Monday, November 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 178 (Aurat Wanita, Cerai Taklik, Qarin Manusia, Sujud Tilawah Dan Doa Lepas Tahyat Akhir.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 178 adalah menjelaskan persoalan aurat wanita, cerai taklik, qarin manusia, sujud tilawah dan doa lepas tahyat akhir.

846. Soalan : Apakah maksud sebenar aurat perempuan? 'Bermulanya perempuan semuanya aurat' adakah suara wanita aurat?

Jawapan : 

Wanita muslimah yang telah sampai umur baligh dan telah mengalami kedatangan haid maka mereka wajib menutup aurat seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangan sehingga pergelangan tangan. Aurat merupakan istilah Islam yang melambangkan sesuatu bahagian dari anggota badan, samada lelaki ataupun perempuan, yang haram dibuka atau dipamerkan. Dalam erti kata lain sesuatu anggota badan yang wajib ditutup dan disembunyikan dan haram orang bukan mahram melihatnya. Menutup aurat adalah wajib ke atas setiap muslim, tidak kira lelaki atau perempuan. Kewajipan menutup aurat ini berdasarkan kepada dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis.

Firman Allah SWT maksudnya : "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur). (Surah al-A’raaf ayat 26)

Batas aurat untuk wanita muslim adalah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka ( 'dan hendaklah mereka menutup dada mereka dengan penutup'); dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada:
* suami mereka atau
* bapa mereka atau
* bapa mertua mereka atau
* anak-anak mereka, atau
* anak-anak tiri mereka atau
* saudara-saudara mereka atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau
* anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
* perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau
* orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
* kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur ayat 31)

Berdasar ayat diatas wanita muslim hanya boleh membuka aurat kepada 11 golongan sahaja sedangkan golongan dibawah tidak boleh dibuka auratnya (walaupun terdiri daripada saudara maranya)

1. Suami kepada ibu saudara.

2. Sepupu lelaki.

3. Abang ipar (suami kepada kakaknya)

4. Adik ipar (suami kepada adiknya)

5. Semua lelaki yang bukan mahramnya.

Wanita muslim perlu juga mengambil perhatian mereka tidak boleh bersalaman dengan 5 golongan tersebut di atas kerana mereka bukan mahramnya. Hanya dengan mahram sahaja boleh bersalaman. Kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat mereka dirumah kepada kaum keluarga yang bukan mahram dan suka bersalaman dengan mereka dengan tujuan menjaga hati mereka sedangkan bersalaman dengan bukan mahram haram hukumnya.

Suara wanita bukan aurat apabila di gunakan untuk mengajar sebagai guru, doktor, perhubungan awam atau penceramah, tetapi jika di salah gunakan untuk menjadi penyanyi, pelakun, DJ hiburan, berkaraoke dan sebagainya di larang kerana boleh menimbulkan fitnah. Wanita juga di larang bertabaruj (dengan berhias atau bersolek dengan makup yang tebal) bukan untuk suami tetapi untuk orang ramai.

Terdapat beberapa kesilapan wanita mengenai aurat. supaya kita dapat mencari kesilapan tersebut dan dapat di perbaikinya.

Terdapat beberapa kesilapan wanita tentang aurat :

Pertama : Wanita menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

Kedua : Bertudung tetapi ber' T-Shirt' berlengan pendik.

Ketiga : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

Keempat : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

Kelima : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

Keenam : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

Ketujuh : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

Kelapan : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Kesembilan : Kesalahan bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

Kesepuluh : Memakai baju kurung tetapi dipergelangan tangan tidak dipinkan hingga menampakkan kulit lengan.

Kesemua jenis berpakaian yang disebut di atas adalah diharamkan secara sepakat seluruh ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mukminah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

847. Soalan : Adakah sah lafaz cerai taklik suami kepada isterinya berbentuk bukan sumpah dan berbentuk sumpah.perkara . Contoh cerai taklik bukan berbentuk sumpah : Suami berkata kepada isterinya : Jika abang tinggalkan kamu selama 5 bulan tanpa berita dan nafkah maka jatuhlah talak satu" . Cerai taklik berbentuk sumpah pula, suami berkata kepada isterinya, " Jika aku tipu engkau isteriku aku ceraikan."

Jawapan : 

Cerai taklik bermaksud suami melafazkan lafaz cerai yang dihubungkan dengan sesuatu syarat (Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami, jil. 7, hlm. 444; Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam al-mar'ah, jil. 7, hlm. 471).

