Monday, December 15, 2014

Tanyalah Ustaz Siri 197 (Etika Si Penghutang (Orang Yang Berhutang), Dan Si Pemiutang (Orang Yang Berikan Hutang), Agama Sebelum Rasulullah SAW Menjadi Rasul, tamakninah (Rukun Dalam Solat), Menghampiri Zina, Dan Dahi Terlapik Ketika Sujud.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh 

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 197 adalah menjelaskan persoalan etika si penghutang (orang yang berhutang), dan si pemiutang (orang yang berikan hutang), agama sebelum Rasulullah SAW menjadi rasul, tamakninah (rukun dalam solat), menghampiri zina, dan dahi terlapik ketika sujud.

941. Soalan : Mohon pencerahan berhubung perkara dibawah dan apakah etika yang harus dititikberatkan antara si penghutang dan si pemiutang.

Jawapan : 

Etika si pemiutang (orang yang memberi hutang) : 

1. menuntut hutangnya dengan akhlak yang mulia. 

2. Berlemah lembut dan bertimbang rasa. 

3. memberi peluang kepada si berhutang melanjutkan masa yang bersesuaian untuk menjelaskan hutang-hutangnya. 

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya : "Sesungguhnya Allah SWT akan merahmati seorang yang lapang dadanya ketika menjual,membeli dan menagih hutang" (Hadis Riwayat Bukhari dari Jabir r.a.)

4. tidak marah-marah, makin hamun dan mengungkit-ungkit kebaikan yang di berikan. 

5. bersedia menghalalkan jika di rasakan si berhutang tidak mampu melangsaikan hutangnya,  jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayarnya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika boleh halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya : "Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah SWT. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya." (Hadis Riwayat Tirmizi).

Etika si penghutang : 

1. Berniat untuk membayar hutang. 

Jika seseorang berhutang tetapi dia berniat hendak membayarnya jika berkemampuan, tetapi dengan izin Allah SWT dia meninggal dunia, maka dia di kira tidak berdosa kerana bukan di sengajakan untuk tidak membayar hutang.
Terdapat hadis menegaskan;

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksudnya,“Sesiapa mengambil harta orang lain dengan keinginan untuk membayarnya, Allah akan membayar bagi pihaknya. Sesiapa mengambilnya dengan keinginan untuk memusnahkannya (yakni tiada keinginan untuk membayarnya), Allah akan memusnahkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dari Abu Hurairah r.a. Soheh al-Bukhari, Kitab al-Istiqradh…, hadis no. 2387).

Menurut penjelasan ulama ; maksud “mengambil harta orang lain’ merangkumi mengambilnya sebagai hutang, mengambilnya untuk menyimpanya (wadi’ah), melalui melalui satu bentuk mu’amalah atau lain-lainnya. Ia tidak terikat dengan mengambil secara zalim sahaja. Maksud; “dengan keinginan untuk membayarnya” ialah; berniat untuk membayarnya ketika di dunia.

Maksud “Allah akan membayar bagi pihaknya” ialah; Allah akan membantunya untuk membayarnya atau Allah akan melapangkan rezkinya sehingga ia dapat membayar hak orang lain sebelum kematiannya. Atau boleh juga difahami dengan maksud doa dari Nabi SAW, iaitu; “Semoga Allah akan membayar bagi pihaknya”.

Menurut Imam al-Munawi; makna zahir hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa berniat untuk menunaikan/membayar (hutang kepada orang lain yang tertanggung atas bahunya), kemudian ia mati sebelum sempat membayarnya kerana kesusahannya atau kerana matinya secara tiba-tiba, Allah tidak akan mengambil dari kebaikan-kebaikannya di akhirat (untuk dibayar kepada pemilik hutang tadi), akan tetapi Allah akan menjadikan pemilik hutang redha kepadanya (dan tidak menuntut haknya)” (Faidhul-Qadier, hadis no. 8351).

Maksud “mengambil dengan keinginan untuk memusnahkannya” ialah mengambil hak orang lain tanpa berniat membayarnya. Maksud “Allah akan memusnahkan hartanya” ialah; Allah akan memusnahkan hartanya di dunia dengan mentakdirkan banyak berlaku dugaan kepadanya, kerugian demi kerugian, musibah dan terhapusnya barakah, dan di akhirat pula Allah akan menghukumnya kerana hak orang lain tersebut. 

