Sunday, September 21, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 158 ( Tuduhan Kafir, Merancang Keluarga, Melambatkan Solat, Berdoa Dan Cara Angkat Tangan Dan Pingana Mangkuk Sumbing.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 

Sahabat yang dirahmati Allah,    
Tanyalah Ustaz Siri 158 adalah menjelaskan persoalan tuduhan kafir, merancang keluarga, melambatkan solat, berdoa dan cara angkat tangan dan pingana mangkuk sumbing.

746. Soalan :  Apakah hukum seseorang membuat tuduhan kafir kepada saudara Islam yang lain?

Jawapan :  

Hadis Rasulullah SAW yang terdapat dalam Sahih Bukhari no 5752 yang bererti : "Barangsiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya "

Begitulah juga sesiapa yang menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik maka orang yang menuduh itu sendiri akan jatuh ke dalam kesyirikan tersebut sebagaimana yang telah diterangkan dalam hadis dari Huzaifah bin Yaman di mana Rasulullah SAW bersabda yang bererti :

"Sesungguhnya perkara yang aku khuatirkan ke atas kamu semua adalah seseorang yang telah membaca al Quran sehingga apabila telah nampak kepandaiannya dalam al Quran dan dia telah menjadi pendokong Islam, tiba-tiba sahaja dia merubahnya kepada sesuatu yang dikehendaki oleh Allah, maka iapun terlepas dari al Quran dan melemparkannya ke belakang serta mengancam tetangganya dengan pedang sambil melemparinya dengan tuduhan syirik. Aku bertanya : Wahai Nabi Allah mana di antara keduanya yang lebih patut di anggap melakukan kesyirikan? Orang yang dituduh ataukah yang melemparkan tuduhan? Nabi menjawab : Yang melemparkan tuduhan.

(Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Hibban pada hadith no 81 dan Ibnu Kathir dalam tafsirnya jilid II/266, dia berkata : Isnad Hadith ini bagus. Begitu juga ditakhrij oleh Al Bazzar dalam Musnadnya dengan pernyataan yang sama, At Thabroni dalam Al Kabir dan As Saghir dengan pernyataan yang sama dan Ibnu Abi Ashim dalam kitab As Sunnah).

Dalam sahih Bukhari pada hadith nombor 2227 disebutkan bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bererti : "Barangsiapa yang melaknat seorang Mukmin maka itu seperti membunuhnya dan barangsiapa yang menuduh seorang Mukmin dengan kekafiran maka itu seperti membunuhnya.".


747. Soalan : Bolehkah saya buat family planing agar tak dapat anak sebab2 tertentu..adakah tak melanggar hukum islam?

Jawapan : 

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia pada 1981 menetapkan bahawa kontrasepsi untuk mengurangkan bilangan anak adalah haram kecuali atas sebab-sebab yang mengharuskannya dan perlulah dilakukan dengan cara tidak kekal atau tidak memandulkan.

Sebab-sebab yang mengharuskannya disini merujuk kepada Keadaan dimana seorang isteri itu terlalu lemah atau sakit, pasangan ada penyakit keturunan, isteri mengandung terlalu kerap atau masih menyusu bayi dan kandungan menyebabkan gangguan mental terhadap ibu.

Merancang keluarga yang bersifat sementara, dan seseorang yang mengamalkan perancangan keluarga atas sebab menghidap kanser yang memerlukan rawatan, hamil berisiko, kahwin ketika usia terlalu muda atau usia lewat atau memiliki anak terlalu ramai dengan jarak yang rapat serta menjarakkan anak kerana kesihatan, pelajaran dan kebahagiaan keluarga adalah harus.

Walau pun hukum nya harus, kita perlu ambil tahu :

1. Kaedah perancang keluarga apa yang sesuai dengan kita ( Tanya pendapat doktor bukan sekadar mendengar cadangan kawan, ahli keluarga sahaja.)
2. Tempoh penggunaan yang disyorkan.
3. Cara pengambilan atau penggunaan yang sebetulnya.


4. Kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku.
5. Peratusan kejayaan vs kegagalan setiap kaedah perancang keluarga yang dipilih
6. Bagi yang mengambil kaedah perancang keluarga menggunakan kaedah pil , penting bagi anda tahu yang pil pencegah kehamilan adalah pil yang dimasukkan dalam ketegori "UBAT YANG TERKAWAL", means pil-pil ini tidak boleh dibeli tanpa preskripsi dari doktor.

Walau pun doktor memberi jaminan yang kaedah merancang keluarga itu selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan . Sebagai pengguna kita perlu prihatin kelainan pada tubuh badan dan kesihatan kita selepas pengambilan satu2 kaedah tersebut. Ini kerana lain orang lain penerimaan badan terhadap satu-satu kaedah itu, ada yang okey, dan ada juga yang mengalami ketidak serasian dan kesan sampingan yang teruk.


