Tuesday, November 18, 2014

Tanyalah Ustaz 191 ( Tips Nafas Panjang, Solat Pakai Baju Ada Gambar Binatang, Iddah Wanita Di Ceraikan Suaminya, Jodoh Wanita Yang Telah Bertaubat Dan Bayar Fidyah Puasa Untuk Ibu Bapa Yang Meninggal Dunia.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 191 adalah menjelaskan persoalan tips nafas panjang, solat pakai baju ada gambar binatang, iddah wanita di ceraikan suaminya, jodoh wanita yang telah bertaubat dan bayar fidyah puasa untuk ibu bapa yang meninggal dunia.

911. Soalan : .Boleh ustaz kongsikan tips agar nafas kita lebih panjang ketika sedang mengaji Al-Quran.?

Jawapan : 

Untuk membaca al-Quran secara bertarannum, ianya memerlukan kawalan suara dan nafas yang agak panjang. Terutama bila masuk ke peringkat-peringkat atas seperti jawab bayyati dan jawabul jawab. Ianya memerlukan latihan untuk mendapatkan nafas yang panjang itu.

Macam orang berlari 400 meter. Mereka-mereka yang mampu mengawal pernafasan dan mempunyai stamina yang tinggi, akan berlari dengan tenang. Sedangkan yang tak pandai kawal pernafasan, akan tertinggal di tengah jalan. 

TIPS MEMANJANGKAN NAFAS

1. Tahan Nafas
Nafas terbahagi kepada dua, iaitu nafas perut dan nafas dada. Dalam nafas perut, ketika menarik nafas, perut mengembung, sedangkan dalam nafas dada, ketika nafas ditarik, yang mengembung adalah dada. Teknik yang efektif adalah teknik pernafasan perut. Bukan pernafasan dada.

Setiap hari, lakukan latihan menahan nafas (nafas perut). Contohnya hari ni dapat menahan nafas selama 20 saat, esok 20 saat dan seterusnya. Atau kita boleh ikut cara orang lama, iaitu tahan nafas dalam air seperti dalam kolam/sungai selama mungkin. Insya Allah kalau biasa berlatih, nafas kita akan menjadi panjang. 

Cara kedua pula, senaman Tarik-Tahan-Keluar. Mula-mula, tarik nafas(nafas perut) sedikit demi sedikit selama 10 saat sehingga perut penuh, kemudian tahan selama 10 saat sehingga perut terasa keras dan akhir sekali hembus sedikit demi sedikit selama 10 saat. Kemudian tambahkan kadar pada esokkan harinya pula seperti menjadi 15 saat, 20 saat dan seterusnya.

2. Jaga Pemakanan

Selain itu, pemakanan dan peminuman juga perlu dijaga. Jamal Abdillah bagitau, kalau beliau nak buat persembahan, biasanya beliau akan banyakkan minum air suam dan mengelakkan makan benda-benda pedas dan minuman sejuk. Sebab makanan pedas dan minuman sejuk (ais) boleh menyebabkan berhingus dan berkahak. Kahak itu akan menyebabkan suara serak dan nafas menjadi pendek serta semput

3. Rajinkan Bersenam (Lakukan 3 kali seminggu, 20 minit bagi setiap sesi)
Dengan bersenam, akan menjadikan badan cergas, pernafasan pun akan jadi teratur. Kalau malas bersenam, nafas akan cepat semput. Selalu jogging pada waktu pagi supaya anda menjadi fit and fresh. Cara-cara berjogging adalah seperti berikut :-

i) Mulakan latihan pertama dengan joggin constantly selama 20 minit. Kemudian latihan kedua tambahkan 5 minit, dan seterusnya.

ii) Kalau dah selesa dengan cara i), tambahkan kaedah sprint dalam latihan tersebut. Contohnya anda sprint selama 2 minit selepas berjoggin selama 10 minit.

iii) Sebelum melakukan latihan, nafas seperti biasa, dengan menarik dan menghembus nafas ikut hidung. Ketika dan selepas melakukan latihan, bernafas dengan menarik ikut hidung dan menghembus ikut mulut.

Untuk memudahkan latihan, lakukan senaman pada waktu pagi (lepas solat subuh).

4. Jeritan Batin

Ambil baldi atau pergi ke sungai, tarik nafas dalam-dalam, kemudian masukkan kepala dalam air tersebut dan menjerit sekuat mungkin. Lakukan ini beberapa kali dalam sehari, kemudian cuba nyanyikan lagu nasyid yang bertempo panjang.

(Tip-tip ini di ambil daripada tulisan Ahmadul Hakim Mohamad)

912. Soalan : Apakah hukum..andai kita memakai baju yg ada gambar binatang atau gambar orang atau gambar apa-apa objek..Jika baju yg kita pakai tersebut ada gambar2 untuk dibawa sembahyang.. Ada yg kata boleh...ada pula yg kata tidak boleh..menjadi perbalahan di kedai kopi..minta penjelasan dari ustaz..

Jawapan : 

Apabila solat tidak di benarkan ada gambar manusia atau binatang dibaju yang kita pakai untuk solat. Malaikat tak masuk rumah yang ada gambar makhluk yang bernyawa samaada di gantung di dinding rumah atau gamabr di baju yang kita pakai. Nabi SAW melarang Aisyah r. ha yang membeli bantal tempat duduk Rasulullah SAW yang ada gambar. Dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguhnya para malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada didalamnya gambar, patung, anjing dan orang yang junub.”

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa malaikat tidak masuk kerumah orang yang ada :

Pertama : Gambar

Kedua : Patung

Ketiga : Anjing

Keempat : Orang yang junub.

Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah malaikat rahmat. Manakala yang dimaksudkan dengan gambar pula ialah gambar makhluk bernyawa seperti gambar manusia dan binatang.

Haram bagi orang yang meletakkan gambar yang bernyawa di rumah-rumah mereka, seperti gambar bersanding, menerima ijazah dan sebagainya sekali pun gambar keluarga, sama ada separuh gambar atau sempurna gambar tersebut. Termasuk juga gambar yang di pakai di baju yang di buat solat malaikat rahmat tidak masuk di tempat solat tersebut.

Dalam hadis Nabi SAW yang lain bermaksud : Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah SAW melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. 

Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? 

Rasulullah SAW kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" 

Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." 

Sabda Rasulullah SAW: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" 

Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." 

(Hadis Riwayat Muslim).

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Aku mendengar Muhammad berkata, 'Barang siapa membuat gambar di dunia ini, dia akan dipersoalkan serta diminta supaya memberikan nyawa kepada apa yang dilukiskannya pada hari kiamat nanti, tetapi dia tidak akan mampu melakukannya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari Kitab Pakaian (7/72), no. 846)

913. Soalan :  Ustaz, saya nak tanya berapa lama iddah seorang isteri bila diceraikan.......boleh kah mereka berhubung antara satu sama lain semasa iddah?

Jawapan :  

Iddah seorang isteri yang di ceraikan adalah 3 kali suci. Iddah muthlaqah (masa perceraian),

Tempoh ini ialah untuk perempuan yang masih didatangi haid dan berpisah melalui perceraian. Maksud tiga kali suci ini ialah, jika dia diceraikan, maka dia perlu beriddah sehingga tiga kali suci daripada haid.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Perempuan-perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri mereka (menunggu) selama tiga kali quru’ (suci).” (Surah al-Baqarah ayat 228)

Bagaimana mengiranya?

Jika dia diceraikan ketika suci dari haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja datang haid yang ketiga.

Contoh: Diceraikan dalam keadaan suci (Suci 1) > Haid 1 > Suci 2 > Haid 2 > Suci 3 > Haid 3 —— iddah habis sebaik sahaja haid 3 bermula.

Jika dia diceraikan ketika haid, maka idahnya akan tamat sebaik sahaja kedatangan haid yang keempat.

Contoh: Diceraikan ketika haid (Haid 1) > Suci 1 > Haid 2 > Suci 2 > Haid 3 > Suci 3 > Haid 4 —— iddah habis sebaik sahaja haid 4 bermula.

