Thursday, March 5, 2015

Tanyalah Usatz Siri 227 (Bacaan Sujud Sahwi, Berapa Jumlah Wang Wajib Di Zakatkan, Hikmah Memaafkan Kesalahan Orang Lain, Status Hadis Makan Bila Lapan Dan Berhenti Bila Lapar Dan Kaffarah Sumpah.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 227 adalah menjelaskan persoalan bacaan sujud sahwi, berapa jumlah wang wajib di zakatkan, hikmah memaafkan kesalahan orang lain, status hadis makan bila kenyang dan berhenti bila lapar dan kaffarah sumpah.

1091. Soalan : Ada pendapat yang mengatakan tiada hadis atau dalil yang khusus menerangkan tentang bacaan dalam sujud sahwi. betul ke? Sepanjang hadis yang saya jumpa pun cuma menceritakan tentang perbuatan sujud sahwi tapi tiada tentang bacaan.

Jawapan :
                                                                                                                                      
Terdapat banyak hadis sahih menjelaskan jika terlupa rekaat atau tertinggal sunat ab'ad maka Nabi SAW menyuruh melakukan sujud sahwi samaada sujud selepas tahyat akhir sebelum salam atau sujud sahwi sebaik saja memberi salam kedua. Mengenai bacaan sujud sahwi terdapat khilaf ulama ada mengatakan bacaan sujud sahwi adalah “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” yang membawa maksud, “Maha suci Tuhan yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa”.

Sebenarnya, bacaan ini bukanlah dari sunnah Nabi SAW. dan tidak pula pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh ulama salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat. tetapi jumhur ulama mengatakan bahawa bacaan sujud sahwi adalah sama dengan bacaan semasa sujud " Subhaana rabbiyal a'la wabihamdihi (3x " dan bacaan di antara dua sujud semasa sujud sahwi sama juga bacaan duduk antara dua sujud "Rabbighfirlii, warhamnii, wajburnii, warfa'nii, warzuqnii, wahdinii, wa'afinii " . Di antara dua pendapat maka pendapat yang lebih jelas dan tepat adalah sama dengan bacaan semasa sujud.

Sujud sahwi adalah nama bagi ‘dua sujud’ yang dilakukan oleh seseorang yang bersolat, untuk menutup kekurangan yang terjadi ketika solat disebabkan terlupa. (Muhammad bin Shalih al-‘Uthaimin, Risalah Sujud Syahwi, Majalah as-Sunnah, Edisi 12/VII/1424H/2004M, m.s. 41)

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Sujud sahwi dilakukan dengan dua kali sujud sebelum atau sesudah salam oleh seseorang yang sedang bersolat. Kedua-dua cara ini memang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, jld. 2, m.s. 98)

Jika diteliti hadis-hadis Rasulullah SAW. berkaitan sujud syahwi, ternyata Baginda SAW. tidak pernah menunjukkan (mengajarkan) bacaan khusus yang pelu dibaca ketika sujud (syahwi) ini. Maka, bacaan-nya adalah sama sepertimana bacaan di dalam sujud solat seperti biasa.

Namun, di dalam masyarakat kita mereka selalunya mengamalkan bacaan seperti ini:

“Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” yang membawa maksud, “Maha suci Tuhan yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa”.

Sebenarnya, bacaan ini bukanlah dari sunnah Nabi s.a.w. dan tidak pula pernah diamalkan oleh para sahabat dan seluruh ulama salaf al-Ummah termasuk imam-imam mazhab yang empat.

Malahan menurut Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry rahimahullah:

Tidak pernah diriwayatkan sesuatu doa yang khusus untuk sujud sahwi daripada Rasulullah SAW. Doa yang dibacanya adalah sama seperti doa yang dibaca ketika sujud biasa. Adapun pendapat yang mengatakan bahawa bacaan saat sujud sahwi adalah “Subhaana man laayanaamu walaa yashuu” adalah tidak benar kerana ianya tidak pernah diamalkan oleh Nabi SAW. Dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani pula berkata dalam Kitab al-Talkhis tentang doa tersebut katanya: “Aku tidak pernah menemui asal usul (sanad) bacaan ini.”