748. Soalan : Ustaz, saya ingin bertanya. Apakah hukum nya jika sengaja melambatkan solat? Kadang2 solat subuh pun qada je sebab dah terlajak. Mohon penjelasan Ustaz. Terima Kasih.

Jawapan :  

Jika sengaja melambatkan solat di hujung waktu (masih ada waktu solat) hukumnya makruh tetapi melambatkan solat sehingga habis waktu hukumnya haram. Ancaman Allah neraka wail bagi mereka yang melalaikan solat sehingga habis waktu solat. Sila baca tafsir surah al-Maun ayat 4-7 

Jika bagun tidur terlewat (bukan di sengajakan) tidak berdosa tetapi yang berdosa adalah di lakukan dengan sengaja. Sudah terjaga waktu subuh tetapi sambung balik tidur sehingga habis waktu subuh. Jika saudara tertidur sehingga keluar waktu solat Subuh, maka saudara hendaklah segera bersiap-siap untuk mengqada solat Subuh. Jika tertinggal solat Zuhur umpamanya, dan dia sedar pada waktu Asar, maka hendaklah ia segera qadanya pada waktu Asar.

Mengqada solat adalah wajib, manakala menyegerakannya adalah sunat seperti satu hadis yang diriwayatkan Muslim, daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tidur salah seorang kamu sehingga meninggalkan solat atau terlupa daripadanya, maka hendaklah ia segera solat apabila ia teringat kerana Allah SWT berfirman: “Dirikanlah kamu akan solat untuk mengingati-Ku.”


Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah, beliau berkata: “Mereka menyebut kepada Nabi SAW tentang tidur mereka sehingga terlepas waktu solat. Maka Baginda bersabda: Tidaklah sebab tidur dikira kecuaian. Kecuaian itu hanya dikira sekiranya dalam keadaan jaga. Maka apabila salah seorang kamu lupa sembahyang, atau tidur lena sehingga meninggalkan sembahyang, maka hendaklah ia sembahyang apabila dia ingat.”
 

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya Saidina Umar datang pada Hari Khandaq, sesudah terbenamnya matahari, yang mana dia mencaci orang kafir Quraisy seraya beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku hampir tidak solat Asar, sehingga hampir matahari masuk (terbenam).

Maka Nabi SAW menjawab: Demi Allah aku pun belum sembahyang. Maka Baginda berwuduk dan kami pun berwuduk. Maka Baginda sembahyang Asar sesudah matahari masuk (terbenam), kemudian Baginda mengerjakan sembahyang Maghrib sesudahnya. Demikianlah, Wallahua’lam.


749. Soalan : Bagaimanakah adab-adab berdoa dan cara mengangkat tangan ketika berdoa?

Jawapan : 

Doa adalah senjata orang mukmin, seseorang yang tidak mahu berdoa sebenarnya dia sombong kepada Allah SWT. Terdapat beberapa cara-cara berdoa yang berkesan ketika berdoa kepada Allah SWT. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

1. Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang mutlak diserahkan kepadaNya.

Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah. Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar .

Firman Allah SWT maksudnya : “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Jika kita dapat menjadikan jiwa kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah, kita menghampiri pintu kemakbulan.

2. Tidak bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya.

Firman Allah maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).

FirmanNya yang bermaksud : “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

Doa yang dilakukan dengan penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.

3. Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah.

Sabda Nabi SAW maksudnya : “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
 

Apabila kita berdoa kaedah atau cara menadah tangan dan berdoa dengan betul ;

1. Angkat tangan ke paras dada.

2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan mengenai satu sama lain.

3. Apabila tapak tangan dirapatkan, urat atau garisan di tapak tangan akan bertemu dan menjadi melengkung berbentuk seperti huruf ‘ba’.

4. Titik bagi huruf ‘ba’ tu letakkan di hati. Kedudukan titik itu lebih rendah dari tangan yang kita tadah.

5. Duduklah dalam keadaan yang penuh sopan. Cara duduk yang terbaik ialah duduk iftirash (duduk seperti duduk antara 2 sujud) atau duduk seperti dalam tahiyyat akhir. Jika berdiri, tegakkan badan betul-betul. Jangan bersandar seperti orang malas!

6. Sepanjang berdoa, banyakkan memuji kebesaran Allah dan menyebut nama-nama Allah yang lain, bersesuaian dengan keperluan doa kita pada masa itu. Contohnya, jika berdoa mohon dipermurahkan rezeki, sebutlah nama Allah (ar-Rozzaq).

7. Doa diakhiri dengan puji-pujian pada Allah dan berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.

8. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dari hati kita. Gunalah bahasa yang mudah difahami kerana Allah Maha Pengasih dan sangat memahami dan mendengar segala bicara tulus dari hambaNya. Walau dalam bahasa apa kita cakap, Allah pasti faham. Namun, kalau dapat berdoa dengan doa-doa yang diajarkan oleh Nabi SAW (dalam bahasa Arab), itulah yang terbaik.

