Saturday, January 17, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 203 (Pengertian Dakwah, Tanda-tanda Doa Tak Di Terima Allah, Hukum Main Catur, Hukum Qasidah Dan Hukum Mandi Di Hari Jumaat.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 203 adalah menjelaskan persoalan pengertian dakwah, tanda-tanda doa tak di terima Allah, hukum main catur, hukum qasidah dan hukum mandi di hari Jumaat.

971. Soalan : Ustaz, apakah maksud dakwah seperti yg dituntut dalam islam? harap dapat luangkan masa untuk menghuraikan maksud perkataan dakwah itu kerana saya dengar macam-macam maksud dan tafsiran yang berbeza.

Jawapan :

Dakwah merupakan istilah yang khusus dalam islam. Ia merupakan satu kewajipan yang dipertanggungjawabkan ke atas setiap muslim yang mempunyai kemampuan, dalam sebarang bentuk dan dalam setiap kesempatan. Dakwah merupakan tugas para Rasul dan perintah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan juru dakwah pertama semenjak agama Islam diturunkan. Banyak perintah Allah yang ditujukan kepada Rasullullah supaya melaksanakan tugas tersebut secara kesinabungan, seperti Firman Allah yang bermaksud:“Dan serulah ia kepada tuhan engkau, sesungguhnya engkau di atas petunjuk yang luirus” (Surah Al-Haj ayat 67)

Walaupun banyak ayat-ayat dalam Al-Quran menyuruh Nabi Muhammad SAW supaya berdakwah, tetapi ayat tersebut juga ditujukan untuk seluruh manusia muslim dan hanya dikecualikan bagi mereka yang dikecualikan oleh syara’.

Dakwah merupakan perlaksanaan terhadap perintah Allah, iaitu menyeru manusia ke arah ajaran Islam yang meliputi persolan akidah, syariah, akhlak, dan pendidikan. Dakwah merupakan satu usaha untuk mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai, membawa berita baik tentang nikmat dunia dan nikmat syurga, memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan kesengsaraannya. Melaksakan tugas dakwah merupakan puncak kebaikan dan kebahagiaan sepertimana Firman Allah yang bermaksud:“Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah” (Surah Fusilat (41) ayat 33)

Definisi dakwah

Dari Sudut Bahasa
Dakwah kepada Islam merupakan satu teknik untuk menarik manusia kepada ajarannya sama ada secara teori atau praktikal. Perkataan “DAKWAH” berasal daripada perkataan arab yang bererti mengajak, menyeru, menjemput, memanggil kepada sesuatu perkara sepertimana yang terdapat dalam Firman Allah maksudnya: "dan Allah menyeru kepada negara kesejahteraan…."

Manakala orang yang menyampaikan dakwah disebut sebagai “PENDAKWAH” atau “PENDUKUNG DAKWAH”.

Dari erti perkataan dakwah dari segi bahasa tersebut memperlihatkan bahawa dakwah merupakan satu perkara yang memerlukan satu usaha atau kesungguhan sama ada secara amali atau teori bagi mencapai objektif yang digariskan, justeru itu di dalamnya terdapat tuntutan jihad dan amal.

Dari Segi Istilah
Banyak definisi dakwah dari sudut istilah telah diberikan oleh para Uamak Islam, antaranya:Ibn. Taimiyah: Dakwah kepada Allah ialah menyeru manusia agar beriman dengan Allah serta beriman dengan apa yang telah dibawa oleh para Rasul-Nya dengan membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka.

Abul Ala’Al-Mawdudi: Dakwah adalah panggilan Ilahi dan Rasul mengajak manusia memiliki nilai-nilai suci dan agong. Dakwah adalah menghidupkan manusia, iaitu menghidupkan pancaindera, daya pemerhatian, daya rasa, daya ciptanya, menghidupkan dhamir, hati nurani dan bashirah. Menghidupkan manusia yang seimbang dari segi ilmu, iman dan amal. Ibadah, ikhtiar dan doa.

Definisi dakwah dapat disimpulkan:

Dakwah ialah menyeru manusia supaya taat dan beriman kepada Allah dan Rasul. Dakwah ialah mengajak manusia mengamalkan nilai-nilai yang dibawa oleh Islam bagi menghidup dan menyeimbangkan manusia. Dakwah adalah usaha mengingati fitrah manusia dan seruan kepada pembebasan manusia dari ilah-ilah palsu dan kuasa tirani. Dakwah ialah usaha-usaha pembaikan dan pembangunan masyarakat yang berkesinabungan.