Imam Nawawi r.h. seorang ulama besar di dalam mazhab Syafie : berkata:

Sujud sahwi dilakukan dua kali dan dipisahkan antara kedua-duanya dengan duduk istirasy (duduk antara dua sujud). Sebelum salam, dia hendaklah duduk tawarruk (duduk tahiyyah akhir). Cara sujud dan bacaannya adalah sama seperti sujud dalam solat fardhu. (Subhaana rabbiyal a'la wabihamdihi (3x) Maksudnya : Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya). (Kitab al-Majmu’, jil. 4, m/s. 72).

1092. Soalan : Ustaz..berapakah jumlah pendapatan bulanan yang patut di keluarkan zakat..dan simpanan di dalam bank..

Jawapan :

Jumlah wang tersimpan atau emas tersimpan setahun Hijrah adalah sebanyak 85 gram. Jumlah nisab semasa yang di tetapkan oleh Pusat Zakat Selangor untuk tahun 2015 adalah sebanyak RM 11,145.00.

Zakat pendapatan yang di wajib bayar adalah berdasarkan kiraan seperti di bawah : 
KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT

Terdapat 3 garis panduan mengira zakat pendapatan

KAEDAH 1

2.5 % atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab)

CONTOH: Jika jumlah kasar dari sumber setahun ialah sebanyak RM33,800.00, maka zakatnya sebanyak RM33,800.00 x 2.5 % = RM845.00

KAEDAH 2 Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan-perbelanjaan asas yang dibenakan (berlandaskan kaedah penolakan yang dibenarkan

KAEDAH 3 Membayar zakat setelah mengambil kira tanggungan sebenar.

CONTOH PENGIRAAN ZAKAT MENGIKUT KAEDAH 2 DAN 3

A. Pendapatan Dari Semua Sumber (setahun) RM Gaji 24,000 Elaun 5,800 Bonus 4,000 Lain-lain 5,000 JUMLAH PENDAPATAN 38,800

B. Perbelanjaan Yang Dibenarkan (setahun) RM Diri 8,000 Isteri 3,000 Anak-anak (1,000 x 4 orang) 4,000 Pemberian IbuBapa 2,400 Caruman KWSP 2,400 Caruman Tabung Haji 600 Caruman kepada institusi / koperasi yang telah memberi zakat bagi pihak ahli. 1,200

JUMLAH TOLAKAN 21,600

C. Pendapatan Bersih Yang Layak Dizakat (A-B) RM RM38,800 – RM 21,600 Nilai melebihi paras nisab, (contoh: nisab Kelantan bagi tahun 2009 = RM 8,422.14)= RM8777.86

D. Zakat Yang Wajib Dibayar (C x 2.5%) RM RM8777.86 x 2.5% = RM219.45

NOTA:

1. Perbelanjaan bagi diri, isteri dan anak dalam jadual di atas adalah berdasarkan kaedah penolakkan yang dibenarkan (berdasarkan kaedah kedua).

2. Bagaimanapun perbelanjaan bagi diri, isteri dan anak boleh diambil kira tanggungan sebenar (berdasarkan kaedah ketiga) iaitu mengambil kira perbelanjaan asasi bagi makanan, pakaian, perubatan, pengangkutan, pendidikan dan tempat tinggal.

3. Pemberian kepada ibu bapa, caruman KWSP, caruman Tabung Haji, caruman kepada institusi/koperasi, takaful yang telah membayar zakat bagi pihak ahli hendaklah berdasarkan kepada jumlah sebenar.

Sumber : Pusat Zakat Selangor dan lain-lain.

Wallahu ‘alam.