2 Berusaha bersungguh-sungguh untuk membayar hutang. (membuat bayaran secara berjadual dan beransur-ansur. 

3. Memberi respon yang baik dan positif jika si pemutang bertanyakan status hutang tersebut (jangan marah-marah dan maki hamun). 

4. Berdoa setiap hari lepas solat supaya Allah SWT permudahkan membayar hutang tersebut. "Ya Allah, lindungi kami dari perasaan ketakutan dan kesedihan, jauhi kami dari sikap lemah dan malas, lindungi kami dari sifat penakut dan kedekut, bebaskan kami dari bebanan hutang dan penindasan orang"..

(Dari Abu Said al Khudri berkata; Suatu hari Rasulullah SAW bersabda, " Bila kamu membaca apa yang aku ajarkan, nescaya Allah hilangkan rasau risau dari dirimu dan melunaskan hutang-hutangmu..Ketika pagi dan petang, ucapkanlah Allahumma Inni A'uzubika minal Hammi wal Hazan, Wa A'uzubika minal A'zji wal Kasal, Wa A'uzubika minal Jubni wal Bukhli, Wa A'uzubika min Ghalabatiddaini wa Qahrir Rijaal...." (Hadis Riwayat Abu Dawud) 

5. Mendoakan kebaikan dan kesejahteraan si pemiutang (yang memberikan hutang) supaya sentiasa di rahmati Allah dan di murahkan rezeki kerana kebaikan membantunya memberi hutang tersebut.

942. Soalan : Ustaz apakah agama para nabi sebelum Nabi Muhammad
mInta pencerahan dan apakah tugas malaikat Jibril selepas semua para Nabi dan Rasul telah wafat?

Jawapan :

Untuk umat Arab agama yang meng Esakan Allah SWT adalah agama Nabi Ibrahim a.s di panggil agama Hanif. Hanif dalam Al-Quran : Istilah telah digunakan sebanyak 12 kali di dalam Al-Quran,; yakni lapan kali daripadanya merujuk kepada Nabi Ibrahim a.s. sebagai seorang yang digelar Al-Hanif. 

Sebelum kedatangan Islam dengan membawa Al-Quran, kaum Yahudi dan Kristian sering bertelingkar mengenai status agama Nabi Ibrahim a.s. yang sebenarnya.Namun begitu turunnya ayat Allah untuk menerangkan perihal agama Nabi Ibrahim serta pegangan Akidah Tauhidnya: 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai Ahli Kitab!(Yahudi dan Kristian) Mengapa kamu berani mempertengkarkan tentang(agama)Nabi Ibrahim,padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian (lewat) daripada (zaman) Ibrahim; patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan akal?"

"Ingatlah!Kamu ini orang-orang(bodoh),kamu telah memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya(yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat),maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengan nya? Dan (ingatlah),Allah mengetahui(hakikat yang sebenarnya)sedang kamu tidak mengetahuinya."

"Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi,dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian,tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (Hanif) (yang mendengar dan patuh/taat serta berserah bulat-bulat kepada Allah),dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik(golongan yang menyekutukan Allah)."

"Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya)ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umatnya umat Islam).Dan (ingatlah),Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang yang beriman."

(Surah Ali-Imran ayat 65-68)

Tugas malaikat Jibril :

Dalam surah al-Qadr menyatakan tugas malakikat Jibril pada malam Lailatul Qadr. Malaikat Laylat al-Qadr - Jibril dan serombongan malaikat yang turun setiap Laylat al-Qadr pada bulan Ramadan . Firman Allah SWT maksudnya : 

1. Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al Quran) pada malam al Qadr.

2. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr (kemuliaan) itu?

3. Malam al-Qadr (kemuliaan) itu lebih baik daripada seribu bulan.

4. Turun malaikat-malaikat dan roh (malaikat Jibril) padanya (malam al-Qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Sejahteralah ia (malam itu) sehinggalah terbit fajar (subuh).

