Tuesday, July 22, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 140 (Puasa Telan Kahak, Maksud Mufaraqah, Hukum Gabung Puasa, Suntikan Ketika Puasa Dan Zirah Kubur Si Mati Mengetahuinya.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 140 adalah menjelaskan persoalan puasa telan kahak, maksud mufaraqah, hukum gabung puasa, suntikan ketika puasa dan zirah kubur simati mengetahuinya.

656. Soalan : Jika seorang keluar lendih dan kahak jika tertelan adakah batal puasanya?

Jawapan :  

Jika batuk keluar kahak jika masih dikerongkong jika tertelan ulama menyatakan tak batal puasa tetapi jika kahak itu sudah berada di lidah terkeluar daripada kerongkong ada pendapat mengatakan batal dan ada yang mengatakan tak batal.

Syiekh Ibn Utsaimin rh mengatakan bahawa kahak itu kotor, kalau boleh hendaklah dibuangkan. Walaupun begitu, ia tidak membatalkan puasa. Kata beliau :-

ولكنها لا تُفطر الصائم إذا ابتلعها ؛ لأنها لم تخرج من الفم ، ولا يُعد بلعها أكلاً ولا شرباً ، فلو ابتلعها بعد أن وصلت إلى فمه فإنه لا يُفطر بها .

“Akan tetapi ia (kahak) tidak membatalkan puasa jika ditelan! Kerana sesungguhnya ia tidak keluar dari mulut, dan ia tidak ditelan sebagai makanan atau minuman, dan jika menelannya setelah sampai ke mulut, ia tidak membatalkan puasanya” [al-Sharh al-Mumthi' ala Zaadil Mustaqni', 6/248].

Dr Abdullah al-Faqih juga mengkelasifikasikan isu menelan / tertelan kahak sebagai isu ketidak upayaan atau kesukaran seseorang itu membuang kahak, dimana Allah SWT tidak membebankan seseorang dengan perkara yang tidak mampu mereka elakkan. Firman Allah SWT :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” [Surah al-Baqarah ayat 286]. Sebaik-baiknya jika sudah sampai ke lidah jangan ditelan di buangkan segera kerana kahak kotor dan berkuman. Wallahu a'lam.

657. Soalan : Ustaz saya nak tanya maksud mufaraqah dan cara untuk melaksanakannya mohon pencerahan dari ustaz?


Jawapan : 

Mufaaraqah ialah berniat memutuskan solat bersama Imam dan menyempurnakan solat dengan bersendirian. Dalil hukum mufaaraqah ini datang dari sebuah hadith yang terdapat didalam hadith yg diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawa :-

أن معاذا صلى بأصحابه العشاء، فطول عليهم، فانصرف رجل، فصلى، ثم أتى النبي صلى الله عليه وسلم، فأخبره بالقصة، فغضب وأنكر على معاذ، ولم ينكر على الرجال، ولم يأمره بالإعادة.

"Muaz bersolat Isya' bersama sahabatnya, lalu ia memanjangkan solat bersama mereka, kemudian seorang lelaki telah beredar, maka dia bersolat (bersendirian), kemudian ia datang kepada Nabi saw, dan mengkhabarkan kisah yg berlaku, kemudian baginda menjadi marah dan menyalahkan Muaz, dan baginda tidak menyalahkan lelaki tersebut, dan tidak memerintahkan lelaki tersebut mengulangi solatnya"

Sebagaimana yang dinyatakan oleh bekas Pengerusi Majlis fatwa al-Azhar, Sheikh Atiyah Saqr, diantara sebab-sebab mufaaraqah ialah kerana Imam membaca surah yang sangat panjang, penyakit, takut kehilangan duit atau kerosakkannya harta, atau kehilangan teman atau takut dikuasai tidur, atau masasalah yang sejenis dengannya.

Mufaaraqah dibolehkan didalam mazhab Syafie sama ada atas sebab uzur atau tanpa uzur, akan tetapi hukumnya makruh kerana solat tersebut dilakukan secara bersendirian, dimana Solat Jamaah hukumnya sangat-sangat dituntut (sunat mu'akkad). Mazhab Hanbali menyatakan hukumnya harus jika terdapat keuzuran. Mazhab Hanafi pula hanya membenarkan makmum memberi salam sebelum dari Imam memberi salam dan Mazhab Maliki tidak mengharuskan perbuatan mufaaraqah.