Cerai taklik dibahagikan kepada dua jenis; pertama cerai taklik yang dinyatakan syarat tanpa mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata kepada isterinya, "Jika aku tinggalkan isteriku selama lima bulan berturut-turut tanpa sebarang nafkah, isteriku tercerai." Kedua, cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah, seperti suami berkata, "Jika aku tipu engkau, isteriku aku cerai."

Jenis cerai yang pertama, syarat yang dinyatakan dalam cerai taklik adalah berkuatkuasa selama mana syarat itu bukan sesuatu yang mustahil berlaku. Jika sesuatu yang disyaratkan itu berlaku, maka jatuhlah talak.

Namun, bagi jenis kedua, taklik itu tidak memberikan kesan, walaupun syarat yang dinyatakan itu berlaku, namun isterinya tidak tercerai (al-Nawawi, al-Majmu', jil. 16, hlm. 152-153, 212). Lafaz taklik yang diucapkan seperti "sekiranya aku berbaik dengan si pulan, maka aku dan isteriku jatuh cerai!" adalah termasuk dalam kategori cerai taklik yang mengandungi maksud sumpah. Maksud lafaz tersebut ialah suami itu bersumpah memutuskan sillaturrahim dan hukumnya haram. Oleh itu, jika suami itu berbaik semula dengan si pulan berkenaan, maka isterinya tidak tercerai kerana lafaz cerai taklik tersebut mempunyai maksud sumpah dan taklik itu tidak memberikan kesan.

Bersumpah untuk melakukan perbuatan haram adalah sumpah yang wajib ditebus. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa bersumpah tentang sesuatu, kemudian dia mendapati ada perkara lain yang lebih baik untuk dia lakukan, maka hendaklah dia lakukan yang lebih baik itu dan hendaklah dia membayar kafarah sumpahnya." Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim (Sahih, jil. 3, hlm. 1272). Contohnya dalam lafaz cerai taklik untuk memutuskan sillaturrahim, maka ia adalah haram, dan orang itu wajib menyambung sillaturrahim dan membayar kafarah sumpahnya. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menyambung sillaturrahim." Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari (Sahih, jil. 8, hlm. 32).

Kafarah yang dikenakan adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamanya) supaya kamu bersyukur." (Surah al-Ma'idah, ayat 89)

Wallahu a'lam.

848. Soalan : Ustaz boleh terangkan sikit pasal Qarin yg dikatakan jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. ada juga mengatakan ia sebagai "kembar" manusia...
apakah benar dan apa tugas Qarin ni? Mohon pencerahan.

Jawapan : 

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Tidak ada sesiapa diantara kamu melainkan baginya ditugaskan Qarin dari kalangan Jin, Mereka berkata : 'Walaupun kamu Ya Rasulullah?', Baginda menjawab : 'Walaupun Aku, akan tetapi Allah menolongku dan aku selamat darinya (atau - mengIslamkannya), maka dia hanya akan memerintahku melakukan perkara yang baik" (Hadis Riwayat Muslim)

Qarin adalah sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Qarin di sini adalah makhluk halus (dikalangan jin kafir) yang mengiringi kelahiran seseorang bayi. Qarin suka menghasut manusia kearah kejahatan, melainkan qarin Nabi S.A.W. yang telah ditundukkan oleh baginda.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : ( Syaitan) yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: 'Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong'. (Allah berfirman) : 'Janganlah kamu bertengkar dihadapan-Ku, dan sungguh, dahulu Aku telah memberikan ancaman kepadamu.'. Keputusan-Ku tidak dapat diubah dan Aku tidak menzalimi hamba-hamba-Ku." (Surah Qaf ayat 27-29)

Menurut Ibn Kathir rh, ayat "(qarin) syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata : "Ibn Abbas r.a, Mujahid, Qutaadah dan lain-lain mengatakan bahawa ia merujuk kepada 'syaitan' yang ditugaskan berdamping dengannya".

Disifatkan bahawa qarin ini pada hari kiamat tidak mengaku telah menyesatkan manusia, lalu mengatakan bahawa manusialah yang menyesatkan diri mereka sendiri. Seterusnya Ibn Kathir rh. memetik firman Allah S.W.T. menyatakan tugasan syaitan setelah berjaya menyesatkan manusia :-

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Dan berkatalah pula syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya. Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya." (Surah Ibrahim ayat 22)

Ibn Kathir rh menerangkan bahawa apabila dihadapan Allah kelak, kedua-dua manusia dan qarin saling menuduh diantara satu sama lain. Seterusnya Allah S.W.T. mengatakan bahawa semuanya sudah di hakimi, dan Allah hanya akan mengazab dosa yang ditanggung oleh masing2 dan bukan dosa orang lain. [Mukhtasar Tafsir al-Quran al-Azhim - Umdah al-Tafsir 'an al-hafiz Ibn Kathir 3/371, Dar el-Wafa' 2003. syiekh Ahmad Muhammad Syakir]