9. Ajarkanlah adab berdoa ini kepada seluruh ahli keluarga anda sejak dari usia kecil. InsyaAllah ini akan dapat membentuk peribadi baik anak-anak menjadi menjalani kehidupan.
 

Sebaik-baiknya selepas solat hendaklah berzikir dan berdoa kepada Allah SWT bukannya terus bangun tanpa berdoa. Sebagai seorang hamba yang lemah dan dhaif perlu kita berdoa dan mohon keselamatan dan kebahagiaan daripada Allah SWT.

750. Soalan : Ustaz.saya nak tanya.mlm tadi ssya melihat pinggan sompek.pinggan tu ada yg kecil dan ada juga yg besar.semua pinggan yg sompek tu di tepi aje.mohon pencerahan ustaz.

Jawapan : 

Terdapat 5 perkara yang patut dijauhi. Perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini tidak disukai Allah SWT. Kalau tertidur akan dimaafkan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Yang membezakan (seorang itu mukmin) dan kufur serta syirik adalah meninggalkan solat”. (Hadis Riwayat Muslim)

Firman Allah SWT

فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: “Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya.” (Surah Al-Ma’un ayat 4-5).

Kedua : Jangan masuk ke tandas atau bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis, mengotori seluruh rumah kita.

Perlu biasakan memakai selipar atau terompah apabila masuk ke dalam tandas atau bilik air untuk menjaga kebersihan kaki kita setelah mandi dan mengambil wuduk, supaya najis tidak dibawa keluar daripada bilik air.

Ketiga : Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan. Dan jangan bernafas dalam minuman atau meniup kedalam minuman.

Di dalam kitab Sunan Abu Daud diriwayatkan hadis dari Abu Said Al-Khudri r.a bahawa dia mengkhabarkan :

“Rasulullah Sallalahu ‘Alaihi Wasalam melarang minum dari bahagian cawan yang pecah dan melarang untuk bernafas dalam air minum.”

Jika cawan atau pingan kita retak , pecah atau sumbing hendaklah dibuangkan sahaja dan jangan digunakan lagi.

Ini termasuk etika yang diajarkan untuk kemaslahatan orang yang minum, sebab minum melalui bahagian cawan yang sumbing boleh menyebabkan beberapa bahaya:

1. Kotoran yang biasanya ada di permukaan air, akan berkumpul di bahagian cawan yang sumbing. Kerana tidak ikut dibersihkan ketika dicuci, tidak sebagaimana cawan yang masih baik.

2. Boleh mengganggu ketika minum. Minum melalui bahagian cawan yang sumbing atau pecah tidak boleh dilakukan dengan baik.

3. Bahagian yang sumbing adalah bahagian yang buruk pada cawan, iaitu bahagian yang paling tidak bagus hingga mesti dielakkan, lebih baik dicari bahagian yang masih baik, sebab bahagian yang buruk dari segala sesuatu pasti tidak ada kebaikannya.

4. Boleh jadi bahagian yang pecah itu mempunyai belahan atau bahagian yang runcing yang boleh melukai mulut orang yang minum melalui bahagian tersebut.

Adapun bernafas dalam air ketika minum, risikonya adalah menimbulkan bau busuk pada air minum yang tidak disukai orang lain. Umumnya, nafas orang yang minum akan bercampur ke dalam air tersebut.

Justeru, Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wasalam menggabungkan antara larangan meniup air dan larangan bernafas dalam air dalam hadis At-Tirmizi dan dinyatakan sahih oleh beliau, dari Ibnu Abbas bahawa ia mengkhabarkan :

“Rasulullah melarang meniup air dan bernafas dalam air minum.”

Keempat : Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak dibasuh. Makruh hukumnya. Pastikan semua pingan mangkuk, periuk belanga, cawan dan bekas makanan dicuci sebaik sahaja selesai digunakan. Sisa-sisa makanan yang dibiarkan di dalam bekas makanan semalaman tanpa dibersihkan adalah menjadi habuan syaitan , kerana syaitan suka kepada makanan yang kotor dan busuk.

Islam menggalakkan kebersihan dan benci pada sifat pengotor dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh mendatangkan penyakit.

Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.” (Hadis Riwayat Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadis Hassan.)

Kelima : Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu rezeki dan keberkatan).

Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, “Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?”

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadis yang berbunyi:

‘اللهم بارك لأمتي في بكورها’

(Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi).

Untuk itu, para fuqaha’ memakruhkan tidur selepas solat Subuh.

Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:

يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس ‘

“Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.” (Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)

Berkata Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:

باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح’

“Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan.”

Oleh itu para fuqaha’ menetapkan makruh tidur selepas solat Subuh, dan dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar.



No comments:

Post a Comment