Malaikat Jibril membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul. Setelah para Nabi dan Rasul tidak ada lagi tetapi mimpi yang benar mendatangkan petunjuk dan ilham yang benar adalah dari satu daripada 46 sifat kenabian. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

943. Soalan : Ustaz.saya nak tanya, kita kena berhenti seketika (tamakninah) sebelum melakukan rukun lain dalam solat kan,katakanlah masa kita dah sujud dan kita bangun untuk tahiyat akhir,kita terlupa untuk tamakninah boleh ke kita sujud semula dan kemudian bangun balik untuk tahiyat akhir?

Jawapan :

Jika meninggalkan tamakninah maka batal solat dan kena ulangi solat semula. Di sini disenaraikan tempat yang perlu tamakninah dan kesilapan yang sering terjadi. 

1. Rukuk, sewaktu kedudukan tulang belakang sudah sama dan kedua tangan memegang kepala lutut, sepatutnya hentikan pergerakan kasar seketika. Itulah kadar tamakninah yang barangkali sempat dia membaca subhanallah. 

2. Iktidal, pergerakan bermula daripada keadaan rukuk kembali menegak dan meluruskan semula tulang belakang seperti dia berdiri sebelum ini. Sempurna berdiri dahulu dan itulah kadar tamakninah. 

3. Sujud, sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tangan, dua lutut, dua kaki dan satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang gerakan seketika. Keadaan tenang itulah kadar tamakninah. 

4. Sujud kali kedua, sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tangan, dua lutut, dua kaki dan satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang gerakan seketika. Keadaan itulah kadar tamakninah. 

5. Duduk antara dua sujud, sewaktu duduk sambil membaca doa, “rabbighfirli...” tidak mungkin berlaku pergerakan anggota besar, apatah lagi tangan diletakkan di atas paha. Keadaan setenang itulah tamakninah yang harus dipatuhi. 

Tamakninah dalam bahasa mudah bererti bertenang. Ibarat anda memandu sebuah kenderaan, maka pada waktu di persimpangan wajar hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. 

Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah. Begitulah seharusnya berlaku dalam solat. Berikut adalah tempat yang sering diabaikan tamakninah: 

1. Iktidal, terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus seperti sebelumnya, dia telah turun untuk sujud. Solat ini tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah. 

2. Iktidal, terdapat juga sesetengah orang sama ada orang muda mahupun orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, tangannya diayunkan berkali-kali dan belum sempat tangan itu berhenti, dia telah turun untuk sujud. Solat ini juga tidak sah kerana tidak berlaku tamakninah. 

3. Sujud, waktu sujud dua kakinya dibiarkan bergerak-gerak dan ada yang mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam keadaan ini tidak sempurna kerana syarat sah sujud bila tujuh anggota sujud mencecah ke lantai. Pada masa yang sama solat itu sah kerana tidak berlaku tamakninah. Selain itu, sewaktu kita bangun daripada sujud kedua kepada rukun berdiri tegak untuk rakaat seterusnya tidak ada tamakninah. Namun untuk lebih bersopan kita disunatkan duduk sebentar yang perbuatan itu diberi nama duduk istirahat. Duduk yang dimaksudkan ini bukan tetap seperti yang dilakukan ketika duduk antara dua sujud tetapi sekadar berhenti. Ibarat anda memandu kereta, pada persimpangan yang tidak sebuk anda membrekkan kenderaan tetapi tayarnya masih bergerak. 

Rasulullah SAW juga bersabda, “Tidak sah (tidak sempurna) solat seseorang, sehingga ia tamakninah ketika rukuk dan sujud.” (HR. Abu Daud). 

Ada ulama yang memahami tamakninah adalah dalam gerakan rukuk dan sujud, yaitu meluruskan punggungnya, dan ada juga yang menyatakan meluruskan punggung dan tenang dalam berdoa dalam rukuk dan sujud. 

Sayyid Sabiq dalam fiqih sunnah memaknai tamakninah, dengan diam beberapa saat setelah sempurnanya anggota-anggota tubuh (dalam gerakan sujud dan rukuk) dengan batasan waktu yang diperlukan ketika membaca doa tasbih. 

Istilah “mencuri dalam solat” yang biasa diungkapkan oleh ulama adalah merujuk pada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Qatadah, “Seburuk-buruk orang yang mencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab, “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” Atau baginda bersabda, “Ia tidak meluruskan punggungnya ketika rukuk dan sujud.” (HR. Ahmad, Ibnu Majah, ath-Thabrani dan al-Hakim). Wallahu a'lam

944. Soalan : Apa hukum nya se orang suami keluar berjalan-jalan atau makan-makan dengan seorang wanita lain..?

Jawapan : 

Islam mempunyai peraturan yang wajib di ikuti oleh setiap muslim samaada lelaki atau pun wanita. Islam melarang lelaki berjalan berdua-duaan tanpa mahram kerana perbuatan tersebut di kira menghampri zina. 

Jangan Menghampiri Zina :

Tahukah kita bahawa sesungguhnya Allah melarang kita dari melakukan perbuatan yang menghampirkan diri kita kepada zina.

Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 32 :

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلا

Maksudnya, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)" (Surah al-Isra' ayat 32)

Allah melarang kita melakukan perbuatan-perbuatan yang menghampirkan kita kepada zina, contohnya; Berdua-duaan dengan lelaki dan perempuan. 

Berhubungan antara lelaki dan perempuan melalui telefon dan media sosial atas hal-hal yang tidak penting juga patut dielakkan.

Larangan menyentuh wanita yang bukan muhrim:

Sabda Rasulullah SAW : "Sekiranya kepala salah seorang dari kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu". (Hadis Riwayat At-Tabrani. Dinilai sahih oleh al-Mundziri, al-Haitsami, dan al-Albani)

Larangan memandang yang haram :

Adapun dalil pendapat Jumhur ulama yang menyatakan haram memandang secara mutlak adalah :Surah An-Nuur ayat 31, Allah berfirman :

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menundukkan pandangannya”.

Ibnu Katsir menafsirkan ayat ini bahwa ayat ini merupakan dalil akan haramnya wanita memandang kepada selain mahram. (Tafsir Ibnu Katsir 3/345).

Dan berkata Muhammad Ibnu Yusuf Al-Andalusy dalam Tafsirnya (Tafsirul Bahrul Muhit : 6/411) dan Imam Asy-Syaukany (Fathul Qodir : 4/32) : “Bahwa surah An-Nuur ayat 31 ini sebagai taukid (penguat) ayat sebelumnya yaitu An-Nur ayat 30, bahawa hukum laki-laki memandang kepada selain mahram adalah haram secara mutlak maka begitupun hukum wanita memandang kepada selain mahram adalah haram secara mutlak pula”.

Jika sudah duduk bersama, makan dan minum bersama pastinya dua mata akan bertentangan dan masing-masing menikmati wajah masing-masing maka hukumnya haram.

Firman Allah SWT maksudnya, " "Sesiapa yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya." (Surah al-Naa’ziaat ayat 40-41)

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، والقلب تَمَنَّى و...

Sebaik-baiknya sebelum membuat sangkaan perlu siasat dulu siapakah wanita yang bersama lelaki tersebut? Adakah dia isterinya yang kedua (nikah di Thailand) atau mungkin mahramnya (adik atau kakaknya). ? Jika sah bukan isteri atau mahramnya maka perlulah di beri nasihat supaya beliau meninggalkan perbuatan yang di larang oleh Allah SWT. Menuduh, mengumpat atau memfitnah adalah satu dosa jika apa yang di umpat dan di fitnahkan tak benar.

945. Soalan : Mohon sedikit pencerahan...Saya ada terbaca tentang solat tidak sah jika ketika sujud, dahi terlapik pada telekung.. yg mana dahi tidak bersentuh dgn sejadah.....

Jawapan : 

Terdapat khilaf ulama samaada sah atau tidak sujud terlapik pakain sendiri (telekong atau seban)? 

"Al-Syafie mewajibkan singkap (terbuka) atas apa yang dinamakan dahi mengambil tempat sujud, maka sujud diatas pelapik serban, atau dihujung lengan baju (sleeve) atau diekor serban, dimana ia bergerak sama semasa berdiri (qiam) dan duduk atau selain kedua-duanya, akan menyebabkan solat tidak sah, akan tetapi jika kita dapat pisahkan (asingkan) sesuatu dari sujud maka sahlah solat tersebut, dan perhatian yang lebih harus diberikan kepada keterbukaan dahi."

