Monday, November 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 176 ( Najis Cicak, Kanak-kanak Hisab Susu Ibu, Mendidik Anak Remaja Perempuan, Solat Baju Terkena Darah Dan Selawat Nabi SAW)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 176 adalah menjelaskan persoalan najis cicak, kanak-kanak hisab susu ibu, mendidik anak remaja perempuan, solat baju terkena darah dan selawat Nabi SAW

836. Soalan : Saya membasuh kain menggunakn mesin...sedang saya memasukkn kain ada seekor anak cicak jatuh...saya cuba menguis tpi cicak tu trus masuk ke celah2...kain sdgkn waktu tu saya telah pn memasukkn air...bila air penuh...saya trus wash....
Soalan saya... apakah hukumnya baju tu dibasuh sekali dgn cicak dn kmudian dibuang airnya...seleps basuh dan diganti air baru utk cucian kali kedua...

Jawapan : 

Dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda,

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً

"Apabila ada lalat jatuh di minuman kalian, hendaknya kalian celupkan lalat itu, kemudian dia buang. Karena di salah satu sayapnya ada penyakit sementara di sayap lainnya mengandung obat." (HR. Ahmad 7141, Bukhari 3320, Abu Daud 3844, dan yang lainnya).

Kita semua tahu, ketika ada lalat yang terjatuh ke air, boleh jadi lalat itu mati atau dia masih hidup. Ketika lalat itu mati, statusnya bangkai. Namun Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam menyuruh kita untuk mencelupkannya semakin ke dalam tanpa memberikan rincian apakah lalat itu sudah mati atau belum.

Berdasarkan dari hadis ini, para ulama merinci hukum bangkai menjadi dua,

Pertama, bangkai yang memiliki sistem transportasi darah merah (nafsun sailah). Seperti mamalia, burung, dst. Itulah semua binatang yang ketika dilukai, akan mengeluarkan darah merah.

Kedua, bangkai yang tidak memiliki sistem transportasi darah merah. Seperti serangga, kumbang, dll. Ketika haiwan ini dipijak, dia tidak mengeluarkan darah merah. Haiwan jenis kedua ini, ketika mati cepat kering dan umumnya tidak menimbulkan bau.

Untuk haiwan jenis pertama, bangkainya najis, kecuali ikan. Berdasarkan firman Allah,

قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Katakanlah: “Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaKu, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi, karena sesungguhnya semua itu najis. (QS. Al-An'am ayat 145).

Sementara binatang jenis kedua, sebagian ulama menegaskan, bangkainya tidak najis, diqiyaskan dengan hadis lalat di atas. Bahkan dalam mazhab Syafiiyah, binatang yang memiliki darah merah, namun ketika dilukai tidak sampai mengeluarkan darah, dimasukkan dalam kategori ini.

Imam Ramli (w. 1004 H) – salah seorang ulama Syafiiyah – mengatakan,

وَيُسْتَثْنَى مِنْ النَّجَسِ مَيْتَةٌ لَا دَمَ لَهَا سَائِلٌ عَنْ مَوْضِعِ جُرْحِهَا إمَّا بِأَنْ لَا يَكُونَ لَهَا دَمٌ أَصْلًا أَوْ لَهَا دَمٌ لَا يَجْرِي

Bukan termasuk najis, bangkai yang tidak memiliki darah ketika dilukai, baik kerana dia tidak memiliki sistem transportasi darah merah, atau dia memiliki sistem transportasi darah merah, namun tidak mengalir (ketika dilukai). (Nihayah al-Muhtaj, 1/237).

Bangkai Cicak Najis?
Ulama juga berbeda pendapat apakah cicak termasuk binatang yang darahnya mengalir atau tidak.

