Saturday, June 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 127 ( Nikah Khitbah (Nikah Gantung), Semasa Sujud Tak Boleh Baca Al-Quran, Wali Nikah, Solat Tahajud Tak Perlu Minta Izin Suami, Solat Di Akhir Waktu Dapat Satu Rekaat Dan Solat Tergesa-gesa (Mencuri Dalam Solat)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 127 adalah menjelaskan persoalan nikah khitbah (nikah gantung), semasa sujud tak boleh baca al-Quran, wali nikah, solat tahajud tak perlu minta izin suami, solat di akhir waktu dapat satu rekaat dan solat tergesa-gesa (mencuri dalam solat)

591. Soalan : Ustaz saya nak tanya soalan tentang nikah khitbah , kalau dah nikah khitbah  boleh la bersentuhan  tapi bagaimana kalau terlebih mesra sehingga bersetubuhan ? Minta pencerahan ustaz, terima kasih.

Jawapan :  

Nikah Khitbah atau Nikah Gantung adalah nikah yang sah seseorang menjadi suami isteri.Nikah Gantung

Nikah gantung yang saya faham adalah majlis pernikahan dibuat dahulu dan majlis perkahwinan atau kenduri kemudian. Kebanyakkan orang mengatakan bahawa nikah gantung ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya zina. Sebut-sebut nikah gantung ni selalunya kita dengar kepada anak-anak muda yang masih menuntut ilmu atau mabuk bercinta, takut makwe dan pakwe dirampas orang lain, maka mereka sanggup merancang untuk kahwin gantung.

Sebelum membuat keputusan kawin gantung ni, terlebih dahulu minta izin ibu bapa dahulu, jangan buat ikut nafsu sahaja, sebab masih banyak lagi tanggungjawab yang belum kita selesaikan terutamanya tanggungjawab sebagai seorang pelajar, tanggungjawab anak kepada ibu bapa yang berharap anak mereka memdapat kejayaan dalam pelajaran dan banyak lagi. Kalau ibu bapa bagi kawin, maka ia tidak menjadi masalah untuk melaksanakan perkahwinan. Redha ibu bapa ini penting sebab di situ ada keberkatannya. Hadis Nabi yang bermaksud : “Redha Allah itu atas redha kedua ibu bapa”.

Janganlah kita mengecewakan kedua ibu bapa kita kerana cinta dan perkahwinan tanpa redha mereka. Takut-takut hidup kita tak bahagia dan tidak aman, kerana balasan orang yang mengecewakan atau derhaka kepada kedua ibu bapa akan disegerakan balasannya di dunia.

Dalam hal yang lain juga perlu kita perhatikan, seperti tanggungjawab yang akan dipikul oleh orang yang sudah berkahwin, mampukah dia melaksanakan perkara tersebut seperti memberi nafkah, perlindungan, kebahgiaan dan sebagainya. Kalau mampu maka anda layak untuk berkahwin. Haram berkahwin bagi orang yang tidak mampu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap isterinya. Boleh lihat di atas tentang hukum-hukum perkahwinan. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan kewajipan ayah menaggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak di bebani ebih dari kesanggupannya.. “ (Surah Al-Baqarah ayat 233)

Kahwin gantung, mestilah cukup rukun-rukun nikahnya seperti penganting lelaki, penganting wanita, dua orang saksi, wali, ijab dan qabul. Kalau cukup semua ini, maka perkahwinan tersebut sah dan bolehlah pihak penganting bersama. Ada adat melayu kita yang bercanggah dengan syarak seperti pengantin yang nikah belum kenduri, tidak boleh bersama lagi. Sebenarnya perkara ini salah, kerana kenduri itu adalah sunat sahaja yang wajib itu adalah akad nikah. Tidak perlulah menghalang pengantin berjumpa atau berdua-duaan, lagipun saat itulah yang paling indah bagi pasangan pengantin.

Apabila berlaku akad nikah dan suami telah membayar mas kawin maka sahlah mereka menjadi suami isteri. . Kalau boleh jangan berhutang maskahwin sebab dia tidak mahal. Beza dengan hantaran, kadang-kadang kita dengar hantaran sampai puluh-puluh ribu. Perkahwinan ini bertujuan untuk mencari keberkatan dan mencari kebahgiaan, janganlah sampai menyulitkan atau memayahkan pihak penganting lelaki dengan jumlah yang tinggi sehingga dia terlibat pula dengan hutang. 