Terdapat khilaf didalam permasalahan ini.

Ada terdapat beberapa hadis yang menunjukkan para sahabat semasa sedang bersolat dicuaca yang sangat panas, menyampaikan kain pakaiannya untuk melapis sujudnya agar boleh menahan kepanasan permukaan bumi. Salah satu syarat didalam sujud ialah, dahi mestilah menekan dipermukaan bumi secara padat (firm) dan bukannya sikit-sikit, maka para sahabat pun melapikkan permukaan yang panas dengan kainnya dengan bersujud dengan sempurna. 

Dari Anas ib Malik ra berkata : " Kami pernah bersolat dengan Nabi SAW ketika didalam cuaca yang sangat panas, dan jika salah seorang dari kami tidak dapat meletakkan dahinya mampat ke bumi, dia akan meluaskan kain pakaiannya dan sujud diatasnya " - [Hadis. riwayat al-Bukhaari dan Muslim ] 

Dari hadis ini juga kita dapat lihat bahawa pakaian yang dipakai juga bergerak mengikut pergerakan solat kita. Namun demikan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam tidak melarang mereka dari menggunakan pakaian tersebut melapik dahi ketika solat. Terdapat juga hadis-hadis lain yang membenar perbuatan ini.

Hadis 01 : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam :

أمرت أن أسجد على سبع و لا أكفت الشعر و لا الثياب الجبهة و الأنف و اليدين و الركبتين و القدمين

Ertinya : Aku telah diperintahkan agar sujud dengan 7 anggota iaitu (1) Dahi (2) Hidung (3) Kedua-dua tangan (4) Kedua-dua lutut dan (5) Kedua-dua kaki serta aku juga dilarang menyelak / menepis rambut dari muka dan pakaian ( Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim rh ). 

Hadis 02 : Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wassallam :
أمرنا أن نسجد على سبعة أعظم و لا نكف ثوبا و لا شعرا

Ertinya : Kita semua telah diperintahkan sujud di atas 7 anggota, dan jangan kita menepis baju dan jangan pula kita menyelak rambut . ( Hadis Sahih riwayat Imam Al-Bukhari rh, Lihat juga di dalam Fathul Bari { 2 } : 200 , Nailul Autor { 2 } : 286 )

Kesimpulannya : Pandangan Mazhab Shafi’e :

Mengikut pandangan mazhab syafie pula, yang mewajibkan kulit dahi mengenai lantai, yang diwajibkan mengenai lantai ialah sebahagian dahi sahaja. Bukan keseluruhan. jadi kalau ada sebahagian dahi terlindung dengan rambut, masih sah sujudnya. 
Lainlah kalau rambutnya tebal dan panjang sangat sampai menutup keseluruhan dahi. maka mengikut mazhab syafie, wajib diselak sedikit rambutnya agar dpt sujud atas dahi. sebab larangan selak rambut adalah makruh, dan suruhan sujud kena dahi adalah wajib. Maka didahulukan yang wajib atas yg makruh.

Tapak Tangan terlapik telekung ?

Larangan yang ada dalam mazhab Syafie adalah tentang menutup dahi sepenuhnya ketika sujud. Oleh itu, sepatutnya tidak timbul isu tentang menyelak telekung supaya telapak tangan tidak terlapik. Larangan ini tidak ada asal dan asasnya.

Kesimpulan – kesempurnaan sujud
Apa yang paling penting disini ialah kesempurnaan sujud, pastikan dahi sujud mampat ke mukabumi. Bagi kaum lelaki, untuk mengelakkan khilaf ini, jika semasa sujud didapati kopiah menghalang sujud, cubalah alihkan sedikit agar membenarkan dahi mencecah tempat sujud tersebut. 

Namun demikian, tidaklah perkara ini sampai membatalkan solat sebagaimana yang dikhabarkan oleh hadith diatas. Jumhur ulama' termasuk Maliki, Hanbali, hanafi kumpulan Salaf, Al-Sya'abi, Al-Auzaahi, mengatakan sujud diatas pakaian sendiri sah.




No comments:

Post a Comment