Wednesday, December 3, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 195 (Sifat-sifat Orang Terpilih Mendapat Mimpi Yang Baik, Hari Kiamat Tiupan Sangkakala, Darah Nyamuk Najis Yang Di Maafkan, Titian Sirat (1 Orang Daripada 1000 Masuk Syurga), Tuntut Hutang Cara Lembut.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 195 adalah menjelaskan persoalan sifat-sifat orang terpilih mendapat mimpi yang baik, hari kiamat tiupan sangkakala, darah nyamuk najis yang di maafkan, titian sirat (1 orang daripada 1000 masuk syurga), tuntut hutang cara lembut.

931. Soalan :Ustaz, apakah ada ciri-ciri tertentu dalam kalangan hamba-Nya yang Allah SWT pilih untuk mendapat mimpi petunjuk dan mimpi yang benar itu ? Boleh ustaz berikan sedikit penjelasan mengenai hal-hal ini? Sy dahulukan dengan ucapan Terima kasih ustaz.

Jawapan : 

Di dalam Islam tidur dianggap sebagai mati kecil dan proses keluarnya ruh daripada jasad buat sementara waktu seperti yang dijelaskan oleh Imam Ibn Taimiyyah di dalam fatwanya. Ini kerana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : “Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia menahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda- tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surah Az-Zumar ayat 42)

Kerana itu baginda Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam selalu membaca doa berikut sebelum tidur yang berbunyi : “Bismika Rabbiy wada’tu janbi wa bika arfa’uhu fa in amsakta nafsi farhamha wa in arsaltaha fahfazha bima tahfazu bihi ‘ibaadaka al-saaliheen” yang bermaksud : “Dengan namaMu ya Rabbku, aku berbaring dan dengan namaMu aku bangkit. Jika Engkau akan mengambil nyawaku maka rahmatilah ia dan jika Engkau akan kembalikan ia kepadaku maka peliharalah ia dengan cara yang Engkau lakukan terhadap hambaMu yang soleh.”

Adalah digalakkan sebelum tidur untuk umat Islam membersihkan diri dan mengambil wuduk serta membaca doa serta zikir-zikir yang diajarkan oleh Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam serta membaca surah-surah daripada al-Quran. Antara yang baik dan mudah untuk diamalkan ialah membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falak dan An-Nas sebanyak tiga kali sebelum tidur bagi memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan dan kemudian meniup tapak tangan lalu menyapu ke seluruh badan seperti yang diajarkan oleh baginda Nabi Salallahu Alaihi Wassalam.

Al-Imam Ibn Qayyim al-jauziyah ra menyebut di dalam Kitab Madaarij As-Salikin bahawa orang yang ingin memperolehi mimpi yang baik hendaklah menjaga agamanya dan berusaha bercakap jujur, memakan makanan yang halal, mematuhi perintah syarak dan meninggalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan Rasul serta tidur dengan mengikuti sunah seperti menghadap kiblat, membaca doa, berzikir dan memohon perlindungan dari syaitan. Waktu yang paling baik untuk mendapatkan mimpi yang baik ialah antara waktu sahur dan sebelum masuknya waktu subuh. Saat ini juga adalah merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa.

Berkenaan dengan mimpi juga maka sebahagian dari kalangan ulama Ahli Sunnah Wal jamaah berpendapat bahawa arwah orang yang telah meninggal dunia boleh mendatangi ahli keluarga atau sahabat handainya di dalam mimpi khususnya kepada orang yang soleh dan bertakwa. Antaranya seperti yang disebut oleh Imam Al-Qurtubi rah. dalam tafsirnya bahawa Ibn Abbas r.a dan Said bin Jubair r.a berpendapat bahawa arwah orang yang mati dapat bertemu di dalam mimpi dan saling berkenalan.

Diriwayatkan oleh Imam Hafiz Abi Nuaim ra dalam kitabnyaHilyah al-Awliya' wa Tabaqat al-Asfiya' bahawa dua orang sahabat Nabi Salman al-Farisi r.a dan Abdullah bin Salam r.a pernah berkawan baik dan mereka membuat satu perjanjian sewaktu hidup. Iaitu jika salah seorang daripada mereka itu mati maka hendaklah yang mati itu menziarahi orang yang hidup di dalam mimpi dan memberitahu tentang khabarnya apa yang telah dia temui. Maka tidak lama selepas itu Salman pun meninggal dunia dan Abdullah bin Salam r.a pun bermimpi menemui Salman dan bertanya kepadanya apakah khabarmu wahai Aba Abdullah ? 

Lalu dijawab oleh Salman dengan berkata keadaanku amat baik. 

Lalu ditanyakan kepadanya apakah amalan yang engkau dapati paling afdhal dan membantumu di hadapan Allah lalu dijawab oleh Salman dengan mengatakan bahawa aku mendapati tawakal ialah amalan yang paling ajaib dan besar kedudukannya di sisi Allah !

Sebahagian ulama mengatakan bahawa adalah harus dan mungkin terjadi kepada keluarga si mati untuk bermimpi bertemu dengan arwah orang yang telah meninggal dunia di dalam mimpi pada malam Jumaat atau waktu-waktu tertentu dan si mati meminta keluarganya supaya mendoakannya atau melakukan kebajikan untuknya. Cumanya setiap Muslim hendaklah berhati-hati dan berusaha mengelak daripada ditipu oleh syaitan dan perangkapnya yang boleh menyamar sebagai orang yang mati bagi menakut-nakutkan orang yang hidup di dalam tidur.

Hal yang sama juga kerap berlaku kepada mereka yang mendakwa bermimpi melihat Nabi Salallahu Alaihi Wassalam. Ramai orang kerap mendakwa konon bermimpi bertemu dengan Nabi Salallahu Alaihi Wassalam demi mendapatkan penghormatan dan kekaguman daripada manusia tetapi perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan termasuk dusta jika apa yang dilihatnya dalam mimpi ialah bukan Nabi Salallahu Alaihi Wassalam atau dia sebenarnya tidak bermimpi pun bertemu nabi.

Ini kerana apabila ditanyakan kepada mereka bagaimanakah rupa Nabi Salallahu Alaihi Wassalam, bentuk tubuh baginda, warna rambut dan janggutnya serta cara pemakaian dan gambaran Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam yang diberikan oleh mereka adalah tidak tepat dan menyalahi keterangan hadis-hadis sahih tentang fizikal baginda.

Tetapi bagi mereka yang benar-benar sama keterangan mimpinya dengan hadis tentang perwatakan dan rupa paras baginda Salallahu Alaihi Wassalam maka mimpinya itu adalah benar dan dia telah dimuliakan untuk bertemu dengan Rasululullah Salallahu Alaihi Wassalam. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam pernah bersabda : “Barangsiapa yang melihat aku di dalam mimpi maka dia benar-benar telah melihatku kerana syaitan tidak boleh menyerupai diriku.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Kita hendaklah tidak tertipu dengan dakwaan orang yang mengaku bertemu dengan Nabi Salallahu Alaihi Wassalam di dalam mimpi selagi tidak dibuktikan atau dibandingkan kenyataannya dengan hadis-hadis Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam. Ini kerana Al-Hafiz Imam Ibn Hajar Al-Asqalani ra menyebutkan bahawa Imam Muhammad bin Sirin ra, salah seorang tabien yang mahir dalam ta’bir mimpi apabila dikatakan oleh orang tertentu bahawa mereka bermimpi menemui Nabi maka dia pasti akan bertanya sebutkan kepadaku ciri-ciri orang yang kamu lihat itu. Jika ciri-ciri tersebut menyalahi hadis-hadis sahih maka dia akan mengatakan kamu tidak melihat baginda. (Lihat Fathul Bari )

932. Soalan : Ustaz...di sini saya hanya ingin tahu diantara malaikat Maut dan Israfil...yang mana akan dicabut nyawa dahulu selepas tiupan sangkakala pertama....dan selepas semua hidupan mati...apakah makhluk yang pertama akan dibangkitkan adalah malaikat Israfil untuk meniup sangkakala kedua..membangkitkan semua makhluk di muka bumi ni?...bagaimana proses atau flow semasa tiupan sangkakala pertama hinggalah semua makhluk dibangkitkan kembali...saya harap ustaz2 yang arif dpt menjelaskan scara lbih terprinci mngenai hal ni....terima kasih

Jawapan : 

Hadis tentang sangkakala : Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
“Ketika seorang Yahudi menawarkan barang dagangannya dan telah diberi sedikit gambaran bahawa beliau belum merasa puas hati atau tidak meredainya, kalau tidak silap namanya Abdul Aziz berkata: Tidak, demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Seorang lelaki Ansar yang mendengar kata-katanya terus menampar mukanya dan berkata: Kamu berkata Demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia? Bukankah Rasulullah telah berada di tengah-tengah kita? 

Lalu orang Yahudi tersebut pergi menemui Rasulullah dan berkata: Wahai Abu Al-Qasim! Sesungguhnya aku memiliki jaminan dan perjanjian, tetapi si anu telah menampar mukaku.

Rasulullah bertanya kepada lelaki Ansar tadi: Kenapa kamu menampar mukanya? 

Beliau menjawab: Orang Yahudi telah berkata bahawa demi Zat yang telah memilih Nabi Musa a.s kepada manusia. Bukankah engkau berada di tengah-tengah kami? 

Rasulullah menampakkan wajahnya yang marah dan bersabda: Janganlah kamu mengutamakan di antara para utusan Allah. Sesungguhnya sangkakala iaitu sejenis serunai akan ditiup. Apa yang berada di pelosok langit dan di bumi akan mati, melainkan orang-orang yang dikehendaki oleh Allah. Pada tempuh yang lain pula sangkakala iaitu sejenis trompet akan ditiup lagi. Maka aku adalah orang pertama yang dibangkitkan. Apabila Nabi Musa a.s telah berpegang pada Arasy, aku tidak tahu adakah telah diperhitungkan kematian Musa a.s (dengan tiupan sangkakala) pada hari At-Tur atau beliaukah yang telah dibangkitkan sebelum aku dan aku tidak akan berkata: Sesungguhnya ada seorang lelaki yang lebih utama daripada Yunus bin Matta a.s
(Hadis Sahih Muslim : no. 4376)

Hadis jarak tiupan dua sangkakala : 

Hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, ia berkata:
“Rasulullah bersabda: "Jarak waktu antara dua tiupan sangkakala itu adalah empat puluh. Mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah, apakah empat puluh hari? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan. Mereka bertanya lagi: Empat puluh bulan? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan. Mereka bertanya lagi: Empat puluh tahun? Ia menjawab: Aku tidak dapat menyebutkan. Kemudian Rasulullah bersabda lagi: Lalu Allah menurunkan hujan, sehingga mayat-mayat tumbuh (bangkit) seperti tumbuhnya tanaman sayuran. Tidak ada satu bagian tubuh manusia kecuali semua telah hancur selain satu tulang, iaitu tulang ekornya (koksiks) dan dari tulang itulah jasad manusia akan disusun kembali pada hari Kiamat. (Hadis dalam kitab Sahih Muslim NO. 5253)

Sangkakala iaitu sejenis serunai akan ditiup oleh Malaikat Israfil sebelum Hari Kiamat. Diriwayatkan Sangkakala yang ditiup oleh malaikat Israfil ini adalah sebanyak tiga (3) kali tiupan iaitu:

Tiupan sangkakala pertama - (Tiupan mengejutkan)

Tiupan sangkakala kedua - (Tiupan mematikan)

Tiupan sangkakala ketiga - (Tiupan membangkitkan)

Hal ini berlandaskan Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda maksudnya, "Sesungguhnya Allah setelah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala, lalu diberikan di mulut Israfil, maka Israfil meletakkan sangkakala dimulutnya dan pandangan matanya ke arah Arasy menunggu bila diperintahkan (meniup sangkakala)." 

Aku (Abu Hurairah) berkata; "Wahai Rasulullah apakah sangkakala itu?, 

Baginda menjawab "Tanduk", 

aku bertanya lagi Bagaimanakah bentuknya?, 

Baginda menjawab "Sangat besar". Lalu baginda melanjutkan sabdanya: "Demi zat (Allah) yang mengutusku dengan kebenaran, sesungguhnya garis tengah sangkakala itu seluas langit dan bumi, yang akan ditiup dengan 3 kali tiupan. Yang pertama tiupan mengejutkan, yang kedua tiupan mematikan dan yang ketiga, tiupan kebangkitan untuk menghadap Tuhan semesta alam." 

Tentang tiupan sangkakala pertama, Allah menjelaskan dalam Al-Quran:

“Pada masa berlakunya "tiupan sangkakala yang pertama" yang menggoncangkan alam, (sehingga mati segala yang bernyawa dan punah ranah sekalian makhluk selain dari yang dikecualikan), (Surah An-Naaziat ayat 6) . 

Firman Allah SWT dalam Surah An-Naaziat ayat 7:

“Tiupan pertama itu diiringi oleh tiupan kedua.”

Pada tiupan kali ini, seluruh makhluk alam semesta dan alam buana akan mati keseluruhannya, melainkan sesiapa yang ditentukan Allah untuk masih bernyawa. Pada peringkat ini bunyi sangkakala ini dapat didengari sehingga lapisan langit ke-7. Malaikat Israfil juga mati pada saat ini sejurus ia meniup sangkakala.

Pada saat ini tanggungjawab Malaikat Maut untuk mencabut nyawa bertambah agresif, jika dibandingkan dengan tugasnya mencabut nyawa sebelum tiupan sangkakala pertama dan ketika tiupan sangkakala pertama. Malaikat Maut diriwayatkan akan mencabut nyawa seluruh makhluk di alam langit dan bumi dengan wajah yang mengerikan. Ia akan mencabut nyawa golongan munkar dengan paksaan dan kekerasan. 

Firman Allah S.W.T: “Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah (gerun gementar) makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh. (Surah an-Naml ayat 87) 

Firman Allah S.W.T: “Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (Surah Yassin ayat 51)

Saya cuba kemukakan nas al-Quran dan hadis sahih saja mengenai hari kiamat kerana sebahagian hadis yang membicarakan peristiwa hari kiamat ada hadis yg tak jelas statusnya (mungkin dhaif atau sahih). Oleh itu memadailah kita tahu sebahagian daripadanya tak payah terlalu detail . Wallahu a'lam

933. Soalan : Ustaz..persoalan saya..adakah darah nyamuk dikira najis??

Jawapan :

Darah nyamuk, kutu, lalat adalah darah yang suci menurut sebagian ulama, kerana bangkainya suci. (Al-Asybaah wa An-Nazhaa’ir-Ibnu Najim Al-Hanafy 2/193)

Berkata Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullahu:

دم الذباب والبعوض وشبهه لأن ميتته طاهرة كما دل عليه حديث أبي هريرة في الأمر بغمسه إذا وقع في الشراب ، ومن الشراب ما هو حار يموت به، وهذا دليل على طهارة دمه لما سبق من علة تحريم الميتة .

Ertinya: “Darah lalat dan nyamuk dan yang semacamnya (adalah suci) kerana bangkainya suci, sebagaimana yang ditunjukkan hadis Abu Hurairah ketika diperintahkan untuk menenggelamkan lalat apabila masuk dalam minuman, dan diantara minuman ada yang panas lagi mematikan, ini menjadi dalil atas sucinya darah lalat kerana apa yang sudah berlalu tentang sebab diharamkannya bangkai.”(Majmu Fatawa Wa Rasa’il Syeikh ‘Utsaimin 11/267)

Sebagian yang lain mengatakan bahawa darah haiwan-haiwan tersebut najis akan tetapi dimaafkan apabila sedikit, apabila banyak maka ada perbezaan pendapat diantara mereka, dan yang lebih shahih adalah dimaafkan juga kerana dia termasuk najis yang sukar dihindari. (Lihat Syarh Kitab Ghayatil Bayan-Ibnu Ruslan hal:34, Al-Fawakih Ad-Dawany 1/387, Raudhatuth Thalibin 1/385-386, Al-Manhaj Al-Qawiim-Al-Haitamy hal:230)

Dengan demikian solat seseorang yang badan atau pakaiannya terkena darah nyamuk atau kutu atau lalat adalah sah.

