Monday, June 9, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 119 ( Hari Keluarga Cabutan Bertuah, Hukum Berkabung Kerana Kematian, Batalkan Nazar Kaffarah, Lutut Turun Dahulu Ketika Sujud Dan Mandi Hadas Ketika Cedera.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 119 adalah menjelaskan persoalan hari keluarga cabutan bertuah, hukum berkabung kerana kematian, batalkan nazar kaffarah, lutut turun dahulu ketika sujud dan mandi hadas ketika cedera.

651. Soalan : Ustaz...saya nak tanya..saya ada buat hari keluarga dan kutipan dibuat untuk menampung perbelanjaan pada hari tersebut. Makan minum dan hadiah lucky draw. Apakah hukumnya hadiah lucky draw tersebut. Harap ustaz dapat menjawab kemusykilan saya ini. Terima kasih.

Jawapan : 

Biasanya perbelanjaan hari keluarga di sediakan peruntukkannya oleh syarikat atau jabatan kerajaan yang mengadakan hari keluarga. Termasuk semua aktiviti dan hadiah cabutan bertuah di ambil daripada peruntukan sedia ada maka ianya diharuskan. Tetapi jika mengadakah cabutan bertuah di ambil daripada ahli keluarga yang hadir di hari keluarga tersebut maka terdapat unsur judi di dalamnya. Jika ada unsur-unsur judi maka Islam melarangnya.

652. Soalan  : Ibu mentua saya baru 2 bulan meninggal..yang menjadi masaalahnya adik ipar saya tidak membenarkan kami menyambut hari raya saperti selalu dan tidak membenarkan kami membesarkan dapur rumah sehingga genap 1 tahun pemergian arwah..apa pendapat ustaz 

Jawapan : 

Tidak ada dalam ajaran Islam berkabung sehingga setahun. Nabi SAW bersabda; “Janganlah wanita berkabung atas suatu kematian melebihi 3 hari, kecuali atas kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari, dan janganlah ia memakai pakaian yang dicelup (bercorak dan berwarna-warni), jangan bercelak dan jangan memakai wangian kecuali setelah bersuci dari haid; dibolehkan sedikit sahaja (untuk menghilangkan bau tidak enak pada faraj)” (Hadis Riwayat Muslim; 938/66, dari Ummu ‘Atiyah r.a).

653. Soalan :  Ustaz, saya ingin bertanya tentang puasa nazar. Jika si fulan ingin bernazar puasa pada hari yang telah dijanjikan tetapi si fulan terlupa untuk melaksanakan puasa nazarnya pada hari yang telah dijanjikan. Macamana nak selesaikan masaalah ini?

Jawapan : 

Jika dia terlupa puasa nazar pada hari yang dijanjikan dia tak berdosa kerana terlupa. Dia boleh menggantikan nazar tersebut dengar kaffarah sumpah .

Firman Allah SWTmaksudnya: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah dan jagalah peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Maidah ayat 89). 

Mengikut kitab Fiqh al-Muyassar, kaffarah sumpah bermula dengan pilihan dan berakhir dengan tertib.

Maksudnya, pada peringkat awal diberi pilihan menunaikan kaffarah kepada tiga jenis perkara seperti yang disebut dalam ayat di atas, iaitulah:

1) Memberi makan sepuluh orang miskin, atau
2) Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau
3) Memerdekakan seorang hamba.

Jika tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas, maka mengikut tertib berikutnya hendaklah dia berpuasa tiga hari samada secara berturut-turut atau tidak berturut-turut. Para fuqaha telah bersepakat bahawa puasa hanya boleh dilakukan jika dia tidak mampu melakukan tiga pilihan di atas.

Sebagai kesimpulan, kaffarah sumpah mesti ditunaikan dengan melakukan salah satu daripada tiga pilihan seperti yang disebut dalam ayat al-Quran di atas. Puasa hanya boleh dilakukan apabila dia tidak mampu melakukan tiga pilihan tersebut. Wallahu a'lam


654. Soalan : Dalam solat ketika hendak sujud... bahagian mana dulu mesti sentuh sejadah...? lutut atau kedua tapak tangan...?

Jawapan : 

Ulama berselisih pendapat di dalam perkara tersebut bahagian mana dulu yang perlu sentuh sejadah lutut atau tangan dulu. Pendapat yang lebih kuat adalah sentuh lutut dulu baru kedua tapak tangan.
 

Menurut mazhab Hanafi, Syafie dan satu pandangan yang diriwayatkan dari Ahmad, seseorang yang ingin sujud hendaklah menurunkan lututnya dahulu, kemudian barulah tangannya. Al-Tirmudzi menganggap walaupun ini adalah amalan kebanyakkan ulama, sebagaimana yang beliau ucapkan didalam Sunannya (2/57).: "[Ini adalah] amalan kebanyakkan ulama' ": mereka merasakan bahawa seseorang itu harus turun dengan lututnya sebelum meletakkan tangannya dibahawa, dan bila ia bangun ia harus menangkat tangannya dahulu sebelum lututnya. Mereka menggunakana hadith Waa'il ibn Hajar yang berkata :

"Aku melihat Nabi SAW apabila beliau sujud, dia meletakkan lututnya sebelum tangan, dan bila beliau naik, beliau akan mengangkat tangannya sebelum lutut" (Hadis Riwayat Abu Daud, Al-Tirmudzi, Al-Nasaai', Ibn Majah (1/345). Tirmudzi berkata bahawa hanya seorang yang meriwayatkannya ialah Yazid ibnm Harun dari Shurayk.

Lain-lain ulama mengkelaskan hadis ini sebagai Sahih, seperti Ibn al-Qayyim (Zaad al-Ma'aad). Mereka yang mendokong bahawa harus turun sujud menggunakan lutut dahulu ialah Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyah, Ibn Al-Qayyim, dan juga beberapa ulama zaman ini seperti Sheikh Abdul Aziz bin Baaz, Sheikh Muhammad ibnu Saalih Al-Uthsaimin dan Al-Jibrin.

Kata bin Baaz didalam Majmu' fatawa: "Yang terbaik : Dua lutut dahulu, kemudian kedua-dua tangan dan kemudiannya muka, dari hadis Waa'il dan apa yang datang dengan maknanya"[4/234][1].
Wallahu 'alam

Rujukan :


1. Sheikh Ahmad bin Abdul Aziz bin Bazz. Majmu' Fatawa Samaahah Abdul Aziz Bin Baaz - 4 Riyad : Dr Al-Watan, 2000.

655. Soalan : Saya hendak bertnyakan mengenai cara-cara mandi hadas dalam keadaan cedera..dan kecederaan itu jika terkena air akan memudaratkan badan..mohon percerahan ustaz..

Jawapan : 

Apabila sebahagian daripada tubuh badan cedera tidak boleh terkena air maka hendaklah bertayamum, sapu kawasan luka yang sedang dibalut dengan bekas air ditapak tangan dan cuci anggota badan yang lain dengan air.  Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu berkata: Kami pernah berada dalam satu perjalanan lalu seseorang di antara kami (terjatuh) lalu kepalanya terkena batu. Orang itu kemudian (di malam hari) junub pula kerana bermimpi (dalam tidurnya). Maka (di keesokan pagi) bertanyalah dia kepada rakan-rakannya: Apakah kalian mengetahui hukum keringanan bagi aku untuk bertayamum ? Kami menjawab: Kami tidak mengetahui sebarang hukum keringanan bagi kamu sedangkan kamu mampu menggunakan air. Maka orang itupun melakukan Mandi Wajib dan ternyata setelah itu dia mati (kerana cedera parah yang amat sangat di kepalanya itu).

Setelah itu kami (pulang) menghadap Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dan melapurkan kepada baginda peristiwa tersebut maka baginda bersabda (dengan marah): Mereka telah membunuhnya, Allah (akan) membunuh mereka ! Mengapa mereka tidak bertanya jikalau mereka tidak tahu ? Sesungguhnya ubat kebodohan itu adalah bertanya. Dia cukup dengan bertayamum sahaja dan membalut kain serban atas lukanya, kemudian menyapu di atas serbannya itu. Setelah itu dia mencuci anggota badannya yang lain.[Sunan Abu Daud - no: 0317.]

Dalam hadis ini jelas kita melihat Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam marah terhadap perbuatan para sahabat yang terlalu ketat memegang kepada sesuatu hukum sehingga menyebabkan kematian salah seorang dari sahabat mereka sendiri. Malah baginda juga mempertanggungkan kematian sahabat itu ke atas rakan-rakannya, dengan sabda baginda : "Mereka telah membunuhnya……"



No comments:

Post a Comment