Saturday, April 12, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 93 ( Bersalaman Dengan Bukan Mahram, Hukum Bernazar, Nafkah Dari Sumber Yang Haram, Larangan Semasa Iddah, Multi Level Marketing (Sistem Pyramid) dan ayat Al-Quran Untuk Ibu Mengandung)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 93 adalah menjelaskan persoalan bersalaman dengan bukan mahram, hukum bernazar, nafkah dari sumber yang haram, larangan semasa iddah, multi level marketing (sistem pyramid) dan ayat al-Quran untuk ibu mengandung.

521. Soalan : Apakah batas-batas aurat antara kakak ipar dengan adik ipar dan batas aurat antara lelaki dengan sepupu wanita .. Saya pernah dengar ada keringanan dalam batas aurat ini.. mohoh penjelasan.?

Jawapan : 

Batas aurat wanita samaada dengan adik ipar atau kakak ipar, atau sesama sepupu adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan sehingga pergelangan tangan. : Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A’raaf ayat 26)

Batas aurat untuk wanita muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ( 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada:
* suami mereka atau
* bapa mereka atau
* bapa mertua mereka atau
* anak-anak mereka, atau
* anak-anak tiri mereka atau
* saudara-saudara mereka atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
* perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau
* orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
* kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)

Berdasar ayat diatas wanita muslim hanya boleh membuka aurat kepada 11 golongan sahaja sedangkan golongan dibawah tidak boleh dibuka auratnya (walaupun terdiri daripada saudara maranya)

1. Suami kepada ibu saudara.

2. Sepupu lelaki.

3. Abang ipar (suami kepada kakaknya)

4. Adik ipar (suami kepada adiknya)

5. Semua lelaki yang bukan mahramnya.

Wanita muslim perlu juga mengambil perhatian mereka tidak boleh bersalaman dengan 5 golongan tersebut di atas kerana mereka bukan mahramnya. Hanya dengan mahram sahaja boleh bersalaman. Kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat mereka dirumah kepada kaum keluarga yang bukan mahram dan suka bersalaman dengan mereka dengan tujuan menjaga hati mereka sedangkan bersalaman dengan bukan mahram haram hukumnya.

Bilakah bermulanya wanita muslim diwajibkan menutup aurat?

Wanita muslim diwajibkan menutup aurat adalah ketika mencapai usia akil baligh.

Untuk wanita usia akil baligh adalah wanita yang berakal dan cukup umur dan telah datang haid. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun dan sudah wajib menunaikan perintah Allah SWT. Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan.

Apakah jenis-jenis pakaian wanita yang dikira tidak menutup aurat seperti kehendak agama?

1. Pakaian yang dipakai terlalu nipis hingga menampakkan bayangan warna kulit.

2. Tudung yang dipakai terlalu nipis dan tidak menutup dada-dada mereka.

3. Baju dan seluar yang dipakai terlalu ketat hingga menampakkan bentuk badan dan peha mereka.

4. Tudung yang dipakai hanya membelit leher mereka dan tidak dilabukkan ke dada mereka.

5. Sebahagiannya memakai tudung tetapi memakai baju kemeja T, hingga menampakkan lengan tangan mereka dan memakai seluar yang ketat.

Wanita boleh berfesyen dan bercorak untuk tudung dan baju kurung , baju maxi atau jubah tetapi biarlah labuh dan menutup keseluruhan tubuh dan jangan menampakkan bentuk badan dan menutup sebahagian besar dada-dada mereka kerana disitulah terletak perhiasan wanita. Jika bercadang nak memakai seluar biarlah seluar yang labuh bukan seluar jeans atau slack.

Firman Allah SWT maksudnya : ”Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, 'hendaklah mereka menutupkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka (memakai baju yang labuh dan longgar)'. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah al-Ahzab ayat 59).

Asbabun Nuzul ayat 59.