Ibnu Abi Syaibah telah meriwayatkan sebuah atsar dari Zajir bin Shalt, dari Al-Harits bin Malik, beliau berkata:

انطلقت إلى منزل الحسن فجاء رجل فسأله فقال: يا أبا سعيد ! الرجل يبيت في الثوب فيصبح وفيه من دم البراغيث شئ كثير يغسله أو ينضحه أو يصلي فيه؟ قال: لا ينضحه ولا يغسله يصلي فيه

Dari Al-Haarits bin Malik beliau berkata: Aku pergi ke rumah Hasan (Al-Bashry), kemudian datang seorang laki-laki seraya bertanya: Wahai Abu Sa’id! Seseorang tidur dengan sebuah baju, kemudian ketika di pagi hari banyak darah kutu di bajunya, apakah dia harus mencucinya atau memercikinya atau langsung solat dengannya? Beliau menjawab: Tidak perlu memercikinya dan tidak perlu mencucinya, silakan dia solat dengannya” (Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Mushannaf 1/285 no: 2035)

Wallahu a’lam.

934. Soalan : Saya pernah terbaca satu info..dalam seramai 1000 orang manusia yang lalu di titian sirat diakhirat kelak hanya seorang saja yang berjaya masuk ke syurga ..boleh ustaz critekan supaya boleh faham ?

Jawapan :

Memang benar 1 orang saja yang terselamat daripada 1000 manusia yang meniti Siratul Mustakim di dalam hadis sahih. Maknanya hanya 0.1% sahaja yang terselamat meniti Siratul Mustakim. Imam al-Qutubi menyebutkan sebuah Athar yang berbunyi: Dari setiap seribu, seorang adalah bahagian Allah dan bakinya (999) adalah bahagian syatian

Menurut Imam al-Qurtubi, athar ini disokong oleh sebuah hadis qudsi yang disebutkan dalam Soheh Muslim bahawa Allah SWT telah berkata kepada nabi Adam:

Asingkan satu kelompok (dari zuriatmu) ke neraka.Adam bertanya: Apakah kelompok yang ke neraka itu? Maka jawab Allah: Dari setiap seribu 999 adalah kelompok ke neraka.
(Hadis Mriwayat Muslim)

Dalam Soheh Bukhari, melalui riwayat daripada Abu Said Al-Khudri,
terdapat penjelasan yang lebih mengenai hadis qudsi tersebut:

Orang-orang (yang hadir mendengar pada waktu itu) merasa ngeri sehingga berubah pucat warna muka mereka. Lalu Nabi SAW. menerangkan: "Diambil dari 999 dan dari kamu 1. Kalau kamu dibandingkan dengan orang yang sangat ramai itu, ibarat sehelai bulu berwarna hitam yang terdapat pada seekor lembu jantan yang berwarna putih.
Sesungguhnya aku mengharapkan agar kamu menempati satu perempat penghuni syurga." Lalu kami semuanya bertakbir tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati satu pertiga penghuni syurga." Lalu kami bertakbir lagi tanda gembira. Kemudian baginda menyambung lagi: "Menempati separuh penghuni syurga." Maka kami pun bertakbir lagi." (Hadis riwayat Bukhari)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyimpulkan bahawa:

والصراط منصوب على متن جهنم وهو الجسر الذي بين الجنة والنار يمر الناس على قدر أعمالهم فمنهم من يمر كلمح البصر ومنهم من يمر كالبرق ومنهم من يمر كالريح ومنهم من يمر كالفرس الجواد ومنهم من يمر كركاب الإبل ومنهم من يعدو عدوا ومنهم من يمشي مشيا ومنهم من يزحف زحفا ومنهم من يخطف خطفا ويلقى في جهنم . فإن الجسر عليه كلاليب تخطف الناس بأعمالهم فمن مر على الصراط دخل الجنة فإذا عبروا عليه وقفوا على قنطرة بين الجنة والنار فيقتص لبعضهم من بعض فإذا هذبوا ونقوا أذن لهم في دخول الجنة

