Saturday, November 8, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 182 ( Kawin Paksa, Dagu Wanita Bukan Aurat, Air Mustakmal, Was-was Ketika Berwuduk, Khauf dan Rajak.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 182 adalah menjelaskan persoalan kawin paksa, dagu wanita bukan aurat, air mustakmal, was-was ketika berwuduk, khauf dan rajak.

866. Soalan : Ustaz....macamana kalau orang kena ugut kahwin dengan lelaki yang tidak disukai wanita tersebut sedangkan wanita tersebut nak kahwin dengan lelaki yg dia sayang. Minta pendapat ustaz?

Jawapan : 

Abu Hurairah radhiallahu anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

لَا تُنْكَحُ الْأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ وَلَا تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ أَنْ تَسْكُتَ

“Tidak boleh menikahkan seorang janda sebelum dimusyawarahkan dengannya dan tidak boleh menikahkan anak gadis (perawan) sebelum meminta izin darinya.” Mereka bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana mengetahui izinnya?” Baginda menjawab, “Dengan ia diam.” (HR. Al-Bukhari no. 5136 dan Muslim no. 1419)

Dari Ibnu Abbas radhiallahu anhuma bahawasannya Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا وَالْبِكْرُ يَسْتَأْذِنُهَا أَبُوهَا فِي نَفْسِهَا وَإِذْنُهَا صُمَاتُهَا

“Seorang janda lebih berhak atas dirinya daripada walinya, sedangkan perawan maka ayahnya harus meminta persetujuan dari dirinya. Dan persetujuannya adalah diamnya.” (HR. Muslim no. 1421)

Dari Khansa’ binti Khidzam Al-Anshariyah radhiallahu anha:

أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ ثَيِّبٌ فَكَرِهَتْ ذَلِكَ فَأَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَدَّ نِكَاحَهَا

“Bahwa ayahnya pernah menikahkan dia -ketika itu dia janda- dengan laki-laki yang tidak disukainya. Maka dia datang menemui Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam (untuk mengadu) maka Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam membatalkan pernikahannya.” (HR. Al-Bukhari no. 5138)

Al-Bukhari memberikan judul bab terhadap hadits ini, “Bab: Jika seorang lelaki menikahkan puterinya sementara dia tidak suka, maka nikahnya tertolak (tidak sah).”

Penjelasan ringkas:

Di antara kemuliaan yang Allah Ta’ala berikan kepada kaum wanita setelah datang Islam adalah bahwa mereka mempunyai hak penuh dalam menerima atau menolak suatu lamaran atau pernikahan, yang mana hak ini dulunya tidak dimiliki oleh kaum wanita di zaman jahiliah. Karenanya tidak boleh bagi wali wanita manapun untuk memaksa wanita yang dia walikan untuk menikahi lelaki yang wanita itu tidak senangi.

Karena menikahkan dia dengan lelaki yang tidak dia senangi berarti menimpakan kepadanya kemudharatan baik mudharat duniawiah maupun mudharat diniah (keagamaan). Dan sungguh Nabi shallallahu alaihi wasallam telah membatalkan pernikahan yang dipaksakan dan pembatalan ini menunjukkan tidak sahnya, karena di antara syarat sahnya pernikahan adalah adanya keridhaan dari kedua calon mempelai.

Akan tetapi larangan memaksa ini bukan bererti si wali tidak punya hak sama sekali dalam pemilihan calon suami wanita yang dia walikan. Kerana bagaimanapun juga si wali biasanya lebih pengalaman dan lebih dewasa daripada wanita tersebut. Oleh itu si wali disyariatkan untuk menyarankan saran-saran yang baik lalu meminta pendapat dan izin dari wanita yang bersangkutan sebelum menikahkannya. Tanda izin dari wanita yang sudah janda adalah dengan dia mengucapkannya, sementara tanda izin dari wanita yang masih gadis cukup dengan diamnya dia, kerana biasanya gadis malu untuk mengungkapkan keinginannya. Tetapi gadis zaman sekarang akan bersuara samaada dia bersetuju atau pun tidak di nikahkan .

867. Soalan : Adakah di bawah dagu wanita di kira aurat?

Jawapan : 

Dagu wanita bukan aurat tetapi bawah dagu wanita adalah aurat. 

Firman Allah S.W.T maksudnya, “…Basuhlah muka-muka kamu…” (Surah Al-Maidah ayat 6)

Firaman-Nya lagi yang bermaksud, “dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka” (Surah An-Nur ayat 31)

Terdapat beberapa hadis yang mewajibkan (Hadis Riwayat Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani dalam Al-Irwa’) agar menyelati janggut dgn wuduk sekiranya janggut itu tebal (air tidak dapat melaluinya). Ini menunjukkan bahawa dagu adalah termasuk dlm daerah muka.

Wahbah Az-Zuhaili mendefinisikan daerah muka; Panjangnya gigi rambut (anak rambut) biasa hingga ke bahagian akhir dagu. Atau dengan kata lainnya antara permulaan dahi sehingga ke bahagian bawah dagu. Hal dagu pula ialah tempat tumbuhnya rambut yang terletak di atas tulang rahang sebelah bawah. Dua tulang rahang ialah dua tulang yang menjadi tempat tumbuhnya gigi bawah seseorang. Lebarnya di antara 2 anak telinga.

Sekiranya dagu tidak termasuk dalam wuduk tentulah ia (membasuh) akan disebut dengan terperinci seperti mana membasuh tangan hingga siku. Firman Allah SWT maksudnya, “dan kedua tanganmu hingga siku.” (Surah Al-Ma’idah ayat 6).

Leher tidak termasuk dalam daerah muka kerana ayat surah an-Nur dan tafsiran Syeikh Muqatil pada surah al-Ahzab bahawa tabarruj itu ialah melepaskan tudung dari kepala dan tidak diikatnya sehingga kalung, leher nampak ke semuanya. Jadi, terdapat garis pemisah leher. Selain leher, disebut sebagai muka.

Persoalan adakah dagu aurat, adalah furuk (pecahan) kepada persoalan adakah muka wanita itu aurat. Kerana syarak tidak menaskan secara terang hukum dagu, tetapi menaskan dalam dalam al-Quran dan sunah hukum berkaitan dengan muka.

Dan hukum dagu adalah hukum muka. 

Hujahnya:

1. Muka darisegi bahasa Arab ialah: daripada hujung dahi sehingga kepada dagu. ataupun dengan kata lain: yg dapat dilihat ketika berhadapan antara satu sama lain. maka tidak syak, dagu juga dilihat apabila kita berhadapan antara satu sama lain.

2. Ibn Umar menyebut: “Bahagian atas daripada dagu, termasuk dalam anggota kepala”. Muwatta’ Malik 3/473 dan disahihkan athar ini oleh Nawawi dalam Majmuk 7/268.
mafhum daripada kalam ini: dagu itu sendiri adalah sebahagian daripada muka.

3. Imam Syafie yg terkenal dengan ilmu lughah menaskan dalam al-Umm 7/242: Bahawa dagu adalah sebahagian daripada muka.

4. Disebut dalam Musu’ah Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Ensklopedia Feqah Islam): Sepakat para ulama mengatakan bahawa dagu adalah sebahagian daripada muka.

KESIMPULAN: Hukum dagu adalah hukum muka tetapi yang dimaksudkan ialah: bahagian dagu yg kelihatan ketika berhadapan antara satu sama lain. manakala bahagian bawah daripada tulang dagu, adalah aurat.

Dagu wanita bukan aurat tetapi bawah dagu wanita adalah aurat yang wajib di tutup. Maksud bawah dagu adalah daging yang tumbuh di antara leher dengan dagu.(bawah rahang gigi)

868.Soalan :  Ustaz mohon pertanyaan?Saya menggunakan bekas air yg ditadah dan digunakan untuk mandi yang airnya terpercik kedalam bekas tersebut dan digunakan untuk mandi hadas. Adakah air didlm bekas tadahan itu dikira air mutlak/mustakmal?
Mohon penjelasan Ustaz.

Jawapan :  

Bilik air yang mempunyai kolah tadahan air jika terpercik air wuduk kita sah di gunakan untuk berwuduk atau mandi hadas Ulama telah membahaskan panjang lebar mengenai hukum penggunaan air mustakmal adakah sah sekiranya di gunakan untuk mengambil wuduk?

Biasanya di dalam kitab-kitab feqah kita akan berjumpa bahawa definasi air mustakmal adalah seperti berikut :

"Air mustakmal adalah air yang suci tetapi tidak menyucikan. Ia adalah air yang telah digunakan untuk mengangkat hadas sama ada hadas yang kecil (berwuduk) atau hadas besar (mandi wajib). Ini bermakna air yang telah dibasuhkan kepada anggota yang wajib sekiranya ditadah semula dan air itu tidak sampai dua kolah, maka air itu dikira sebagai air mustakmal iaitu tidak boleh di buat bersuci. Ia hanya boleh dibuat minum atau makan sahaja atau membasuh benda-benda yang bukan najis. Begitu juga sekiranya air basuhan wajib tertitik ke dalam air yang tidak sampai dua kolah, ia dikira mustakmal."

Kebiasaanya yang menyebabkan air itu tidak suci dan tidak boleh berwuduk dengannya adalah disebabkan ianya telah tercampur dengan unsur-unsur najis. Maka adakah tubuh seorang mukmin itu dianggap sebagai najis sehingga sekiranya terpercik air dari anggota tubuhnya ia boleh menjejaskan kesucian sumber air untuk berwuduk? Untuk menjawab persoalan ini mari kita lihat sebuah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh:

Bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah, sedangkan waktu itu dia di dalam keadaan junub. Maka dia pun menyelinap pergi dari Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakanlah oleh Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam kemana dia tadi lalu dijawabnya bahawa dia datang sedang di dalam keadaan junub dan tidak hendak menemaninya di dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: “Maha Suci Allah, orang mukmin itu tidak mungkin najis.” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari, no: 283)

Imam al-Bukhari rahimahullah memasukkan hadis ini di dalam bab “Keringat Orang Junub dan Seorang Muslim Tidak Najis.” 

Jelas melalui hadis di atas, ia membuktikan tubuh seorang mukmin itu bukanlah najis walaupun di dalam keadaan berjunub. Oleh itu tidak ada alasan untuk menyatakan bahawa sekiranya terpercik air dari tubuh seorang mukmin lalu jatuh ke dalam bekas air ianya akan menghilangkan kesucian air tersebut. Jelas apabila barang yang suci bertemu barang yang suci ianya tidak akan memberi pengaruh apa-apa.

Tambahan lagi menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah:

Ibnu Hibban (rahimahullah) telah menyebutkan hal ini di dalam satu bab yang tersendiri di dalam kitabnya, sebagai bantahan terhadap orang yang berpendapat bahawa orang yang junub dan berniat mandi wajib, lalu air percikan mandi wajibnya itu jatuh ke dalam bekas maka airnya menjadi najis. (Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 469.)

Nabi SAW tidak mengharamkan penggunaan air mustakmal untuk berwuduk.

Terdapat beberapa riwayat yang sabit daripada Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam bahawa air mustakmal itu adalah suci dan boleh digunakan untuk berwuduk.

Telah diriwayatkan dari Humran (hamba abdi ‘Uthman), bahawasanya dia melihat ‘Uthman bin Affan minta dibawakan sebuah bejana, lalu menuangkan air dari bejana itu ke telapak tangannya dan mencuci keduanya tiga kali. Kemudian dia memasukkan tangan kanannya ke dalam tempat wuduk itu (bejana) lalu berkumur-kumur seraya memasukkan air ke hidung serta mengeluarkannya. Setelah itu dia membasuh mukanya tiga kali…Kemudian dia (‘Uthman bin Affan) berkata: “Aku melihat Rasulullah berwuduk sebagaimana wuduk ku ini…” 
(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 164.)

Dari hadis ini jelas kita melihat bahawa ‘Uthman al-Affan radhiallahu 'anh telah mencelup tangannya ke dalam sebuah bejana berisi air dan terus menggunakan air tersebut untuk membasuh anggota wuduk yang lain. Sekiranya air mustakmal itu tidak suci untuk berwuduk pasti dia akan menyuruh Humran untuk menggantikan air di dalam bejana tersebut kerana ianya tidak sah lagi untuk digunakan untuk berwuduk. Lantas ‘Uthman radhiallahu 'anh mensabitkan perbuatannya kepada ajaran Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

Rubaiyi’ binti Mu’awwidz mengkhabarkan bahawa dia melihat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berwuduk. Katanya: “Baginda menyapukan kepalanya dengan air yang tersisa dari kedua belah tangannya.” (Hadis Riwayat Imam Abu Dawud no: 110).

Hadis ini secara jelas menunjukkan bahawa Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam membasuh kepalanya dengan lebihan air yang ada ditangannya tanpa mengambil sumber air yang baru. Jika air mustakmal itu tidak menyucikan tentu baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan mengambil air yang baru untuk menyapu kepalanya.

Dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, dia berkata: "Aku pernah mandi janabah bersama Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dan tangan kami bergiliran memasuki bejana itu. - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 261).

Ukuran jumlah air dalam bejana ini diterangkan oleh ‘Aisyah radhiallahu 'anha melalui sebuah riwayat lagi.

Daripada ‘Aisyah dia berkata: Aku mandi bersama Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari satu bejana dari sebuah bejana yang disebut al-Faraq. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari no: 250).

Ulama berbeza pendapat tentang ukuran al-Faraq. Ada yang menyatakan ianya 16 rithil atau 3 sha’ (lebih kurang 6.5kg atau 8.25 liter) air dan lain-lain. Apa pun jua ukuran tersebut ianya tetap kurang dari ukuran dua kolah. Apa yang jelas bagi kita Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mandi wajib bersama ‘Aisyah dan mereka berdua telah mencelupkan tangan mereka ke dalam bejana atau al-Faraq tersebut tanpa menggantikannya dengan air yang baru. Ini menunjukkan air mustakmal tetap suci untuk digunakan untuk bersuci.

Selanjutnya Imam al-Bukhari rahimahullah meriwayatkan sebuah athar secara mu’allaq:

“Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh memerintahkan keluarganya untuk berwuduk dengan sisa air yang dia pakai bersiwak (membersihkan gigi dengan kayu sugi)” - Athar Riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Wudhu’, Bab “Mempergunakan Sisa Air Wuduk Orang Lain.”

Mengikut amalan kebiasaan di Malaysia ternyata sisa air yang dipakai untuk mencelupkan kayu siwak/sugi adalah termasuk dalam jenis air mustakmal yang tidak boleh lagi digunakan untuk berwuduk. Ternyata Jarir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh seorang sahabat yang hidup sezaman dengan Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menyelisihi amalan yang lazim diamalkan di Malaysia ini.

Abu Juhaifah berkata: “Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam keluar menemui kami waktu tengahari, lalu dibawakan air kepada beliau untuk berwuduk maka manusia mengambil sisa air wuduknya, kemudian menyapukan ke badan mereka..” (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari no: 187)

Berkenaan dengan hadis ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Di sini terdapat keterangan yang sangat jelas mengenai sucinya air mustakmal.” - Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, Jilid 2, ms. 196

Apa yang dapat kita simpulkan dari riwayat-riwayat di atas adalah air mustakmal itu suci lagi menyucikan tanpa timbulnya keraguan. Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

"Hukumnya (air mustakmal) suci lagi menyucikan sebagaimana halnya air mutlak tanpa berbeza sedikitpun. Hal itu adalah disebabkan asalnya yang suci, sedangkan tidak dijumpai satu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu. - Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 1, ms. 36"

Benarkan Imam as-Syafi'i menolak penggunaan air mustakmal dalam wuduk?

Merujuk kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang al-Thohaarah (bersuci) jilid 1, halaman 32 hingga 44, ketika beliau membicarakan hukum penggunaan air yang kurang dari dua kolah, ternyata perbincangan beliau lebih berkisar tantang apabila air yang kurang dari dua kolah tersebut bercampur dengan najis. Maka di dalam keadaan ini hukum air tersebut adalah tidak menyucikan dan tidak sah digunakan untuk berwuduk. Sedangkan bagi air yang umat Islam di Malaysia definasikan sebagai mustakmal maka beliau menganggap ianya suci lagi menyucikan. Telah tertulis di dalam kitab al-Umm:

Al-Rabi’ berkata dan itu adalah kata al-Syafi’i bahawa: “Apabila seorang meletakkan air, lalu dia mengerjakan sunat dengan bersugi dan dia membenamkan sugi itu di dalam air, kemudian dia mengeluarkannya, nescaya dia dapat berwuduk dengan air itu. Kerana yang tedapat pada sugi itu adalah air liurnya. Dan kalau dia meludah atau berdahak atau berhingus dalam air, nescaya tidak menajiskan air itu. Binatang ternak itu sendiri minum di dalam air dan kadang-kadang bercampuran air liur dengan air maka tidaklah menajiskan air kecuali binatang itu anjing dan babi.

Begitu juga kalau berpeluh, lalu peluhnya jatuh dalam air, nescaya tidak menajiskan. Kerana keringat manusia dan binatang ternak itu tidak najis. Dan sama sahaja dari tempat manapun peluh itu, dari bawah bahu atau lainnya. - Al-Imam al-Syafi’i rahimahullah, Al-Umm (Kitab Induk), jilid 1, ms. 38.

Selarilah pandangan Imam al-Syafi’i rahimahullah dengan hadis-hadis yang sabit dari Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam tentang keabsahannya menggunakan air mustakmal untuk berwuduk.

Berkenaan dengan hukum penggunaan air mustakmal ini Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata:

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa di sana ada air yang suci namun tidak menyucikan yang mereka sebutkan dengan air mustakmal…Namun tidak ada dalil manapun yang menunjukkan akan kebenaran pendapat ini bahkan dalil sebaliknya (sucinya air mustakmal) menunjukkan dengan sangat jelas. - Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Fikih Thaharah, ms.52.

Pengarang Kitab Shahih Fikih Sunnah pula berkata:

Dalam hal ini (penggunaan air mustakmal) para ulamak berbeza pendapat, apakah ia tetap suci atau tidak? Pendapat yang paling kuat menyatakan bahawa ia masih tetap dianggap air yang dapat menyucikan selagi tidak keluar dari nama air mutlak dan tidak bercampur dengan suatu najis yang sampai mempengaruhi salah satu sifatnya (iaitu warna, bau dan rasa). Ini adalah pendapat Ali bin Abu Thalib, Ibnu ‘Umar, Ibnu Umamah, segolongan ulama salaf, yang masyhur dari mazhab Malik, salah satu riwayat daripada Syafi’i dan Ahmad, pendapat Ibnu Hazm, Ibnu Mundzir dan pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam (Ibnu Taymiyyah). - Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim, Shahih Fikih Sunnah, jilid 1, ms. 160.

Semoga dengan penjelasan yang serba ringkas ini akan dapat menghilangkan keraguan tentang kesucian air mustakmal untuk digunakan ketika berwuduk. Maka air yang di dalam baldi, tong drum, kolah dan sebagainya yang biasa kita gunakan di rumah untuk menyimpan air adalah dibenarkan untuk dipergunakan untuk berwuduk walaupun telah terpercik dengan air dari badan kita. Air di dalam bekas tersebut adalah sama hukumnya dengan air mutlak selagi tidak bercampur dengan najis atau berubah bau, warna dan rasanya. Wallau a'lam.

869.Soalan : Saya selalu was-was semasa mengambil wuduk dan ketika sedang solat? Macamana saya nak atasi was-was ini ustaz mint pencerahan?

Jawapan : 

Perasaan was-was sering berlaku semasa kita sedang melakukan ibadah kepada Allah SWT.

Was-was samaada batal wuduk atau tidak, was-was semasa mengambil wuduk, semasa takbir untuk bersolat dan sedang bersolat terlupa berapa rekaat. Semua jenis was-was ini adalah datangnya daripada gangguan syaitan dan iblis.

Antara sebab utama berlakunya was-was; tidak memahami atau berpuas hati dengan praktikal Nabi SAW yang mudah dan senang dalam ibadah. Was-was wujud kerana terlalu melayan gangguan perasaan.

Kata al-Imam Ibn al-Qaiyyim: “Tanpa syak lagi sesungguhnya syaitan adalah punca kepada was-was. Mereka yang was-was mentaati syaitan, menyahut seruannya dan mengikuti perintahnya. Mereka berpaling daripada sunnah dan jalan baginda sehinggalah seseorang mereka menganggap apabila dia berwuduk sama seperti wuduk Rasulullah SAW, atau mandi seperti baginda masih tidak bersih dan tidak hilang hadasnya. Jikalau tidak disebabkan dia diberikan kemaafan kerana kejahilannya, maka tindakan itu dianggap menentang Rasulullah SAW”

Sahabat Rasulullah SAW iaitu ‘Utsman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu,“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah dan rancu”. Rasulullah SAW. menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT.. Akupun melakukan hal itu dan Allah SAW menghilangkan gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim)

Masalah was-was yang dijelaskan di atas ini berlaku pada semua orang. Bezanya ialah kadar was-was yang dihadapi. Sesetengah orang turut terjebak dengan mainan syaitan, tetapi kebanyakan orang berupaya mengatasinya dengan mudah.

Maksudnya, Nabi SAW mengajar agar seseorang yang merasa terbatal wuduknya secara was-was atau tidak pasti tidak berhenti dari solat sehingga beliau benar-benar yakin terbatal. Solatnya tetap sah, mainan perasaan tidak diambil kira. Termasuklah dalam hal ini mereka yang terasa macam terkeluar air kencing, tetapi tidak pasti samada hanya perasaan atau benar-benar berlaku, maka solat masih dianggap sah. Melainkan dia yakin tanpa ragu bahawa angin atau air kecil benar-benar telah terkeluar.
Untuk mengatasi was-was ini ulama' Islam telah memberi panduan hukum supaya kita segera mengatasi atau menghilangkan was-was tersebut.

Pertama : Jika asalnya sudah mengambil wuduk jika timbul was-was samaada wuduk itu batal atau tidak maka berpegang pada hukum asal iaitu masih ada wuduk lagi.

Kedua : Bagi mereka yang menghadapi masalah semasa mengambil wuduk, orang yang berkenaan hendaklah faham dan sedar bahawa apa yang berlaku adalah akibat was-was syaitan, dan jangan mengulangi membasuh anggota wuduk lebih daripada tiga kali. Selagi seseorang itu mengulangi basuhan pada anggota wuduk, maka was-was yang dialami akan menjadi lebih hebat lalu akhirnya keadaan menjadi lebih gawat.

Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda maksudnya : "Bagi wuduk itu ada satu kumpulan syaitan dinamakan al-Wilhan, maka berhati-hatilah."

Akibat daripada gangguan makhluk jenis ini, seseorang itu boleh terganggu akibat was-was yang menyelinap dalam dirinya, menyebabkan orang yang berkenaan mengulangi bacaan niatnya berkali-kali, membasuh anggota wuduk sebagainya. Terasa juga air tidak sampai pada celah-celah kuku dan sebagainya. Semuanya itu berlaku akibat daripada was-was syaitan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk hingga basah dan mengambil masa yang begitu lama.

Ketiga : Jika semasa takbir untuk memulakan solat ada gangguan syaitan maka bacalah surah an-Nas, minta perlindungan Allah SAW supaya terhindar daripada gangguan syaitan. Yakin niat yang dilakukan itu betul dan sah dan jangan rasa ragu-ragu. Nama syaitan yang menganggu adalah Khinzab.

Saat mulai membaca takbiratul ihram “Allahu Akbar” , ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ia langsung mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, terkadang sampai imamnya hampir rukuk.

Ibnul Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa dan tidak nyaman"

Keempat : Terlupa bilangan rekaat semasa solat.

Jika semasa sedang solat terlupa samaada sudah dilakukan rekaat ke 3 atau ke 4, maka perlu dianggap baru rekaat ke3 dan tambah satu rekaat lagi dan selepas tahyat akhir sujud sahwi dua kali sujud.

Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW. telah bersabda, “Jika salah seorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Abu Hurairah r.a berkata, “Rasulullah SAW. bersabda maksudnya, “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muadzin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamat dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia solat” (Hadis Riwayat Bukhari)

Kelima : Melihat kekiri dan kanan akibat godaan syaitan.

Orang yang melihat ke kiri atau ke kanan, itulah akibat godaan syaitan penggoda. Kerana itu, setelah takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik. iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan tidak mudah dicuri oleh syaitan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah SAW. tentang hukum melihat ketika solat”. Rasulullah SAW. menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba” (Hadis Riwayat Bukhari)

Keenam : Menguap ketika solat adalah daripada syaitan .

Rasulullah SAW. bersabda, “Menguap ketika solat itu dari syaitan. Kerana itu bila kalian ingin menguap maka tahanlah seboleh mungkin” (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah SAW. bersabda, “Adapun menguap itu datangnya dari syaitan, maka hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ha… berarti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ketujuh : Rasa seperti buang angin.

Adapun rasa ‘keluar angin’ (kentut) tetapi tidak pasti atau tidak yakin bahawa betul-betul keluar atau hanya perasaan sahaja, maka itu tidak membatal wuduk dan solat. Nabi SAW mengajar kita agar perasaan was-was seperti ini tidak diambil kira. Sabda Nabi SAW maksudnya, “Seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW bahawa dia merasa sesuatu semasa dalam solatnya, apakah dia patut berhenti?. Jawab Nabi SAW: “Jangan sehinggalah mendengar bunyi (kentut) atau mendapati bau (kentut)”. (Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Nabi SAW maksudnya, “Apabila salah seorang dari kalian bimbang atas apa yang dirasakan di perutnya apakah telah keluar sesuatu darinya atau tidak, maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin telah mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim)

Kelapan : Merasai air kencing terkena pakaian.

Bagi mengelakkan was-was yang merasai air kencing terkena pakaian atau masih terkeluar dari kemaluan, dicadangkan agar selepas membuang air kecil, diambil air dan direnjis pada pakaian yang berhampiran. Tujuannya, agar jika ternampak apa-apa kesan air, maka anggaplah itu air renjisan tadi.

Al-Imam Ahmad telah ditanya oleh seorang lelaki yang selepas berwuduk masih merasa berhadas. Kata al-Imam Ahmad: “Ambil air dalam tapak tangan dan renjis pada kemaluanmu dan jangan peduli lagi, kerana itu menghilangkan syak insya Allah”.

Cadangan al-Imam Ahmad ini berteraskan hadis: “Bahawa Nabi SAW kencing, kemudian berwuduk dan merenjiskan air pada kemaluan baginda” (Hadis Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

Nabi SAW melakukan perbuatan tersebut sebagai panduan kepada kita.

Bagi orang yang rasa berdebar-debar, tidak menentu dan menjadi bingung, terasa sedih dan ada kalanya lupa bacaan-bacaan yang selalunya diingati ketika solat, orang yang seumpama ini sebenarnya mengalami was-was syaitan pada peringkat yang tinggi, bukan lagi seperti yang dialami oleh orang biasa. Besar kemungkinan ia mengalami gangguan iblis dan syaitan yang mengganggu rohnya.

Was-was adalah berpunca dari kurang faham sifat Islam ini. Sedang Nabi SAW memberitahu kita: “Agama itu mudah. Tiada seorang yang memberat-beratkannya melainkan dia menjadi susah. Maka bersederhanalah, dekatilah yang tepat dan gembirakanlah mereka”
(Hadis Riwayat al-Bukhari).

Oleh itu marilah sama-sama kita jauhi diri kita daripada perasaan was-was yang di bisikkan oleh syaitan. Sentiasalah mengingati Allah SWT dan sering membaca do'a perlindung daripada gangguan syaitan, sesungguhnya syaitan itu lemah dan tidak berupaya menganggu kita jika hati dan jiwa kita benar-benar yakin kepada Allah SWT. Wallahu a'lam.

870. Soalan : Saya pernah dengar setiap ibadat yang kita lakukan belum tentu diterima..tapi kita kena yakin dengan setiap ibadat yang kita buat diterima...
caman tu ustaz. Boleh tolong terangkan?

Jawapan : 

Seorang mukmin yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT perlulah ada dua sifat ini terhadap Allah Azzawajalla iaitu perasaan khauf ( takut) dan rajak (mengharap).

Khauf (takut) di saat kematian tidak mendapat husnul khatimah dan takut kepada seksaan hari akhirat iaitu ketika diPadang Mahsyar, Mizan, Siratul Mustakim dan seksaan api neraka yang amat dahsyat dan menyeksakan.

Rajak (mengharap rahmat) dan kasih sayang Allah SWT semoga terpilih disaat kematian mendapat husnul khatimah dan termasuk di dalam golongan orang-orang muttaqin dan solihin dihari akhirat nanti dan diizinkan memasuki syurga Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zumar, ayat 9 :

يَحْذَرُ الْآَخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ

" Takutkan akhirat (azab di sana) dan mengharapkan rahmat Tuhannya "

Dari Anas r.a berkata, Suatu hari Rasulullah SAW menemui seorang lelaki yang sedang nazak, Rasulullah SAW berkata kepadanya : "Bagaimanakah keadaan kamu ?"

Lelaki itu menjawab : " Aku takut (khauf) dan aku berharap (rajak) "

Maka Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya : "Tidak berhimpun di hati seorang hamba seperti keadaan ini, melainkan Allah azza wajalla akan memberikan apa yang diharapkannya, dan memeliharanya dari apa yang ditakutkan." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa untuk menjadi hamba Allah SWT yang diredai-Nya maka perlu ada pada diri seorang mukmin itu dua sifat iaitu :

Pertama : Khauf (takut).

Kedua : Rajak (mengharap)

Huraiannya :

Pertama : Khauf (Takut)

Khauf membawa erti takut kepada Allah SWT atau pun perasaan bimbang. Ianya merupakan suatu sifat atau perasaan yang datang dalam diri seseorang mukmin.

Firman Allah SWT maksudnya : "Sesungguhnya orang yang berhati-hati kerana takut (khasyah) Rabb mereka. Dan orang-orang yang beriman terhadap ayat-ayat Rabb mereka. Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan (sesuatupun) dengan Rabb mereka, Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Rabb mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan, dan merekalah orang-orang yang segera memperolehnya." (Surah al-Mukminun ayat 57-61)

Di dalam kitab Musnad Imam Ahmad dan Sunan at-Tirmidzi dari Aisyah r.ha yang berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah tentang ayat ini. (Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut) (Al-Mukminun: 60), apakah mereka adalah orang-orang yang berzina, minum khamr dan mencuri?"