Satu persoalan yang timbul, adakah qarin Nabi S.A.W. juga seperti qarin manusia yang lain? Tentu sekali tidak. Nabi S.A.W telah megislamkan qarinnya. Kewujudan qarin ini ialah untuk menggoda manusia menampakkan hal-hal yang buruk dan yang jahat-jahat seolah-olah baik pada pandangan mata manusia. Qarin sentiasa berusaha untuk menjeru­muskan manusia dan mengajak mereka melakukan kemungkaran dengan cara menggoda, merayu, memujuk dan menipu. Semua manusia mempunyai qarin sama ada ia nabi atau orang yang alim.

Dalam hadis yang lain. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermak­sud: "Tidaklah salah seorang daripada kamu (yang lahir ke dunia) melainkan dia telah dipertemankan den­gan seorang kawannya daripada jin dan seorang kawannya daripada kalangan malaikat. Sahabat bertanya: Adakah engkau juga wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Dan aku pun. Akan tetapi Allah menolong aku daripada gangguannya, maka tidak­lah ia mendorong saya, kecuali kepada kebaikan."

Benar qarin ini akan bersama dengan kita sehingga kita meninggal dunia, qarin ini adalah makhluk jin dan dia akan pulang ke alam jin setelah pendampingnya manusia meninggal dunia.

849. Soalan : Kita disunatkan untuk sujud tilawah/sajadah apabila mendengar/membaca ayat-ayat sajadah dlm Al-Quran.Sekiranya ayat-ayat tersebut dibaca ketika solat,maka sunat juga untuk sujud.Soalan saya,bagaimana sekiranya dalam solat,ayat sajadah yang dibaca berada di akhir surah (contoh:Surah An-Najm ayat 62).Perlukah kita sujud sajadah atau terus rukuk seperti biasa..? Mohon pencerahan dari ustaz,terima kasih.

Jawapan : 

Dalam al-Quran terdapat 15 tempat ayat-ayat Sajadah di sunatkan sujud Sajadah (Tilawah) apabila sampai ayat yang di baca samaada ketika solat atau di luar solat.

Sujud Tilawah ialah sujud bacaan.Disunatkan sujud bagi yang membaca ayat-ayat Sajdah.

Firman Allah SWT maksudnya : "...dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah pertunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahmaan, mereka segera sujud serta menangis. (Surah Maryam ayat 58)
  
Daripada Abu Hurairah,telah berkata Nabi SAW maksudnya :  "Apabila manusia membaca ayat sajdah, kemudian ia sujud, menghindarkan syaitan dan menangis ia serta berkata: 'Hai celaka! Anak Adam (manusia) disuruh sujud, lantas ia sujud, maka baginya syurga dan aku disuruh sujud juga , tetapi aku enggan (tidak mahu), maka bagi aku neraka."
(Hadis Riwayat Muslim)

Bacaan Ketika Sujud Tilawah

Bacaan ketika sujud tilawah sama seperti bacaan sujud ketika shalat. Ada beberapa bacaan yang boleh kita baca ketika sujud di antaranya:

1. Dari Hudzaifah, beliau menceritakan tata cara shalat Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam dan ketika sujud beliau membaca: “Subhaana robbiyal a’laa” [Maha Suci Allah Yang Maha Tinggi] (HR. Muslim no. 772)

2. Dari ‘Aisyah, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa membaca do’a ketika ruku’ dan sujud: “Subhaanakallahumma robbanaa wa bi hamdika, allahummagh firliy.” [Maha Suci Engkau Ya Allah, Rabb kami, dengan segala pujian kepada-Mu, ampunilah dosa-dosaku] (HR. Bukhari no. 817 dan Muslim no. 484)

3. Dari ‘Ali bin Abi Tholib, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika sujud membaca: “Allahumma laka sajadtu, wa bika aamantu wa laka aslamtu, sajada wajhi lilladzi kholaqohu, wa showwarohu, wa syaqqo sam’ahu, wa bashorohu. Tabarakallahu ahsanul kholiqiin.” [Ya Allah, kepada-Mu lah aku bersujud, karena-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah diri. Wajahku bersujud kepada Penciptanya, yang Membentuknya, yang Membentuk pendengaran dan penglihatannya. Maha Suci Allah Sebaik-baik Pencipta] (HR. Muslim no. 771)

Imam Ahmad bin Hambal -rahimahullah- mengatakan, “Adapun (ketika sujud tilawah), maka aku biasa membaca: Subhaana robbiyal a’laa” (Al Mughni).