Kewajipan Berdakwah
Dakwah merupakan kewajipan yang dipertanggungjawabkan untuk umat islam seluruhnya tanpa kecuali mengikut kemampuan dan keupayaan masing-masing seperti Firman Allah yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, supaya kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari kejahatan”

Ayat di atas menerangkan dua perkara, iaitu tentang kebaikan umat Islam(Khaira Ummatin) dan kebaikan umat Islam itu terletak kepada tugasnya menyuruh dan mengajak manusia berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran. Menurut Imam Al-Qurtubi, Allah telah menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai garis pemisah di antara orang beriman dengan orang munafik. Ia merupakan ciri orang beriman yang paling istimewa yang membezakannya dengan golongan munafik. Apabila umat Islam melalaikan tanggungjawab berdakwah maka Allah akan mengharamkan kedudukannya sebagai Khaira Ummatin(sebaik-baik umat), kerana Allah memberikan status umat mulia ke atas umat Islam kerana perlaksanan terhadap tanggungjawab dakwah.

Tanggungjawab berdakwah diletakkan ke atas setiap muslim sama ada lelaki atau perempuan, baligh, berakal, sama ada ulamak atau tidak, tetapi peranan ulamak lebih ditekankan dalam memperincikan ajaran agama kerana pengetahuan mereka yang luas. Ia boleh dilakukan sama ada secara perseorangan sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud:“Maka hendaklah yang telah menyaksikan antara kaum memyampaikan ilmu kepada orang yang tidak hadir” (Hadis Riwayat Bukhari; Kitab Sahih Bukhairy)

Dan juga boleh dilakukan berorganisasi terutama apabila terdapat aspek-aspek kerja dakwah yang tidak dapat dilakukan secara individu sepertimana Firman Allah yang bermaksud:“Hendaklah ada diantara kamu umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh membuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran, mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan”. (Surah Ali Imran; ayat 104)

Bagaimanapun, terdapat pendapat yang menyatakan wajib ke atas setiap umat Islam berdakwah, tetapi ia menjadi fardu kifayah iaitu tanggungjwab yang tertanggung kepada orang orang yang tertentu yang mempunyai syarat-syarat keahlian dalam sesuatu bidang yang tertentu yang memerlukan syarat-syarat tersebut yang tidak ada pihak lain menyempurnakannya.

972. Soalan : Ustaz, adakah benar terdapat tanda-tanda solat seseorang itu di terima Allah SWT atau tidak,begitu juga katanya ada tanda-tanda sesuatu doa itu dimakbulkan Allah SWT,kalau benar bagaimanakah tanda-tandanya?

Jawapan : 

 Tanda yang jelas solatnya di terima oleh Allah SWT adalah dia dapat menjauhkan dirinya daripada perbuatan fasak dan mungkar. Seperti mana yang dinyatakan oleh Ibnu A’syur, di dalam kitab Maqasid al-Syariah, bahawa setiap kefarduan yang diwajibkan ke atas setiap mukalaf, manfaatnya kembali kepada pelaksananya. Dalam persoalan solat, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."
(Surah al-Ankabut: 45).

Maksudnya solat dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Perkara keji dalam ayat ini apa-apa perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah s.w.t. Ini bermakna solat dapat mengubah orang daripada keras hati menjadi lembut hati, daripada bengis menjadi penyayang, daripada malas menjadi rajin, daripada berdusta menjadi jujur dan sebagainya sifat-sifat terpuji yang akan terbentuk dengan solat. Jika seseorang solat tetapi solatnya tidak membawa perubahan pada diri seseorang kepada perbuatan makruf tetapi dia kekal dengan perbuatan maksiat maka solatnya tidak berfungsi berkemugkinan tak sah dan yang pasti solatnya tidak akan khusyuk.

Ramai orang berdoa tetapi doanya tidak di makbulkan oleh Allah SWT kerana beberapa sebab : 

1. Makanan daripada sumber yang haram : Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu).

Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!

Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram? (Hadis riwayat al-lmam Muslim). 

2. Berdoa dalam keadaan lalai.

Sabda Rasulullah SAW.:“Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan (diterima). Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Yakinlah Allah Subhanahuwata’ala akan menerima doa itu satu hari nanti. Cepat atau lambat sesuatu doa itu dimakbulkan (diterima) adalah terletak kepada Allah Subhanahuwata’ala dan bergantung pula kepada banyak atau sedikit dosa yang dilakukan oleh seseorang itu.
Rasulullah SAW. bersabda: Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) 

3) Tidak melakukan tugas dakwah.

