Friday, October 24, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 173 (Wuduk Batal Sentuhan Suami Isteri, Syarat Mohon Fasakh, Kandungan Anak Luar Nikah 4 Bulan, Baring Tak Batalkan Wuduk dan Hukum Jimak Ketika Haid.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 173 adalah menjelaskan persoalan wuduk batal sentuhan suami isteri, syarat mohon fasakh, kandungan anak luar nikah 4 bulan, baring tak batalkan wuduk dan hukum jimak ketika haid.

821. Soalan : Adakah sentuhan di antara suami dan isteri batal wuduk?

Jawapan : 

Dalam masaalah ini para ulama berbeza pendapat kepada 3 golongan:

1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termausk suami dan isteri) membatalkan wuduk dalam apa keadaan sekalipun, samaada sentuhan itu beserta syahwat ataupun tidak. Inilah pandangan mazhab al-Imam al-Syafie r.a..

Dalilnya mazhab pertama antaranya:

i- Ayat al-Quran:

أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء

Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wuduk.

2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wuduk samaada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi r.a..

Dalil mazhab kedua antaranya:

i. Hukum asal orang yang berwuduk adalah kekal wuduknya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wuduknya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wuduk. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam ertikata kulit dengan kulit semata-mata. 

Selain itu terdapat hadis yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wuduk, dan hadis-hadis ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadis-hadis tersebut ialah:

ii. Daripada ‘Aisyah r.’anha:

كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا

Maksudnya: “Aku pernah tidur dihadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu akupun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)

iii. Daripada ‘Aisyah juga:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ

Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemurkaan-Mu.” (HR Muslim)

Zahir dari kedua-dua hadis ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah r.ha. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah r.ha. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wuduk sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wuduk baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.

Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukan jawapan terhadap hadis ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”

Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wuduk jika tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali. Bersyarat, iaitu terbatal wuduk jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hanbali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah. Pendapat ini juga berdasarkan hadis-hadis Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk.

Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.

Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masaalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwuduk)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wuduk dengan hanya bersentuhan antara lelaki dan wanita, dengan hadis-hadis yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wuduk.

Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wuduk dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat penafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini sepert yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a. dan penafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan penafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding penafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:

اللهم فقّهه في الدين وعلمّه التأويل

Maskudnya: Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadis ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)

Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:

لاَّ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاء مَا لَمْ تَمَسُّوهُنُّ أَوْ تَفْرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 236)

Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:

وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ

Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (Surah al-Baqarah ayat 237)

Di dalam ayat yang lain lagi Allah berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ahzab ayat 49)

Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wuduk dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dan ulama semasa seperti al-Syeikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, para ulama dari Lujnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama yang lain lagi. 

Sebahagian ulama mazhab Syafie berpendapat sentuhan di antara lelaki dan wanita tanpa syahwat adalah tak batal wuduk, pendapat ini di terima oleh Majils Fatwa Tabung Haji Malaysia untuk jemaah haji yang bertawaf di Kaabah.

Wallahu a’lam.

822. Soalan : Bagaimana seorang isteri yang sering di pukul oleh suaminya boleh memohon fasakh?

Jawapan :  

Isteri berhak tuntut cerai jika hubungan tidak boleh diperbaiki.

Matlamat perkahwinan ialah untuk hidup dalam kasih sayang dan rahmat (mawaddah wa rahmah) yang berterusan antara pasangan suami isteri. Tetapi, kadang-kala rumah tangga tidak dihiasi dengan kasih sayang dan tidak mendapat rahmat Allah SWT kerana satu pihak atau kedua-duanya tidak mengikut adab serta hukum hakam dalam perkahwinan atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang dituntut syarak.

Kerenggangan dan kegagalan pasangan itu sedikit demi sedikit akan melebar hingga tidak dapat diperbaiki sekali gus, menghancurkan keharmonian rumah tangga. Sebagai jalan penyelesaian, Islam memberikan jalan keluar iaitu talak atau perceraian.