Q1 : Tidak perlu keluar saf. Apa yg perlu dilakukan ialah qasad niat mufaaraqah dan teruskan solat bersendirian ditempat tersebut.

Q2 : Rakaat bersama Imam pada rakaat pertama dikira sah, makmum hanya perlu menyambung rakaat yang tertinggal. Dalil hadis diatas menunjukkan bahawa lelaki tersebut tidak mencerita Nabi SAW memerintahkan menambah bilangan rakaat.

Q3 : Benar, mufaaraqah hanya memerlukan niat untuk memutuskan dari mengikut(qudwah) Imam, dan meneruskan bilangan rakaat yang berbaki secara bersendirian.


Mufaaraqah dilakukan apabila terdapat keperluan, misalnya takut tertinggal bas, kenderaan atau kawan semasa berada didalam permusafiran. Tujuan mufaaraqah ialah untuk mengejar kenderaan tersebut, mengapa perlu kita tunggu lagi? Nas diatas menunjukkan lelaki diatas ini mempunyai kerja yg mustahak yg hendak dilakukan, lalu beliau mufaaraqah dan beredar dari tempat tersebut. Contoh lagi :- jika seseorang itu berada didalam keadaan yang sangat mengantuk, lalu ia bermufaaraqah, maka dia akan menyelesaikan solat bersendirian dengan cara yg ringkas didalam situasi Imam membaca surah yg terlalu panjang. Tujuan mufaaraqah tersebut ialah kerana terdapat keuzuran.

658. Soalan : Bolehkan niat puasa qada di gabung dengan puasa sunat 6 bulan Syahwal?

Jawapan : 

Tak boleh niat di gabungkan yang sunat dan yang wajib (puasa qada). Tidak sah puasa jika digabungkan 2 dalam 1. Jika digabungkan kedua-duanya tak sah yang sunat tak sah dan yang wajib (qada) tak sah. Sama sepeti solat solat fardu tak boleh diniatkan dengan solat sunat. Buat satu-satu, satu solat satu niat atau satu puasa sunat satu niat .
Menurut Syiekh Ihsan bin Muhammad 'Aaish al-'Ataibi :

"Pandang yang paling hampir kepada kebenaran : sesungguhnya tidak dibenarkan bagi orang Islam menkombinasikan Niat diantara 2 ibadat dimana setiap satunya mempunyai fadhilat khas, amalan khas yang tersendiri (independent). Contohnya : Tidak boleh menkombinasikan Qadha' Ramadan dan Nazar. Begitu juga diantara Qadha puasa Ramadhan dan puasa Enam didalam bulan Syawwal, dan begitulah sesungguhnya maksud dari hadith agar manusia berpuasa 36 hari - satu bulan (Ramadhan) dan 6 hari (Syawwal) - Maka jika dihimpunkan kedua niat, maka jadilah ia puasa 1 bulan dan satu hari sahaja!

Inilah yang dibezakan dengan maksud hadith bahawa berpuasa satu bulan Ramadhan dan 6 hari, maka telah datang sunnah yang menjelaskan tujuan hadith ini, telah diriwayatkan oleh Ibn Majah dengan sanad yang baik bahawa Nabi saw bersabda "Barangsiapa yang berpuasa 6 hari selepas berhari raya maka dia telah menyempurnakan / berpuasa satu tahun penuh, barangsiapa yang mendatangkan kebaikkan (melakukan puasa) maka baginya .digandakan 10"


Pendapat yang kata boleh gambung dua niat (wajib dan sunat) lemah dan tidak diamalkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Jika puasa sunat dan wajib boleh gambung niatnya kenapa solat tak boleh gambung?. Kenapa wang zakat tak boleh gambung dengan sedekah ketika kita berikan kepada amil zakat? Ibadah ini buat satu per satu jika buat ibadah yang wajib maka niat yang wajib sahaja dan jika buat yang sunat maka niat yang sunat. sahaja.
 Beberapa perkara yang boleh dinyatakan di dalam persoalan puasa qada’ Ramadan yang disertakan (combined) dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal antaranya:

1) Ia adalah antara perkara khilaf di kalangan para ulama’.

