Saturday, May 10, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 111 (Kewafatan Rasulullah, Amalan Terbaik, Isteri Ada Kekasih Minta Cerai, Hukum Faraid (Bujang) Dan Derma Darah Orang Bukan Islam).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 111 adalah menjelaskan persoalan kewafatan Rasulullah, amalan terbaik, isteri ada kekasih minta cerai, hukum faraid dan derma darah orang bukan Islam.

611. Soalan : Ustaz, saya mahu bertanya apakah benar semasa Nabi Muhammad SAW. wafat dibirinya ada menyebutkan Umati..Umati..?

Jawapan : 


Tidak benar dakwan tersebut kerana di akhir hayat baginda SAW baginda tak sebut ummati, ummati. Aisyah r.a meneruskan catatannya: Aku melihat sendiri Rasulullah s.a.w mendepani kematian Baginda. Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi SAW tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda SAW semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah SAW berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda SAW telah menyempurnakan pilihannya itu. Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah SAW rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda SAW berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda SAW bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakar dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda SAW merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda SAW mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh. Air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah SAW di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda SAW mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda SAW mengangkat jari kirinya ke langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! (Allahumma Rafiqul A’laa)”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana. Leher Baginda SAW terkulai di dada Aisyah. Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Surah Al-Ahzaab (33) ayat 

612. Soalan : Apakah amalan yang paling baik yang perlu dilakukan oleh seorang mukmin?

Jawapan : 

Amalan yang paling baik dilakukan oleh seorang mukmin adalah hati yang sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Hati yang sentiasa diisi dengan zikir kepada Allah SWT, akan menjadi kuat, teguh, istiqamah, mampu mematahkan serangan dan pengaruh hawa nafsu yang dikendalikan oleh syaitan. Hati yang hidup, bersih dan salim akan dekat kepada Allah SWT, jauh dari gelisah dan keluh kesah dan sentiasa tenang dan gembira. Hati-hati seperti inilah yang akan diingati oleh Allah SWT, dikasihi dan diredai-Nya .

Firman Allah SWT. yang bermaksud : "Berzikirlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu.” (Surah al-Baqarah ayat 152)

Seorang pemuda bertanya kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah, sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu banyak, tapi aku tak mampu melakukan seluruhnya. Beritahukanlah kepadaku nasihat apa yang dapat aku pegang teguh, nasihat yang singkat sehingga aku tidak mudah melupakannya.”

Rasulullah SAW menjawab, “Basahlah lidahmu selalu dengan zikrullah.”
(Hadis Riwayat Tirmizi) Dari Abu Musa r.a. Rasulullah SAW besabda yang bermaksud : “Perumpamaan orang yang berzikir dengan yang tidak berzikir, seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (Hadis Riwayat Bukhari)

613. Soalan : Ustaz. apa hukum kalau seorang isteri mintak cerai dengan suami kerana dia sudah ada kekasih lain dan mahu berkawin dengan lelaki itu. dan kekasih si isteri tadi yang menyuruh minta cerai . sekian terima kasih.

Jawapan : 

Jika si isteri minta cerai kerana ada kekasih lain dan kekasihnya sendiri yang menyuruh wanita ini minta cerai maka kedua-dua mereka mendapat laknat Allah SWT dan tak cium bau syurga.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)

Berdasarkan hadis di atas terdapat tiga golongan manusia yang akan mendapat laknat Allah SWT iaitu

Pertama : Seorang yang membenci kedua ibu bapanya.

Kedua : Seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya.

Ketiga : Seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya.

Adalah dosa besar jika seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya.

Salah satu sifat orang fasik adalah suka kepada isteri orang dan dia berusaha untuk menceraikan pasangan suami isteri tersebut. Mungkin bermula apabila wanita tersebut mengadu kepadanya bahawa dia mempunyai masaalah dengan suaminya. Sepatutnya sebagai seorang mukmin dia menasihatkan wanita tersebut supaya kembali mentaati suaminya dan melupakan perbalahan kecil urusan rumah tangga bukannya menggalakkan wanita tersebut meminta cerai kepada suaminya dengan itu dia akan berpeluang mengawininya. Akhlak lelaki seperti ini cukup buruk dan akan mendapat laknat Allah SWT di dunia ini dan di akhirat akan mendapat azab yang besar.

Perlu diingatkan kepada para wanita yang sudah berkahwin kalian perlu berhati-hati apabila meluahkan masaalah rumah tangga kepada lelaki yang kalian tidak kenal sepenuhnya hanya kenal di alam maya ini kerana ramai lelaki mempunyai "penyakit hati" dan akan mengambil kesempatan untuk "meneguk di air keruh" dan dikira berdosa kerana membuka aib suami kepada orang yang tidak berkenaan. Tetapi jika kalian berhajat mendapatkan khidmat nasihat maka dapatkanlah pejabat agama atau daripada ustazah atau ustaz atau pakar kaunseling maka hubungilah mereka yang berpengalaman dalam menyelesaikan masaalah rumah tangga.

Bukan sahaja lelaki yang merosakkan rumah tangga orang lain akan mendapat laknat daripada Allah SWT tetapi wanita tersebut yang tertarik dengan lelaki yang menghasutnya juga tidak akan masuk syurga kerana meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak.


Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Mana-mana wanita yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak maka haramlah baginya bau syurga”. (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

614. Soalan : Boleh tak ustaz jelaskan hukum faraid mengikut bahagian-bahagian ahli waris?

Jawapan : 

Apa yang ada dalam Faraid adalah pernyataan  tentang bahagian-bahagian waris yang berhak daripada harta pusaka simati. Secara asasnya nilai bahagian-bahagian tersebut adalah seperti berikut.

Bapa:                    1/6 daripada nilai harta si mati

Ibu:                        1/6 daripada nilai harta si mati

Isteri:                     1/8 dariapada nilai harta si mati

Suami:                  1/4 daripada nilai harta si mati

Anak Lelaki:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

Anak Perempuan:  1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

Nilai bahagian faraid ini boleh berubah apabila komposisi waris faraid berubah.

A) Untuk komposisi waris simati yang sudah berkeluarga :

     1) Bapa si mati:         1/6

     2) Ibu si mati:              1/6

     3) Isteri:                       1/8  atau  Suami: 1/4.  (Mana-mana yang masih hidup)

     4) Anak Lelaki:           2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

     5) Anak Perempuan: 1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

B) Untuk komposisi waris simati yang belum berkeluarga (bujang):

     1) Ibu:    1/6

     2) Bapa: 5/6 (bapa dapat keseluruhan baki harta setelah ditolak hak faraid Ibu)

C) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada anak

     1) Suami: 1/2 atau isteri: 1/4  (Mana-mana yang masih hidup)

     2) Ibu:       1/6

     3) Bapa:   mendapat semua baki harta

D) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada ibu dan bapa.

      1) Suami:                   1/4 atau isteri: 1/8  (Mana-mana yang masih hidup)

      2) Anak Lelaki:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.

      3) Anak Perempuan:  1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.

E) Untuk komposisi waris simati yang masih bujang tapi tiada ibu dan bapa

     1) Adik-beradik Lelaki:          2/3 daripada harta.

     2) Adik-beradik Perempuan:  1/3 daripada harta.

615. Soalan : Ustaz...ayah saya kena menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan didalam perut dan memerlukan penderma darah...persoalannyaa boleh kah kita menerima darah bangsa lain?...Minta penjelasan ustaz...

Jawapan : 

Harus menerima darah orang bukan Islam kerana darah orang Islam sama saja dengan darah orang bukan Islam. Para ulama sepakat bahawa darah adala benda najis. Semua imam mazhab menyatakan hal yang sama dalam hal ini.

Namun mereka mengatakan bahawa darah yang najis itu adalah darah yang keluar dari dalam tubuh kita. Sedangkan darah yang ada di dalam tubuh dan sedang bekerja menyebarkan makanan, oksigen dan lainnya, tidak dikatakan sebagai najis.

Sebab kalau darah di dalam tubuh kita dinyatakan najis, bererti tubuh kita pun najis juga jadinya. Dan kalau tubuh kita najis, bagaimana kita shalat, thawaf dan sebagainya?

Di sisi lain, para ulama juga menyatakan bahawa tubuh manusia, kafir atau muslim, tidak termasuk benda najis. Kalau pun ada ungkapan di dalam Al-Quran tentang kenajisan orang kafir, maka para ulama sepakat bahawa yang dimaksud dengan najis di dalam ayat itu bukan najis secara hakiki, namun najis secara majazi.

Mengapa para ulama mengatakan demikian?

Ini kerana melihat konteks ayat itu yang sedang menjelaskan keharaman orang kafir memasuki wilayah tanah haram di Makkah. Maka ketika orang-orang musyrik itu dikatakan najis, adalah makna majazi. Seolah-olah mereka itu benda najis yang tidak boleh memasuki wilayah yang suci.

Tapi pada hakikatnya tubuh orang kafir bukan benda najis. Buktinya mereka tetap dibolehkan masuk ke dalam masjid-masjid mana pun di dunia ini, kecuali masjid di tanah haram.

Kalau tubuh orang kafir dikatakan najis, maka tidak mungkin Abu Bakar minum dari satu gelas bersama dengan orang kafir. Kalau kita belajar fiqih thaharah, maka kita akan masuk ke dalam salah satu bab yang membahas hal ini, yaitu Bab Su’ur.

Di sana disebutkan bahawa su’ur adami (ludah manusia) hukumnya suci, termasuk su’ur orang kafir.

Maka hukum darah orang kafir yang dimasukkan ke dalam tubuh seorang muslim tentu bukan termasuk benda najis. Ketika darah itu baru dikeluarkan dari tubuh, saat itu darah itu memang najis. Dan bekas mengisi darah tentu tidak boleh dibawa untuk shalat, kerana bekas darah itu najis.

Namun begitu darah segar itu dimasukkan ke dalam tubuh seseorang, maka darah itu sudah tidak najis lagi.

Dan darah orang kafir yang sudah masuk ke dalam tubuh seorang muslim juga tidak najis.

Sehingga hukumnya tetap boleh dan dibenarkan ketika seorang muslim menerima pemindahan darah dari penderma yang tidak beragama Islam.





No comments:

Post a Comment