Aisyah r.ha. menceritakan bahawa peristiwa ini terjadi setelah turunnya ayat hijab. Suatu saat Saudah r.ha, salah satu isteri Rasulullah , keluar rumah untuk suatu urusan. Umar bin al-Khattab r.a melihat Saudah r.ha dan bertanya, 'Mengapa kau keluar rumah?' Saudah r.ha bergegas pulang ia menemui Rasul dan berkata, 'Rasulullah , aku keluar rumah untuk suatu urusan. Namun Umar menegurku'. Atas hal itu, turun ayat ini.Lalu Rasul bersabda, "Sesungguhnya Allah telah mengizinkan kamu keluar rumah untuk sesuatu urusan." (Hadis Riwayat Bukhari)

Jika semua wanita muslim yang telah sampai usia akhil baligh menutup auratnya, menjaga pergaulan dengan lelaki yang bukan mahram, tidak mendekati zina dan sentiasa menjaga adab-adab dan akhlak Islam maka masyarakat akan mempunyai suasan yang baik dan tidak mungkin berlaku gejala sosial dan melahirkan ramai anak-anak tidak sah taraf. Islam amat tegas dalam menjaga aurat dan kehormatan kaum wanita kerana wanita adalah aset penting untuk melahirkan keluarga muslim dan masyarakat Islam yang mampu mendaulatkan hukum-hukum Allah SWT. Tanpa ada wanita sebagai ibu dan isteri solehah tidak mungkin keluarga muslim, masyarakat Islam dan daulah Islamiah dapat dilahirkan dalam negara kita.

Oleh itu wahai lelaki mukmin kalian bertanggungjawab untuk memastikan bahawa kaum wanita yang berada didalam tanggungan kalian (isteri-isteri, anak-anak perempuan, adik dan kakak dan ibu) sentiasa menutup auratnya dan berakhlak dengan akhlak Islam. Gunakan cara hikmah dan perkataan yang baik untuk menasihati mereka supaya mereka sentiasa berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Di dalam rumah jika ada bukan mahram seperti sepupu lelaki, suami kepada emak saudara, adik ipar atau abang ipar auratnya adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan hingga pergelangan tangan. Kelonggarannya adalah pada tapak kaki hingga buku lali (perkara ini menjadi khilaf ulama) jika kesukaran untuk memasuki tandas atau bilik air. Dalam Al-Mufassal Dr Abd Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198)

Beliau mengatakan bahawa masalah menganggap kaki wanita sebagai aurat atau tidak adalah perkara yang menjadi khilaf dikalangan ulama mazhab.Ringkasnya :

1. Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita adalah tidak termasuk dalam lingkungan aurat.
2. Mazhab Maliki pula terbahagi kepada 2.Sebahagian ulamanya mengatakan tidak aurat dan sebahagian yang lain mengatakan aurat.Walaubagaimana pun pendapat yang muktamad dalam mazhab maliki ialah kaki bukan aurat.
3. Mazhab Syafi’e pula mengatakan ianya sebagai aurat.
4. Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.

Pendapat yang Rajih :

Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya tersebut ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya , maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya.

522. Soalan : Ustaz,boleh tak tolong berikan penjelasan tentang nazar ? Terima kasih

Jawapan : 

Sebahagian ulama termasuk Syeikh Ibnu Uthaimin rahimahullah melihat bahawa hukum nazar adalah makruh Ini berdasarkan hadis Ibnu Omar bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

لا تَنْذُرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنَ الْقَدَرِ شَيْئًا وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ من الْبَخِيل

Maksudnya, “Janganlah kalian bernazar; sesungguhnya ia tidak boleh mempengaruhi takdir; ia hanya dilakukan oleh orang yang bakhil” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini hukum nazar secara umum. Adapun kalau seseorang itu sudah pun bernazar, maka wajib untuknya melaksanakannya selama mana yang terkandung di dalam nazarnya itu adalah suatu yang baik atau harus. Sebagaimana sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلا يَعْصِهِ

Maksudnya, “Barangsiapa bernazar untuk taat kepada Allah maka hendaklah dia taat; dan barangsiapa bernazar untuk kemaksiatan maka janganlah dia melakukannya” (Hadis Riwayat Bukhari).

Adapun nazar untuk perkara maksiat, cukup dengan dia tidak menunaikan nazar itu kerana ia maksiat. Tidak ada kafarah yang wajib ke atasnya.

Selain itu, bagi mereka yang melanggar nazar atau ingin menebus nazarnya, kafarah nazar adalah:

1. Memberi makan kepada sepuluh orang miskin; atau

2. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin; atau

3. Memerdekakan seorang hamba.

Perlu utamakan kafarah pertama dulu kemudian baru kedua dan ketiga. Jika ketiga-tiganya tak mampu maka barulah boleh puasa 3 hari berturut-turut.

Sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Maa’idah, ayat 89.
Firman Allah SWT maksudnya, "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah- sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah - sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat- ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur."

Nazar muqayyad

Nazar muqayyad ialah yang disyaratkan dengan mendapat sesuatu atau terselamat daripada sesuatu.

