukupi keperluanmu dan anak-anakmu dengan kadar sepatutnya (Hadis Riwayat Bukhari no. 5364).

Lalu berapa besar nafkah yang menjadi kewajiban suami?

Disebutkan dalam ayat,

"Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. (Surah Ath Tholaq ayat 7).

"Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula) (Surah Al Baqarah ayat 236).

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wa sallam kepada Hindun,
"Ambillah dari hartanya yang boleh mencukupi keperluanmu dan anak-anakmu dengan kadar sepatutnya (Hadis Riwayat Bukhari no. 5364).

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa yang jadi asas dalam hal nafkah:

1. Mencukupi isetri dan anak dengan baik, ini berbeda tergantung keadaan, tempat dan zaman.

2. Dilihat dari kemampuan suami, apakah ia termasuk orang yang dilapangkan dalam rezeki atau pun tidak.

3. Termasuk dalam hal nafkah adalah untuk urusan pakaian dan tempat tinggal bagi isteri. 

Asasnya adalah dua hal yang disebutkan di atas.

Mencari nafkah bagi suami adalah suatu kewajiban dan jalan meraih pahala. Oleh kerana itu, bersungguh-sungguhlah menunaikan tugas yang mulia ini. Wallahu a'lam

517. Soalan ; Saya nak tanye.kalau kita nak sembahyang tahjud kita kena tidur dulu.Apabila nak sembahyang perlu kah kita mandi dulu?

Jawapan : 

Apabila kita nak solat tahajud kena tidur dahulu walaupun sebentar setakat 10 minit. Tak perlu mandi melainkan kita berjunub maka wajiblah mandi junub dahulu.Solat tahajud merupakan solat yang dikerjakan pada malam hari setelah tidur, walaupun tidurnya hanya sebentar saja. Hal ini sesuai dengan makna kata "Tahajjud" yang ertinya "Bangun dari Tidur"

Jadi, syarat utama untuk melaksanakan solat tahajud adalah telah tidur sebelumnya walaupun hanya sebentar. Pendapat ini merupakan pendapat majoriti ulama feqah seperti Imam Nawawi, Syekh Dr Said Ali bin Wahf, Ibnu Faris dan sebagainya.

518. Soalan : Antara ibu kandung dan ibu angkat.Ibu kandung mengandung dan melahirkan.Ibu angkat memelihara dari hari pertama dilahirkan sehingga dewasa dan berkahwin.Siapa yg perlu diutamakan? Ibu kandung atau ibu angkat?

Jawapan : 

Walaupun ibu kandung tak membela dari kecil hingga dewasa , ibu kandung tetap ibu dan tidak kurang sedikit pun hak kepada si ibu. Anak wajib taat dan patuh padanya dan tak boleh menderhakai ibu kandungnya. Ibu angkat adalah wanita yg berjasa dan wajib kita hormati dan membalas jasanya kerana membela dan memberi nafkah kepada kita sejak kecil di sekolahkan hingga dewasa.Allah SWT akan membalas jasa baik ibu angkat. 

Darisegi waris harta anak kandung tetap akan mendapat harta pusaka jika ibu kandung meninggal dunia tetapi anak angkat tak dapat harta pusaka ibu angkat jika beliau meninggal dunia. Ibu angkat boleh memberikan hibah (hadiah) semasa hidup dan boleh membuat wasiat untuk anak angkat. 

Dalam keadaan ini si anak perlulah menjaga hati kedua-duannya dan jangan menyenggung perasaan kedua-dua mereka. Perlulah bersikap adil dan meraikan kedua-duanya dan jangan putuskan silaturahim walaupun jika berlaku pertembungan diantara ibu kandung dan ibu angkat.

