Saturday, May 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 105 ( Tujuh Golongan Mendapat Perlindungan Arasy, Doa Perlindungan Daripada Gangguan Jin, Cara-cara Bertaubat , Tanda-tanda Taubat Di Terima dan Wanita Menolak Poligami.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 105 adalah menjelaskan persoalan tujuh golongan mendapat perlindungan Arasy, doa penlindungan daripada gangguan jin, cara-cara bertaubat , tanda-tanda taubat diterima dan wanita menolak poligami.

581. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Arasy semasa di Padang Mahsyar kelak?

Jawapan :  

Terdapat tujuh (7) golongan yang mendapat Naungan (perlindungan) Allah SWT di Hari Kiamat kelak. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu, Rasulullah ﷺ bersabda:

قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. (صحيح البخاري)

Maksudnya, “Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah سبحانه وتعالى pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya[Q1]. 

1. Pemimpin yang adil, 

2. Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah سبحانه وتعالى,((

3. Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid,

4. Dua orang yang saling mencintai kerana Allah سبحانه وتعالى, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, 

5. Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, 

6. Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta 

7. Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya[Q2] basah kerana menangis.” (Sahih Bukhari, Hadis no 620)
.
Huraian Hadis
.
[Q1] Naungan Allah سبحانه وتعالى ini dapat diertikan secara sebenarnya iaitu naungan dari ‘arasy Tuhannya, tetapi dapat juga ditafsirkan sebagai kinayah iaitu dalam lindungan Allah سبحانه وتعالى dan ditempatkan di tempat yang dimuliakan.

[Q2] Meleleh air matanya, maksudnya ialah kerana ingatannya memusat betul-betul kepada Allah سبحانه وتعالى, berasa banyak dosa yang dilakukan, juga kerana ia amat rindu untuk segera bertemu denganNya dalam keadaan diredhai olehNya.
.
Terdapat 7 Golongan Dapat Naungan Allah SWT
.
Penjelasan lanjutnya adalah sebagai berikut.:
.
1. Pemimpin Yang Adil

Pemimpin di sini termasuk Ketua Negara, Presiden, Gabenor, Ketua Daerah, ketua pejabat, penghulu, ketua rumah tangga (suami) atau ketua pelajar. Kerana setiap kita adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah سبحانه وتعالى kelak. Untuk itu, seorang pemimpin perlu bertindak adil sehingga semua orang yang dipimpinya boleh merasakan perkhidmatan yang maksimum dan menegakkan peruntukan undang-undang yang sebenar.
.
2. Pemuda Yang Membesar Dalam Ketaatan (Ibadah)

Masa muda adalah masa di mana syahwat sedang memuncak sehingga tidak kurang ramai pemuda yang terjerumus dalam kemaksiatan. Hanya pemuda yang mampu mengisi hari-harinya dengan ibadah sahajalah yang terselamat di hari kiamat. Sebagaimana kisah ‘Ashabul Kahfi’ (Para pemuda Kahfi) yang mengelakkan kezaliman penguasa untuk menyelamatkan aqidah mereka.
.
3. Seorang Yang Hatinya Terikat Dengan Masjid

Orang yang tidak akan terlepas setiap peluang untuk memakmurkan masjid dengan ibadah dan amal-amal soleh secara istiqamah, terutama solat fardhu berjemaah. Hatinya selalu ‘risau dan resah’ apabila jauh dari masjid, dan berasa sedih bila tak boleh mendatanginya di waktu-waktu solat berjemaah dan ketika majlis diadakan.
.
4. Dua Orang Yang Saling Mencintai Kerana Allah سبحانه وتعالى, Berkumpul Dan Berpisah Kerana Allah سبحانه وتعالى.

Tingkatan hubungan keimanan tertinggi adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah. Bila dua orang saling mencintai kerana masing-masing selalu menjaga kecintaannya pada Allah سبحانه وتعالى, bertemu dalam rangka mengingat Allah سبحانه وتعالى dan berpisah dengan tetap dalam zikir pada Allah سبحانه وتعالى maka keduanya akan selamat di hari kiamat.
.
5. Seorang Lelaki Yang Diajak Berzina Oleh Seorang Perempuan Kaya Dan Cantik Tetapi Ia Menolak Dan Berkata, “Aku Takut Pada Allah سبحانه وتعالى.”