2) Terdapat juga sebahagian ulama yang berpendapat hanya mendapat pahala qada’ sahaja dan tidak mendapat pahala sunnat 6, jika hanya berniat qada’ dan tidak berniat puasa sunnat. Walau bagaimana pun, jika dia berniat qada’ serta sunnat sekali gus, maka tidak sah dan tidak mendapat pahala untuk kedua-dua puasa tersebut. Ini adalah pendapat Imam Nawawi dan Imam Asnawi [Rujuk Fath al-Mu’in, Al-Alim al-Allaamah Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari.] Ada juga ulama yang mengatakan dia hanya mendapat pahala qada’, tidak mendapat pahala sunnat, melainkan jika ada niat puasa sunnat itu. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami [Rujuk I’anah al-Tholibin hasyiah bagi Fath al-Mu’in, Syaikh Abu Bakar Syatha al-Bakri al-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Syaikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan.]

3. Setelah merujuk kepada panduan pendapat para ulama dan masyaikh di dalam kitab dan perbincangan mereka-, jika bulan Syawwal masih panjang, adalah lebih baik menunaikan puasa qada’ dahulu dan selepas itu menunaikan puasa 6. Ini adalah kerana mengikut kaedah: مَا أَكْثَرَ فِعْلاً أَكْثَرَ فَضْلاً (Apa-apa yang banyak dibuat, maka banyak pula fadhilatnya). Ia juga sebagai suatu ihthiyath (berhati-hati) memandangkan ada pendapat yang tidak membolehkan menyertakan sekali kedua-dua puasa ini. Wallahu a’lam.

4) Berusahalah bersama-sama agar kita tidak terlepas untuk menunaikan puasa 6 hari Syawal ini sebagai taqarrub (untuk menghampirkan diri kepada Allah) di samping ganjaran yang besar seperti yang disebut di dalam riwayat hadis. Wallahu a'lam.

659. Soalan :Saya nak tanya ustaz, batal tak puasa jika buat suntikan? 

Jawapan : 


Cecair itu tak masuk ke dalam perut, ulama memberi fatwa bahawa suntikan ubat tak membatalkan puasa.Soalan di atas berkait dengan hukum suntikan ke atas orang berpuasa; adakah membatalkan puasa atau tidak? 

Jawapannya; suntikan mempunyai beberapa tujuan;

1. Untuk tujuan pengubatan –seperti menyuntik ubat untuk menurunkan darjah kepanasan bagi orang demam, menyuntik insulan bagi pesakit kencing manis dan sebagainya-.

2. Untuk tujuan kekuatan/ketahanan badan –seperti menyuntik vitamin, kalsium dan sebagainya-.

3. Untuk tujuan taghziah iaitu membekalkan makanan kepada badan seperti memasukkan glukos, air dan sebagainya.

Bagi tujuan pertama dan kedua, ia tidak membatalkan puasa. Hukum ini telah disepakati oleh sekelian ulamak semasa hari ini kerana bahan yang masuk ke dalam badan melalui suntikan itu bukanlah masuk melalui saluran terbuka (iaitu mulut) dan ia juga tidak berfungsi sebagai makanan untuk badan. Maka suntikan itu tidak menafikan hikmah puasa iaitu berlapar dan menghalang diri (dari makan, minum dan sebagainya yang dilarang semasa berpuasa).

Adapun bagi tujuan ketiga iaitu taghziah, ulamak-ulamak semasa hari ini berbeza pandangan;

1. Sebahagian ulamak berpandangan; suntikan taghziyah (iaitu suntikan memasukkan makanan seperti glukos, air atau sebagainya) membatalkan puasa kerana ia mengambil kedudukan seperti makan atau minum. Suntikan itu membawa makanan masuk ke dalam badan dan badan menerima manfaat darinya. Jika makanan yang masuk melalui mulut membatalkan puasa, maka yang masuk melalui suntikan juga membatalkan puasa kerana ia adalah saripati makanan dan sampai secara direct kepada darah. Antara yang berpandangan begini ialah Syeikh Ibnu ‘Uthaimin (ulamak terkenal dari Arab Saudi) sebagaimana fatwanya dalam kitab “Fatawa ‘Ulama’ Baladil-Haram” (halaman 200).

2. Sebahagian ulamak yang lain berpandangan; tidak batal puasa kerana sekalipun ia bersifat makanan tetapi masuknya ke dalam badan bukanlah melalui saluran terbuka (mulut atau hidung) yang berterusan ke perut, akan tetapi melalui urat yang tiada pertalian direct dengan perut. Lagipun ia tidak menghilangkan lapar atau dahaga dan orang yang disuntik tidak merasai kenyang kerana bahan yang disuntik –sekalipun bersifat makanan- tidak sampai ke perut dan tidak melalui saluran penghadaman. Memang benar ia mungkin akan berasa lebih segar dan bertenaga, akan tetapi factor itu sahaja tidak boleh menjadi sebab untuk menghukum batalnya puasa kerana kesegaran juga dirasai oleh orang yang mandi ketika sedang berpuasa dan tidak ada ulamak yang berkata mandi membatalkan puasa kerana mendatangkan kesegaran. Di antara ulamak yang berpandangan begini ialah Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’ie (bekas mufti Mesir). Pandangan inilah yang ditarjih oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya “Fiqh as-Shiyam” (halaman 86).

Walllahu a’lam.

660. Soalan : Ustaz,,saya nak tahu,adakah si mati tahu siapa yang datang menziarahi kuburnya? Jika kita bercakap adakah si mati dapat mendengar?sekian..

Jawapan : 

Dari penjelasan di dalam kitab Tafsir Ahkam, Imam Al Qurtubi menghuraikan bahwa ayat “Fainnaka laa tusmi’ul mautaa…” (maka sesungguhnya kamu tidak akan sanggup menjadikan orang-orang yang mati itu dapat mendengar….” ianya berkaitan dengan peristiwa pertanyaan sahabat Umar bin Khattab saat Rasulullah SAW memanggil tiga orang pemimpin kafir Quraiys dalam perang Badar yang telah meninggal bebarapa hari.
Saat itu Rasulullah SAW ditanya oleh Umar bin Khattab ra:

يا رسول الله تناديهم بعد ثلاث وهل يسمعون ؟ يقول الله إنك لا تسمع الموتى فقال : والذي نفسي بيده ما أنتم بأسمع منهم ولكنهم لا يطيقون أن يجيبوا

"Ya Rasulullah, apakah engkau memanggil-manggil mereka yang telah meninggal tiga hari boleh mendengarkan panggilanmu. Bukankah Allah SWT telah berfirman dalam al quran: Innaka laa tusmi’ul mauta?

Lalu dijawab oleh Rasulullah SAW : “Demi Zat yang jiwaku ada dalam kekuasaan-Nya, tidaklah engkau sanggup mendengar mereka, mereka lebih mendengar daripada kamu hanya saja mereka tidak mampu menjawab.” (HR. Muslim dari Imam Anas ra)

Menurut hadis Shohihaini (Bukhari Muslim) Dari sanad yang berbeza-beza, Rasulullah SAW pernah berbicara kepada orang-orang kafir yang gugur dalam perang badar saat mereka dibuang di sumur Quleb kemudian Rasulullah SAW berdiri dan memanggil nama-nama mereka (ya fulan bin fulan 2x) “Apakah engkau telah mendapatkan janji dari Tuhanmu dengan benar, sedangkan saya telah mendapatkan janji yang benar pula dari Tuhanku.”

Dalam penjelasan kitab Tafsir Ibnu Katsir bahawa yang dipanggil oleh Rasulullah SAW itu adalah: Abu Jahal bin Hisyam, Utbah bin Robi’ah dan Syaibah bin Robi’ah. Ketiganya itu adalah tokoh kafir Quraisy.

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Anas bin Malik. Dalam riwayat lain menyebutkan bahawa orang yang mati apabila sudah dikuburkan dan orang yang menguburkan itu kembali pulang, dia mampu mendengar gesekan suaranya.

Menurut Imam Al Qurtubi, orang yang sudah meninggal itu bukan bererti mereka tidak lenyap sama sekali juga tidak pula rosak hubungan dengan orang yang masih hidup. Tetapi yang meninggal itu hanya terputus hubungan antara roh dan badan dan hanya berpindah dari alam dunia ke alam kubur. (Tafsir ahkam Juz 7: hal 326).

Dengan demikian apakah orang yang meninggal itu boleh mendengar orang yang masih hidup saat memberi salam atau lainya cukup jelas keterangan ayat dan hadis pada peristiwa perang Badar.

Untuk lebih jelasnya lagi, kita boleh mengkaji Kitab Ar Ruh karangan Ibnu Qoyyim Al Jauzi (Juz I halaman 5) yang menulis riwayat Ibnu Abdil Bar yang menerangkan kepada ketetapan sabda Rasulullah SAW:

ما من مسلم يمر على قبر أخيه كان يعرفه في الدنيا فيسلم عليه إلا رد الله عليه روحه حتى يرد عليه السلام

“Orang-orang muslim yang melewati kuburan saudaranya yang dikenal saat hidupnya kemudian mengucapkan salam, maka Allah mengembalikan roh saudaranya yang meninggal itu untuk menjawab salam temannya.”

Bahkan menurut Ulama Salaf mereka telah ijma’ (sepakat) bahawa masalah orang yang mati mampu mengenal yang hidup pada saat ziarah bahkan mereka gembira atas dengan menziarahinya. Hal ini, kata Ibnu Qoyyim, merupakan riwayat atsar yang mutawatir Selengkapnya kata-kata Ibnu Qoyyim itu sebagai berikut:

والسلف مجمعون على هذا وقد تواترت الآثار عنهم بأن الميت يعرف زيارة الحي له ويستبشر به

Ibnu Qoyyim mengutip ungkapan Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Abid biin Abidunya dalam kitab Kubur pada bab ma’rifatul mauta biziyaratil ahya. Menyebut hadis sebagai berikut:

عن عائشة رضى الله تعالى عنها قالت قال رسول الله ما من رجل يزور قبر أخيه ويجلس عنده إلا استأنس به ورد عليه حتى يقوم

Maksudnya, "Dari Aisyah ra berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Siapa saja yang ziarah kubur saudaranya, kemudian duduk di sisi kuburnya maka menjadi tenanglah si mayat itu, dan Allah akan mengembalikan roh saudaranya yang meninggal itu untuk menemaninya sampai selesai ziarah.”

Mayat menjawab salam siapa saja orang yang meninggal dunia, akan menjawab salam baik yang dikenal mahupun yang tidak dikenalinya sebagaimana dalam sebuah riwayat hadis berikut:

عن أبى هريرة رضى الله تعالى عنه قال إذا مر الرجل بقبر أخيه يعرفه فسلم عليه رد عليه السلام وعرفه وإذا مر بقبر لا يعرفه فسلم عليه رد عليه السلام

Dari Abi Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila orang yang melawat kubur saudaranya kemudian memberi salam, maka akan dibalas salam itu, dan dia mengenal siapa yang menyalaminya. Demikian juga mereka (mayat lain) akan menjawab salamnya orang-orang yang tidak kenal.”

Di sunatkan apabila kita menziarahi kubur memberi salam kepada ahli kubur : Memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur. Maka cara yang afdhal salam ini dilakukan ialah dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan, dengan membelakangi qiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi. Sekurang-kurang lafaz salam ketika menziarahi kubur ialah:

السلام عليكم

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian.”
Ataupun, doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat Muslim :

السلام عليكم يا اهل الديار من الموءمنين و المسلمين و إن إنشا الله تعالى بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian, wahai penghuni kampung-kampung dari kalangan mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya kami, Insya Allah, akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah ‘afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian.”






No comments:

Post a Comment