Friday, April 18, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 96 (Air Dua Kullah Masuk Najis, Hadis Fadilat Puasa Rejab, Keadaan di Alam Barzakh (Kafir atau Muslim), Qada Solat Yang Dulu dan Basuh Baju Guna Mesin basuh.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 96 adalah menjelaskan persoalan air dua kullah masuk najis, hadis fadilat puasa Rejab, keadaan di alam barzakh (kafir atau muslim), qada solat yang dulu dan basuh baju guna mesin basuh.

536. Soalan : Ustaz kalau air kurang daripada 2 kullah ada tahi cecak boleh tak buat wuduk?

Jawapan : 

Menurut ulama jika air tak sampai 2 kullah termasuk najis maka air tersebut dipanggil air mutanajis. Termasuk tahi cecak jika air tersebut tak sampai 2 kullah maka air tersebut najis. Dari Abdullah bin Umar radiyallahu ‘anhuma dia berkata (bahwa) Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda, “Jika air mencapai dua kullah, maka (air tersebut) tidak mengandung kotoran [najis]”. Dalam lafadz lain: “(air tersebut) tidak ternajisi (tak menjadi najis).”

Dikeluarkan oleh imam yang empat, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah, Al Hakim, dan Ibnu Hibban.

Derajat hadis:

Hadis ini sahih, dinamakan juga dengan hadis qullatain (dua kullah).Ibnu Taimiyah berkata, “kebanyakan ulama menghasankan hadits ini dan menjadikannya sebagai hujjah (dalil), mereka telah membantah perkataan yang mencela hadits ini”
Diantara ulama yang menshahihkan hadits ini adalah Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Ibnu Mandzah, At Thohawi, An Nawawi, Adz Dzahabi, Ibnu Hajar, Asy Suyuthi, Ahmad Syakir, dll.Perbedaan pendapat ulama:

Imam Abu Hanifah, Asy Syafi’i, dan Ahmad, serta pengikut madzhab mereka, berpendapat bahwa air yang sedikit menjadi ternajisi dengan masuknya najis, walaupun najisnya tidak mengubah sifat air.
Sedikitnya air menurut Abu Hanifah adalah air yang jika digerakkan di satu ujung wadahnya, maka ujung lainnya juga ikut bergerak.
Adapun sedikitnya air menurut madzhab Syafi’i dan Ahmad (Hanabilah) adalah air yang kurang dua kullah.

Imam Malik, Az Zhohiriyyah, Ibnu Taimiyah, Ibnul Qoyyim, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, ulama-ulama salafiyah di Nejd, dan para muhaqqiqin berpendapat bahwa air tidak menjadi ternajisi dengan masuknya najis selama salah satu dari tiga sifat air (rasa, warna, dan bau) tidak berubah.


Para ulama yang mengatakan bahwa air dapat ternajisi dengan sekedar masuknya najis berdalil dengan pemahaman hadits Ibnu Umar ini. Pemahamannya menurut mereka bahwa air yang kurang dari dua kullah akan mengandung kotoran [najis]. Di dalam satu riwayat, “jika (air) mencapai dua kullah, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menajiskannya”. Maka pemahamannya bahwa air yang kurang dari dua kullah menjadi ternajisi dengan sekedar masuknya najis, sebagaimana mereka berdalil dengan hadits tentang perintah menumpahkan air pada wadah yang dijilati oleh anjing tanpa memperdulikan tentang perubahan sifat air nya.


Hadits qullatain (dua kullah) tidak bertentangan dengan pendapat Abu Hanifah, sebab air seukuran dua kulah jika diisi dalam suatu wadah, maka air di salah satu ujung wadah tidak bergerak dengan bergeraknya ujung lainnya.


537. Soalan : Boleh ustaz terangkan puasa di bulan Rejab adalah sahih atau dhaif?

Jawapan : 

Hadis kelebihan bulan Rejab adalah hadis TAK SAHIH. Apakah terdapatnya kesahihan fadilat khas berpuasa didalam bulan Rejab?

Disini nyatakan pandangan para ulama mengenai kesahihan fadilat Rejab.

1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.

a. Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yg sangat Lemah dan Palsu.

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg sahih dan beliau melihat bahawa hadis-hadis yg didatangkan mengenai fadilat didalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:


"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yg qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta keatas Nabi Muhammad saw, dan banyak hadis-hadis timbul mengenai fadilat bulan Rejab, dimana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."