Penganting lelaki dan perempuan boleh bersama jika wang hantaran belum dibayar, kerana hantaran adalah sunat. Tentang maskahwin pihak pengantin lelaki boleh berbincang dengan pengantin perempuan dengan cara yang baik. Kadang-kadang ada pengantin perempuan yang sanggup berikan duit maskahwin kepada suaminya untuk kegunaan tertentu seperti belajar, yuran dan sebagainya, maklumlah pengantin lelaki masih belajar. Ada setengah wanita dia tetapkan maskahwinnya murah dan ada yang minta Al-Quran sahaja. Apa-apapun berbincanglah dan selesaikanlah segala kesukaran dengan cara yang baik dan hikmah.

Penutup

Apa-apapun sebelum berbuat sesuatu, fikirkanlah dan berdoalah semoga Allah memberikan satu jalan keluar dari segala kesulitan yang berlaku. Perkahwinan ini adalah satu perkara yang baik dan banyak ganjarannya. Di antaranya terhindar dari melakukan dosa, solat boleh khusyuk, mudah melakukan ibadah dan sebagainya. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.” (Surah Ar-Rum ayat 21)


Nikah Khitbah adalah nikah gantung bukan bertunang perlu difahamkan betul-betul. Jika nikah khitbah atau nikah gantung sudah berjalan proses akad nikah [memenuhi 5 rukun nikah 1). ada pengantin perempuan 2).ada pengantin lelaki 3.) ada wali 4). ada 2 saksi 5) .berlaku ijab dan qabul] maka sahlah pernikahan tersebut dan mereka telah menjadi suami isteri di halalkan bersentuhan dan bersetubuh kerana mereka adalah suami isteri. 

592. Soalan : Solat fardu dalam sujud terakhir tu saya baca lailahaillah anta subhanaka inni kuntu min a zalimin..mohon pencerahan ustaz...terimakasih

Jawapan : 

Dalam hadis sahih Rasulullah SAW melarang membaca al-Quran semasa sujud dan rukuk ketika solat. Doa Nabi Yunus di atas adalah doa yang terdapat di dalam al-Quran oleh itu ulama tak galakkan kita membacanya ketika sujud. Berdoa biasa diharuskan minta pada Allah SWT hajat-hajat kita. Berdoa di sujud terakhir adalah salah satu tempat mustajab doa.
 

Sesungguhnya sujud itu adalah waktu yang paling hampir seorang hamba dengan Tuhannya maka perbanyakkanlah dan bersungguh-sungguhlah berdoa di ketika itu.

اَنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: أَقْرَبُ مَا يَكُوْنُ اَحَدُكُمْ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوْا فِيْهِ مِنَ الدُّعَاءِ، وَقَالَ: اَلاَ اِنِّيْ نُهِيْتُ اَنْ اَقْرَأَ الْقُرْاَنَ رَاكِعًا اَوْ سَاجِدًا اَمَّا الرُّكُوْعُ فَعَظَّمُوْا فِيْهِ الرَّبَّ وَاَمَّا السُّجُوْدُ فَاجْتَهِدُوْا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ اَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ


Telah bersabda Nabi SAW: "Saat yang paling dekat bagi seorang hamba untuk berada di samping Tuhannya ialah ketika ia sujud. Dari itu hendaklah kamu memperbanyak doa ketika sujud itu. Dan sabdanya lagi: Ketahuilah, sesungguhnya aku dilarang membaca Al-Quran ketika rukuk atau sujud. Adapun di waktu rukuk maka agungkanlah Tuhanmu sedang di waktu sujud maka bersungguh-sungguhlah kamu dengan berdoa, maka pasti kamu dikabulkan.
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Nasai dan Abu Daud. )


Doa yang paling afdhal adalah doa yang kita mohon kepada Allah SWT bersesuaian dengan hajat kita, untuk diri sendiri, isteri, anak-anak, ahli keluarga, pekerjaan, perniagaan, jemaah, umat Islam dan sebagainya. Doa di hati di dalam bahasa melayu tetapi jangan dilafazkan kerana batal solat jika tersebut bahasa selain daripada bahasa arab.