1093. Soalan : Ustaz apa hukum jika seseorang itu sukar maafkan seseorang dan meminta maaf atas berlakunya keruntuhan rumahtangga yang di lakukannya atas kepentingan dirinya tanpa fikir perasaan anak-anak tersebut .

Jawapan : 

Jika seseorang telah di zalimi dia boleh berdoa kepada Allah SWT supaya orang yang melakukan kezaliman keatas dirinya mendapat balasan tetapi memaafkan kesalahan orang itu adalah lebih baik . Kita mendoakan agar orang yang zalim itu kembali bertaubat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” (Surah Al-A'raaf ayat 199)

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Orang yang terkuat di kalangan kamu semua ialah orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya di ketika dia marah dan orang yang tersabar ialah orang yang suka memberikan pengampunan di saat dia berkuasa memberikan balasan (kejahatan orang yang menyakitinya)"
(Hadis Riwayat Baihaqi)

Sabda Nabi SAW. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Al Imam Al Hasan Al Bashri rahimahullah berkata: “Empat hal, barangsiapa yang mampu mengendalikannya maka Allah akan menjaga dari syaitan dan diharamkan dari Neraka : iaitu seseorang mampu menguasai nafsunya ketika berkeinginan, cemas, syahwat dan marah.”

Kebaikan yang akan puan perolehi jika bersedia memaafkan orang yang menzalimi puan adalah : 

1. Hati puan telah hilang perasaan dendam - orang yang pendendam hatinya akan sakit dan memberi kesan kepada fizikalnya kerana hilang keceriaan dan sentiasa berduka cita.

2. Apabila kita memaafkan seseorang Allah akan memaafkan kesalahan kita dan kita akan di kurniakan pahala jika ada sifat pemaaf. Nabi SAW ketika dicederakan di bandar Thaif masih memaafkan kesalahan penduduk Thaif sehinggakan azab yang akan di timpa ke atas penduduk Thaif telah di tangguhkan dan di batalkan. 

3. Sifat ahli syurga adalah pemaaf dan di buangkan perasaan dendam , iri hati dan kebencian pada orang yang menyusahkan hidup kita. 

4. Jika kita jadi pemaaf maknanya kita redha qada' dan qadar yg berlaku ke atas diri kita. Dengan ini akan menjadikan hati kita tenteram dan mulakan hidup baru dengan penuh ceria dan gembira.

Orang yang bertakwa adalah mereka yang mengerjakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya. Allah SWT mengkategorikan mereka yang pemaaf termasuk dalam golongan muttaqin (orang bertakwa). Allah SWT mengampunkan mereka yang pemaaf serta menempatkan mereka di syurga.

Sikap pemaaf adalah akhlak yang mulia dan dituntut syarak. Memaafkan orang adalah akhlak mulia dan tergolong dalam amalan yang amat digalakkan. Tentu sekali bagi mereka yang dikasihi Allah SWT akan mudah mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Bagi orang yang bersifat pemaaf, padanya tiada seorang pun dalam hatinya tersimpan perasaan marah. Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya.

Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati.

Marilah kita tanamkan pada hati dan jiwa kita sifat pemaaf, kerana sifat pemaaf adalah sifat ahli-ahli syurga sedang sifat pemarah dan pendendam adalah sifat ahli-ahli neraka. Dari sifat pemarah dan pendendam akan melahirkan sifat hasad dengki, irihati , sombong, bongkak dan takbur. Bawalah akhlak Islam di mana sahaja kita berada, supaya tindakkan kita tidak mencemarkan kesucian dan kemuliaan akhlak Islam. Umat Islam bukannya umat yang bengis, kasar dan pendendam.

Jika sifat memaafkan diamalkan, insya Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain. Sesungguhnya Allah SWT terlebih awal memberi keampunan dengan rahmat-Nya samaada ketika kita hidup di dunia maupun kehidupan di hari akhirat. Allah SWT akan memaafkan kesalahan dan dosa kita di akhirat nanti jika di dunia kita sentiasa memaafkan kesalahan orang lain.