Sebagaimana kisah nabi Yusuf a.s. yang digoda oleh Zulaikha, keduanya saling cenderung sehingga jika bukan kerana petanda dari Allah سبحانه وتعالى, maka keduanya akan melakukan maksiat sehingga Yusuf a.s. berkata, “Ya Allah! Lebih baik hamba dipenjara daripada melakukan maksiat kepadamu.” Suatu peristiwa yang mungkin pada masa ini sangat jarang berlaku dan sukar ditemui.
.
6. Seseorang Yang Bersedekah Dengan Sembunyi-Sembunyi Sehingga Tangan Kiri Tidak Tahu Apa Yang Diberikan Oleh Tangan Kanan.

Amal yang disertai dengan sepenuh keikhlasan adalah salah satu syarat diterimanya amal kebajikan oleh Allah سبحانه وتعالى. Keikhlasan adalah perkara yang sukar dan oleh kerana itulah hanya orang-orang yang ikhlas sahaja yang tidak akan dipesongkan dan disesatkan oleh syaitan laknatullah.
.
7. Seseorang Yang Berzikir Kepada Allah Dalam Kesunyian Sehingga Menitiskan Air Mata.

Zikir bagi orang beriman ibarat nafas bagi setiap makhluk yang hidup. Ketika seseorang tidak leka dan terlepas daripada zikir sama ada di waktu siang mahupun di malam hari, maka ia seolah-olah makhluk hidup yang sentiasa boleh bernafas bebas. 

Mengingati Allah سبحانه وتعالى sehingga menitiskan air mata adalah sesuatu yang amat sukar, kecuali bagi insan-insan yang hatinya telah lembut oleh hidayah Allah سبحانه وتعالى. Sebagaimana ciri orang beriman, ketika mendengar kalimat Allah سبحانه وتعالى, maka bergetarlah hatinya dan ketika mendengar Al-Quran dan maka bertambah teballah keimanan mereka.
.
Sebagai seorang hamba yang masih dipinjamkan hayat di dunia ini. Semoga kita dapat mengambil ikhtibar dan hikmah dari huraian hadis di atas. Dan diharapkan semoga kita termasuk dan menjadi salah seorang daripada 7 golongan yang mendapat naungan Allah سبحانه وتعالى di Hari Qiamat kelak, kerana hanya dengan naungan Allah سبحانه وتعالى sahaja yang kita dambakan dan boleh selamatkan diri kita daripada kepedihan hari pembalasan.

582. Soalan : Ustaz nak tanya bagaimana kalau kita diperlihatkan,didengarkan dengan benda halus .siang hari pun boleh nampak,kadang-kadang sampai menyerupai suami sendiri tetapi lepas tu nampak suami dekat tempat lain,selalu pakaiannya puteh lah ...sebelum masuk rumah,tutup pintu dibacakan bismillah masih saya boleh nampak.
dan boleh ustaz jelaskan apa yang dimaksudkan dengan zina mata dan zina hati?

Jawapan : 

Allah SWT. berfirman dalam surah Fussilat ayat 36 yang bermaksud : "Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."

Memohon perlindungan adalah perkara yang sangat penting kerana syaitan mempunyai hasrat untuk menyesatkan manusia, tidak beriman dan syirik kepada Allah dan suka melakukan maksiat, serta berputus asa dan kehidupannya jauh daripada agama seterusnya masuk neraka bersama-samanya. Demikianlah kedengkian dan dendam syaitan terhadap umat manusia yang tidak pernah habis sehingga hari kiamat.

Antara cara lain untuk melindungi diri daripada gangguan jin dan syaitan adalah dengan berwuduk dan solat. Hal ini disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang bermaksud : "Sesungguhnya marah itu berasal daripada syaitan, dan sesungguhnya syaitan diciptakan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Jika salah seorang daripada kamu marah, hendaklah dia mengambil wuduk."

Ayat-Ayat Pelindung
Beberapa ayat yang disarankan untuk diamalkan sebagai ayat pelindung. Abu al-Tiyah berkata :
"Seorang lelaki pernah bertanya kepada Abdul Rahman bin Khanbash : 'Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. ketika diperdaya oleh syaitan?' Beliau menjawab : 'Baginda pernah dikerumuni syaitan-syaitan yang datang dari gunung dan lembah yang menghendaki diri Baginda. Ada syaitan yang terdapat nyalaan api di tangannya dan hendak membakar Baginda.

