Thursday, April 17, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 95 (Menguap Semasa Solat, Al-Quran Tulisan Rumi, Aliran Wahabi, Ucapan Rest in Peace dan Hukum Mempelajari Silat Kebatinan).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 95 adalah menjelaskan persoalan menguap semasa solat, al-Quran tulisan rumi, aliran Wahabi, ucapan rest in peace dan hukum mempelajari silat kebatinan.

531. Soalan : Ustaz. saya ada beberape soalan :

1. Macam mana kalau dah ambil wuduk & semasa solat ade rasa ade sisa-sisa makanan dalam mulut. Adakah batal wudhu & solat tersebut ?

2.Bolehkah menutup mulut (apabila menguap) dengan kain,bantal dan lain2 ?

3.Adakah batal puasa jika menelan kahak ?

Jawapan :

1. Jika setelah ambil wuduk dan telah mulakan solat ada rasa sisi makanan di dalam mulut, maka sisi itu jangan ditelan kerana menelan sisi makanan (misal ada sebiji nasi) maka biarkan dalam mulut sehingga selesai solat atau keluarkan dengan lidah biar ianya berada di bibir mulut sehingga selesai solat baru di buangkan.

 2. Apabila menguap semasa solat sebaik-baiknya jangan buka mulut , kontrol supaya mulut tidak terbuka dan jangan bunyi suara "ha" kerana syaitan akan tertawa. Nabi SAW bersabda yang maksudnya : “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga terucap `ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis Riwayat Bukhari). Jika menguap di luar solat maka hendaklah menutup mulut dengan tangan supaya virus tidak terkeluar daripada mulut.

3. Menelan kahak Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untuk menjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. 

Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

532. Soalan : Ustaz apa hukumnya menulis al-Quran di dalam tulisan rumi?

Jawapan : 

Ulama sepakat mengatakan adalah dilarang menulis al-Quran di dalam bahasa selain bahasa Arab kerana maknanya akan lari daripada makna sebenar, sebutannya pun tak akan tepat sebagaimana sebutan dalam bahasa Arab. Oleh itu belajarlah membaca al-Quran dalam bahasa Arab dan sebaik-baiknya belajar bahasa Arab itu lebih baik dan afdhal.supaya maknanya dapat di fahami.

Sayugia diingat bahawa Allah Subhânahu wa Ta’âlâ menurunkan al-Qur’an itu dengan lisan bahasa Arab. Ini tersebut dalam banyak ayat, firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ: Sebuah kitab yang dijelaskan ayat-ayatnya satu persatu, iaitu al- Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab bagi faedah orang-orang yang mengambil tahu dan memahami kandungannya.(Surah Fushshilatayat 3)

FirmanNya lagi:
Sesungguhnya kami menurunkan kitab itu sebagai al-Qur’an yang dibaca dengan bahasa Arab.(Surah Yusuf ayat 2)

Dan agama telah memerintahkan supaya al-Qur’an itu dibaca menurut kaifiyyah lafaznya,
sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta’âlâ : Dan bacalah al-Qur’an itu dengan tartîl (dengan bacaan yang terang jelas dan betul segala hurufnya menurut ilmu tajwid).(Surah al-Muzzammil ayat 4)

Berkata ulama, bahawa Allah Subhânahu wa Ta’âlâ telah menzahirkan al- Qur’an itu dalam Lauh Mahfûzh dengan bahasa Arab, dan telah dibacakan oleh malaikat dengan bahasa Arab, dan diterima oleh Rasulullah Shallâllahu ‘alaihi wasallam dengan bahasa Arab sementara umat Islam pula telah ijmâ‘ dan sekata yakni tiada khilaf (tiada bertelingkah) antara mereka bahawa wajib ditulis dan dibaca al-Qur’an itu dengan lisan bahasa Arab.

Pendapat Mazhab-Mazhab

Telah sekata ulama mazhab-mazhab pada menegah dari membaca dan menulis al-Qur’an dengan bacaan dan tulisan yang lain dari bacaan dengan lisan Arab dan tulisan al-Qur’an. Di bawah ini ialah pendapat-pendapat mereka itu:

1. Berkata Syeikh al-Islam Abu al-Hasan al-Marghinani al-Hanafi yang bermazhab Hanafi: Ditegah membaca dan menulis al-Qur’an dengan bahasa dan tulisan Farsi dengan ijmâ‘ umat Islam, kerana membaca dan menulis dengan lisan dan tulisan lain dari lisan dan tulisan al-Qur’an itu boleh membawa rosak makna dan lafaznya…

2. Al-Imam Ibnu Hajar asy-Syafi‘e dalam Syarh al-‘Ubab pula berkata: Bahawa menulis al-Qur’an al-‘Azhim dengan huruf Arab itu menyebabkan orang dapat menentang dan melawan lafaz al-Qur’an, yakni huruf yang bukan huruf Arab itu boleh membawa tiada i‘jaz (tiada dapat melawan penentangpenentang al-Qur’an), bahkan membawa pada pelat dan kacukan, serta rosak susunan nazham (aturan) al-Qur’an.

3. Menurut Mazhab al-Imam as- Syafi‘e: Tidak harus (haram membaca al- Qur'an dengan bacaan lisan yang lain dari lisan Arab di dalam sembahyang sama ada dia dapat membaca dengan bahasa Arab atau tidak dapat membaca dengan bahasa Arab. Begitu juga haram membaca al-Qur'an dengan lisan ‘ajam (lain dari lisan Arab) di luar sembahyang sepertimana kata al-Imam Ibnu Hajar dalam fatwanya.

4. Mazhab Hanbali pula menggariskan: Bahawa sembahyang jadi rosak dengan membaca al-Qur'an dengan lisan ‘ajam, sama ada orang itu lemah dari membaca dengan bahasa Arab atau tiada lemah. Mazhab ini memberi erti bahawa adalah ditegah sama sekali (haram) menulis dan membaca al-Qur'an dengan bahasa lain dari bahasa Arab.

5. Dan Mazhab Maliki: Adalah tidak harus sama sekali (haram) membaca al- Qur'an dan menulis al-Qur'an dengan lisan dan tulisan lain dari lisan dan tulisan Arab.

Demikian menurut al-'Allamah asy-Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf dalam kitabnya Manhaj al-Yaqin fi Bayan ‘an al-Waqfa al-Ahliyya min ad-Din. Asy-Syeikh Muhammad Hasanain ialah seorang ulama besar yang terkenal di al-Azhar, Mesir.

Pendapat ini merupakan sokongan kuat kepada pendapat al-Imam an-Nawawi seorang tokoh dan jaguh ulama Syafi‘eyyah dalam Syarh al-Muhadzdzab, katanya: Tiada harus membaca al-Qur’an dengan bahasa lain dari bahasa Arab sama ada dia boleh membaca Arab atau tiada boleh membaca Arab, sama ada dalam sembahyang atau di luar sembahyang.

533. Soalan : Ustaz boleh saya bertanya apa itu wahabi...apakah fahaman wahabi ini?

Jawapan : 

Apa itu wahabi? Wahabi (Bahasa Arab: Al-Wahhābīyya الوهابية) atau Wahhabisme merupakan satu fahaman atau aliran dominan yang diamalkan oleh ulama-ulama Haramain (Makkah dan Madinah) yang diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab. Fahaman ini dikukuhkan lagi oleh keluarga diraja Bani Saud yang kini memerintah negara Arab Saudi. Dinasti al-Saud telah memerintah Arab Saudi sejak tahun 1924. Beliau dilantik Menteri Penerangan Arab Saudi. Wahabi bukanlah suatu mazhab akidah ataupun mazhab fikah.

Fahaman ini disebut juga sebagai Wahabi atau Wahabisme. Istilah ini muncul berdasarkan nama bapa pengasasnya. Pihak British/Yahudi yang mencetuskan gelaran ini kerana melihat mereka ini sebagai ancaman terhadap penjajahan mereka. Mereka menggelar-gelarkan orang kerana hendak memecah belahkan orang Islam. Golongan awal tidak pernah mengeluarkan perkataan Wahabi atau Wahabisme.Golongan terkemudian lebih suka menyebut diri mereka sebagai Salafi, Salafiah, Muhawidun yang bermaksud "satu Tuhan" dan mereka menurut pemikiran Imam Hanbali (al Hanbaliah, al Hanabilah) dalam masalah fikah, yang merupakan salah satu mazhab dalam Ahli Sunah Waljamaah. Dalam hukum akidah pula, mereka berpegang kepada tafsiran Ibn Taymiyyah. Faham Wahabi dianggap sebagai penerusan faham Ibn Taymiyyah.

Aliran Wahabi ini sangat dominan di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania. Biodata ringkasMuhammad bin Abdul Wahhab (1701 - 1793) lahir di Kampung Ainiyah, Najd, Arab Saudi. Beliau berasal dari kabilah Bani Tamim. Buku beliau bertajuk 'Kitab al Tawhid'. Beliau telah mempelajari agama daripada Syeikh Muhamad Sulaiman al-Kurdi, bapanya iaitu Syeikh Abdul Wahab dan abangnya Syeikh Sulaiman bin Abdul Wahab. Setelah dewasa, beliau pergi ke Mekah untuk mengerjakan haji dan pulang halamannya. Bapa serta abangnya telah meyifatkan bahawa beliau telah terlalu jauh menyimpang dan sesat.

Beliau merupakan seorang ulama pembaharuan dan ahli teologi agama Islam yang mengetuai gerakan salafiah. Wahabi dianggap sebagai ultra-konservatif berbanding salafi. Ia dianggap sebagai gerakan pembaharuan, bukan satu mazhab. Beliau memperkenalkan semula undang-undang Syariah di Semenanjung Arab. Beliau sangat dipengaruhi oleh Ahmad ibn Hanbal dan Ibn Taimiah.

Di Malaysia golongan ini terbahagi kepada 2 golongan iaitu golongan yang extrem dan golongan yang sederhana. Golongan yang extrem akan membidaahkan amalan-amalan umat Islam yang tak sesuai dengan kefahaman mereka dan sanggup berdebat dan tak kisah berpecah belah di kalangan umat Islam untuk mempertahankan perkara khilafiah atau furuk dan menganggap semua bidaah sesat tak ada bidaan hasanah. Mereka menolak kebanyakkan hadis dhaif dan tidak meraikan perbezaan pendapat ulama mazhab. 

Golangan yang sederhana masih meraikan beberapa pendapat ulama yang berbeza mazhab dan tak terlalu cepat menghukumkan bidaah. Golongan ini mempertahankan sunah pada masa yang sama mengajak dengan nada yang hikmah kepada umat islam yang tak sama pendapat dengan mereka.

534. Soalan : Apakah hukumnya orang Islam mengucapkan RIP atau pun Rest In Peace pada orang kafir..?

Jawapan : 

Ulama menjelaskan tak boleh kita ucapkan Rest In Peace kerana seolah-olah kita mendoakan kebahagiannya kerana jelas larangan mendoakan orang yang jelas kafir semasa matinya.

Ada sebahagian orang Islam yang menuturkan ucapan seperti ‘rest in peace’ yang bermaksud ‘semoga rehat dengan tenang di sana.’

Ucapan ini dilihat seolah mendoakan ketenangan si mati yang bukan beragama Islam di alam akhirat. Apabila ulama Islam melarang ucapan sedemikian, maka terdetik di hati apakah tidak ada toleransi dalam Islam terhadap hubungan masyarakat berbilang agama sedangkan agama Islam menyuruh berbuat kebaikan.?