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kita juga adalah umat terbaik yang ditugaskan untuk berdakwah. Hendaklah ada satu group (walaupun sedikit bilangannya) yang melakukan gerakan dakwah.

Firman Allah SWT maksudnya, "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali-Imran ayat 104). 

Firman Allah SWT maksudnya, " Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) ….(Surah Ali-Imran ayat 110)

973. Soalan : Apakah hukum main dam haji dan juga catur?

Jawapan :

Bermain dam hampir sama dengan hukum main catur : Al-Hafiz Ibnul-Bar berkata bahwa pendapat jumhur fuqoha tentang catur adalah bahwa orang yang memainkannya tanpa ada unsur judi dan dilakukan secara tertutup bersama keluarga sekali dalam sebulan atau setahun dan juga tidak diketahui oleh orang lain maka hukumnya dimaafkan dan tidak haram atau tidak makruh. Tapi jika dia melakukannya secara terang-terangan maka maruah dan keadilannya jatuh sehinggga mengakibatkan kesaksiannya tidak diterima. (Lihat At-Tamhid : 13/183 dan Al-Qurtubi : 8/338.

Diantara orang yang memberikan rukhshah untuk bermain catur selama tidak ada unsur judi adalah : Said bin Musayyab, Said bin Jubair, Muhammad bin Sirin, Urwah bin Zubair, As-Sya`bi, Al-Hasan Al-Bashri, Ali bin Hasan bin Ali bin Abi Thalib, Ibnu Syihab, Rabi`ah dan Atho` (Lihat At-Tamhid : 13/181).

Pendapat ini juga disepakati oleh Dr. Yusuf Al-Qordhawi dalam kitab Halal dan Haram seperti berikut;

Di antara permainan yang sudah terkenal ialah catur.
Para ahli feqh berbeza pendapat tentang hukumnya, antara harus, makruh dan haram.
Mereka yang mengharamkan beralasan dengan beberapa hadis Nabi s.a.w. Namun para pengkritik dan penyelidiknya menolak dan membatalkannya. Mereka menegaskan, bahwa permainan catur hanya mulai tumbuh di zaman sahabat. Oleh karena itu setiap hadis yang menerangkan tentang catur di zaman Nabi adalah hadis-hadis batil (dhaif).

Para sahabat sendiri berbeza dalam memandang masalah catur ini. Ibnu Umar menganggapnya sama dengan dadu. Sedang Ali memandangnya sama dengan judi. (Mungkin yang dimaksud, iaitu apabila diiringi dengan judi). Sementara ada juga yang berpendapat makruh.

Dan di antara sahabat dan tabi'in ada juga yang menganggapnya harus. Di antara mereka itu ialah: Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Ibnu Sirin, Hisyam bin 'Urwah, Said bin Musayyib dan Said bin Jubair.

Inilah pendapat orang-orang kenamaan dan begitu jugalah pendapat saya. Sebab menurut hukum asal, sebagaimana telah kita ketahui, adalah harus. Sedang dalam hal ini tidak ada satu nas tegas yang menerangkan tentang haramnya. Dan pada catur itu sendiri melebihi permainan dan hiburan biasa. Di dalamnya terdapat semacam senaman otak dan mendidik berfikir. Oleh karena itu tidak dapat disamakan dengan dadu. Dan jesteru itu pula mereka mengatakan: yang menjadi ciri daripada dadu ialah keuntungan(spekulasi), jadi sama dengan azlam (tenung nasib). Sedangkan yang menjadi cirri-ciri dalam permainan catur ialah kecerdasan dan latihan, jadi sama dengan lumba dan memanah.

Namun tentang keharusannya ini, ia ada tiga syarat:

1. Tidak boleh menyebabkan tertundanya solat

2. Tidak boleh bercampur dengan unsur judi

3. Boleh menjaga lisannya ketika sedang bermain untuk tidak bercakap kotor atau membicarakan hal orang lain dan yang sejenisnya.