593. Soalan : Saya nak bertanya sedikit...jika seorang perempuan pernah berkahwin dan bercerai...andai perempuan itu ingin berkahwin lain dan bapa perempuan itu tidak mahu menjadi wali apa yang patut perempuan itu buat..? Bolehkah menguna adik beradik bapa atau bolehkah perempuan itu menguna wali hakim..?

Jawapan : 

Wali nikah penting bagi seseorang wanita yang hendak bernikah. Kerana salah satu rukun nikah adalah adanya . 

Rukun Nikah :

1. Pengantin lelaki (Calon Suami)
2. Pengantin perempuan (Calon Isteri)
3. Adanya Wali
4. Dua orang saksi lelaki
5. Ijab dan Qabul (akad nikah). 


Jika wali enggan menikahkan si wanita tadi dia bolehlah mengadu di Pejabat Agama dan mohon hakim makhamah syariah membenarkan wali lain atau menggnkan wali hakim menggantikan wali utama yang enggan menikahkan anak perempuannya.

Mahkamah Syariah akan memutuskan siapa wali wanita yang layak menjadi wali nikah sekiranya wali utama (ayah kepada siwanita) enggan menjadi wali di dalam pernikahan tersebut.

SUSUNAN KEUTAMAAN WALI BAGI PIHAK PEREMPUAN YANG INGIN BERKAHWIN :

1. Bapa

2. Datuk sebelah bapa hingga ke atas

3. Saudara lelaki seibu sebapa (adik beradik lelaki seibu sebapa )

4. Saudara Lelaki sebapa(adik beradik lelaki sebapa)

5. Anak saudara lelaki bagi saudara lelaki seibu sebapa

6. Anak saudara lelaki bagi saudara lelaki sebapa

7. Anak,anak saudara lelaki bagi saudara lelaki seibu sebapa( cucu Saudara )

8. Anak,anak saudara lelaki bagi saudara lelaki sebapa(cucu saudara)

9. Bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa

10. Bapa saudara sebapa sebelah bapa

11. Anak lelaki bagi bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa( Sepupu lelaki yang seibu sebapa sebelah bapa)

12. Anak lelaki bagi bapa saudara sebapa sebelah bapa(sepupu lelaki yang sebapa sebelah bapa)

13. Anak ,anak lelaki bagi bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa( anak sepupu lelaki yang seibu sebapa sebelah bapa)

14. Anak,anak lelaki bagi bapa saudara sebapa sebelah bapa(anak sepupu lelaki yang sebapa sebelah bapa)

15. Bapa saudara bapa seibu sebapa sebelah bapa(datuk saudara)

16. Bapa saudara bapa sebapa sebelah bapa(datuk saudara)

17. Anak bapa saudara bapa seibu sebapa di sebelah bapa(Anak datuk saudara)

18. Anak bapa saudara bapa sebapa sebelah bapa(anak datuk saudara)

19. Anak,anak bapa saudara bapa seibu sebapa sebelah bapa(cucu datuk saudara)

20. Anak ,anak bapa saudara sebapa sebelah bapa (cucu datuk saudara)

21. Bapa saudara bapa ,bapa sebelah seibu sebapa (Moyang saudara)

22. Bapa saudara bapa,bapa sebelah sebapa(Moyang saudara )

23. Anak lelaki bapa saudara bapa ,bapa sebelah bapa yang seibu sebapa(anak moyang saudara)

24. Anak lelaki bapa saudara bapa ,bapa di sebelah bapa sebapa hingga kebawah(anak moyang saudara)



593. Soalan : Seorang isteri kalau nak buat solat tahajud wajib minta izin suami dahulukan...soalan saya, adakah setiap kali nk buat solat tahajud kita kena minta izin darinya..? atau hanya sekali sahaja minta izin kita dh boleh buat solat seterusnya...?


Jawapan : 

Dalam hadis hanya puasa sunat dan keluar rumah sahaja isteri kena minta izin pada suami. Isteri boleh solat tahajud tanpa minta izin suami dulu tetapi ada hadis Nabi SAW menjelaskan bahawa isteri solehah akan menggerakkan suami untuk solat tahajud bersama.

Dari Abu Hurairah, ujarnya : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : "...Semoga Allah memberi rahmat kepada seorang wanita yang bangun solat malam dan ia bangunkan suaminya untuk solat malam. Jika suaminya enggan , lalu ia percikan air ke mukanya ( suaminya )." ( HR.Ahmad, Nasa'i dan ibnu Hibban ).


594. Soalan : Ustaz minta pencerahan:

1. Boleh tak kite hadiahkan baju/kain yg baru, yg kita tak pernah pakai kepada rakan kita sebagai hadiah?


2. Kalau kita stuck lam jam lepas kerja, dn sampai rumah lambt utk solat maghrib, kita hanya ada 5 minit atau 3 minit sebelum azan magrib, adakah kita solat asar sebagai "solat tunai"?


3. Batal tak solat kita klau azan maghrib dh dilaungkan dn kita masih diatas sejadah bersolat asar?


4. Boleh tak kita berdoa dn berzikir sebelum start solat maghrib, walaupun dh masuk waktu solat maghrib? Jazakallah Ustaz..



Jawapan : 

1. boleh kita berikan hadiah baju atau kain baru yang kita tak pernah pakai sebagai hadiah kepada rakan kita. 

2. Jika kita boleh dapat satu rekaat solat asar dan azan magrib berkumandang maka kita dapat solat asar. Jika baru takbir atau baru rukuk pertama azan magrib kita tak dapat pahala solat asar tunai tetapi kita dapat pahala asar juga tetapi solat di luar waktu. 

Daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum matahari terbit maka dia telah dapat menunaikan solat Subuh itu dan sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat Asar sebelum matahari terbenam maka dia telah dapat menunaikan solat Asar itu. Dan sabdanya lagi, sesiapa yang dapat melakukan satu rakaat solat dalam waktunya maka dia telah dapat menunaikan solat itu.” 

3. solat asar perlu diteruskan jika semasa kita takbir azan magrib belum bermula. 

4. jika sudah masuk waktu magrib maka teruskan solat magrib tinggalkan doa dan zikir kerana mencari fadilat solat di awal waktu.


595. Soalan : Apa pendapat ustaz tentang solat 'robot',maksud saya solat yang tergesa2 sedangkan tiada apa yang penting perlu dikejar,sekian ..


Jawapan : 

Solat yang cepat tak sempurna tomakninah maka solat seperti ini tak sah dan solat yang tak khusyuk tidak akan mendapat pahala di sisi Allah SWT.

Nabi SAW bersabda maksudnya, “Sungguh sejahat-jahat pencuri dari kalangan manusia adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan mencuri dalam solatnya?” Baginda SAW bersabda maksudnya, “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Dan sungguh orang yang paling kikir adalah orang yang kikir mengucapkan salam. (HR. Thabrani & Hakim)

Solat adalah salah satu ibadah yang wajib dilakukan oleh muslim yang berakal dan telah baligh. Semua Ulama’ bersepakat tentang kewajipan solat dan meletakkan hukum fardhu ‘ain, iaitu kewajipan yang wajib dilakukan oleh tiap-tiap individu. Solat termasuk dalam rukun Islam yang kedua dan wajib ditegakkan kerana ia adalah tiang agama. 


Sebegitu wajibnya solat sampai tidak ada rukhsah (keringanan) untuk meninggalkannya bagi seorang muslim. Kalau terlupa/tertidur, kita wajib melaksanakan solat ketika ingat. Jika tidak ada air untuk berwuduk, kita dapat menggantinya dengan tayamum. Menjaga solat juga merupakan wasiat Rasulullah S.A.W sebelum wafat “Jagalah solat, jagalah solat dan hamba sahayamu.”

1 comment:

  1. salam ustad , saya nak tanya bagaimana dengan pasangan yang telah menikah cukup syarat sah nikahnya .tapi tidak berdaftar di jabatan agama islam .adakah pernikahan itu sah ?

    ReplyDelete