Talak asalnya adalah milik suami seperti firman Allah SWT bermaksud: “Atau pihak yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin sepenuhnya).” (Surah al-Baqarah, ayat 237)

Pihak yang memegang ikatan nikah dalam ayat ini ialah suami. Walau bagaimanapun, talak bukan hak mutlak suami. Isteri boleh mendapatkan hak untuk bercerai dalam keadaan tertentu, antaranya:

1. Jika dia dimudaratkan oleh suaminya.

Jika suami cuai dan tidak memenuhi sebahagian daripada hak isteri. Pada masa sama, isteri tidak reda dengan perkara itu. Bahkan hubungan antara keduanya tidak dapat diperbaiki lagi, maka hakim boleh menceraikan mereka apabila dituntut isteri.Mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, ada 19 alasan membolehkan isteri memfailkan tuntutan cerai fasakh terhadap suami.Isteri juga boleh bercerai dengan suami dengan cara khulu’ (tebus talak). 

Khulu’ ialah talak yang berlaku dengan keinginan isteri, iaitu isteri menebus dirinya supaya dibebaskan suami dengan mengembalikan mas kahwin atau jumlah tertentu yang dipersetujui suami.Prosedur tuntutan di Mahkamah Syariah pula berdasarkan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah yang menjadi panduan kepada hakim dalam melaksanakan penghakiman mereka.Jika puan mendakwa di mahkamah, beban untuk membuktikan dakwaan terletak atas bahu puan sebagai pihak yang menuntut atau pihak mengemukakan dakwaan.

Puan perlu mengemukakan bukti relevan dengan dakwaan kepada mahkamah. Bukti boleh dikemukakan, sama ada dengan keterangan dokumen seperti laporan polis, atau mengemukakan saksi yang memberi keterangan menyokong dakwaan itu.

Jika puan mendakwa suami menganiayai, menyakiti atau menjadikan kehidupan puan menderita sepanjang perkahwinan, maka bukti perlu dikemukakan kepada mahkamah.

Dokumen seperti laporan polis atau laporan doktor mengesahkan ada penderaan hendaklah dikemukakan kepada mahkamah.

Jika penderaan berbentuk mental seperti dibuli atau dikeji dengan kata kesat berterusan, puan perlu mengemukakan laporan doktor mengesahkan dakwaan itu.

Berbalik kepada dakwaan puan dipukul, jika ada saksi yang melihat kejadian, saksi itu juga boleh dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah. Kebiasaannya, banyak kes pukul tidak dibuat di hadapan orang lain. Oleh itu, sukar untuk mendapatkan saksi mata.

Tetapi jika ada saksi yang melihat kesan akibat pukulan seperti kesan lebam, bengkak dan berdarah, saksi itu boleh diminta hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan. Kesan itu akan menjadi qarinah kepada kejadian pukul berkenaan.

Begitu juga jika puan mendakwa suami berkawan dengan perempuan jahat atau suami berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak, maka bukti perlu dibentangkan kepada mahkamah.

Bukti itu mungkin dalam bentuk gambar, filem, surat atau keterangan saksi yang melihat suami puan berkelakuan sumbang. Dakwaan berdasarkan perasaan atau firasat semata-mata tidak boleh diterima.

Hakim tidak boleh memutuskan sesuatu tuntutan berdasarkan aduan atau dakwaan semata, tetapi berdasarkan bukti keterangan yang dizahirkan kepada hakim.

Jika Islam membenarkan sesuatu tuntutan diputuskan berdasarkan dakwaan saja, maka manusia akan menuntut apa saja, termasuk nyawa orang lain.

Rasulullah SAW menegaskan dalam satu hadis bermaksud: “Jika manusia dibenarkan setiap dakwaannya tanpa bukti, maka sudah tentu manusia akan mendakwa darah dan harta orang lain, tetapi keterangan di atas yang mendakwa dan sumpah di atas yang didakwa.”

Berkaitan dakwaan puan bahawa suami tidak memberikan nafkah, mahkamah akan berpandukan kepada satu kaedah fiqah iaitu ‘Asal sesuatu itu tidak ada.’

Ia bermaksud, asal kepada kedudukan nafkah tidak diberi oleh suami, jadi pihak suami yang perlu mengemukakan bukti dan saksi bahawa dia memberikan nafkah kepada isteri, atau suami perlu mengemukakan sebab yang diharuskan syarak kenapa nafkah tidak diberikan kepada isteri. Jika suami tidak dapat membuktikannya, maka puan akan diminta bersumpah nafi, yakni sumpah syarak bagi menafikan puan ada menerima nafkah daripada suami.