Kalau ketiga syarat ini tidak dapat dipenuhinya, maka dapat dihukumi haram.
(halal haram dalam Islam : Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi)

Sebagai kesimpulannya, jika kita melihat kepada syarat yang diletakkan oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, iaitu tidak boleh menyebabkan tertundanya solat , tidak terlibat dengan judi dan boleh menjaga lidah ketika bermain catur, siapakah yang boleh menjaga semua ini? Sudah pasti orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t dan orang yang kuat pegangan agamanya sahaja yang boleh melakukannya. Jika yang bermain catur ini adalah orang-orang yang kuat imannya maka mereka perlu menilai semula, apa faedah catur kepada mereka? Adakah dengan bermain catur ini boleh meningkatkan iman kepada Allah s.w.t atau hanya permainan yang membuang masa sahaja.

974. Soalan : Ustaz saya cuma nak penjelasan yang jelas pasal asal usul qasidah serta hukumnya...Sebab saya keliru ada orang cakap yang qasidah ni tak betul la... sesat la.. menyimpang dari ajaran agama , sila berikan penjelasan.

Jawapan :

Pelbagai pandangan dan pendapat diberikan mengenai hukum berqasidah. Malah sehingga ada yang menyesat dan membidaah sesatkan qasidah ini. Alangkah terlalu mudahnya membidaahkan sesuatu perkara dengan 'sesat' sedangkan ia merupakan suatu perkara yang diperselisihkan ulama. Di sini saya lampirkan satu pendapat yang perlu diberikan perhatian sewajarnya mengenai qasidah:

Adapun amalan yang harus seperti bacaan Qasidah dan memukul kompang dalam maulid, maka Ibnu Hajar – semoga Allah merahmatinya- telah berkata – seperti di nukil oleh Imam as-Sayuthi dalam kitab “Al- Hawi” (1/302): ( adapun amalan yang harus untuk di kerjakan adalah terbatas kepada amalan yang menunjukkan rasa syukur kepada Allah Ta’aala, sama ada membaca Al-Qur’an, memberi makan, bersedekah, dan mengalunkan qasidah pujian kepada Nabi SAW…..adapun selain dari itu seperti nyanyian, dan mainan muzik dan lain-lainnya, maka layak untuk di nyatakan bahwa: apa yang hukumnya harus dari perkara di atas, bila mana mengandungi erti kegembiraan pada hari itu, maka hukumnya boleh, dan apabila hukumnya haram atau makruh, maka di larang). 

Terdapat hadist tentang hukum memukul kompang, di riwayatkan oleh Imam Ahmad hadist no:( 22989): ( seorang wanita datang kepada Rasulullah Ahallallahu ‘Alaihi wa Alihi Wasallam, lalu ia berkata: sesungguhnya aku bernadzar untuk memukul kompang di hadapanmu. Nabi - Shallallahu ‘Alaihi wa Alihi Wasallam- bersabda: (tunaikan nadzarmu). (Hadis riwayat Tirmidzi no: 3690, hadis hasan, diriwayatkan juga oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, hadist no: 4386, juga Abu Daud hadist no: 3312.)

Imam Al-Khattabi dalam kitabnya (4/382) berkata: (memukul kompang tidak termasuk dalam bab ketaatan yang terkait dengan perihal hukum nazar. Yang paling baik untuk di perkatakan tentang hukumnya ialah harus, akan tetapi bila ia mempunyai hubungan untuk menunujukkan kegembiraan atas keselamatan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Alihi Wasallam, maka mengerjakannya adalah menjadi bahagian dari ibadah, dan tergolong dalam ketaatan). 

Demikian juga, tuntutan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Alihi Wasallam ke atas Abdullah bin Rawahah, dan Ka’ab bin Malik dan lainnya untuk membacakan sya’ir-sya’ir ( pujian-pujian). 

(Artikal ini di ambil daripada tulisan Asy Syaikh Dr Mahmood Ahmad Al Zain)

975. Soalan : Ustaz,ada kawan saya mengatakan bahawa mandi sebelum pergi solat Jumaat adalah wajib bukan sunat. Minta ustaz berikan penjelasan. 

Jawapan :

Mandi di hari Jumaat sebelum mengerjakan solat Jumaat adalah sunat.mu'akkadah sahaja bukan wajib. 

Jumhur Ulama berpendapat mandi Jumaat tidak wajib. Mereka mengakui kesahihan hadis-hadis yang dibawakan oleh ulama yang mewajibkannya. Namun setelah dikorelasikan dengan riwayat-riwayat lain, mereka menakwilkan kata "wajib" sebagai taukid (penekanan). Kerananya mereka menyimpulkan bahwa hukum mandi solat Jumaat adalah sunnah mu'akkadah. Berikut ini dasar pendapat mereka:

Pertama, Dari Abu Hurairah radliyallah 'anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

"Barangsiapa berwuduk, lalu memperbagus (menyempurnakan) wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat dan dilanjutkan mendengarkan dan memperhatikan khutbah, maka dia akan diberikan ampunan atas dosa-dosa yang dilakukan pada hari itu sampai dengan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari sesudahnya. Barangsiapa bermain-main krikil, maka sia-sialah Jumaatnya." (HR. Muslim no. 857)

Di dalam hadis ini Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam hanya menyebutkan wuduk dan hanya menfokuskan padanya, tidak pada mandi, lalu menilainya sah sekaligus menyebutkan pahala yang diperoleh dari hal tersebut. Dengan demikian, hal itu menunjukkan wuduk saja sudah cukup dan tidak perlu mandi. 

Dengan demikian, hal itu menunjukkan wuduk saja sudah cukup dan tidak perlu mandi. Dan bahwasanya mandi itu bukan sesuatu yang wajib, tetapi Sunnah Mu'akkadah.

Imam al Nawawi rahimahullah, dalam Syarh Shahih Muslim, ketika memberikan syarah hadis, "siapa yang mandi kemudian mendatangi Jumaat, lalu solat sebagainya yang dia mampu, lalu memperhatikan khutbah hingga selesai, lalu solat bersama Imam, maka diberi ampunan untuknya pada hari itu sampai dengan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari sesudahnya," beliau menyitir riwayat di atas. Kemudian berkata, "di dalam hadis (pertama) terdapat keutamaan mandi. Dan itu bukan hal yang wajib berdasarkan riwayat kedua. Di dalamnya terdapat anjuran berwuduk dan memperbagusnya." 

Kedua, hadis Samurah bin Jundab radliyallah 'anhu. Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ يَوْمَ اَلْجُمُعَةِ فَبِهَا وَنِعْمَتْ, وَمَنْ اِغْتَسَلَ فَالْغُسْلُ أَفْضَلُ

"Barangsiapa yang berwuduk, maka dia telah mengikuti sunnah dan itu yang terbaik. Barangsiapa yang mandi , maka yang demikian itu lebih afdhal." (HR. Abu Dawud no. 354, al-Tirmidzi no. 497, al-Nasai no. 1379, Ibnu Majah no. 1091, Ahmad, no. 22. Imam al-Tirmidzi menghasankannya)

Ibnu Hajar mencantumkan hadis ini dalam Bulughul Maram sesudah hadis yang menunjukkan wajibnya mandi Jumaat. Dan berdasarkan hadis ini, Jumhur mendasarkan pendapat mereka.

Imam al Shan'ani dalam Subul al-Salam berkata, "hadis ini menjadi dalil tidak wajibnya mandi."

Al-Mubarakfuri dalam Ithaf al Kiram berkata, "hadis ini menguatkan pendapat Jumhur bahawa mandi hari Jumaat tidak wajib."

Ketiga, pengakuan 'Umar dan para sahabat terhadap 'Utsman yang berangkat menunaikan solat Jumaat dengan berwuduk saja, tidak mandi. Mereka tidak menyuruh 'Ustman untuk keluar dari masjid serta tidak menolaknya sehingga hal itu menjadi ijmak mereka bahawa mandi bukan menjadi syarat sahnya solat Jumaat dan tidak wajib.

Imam al Nawawi mengambil kesimpulan dari kisah ini, seandainya mandi Jumaat itu wajib pasti 'Utsman tidak akan meninggalkannya. Dan jika wajib, pasti 'Umar dan para sahabat lainnya akan menyuruhnya mandi. Padahal status keduanya sebagai Ahlul Halli wal 'Aqdi.
Imam al Tirmidzi rahimahullah menyimpulkan dari kisah ini, bahawa mandi hari Jumaat bersifat pilihan dan bukan sesuatu yang wajib.

Keempat, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada para sahabat yang keluar bekerja pada hari Jumaat sehingga mereka terkena debu dan menimbulkan bau tidak sedap;

لَوْ اغْتَسَلْتُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ

"Alangkah baiknya kalian mandi pada hari Jumaat." (HR. Muslim dari 'Aisyah radliyallah 'anha) dalam riwayat lain, "kalau saja kalian membersihkan diri kalian untuk hari kalian ini."


No comments:

Post a Comment