Jumhur ulama mengatakan, cicak termasuk binatang yang tidak memiliki darah mengalir. Imam Nawawi (w. 676 H) mengatakan:

وأما الوزغ فقطع الجمهور بأنه لا نفس له سائلة

"Untuk cicak, jumhur ulama menegaskan, dia termasuk binatang yang tidak memiliki darah merah yang mengalir." (al-Majmu', 1/129)

Hal yang sama juga ditegaskan Imam Ramli:

Bukan termasuk najis, bangkai yang tidak memiliki darah ketika dilukai, baik kerana dia tidak memiliki sistem transportasi darah merah, atau dia memiliki sistem transportasi darah merah, namun tidak mengalir (ketika dilukai). Seperti cicak, tawon, kumbang, atau lalat. Semuanya tidak najis bangkainya. (Nihayah al-Muhtaj, 1/237)

Sementara ulama lainnya mengelompokkan cicak sebagai binatang yang memiliki darah merah mengalir, sebagaimana ular.

Imam Nawawi menukil keterangan al-Mawardi (w. 450 H):

وَنَقَلَ الْمَاوَرْدِيُّ فِيهِ وَجْهَيْنِ كَالْحَيَّةِ وَقَطَعَ الشَّيْخُ نَصْرٌ الْمَقْدِسِيُّ بِأَنَّ لَهُ نَفْسًا سَائِلَةً

Dinukil oleh al-Mawardi, mengenai cicak ada dua pendapat ulama syafiiyah, (ada yang mengatakan) sebagaimana ular. Sementara Syaikh Nasr al-Maqdisi menegaskan bahwa cicak termasuk haiwan yang memiliki darah merah mengalir. (al-Majmu', 1/129)

Dari Madzhab Hanbali, al-Mardawi (w. 885 H) mengatakan:

والصحيح من المذهب: أن الوزغ لها نفس سائلة. نص عليه كالحية

"Pendapat yang benar dalam Mazhab Hanbali bahawa cicak memliki darah merah yang mengalir. Hal ini telah ditegaskan, sebagaimana ular." (al-Inshaf, 2/28)

Apabila cicak jatuh ke mesin basuh dan mati berdasarkan pendapat ulama.

Pertama : Bangkai cicik  tak najis maka teruskan basuhan dan buangkan bagkai cicik tersebut dan setelah siap semuanya maka boleh teruskan basuh sehingga selesai dan pakaian boleh terus di jemur. 

Kedua : Jika kita berpegang pada pendapat kedua bagkai cicik najis maka puan kena buangkan cicik tersebut dan ulang basuhan pertama sehingga selesai . Jika tak terdapat bau , rasa dan warna pada pakaian yang di basuh maka suci dan sah.di buat solat.

837. Soalan : Adakah kanak-kanak boleh menyusu susu ibu melebihi 2 tahun?

Jawapan : 

Tempoh putus susu adalah 2 tahun. Tak ada masaalah menyusukan anak lebih dari 2 tahun, jika perkara itu tidak mendatangkan mudharat kepada bayi, dan dengan kerelaan sisuami dan isteri. Cuma kebiasaannya anak apabila sampai umur 2 tahun dia memerlukan makanan tambahan yang lain.

Adapun ayat al-Quran dari surah al-Baqarah: 233:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَنْ يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: “Dan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka selama sempurna 2 tahun, bagi sesiapa yang menyempurnakan susuan.”

Ayat ini hanya berupa bimbingan dan bukan menunjukkan suatu kewajipan yang membawa dosa jika menyalahinya.

Al-Imam al-Qurtubiy ketika menafsirkan ayat 233 dari surah al-Baqarah di atas menyatakan: “Tambahan lebih dari 2 tahun (menyusukan anak) atau menguranginya (tempoh tersebut), boleh jika tidak ada kemudharatan kepada bayi dan dengan kerelaan suami dan isteri."

Cuma ada sebahagian ulama seperti Ibn 'Asyur (ابن عاشور) yang berpandangan tidak perlu ditambah susuan lebih dari 2 tahun, kerana perbuatan ini tidak ada keperluan lagi.

Wallahu a’lam.