Jabatan Agama dan Mahkamah Syariah adalah dua tempat dan institusi berbeza. Kadang-kadang kesalahan melihat institusi menyebabkan orang ramai mengutuk mahkamah sedangkan kesnya belum difailkan di mahkamah.

Jika puan enggan dikaunseling, maka hak membuat keputusan adalah puan, bukan pegawai Jabatan Agama.

Jabatan hanya membantu untuk menyelamatkan hubungan rumah tangga sekiranya masih boleh diselamatkan. Bahkan merujuk kepada Arahan Amalan, puan boleh terus ke mahkamah memohon perceraian fasakh walaupun tanpa laporan daripada Jabatan Agama.

Proses di mahkamah mempunyai prosedur dan tatacara yang ditetapkan undang-undang. Selalunya orang awam sukar memahaminya kerana banyak membabitkan perkara teknikal.

Saya menyarankan puan merujuk kepada pihak yang pakar atau kepada peguam syarie untuk membantu memahami dengan lebih terperinci.

Sesuatu kes boleh dipercepatkan jika menggunakan khidmat peguam syarie yang tahu selok-belok tatacara dan prosedur tuntutan di Mahkamah Syariah.

FAKTA

Alasan tuntut cerai cara fasakh atau tebus talak :

1. Jika suami cuai atau tidak menyediakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh lebih tiga bulan.
2. Suami menganiayai isteri dengan menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
3. Suami berkawan dengan perempuan jahat.
4. Suami hidup berperangai keji mengikut pandangan hukum syarak.

Puan menasihatilah rakan puan bahawa mintalah dia bersabar di atas dugaan yang beliau hadapi. Besar pahalanya jika beliau bersabar dengan dugaan seperti ini, jangan putus asa dan kecewa daripada rahmat Allah SWT. Sepatutnya seorang suami tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas kaum Hawa yang lemah dan perlukan pembelaan dan perlindungan bukannya di pukul dan di cederakan ke atas tubuh badannya. Suami seperti ini mendapat dosa besar dan kemurkaan Allah SWT. 

Sepatutnya mereka sudah ada 6 orang anak membuatkan suaminya bertambah dewasa dan boleh berfikir secara matang tetapi dia lebih pilih hidup mengikut hawa nafsu dan panas barannya,suami seperti ini adalah suami yang mengalami sakit jiwa dan mental dan perlu di beri rawatan segera. Jika suami suka kemasjid dan mendengar kuliah agama berkemunginan jiwanya tak seteruk sekarang ini. 

Dengan bukti yang jelas ada lapuran doktor dan polis permohonan fasakh lebih mudah di lakukan dan bukti-bukti ini akan di pertimbangkan oleh mahkamah syariah. Yakinlah rezeki itu akan di berikan oleh Allah SWT untuk menanggung anak 6 orang. Jika berlaku perceraian nafkah untuk anak-anak wajib di berikan oleh bekas suami dan puan boleh membuat tuntutan di mahkamah syariah.

823. Soalan : Saya ingin tahu dengan lebih jelas,adakah bayi yang di kandung 4 bulan baru bernikah di gelar anak luar nikah..?dan adakah hak bayi tersebut sama spt ank kandung atau anak halal dlm pembahagian harta pusaka..mohon pencerahan ya ustaz...?

Jawapan : 

Apabila seorang wanita mengandung 4 bulan (hasil perhubungan zina) maka anak yang di kandungnya adalah anak tak sah taraf (anak luar nikah). Jika dia bernikah dengan lelaki yang berzina dengannya, menurut pendapat jumhur ulama nikahnya sah. Mereka boleh menjalani kehidupan suami isteri sebagai biasa. Tetapi anak yang di kandung itu jika lahir tak boleh di bin atau bintikan bapa biologi. Anak tersebut tak boleh mewarisi harta bapa biologinya tetapi boleh mewarisi harta ibunya kerana ibunya tetap menjadi ibu kandungnya dan menjadi mahramnya. Anak tersebut hendaklah di bin atau binti kepada nama Abdullah. 