3. Perempuan yang tidak ada haid.

Siapa yang perlu beriddah selama 3 bulan? (diulangi, 3 bulan. Ia berbeza dengan 3 kali suci)

Perempuan yang perlu beriddah selama 3 bulan ialah perempuan yang belum pernah didatangi haid atau yang telah berhenti haidnya (menopause) . Sekiranya dia diceraikan, maka dia perlu mengira iddah dari hari perceraian hinggalah cukup tiga bulan Qamariyyah. Perlu diingatkan, tempoh 3 bulan ini tidak semestinya 90 hari. Hal ini kerana dalam kalender Islam, ada kalanya jumlah hari sebulan ialah 29 hari dan ada kala berjumlah 30 hari. Tetapi tiada yang berjumlah 31 hari!

Firman Allah SWT maksudnya :
“Perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus haid mereka, jika kamu ragui tentang tempoh masa idah mereka, maka masa idah mereka ialah selama tiga bulan. Begitulah juga idah perempuan-perempuan yang belum datang haid.” (Surah al-Talaq ayat 4)

AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH 

Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh ruju') kali pertama dan kedua. Suami yang perlu keluar rumah semasa iddah berjalan sebelum rujuk.

Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu ‘iddah. ( Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154 )

Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya?

Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.

Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik ruju' dengan persetubuhan.

Suami boleh berhubung semasa di dalam iddah tetapi tak boleh melakukan jimak sebelum di rujuk secara sah. Dalam peraturan Mahkamah Syariah suami perlu membuat permohnan untuk rujuk dan perlu ada 2 orang saksi. Setelah mahkamah meluluskannya dan di keluarkan surat rujuk maka barulah boleh suami kembali kepada isterinya.

914. Soalan : Saya nak minta pencerahan adakah wanita yang telah melakukan dosa dan dia bertaubat boleh mndapatkan suami yang soleh? atau adakah lelaki yang jahat melakukan dosa kemudain dia bertaubat boleh mendapatkan seorang isteri yang solehah?

Jawapan : 

Sesiapa sahaja yang telah bertaubat nasuha samaada lelaki dan wanita Allah SWT akan ampunkan dosa-dosa mereka dan mereka boleh mendapat jodoh yang baik. Daripada Anas bin Malik r.a katanya : "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman : 'Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.' 'Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.' 'Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula'." (Hadis Riwayat Tarmizi)

Tentang dorongan dan anjuran untuk bertaubat, al-Quran berbicara yang maksudnya : "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Surah al- Baqarah ayat 222).

Maka derajat apa yang lebih tinggi dari pada mendapatkan kasih sayang Rabb semesta alam. Dalam menceritakan tentang ibadurrahman yang Allah SWT berikan kemuliaan dengan menisbahkan mereka kepada-Nya, serta menjanjikan bagi mereka syurga, di dalamnya mereka mendapatkan ucapan selamat dan mereka kekal di sana, serta mendapatkan tempat yang baik. 

Firman Allah SWT maksudnya :"Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya)." (Surah al-Furqaan ayat 68-70.).

Keutamaan apalagi yang lebih besar dari pada orang yang bertaubat itu mendapatkan ampunan dari Allah SWT , hingga keburukan mereka digantikan dengan kebaikan?

Dan dalam penjelasan tentang keluasan ampunan Allah SWT dan rahmat-Nya bagi orang-orang yang bertaubat. Allah SWT berfirman:"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah az-Zumar ayat 53)

Ayat ini membukakan pintu dengan seluas-luasnya bagi seluruh orang yang berdosa dan melakuan kesalahan. Meskipun dosa mereka telah mencapai ujung langit sekalipun. Seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :"Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, nescaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abi Hurairah, dan ia menghukumkannya sebagai hadis hasan dalam kitab sahih Jami' Shagir - 5235)