838.Soalan : Bagaimana cara nak mendidik anak-anak perempuan remaja supaya menghormati ibu bapanya?

Jawapan : 

Salah satu perkara yang besar di hadapai oleh ramai ibu bapa adalah kesukaran mendidik dan memberi nasihat kepada anak-anak. Walaupun anak-anak ini di sekolahkan bermula dengan tadika Islam, sekolah rendah agama dan sekolah menengah agama belum tentu bila dewasa dia menjadi anak yang soleh atau solehah. Suasana persekitaran, rakan-rakan sebaya, pengaruh media sosial, internet, telefon bimbit cangih, aktiviti hiburan yang tidak Islamik akan mempengaruhi anak-anak kita dan para remaja untuk ke arah hidup yang bebas, liar, meninggalkan solat, tidak suka kepaad majlis ilmu dan menjauhkan diri daripada masjid dan surau. 

Sikap dan sifat tidak menghormati guru-guru dan ibu bapa telah membudayakan kehidupan remaja kesan daripada filem dan drama television yang mereka tonton dan terbawa-bawa dengan akhlak masyarakat barat dan orang bukan Islam. Oleh itu ibu bapa tak ada pilihan terpaksa memberi nasihat yang berterusan dan cuba pujuk anak-anak mendekati masjid dan cuba menasihati mereka untuk berakhlak dengan akhlak Islam dan mengamalkan suruhan Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Ibu bapa perlu sentiasa berdoa dan solat hajat mohon kepada Allah SWT semuga melembutkan hati-anak-anak mereka supaya mereka kembali kepangkal jalan yang di redhai oleh Allah SWT. Jangan berputus asa puan masih banyak lagi masa yang perlu puan ambil dan berusaha bersungguh-sungguh memberi nasihat yang baik dan cuba berfikir bagaimana nak menwujudkan susana tarbiah yang baik di dalam rumah puan sendiri, perlu berbincang dengan suami dan ambil tindakkan segera.

Nasihatkan anak-anak bahawa derhaka kepada ibu bapa adalah berdosa besar dan anak yang derhaka tak akan cium bau syurga.

Daripada Anas r.a. daripada Nabi SAW sabdanya, “Sesiapa yang memelihara dua anak gadis sehingga baligh kedua-duanya nescaya dia datang bersama aku pada hari kiamat seperti ini sambil menunjukkan (merapatkan) dua jarinya”. (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Aisyah r.ha katanya, “Datang kerumahku seorang perempuan meminta (makanan), tidak ada sesuatu disisiku melainkan sebiji kurma lalu aku beri kepadanya. Maka dia pun membahagi sebiji kurma tadi kepada dua orang anaknya dan dia sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun keluar (daripada rumah Aisyah).

Setelah Nabi SAW datang kepada kami lalu aku pun memberitahunya (peristiwa tersebut), maka baginda bersabda, “Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan ini dengan sesuatu lalu dia melayan (memelihara) mereka dengan baik adalah mereka menjadi penghalang daripada api neraka”.

Berdasarkan dua hadis di atas jelaslah kepada kita betapa besar pahalanya ibu bapa yang memelihara anak-anak gadis mereka dengan sempurna. Bermula daripada kecil mereka di ajar dengan adab-adab Islam, akhlak yang mulia, mula menutup aurat dan ditanam sifat malu maka apabila mereka sampai umur baligh menjadi remaja/ gadis maka akan terpelihara maruah diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala sosial dan pergaulan bebas.

Anak-anak gadis wajib diasuh dan dididk dengan tarbiah iman dan ajaran Islam sehingga mereka merasakan kewajiapan melaksanakan segala perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya, merasa selesa dengan memakai pakaian yang menutup aurat tanpa dipaksa. Mereka di lengkapkan dengan ilmu-ilmu Islam terutama bab tauhid dan feqah, mengaji al-Quran dan sentiasa diberi nasihat supaya menjaga batas-batas akhlak Islam dan dilarang daripada terlibat dengan pergaulan bebas bersama lelaki yang bukan mahram.

Ibu bapa mestilah mengutamakan keperluan asas anak-anaknya seperti makan, minum, pakaian dan sebagainya. Nabi SAW memberi jaminan bahawa Ibu bapa yang mendidik dan mengasuh anak-anak perempuannya dengan sempurna dijamin terdinding daripada api neraka dan mendapat balasan syurga (akan bersama dengan baginda SAW di syurga). Hadis ini menunjukkan kelebihan menjaga dan mendidik anak-anak perempuan.

Kenapa Nabi SAW menyebut secara jelas sesiapa dikalangan umatnya yang memelihara dan mendidik anak-anak gadisnya dengan sempurna (memiliki akhlak Islam) sehingga mereka bersuami maka mereka dijamin untuk memasuki syurga dan terhalang daripada memasuki neraka? Ini adalah kerana baginda dapat merasakan betapa sukar kedua ibu bapa untuk mengasuh anak-anak gadis dengan akhlak Islam , kerana dimana-mana zaman sekalipun kaum Hawa memang menjadi medan ujian untuk kaum Adam.

Dalam hadis yang lain Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "...Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya." (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنََ النِّسَاءِ


Maksudnya : “Tidaklah aku tinggalkan setelahku fitnah (ujian/godaan) yang lebih dahsyat bagi para lelaki selain fitnah wanita.” (Muttafaqun ‘alaih dari Usamah bin Zaid )

839. Soalan : Apa hukum kalau kita solat dengan pakaian yg terkena darah akibat luka. terime kasih..?

Jawapan : 

Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.

Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:

1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.
Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-

i. Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri

ii. Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.

iii. Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.

3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.
Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.

4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.

Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.

5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.

6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.

7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.

Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. 

Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.

Pakaian yang terkena luka di badan seseorang jika sedikat di maafkan kerana para sahabat yang berjihad di jalan Allah semasa zaman Rasulullah SAW dan khalifah ar-Rasyidin badan mereka sentiasa luka , tetapi mereka tetap solat dalam keadaan luka-luka di badan mereka.

840. Soalan : Manakah lafaz selawat yg paling afdal? Sebab terlalu byk selawat yg ada. Contohnya " Allahhummusolli ala saiyidina Muhammad. Wa'ala ali sayyidina Muhammad. Atau Allahummusolli ala sayyidina Muhammad.Waala alihi wasohbihi wassalam dll lagi.Satu lagi adakah selawat shifa itu juga termasuk dlm lafaz selawat?

Jawapan : 

Ucapan selawat yang paling baik lagi afdhal adalah selawat semasa membaca selawat ketika tahyat akhir :

 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وعلى آلِ مُحَمَّد كَمَا صَلَّبْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِيْ الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْد .

Lafaz-lafaz selawat yang lain terdapat di dalam hadis sahih : 

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

Dari hadis: [Hadis Riwayat An-Nasae’i: 1292, sahih]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Ya Allah kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:

1. Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a.:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]

2. Dari Abu Humaid As Saa’diy r.a.:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri Baginda dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].

3. Dari Abi Mas’ud Al-Ansori r.a.:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]

4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori r.a. (jalan kedua):

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]

5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]

6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَعَلَى أَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].

7. Dari Abu Hurairah r.a.:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ وبَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam "Musykil al-Athar" 3/75, An Nasa-i dalam "Amalul Yaum wal Lailah" no 47. Sahih]

8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah r.a.:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

“Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].

Selawat Shifa tidak terdapat hadis sahih yang menjelaskannya, tetapi boleh di amalkan .

2 comments:

  1. Assalammualaikum ustaz, sah atau tak solat jika Ada lipas didalam rumah

    ReplyDelete
  2. Bagaimana membasuh baju yg bernajis yg tidak kelihatan seperti air liur basi yg telah kering? Boleh kan mencampurkan kedua ii pakaian ini dalam satu basuhan

    ReplyDelete