519. Soalan : Apakah hukum mendapatkan jawatan dengan cara merasuah seperti belanja makan dan memberi duit poket kepada seseorang sebelum berlangsungnya menyuarat pemilihan jawatan. Lebih menyedihkan, perkara seperti ini berlaku juga dalam perebutan jawatan institusi masjid. Apakah status jawatan tersebut.? Wassalam

Jawapan : 

Untuk mendapatkan jawatan samaada jawatan di dalam politik, di dalam persatuan atau pemilihan jawatankuasa masjid HARAM memberi rasuah. Rasuah adalah perbuatan yang ditegah dan haram di sisi Islam. Sesiapa yang memberi dan mengambil rasuah adalah melakukan perbuatan yang haram dan di murkai oleh Allah SWT.

Apakah takrif rasuah dan perbuatan macamana yang termasuk dalam kategori rasuah? Rasuah ialah “Memberikan apa jua bentuk pemberian seperti hadiah dan wang tunai untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan , pertolongan , diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan dan sebagainya dengan jalan yang salah."

Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan)” (Hadis Riwayat Abu Daud : 2943, Dinilai oleh Albani sebagai sahih)

Begitu juga dengan sebuah riwayat yang menceritakan bagaimana Rasulullah SAW pernah mengutus seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Rawahah ke Khaibar untuk melakukan penilaian dan pembahagian hasil tanaman buah kurma kerana baginda telah menetapkan bahawa hasil tanaman kurma tersebut mestilah dibahagi kepada dua bahagian : Setengah daripadanya untuk kaum Yahudi dan setengah lagi diberikan kepada kaum Muslimin.

Apabila Abdullah sedang sibuk menjalankan tugasnya , maka datanglah orang-orang Yahudi membawakan kepadanya pelbagai hadiah dari barang-barang perhiasan dan sebagainya serta berkata kepada Abdullah :

“Perhiasan ini untuk kamu wahai Abdullah, maka ringankanlah kami dan berikanlah kepada kami hasil kurma itu lebih dari separuh,” Lalu dijawab oleh Abdullah menjawab, “Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!” Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, “Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!” (Hadis Riwayat Imam Malik, Al Muwattha':1450)

Rasuah adalah perbuatan jenayah yang telah menular dan menjadi darah daging dalam kehidupan masyarakat manusia di semua tempat. Berdasarkan laporan dalam media cetak dan elektronik di dapati pada kebiasaannya penglibatan rasuah dalam politik, sektor perkhidmatan awam, swasta dan orang awam meliputi perbuatan meminta, menawar, menerima suapan atau tuntutan palsu atau menyalahguna jawatan untuk kepentingan diri, keluarga dan puak tertentu. 

Rasuah dalam perspektif hukum Islam adalah haram. Ini berdasarkan dalil yang qat’ie iaitu al-Qur'an, as-Sunnah dan Ijmak Ulamak. Dalam al-Qur'an terdapat ayat yang menggariskan tentang rasuah berdasarkan firman Allah SWT. dalam surah al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: “ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Manakala sabda Rasulullah SAW. maksudnya : “ Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api Neraka”.
(Hadis Riwayat at-Tabrani)

Berdasarkan pemerhatian, punca-punca menyebabkan berlaku rasuah ialah bernafsu besar atau sifat tamak haloba, sikap mahu hidup mewah, memburu kekayaan dengan cepat, tidak bersyukur serta terikut-ikut dengan rakan-rakan sekerja.

Sama ada disedari atau tidak bahawa mereka yang terlibat dengan jenayah ini sebenarnya mengakibatkan beberapa kesan buruk seperti pembahagian kekayaan negara tertumpu kepada orang tertentu sahaja, meningkatkan kadar inflasi dan berleluasa kezaliman dalam masyarakat. Dengan demikian golongan yang paling malang dan rugi ialah golongan yang berpenat lelah mencari rezeki halal menggunakan tulang empat kerat seperti para petani, nelayan, penoreh getah, buruh kasar dan kumpulan dhaif yang lain . 

Apakah kesan yang negatif akan berlaku sekiranya jenayah rasuah ini berleluasa di dalam masyarakat kita?

Kesan-kesannya adalah seperti berikut:

1. Tidak akan berlaku keadilan di dalam keputusan perbicaraan dimahkamah. Mereka yang tidak bersalah akan dizalimi dan penjenayah akan terlepas daripada hukuman yang patut diterima.