4. Dan di antara bacaan sujud dalam solat terdapat pula bacaan “Sajada wajhi lilladzi kholaqohu, wa showwarohu, wa syaqqo sam’ahu, wa bashorohu. Tabarakallahu ahsanul kholiqiin”, sebagaimana terdapat dalam hadits ‘Ali yang diriwayatkan oleh Muslim. 

Bacaan Sujud Tilawah :


 
Maksudnya : "Aku sujudkan wajahku ini kepada yang menciptanya dan membentuk rupanya dan yang membuka pendengarannya dan penglihatannya. Maha suci Allah sebaik-baik Pencipta."


Syarat-syarat sujud Tilawah(di luar sembahyang)

1. Suci daripada Hadas dan najis
2.Menghadap Kiblat
3.Menutup aurat

Apabila orang yang membaca ayat-ayat Sajdah sujud, maka mereka yang mendengar atau makmum hendaklah sujud, tetapi apabila yang membaca tidak sujud yang mendengar tidak pula disunatkan sujud.

Dari Ibnu Umar(r.a) katanya:"Pernah Rasulullah SAW membaca: ayat Sajdah" dalam masa kami berada disisinya lalu baginda sujud dan kami pula sujud bersama-samanya serta kami berasak-asak sehingga setengah kami tidak dapat tempat untuk meletakkan dahinya semasa sujud".

Cara Perlaksanaannya

Sujud Tilawah ini ialah sekali sujud, jika dilakukan dalam sembahyang semasa seseorang menjadi Imam atau sembahyang seorang diri, wajib ia niatkan sujud didalam hati, lalu sujud. Kalau ia makmum, hendaklah ia menurut apa yang dilakukan oleh Imamnya.

Rukun Sujud Tilawah(di luar sembahyang)

Empat perkara:

1.Niat
2.Takbiratul Ihram
3.Sujud sekali sahaja
4.Salam

Ayat-ayat Sajdah dalam al-Quran ada lima belas sebagaimana diterangkan dalam Hadis Rasulullah SAW seperti berikut:

Dari Amru Ibnu 'As r.a. "Bahawa Rasulullah SAW  menerangkan kepada lima belas ayat Sajdah"

Ayat-ayat tersebut yang terdapat dalam al-Quran adalah seperti berikut : 

1. Surah Al A'raf ayat 206

2.Surah Ar-Ra'du ayat 15

3.SurahAn-Nahl ayat 50

4.Surah Al-Isra' ayat 109

5.Surah Maryam ayat 58

6.Surah Al-Haj ayat 18

7.Surah Al-Haj ayat 77

8.Surah Al-Furqan ayat 60

9.Surah An-naml ayat 26

10.Surah As-Sajadah ayat 15

11.Surah Sod ayat 24

12.Surah Ha Mim ayat 38

13.Surah An-Najm ayat 62

14.Surah Anshiqaf ayat 21

15.Surah Alaq ayat 19

850. Soalan : Boleh tak ustaz tolong jelaskan doa perlindungan yang di baca selepas membaca tahyat akhir sebelum salam?

Jawapan : 

Doa yang sunat kita baca selepas selesai membaca tahyat akhir sebelum salam adalah : Daripada Aisyah r.a. : Sesungguhnya Nabi SAW berdoa di dalam solat :

”اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ، وَأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسيحِ الدَّجَّال، وأعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيا والمَماتِ، اللَّهُمَّ إني أعُوذُ بِكَ من المأثمِ والمَغْرَمِ”

Maksudnya, “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab kubur, aku berlindung denganMu daripada fitnah masih ad-dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kematian. Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada hambatan dosa dan hutang”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)...

Dalam riwayat yang lain : "ALLAHUMA I'NI AUDZUBIKA MIN ADZABIL JAHANAMMA WAMIN ADZABIL KUBRI WA MIN FITNATI MAHYA WAL MAMATI WA MIN FITNATI MASIHID DAJJAL," 

maksudnya : “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari azab api neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah ketika hidup dan mati dan dari kejahatan fitnah Dajjal”

Sabda Nabi SAW bersabda maksudnya ; “Apabila seseorang kamu selesai dari membaca tasyahhud (yakni tahiyyat) akhir,maka mintalah perlindungan dengan Allah dari empat; 
dari azab neraka jahannam, dari azab kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan Dajjal” (Hadis Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment