Wednesday, November 5, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 180 (KonsepTawasul, SuasaTak Boleh Untuk Lelaki, Wanita Haid Potong Kuku, Tanda Taubat Di Terima, Takwa Paling Mulia di Sisi Allah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 180 adalah menjelaskan persoalan konsep tawasul, suasa tak boleh untuk lelaki, wanita haid potong kuku, tanda taubat di terima, takwa paling mulia di sisi Allah.

856. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan konsep tawasul yang di bolehkan dan yang dilarang? Terima kasih.

Jawapan : 

Bertawasul dengan amalan terbaik kita kerjakan atau bertawasul melalui orang soleh yang masih hidup adalah di haruskan. (kita minta orang yang soleh mendoakan kita bersama-samanya kita pun berdoa). Tetapi bertawasul ke atas orang yang telah mati dilarang di dalam ajaran Islam.

Tawassul berasal dari perkataan Arab وسيلة (wasiilah: perantara). Tawassala-yatawassalu-tawassulan. Yakni menjadikan sesuatu sebagai perantara di dalam kita berdoa. Kita tetap meminta daripada Allah, tetapi kita meletakkan perantara di tengah.

Di sana ada tawassul yang masyru’ (syar’i) dan ada tawassul yang mamnu’ (dilarang).

Tawassul yang disyariatkan

Tawassul yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul adalah berdalilkan hadis-hadis Nabi shallallahu’alaihiwasallam tentang bagaimana baginda mengajarkan kepada kita cara bertawassul.

Pertama, bertawassul dengan menggunakan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta’ala. Firman Allah di dalam Al-Quran,

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا

“Dan Allah memiliki nama-nama yang indah, maka berdo’alah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya tersebut.” (surah Al-A’raf: 180)

Contoh berdoa dengan nama Allah adalah kita meminta dengan lafaz “Ya Ghaffar, ighfir li”. Wahai yang Maha Pengampun, ampunilah aku. Iaitu dengan menyeru Nama Allah terlebih dahulu; Ya Razzaq, kurniakanlah rezki kepadaku, Wahai yang Maha Pengasih, kasihilah aku. Ya Rahman, Ya Rahim, irhamni – Wahai yang Maha Pemurah, wahai yang Maha Pengasih, kasihanilah aku.

Sebut Nama-nama Allah terlebih dahulu, jadikan nama-Nya sebagai perantara untuk kita berdoa dan memohon atau meminta sesuatu daripada-Nya. Itu salah satu kaedah tawassul yang syar’i.

Kedua, bertawassul dengan doa orang saleh yang masih hidup. Iaitu berjumpa dengan orang-orang saleh yang amal ibadatnya bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, para ulama dan sesiapa sahaja orang saleh yang masih hidup dan meminta orang yang shaleh itu mendoakan untuk kita.

Perkara ini berlaku di dalam petunjuk Nabi SAW di mana para sahabat meminta agar Nabi berdoa. Adapun setelah kewafatan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam, Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dengan Umar menyatakan bahawasanya “Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan Nabi. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia di kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk kami.” (lihat Sahih Bukhari)

Peristiwa ini terjadi ketika Madinah dilanda kemarau panjang. Umar meminta Abbas radhiyallaahu’anhu berdoa dan Abbas radhiyallaahu’anhu pun berdoa. Tidak lama setelah itu, Allah pun menurunkan hujan kepada mereka.

Lagi tentang kisah doa orang yang saleh adalah peristiwa Uwais Al-Qarni. Nabi shallallaahu’alaihiwasallam tidak pernah berjumpa dengannya dan dia pun tidak pernah bertemu Nabi shallallaahu’alaihiwasallam. Tetapi Nabi shallallaahu’alaihiwasallam menceritakan tentang keberadaan dan kewujudannya. Nabi menceritakan tentang ciri-cirinya kepada para sahabat. Nabi menyuruh kepada sahabat, sekiranya bertemu dengan Uwais, mintalah agar dia berdoa. Maka setiap tahun pada musim haji para sahabat mencari Uwais bin Amir Al-Qarni melalui kabilah yang datang dari Yaman untuk mengerjakan haji.