'Maka Jibril a.s. menemui Baginda dan berkata : 'Wahai Muhammad, ucapkan :
Ayat Pelindung

Maksudnya : 'Aku berlindung kepada kalimah-kalimah Allah yang sempurna, yang tidak dapat dilampaui orang yang baik dan yang buruk, daripada kejahatan yang diciptakan, yang didatangkan dan dijadikan-Nya, daripada kejahatan yang turun dari langit, daripada kejahatan yang tersimpan di bumi, dari kejahatan fitnah cubaan malam dan cubaan siang, daripada kejahatan setiap yang datang kecuali sesuatu yang datang dengan kebaikan wahai yang Maha Pengasih.'

"Lalu, Baginda mengucapkannya lalu membuatkan api-api syaitan itu padam dan Allah membakar mereka." (Hadis Riwayat al-Baihaqi dan Abu Nu'aim)

Ibn Sunni meriwayatkan daripada Anas, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang mengucapkan ketika masuk waktu pagi :

Maksudnya : 'Aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui daripada syaitan yang terkutuk', maka dia dilindungi daripada syaitan hingga petang."

Daripada Abu Sa'id : "Rasulullah SAW biasa berlindung daripada jin dan daripada pandangan mata manusia sehingga turun mu'awwizatain (surah al-Falaq dan surah al-Nas). Ketika kedua-dua surah ini turun, maka Baginda membacanya dan meninggalkan bacaan yang lainnya."(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Dari Abu Darda' r.a dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda maksudnya ; "Barangsiapa diwaktu pagi dan petang membaca ; 'Hasbiallahu lailahaillahu alaihitawakkaltu wahuwarabbul 'arsilazim' (Cukuplah Allah bagiku; tidak ada tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal. dan Dia adalah Tuhan yang memiliki 'Arsy yang agung ' (Surah at-Taubah ayat 129), tujuh kali, maka Allah akan mencukupi apa yang diinginkan dari perkara dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Ibnu Sunni dan Ibnu Asakil secara marfu')

Maksud zina mata dan zina hati adalah seperti terdapat di dalam hadis Nabai SAW. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Kedua mata itu boleh melakukan zina, kedua tangan itu (boleh) melakukan zina, kedua kaki itu (boleh) melakukan zina. Dan kesemuanya itu akan dibenarkan atau diingkari oleh alat kelamin.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Imam Muslim dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah). dan

“Tercatat atas anak Adam nasibnya dari perzinaan dan dia pasti mengalaminya. Kedua mata zinanya melihat, kedua teling zinanya mendengar, lidah zinanya bicara, tangan zinanya memaksa (memegang dengan keras), kaki zinanya melangkah (berjalan) dan hati yang berhasrat dan berharap. Semua itu dibenarkan (direalisasi) oleh kelamin atau digagalkannya.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari).

583. Soalan : Saya ni hanya insan biasa yang nak menanyakan sesuatu kepada ustaz..ustaz bolehke saye nak bertaubat? Tapi boleh ke taubat banyak kali? Mohon ustaz beri tips dan pandangan..terima kasih.

Jawapan :  

Apabila seseorang bertaubat kepaad Allah SWT sebenarnya dia telah bersih daripada dosa-dosanya

(1)- Taubat adalah langkahan pertama untuk kita mencintai dan merindui Allah SWT. Pintu taubat terbuka luas buat hamba-hamba Allah SWT. Bertaubat setiap hari dan setiap ketika.- Jiwa dan sanubari kita penuh dengan kesan-kesan dosa dan maksiat.

(2) Perbaharuilah taubat dalam setiap munajat, setiap doa dan setiap rintihan jiwa terhadap Allah SWT.- Antara waktu yang terbaik untuk bersunyi untuk bersama Allah SWT ialah disepertiga malam. Nah! Ia adalah waktu yang istimewa bagi jiwa-jiwa yang mendambakan keampunan dan rahmat kasih sayang Allah SWT.

(3) Dengan bertaubat, jiwa dan hati kita akan bersinar bersih dan putih bercahaya. Dengan hati sebeginilah kita akan mempunyai kekuatan yang luar biasa. – Kekuatan untuk menyerahkan segala-galanya pergantungan kepada Allah SWT. Benarlah kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah :
“ Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, jadikan dirimu rasa bahagia dengan Allah. Dan ketika orang-orang lain pergi menghadap raja-raja dan pembesar-pembesar mereka untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikan dirimu betul-betul mencintai Allah.” Trilogi Ibnul Qayyim. – Amru Khalid, (Ibadah Sepenuh Hati)

(4) Perbanyakanlah istighfar, agar anda menemui jalan keluar, memperolehi ketenangan batin, rezeki yang halal, zuriat yang soleh dan hujan lebat yang membawa berkah.[Perbanyakkanlah Istighfar - Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni, Jangan Bersedih.]

(5) Bersegera bertaubat dan memperbanyakan taubat – harus menjadi agenda yang utama dan penting di dalam kehidupan kita sebagai seorang mukmin muslim. InsyaAllah

Firman Allah yang bermaksud :  “Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah Dengan " taubat Nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang Yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba Dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan Limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (At-Tahrim : 8)

Al-Hafizh Ibnu Katsir berkata dalam kitab tafsirnya :

"Artinya adalah, taubat yang sebenarnya dan sepenuh hati, akan menghapus keburukan-keburukan yang dilakukan sebelumnya, mengembalikan keaslian jiwa orang yang bertaubat, serta menghapus keburukan-keburukan yang dilakukannya."

Hasan Al Bashri berkata : “Taubat adalah jika seorang hamba menyesal akan perbuatannya pada masa lalu, serta berjanji untuk tidak mengulanginya.”

Al Kulabi berkata : “Yaitu agar meminta ampunan dengan lidah, menyesal dengan hatinya, serta menjaga tubuhnya untuk tidak melakukannnya lagi.”

Sa'id bin Musayyab berkata : “Taubat nasuha adalah: agar engkau menasihati diri kalian sendiri.”

Dari pendapat yang diberikan di atas bahawa taubat nasuha itu adalah taubat yang sebenarnya dan tidak lagi mengulangi kesalahan yang dilakukan. Taubat nasuha dilakukan dengan penuh penyesalan atas segala dosa yang dilakukan. Allah menerima orang yang bertaubat bersungguh-sungguh dan tidak lagi mengulangi perbuatan dosa tersebut. Manakala orang yang bertaubat kemudia masih melakukan perbuatan dosa tersebut tidak dinamakan sebagai taubat nasuha.

Ada manusia beranggapan buatlah dosa duhulu nanti kita boleh taubat pada masa tua nanti. Kalau dan bertaubat tidak mengapa, kalau tidak berkesempatan untuk bertaubat maka padah nanti di hari akhirat. Lagipun taubat sebegini diibaratkan tidak ikhlas dengan Allah, sebab orang tersebut masih berkeinginan untuk melakukan dosa. Jangan berlengah-lengah untuk bertaubat, kerana orang yang melengahkan taubat ini adalah orang yang jahil, sombong, tidak sedar diri dan zalim kepada dirinya. Firman Allah yang bermaksud :

“ Dan ingatlah, sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim.” (Surah Al-Hujurat ayat 11)

Syarat-syarat Taubat

Mengikut Manhaj Salaf as-Soleh, antara syara-syarat taubat yang wajib dipenuhi agar taubat di terima oleh Allah :

1. Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.

2. Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.

3. Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.

Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

584. Soalan : Apakah tanda-tanda taubat kita di terima oleh Allah SWT?

Jawapan : 

Terdapat 7 Tanda Taubat Seseorang Diterima Allah :

Pertama adalah selepas bertaubat, kita akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar.” (Surah Taha, ayat 82)

Kedua adalah hatinya selalu dihiasi rasa takut kepada Allah SWT, tidak pernah berpisah dengan-Nya siang dan malam sehingga ia mendengar malaikat berbicara pada ketika mencabut nyawanya seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih, dan bergembiralah kamu dengan memperoleh syurga yang dijanjikan Allah kepadamu.” (Surah Fussilat, ayat 30)

Ketiga pula adalah selalu menyesal kepada Allah SWT, penyesalan yang datangnya dari lubuk hati, menghadap Allah SWT dengan rasa malu, takut dan hina.

Keempat, merasa dan menyedari buruknya perbuatan dosa dan bahayanya.

Imam Ibn Qayyim memaparkan bahayanya perbuatan dosa dalam kitabnya Ad-Da’ wa Ad-Dawa’ dan al-Fawa’id.

Antara bahaya itu ialah menyempitkan hati, wajah menjadi suram, urusan menjadi sulit, malas beribadat, dibenci oleh ramai manusia, badan menjadi lemah, terbiasa melakukan perbuatan dosa, hilangnya rasa malu, berkurangnya nikmat hidup, hidup sengsara, mati su’ul khatimah dan mendapat seksa di akhirat.