“Ash-Shiraath dibentangkan di atas neraka jahannam, ia adalah titian di antara syurga dan neraka. Manusia melaluinya (meniti di atasnya) bersesuaian dengan kadar amal perbuatan mereka, di antara mereka ada yang melaluiya sepantas kerdipan mata, ada yang melaluinya seperti kilat, ada yang melaluinya selaju angin, ada yang melaluinya seperti larian kuda, ada yang melaluinya seperti menunggang unta, ada yang melaluinya dengan berlari, ada yang melaluinya dengan berjalan, dan ada yang melaluinya dengan merangkak. Di antara mereka ada yang disambar lalu dilemparkan ke dalam jahannam, kerana di titian tersebut terdapat besi pengait yang menyambar manusia bersesuaian dengan amalnya. Sesiapa yang berjaya melepasi titian siraath, dia masuk syurga. Apabila mereka telah melaluinya, maka mereka berhenti di jambatan di antara syurga dan neraka, lalu dilaksanakan qishash dari sebahagian untuk sebahagian yang lain. Apabila mereka telah disucikan dan dibersihkan, mereka diizinkan masuk syurga.” (al-Aqidah al-Wasithiyah)

935. Soalan : Apabila seseorang berhutang kepada kita adakah boleh kita marah pada mereka yang tak mahu membayar hutang? Adakah kita perlu berlembut sahaja? Minta ustaz beri pencerahannya.

Jawapan : 

Setiap hutang wajib di bayar. Seorang mukmin yang beriman dan bertakwa tidak akan melarikan diri daripada membayar hutang. Jika dia belum mampu maka sebaik-baiknya orang yang memberi hutang memberikan masa lagi kerana memberikan masa adalah pahala untuk pemberi hutang. Salah satu kebaikan di hari akhirat untuk orang yang memberi hutang jika dia redha menghalalkan hutang tersebut (untuk yang benar-benar tak mampu) akan mendapat perlindungan Arasy di hari akhirat. 

Untuk yang mampu tetapi sengaja tak mahu bayar maka boleh di tuntut pahala orang yang berhutang sekadar hutang dia kepadanya. Untuk pemberi hutang pula jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayarnya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika boleh halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Hutang adalah aib seseorang, sebaik-baiknya tutuplah aib seseorang jangan di ceritakan walaupun kepada rakan yang paling dekat. Jika pemberi hutang menjaja menjaja nama si pulan bin pulan dengan tambahan cerita bahawa si pulan penipu sebab tak bayar hutang maka orang yang membawa cerita tersebut telah membawa fitnah . Hukum fitnah adalah dosa besar dan mendedahkan aib seseorang juga dosa besar sedangkan tak membayar hutang kerana benar-benar belum mampu tidak berdosa bergantung pada niat seseorang yang berhutang. 

Jika dia niat nak membayarnya tetapi belum mendapat rezeki maka dia bukan golongan yang di murkai Allah SWT. Ramai kita kurang berhati-hati kerana pahala yang besar di perolehi kerana memberi hutang telah bertukar menjadi musibah kerana menyebarkan fitnah kebaikannya memberi hutang telah terhapus dan kerugian berganda iaitu hutangnya tak di perolehi dan dosa mengungkit-ungkit dan memfitnah akan di perolehinya. 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya: "Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang Mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).

Nabi SAW bersabda maksudnya, "Siapa yang menutup keaiban orang Islam, Allah akan menutup keaibannya didunia dan diakhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba itu selagi hamba itu mahu menolong saudaranya." (Hadis Riwayat Muslim).

Hutang wajib dibayar apabila berhutang. Jika tidak membayarnya tetapi dia mampu maka hutang itu akan dituntut diakhirat dan bayarannya nanti bukan dengan wang tetapi dengan amala soleh orang yg berhutang dan diberikan kepada siapa yg dia berhutang.

Kita ada pilihan apabila ada orang yang tidak mahu membayar hutang tersebut : 


Kita tuntut hutang tersebut ketika perbicaraan di mahkamah Allah SWT di hari akhirat. Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya : "Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).







No comments:

Post a Comment