Contohnya; ‘Kalau aku dapat anak aku akan puasa sehari’ atau ‘Kalau aku selamat daripada musibah ini aku akan sedekah kepada fakir miskin’.

Hadis-hadis yang menyatakan larangan bernazar adalah untuk nazar yang seperti ini. Hukumnya adalah makruh berdasarkan hadis;

عن عبد الله بن عمر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم نهى عن النذر وقال إنه لا يأتي بخير إنما يستخرج به من البخيل

“Daripada Abdullah bin Omar bahawasanya Rasulullah Sallalahu Alaihi Wasallam melarang daripada bernadzar dan Baginda mengatakan: Ia tidak mendatangkan kebaikan. Ia hanya dilakukan oleh mereka yang bakhil”
(Hadis Sahih Riwayat Ibnu Majah).

SYARAT NAZAR YANG BERKAITAN DENGAN APA YANG DINAZARKAN

Syarat nazar yang berkaitan dengan perkara yang dinazar pula ada 2 syarat iaitu :

Pertama : Perkara yang dinazar itu merupakan perkara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah

Tidak boleh bernazar kepada perkara yang diharuskan oleh syarak kerana perkara itu tidak membawa kepada pahala atau dosa bagi sesiapa yang melakukannya. Jika seseorang itu bernazar dalam perkara yang diharuskan seperti makan, minum, tidur dan sebagainya maka ia tidak memberi kesan apa-apa kepada nazarnya.

Dalilnya adalah sebagaimana hadis riwayat imam Bukhari daripada Ibnu Abbas telah memberitahu : Adalah nabi S.A.W ketika berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang bangkit dan bertanya tentang dirinya. Maka mereka(para sahabat) bertanya : Abu Israel telah bernazar untuk sentiasa bangun, tidak duduk, tidak berteduh, tidak bercakap dan berpuasa. Maka jawab baginda S.A.W yang bermaksud : Biarkan maka bercakaplah, berteduhlah, duduklah dan tunaikan puasanya.

Hadis ini menunjukkan kepada kita bagaimana Rasulullah S.A.W menyuruh orang yang bernazar tadi untuk hanya berpuasa kerana puasa merupakan perkara ibadat dan taat. Maka menunaikan nazar berpuasa itu adalah wajib.
Begitu juga dilarang bernazar dalam perkara yang diharamkan seperti membunuh dan berzina.

Dilarang juga bernazar dalam perkara yang makruh seperti bernazar untuk meninggalkan sunat rawatib setiap kali selepas solat fardhu. Ini adalah kerana bernazar untuk melakukan perkara makruh dan haram bukan termasuk dalam perkara yang bertujuan untuk mendekatkan dirui kepada Allah dan ibadat.

Dalil yang mana imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : Bukan nazar dalam melakukan maksiat kepada Allah.

Abu Daud meriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Bukan nazar melainkan pada apa yang mengharapkan penerimaan Allah.

Kedua : Perkara yang dinazar itu bukan daripada kewajipan yang memang telah diwajibkan dari mulanya lagi

Sekiranya seseorang itu bernazar untuk solat Zohor atau ingin mengeluarkan zakat hartanya maka nazarnya itu tidak sah kerana nazarnya itu tidak membawa kesan kepada kewajipan yang baru. Ini disebabkan solat Zohor dan zakat hartanya itu memang telah wajib dari mulanya lagi tanpa memerlukan kepada nazar lagi.

Dan terkeluar daripada kewajipan yang telah ditentukan ialah perkara yang diwajibkan secara fardhu kifayah maka ia diharuskan untuk bernazar dengannya. Sebagai contohnya seseorang itu bernazar ingin solat jenazah atau pun belajar ilmu fardhu kifayah seperti kedoktoran, jurutera dan sebagainya maka nazar ini diharuskan. Ini adalah kerana nazarnya tadi akan menjadikan fardhu kifayah pada asalnya kepada fardhu ‘ain. Fardhu kifayah hanya diwajibkan kepada sesetengah orang atau kumpulan sahaja di mana jika telah ada demikian itu maka segala kewajipan tadi akan gugur ke atas orang lain sedangkan fardhu ‘ain diwajibkan ke atas individu dalam apa jua keadaan.

Rukun Nazar

1. Orang yang bernazar.

2. Pekara yang dinazarkan.

3. Ucapan yang diguna untuk bernazar.

Syarat orang yang bernazar

1. Islam, tidak sah nazar kafir, kerana kafir tidak sah berbuat kebajikan.

2. Pilihan sendiri yakni tidak dipaksa, tidak sah nazar orang yang dipaksa.

3. Lulus memerentah pada benda yang dinazarkan, tidak sah dinazar seumpama menyembelih kambing oleh orang yang ditahan daripada memerantah harta dengan sabab muflis/bengkrap, bodoh, kanak kanak dan orang gila. Syarat ini pada nazar yang melibatkan harta adapun nazar yang tidak melibatkan harta maka sah nazar orang yang muflis dan bodoh, seperti bernazar hendak berpuasa.

4. Boleh memperbuat perkara yang dinazarkan. Maka tidak sah bernazar seorang akan puasa yang dia tidak kuasa lakukan seperti puasa sepanjang hayat atau bernazar hendak mengerjakan haji pada tahun ini pada hal dia tidak sempat hendak pergi ke Mekah dengan sebab jauh atau sempit waktu.

Syarat Ucapan yang diguna untuk bernazar

*Disyaratkan pada ucapan nazar hendaklah lafas yang memberi tahu melazimkan (mewajibkan) sesuatu, seperti berkata seorang yang bernazar “bagi Allah wajib atas ku puasa”. Puasa di sini sebagai contoh boleh dimasukkan yang lain.

*Tidak sah nazar dengan diniat didalam hati, kerana nazar termasuk dalam akad maka syaratnya mesti berlafas.
Semoga penerangan ringkas mengenai nazar ini mampu memberi sedikit peringatan dan juga ilmu kepada kita semua.

Apabila kita bernazar digalakkan kita segerakan nazar tersebut apabila apa yang kita hajatkan berhasil kerana dikhuatiri kita terlupa.

523. Soalan : Ustaz,apakah hukumnya jika seorang anak diberi nafkah daripada sumber yang haram oleh seorang ayah yang telah berpisah dengan ibu sedangkan si ibu tak dapat mengelakkan situasi itu?

Jawapan : 

Sianak boleh terima wang nafkah daripada ayahnya (walaupun wang itu daripaad sumber yang haram). Dosa mendapatkan wang tersebut adalah ditanggung oleh ayahnya dan si anak mendapat hak nafkah yang wajib di berikan oleh si ayah. (anak tak berdosa dan wang itu halal bagi si anak kerana dia mengambil haknya iaitu nafkah yang diberikan oleh si ayah.)

524. Soalan :Hukum perniagaan pelaburan sekali tetapi hasil berganda..Contoh perniagaan melibatkan downline pyramid..?

Jawapan :  

Pelaburan cara downline pyramid adalah termasuk di dalam sistem Multy Level Marketing :Terdapat unsur di dalamnya samaada HARAM atau SYUBHAT. 

Pertama : Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh' menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy' ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). 

Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601) . 

Kedua : Belian Peribadi target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target belian tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. 

Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). 

Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi syubhah apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian. namun begitu, ia mungkin diHARUSKAN jika terdapat penasihat Shariah yang membetulkannya selaras dengan aqad Ju'alah. namun begitu, majoriti syarikat MLM tidak mempunyai pensaihat Syariah untuk membetulkannya, menyebabkan ia kekal di dalam syubhah.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas broker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan Dr Zaharuddin bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

Ketiga : Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan.

 Ia merupakan satu bentu Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). 

Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no /192-193.

Keempat : Terdapat juga unsur mirip "shafqatayn fi shafqah", atau bay'atayn fi bay'ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : "

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة

Ertinya : "Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad" ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay'atayn fi bay'ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu'awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas. 

Ingin saya tekankan juga, hal berkaitan komisyen jualan orang di level keseratus akan diperolehi juga oleh upline di tingkat kedua, padahal mereka tiada sebarang kaitan aqad yang jelas, dan hanya kerana rantaian orang dibawahnya maka ia mendapat untung. Keuntungan ini boleh dipertikaikannya keharusannya. Wallahu a'lam.

524. Soalan : Saya nak tanya. apakah hukum seorang pempuan yang masih di dalam iddah tetapi dia dah keluar berdating dengan lelaki lain kekasih barunya?. Sekain terima kasih.

Jawapan : 

Apabila seorang wanita di ceraikan oleh suaminya atau dia baru kematian suaminya amak HARAM dia keluar berdating dengan lelaki lain. 