Baginda menjawab, "Tidak wahai (Aisyah) anak Abu Bakar As Siddiq, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang berpuasa, melaksanakan solat, bersedekah dan mereka khawatir (amalan mereka) tidak diterima."

Al-Hasan berkata, "Mereka telah beramal demi Allah dengan semua ketaatan-ketaatan dan mereka telah bersunggah-sungguh padanya, serta mereka takut (seandainya amalan-amalan mereka) ditolak. Sesungguhnya seorang mukmin itu menggabungkan antara berbuat baik dengan takut (tidak diterima amalannya), sedangkan orang munafik menggabungkan antara berbuat buruk dengan (merasa) aman (dari seksa Allah)."

Rasa khauf atau takut kepada Allah SWT ini wajib ditanam di dalam diri sebab Allah Maha Hebat seksaan~Nya kepada orang-orang yang menderhakai~Nya. Orang yang derhaka ialah orang yang melanggar larangan Allah dan meninggalkan suruhan Allah.

Dengan adanya rasa takut kepada Allah, seorang mukmin akan berusaha untuk mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan Allah SWT. Lantas, perbuatan amal kebajikan yang dilakukan atas dasar khauf, bukanlah sebenarnya mengharapkan pahala dari Allh SWT, sebaliknya adalah untuk mengharapkan keampunan Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

Rasa khauf atau takut yang dituntut ialah yang menghalang seseorang dari melakukan dosa. Imam Ibnu Abil `Izzi al Hana berkata, "Seorang hamba wajib untuk takut dan berharap (kepada Allah), dan sesungguhnya takut yang terpuji dan yang sebenarnya adalah yang menghalangi pemiliknya dari apa-apa yang diharamkan oleh Allah. Apabila (takut) itu melewati batas, dikhawatirkan dia terjatuh pada sikap putus asa."

Sikap takut yang tidak diimbangi dengan rasa harap, akan menyebabkan seseorang berputus asa dari rahmat Allah.
20 hrs · Like · 3

Abu Basyer Kedua : Rajak (Mengharap)

Firman Allah Taala, “…Janganlah kamu berputus asa dari mengharap rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari mengharap rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” (Surah Yusuf ayat 87)

Allah SWT. berfirman:

قُلْ يَاعِبَادِي الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنفُسِهِمْ لاَتَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللهِ إِنَّ الله
َ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ {53}

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas (melakukan dosa) terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu terputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az Zumar ayat 53)

Rajak ialah rasa pengharapan. Mengharapkan kepada Allah. Harapan seorang makhluk kepada Allah SWT sebagai Pencipta. Mengharapkan kurniaan Allah di dunia mahu pun di akhirat. Rasa rajak mesti mengiringi rasa khauf. Rasa pengharapan mesti mengiringi rasa takut. Agar Perasaan takut tidak menjerumuskan seseorang ke lembah putus asa. Begitu juga rasa harap mesti diringi dengan rasa khauf, agar seseorang mukmin tidak terlalu yakin dengan amal perbuatan. Tidak terlalu yakin akhirnya menjerumuskan diri ke arah bongkak, ujub, takbur dan riyak.

Demikianlah bahawa khauf (takut) terhadap seksa Allah SWT di akhirat, di saat berdiri di hadapan mahkamah Rabbul `Alamin dan takut apabila amalan-amalan kebaikannya tidak diterima oleh Allah SWT itu juga harus diiringi dengan rajak (berharap) terhadap rahmat dan ampunan-Nya serta diterimanya amalan-amalannya di sisi Allah SWT. Sebagaimana banyak sekali nash-nash yang menggabungkan antara khauf dan rajak di dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya.

Tujuan di dalami bab ini adalah wajib atas seorang hamba untuk takut terhadap Allah SWT dan berharap kepada-Nya. Jika hamba tersebut melihat kepada dosa-dosanya, dan kepada keadilan Allah serta kerasnya seksaan Allah, dia takut terhadap Rabbnya. Jika dia melihat kepada kurnia-Nya yang umum dan yang khusus dan kepada ampunan-Nya yang luas, dia akan berharap. Jika dia dibimbing untuk menjalankan ketaatan, dia berharap kepada Rabbnya mendapatkan kesempurnaan nikmat tersebut, iaitu diterimanya (amalan) ketaatannya, dan takut (amalan ketaatannya) ditolak disebabkan adanya kekurangan.

Jika dia mendapatkan ujian (iaitu) dengan berbuat maksiat, dia berharap kepada Rabbnya supaya taubatnya diterima dan kemaksiatannya dihapuskan. Dia juga takut mendapatkan hukuman atau seksa atas kemaksiatan itu disebabkan lemahnya taubat dan kecenderungan kepada dosa. Di saat mendapatkan kenikmatan dan kesenangan, dia berharap kepada Allah supaya hal itu tetap dan bertambah serta mendapatkan bimbingan atau taufiq untuk mensyukurinya. Dan dia takut hilangnya hal tersebut disebabkan kurangnya syukur.

Maka seorang mukmin muwahhid (yang beriman lagi bertauhid) di dalam seluruh keadaannya selalu bersifat takut (khauf) dan berharap (rajak). Inilah yang wajib dan inilah yang akan bermanfaat, dan dengannyalah kebahagiaan akan terjadi. Yang ditakutkan atas seorang hamba adalah dua akhlak yang buruk, iaitu rasa takut menguasai dirinya sehingga dia putus asa dari rahmat Allah dan sikap berharap yang membawanya sampai merasa aman dari azab neraka Allah dan seksa-Nya.

Abu Ali ar-Rudzabari berkata, Khauf (takut) dan rajak (berharap) seumpama dua sayap burung, apabila keduanya sempurna, maka sempurnalah burung itu dan sempurnalah terbangnya. Dan apabila satu dari kedua (sayap) nya kurang, maka terjadilah kekurangan padanya (burung itu). Dan apabila kedua (sayap)nya tiada. jadilah burung itu di ambang kematian.

Walaubagaimanapun, ketika di saat ambang kematian, hendaklah seseorang tersebut meletakkan rasa rajak seratus peratus akan keampunan Allah. Berbaik sangka dengan Allah, agar dihujung kalimah kita nanti, Allah mengampuni diri kita dan memasukkan kita di dalam golongan kekasih Allah SWT.

Menurut Imam Abu Bakr al-Warraq (guru Imam al-Ghazali) : "Apabila engkau dengar perihal kaum kafir akan berkekalan di dalam neraka, maka jangan engkau, kerana engkau orang Islam, berasa aman dan terselamat atau terlepas daripada pembalasan seperti orang-orang kafir itu. Sebabnya, urusanmu dan dirimu itu masih di dalam ancaman bahaya. Engkau belum tahu bagaiaman keadaanmu di hujung hayatmu nanti dan betapa nasib dirimu dalan suratan di Lauhul-Mahfudz. Sebab itu, janganlah berasa sedap hati dengan masa gemilangmu sekarang. Di sebalik kegemilangan itu berkemungkinan besar tersembunyi kecelakaan".

Imam al-Ghazali pula berkata, "Jangan terpesona, terpedaya dan berasa terlalu sedap hati dan aman dengan nikmat Islam dan nikmat terlepas daripada kemungkaran, kerana kelurusan di pangkal jalan tidak semestinya lurus juga di hujung jalan. Ambillah iktibar daipada kisah-kisah di kalangan golongan 'abidin dahulu yang dengan tidak semena-mena menjadi sesat di hujung jalan, lalu ditimpa 'kecelakaan' pada saat terakhir hayatnya".

Oleh itu marilah sama-sama kita merasa takut dengan azab dan seksaan Allah SWT kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan, pada masa yang sama kita mengharapkan rahmat dan belas kasihan Allah SWT mengampunkan semua dosa-dosa kita, menerima taubat kita kepada-Nya sebagai hamba yang dhaif dan banyak kesalahan. Mengharapkan pengampunan dan reda-Nya samaada di dunia dan akhirat.

Tanda seorang hamba itu takut kepada Allah SWT dia banyakkan beristighfar supaya terampun segala dosa-dosanya : "Astaghfirullahal Adzim aladzi laa ilaha illa huwal hayyul qayyum wa atubu ilaihi"

Dari Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi kesenangan seorang yang menemukan kembali tiba-tiba untanya yang telah hilang daripadanya di tengah hutan.” (Bukhari – Muslim)

Doa Taubat :

"Tuhanku aku tidak layak untuk syurga-Mu, tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa neraka-Mu, dari itu kurniakanlah ampunan kepadaku, ampunkanlah dosaku, sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar........"

Tanda seorang hamba itu mengharapkan rahmat Allah SWT dia banyak berdoa supaya di kurniakan Allah SWT kebaikan di dunia dan akhirat dan terpelihara daripada seksaan api
neraka.

Firman Allah SWT maksudnya : “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan jika sekiranya Engkau tidak mengampunkan kami di atas kezaliman yang telah kami lakukan, dan jika sekiranya Engkau tidak memberi rahmat kepada kami, maka nescaya kami akan termasuk dikalangan orang-orang yang rugi di sisi Allah SWT.”…(Surah al-Araaf ayat 23)

Ayat ini dirakam Allah ketika Nabi Adam a.s berdoa dan merintih apabila dia dikeluarkan dari syurga. Dari doa ini kita boleh lihat betapa pentingnya yang kata “rahmat” Allah Itu. Sehingga disebut rugi sekiranya kehidupan kita tidak dirahmati oleh Allah SWT.

Sebagimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud :“Dan di antara mereka ada yang berdoa ; ‘Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa api Neraka.” (Surah al-Baqarah ayat 201)

Doa mohon perlindungan daripada keburukan :

"Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih, Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung padaMu dari hati yang tidak khusyuk, doa yang tidak didengar, jiwa yang tidak merasa puas, dan ilmu yang tidak bermanfaat. Aku memohon perlindunganMu daripada empat macam keburukan ini."

Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment