Thursday, October 30, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 174 (Sujud Sahwi, Roh Tamyis, Anak Baru Lahir Cara Sambutannya, Anak Angkat Dan Baring Tak Batalkan Wuduk)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 174 adalah menjelaskan persoalan bacaan sujud sahwi, roh tamyis, anak baru lahir cara sambutannya, anak angkat dan baring tak batalkan wuduk

826. Soalan : Apakah bacaan sujud sahwi yang perlu di baca?

Jawapan : 

Sujud sahwi adalah nama bagi ‘dua sujud’ yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat disebabkan terlupa. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Risalah Sujud Syahwi, Majalah as-Sunnah, Edisi 12/VII/1424H/2004M, m.s. 41)

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum atau sesudah salam oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua-dua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jld. 2, m.s. 98)

Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah SAW. berkaitan sujud syahwi, ternyata Baginda SAW. tidak pernah menunjukkan (mengajarkan) bacaan khusus yang pelu dibaca ketika sujud (syahwi) ini. Maka, bacaan-nya adalah sama sepertimana bacaan di dalam sujud solat seperti biasa.

Namun, di dalam masyarakat kita mereka selalunya mengamalkan bacaan seperti ini:

“Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” yang membawa maksud, “Maha suci Tuhan yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa”.

Sebenarnya, bacaan ini bukanlah dari sunnah Nabi s.a.w. dan tidak pula pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh ulama salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat.

Malahan menurut Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry rahimahullah:

Tidak pernah diriwayatkan sesuatu doa yang khusus untuk sujud sahwi daripada Rasulullah SAW. Doa yang dibacanya adalah sama seperti doa yang dibaca ketika sujud biasa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bacaan saat sujud sahwi adalah “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” adalah tidak benar kerana ianya tidak pernah diamalkan oleh Nabi SAW. Dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut katanya: “Aku tidak pernah menemui asal usul (sanad) bacaan ini.”

Imam Nawawi r.h. seorang ulama besar di dalam mazhab Syafie : berkata:

Sujud sahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu. (Subhaana rabbiyal a'la wabihamdihi (3x) Maksudnya : Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya). (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72).

827. Soalan : Roh kita sebenarnya kemana ?.. Ada kah kita tidur roh kita yg ada bermain dlm mimpi kita tu.. Kalau meninggal lain cerita. Ini masa tidur...minta pencerahan ustaz..

Jawapan : 

Ilmu rohaniah atau ilmu rohani adalah ilmu mengenai roh. Yakni ia mengkaji, memerhati, mengesan dan menilai tentang perjalanan roh. Perkataan rohaniah itu berasal dari perkataan ‘ruhun’. Apakah yang dikatakan roh itu? 

Para ulama ada menyatakan bahawa roh boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

Pertama : Ruhul Hayah

Kedua : Ruhul Tamyiz

Huraiannya :

Pertama : Ruhul Hayah.

Ruhul hayah terdapat pada semua makhluk termasuk manusia, jin, malaikat, binatang dan setiap benda yang bernyawa. Mengikut kajian ahli biologi atau para saintis, batang kayu juga ada roh. Begitu juga pada semua jamadat (benda mati) seperti batu, kayu dan sebagainya.

Ruhul hayah yang ada pada binatang, manusia, malaikat dan jin, kiranya ia keluar dari badan, mereka akan mati. Kalau ia keluar dari malaikat, malaikat akan mati. Begitu juga kalau ia keluar dari jin, jin akan mati. Kalau ia keluar dari manusia, manusia akan mati. Kalau ia keluar dari hewan, hewan itu juga akan mati. Kerana ruhul hayah ini menjadi penyebab pada manusia dan lain-lain makhluk itu hidup.

Apabila sudah sampai masa kematian maka Malaikat Izrail akan datang untuk mencabut roh hayah daripada jasad manusia. Roh hayah akan berbahagia di alam barzakh jika simati semasa hidup di dunia banyak melakukan amal ibadah dan amal soleh, tetapi roh hayah ini akan terseksa dan tergantung-gantung di antara langit dan bumi apabila si mati semasa didunia mempunyai hutang sesama manusia yang belum ditunaikan. 

