Thursday, April 24, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 98 (Solat Sunat Sebelum Magrib, Masaalah Hutang , Ucapan Nabi SAW di Saat Kewafatan, Maksud Sunah dan Dayus.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 98 adalah menjelaskan persoalan solat sunat sebelum magrib, masaalah hutang , ucapan Nabi SAW di saat kewafatan, maksud sunah dan dayus.

546. Soalan : Ustaz. saya nak tanya apa hukum solat sunat sebelum solat magrib. Ada di sesetengah tempat buat solat sunat sebelum solat magrib ada yang terus selepas azan magrib terus qamat dan mengerjakan solat magrib. Dan saya sendiri baca di fardu ain. Tiada sunat sebelum solat magrib. Tolong ustaz berikan saya penjelasan. Sekian terima kasih

Jawapan : 

Solat sunat sebelum magrib termasuk di dalam solat sunat Ghairu Muakkad Qabliyyah . Solat sunat Rawatib Ghairu Muakkad adalah solat sunat yang ada dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W. pada waktu-waktu tertentu, tetapi di waktu yang lain baginda meninggalkannya. 

Sunat yang tidak diberatkan untuk dilaksanakan. Solat Ghairu Muakkad Qabliyyah adalah seperti berikut : 

1. dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Zuhur

2. dua rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Ba’diyyah Setelah Zuhur

3. empat rakaat Rawatib Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Asar

4. dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Maghrib

5. dua rakaat Ghairu Muakkad Qabliyyah Sebelum Isyak

Hadis Nabi SAW dari Abdullah almuzani

صَلُّوا قَبْلَ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ . – قَالَ فِي الثَّالِثَةِ -: لِمَنْ شَاءَ ، كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً

“Solatlah sebelum magrib , Solatlah sebelum magrib, Solatlah sebelum magrib bagi sesiapa yang hendak.” Baginda takut manusia menganggapnya sebagai suatu sunnah (keawajipan).
(Hadis sahih Riwayat Bukhari (1183))

Imam Tobari berkata:

لمْ يُرِدْ نَفْي اِسْتِحْبَابهَا ،لِأَنَّهُ لَا يُمْكِنُ أَنْ يَأْمُرَ بِمَا لَا يُسْتَحَبُّ , بَلْ هَذَا اَلْحَدِيث مِنْ أَقْوَى اَلْأَدِلَّةِ عَلَى اِسْتِحْبَابِهَا , وَمَعْنَى قَوْلِهِ ” سُنَّة ” أَيْ شَرِيعَة وَطَرِيقَة لَازِمَة

Dari hadis ini Nabi SAW tidak bermaksud menafikan sunat solat ini. Ini kerana tidak mungkin baginda menyuruh perkara yang bukan sunat. Bahkan hadis ini adalah sekuat-kuat dalil tentang sunatnya solat sebelum magrib. Maksud sunnah dalam hadis ini ialah syariat yang diwajibkan.

2. Hadis dari Anas bin Malik:

لَقَدْ رَأَيْتُ كِبَارَ أَصْحَابِ النَّبِي صلى الله عليه وسلم يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِي عِنْدَ الْمَغْرِبِ

“Sesungguhnya aku melihat sahabat-sahabat yabg terbilang segera mendapatkan tiang2 untuk solat sebelum maghrib.” (Hadis sahih Riwayat Bukhari (503))

547. Soalan : Rakan saya ada berhutang duit saya tetapi bila saya memintanya dia sering memberi berbagai alasan. Apakah cara yang sepatutnya saya lakukan?

Jawapan :

Amalan suka menolong orang lain yang susah adalah sifat yang mulia disisi Allah SWT. Kerana terdapat hadis Nabi SAW maksudnya, "Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersada yang maksudnya, "Siapa yang melapangkan satu kesusahan orang yang beriman daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan melapangkan orang itu satu kerumitan dari kerumitan akhirat. Dan siapa yang memudahkan orang yang susah, Allah akan memudahkannya didunia dan diakhirat. Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim). 

Jika saudari bercadang menghalalkannya perlulah diberitahu kepada orang yang berhutang bahawa saudari telah menghalalkannya supaya hatinya lebih tenteram.

Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

Sifat orang mukmin yang akan mendapat rahmat Allah SWT apabila dia berlapang dada semasa dia berniaga menjual barang kepada pelanggannya. Begitu juga sifat mukmin yang terpuji sentiasa berlapang dada semasa menuntut hutangnya dan masih memberi ruang masa jika orang yang berhutang masih belum mampu. Dia tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang yang berhutang dan sentiasa menjaga ukhwah dan silaturahim. 

Terdapat katu kisah dizaman Bani Israel seorang lelaki yang kurang amal ibadahnya ketika di dunia tetapi cukup berlapang dada semasa menuntut hutangnya apabila ditanya oleh Allah SWT di hari akhirat tentang amalan kebaikannya. Beliau menjawab semasa menuntut hutang dia berlapang dada dan tidak membebankan orang yang berhutang, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya dan dia dimasukkan kedalam syurga dengan rahmat Allah SWT.

548. Soalan : Adakah benar Nabi SAW di saat akhir hayat menyebut "ummati, ummati, ummati" kerana ada pendapat mengatakan riwayat tersebut adalah riwayat Syiah? Minta ustaz memberikan pencerahannya.

Jawapan :

Kisah kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah satu peristiwa yang sangat besar dan perincian peristiwa tersebut telah direkodkan secara bersanad oleh para ulama hadis. Justeru, sebarang perkataan atau perbuatan yang disandarkan kepada baginda termasuklah peristiwa kewafatan baginda, hendaklah dinilai kesahihan atau kedaifannya melalui kaedah ilmu hadis.

Berkenaan dengan perkataan “Ummati, ummati...” (Umatku, umatku...) yang dikatakan disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika hampir wafat, kisah ini tidak didapati dalam sumber-sumber hadis yang muktabar di sisi Ahli Sunnah.

Namun, perkataan “Ummati, ummati..” disebut oleh baginda dalam beberapa hadis lain yang tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan baginda.

Antaranya hadis tentang syafaat di akhirat yang menyebut bahawa baginda menyebut “Wahai Tuhanku, Ummati, ummati”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Begitu juga hadis bahawa Nabi membaca beberapa potong ayat Quran lalu menyebut “Ummati, ummati..” sambil menangis. (Riwayat Muslim).

Kedua-dua hadis sahih tersebut tidak ada kaitan dengan peristiwa kewafatan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.

Manakala kisah kewafatan baginda, tidak ada riwayat sahih yang merekodkan bahawa baginda menyebut, “Ummati, ummati” sebelum kewafatannya.

Sebelum kewafatan Rasulullah SAW, anak Saidina Abu Bakar, iaitu Abdul Rahman masuk ke bilik membawa kayu sugi. Ketika itu, Rasulullah SAW bersama dengan Saidatina Aisyah dan menyandarkan kepada Baginda di sisi isterinya. Rasulullah SAW membuat isyarat menginginkan kayu sugi itu dan Saidatina Aisyah memintanya daripada Abdul Rahman. Saidatina Aisyah melembutkan kayu sugi itu dan diberikan kepada Baginda. Namun, dengan sebab sakitnya Baginda ketika itu, Baginda tetap mengaduh walaupun Saidatina Aisyah menggosokkannya dengan perlahan.

Tiba-tiba Rasulullah SAW mengangkat tangannya dengan membuat isyarat ke langit dengan jari telunjuk. Seraya Rasulullah berkata, “Bersama-sama dengan orang yang Engkau kurniakan nikmat iaitu para nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh. Bahkan teman yang paling tinggi, bahkan teman yang paling tinggi, bahkan teman yang paling tinggi.”

Akhirnya tangan Rasulullah SAW turun dengan perlahan ke bawah dan ketika itu, Saidatina Aisyah merasa Rasulullah SAW semakin berat di pangkuannya. Dan wafatlah Rasulullah SAW di pangkuan Saidatina Aisyah. Beginilah kisah yang sebenar.

549. Soalan : Ustaz apakah yang dimaksudkan dengan sunah?

Jawapan : 

Sunnah bererti “cara” atau “kebiasaan”, dan dengan itu, sunnah nabi bererti “cara nabi”, atau apa yang biasa dikenali sebagai kebiasaan Rasul. Secara bahasa, As Sunnah adalah "ath-thariqah" yang bererti perkaedahan, kebiasaan, perjalanan hidup, atau perilaku yang baik yang terpuji . "Kata sunnah berserta segala kelainannya disebutkan berulang-ulang dalam hadis, yang erti asalnya ialah 'perjalanan hidup' dan 'perilaku'."

Dalam istilah Sunah Waljamaah, menurut para ahli hadis, Sunnah adalah segala sesuatu yang diriwayatkan oleh Rasulullah SAW yang merupakan perkataan, perbuatan, ketetapan, peribadi, akhlak, mahupun perilaku, baik sebelum mahupun sesudah dilantik menjadi Rasul. Sunnah merupakan sumber kedua perundangan Islam selepas al-Quran.
 

RasulullahSAW bersabda: "Sungguh kamu akan mengikuti sunnah-sunnah (perjalanan-perjalanan) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka memasuki lubang dab (serupa binatang biawak)nescaya kamu memasukinya juga." (Hadis riwayat Muslim)

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Barangsiapa menjalani suatu sunnah (perjalanan) yang baik, maka baginya pahala sunnah itu dan pahala yang mengerjakan dengannya hingga hari kiamat, dan barangsiapa mengadakan suatu sunnah (perjalanan) yang jahat
(buruk) maka atasnya dosanya dan dosa orang yang mengerjakan dengannya hingga hari kiamat." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaslah bahawa menurut hadith tersebut, perkataan sunnah itu diertikan dengan perjalanan, sama ada baik atau pun yang jahat, sebagaimana yang dimaksudkan oleh bahasa. Sunnah menurut istilah ahli hadis: ialah segala yang dipindahkan dari Nabi Sallallahu 'Alayhi Wa sallam baik yang merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir, sebelum nabi dibangkitkan menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan ahli hadis menetapkan
bahawa pengertian yang demikian sama dengan pengertian hadis.

Sunnah menurut pengertian dan istilah ahli usul: ialah segala yang
dipindahkan dari Nabi Sallallahu 'Alayhi Wa sallam sama ada perkataannya dan perbuatannya, mahupun taqrirnya yang bersangkutan dengan hukum.

Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabdanya ini:
"Sesungguhnya aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara tidak akan kamu sesat selama kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya". (Hadis riwayat Malik)


550. Soalan : Adakah suami akan menjadi dayus apabila isteri tak mahu ikut ajaran Islam dan dia membiarkan saja dan tidak mahu diceraikan? Dan apakah hak-hak isteri semasa di ceraikan?

Jawapan :

Jika suami sudah menasihati isterinya berakhlak mulia dan menutup aurat tetapi si isteri enggan berubah dan sentiasa mencari alasan untuk membenci dan bergadoh dengan suami maka suami perlu bertegas di dalam menjaga maruhnya sebagai seorang suami yang bertanggung jawab. Jika dia biarkan perkara maksiat di lakukan oleh isterinya maka dia boleh jatuh menjadi dayus. Suami dayus tak mencium bau syurga. Oleh kerana itu suami berkewajipan menceraikan isterinya dengan talak satu.

Nabi SAW bersabda :-

ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي

Ertinya : Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Hadis Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )

Dalam sebuah hadis lain pula :

ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .

Ertinya : Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Hadis Riwayat Ahmad )

Malah banyak lagi hadis-hadis yang membawa makna yang hampir dengan dua hadis ini.

Sungguhpun ikatan pernikahan putus akibat pembubaran perkahwinan seperti persetujuan bersama, lafaz cerai di luar mahkamah, fasakh, taklik, khuluk atau anggapan kematian yang mengakibatkan jatuhnya talak, Islam memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung antara satu sama lain dengan batas pergaulan yang diharuskan oleh hukum syarak terutamanya bagi menjalankan tanggungjawab hakiki. Matlamat ini murni bagi memastikan hak dan kepentingan bekas suami, bekas isteri dan anak dilindungi.

Terdapat 7 hak yang boleh dituntut di mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:

1. Nafkah iddah

Nafkah iddah adalah nafkah yang wajib disediakan kepada bekas isteri semasa dalam tempoh iddah talak raji’e. Mengikut hukum syarak, seorang isteri yang taat berhak mendapat nafkah daripada suaminya. Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki sama ada suami atau lelaki lain yang tertentu seperti anaknya yang berkemampuan membayar nafkah kepada seseorang isteri. Selain dari nafkah diri,

2. Mut`ah

Mutaah adalah satu bayaran sagu hati atau pemberian yang wajib ke atas suami diberi kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

Kadar mut`ah boleh ditentukan menerusi persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya ada pertikaian mengenai kadar ini, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut`ah itu.

3. Harta sepencarian

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

4. Hak jagaan anak (Hadhanah)

Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil (di bawah umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak itu sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Tuntutan hak jagaan anak (hadhanah) hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

5. Nafkah anak

Nafkah anak adalah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

6. Tunggakan nafkah

Tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.

7. Hak tempat tinggal

Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal ketika dia dalam perkahwinan selama iddah. Suami adalah berkewajipan menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan munasabah untuk isterinya sama ada secara menyewa atau milik suami itu sendiri. Isteri juga boleh membuat tuntutan di Mahkamah Syariah sekiranya suami tidak menyediakan keperluan tersebut.


No comments:

Post a Comment