Kelima, menjauhi dan meninggalkan kawan-kawan yang berperangai buruk kerana seseorang akan selalu mengikuti kebiasaan temannya. Allah SWT mengingatkan akibat berkawan dengan mereka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan Allah ingin menerima taubatmu, sedangkan orang yang mengikuti hawa nafsunya bermaksud supaya kamu berpaling sejauh-jauhnya (dari kebenaran).” (Surah an-Nisa’, ayat 27)

Justeru, berhati-hatilah dengan kawan-kawan yang berperangai buruk, berpalinglah dari mereka dan ikutilah selalu jalan orang soleh. Ibn Atha’illah berkata: “Janganlah kamu berteman dengan seseorang yang keadaannya tidak membuatmu terdorong untuk berbuat baik dan ucapannya tidak membimbingmu menuju Allah.”

Keenam pula adalah tidak menganggap remeh dosa-dosa kecil seperti melihat perempuan yang bukan mahram dan bersalaman dengannya. Bilal bin Sa’ad berkata: “Jangan kamu melihat kecilnya dosa yang kamu lakukan tetapi lihatlah pada besarnya yang kamu langgar perintah-Nya.”

Ketujuh adalah melenyapkan segala sesuatu yang menjadi sebab berlakunya maksiat seperti majalah lucah dan sebagainya. Jika tanda-tanda itu ada dalam diri saudara, Insya Allah taubat saudara diterima Allah SWT.

585. Soalan : Jika seseorg keluarkan statement..: Mana satu nak ikut? Allah SWT atau Sunnah Nabi? ( dia menolak sunnah nabi tentang poligami mengatakan suaminya tak mampu ) Pada pendapat saya pulak, rezeki tu semuanya datang daripada Allah.. macaman dia boleh pasti yang semuanya akan huru hara jika suaminya berkahwin lagi? dah banyak kali suami dia minta izin nak kahwin lagi.. tapi dia menentang.. dia selalu update FB dia dengan Politik dan kata yang dia cintakan Allah.. Jadi saya nak tahu.. orang ni.. tergolong dalam orang yang macamana? sekian..terima kasih kalau dapat membantu..

Jawapan : 

Wanita yang berfikiran sempit dan menolak hukum Allah SWT yang membenarkan poligami adalah berdosa. Di sini Allah SWT nak menguji wanita di mana iman mereka kepada Allah SWT? Kenapa mereka membenci keharusan lelaki berpoligami sehingga mendengar perkataan poligami saja seperti histeria. Dan ada dikalangan muslimat yang memberi pilihan kepada suami yang berhasrat berpoligami samaada ceraikan dia atau suami boleh kawin lain (sedangkan minta cerai tanpa sebab munasabah tak akan cium syurga) . 

Sebahagian wanita mengatakan suami dia tak mampu berlaku adil dan tak cukup perbelanjaan keluarga maka tak layak berpoligami. Bagimana pula setengah kes suami berkemampuan beri nafkah dan berlaku adil tetapi isteri pertama masih tetap tak setuju? Wanita solehah perlulah mencontohi isteri-isteri Rasulullah SAW dan isteri-isteri sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang membenarkan suami-suami mereka berpoligami dan tak ada kes isteri mengadu kepada Rasulullah SAW kerana kes suami mereka berpoligami. 

Malahan isteri-isteri sahabat Rasulullah SAW mengalu-alukan jika ada di kalangan sahabat-sahabat yang berhasrat mengambil wanita janda atau bujang untuk menjadi madu-madunya. Mereka sanggup berkongsi kasih sayang dan berkongsi harta jika suami mereka bukanlah seorang hartawan atau ahli perniagaan. Hidup mereka cukup sederhana dan bersifat qanaah dan redha dengan rezeki yang dimiliki oleh suami-suami mereka. Mereka inilah contoh wanita-wanita ahli syurga yang bersih hati dan jiwa mereka daripada hasad dengki, iri hati dan cemburu buta. Muslimah hari ini perlulah bersikap positif samaada yang bergelar isteri atau gadis bila menghadapi isu poligami.

Dalam kes ini semuanya bergantung niat wanita tersebut jika dia membenci hukum Allah SWT dan mempertikaikannya dalam bab berpoligami boleh jatuh murtad tetapi jika mereka tak setuju suami mereka saja kerana kurang mampu maka tak jatuh murtad,





No comments:

Post a Comment