2. Barang-barang penyeludupan dapat masuk dengan mudah dan negara akan kerugian untuk mendapatkan cukai barangan import.

3. Para penjenayah akan terlepas dengan mudah tanpa didakwa dimahkamah.

4. Keselamatan negara akan terancam apabila ada pihak tertentu menjual maklumat negara kepada pihak luar dan menjadi 'musuh dalam selimut'

5. Kualiti sesuatu projek pembangunan akan berkurangan dan mugkin boleh membahayakan keselamatan pengguna apabila ianya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

6. Rakyat akan memiliki pemimpin yang rendah akhlaknya dan tidak beramanah kerana terpaksa memilih mereka disebabkan terpengaruh dengan habuan yang diberikan.

Rasuah adalah perbuatan haram yang boleh mengakibatkan tertolaknya ibadah solat dan do'a kita. Alangkah ruginya kita disebabkan perbuatan rasuah ibadah dan do'a kita menjadi sia-sia, justeru akan menjauhkan kita daripada mendapat rahmat Allah s.w.t.. 

Lebih membimbangkan lagi jika kita tidak segera membanteras penyakit rasuah boleh menyebabkan kita terdedah dengan pelbagai malapetaka dan bencana dalam kehidupan, akibat kemurkaan Allah seperti firman Allah SWT. dalam surah Ali Imran ayat 112:
Maksudnya: “Mereka ditimpa kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka ingkar akan ayat-ayat Allah, dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas.” 

Jika ketua keluarga membawa wang haram hasil daripada rasuah dan memberi makan anak isterinya maka wang haram ini mengakibatkan do'a-do'a mereka terhijab dan tidak akan dimakbulkan oleh Allah SWT. dan daging yang tumbuh daripada harta yang haram lebih layak menjadi bahan bakar api Neraka. 

Pada suatu hari Saad bin Abi Waqqas bertanya kepada Rasulullah SAW. : "Ya Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar aku dijadikan Allah orang yang makbul doanya." Rasulullah SAW. menjawab, "Hai Saad, makanlah yang baik (halal) tentu engkau menjadi orang yang makbul doanya. Demi Allah yang memegang jiwa Muhammad, sesungguhnya seorang yang pernah melemparkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya (perutnya), maka tidaklah akan dikabulkan doanya selama 40 hari. Siapa saja manusia yang dagingnya tumbuh dari makanan yang haram, maka Nerakalah yang berhak untuk orang itu."
(Hadis Riwayat Alhaafidh Abubakar bin Mardawih dikutip oleh Alhaafidh Ibnu Kathin dalam tafsirnya).

Sebagaimana dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, menceritakan sorang lelaki yang bermusafir menadah tangan memohon doa kepada Allah SWT, lantaran Rasulullah menegaskan bagaimanakah mahu diperkenankan doanya, sedangkan makannya dari benda yang haram, minumannya haram, pakaiannya juga haram dan dia dibesarkan dengan memakan makanan yang haram.

Marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan cara melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping berusaha mencari kehidupan yang diberkati dan diredhai serta hidup kita dengan berbekalkan sumber rezeki halal dan dapat menjauhkan diri daripada memberi dan menerima rasuah. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat.

520. Soalan :  Ustaz,,boleh kah seorg kakak mengantikn puasa adiknya yang telah meninggal dunia?

Jawapan : 

Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hadis Riwayat Tarmizi daripada Ibnu Umar) 

Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menggantikannya dengan berpuasa sesuai dengan yang dinazarkan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila sakit seorang lelaki dalam bulan Ramadan kemudian ia meninggal dunia, padahal ia tidak berpuasa maka ia harus membayar fidyah (memberi makan orang miskin seorang sehari atas namanya). Tiada qada atasnya. Dan jika puasa nazar hendaklah diqahakan oleh wali atau warisnya". (Hadis Riwayat Abu Daud daripada Ibnu Abbas)

No comments:

Post a Comment