عَنْ أُسَيْرِ بْنِ جَابِرٍ قَالَ كَانَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ إِذَا أَتَى عَلَيْهِ أَمْدَادُ أَهْلِ الْيَمَنِ سَأَلَهُمْ أَفِيكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ حَتَّى أَتَى عَلَى أُوَيْسٍ فَقَالَ أَنْتَ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَكَانَ بِكَ بَرَصٌ فَبَرَأْتَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ قَالَ نَعَمْ قَالَ لَكَ وَالِدَةٌ قَالَ نَعَمْ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ يَأْتِي عَلَيْكُمْ أُوَيْسُ بْنُ عَامِرٍ مَعَ أَمْدَادِ أَهْلِ الْيَمَنِ مِنْ مُرَادٍ ثُمَّ مِنْ قَرَنٍ كَانَ بِهِ بَرَصٌ فَبَرَأَ مِنْهُ إِلَّا مَوْضِعَ دِرْهَمٍ لَهُ وَالِدَةٌ هُوَ بِهَا بَرٌّ لَوْ أَقْسَمَ عَلَى اللَّهِ لَأَبَرَّهُ فَإِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ يَسْتَغْفِرَ لَكَ فَافْعَلْ فَاسْتَغْفِرْ لِي فَاسْتَغْفَرَ لَهُ

Dari Usair bin Jabir ia berkata: Umar bin al-Khatthab jika datang sepasukan dari Yaman akan berkata: ‘Apakah di antara kalian ada Uwais bin Amir’? (Demikian seterusnya) sampai datang Uwais. Beliau bertanya: Apakah engkau Uwais bin Amir? Dia menjawab: Ya. Umar bertanya: dari Murod, kemudian ke Qoron? Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau dulu memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian sembuh, kecuali sebesar dirham. Dia berkata: Ya. Umar bertanya: Apakah engkau memiliki ibu? Ia berkata: Ya. Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda: Akan datang kepada kalian Uwais bin Amir bersama sepasukan penduduk Yaman dari Murod kemudian Qoron, dulunya dia memiliki penyakit (semacam) kusta kemudian dia sembuh, kecuali sebesar dirham, dia memiliki ibu yang dia berbakti kepadanya. Kalau dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah perkenankan. Jika engkau bisa meminta agar dia memohon ampunan untukmu, lakukanlah. Maka (wahai Uwais) mohonkan ampun untukku. Kemudian Uwais memohonkan ampunan untuk Umar. (riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain, Nabi memerintahkan kepada para sahabat secara umum : ”perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.”

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ خَيْرَ التَّابِعِينَ رَجُلٌ يُقَالُ لَهُ أُوَيْسٌ وَلَهُ وَالِدَةٌ وَكَانَ بِهِ بَيَاضٌ فَمُرُوهُ فَلْيَسْتَغْفِرْ لَكُمْ

Dari Umar bin al-Khatthab beliau berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam bersabda, Sesungguhnya sebaik-baik tabi’in adalah seorang laki-laki yang disebut Uwais, dia memiliki ibu dan dia memiliki tanda putih. Maka perintahkanlah dia agar beristighfar untuk kalian.” (riwayat Muslim)

Bertawassul dengan doa orang yang saleh yang masih hidup, itu yang diajar oleh Nabi shallallaahu’alaihiwasallam. Dan cara bertawassul dengan orang saleh yang masih hidup adalah melalui doanya, bukan melalui jasadnya. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menyatakan,

“Adapun yang dimaksud tawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam dalam perkataan para sahabat radhiyallaahu’anhum adalah bertawasul dengan doa dan syafaat Nabi. Adapun tawasul dengan doa dan syafaat sebagaimana yang dilakukan ‘Umar adalah bertawasul dengan doa, bukan bertawasul dengan zat Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam. Seandainya itu merupakan tawasul dengan zat beliau, maka tentu bertawasul kepada Nabi shallallaahu’alaihiwasallam lebih utama daripada dengan ‘Abbas radhiyallaahu’anhu. Ketika mereka berpaling dari bertawasul dengan Rasulullah shallallaahu’alaihiwasallam, namun mereka bertawasul dengan ‘Abbas, maka dari sini kita ketahui bahawa bertawasul dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam hanya berlaku ketika baginda masih hidup dan terlarang setelah wafatnya baginda.”