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud : ”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Dan dalam hadis yang lain daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang maksudnya : “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Orang yang mati syahid diampuni semua dosanya kecuali hutangnya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Demi yang jiwaku ada ditanganNya, seandainya seorang laki-laki terbunuh di jalan Allah, kemudian dihidupkan lagi, lalu dia terbunuh lagi dua kali, dan dia masih ada hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sampai hutang itu dilunaskan." (Hadis Riwayat Ahmad)

Kedua : Ruhul Tamyiz.

Ruhul tamyiz (ruhul amri) lebih dikenali sebagai akal. Ia tidak ada pada binatang tetapi hanya ada pada manusia, malaikat dan jin. Dengan adanya roh tamyiz inilah maka malaikat, jin dan manusia menjadi makhluk yang mukalaf. Yakni mereka dipertanggungjawabkan untuk mendirikan syariat. Mereka memikul beban untuk mendirikan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebaliknya roh tamyiz atau ruhul amri itu tidak ada pada binatang. Binatang hanya ada ruhul hayah dan nafsu tanpa akal. Ia hanya memiliki roh yang memungkinkan seseorang atau binatang itu hidup dengan izin Allah. Jadi roh tamyiz ini tidak ada pada binatang dan seluruh jamadat. Oleh kerana itulah binatang dan jamadat itu tidak mukalaf dan tidak diwajibkan mendirikan syariat. Ia tidak terlibat melaksanakan perintah suruh dan menjauhi perintah larang dari Allah SWT.

Bagi para malaikat, manusia dan jin, mereka wajib melaksanakan perintah suruh dan menjauhi larangan dari Allah SWT. Dengan lain perkataan, mereka dianggap makhluk yang mukalaf yang mesti bertanggungjawab kepada Allah kerana adanya ruhul tamyiz ini.

Roh tamyiz terkenal dengan sebutan akal. Hadis ada meriwayatkan yang maksudnya: “Ketika Allah menciptakan akal, Dia memanggil akal itu dan akal itu pun datang. Dia menyuruh akal itu pergi maka pergilah ia. Kemudian Allah berfirman kepada akal: ‘Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, Aku tidak menciptakan sesuatu makhluk yang lebih Aku sayangi daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku akan menyuruh, melarang dan menyeksa serta memberi pahala’.” (Hadis Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Inilah yang membedakan antara manusia, jin dan malaikat dengan lain-lain makhluk yang hanya semata-mata ada ruhul hayah. Umpamanya binatang, ia tidak mukalaf. Sebab itu pada binatang walaupun ia berbuat baik, tidak diberi pahala. Ia berbuat jahat pun tidak berdosa. Maka bila mati mereka jadi tanah. Ke Syurga tidak dan ke Neraka pun tidak.

Dari ketiga-tiga makhluk ini hanya malakat yang terselamat daripada seksaan neraka kerana malaikat tidak ada nafsu dan ianya di ciptakan hanya untuk melakukan ketaatan kepada perintah Allah SWT. Tetapi manusia dan jin , oleh kerana memiliki akal atau ruhul amri maka mereka akan dibalas baik ke syurga dengan rahmat-Nya atau ke neraka dengan keadilan-Nya. Kalau mereka berbuat baik akan diberi pahala. Sebaliknya bila berbuat jahat, mereka berdosa dan akan dicampakkan ke neraka.

828 : Soalan : .Saya nak tanya..bagaimana cara yang betul untuk sambut anak (lelaki / perempuan) yang baru lahir?

Jawapan : 

Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.” 
Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya; 

1. Ucapan Tahniah: Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah. Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab beliau, Tuhfatul Maudud bi ahkamil Maulud, iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).” 

2. Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali r.a. daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit. 

3. Hendaklah ditahnikkan bayi itu. Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang soleh supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa r.a.: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku). 

4. Mencukur rambut bayi. Rambut bayi tersebut ditimbang dengan nilai emas atau perak dan di sedekahkan kepaad fakir miskin. 

5. Mengaqiqahkan pada anak-anak lelaki (2 ekor) dan anak perempuan (1 ekor).Sabda Nabi SAW maksudnya ” Anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan memadai dengan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah SAW. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Hadis Riwayat al-Tirmizi). 

Wallahua’lam.

829. Soalan : Emak mertua saya ada membela seorang anak angkat perempuan sejak bayi lagi tetapi seorang anak lelakinya telah mendaftarkan namanya sbg ayahnya(dibintikn dgn namanya bukan ayah kandungnya sendiri)..apa hukumnya ustaz..t.kasih .