Di antara keutamaan orang-orang yang bertaubat adalah Allah SWT menugaskan para malaikat muqarrabin untuk beristighfar bagi mereka serta berdoa kepada Allah SWT agar Allah SWT menyelamatkan mereka dari azab neraka. Serta memasukkan mereka ke dalam syurga. Dan menyelamatkan mereka dari keburukan. Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, sedangkan para malaikat sibuk dengan mereka di langit. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud :"(Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): "Ya Rabb kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala, ya Rabb kami, dan masukkanlah mereka kedalam Syurga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang soleh di antara bapa -bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari(pembalasan?)kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar." 
(Surah Ghaafir ayat 7-9).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Semua anak Adam (manusia) itu sering membuat kesalahan (dosa) dan sebaik-baik manusia yang membuat kesalahan (dosa) itu ialah orang-orang yang bertaubat." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Oleh yang demikian kita perlu selalu dan segera bertaubat. Taubat bererti kita kembali merujuk kepada Allah SWT. Meninggalkan dosa, menyesali yang sudah terlanjur dan berazam untuk tidak mengulangi lagi serta memperbaiki amalan dengan memperbanyakkan kebaikan. Ia adalah proses pembersihan dari kekotoran. Orang yang bertaubat bersih dari segala dosa.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa." Orang yang berdosa dan sudah melakukan taubat nasuha maka mereka akan bersih daripada dosa -dosa yang lama. Taubat nasuha adalah bertaubat yang sungguh-sungguh tidak mengulangi lagi dosa-dosa yang lama, membenci dan menyesal di atas perbuatannya yang lama dan kembali menghayati islam sebagai cara hidupnya dan meninggalkan larangan-Nya.

915. Soalan : Macamana dengan puasa arwah kedua ibubapa saya..yang mana mungkin mereka tak sempat qada kan...apa yang boleh saya lakukan untuk mereka? adakah dengan membayar fidyah?

Jawapan : 

Terdapat dua pendapat iaitu pertama, warisnya boleh mengqada' bagi pihak kedua ibu bapa mereka (hukumnya sunat) dan kedua, waris boleh bayarkan fidyah untuk kedua ibu bapa mereka yang meninggalkan puasa. 1 hari qada' puasa bersamaan dengan 1 cupak makanan asai iaitu 1 cupak bersamaan dengan 0.556 kilogram beras.

Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hadis Riwayat Tarmizi daripada Ibnu Umar) 

Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menunaikan puasa nazar tersebut. 

Jika dia mati dalam keadaan dia boleh mengerjakan puasa qada' ( ganti), didalam hal ini kebanyakkan ulama’ mengatakan walinya tidak wajib menggantikan puasanya. Bagi Qaul Jadid Mazhab Syafie, tidak boleh seseorang itu menggantikan puasa orang lain, sama seperti solat. 

Menurut Mazhab Hanbali, hukum menggantikan puasa bagi waris adalah sunat ataupun mustahab (digalakkan). 

Menurut Mazhab Syafie (Qaul Jadid) dan Mazhab Hanbali, Wali wajib memberi makan bagi setiap puasa yang ditinggalkannya dengan secupak makanan [al-Fiqh al-Islami, cet ke 3, 2/681].

Hadis dari ‘Aisyah ra :- “Barangsiapa yang mati dan masih menanggung puasa, maka berpuasalah bagi pihak oleh walinya” -(Hadis Muttafaq 'alaih, al-Lu'lu' wa al-Marjan, ms 704)

Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa pewaris hanyalah sunat atau mustahab mengqada’kan bagi pihak ibu atau bapa yang telah meninggal. Waris itu termasuklah anak-anak yang bersedia berpuasa bagi pihak ibu-bapanya. 

Sebagaimana yang kami nyatakan diatas, maka bolehlah membayar fidyah keatas hari-hari yang ditinggalkannya. Berkata Syiekh al-Qaradawi :-

“Boleh memberi makan kepada fakir miskin bagi pihak si-mati, dengan menggunakan harta peninggalannya, sebanyak hari-hari yang ditinggalkannya, dengan dalil bahawa hutang kepada Allah dibayar dengan peninggalannya (hartanya), hutang kepada lebih berhak dibayarkan”. [Fiqh al-Shiyaam, ms 76].

No comments:

Post a Comment