Tetapi jika wanita tersebut (mengandung anak tak sah taraf 4 bulan) dan berkahwin dengan lelaki lain (bukan lelaki yang berzina dengannya) pernikahannya sah tetapi mereka tak boleh melakukan jimak sehingga wanita tersebut melahirkan anak dan bersih daripada hadas nifas. Anak yang lahir juga tak boleh di bin atau bintikan namanya dan anak ini juga tak boleh mewarisi harta bapa angkatnya.  hukumnya haram kerana bapa biologi tak ada hubungan nasab dan sama taraf dengan bapa angkat. Jika wanita tersebut melahirkan anak tak sah taraf dan dia berkahwin dengan bapa biologi maka kedudukan anak tak sah taraf dengan bapa biologi adalah sama dengan bapa tiri, jika anak tak sah taraf perempuan boleh bersalaman dengan bapa biologinya (bapa tiri).

Pertama sekali perlulah kita sadar bahwa anak yang dilahirkan dari hasil perzinaan tidak ada HUBUNGANNYA dengan dosa yang dilakukan oleh kedua orang tuanya. Ia memiliki hak yang sama seperti seorang muslim atau muslimah yang lain. Para ulama berbeda pendapat dalam hal menasabkan anak hasil dari perzinaan kepada lelaki yang berzina dengan ibunya. Jumhur (kebanyakan) ulama tidak membenarkan dinasabkan anak zina kepada lelaki yang berzina dengan ibunya. Hadis riwayat Abu Hurairah ra.: Bahwa Rasulullah SAW. bersabda: "Nasab anak itu dari perkawinan yang sah sedangkan bagi pezina itu adalah batu rajam" (HR Muslim 2646)

Berdasarkan hadis ini jumhur ulama berpendapat tidak boleh menasabkan anak zina kepada lelaki yang berzina dengan ibunya. Di dalam "Fatawa al-Hindiyah" dari fiqh al-Hanafi disebut : "Seandainya seseorang telah berzina dengan seorang permpuan, lalu perempuan itu hamil kemudian dia berkahwin dan melahirkan anak, jika ana itu lahir (selepas perkahwinan) dalam tempoh 6 bulan atau lebih maka thabit nasabnya kepada bapanya. Jika anak itu lahir kurang dari 6 bulan tidak thabit nasab anak itu kepadanya..." 

Berkata Dr. Sobri Abdul Rauf iaitu seorang Ustaz Fiqh al-Muqaran di University al-Azhar : "Jika lelaki yang berzina kawin dengan perempuan yang berzina dengannya, kemudian mereka memperolehi anak selepas 6 bulan daripada al-Dukhul al-Syar'ie. Maka anak itu dinasabkan kepada bapaknya, karena ia datang dari jalan yang dibenarkan. Adapun jika ia dilahirkan sebelum tempoh 6 bulan dari tarikh al-Dukhul, maka anak itu tidak dinasabkan kepada suaminya, maka ia dinasabkan kepada ibunya saja. Apabila wanita itu menegaskan bahwasanya ia telah hamil dari perbuatan zina dgn lelaki yang sama yang menikahinya selepas kehamilan. Maka anak tersebut adalah anak zina, maka ia tidak dinasabkan kepada bapanya, dan tidak mewarisi antara bapa dan anaknya itu, ia hanya waris ibunya saja...."Apabila seorang wanita mengandung 4 bulan (hasil perhubungan zina) maka anak yang di kandungnya adalah anak tak sah taraf (anak luar nikah). Jika dia bernikah dengan lelaki yang berzina dengannya, menurut pendapat jumhur ulama nikahnya sah. Mereka boleh menjalani kehidupan suami isteri sebagai biasa. Tetapi anak yang di kandung itu jika lahir tak boleh di bin atau bintikan bapa biologi. Anak tersebut tak boleh mewarisi harta bapa biologinya tetapi boleh mewarisi harta ibunya kerana ibunya tetap menjadi ibu kandungnya dan menjadi mahramnya. Anak tersebut hendaklah di bin atau binti kepada nama Abdullah. Tetapi jika wanita tersebut (mengandung anak tak sah taraf 4 bulan) dan berkahwin dengan lelaki lain (bukan lelaki yang berzina dengannya) pernikahannya sah tetapi mereka tak boleh melakukan jimak sehingga wanita tersebut melahirkan anak dan bersih daripada hadas nifas. Anak yang lahir juga tak boleh di bin atau bintikan namanya dan anak ini juga tak boleh mewarisi harta bapa angkatnya. 