Ketiga, bertawassul dengan amalan saleh.

Iaitu bertawassul dengan amalan saleh yang pernah kita lakukan. Hadis yang selalu dijadikan contoh adalah hadis tiga orang lelaki yang terperangkap di dalam gua. Seorang berdoa kepada Allah dengan mengatakan bahawa dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab Allah, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut bahawa dia orang yang amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan kepada pemiliknya. Maka dengan amalan saleh itu mereka berdoa kepada Allah agar dibukakan pintu gua yang tertutup sehingga memerangkap mereka di dalamnya.

Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (lihat Sahih Bukhari)

Ini menunjukkan keberkesanan bertawassul dengan amalan saleh, yakni menjadikan amalan saleh sebagai perantara di dalam doa kita, kesannya itu cepat. Mudah-mudahan, insyaAllah.

Tiga jenis tawassul di atas adalah tawassul yang syar’i.

Tawassul yang dilarang

Adapun tawassul yang dilarang ada banyak. Antaranya meminta daripada berhala, pokok, binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada Allah.

Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati yang telah dibincang panjang oleh ahli ilmu. Seruan kepada orang mati, seruan kepada Nabi Muhammad shallallaahu’alaihiwasallam sedangkan baginda telah wafat. Mereka berdalilkan dengan peristiwa-peristiwa di mana kesemuanya adalah daripada hadis-hadis dha’if dan tidak membawa pengertian bahawasanya Nabi Shallallaahu ’Alaihi Wasallam bertawassul dengan Nabi-nabi yang telah wafat sebelumnya. Tidak ada pendalilan dan penghujahannya.

Hal ini dijelaskan oleh para ulama. Ada satu kitab berkaitan dengan tawassul; Al-Tawassul Baina Masyru’i wal Mamnu’ (Tawassul antara yang disyariatkan dan yang dilarang), ditulis oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Hamid Al-Atsari.

Beliau membahaskan secara detil penghujahan dan bantahan terhadap orang-orang yang berhujah dengan mengatakan boleh bertawassul dengan orang yang telah mati dengan cara menyerunya. Contohnya, menyeru “Ya Syaikh fulan bin fulan, doakan untuk kami…” dan mereka ini mengharuskan bertawassul di tanah perkuburan orang saleh atau pun menyeru di dalam majlis mereka dan menyeru dari tempat-tempat lain. Itu antara cara yang mereka lakukan bertawassul dengan orang mati termasuk dengan Nabi shallallaahu’alaihiwasallam.

Hal-hal seperti ini tidak diamalkan dan tidak dipraktikkan oleh sahabat-sahabat Nabi radhiyallaahu’anhu berasaskan dan berdalilkan hadis-hadis dan riwayat-riwayat yang sahih yang jelas daripada mereka, seperti mana perbuatan Umar bin Al-Khatthab yang disebutkan tadi, di mana beliau tidak bertawassul kepada Nabi sebaliknya mencari Abbas bin Abdul Muthalib. Dan beliau sendiri yang membuat permisalan dan menyebut bahawa “dulu ketika masih ada Nabi, kami bertawassul dengan Nabi, tetapi sekarang apabila Nabi telah tiada, kami bertawassul dengan Abbas.”

Itu gambaran umum dan ringkas tentang tawassul. Maka dianjurkan untuk kita bertawassul dengan ketiga-tiga perkara yang jelas disyariatkan berdalilkan fakta-fakta dan hadis-hadis yang sahih. Adapun selainnya adalah terlarang.