Menurut Al-Saqr lagi bahawa:
"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan didalam risalahnya dengan topiknya : Penjelasan yg datang didalam Fadilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadis menyebut mengenai Fadilat-Fadilat Rejab, Puasa dan Solat didalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu"
 

Berpuasa hari pertama atau yg lain sama sahaja fadilatnya.

Berkata Al-Saqr lagi bahawa: "Amalan Saleh didalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya didalam bulan-bulan Haram, yg didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir. Berkata Ibnu Hajar : 'Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan'. "

Beliau memetik beberapa hadis da'if dan palsu, diantaranya ialah:

i. "Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa sati hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu" - hadis ini Dha'if.

ii. "Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yg berpuasa didalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" - hadis ini Dha;if.

iii. Terdapat sebuah hadis yg panjang mengandungi fadilat berpuasa rejab menurut hari, dan didalamnya terkandung matan :
:"Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadan bulan umatku" - Hadis ini palsu..


538. Soalan : Saya ada persoalan dan kemusykilan. Jika di dalam kubur seseorang musyrikin di seksa, bagaimana pula dengan seseorang mukmin yang taat dengan perintah Allah S.W.T? Adakah dia akan tidur lena sehingga kiamat? Atau di tempat lain? Terima kasih.

Jawapan :  

Di alam barzakh (alam kubur) orang musyrikin atau pelaku dosa-dosa besar mereka tinggal di alam barzakh adalah seperti tinggal di dalam lubang-lubang api neraka (di perlihatkan tempat duduknya di dalam neraka) dan orang mukmin pula alam barzakh adalah seperti tinggal ditaman-taman syurga. (di perlihatkan tempat duduknya di dalam syurga). Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti' saat kematian mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: "Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiya' ayat 35)

Apabila mayat dikebumikan dikubur, maka dia akan tinggal keseorangan melainkan yang akan menemaninya adalah amalannya ketika di dunia. Jika banyak amal solehnya maka dia akan merasa gembira dan berbahagia, tetapi jika dia membawa amalan dosa dan maksiat dan tidak sempat bertaubat kepada Allah SWT maka dia akan berdukacita , sedih dan merasai amat takut untuk berhadapan dengan malaikat Munkar dan Nakir.

Malaikat yang menanyakan persoalan di amal barzakh adalah Malaikat Munkar Dan Nakir. Malaikat Munkar dan Nakir bertugas menanyai mayat dalam alam kubur tentang siapa Tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya. Sedangkan dalam suatu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menjelaskan bahwa al-Qaulu as-Tsabit dalam QS Ibrahim: 27 adalah jawaban orang Islam terhadap pertanyaan Malaikat di dalam alam kubur.

Firman Allah SWT maksudnya : "Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh (al-Qaulu as-Tsabit) (dalam kehidupan ) di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim, dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki" (Surah Ibrahim ayat 27)

Asbabun Nuzaul ayat 27 :

Al-Barra' r.a menyatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan tentang azab kubur dan keadaan yang terjadi di alam kubur. (Hadis sahih riwayat Nasai)

Firman Allah dalam Surah al-Mukminun 23 ayat 99-100 maksudnya : "Sehingga apabila tiba maut kepada salah seorang di kalangan mereka, berkatalah ia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Bahkan sesungguhnya ia hanya perkataan yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula."

Firman Allah dalam Surah al-Ghafir 40 ayat 46 maksudnya : "Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang, dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”

Apakah yang dimaksudkan dengan “Mereka didedahkan kepada api neraka pada waktu pagi dan petang”? Ia bermaksud azab sebelum hari kiamat. Ini kerana ayat selepas itu menyebut, yang maksudnya: “dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat):

Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang sedahsyat-dahsyatnya!”. Jelas sekali azab yang pertama ialah azab sebelum kiamat yang dibentangkan kepada mereka pada waktu pagi dan petang.

Peristiwa di alam kubur atau di alam barzakh bermula apabila seseorang itu telah mati dan kemudiannya dimasukkan ke dalam kubur. Di alam kubur itulah seseorang itu dikatakan berada di alam barzakh. Barzakh ialah dinding pemisah di antara dua alam yang akan dialami oleh setiap manusia iaitu di antara alam dunia dengan alam akhirat. Setelah seseorang itu mati, dia akan kembali ke alam akhirat tetapi sebelum menempuh alam akhirat, dia akan berada di alam barzakh terlebih dahulu. Alam akhirat yang sebenarnya ialah alam Mahsyar iaitu setelah berlaku kiamat yang seterusnya manusia akan menuju ke syurga atau ke neraka. Jadi, alam barzakh ialah tempat seseorang itu akan menunggu setelah dia mati sebelum dia dibangkitkan semula oleh Allah SWT di hari kiamat nanti.

 
Apabila seseorang itu mati, dia akan ditanamkan. Ada setengah-setengahnya dibakar, namun hakikamya adalah ditanam juga dan tetap menuju ke alam barzakh juga. Bagi umat Islam, setiap yang telah mati adalah ditanam. Begitu juga sebahagian dari orang-orang kafir.

Mereka yang menghantarkan seseorang yang telah mati itu ke kubur akan pulang, tidak kira sama ada dia suaminya atau anaknya atau isterinya atau siapa saja. Tidak ada siapa yang mahu menunggu lama-lama di atas kubur tadi. Maka akan tinggallah seseorang yang telah mati itu tadi berseorang diri di dalam kubur yang sempit lagi gelap gulita itu.

Menurut satu riwayat hadis Rasulullah SAW, kibaran pakaian orang-orang yang hidup di atas kubur ketika meninggalkan kubur si mati setelah upacara pengkebumian selesai, dapat didengar oleh mayat yang terkujur di dalam tanah itu. Dan setelah beberapa langkah mereka meninggalkan mayat orang yang telah dikebumikan tadi, Allah SWT meniupkan semula roh si mati tadi ke dalam jasadnya. Ketika itu, mayat tadi pun terkejut dan bingkas bangun. Ada satu riwayat dari Syeikh Ibnu Hajar Haitami, roh yang dikembalikan oleh Allah SWT kepada mayat itu hanya kepada sebahagian badannya saja iaitu dari punggung ke atas.

Kemudian, setelah roh ditiupkan semula oleh Allah SWT kepada si mayat, dia pun hidup semula. Ketika itu datanglah dua orang malaikat yang bernama Mungkar dan Nakir untuk menyoal si mayat tadi. Adapun Mungkar dan Nakir ini akan hadir kepada setiap yang mati sama ada dia mukmin atau kafir, sama ada mukmin yang ahli syurga atau pun muslim yang derhaka, yang munafik, yang musyrik dan sebagainya.

Dan Mungkar dan Nakir ini ialah dua orang malaikat yang tidak siapa pun pernah melihat rupanya. Dengan sebab itu, tidak siapa pun kenal dan tahu akan kedua malaikat ini. Sebab itulah mereka berdua dinamakan Mungkar dan Nakir. Walau bagaimana pun keadaan kedua orang malaikat ini dapat digambarkan juga oleh ulama-ulama yang jiwa mereka suci dan bersih yang mana mereka itu sentiasa dalam pimpinan Allah SWT. Walau pun kedua malaikat malaikat Mungkar dan Nakir tidak pernah dilihat oleh sesiapa pun, tidak seperti malaikat- malaikat lain umpamanya Jibril dan Mikail yang mana kedua mereka itu pernah dilihat oleh Rasulullah malah Jibril adalah yang selalu bertemu dengan Rasulullah sama ada dalam rupanya yang asal mahupun dalam rupa menyamar, namun ada riwayat-riwayat hadis yang menggambarkan keadaan Mungkar dan Nakir itu.

Di dalam satu riwayat hadis menceritakan bahawa muka Mungkar dan Nakir ini adalah amat hitam dan legam lagi kebiru-biruan. Mukanya itu adalah terlalu besar dan lebar. Selain dari itu, jasadnya juga adalah hitam legam serta kebiru-biruan. Mata Mungkar dan Nangkir ini adalah merah menyala seperti sebiji periuk tembaga. Di dalam satu riwayat lain, mata Mungkar dan Nakir itu dikatakan seperti kilat yang menyambar, bersinar-sinar lagi tajam. Begitu juga keadaan matanya hinggakan tidak ada siapa pun yang boleh menatap matanya itu.

Suara kedua malaikat itu adalah seperti guruh halilintar yang membelah langit malah lebih dahsyat dari itu lagi. Kemudian, apabila malaikat ini bersuara ketika menyoal si mati dari golongan orang-orang yang muslim tetapi derhaka kepada Allah seperti orang yang mengaku muslim tetapi tidak sembahyang, tidak puasa, tidak bersedekah, tidak naik haji bila cukup syarat, tidak mahu menunaikan perintah-perintah Tuhan malah melakukan larangan-larangan Tuhan seperti minum arak, main judi, bergaul bebas, berzina, mendedah aurat dan lain-lainnya dan juga bersuara kepada orang-orang munafik, orang kafir serta orang-orang musyrik, keluar dai mulut kedua malaikal itu suatu api yang menyambar dan membakar mayat-mayat tadi.

Cuba kita bayangkan keadaan mayat yang keseorangan diri di dalam alam kubur atau alam barzakh tadi, tiada teman dan taulan, tiada sanak saudara, tiada pangkat dan darjat dan sebagainya. Semua itu sudah tinggal di dunia dan yang akan mengiring mayat ke dalam kubur hanyalah amal soleh . amal ibadah dan bacaan al-Quran yang akan menjadi pembela di dalam segala perbicaraan. Kalau ada amal soleh, maka akan terselamatlah kita di dalam persoalan-persoalan kedua malaikat tadi tetapi kalaulah amal tholeh saja yang mengiring atau amal jahat, maka akan musnahlah si mayat. Dalam keadaan demikian terpekik terlolonglah si mayat seorang diri, tidak ada siapa yang tahu dan tidak ada siapa yang mendengarnya.

Dalam kita membayangkan keadaan mayat di dalam kubur tadi, janganlah kita bayangkan keadaan seperti lubang kubur yang kita korek pada ketika hendak menanamkan mayat. Alam barzakh atau alam kubur, bukanlah seperti liang lahad yang kita korek untuk kita tanamkan si mayat. Ia adalah satu alam yang lain, yang terpisah dari alam nyata ini. Lubang kubur yang kita korek tadi hanya tempat kita hendak menyimpan mayat. Ia masih di alam nyata iaitu di muka bumi.

Pendek kata, kalau kita korek semula lubang kubur tadi, kita tetap dapat melihat mayat yang kita tanamkan, terbujur baring dengan dibaham oleh ulat-ulat dan cacing hingga seluruh tulang dan daging reput menjadi tanah. Oleh yang demikian, bukan itu yang sebenarnya berlaku kepada si mayat di alam kubur. Yang sebenarnya berlaku ialah, mereka sudah berpindah ke alam barzakh sambil menunggu hari Pembicaraan di padang Yaumal Mahsyar nanti. Jadi, di alam barzakh tempat setiap orang yang sudah mati itu menunggu itulah, mereka masing-masing akan bertemu dengan malaikat Mungkar dan Nakir yang keadaan mereka berdua itu seperti yang digambarkan di atas tadi. Seterusnya, di tangan mereka terdapat pemukul daripada besi atau cemeti besi yang mana pemukul mereka itu kalau digunakan untuk memukul bukit-bukit dan gunung di dunia ini, akan hancur luluh semuanya. Kalaulah gunung-ganang dan bukit bukau yang begitu kuat boleh hancur berderai, bayangkanlah pemukul yang sama itu digunakan kepada jasad si mati yang lemah longlai itu. Apakah daya upaya si mayat tadi untuk mempertahankan dirinya. Tidak ada daya upaya. Cemeti besi yang begitu dahsyat yang menurut satu riwayat lain, kalau berhimpun seluruh umat yang melontar Jumrah di Mina sekali pun cemeti itu tidak terdaya untuk dipikul, tetap akan menghempap ke jasad si mayat yang lemah dan kerdil tadi.


539. Soalan : Ustaz. saya nak tanya. macamana  kita nak ganti solat kita yang lepas-lepas dulu. adakah kena qada? Sekian terima kasih.

Jawapan :  

Ada pendapat yang mengatakan hanya perlu qada solat yang ditinggalkan kerana tidak sengaja terlupa atau tertidur dan tidak perlu qada solat yang sengaja ditinggalkan. Misalnya sembahyang yang ditinggalkan dengan sengaja kerana lalai semasa “muda-muda dulu”. Mereka mengatakan cukup dengan istighfar dan bertaubat sahaja.

Tidak ada qada dalam solat bukan bermaksud tidak perlu qada tapi tidak perlu sebut perkataan qada semasa niat. Qada' ialah melakukan sesuatu ibadah di luar waktunya dan tunai ialah melakukan sesuatu ibadah di dalam waktunya. Secara mudahnya tunai “waktu Allah”, qada “waktu kita”.

Dari ‘Aisyah r.a katanya: ”Apabila Rasulullah SAW. lupa solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (Hadis riwayat Muslim)

Cara niat Qada bagi solat fardu lima waktu pula ialah:

1. Solat Maghrib:
“Sahaja aku solat fardu maghrib tiga rakaat qada kerana Allah Ta’ala”

2. Solat Isyak:
“Sahaja aku solat fardu Isyak empat rakaat qada kerana Allah Ta’ala”

3. Solat Subuh:
“Sahaja aku Solat Fardu Subuh dua rakaat qada kerana Allah Ta'ala”

4. Solat Zuhur:
“Sahaja aku solat fardu Zuhur empat rakaat qada kerana Allah Ta'ala”

5. Solat Asar:
“Sahaja aku solat fardu Asar empat rakaat qada kerana Allah Ta'ala"

Ada orang bertanya : Jika kita tertinggal solat (sengaja dan tidak sengaja) sejak akhil baligh sehingga sekarang (20-an; banyak waktu), perlukah di qada semua jumlah solat yang tertinggal itu atau cukup dengan melakukan solat taubat?

Jawabnya, Wajib qada solat yang telah tertinggal. Disini ada dua cara untuk qada, pertama jika seseorang yang tahu sebanyak mana dia telah tinggalkan solat fardunya, maka qadakanlah mengikut bilangan yang telah ditinggalkannya.

Cara kedua adalah bagi yang tidak tahu secara detail berapa banyak yang telah ditinggalkannya, yakni semenjak akil baligh, buatlah anggaran berapa banyak solat yang perlu diqada dan berhentilah jika sudah yakin solat itu sudah diqada kesemuanya. Cara yang terbaik adalah selepas selesai solat fardu lakukan solat qada, buatlah berterusan begitu moga-moga diterima Allah.

Selain itu ada juga orang bertanya, jika ditakdirkan meninggal sebelum sempat mengqada semua solat itu (tetapi sudah buat solat taubat) bagaimana?

Soal jika meninggal sebelum sempat mengqada kesemua solat itu, semuanya bergantung pada Allah SWT, akan tetapi jika kita telah benar-benar insaf dan niat untuk qada kesemua solat dan telah melakukan solat taubat dengan bersungguh-sungguh dan juga mengikuti segala perintah Allah SWT, insya Allah akan diampuni dosa-dosanya. Untuk pengetahuan semua, qada solat fardu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja tiada waktu larangan padanya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua dalam mendapat pengampunan daripada Allah SWT.


540. Soalan : Ustaz.apa hukum basuh pakaian guna mesin basuh.adakah ia bersih dari sudut agama.bagamana jka pakaian tu ada najis? Mohon kongsi ilmu ustaz.

Jawapan : 

Islam menggalakan kebersihan. Bersih meliputi semua perkara termasuk tubuh badan, pakaian, tempat, makan minum, dan hati. Bersih bukan saja daripada najis bahkan juga kotoran dan segala pemandangan yang tidak menyenangkan, apatah lagi yang menyakiti.

Dalam sebuah hadis daripada lbnu Malik AI-Ash'ari radhiallahu'anhu Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

"Kebersihan itu sebahagian daripada iman, membaca Alhamdulillah memenuhi timbangan membaca Subhanallah dan Alhamdulillah pahalanya sebesar langit dan bumi Solat itu cahaya. Sedekah itu bukti.
Kesabaran itu adalah pencahayaan Quran itu akan menjadi kawan (hujjah) atau lawanmu Manusia itu bekerja untuk keselamatan dirinya atau kecelakaannya" (Hadis sahih riwayat Muslim)

Tiap-tiap yang kotor (tidak bersih) itu tidak semestinya najis tetapi sebaliknya tiap-tiap yang najis itu adalah kotor (tidak bersih). Umpamanya pakaian yang terkena Iumpur tanah, kuah kari atau kopi adalah kotor (tidak bersih). lanya tidak najis tetapi pakaian kotor.

Memandangkan teknologi masa kini, kebanyakan orang menggunakan mesin pencuci pakaian, akan timbul persoalan; Bersihkah pakaian menggunakan mesin pembasuh? Perkara ini timbul kerana terdapat berbagai-bagai jenis mesin pembasuh ketika ini, sehingga ada yang berperanan boleh mengeringkan dengan hanya menekan satu punat sahaja.

Macamanakah kalau diantara pakaian yang hendak dicuci itu terkena kotoran atau najis? Apakah boleh bersih pakaian-pakaian ini di campur sekali cuci menggunakan mesin pembasuh? Jika tidak, apakah ada kaedah atau cara tertentu mengenainya?

Dalam hal mencuci pakaian menggunakan mesin pembasuh ini, yang pertama sekali yang perlu di ambil perhatian ialah air yang akan digunakan. Air itu hendaklah air mutlak, iaitu air yang suci lagi menyucikan.

Kemudian perhatikan pakaian yang dibasuh sebelum di masukkan ke dalam mesin pembasuh. Jika ada pakaian yang terkena najis hendaklah terlebih dahulu dibersihkan atau dibuang najisnya ('ainnya sehingga hilang rasa, warna dan baunya) dengan cara dibasuh bersungguh-sungguh. Jika hilang dua daripada tiga termasuk rasa, maka memadailah seperti hilang rasa dan bau saja atau rasa dan warna. Yang penting rasa mesti dihilangkan. Jika rasa masih ada, setelah hilang bau dan warna, maka tidaklah memadai.

Untuk lebih jelas tentang membersihkan pakaian yang terkena najis ini, yang pertama sekali kenal pasti terlebih dahulu apa najis yang mengenai pakaian itu. Adakah ia Najis Mukhaffafah, Najis Mutawassitah atau Najis Mughallazah.

(i) Najis Mukhaffafah:

Najis Mukhaffafah ialah najis ringan, seperti air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan melainkan susu (dada) sahaja. Jika kanak-kanak itu makan atau minum selain susu dada seperti susu tepung, maka air kencing kanak-kanak itu tidak lagi dianggap sebagai najis mukhaffafah bahkan ia adalah najis mutawassitah. Mana-mana pakaian yang terkena najis mukhaffafah memadai dengan merinjis air ke atas pakaian-pakaian yang terkena najis itu.

(ii) Najis Mutawassitah :

Najis Mutawassitah ialah najis pertengahan, seperti air kencing orang dewasa, tahi, muntah, darah dan lain-lain. Menghilang atau membuang najis ini hendaklah dengan menghilangkan 'ainya sehingga hilang rasa, bau dan warna dengan cara mengalirkan atau menjirus air ke atas pakaian yang kena najis itu. Adalah tidak memadai membasuh dengan air yang ditakung dalam bekas yang kurang dari dua kolah saperti air yang ditakung dalam besin atau baldi, dimana-mana pakaian itu dicelup di dalamnya sekalipun beberapa kali.

iii) Najis Mughallazah

Najis Mughallazah ialah najis yang berat seperti anjing, babi dan campuran atau kacukan keduanya. Jika darah, tahi, air liur, atau air kencing terkena pakaian, maka cara menyucikanya hendaklah dihilangkan 'ainnya (warna, bau dan rasa ) terlebih dahulu. Kemudian dibasuh tujuh kali dengan menjiruskan air, termasuk sekali dengan air yang bercampur dengan tanah.

Setelah pakaian yang terkena najis itu dibersihkan dengan cara yang disebutkan itu, barulah pakaian itu dimasukkan ke dalam mesin pembasuh untuk penyucian seterusnya. Proses ini adalah lebih mudah berbanding jika pakaian yang bersih dan bernajis dimasukkan semuanya ke dalam mesin pembasuh. Ini menyebabkan semua pakaian akan terkena najis. Jika ini terjadi pakaian-pakaian itu hendaklah dibilas sambil mengalirkan air dari atas terus keluar tanpa air bertakung di dalamnya untuk beberapa ketika.

Bagi pakaian yang kotor pula seperti terkena lumpur tanah, kuah kari, kopi dan seumpamanya, walaupun ia tidak najis namun ia hendaklah juga dibasuh terlebih dahulu sehingga hilang 'ainnya. Kemudian barulah dimasukkan ke dalam mesin pembasuh. Proses ini dibuat semata-mata untuk mengelakkan pakaian-pakaian lain yang bersih terkena kotoran.

Itulah keindahan Islam. Ajaran-ajarannya meliputi semua perkara termasuk ehwal kebersihan. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang bersih dari segala kekotoran, bersih dari perbuatan yang tidak diingini dan dilarang, dari bertaubat dari membuat dosa.





1 comment:

  1. Nak tanya ustaz:apa yg terjadi dalam sesebuah perkahwinan jika suami belum melafazkan cerai pd isterinya tetapi suami ada terdetik dihatinya dengan berkata ("aku cerai kan baru tahu") masalah ini berlaku apabila mereka bergaduh...diambil dari sebuah cerita di televisyen..jika realiti berlaku....

    ReplyDelete