Islam menggariskan hukum mendoakan orang bukan Islam dengan melihat situasi. Doa itu dilihat dari sudut isi kandungannya, adakah ia mendoakan supaya diberi hidayah, kesejahteraan atau keampunan dan rahmat terhadap mereka

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 7-8)

Rata-rata kita masih keliru antara mendoakan, ucapan takziah, memuji dan menghormati. Umumnya memuji dan menghormati orang bukan Islam yang mempunyai perilaku baik dibenarkan. Hukum berbangkit ialah berkenaan ucapan doa dilafazkan kepada bukan Islam.

Islam menggariskan hukum mendoakan orang bukan Islam dengan melihat situasi. Kedua, doa itu dilihat dari sudut isi kandungannya, adakah ia mendoakan supaya diberi hidayah, kesejahteraan atau keampunan dan rahmat terhadap mereka.

Ulama sepakat membenarkan kita mendoakan orang bukan Islam yang masih hidup supaya diberikan hidayah. Ada beberapa riwayat daripada Nabi SAW yang membenarkan umat Islam mendoakan diberi hidayah kepada bukan Islam.

Rasulullah SAW pernah berdoa: “Ya Allah! Engkau kuatkan Islam dengan salah seorang dari dua lelaki yang Engkau lebih sayang; Abu Jahal atau ‘Umar bin Al-Khattab.” (Hadis riwayat Tirmizi). Akhirnya berkat doa Nabi SAW, Umar bin Al-Khattab masuk Islam.

Begitu juga hadis diriwayatkan Abu Hurairah: “Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam). Mohonlah (berdoalah) kepada Allah supaya ditimpakan keburukan ke atas mereka.”

Mereka menyangka Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas kabilah Daus sebaliknya Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu satu taqrir jelas berkenaan keharusannya. Ada ketika Nabi SAW mendoakan kehancuran dan laknat buat bukan Islam khususnya di masa kuatnya kejahatan mereka terhadap umat Islam. Manakala ketika aman, Nabi SAW mendoakan hidayah buat mereka.

535. Soalan : Saya nak bertanya..apakah hukumm mempelajari ilmu kebatinan iaitu jurus dalam ilmu persilatan dengan di sertakan dengan zikir-zikir khusus yang mesti amalkan.. ( jurus, pengawal pernafasan di sertakan zikir-zikir dan bacaan, serangan tidak dapat masuk dan musuh akan terpelanting tanpa dapat masuk dekat... mohon penjelasan... ada setengah kata haram..syirik...ada kata setengah harus... syukron ya ustaz..

Jawapan :

Amalan silat yang mempunyai kelebihan luar biasa, boleh pukul dan jurus tanpa menggunakan tenaga fikizal maka kelebihan tersebut adalah menggunakan khidmat jin. Penggunaan khidmat jin adalah dilarang di dalam syariat Islam, kelebihan seperti ini bukannya karramah tetapi lebih kepada sihir atau istidraj. JAKIM telah banyak menyenaraikan jenis-jenis ajaran sesat termasuk jenis silat yang gunakan kuasa makhlik halis (jin) di dalam amalan persilatan dan pengijazahannya.

Sebahagian ajaran sesat yang di watrakan sesat oleh JAKIM : 1. Nasrul Haq- silat
2. Budi Suci- silat
3. Al-Watan
4. Budi Suci Sejati- silat
5. Jawa Faradin
6. Silat Sunda Pukulan Ghaib- silat
7. Tusuk Hikmat- silat
8. Ilmu Kebatinan- silat
9. Potong Maya
10. Naluri
11. Kaula
12. Haqqullah Syahadah
13. Rampai
14. Wali Suci- silat
15. Kalimat Sakti
16. Silat Pukulan Jarak Jauh- silat
17. Ilmu Tenaga Dalam Hikmat
18. Zikir Sha`ban Islam Haq
19. Asal Wujud Garis Laksmana
20. Al-Ma`zat- silat
21. “Trancendentel Meditation”- Maharisi Mahish Yugi
22. Ilmu Kebatinan dan lain-lain lagi.sehingga 56 ajaran sesat Sebahagian besarnya adalah daripada jenis-jenis silat yang menggunakan khidmat mahkluk halus.






No comments:

Post a Comment