857. Soalan : Apakah yg terkandung dlm suasa?bolehkah seorang lelaki memakai suasa?terima kasih.

Jawapan : 

Memakai cincin menurut sunnah yang diperbuat daripada perak adalah harus bagi lelaki. Manakala bagi perempuan harus memakai cincin yang diperbuat daripada emas. Rasulullah SAW pernah memakai cincin diperbuat daripada perak sehingga baginda wafat. Baginda melarang memakai cincin emas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi bermaksud:

"Rasulullah SAW melarang daripada memakai cincin emas".

Cincin suasa adalah campuran daripada dua unsur logam iaitu emas dan perak. Oleh kerana cincin suasa campuran emas lebih daripada perak maka ia dihukumkan emas dan haram dipakai oleh kaum lelaki.

Menurut laporan Mesyuarat Panel Kajian Syariah JAKIM kali ke 31 pada 2-4 Oktober 2000mengenai hukum memakai suasa bagi lelaki adalah HARAM.

Panel menasihati agar pengantin lelaki memakai cincin perak atau platinum.

858. Soalan : Apabila wanita didatangi haid....adakah boleh memotong kuku, memotong rambut dn memotong bulu, ini ada yang mengatakan boleh....ada juga yang mengatakan tidak boleh. Saya....ingin mendapatkan penjelasan ustaz.

Jawapan : 

Wanita kedatangan haid boleh potong kuku, gunting rambut, cukur bulu ari-ari atau ketiak dan sebagainya. sebab tak ada nas yang melarangnya. Wanita dibolehkan dalam keadaan berhadas dan tidak perlu sisa kuku dan rambut itu dimandikan semasa mandi wajib.

Fuqaha dari semua mazhab menyebut perkara-perkara yang dilarang ketika berhadas besar, tetapi tidak pula memasukkan larangan memotong kuku atau rambut kerana tidak ada dalil yang jelas dan khusus untuk perkara ini.

Diriwayatkan ketika Aishah melakukan haji bersama Rasulullah SAW semasa Hajjatul Wada’, Aisyah ketika itu dalam keadaan haid, Baginda SAW menyuruh beliau menyikat rambutnya (Riwayat Bukhari dan Muslim). Ini menunjukkan bahawa perempuan yang dalam keadaan haid boleh memotong rambutnya kerana perbuatan Aishah yang menyikat rambut pada kebiasaannya membawa kepada gugur atau tercabutnya rambut.

Ibn Hajar al-Haytami turut menyebut dalam kitabnya bertajuk Tuhfat al-Muhtaj: “Mengikut nas Mazhab (al-Syafii), perempuan yang haid itu dibenarkan memotong kuku dan rambut”.

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, 1/382 ) maka beliau menjawab : “ Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu : “ buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “ maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi)..justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.”

Tiada sebarang halangan untuk memotong kuku secara junub. Pandangan ini juga datang dari tokoh ulama Tabien iaitu Ato’ bin Abi Rabah. ’Ata disebut pernah menyatakan seseorang boleh melakukannya dalam keadaan junub, malah dalam keadaan junub dan tidak berwuduk (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Sebagai makumat tambahan, kemestian menanam rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam. Wallahu a’lam

859. Soalan : Apakan tanda-tanda taubat kita di terima oleh Allah SWT.?

Jawapan : 

Kita tak tahu samaada taubat kita di terima oleh Allah SWT atau pun tidak kerana Allah SWT sendiri merahsiakan perkara tersebut. Tetapi secara lahiriah kita boleh mengenal pasti tanda-tandanya sebagai petunjuk daripada Allah SWT. Tanda-tanda Taubat Diterima Allah

Bagaimanakah kita hendak mengetahui taubat kita telah diterima Allah atau tidak? Maka jawabnya, ini adalah urusan Allah, kita tidak berupaya menentukannya,...tetapi kita boleh melihat pada tanda-tandanya iaitu:

1. Bagi hamba-hamba yang bertaubat itu bila ia merasakan di dalam dirinya masih ada dosa-dosa yang masih belum terhakis.

2. Hatinya lebih tenteram dan suka mendekati orang-orang yang solih dari mendekati mereka-mereka yang fasik.

3. Bila ia merasakan di dalam dirinya telah hilang perasaan gembira, sebaliknya sentiasa datang perasaan sedih kerana takutkan azab Allah.

4. Bila ia melihat pada dirinya yang sentiasa sibuk dengan menunaikan kewajipan terhadap Allah sebaliknya sedikitpun ia tidak sibuk meguruskan rezekinya yang telah dijamin oleh Allah.

5. Sungguhpun sedikit rezaki yang ia dapat di dunia ini namun ia tetap melihatnya banyak, tetapi walaupun banyak amalan untuk akhirat yang telah dikerjakannya namun ia tetap merasa sedikit.

6. Bila ia melihat pada dirinya yg sentiasa menjaga lidah dan ucapannya, sering bertafakur dan selalu berada di dalam keadaan sedih dan menyesal.
Nabi Muhammad SAW berkata kepada para sahabatnya, “Tahukah kalian siapakah orang yang benar-benar bertaubat?” Para sahabat menjawab, “Allah Ta’ala dan Rasul-Nya lebih mengetahui” Maka bersabdalah Nabi Muhammad SAW:

- “Barang siapa bertaubat sedang ia tidak mempelajari ilmu, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak bertambah tekun ibadahnya, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak berusaha membuat musuh-musuhnya ridha, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak mengubah pakaian dan perhiasannya, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak mengganti sahabat-sahabatnya, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak mengubah akhlaknya, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak melipatkan kasur dan tikarnya, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

- Barang siapa bertaubat sedang ia tidak menyedekahkan kelebihan dari apa yang di tangannya, maka ia bukanlah orang yang bertaubat

Apabila tanda-tanda ini telah tampak nyata pada diri seorang hamba, maka ia telah benar-benar bertaubat!”

( Hadist Nabi Muhammad SAW dari Abdullah bin Mas`ud ra. )

Kesimpulannya, tanda-tanda taubat diterima Allah SWT :
1) semakin seronok beribadat, semakin benci maksiat
2) diri menjadi semakin baik
3) jiwa semakin tenang
4) semakin tekun membaiki diri

Wallahu a'lam

860. Soalan : Saya nak buat pertanyaan bolehkah seseorang itu mengaku dirinya berdaulat sedangkan dia hanya orang biasa dan kemungkinan ada sedikit bau-bau bacang dengan kerabat raja, adakah dia juga boleh menetapkan hukuman kepada seseorang contohnya begini " Saya adalah keturunan berdaulat, diatas keceluparan kata-kata kamu akibat buruk akan berlaku dengan keberkatan Allah, jangan sampai anakmu menderita atas keceluparan dari mulutmu" Sila beri pencerahan ya ustaz. Terimakasih.

Jawapan : 

Tidak ada kedaulatan yang paling tinggi melainkan kedaulatan Allah SWT. Allah SWT tak pandang keturunan seseorang, kekayaan harta benda dan kepandaian seseorang, kemulian seorang hamba adalah dengan nilai takwanya kepada Allah SWT. 

Firman Allah SWT maksudnya : “Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Surah Al-Hujurat ayat 13) 

Allah tidak menilai seseorang berdasarkan rupa paras, harta atau kedudukan, sebaliknya takwa menjadi asas penilaian Allah terhadap kualiti seseorang insan. Allah juga menyebut bahawa takwa sebagai sebaik-baik bekalan yang perlu disediakan oleh manusia untuk bertemu denganNya di akhirat kelak. Tiada bekalan lain yang setanding dengan takwa. Firman Allah SWT maksudnya : “Sediakanlah bekalan,sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa” (SurahAl-Baqarah ayat 197) 

Di samping itu, takwa juga menjadi pakaian terbaik untuk perhiasan hidup manusia di dunia ini kerana orang yang bertakwa bukan sahaja mulia di sisi Allah SWT tetapi mereka juga akan dihormati oleh manusia kerana ketinggian akhlak dan keperibadian mulia. 

Firman Allah SWT : “Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan, dan takwa ialah sebaik-baik pakaian untukmu” (Surah Al-Araf ayat 26)

No comments:

Post a Comment