Hukumnya haram kerana bapa biologi tak ada hubungan nasab dan sama taraf dengan bapa angkat. Jika wanita tersebut melahirkan anak tak sah taraf dan dia berkahwin dengan bapa biologi maka kedudukan anak tak sah taraf dengan bapa biologi adalah sama dengan bapa tiri, jika anak tak sah taraf perempuan boleh bersalaman dengan bapa biologinya (bapa tiri). Wallahu a'lam

Majlis Fatwa Kebangsaan : Anak Tak Sah Taraf
Munakahat

Tarikh Keputusan: 14 Oct, 2005
Keputusan: 

Anak Tak Sah Taraf ialah:-
(i) Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;

(ii) Anak yang dilahirkan kurang 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan Syubhah; dan

(iii) Anak yang dilahirkan lebih dari 6 bulan 2 lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui iqrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau 4 orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.

Keterangan/Hujah: 

• Pensabitan nasab kanak-kanak hendaklah mengikut kaedah-kaedah yang telah ditetapkan oleh hukum syara` sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu `alayhi wasallam:
اَلْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ .
Maksudnya:
“Anak itu bagi siapa yang menggauli ibunya (dalam nikah yang sah).”
(Riwayat Jama`ah melainkan Tirmizi)

• Menurut Imam Nawawi, maksud hadith di atas ialah jika seseorang lelaki itu mempunyai isteri atau hamba, maka dia seolah-olah menjadi hamparan tempat tidurnya ( فراش ). Apabila perempuan tersebut melahirkan anak bagi suatu tempoh yang memungkinkan anak itu wujud, maka anak itu disabitkan menjadi anaknya dan hak bagi lelaki berkenaan. Dengan itu, berjalanlah antara mereka hukum pewarisan dan hukum-hakam yang lain.

• Terdapat tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah iaitu:

1. Ada kemungkinan anak tersebut adalah daripada suami berkenaan, maknanya suami adalah orang yang mempunyai faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab-sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.

2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li`an.

3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.

• Para ulama’ telah bersepakat menetapkan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan tempoh enam bulan tersebut adalah berdasarkan maksud dua ayat Al-Qur'an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.

1. Firman Allah subhanahu wata`ala:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”
(Surah Al-Ahqaf (46) ayat 15)

2. Firman Allah subhanahu wata`ala yang lain:

{ وَفِصَلُهُ فِى عَامَيْنِ }

Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”
(Surah Luqman (31) ayat 14)

Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu 2 tahun atau 24 bulan daripada tempoh 30 bulan (masa keseluruhan hamil dan menyusukan anak), bererti masa yang bakinya, iaitu tempoh hamil ialah 6 bulan.

• Ash-Shaykh Muhammad `Ali As-Sabuni dalam kitabnya “Rawa’i` Al-Bayan” menyebutkan bahawa telah diriwayatkan, bahawa seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak setelah enam bulan daripada perkahwinannya. Dia dihadapkan kepada khalifah `Uthman radhiyallahu `anh. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu `Abbas berkata kepada `Uthman: “Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah.”

Allah berfirman:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya:
“Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.”
(Surah Al-Ahqaf 46:15)

Firman Allah selanjutnya:

{ وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }

Maksudnya:“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah Al-Baqarah (2) ayat 233)

Maka, tempoh hamil ialah 6 bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Sayyidina `Uthman radhiyallahu `anh pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

• Ahmad Mustafa Al-Maraghiy di dalam kitab “Tafsir Al-Maraghiy” turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama 6 bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap 2 tahun. Masa yang tinggal untuk mengandung hanya 6 bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah `Ali karamallahu wajhah yang kemudiannya dipersetujui oleh `Uthman radhiyallahu `anh bersama para sahabat Nabi sallallahu `alayhi wasallam. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma`mar ibn `Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

“Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui `Uthman radhiyallahu `anh untuk menceritakan perkara tersebut. Selepas itu, `Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Demi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata`ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata`ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendakNya.” 

Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan `Uthman, maka `Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh `Ali, beliau pun menemui `Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” `Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.” `Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab `Uthman. `Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata`ala berfirman: “Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” 

FirmanNya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan. Kemudian `Uthman pun berkata: “Demi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.” Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma`mar pun berkata: “Demi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Diriwayatkan juga bahawa Ibn `Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan. Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan. Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

• Oleh yang demikian, para ulama’ telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka nasab anak tersebut disabitkan kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya. Sebaliknya, jika anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka nasabnya tidak bersambung dengan suami kepada ibu atau wanita yang melahirkan anak berkenaan. Anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibin atau dibintikan, boleh dinasabkan kepada ibunya atau kepada nama `Abdullah atau salah satu daripada Asma’ullah Al-Husna.

Dalam kes di atas jika wanita tersebut mengandung 4 bulan baru mereka bernikah, dan jika dilahirkan anak tersebut 9 bulan, maka tempuh pernikahan mereka sehingga anak tersebut di lahirkan adalah 5 bulan maka sah anak tersebut tak boleh di bin atau bintikan bapa biologi kerana anak tersebut adalah anak tak sah taraf (anak luar nikah)




824. Soalan : Adakah baring boleh membatalkan wuduk.?

Jawapan : 

Baring sahaja tak terlelap maka wuduk tak batal tetapi jika terlelap maka batal wuduk. Menurut Imam As-Syafi’ie, di dalam kitab Fiqh Manhaji, tidur dalam keadaan tetap papan punggung (tidur dalam keadaan duduk) tidak membatalkan wuduk kerana seseorang itu akan sedar atau terasa sekiranya ada sesuatu yang keluar dari lubang duburnya. Tidur dalam keadaan duduk dengan rapat papan punggung ke lantai tidak membolehkannya mengeluarkan sesuatu seperti kentut. Dia mesti ada ruang, barulah boleh kentut.

Antara dalil daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata:
“Sembahyang telah hampir hendak didirikan sedang Nabi SAW. bercakap dengan seorang lelaki (tanpa didengari oleh orang lain) dan Baginda terus bercakap sehingga para sahabat tertidur kemudian Nabi datang dan bersembahyang bersama-sama mereka.”

Dalam hadis lain, Anas r.a. berkata: “Para sahabat Rasulullah tidur, kemudian mereka sembahyang dan mereka tidak berwuduk (semula).” (HR Imam Al-Bukhari)

Tetapi, sekiranya seseorang itu tersentak ke depan atau tergerak semasa tidur (dalam keadaan duduk) lalu papan punggungnya terangkat, dia akan tersedar. Wuduknya batal kerana papan punggungnya sudah teralih. Adapun tidur dalam keadaan mengiring, terlentang dan tiarap adalah membatalkan wuduk.

Sehubungan dengan itu sekiranya tidur dalam keadaan duduk, tidak beranjak dari tempat tidur, maka ia boleh terus kembali menunaikan solat tanpa perlu memperbaharui wuduk... Jadi untuk perasan sama ada batal atau tidak... Pastikan Tidur dalam keadaan duduk dan pastikan posisi itu tidak berubah .

Jika terlelap dalam bas dan punggung duduk tetap di kerusi bas maka wuduk tak batal.

825. Soalan : Apakah hukum, kesan dan akibat perbuatan seks ketika haid pada lelaki dan wanita?

Jawapan : 

Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dari Nabi Sallallahu’Alaihi Wasallam, baginda bersabda:

“Jika seseorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur (untuk bersetubuh) lalu isterinya enggan sehingga suami tidur dalam keadaan marah, nescaya para malaikat akan melaknat si istri sampai pagi.” (HR Muslim (2/1060))

Namun disuatu keadaan, si isteri memang tidak boleh melayani suami yaitu ketika sedang haid. . Sebagaimana firman Allah,

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

“Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah haid itu adalah kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci maka campurilah mereka itu ditempat yang diperintahkan Allah kepadamu.” (Surah Al-Baqarah ayat 222)

“Hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita diwaktu haid‘ maksudnya jima’ (di kemaluannya) khususnya kerana hal itu haram hukumnya menurut ijma’. Pembatasan dengan kata “menjauh pada tempat haih’ menunjukkan bahwa bercumbu dengan isteri yang haid, menyentuhnya tanpa berjima’ pada kemaluannya adalah boleh. (Tafsir As Sa’di jilid 1, hal 358)

Sabda Nabi Sallallahu “Alaihi Wasallam,

“Lakukanlah segala sesuatu terhadap isterimu kecuali jima.” (Shahih Ibnu Majah no:527, Muslim I:246 no 302)

Isteri hendaknya menolak dengan halus jika suami menginginkannya dan menjelaskan bahawa jima’ saat haid hukumnya haram baik bagi suami maupun isteri. Hal tersebut sesuai dengan perkataan Syaikh Utsaimin rahimahullah bahwa seorang suami haram menggauli isterinya saat haid dan haram pula bagi isterinya melayaninya. (Aktsar Min Alf Jawab Lil Mar’ah)

Namun hal ini tidak menutup kemungkinan bagi suami untuk bercumbu dengan isterinya tanpa jima’. Sebagaimana penjelasan Syaikh As sa’di dalam tafsirnya bahwa bercumbu dengan isteri yang haid, menyentuhnya tanpa jima’ boleh.

Dari Aisyah radhiyallahu’anha berkata “Rasulullah memerintahkan kepadaku agar memakai kain sarung kemudian aku memakainya dan baginda menggauliku.” (Al Mughni (3/84), Al Muhadzab (1/187))

Dari Maimunah, ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah menggauli salah satu isterinya sedangkan ia haid, ia (isteri) mengenakan kain sarung sampai pertengahan pahanya atau lututnya sehingga beliau menjadikannya sebagai penghalang.” (HR. Bukhari:64)

Batas Waktu Menjauhi Wanita Haid

فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

“Apabila mereka telah suci maka campurilah mereka itu ditempat yang diperintahkan Allah kepadamu.” (Surah Al Baqarah ayat 222)

“Sampai mereka suci‘ ertinya bahawa darah mereka (wanita haid) telah berhenti, hilanglah penghalang yang berlaku saat darah masih mengalir. (Tafsir As Sa’di jilid 1,hal 358)

Menurut Al-Lajnah ad Daimah, ada 2 syarat kehalalan suami boleh berjima’ dengan isteri (yang haid): terputusnya darah haid dan mandi suci. Dalil yang menguatkan pendapat ini adalah firman Allah, yang artinya: “janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci maka campurilah mereka itu ditempat yang diperintahkan Allah kepadamu.” Surah Al Baqarah ayat 222)

Dalam Tafsir As Sa’di jilid 1 hal 358, “Janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci” maksudnya harus meninggalkan mencumbu bagian yang dekat kemaluan yaitu bagian diantara pusar dan lutut, sebagaimana Nabi melakukannya, bila beliau mencumbu istrinya pada saat istrinya itu sedang haidh beliau memerintahkan kepadanya untuk memakai kain lalu beliau mencumbunya. Sedangkan “Apabila mereka telah suci ” maksudnya sang istri telah mandi.

Bagaimana jika jima’ dengan isteri yang haid kerana tidak sengaja atau tidak tahu tentang hukumnya?

Imam Nawawi dalam kitab Syarhu Muslim III:204 mengatakan “Andaikata seorang muslim meyakini akan halalnya jima’ dengan wanita yang sedang haid melalui kemaluannya, ia menjadi kafir, murtad. Kalau ia melakukannya tanpa berkeyakinan halal, misalnya jika ia melaksanakannya kerana lupa atau kerana tidak mengetahui keluarnya darah haid atau tidak tahu bahawa hal tersebut haram atau kerana dipaksa oleh pihak lain, maka itu tidak berdosa dan tidak pula wajib membayar kafarah. Namun jika ia mencampuri wanita yang sedang haid dengan sengaja dan tahu bahawa dia sedang haid dan tahu bahwa hukumnya haram dengan penuh kesadaran maka berarti dia telah melakukan maksiat besar sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Imam Syafii rahimahullah bahwa perbuatannya adalah dosa besar,dan wajib bertaubat.’