Jawapan : 

Menasabkan Anak Angkat Kepada Bapa Angkat :

Adalah menjadi kesalahan dan haram hukumnya menasabkan seseorang anak angkat kepada bapa angkatnya. Ini bererti dalam Islam adalah ditegah seorang yang mengambil anak angkat lalu di‘bin’kan atau di bintikan kepada bapa angkatnya.
Hukum ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :

"...dan dia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak-anak kamu sendiri..." (Surah al-Ahzab ayat 4)

Dalam ayat yang seterusnya Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"...panggillah anak-anak angkat itu dengan ber‘bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. (Surah al-Ahzab ayah 5)

Berdasarkan kepada kedua-dua ayat di atas jelas bahawa perbuatan membinkan anak angkat kepada bapa angkat adalah dilarang dalam al-Quran.

Ibnu al-Qayyim berkata: "Sesungguhnya nasab itu sthabit pada asalnya ialah kepada bapa." (Zad al-Ma’ad, jld. 4, hlm. 110)

Oleh itu, kita perlu ingat dan sedar yang menetapkan nasab itu ialah Allah dan menasabkan kanak-kanak itu kepada bapa kandungnya ialah hak kanak-kanak tersebut.

Memelihara hak Allah dan hak kanak-kanak itu merupakan sesuatu yang wajib. Maksudnya hak Allah dipelihara dengan menasabkan kanak-kanak itu kepada asal usul keturunannya, kerana dari situlah dia dijadikan Allah, manakala hak kanak-kanak itu ialah mesti dinasabkan kepada bapanya kerana darah daging seseorang itu thabit kepada bapa kandungnya.

Sekiranya berlaku khilaf (tidak dikenali bapanya) maka hendak dibinkan dengan Abdullah.

Gadis yang diwalikan oleh bapa angkat tidak sah akad nikahnya, urusan akad itu mesti diserahkan kepada wali hakim. Bapa angkat juga tidak boleh mewakilkan kepada wali hakim kerana dia tidak ada hak wali.

Jika berlaku juga perkahwinan maka perkahwinan yang diwalikan oleh bapa angkatnya tidak sah, jika berlaku juga akad maka akad tersebut terbatal dengan sendirinya.

830. Soalan .Adakah baring boleh mem.batalkan wuduk.?

Jawapan : 

Baring sahaja tak terlelap maka wuduk tak batal tetapi jika terlelap maka batal wuduk. Menurut Imam As-Syafi’ie, di dalam kitab Fiqh Manhaji, tidur dalam keadaan tetap papan punggung (tidur dalam keadaan duduk) tidak membatalkan wuduk kerana seseorang itu akan sedar atau terasa sekiranya ada sesuatu yang keluar dari lubang duburnya. Tidur dalam keadaan duduk dengan rapat papan punggung ke lantai tidak membolehkannya mengeluarkan sesuatu seperti kentut. Dia mesti ada ruang, barulah boleh kentut.

Antara dalil daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata:
“Sembahyang telah hampir hendak didirikan sedang Nabi SAW. bercakap dengan seorang lelaki (tanpa didengari oleh orang lain) dan Baginda terus bercakap sehingga para sahabat tertidur kemudian Nabi datang dan bersembahyang bersama-sama mereka.”

Dalam hadis lain, Anas r.a. berkata: “Para sahabat Rasulullah tidur, kemudian mereka sembahyang dan mereka tidak berwuduk (semula).” (HR Imam Al-Bukhari)

Tetapi, sekiranya seseorang itu tersentak ke depan atau tergerak semasa tidur (dalam keadaan duduk) lalu papan punggungnya terangkat, dia akan tersedar. Wuduknya batal kerana papan punggungnya sudah teralih. Adapun tidur dalam keadaan mengiring, terlentang dan tiarap adalah membatalkan wuduk.

Sehubungan dengan itu sekiranya tidur dalam keadaan duduk, tidak beranjak dari tempat tidur, maka ia boleh terus kembali menunaikan solat tanpa perlu memperbaharui wuduk... Jadi untuk perasan sama ada batal atau tidak... Pastikan Tidur dalam keadaan duduk dan pastikan posisi itu tidak berubah .


No comments:

Post a Comment