Wanita yang kematian suami hendaklah beriddah selama 4 bulan 10 hari. Tetapi jika dia mengandung, maka hendaklah dia beriddah sehingga bersalin. Tempoh ini digunakan untuk memastikan rahim kosong (bersih) dan digunakan oleh wanita untuk menyatakan kesedihan atas kematian suami. Ia juga merupakan fasa perubahan yang sukar dan perlu disokong oleh kaum keluarga, rakan-taulan dan jiran tetangga.

Terdapat lima larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:

1. Bertunang (secara berterus-terang)
2. Berkahwin
3. Berhias pada diri atau pakaian
4. Tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. Keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu (jika keluar rumah kerana bekerja diharuskan) :

Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Talak Raj`ie

Wanita yang sedang menjalani `iddah talak raj`ie (baru di ceraikan suaminya) mempunyai batas hukum yang perlu dipatuhi sepanjang berada dalam tempoh tersebut. Ini kerana hubungan atau pertalian perkahwinan antara suami isteri yang bercerai secara talak raj`ie masih wujud. Antara perkara-perkara yang perlu dipatuhi ialah:

i. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

ii.Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan. 

iii.Tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan keizinan suami. 

iv.Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud:

"…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai `iddahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…"

Namun, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda. 

v. Tidak boleh berkabung. Bahkan mereka dituntut untuk bersolek dan berhias kepada suaminya sebagai dorongan bagi membangkitkan keinginannya untuk rujuk semula.

525. Soalan : Apakan bacaan ayat al-Quran yang baki dibaca semasa mengandung

Jawapan : 

Ibu yang berada di awal mengandung perlulah banyak membaca al-Quran setiap hari, di waktu malam buat solat tahajud, waktu pagi dan petang baca zikir al-Mathurat dan kurangkan makanan yang banyak kanji, gula, kolesterol dan lemak . Banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan dan makan makanan sunah seperti madu, kurma, kismis, habatussauda, zafran , delima dan sebagainya.

Dalam hadis-hadis sahih menjelaskan kebaikan membaca al-Quran untuk umat Islam terutama ibu-ibu yang mengandung kerana kesan daripada membaca al-Quran anak-anak dalam kandungan akan rasa tenang dan kesannya nanti apabila bayi ini lahir dia akan mencintai al-Quran dan akan menghayati al-Quran. Terdapat 10 hadis menjelaskan kebaikan-kebaikan membaca al-Quran : 

1. Dari Abu Umamah ra. dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Bacalah Al Qur'an sesungguhnya ia akan datang di hari Kiamat menjadi syafaat (penolong) bagi pembacanya." 
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Dari Nawwas bin Sam'an ra. telah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW. bersabda, "Di hari Akhirat kelak akan didatangkan Al Qur'an dan orang yang membaca dan mengamalkannya, didahului dengan surat Al Baqarah dan Surah Ali 'Imran, kedua-duanya menjadi hujjah (pembela) orang yang membaca dan mengamalkannya." (Hadis Riwayat Muslim)

3. Dari Usman bin 'Affan ra. telah berkata: Rasulullah SAW. bersabda, "Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al Qur'an dan mengajarkannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

4. Dari Aisyah ra. telah berkata: Rasulullah SAW. bersabda, "Orang yang membaca Al Qur'an dengan terbata-bata karena susah, akan mendapat dua pahala."(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

5. Dari Abu Musa Al Asy'ari ra. telah berkata: Rasulullah SAW.bersabda, "Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al Qur'an seperti buah Utrujjah (sejenis limau), baunya harum dan rasanya sedap. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al Qur'an seperti buah kurma, tidak ada baunya tapi rasanya manis. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al Qur'an seperti Raihanah (jenis tumbuhan), baunya wangi tapi rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al Qur'an seperti buah hanzhal (seperti buah pare), tidak berbau dan rasanya pahit." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

6. Dari Umar bin al Khatthab ra. bahwa Nabi Muhammad SAW. bersabda, "Sesungguhnya Allah mengangkat (martabat) sebagian orang dan merendahkan sebagian lainnya dengan sebab Al Qur'an."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Ibnu Umar ra. dari Nabi Muhammad SAW. telah bersabda, "Tidak boleh iri kecuali pada dua perkara: Laki-laki yang dianugerahi (kefahaman yang sahih tentang) Al Qur'an sedang dia membaca dan mengamalkannya siang dan malam, dan laki-laki yang dianugerahi harta sedang dia menginfakkannya siang dan malam." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

7. Dari Barra' bin 'Azib ra. telah berkata: Seorang laki-laki membaca surat Al Kahfi dan di sisinya ada seekor kuda yang diikat dengan dua tali panjang, tiba-tiba ada awan melindunginya dan semakin mendekat dan kudanya menjauhinya. Pagi-paginya laki-laki itu mendatangi Nabi Muhammad SAW. dan menceritakan peristiwa tersebut, maka beliau bersabda, "Itu adalah ketenangan yang turun kerana Al Qur'an." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

8. Dari Ibnu 'Abbas ra. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya orang yang tidak ada dalam dirinya sesuatu pun dari Al Qur'an laksana sebuah rumah yang runtuh." (Hadis Riwayat Tirmizi, beliau berkata: Hadits ini hasan sahih)

9. Dari Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash ra. dari Nabi Muhammad SAW baginda bersabda, "Akan dikatakan kepada orang yang membaca Al Qur'an: Baca, tingkatkan dan perindah bacaanmu sebagaimana kamu memperindah urusan di dunia, sesungguhnya kedudukanmu pada akhir ayat yang engkau baca." (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih). 10. Dari Ibnu Mas'ud ra. ia berkata: Barangsiapa membaca satu huruf dari Al Qur'an maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan sama dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud 'Alif, Laam, Miim' satu huruf, melainkan Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf." (Hadis Riwayat Ad Darami dan Tirmizi, beliau berkata hadits ini hasan sahih)

Sebahagian ulama ada menganjurkan beberapa surah untuk di amalkan semasa ibu mengandung : Kumpulan Doa-Doa Untuk Ibu Hamil :

1. "Rabbii habli miladunka dzurriyyatan thoyyibah. Innaka sammi’uddu’aa"
(Surah. Ali Imran ayat 38) Maksudnya, "Ya Allah berikanlah kepadaku dari sisiMu keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau adalah pendengar permohonan (doa).

2. "Robbij’alnii muqiimash sholaati wa min dzurriyatii robbanaa wa taqobbal du’aa".(Surah Ibrahim ayat 40 )
Maksudnya, "Ya Tuhanku jadikanlah aku dan anak cucuku orang- orang yang tetap mendirikan shalat. Ya Tuhan kami perkenankanlah doaku.

3. "Robbi auzi'nii anasykuro ni'matakallatii an'amta alaiyya wa 'alaa waalidayya wa an a'mala shololihan tardhoh wa ashlihlii fii dzurriyyatii. innii tubtu ilaika wa inni minal muslimin".(Surah al-Furqan ayat 74)

Maksudnya, "Ya Allah Tuhan kami berilah kami ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepada kami dan kepada anak cucu kami. Sungguh kami bertaubat kepada MU dan sungguh kami adalah termasuk golongan orang yang berserah diri."

Bacaan - bacaan lain yang baik dibaca pada saat hamil yang aku dapet dari berbagai sumber (surat2 dibawah di bacain waktu syukuran 4 bulanan):
Surat dan Ayat dari Al-Quran :
• Al-Mu’minuun (Surat ke-23, ayat 12-14)
• Lukman (Surat ke-31, ayat 14)
• Yusuf (Surat ke 12, ayat 1-16)
• Maryam (Surat ke-19, ayat 1-15)baik juga jika semuanya dibaca..
• Ar Rahmaan (Surat ke-55, ayat 1-78)

Do’a mohon diberikan keselamatan (dibaca oleh ibu yang sedang hamil) :
“ Ya Allah jagalah anaku selama ada dalam kandunganku, sembuhkanlah dia (apabila ada penyakitnya), Engkau adalah Zat yang Maha Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan yang datang dari-Mu, kesembuhan yang tidak akan membawa penyakit. Ya Allah jadikanlah anak-anak yang ada dalam kandunganku dengan bentuk yang bagus (tampan/cantik) dan tetapkanlah di dalam hatinya untuk senantiasa beriman kepadaMu dan RasulMu. Ya Allah keluarkanlah anakku dari kandunganku pada waktu aku melahirkan dengan mudah dan selamat. Ya Allah jadikanlah anakku, anak yang sehat, sempurna, berakal, cerdas, baik pengetahuan agamanya dan senantiasa mengamalkan ilmunya. Ya Allah berilah anakku umur yang panjang, badan yang sehat, akhlak (budi pekerti) yang luhur, lisan yang fasih serta suara yang bagus untuk membaca Al Qur’an dan Hadits berkat kebaikan Nabi Muhammad SAW. Segala puji hanyalah untuk Allah yang menguasai seluruh alam”.


No comments:

Post a Comment