Jika sudah terlanjur mencampuri istrinya dalam keadaan haid, ada dua pendapat :

Sebagian para ulama berpendapat bahawa ia wajib membayar tebusan (kafarah). Pendapat ini diambil oleh Imam Ahmad dan Imam Nawawi. Syaikh Abdul “Azhim bin Badawi dalam kitabnya Al Wajiiz fi fiqhis Sunnah wal Kitabil “Aziz menyatakan bahwa pendapat yang kuat adalah yang mewajibkan membayar kafarah.

Berdasarkan hadits Ibnu Abbas radhiyallahu’anhu:

Dari Nabi Sallallahu’Alaihi Wasallam tentang seorang suami yang mencampuri isterinya di waktu haid, Rasulullah bersabda, “Hendaklah ia bershadaqah 1 dinar atau separuh dinar.” (Shahih Ibnu Majah no:523, Aunul Ma’bud I:445 no 261, Nasa’i I :153, Ibnu Majah I:210 no:640)
Sebagian yang lain menyatakan bahawa tidak mewajibkan membayar tebusan. Sebagimana pendapat yang diambil oleh mazab Hanafiyyah dan yang dikuatkan Syaikh Musthofa al-Adawi bahawa disunnahkan kafarat atas orang yang menggauli isterinya pada saat haid. Perbedaan ini muncul kerana perbedaan pendapat mengenai keshahihan dalil-dalilnya.

Berapakah besar Kafarrah yang harus Dibayar?

Ada beberapa pendapat para ulama tentang masalah ini:

Ada perbezaan jumlah kafarrah jika jima’ dilakukan diawal atau akhir waktu haid

Dari Ibnu Abbas radhiyallahu’anhu secara mauquf,ia berkata,’Jika ia bercampur dengan isterinya diawal keluarnya darah maka hendaklah bershadaqah 1 dinar dan jika di akhir keluarnya darah maka setengah dinar.’ (Abu Daud no:238 dan “Aunul Ma’bud I:249 no 262)

Pendapat inilah yang diambil oleh madzab Imam Syafii
Menurut Imam Ahmad bahwa jika darah haid berwarna merah maka ukurannya adalah 1 dinar dan jika berwarna kuning maka ukurannya setengah dinar.(Ma’alim Sunan karya Al Khithabi (1/181).
Menurut syaikh Albani rahimahullah, kafarah dibayarkan sesuai dengan kemampuan orangnya.

Catatan tambahan: 1 dinar = 4,25 gram emas, adapun nilai dinar disesuaikan dengan mata wang setempat.

Apakah Kafarrah juga dibayarkan oleh isteri?

Jika isteri melayaninya dengan sukarela maka ia harus membayar kaffarah, tetapi jika ia melakukan kerana paksaan maka ia tidak harus membayar tebusan berdasarkan sabda Rasulullah SallallahuAalaihi Wasallam:

“Umatku dimaafkan kerana salah,lupa dan apa-apa yang dipaksakan atasnya.”

(Lihat Az-zakah wa Tathbiqatihan hal 91)

Semoga dengan pembahasan yang sedikit ini dapat menambah pengetahuan wanita tentang hal yang penting namun terkadang dianggap mudah. Jika memang suami belum mempunyai pemahaman mengenai hal tersebut, hendaklah isteri yang berusaha menjelaskannya dengan semampunya agar tidak terjerumus kedalam kekhilafan. Ingatlah wahai saudariku, tunaikanlah hak Allah terlebih dahulu daripada hak suamimu.


1 comment:

  1. Salam admin. Tumpang Iklan:-

    Sayangi dan hargai suami anda. Jangan biarkan suami cari lain atau makan luar.
    Ikuti blog kami untuk promosi istimewa sekarang.
    Hanya untuk 10 pelanggan terawal.
    Wanita cantik bermula dari diri :)

    [BESARKAN BUAH DADA, BESARKAN PUNGGUNG, RAWAT KEPUTIHAN,KETATKAN FARAJ, KEMBALI DARA]

    ReplyDelete