1094. Soalan :Ustaz, saya nak bertanya berkaitan sama ada yg di bawah ini adalah dari hadis atau pun bukan hadis:

1. makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang.

2. perut yg besar itu rumah penyakit.

Terima kasih utk jawapan yg diberikan nanti.

Jawapan :

Makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang adalah hadis palsu. Telah tersebar dalam internet satu kata-kata yang masyhur berbunyi:

 "نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع - 

"Kami adalah suatu kaum, yang tidak akan makan hingga merasa lapar, jika kami makan maka tidak sampai kenyang" 

Kata-kata ini dinisbahkan para tukang cerita kepada Baginda Nabi SAW, namun ketahuilah sesungguhnya ia adalah hadith palsu! ia bukanlah sabda Nabi SAW, tiada asalnya. 

Sesetengah tukang cerita menyatakan ia adalah hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim, sungguh ia adalah satu pendustaan kepada Nabi SAW dan pendustaan atas nama ulama hadith. 

Hadis dengan lafaz "نحن قوم لا نأكل حتى نجوع وإذا أكلنا لا نشبع - kami adalah suatu kaum, yang tidak akan makan hingga merasa lapar, jika kami makan maka tidak sampai kenyang" 

Ini tidak ditemui dalam mana-mana kitab hadith Ahlussunnah, baik kutub hadith yang masyhur atau tidak masyhur. Dengan itu berkata Syaikh al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin : "لا أصل له- tiada asalnya" (rujuk: Silsilah al-Sahihah, no. 3942). 

Sebaliknya ia hanya dijumpai dalam kitab sirah (sejarah) iaitu kitab Sirah al-Halabiah (3/299) karya `Ali bin Burhanuddin al-Halabi dan penulis tidak menyebut sebarang sanad langsung untuk kata-kata ini. Lebih menakjubkan ianya terdapat dalam kitab Syi'ah!! iaitu kitab hadith Syi'ah karya al-Sayyid al-Thabathabaie bernama Sunan al-Nabi (bab makanan dan minuman, halaman 266). 

Tidak syak lagi bahawa hadith ini adalah hadith palsu , pendustaan kepada Nabi SAW dan berkemungkinan besar ia adalah ciptaan Syi'ah. 

Kata-kata ini bukan saja dusta kepada Baginda Nabi SAW, bahkan ia bercanggah dengan sebuah hadith sahih yang menceritakan bahawa Abu Hurairah pernah disuruh Baginda Nabi SAW minum susu hingga perutnya penuh kenyang. Iaitu hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Jami'nya al-Sahih (no. 6452),

2. Tidak dapat di pastikan kata-kata, " Perut yg besar itu rumah penyakit" , tetapi dalam hadis sahih Islam melarang umatnya makan secara berlebihan berdasarkan sabda Nabi SAW., yang bermaksud: “ Orang mukmin itu makan menggunakan sebuah perut; sedangkan orang kafir itu makan dengan menggunakan tujuh buah perut.” (Hadis Riwayat Bukhari)

1095. Soalan : Ustaz, saya nak tanya skit.dulu saya pernah sumpah suami saya tak akan mengandungkan benih dia selagi dia tak berubah.ketika saya ada masalaah dengan suami.Masa tu saya mengandung dan keesokan hari nya saya keguguran.masa saya cakap tu untuk ugut sahaja bukan berniat nak gugurkn.benda ni dah 6 tahun lepas. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih.

Jawapan :

Untuk membatalkan sumpah yang puan telah ucapkan 6 tahun dahulu adalah dengan membayar kaffarah sumpah. Firman Allah SWT maksudnya, "Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja. Maka kaffarah (melanggar) sumpah ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffarahnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarat sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukumNya agar kamu bersyukur (kepadaNya)". (Surah Al-Maaidah (5) ayat 89) 

Sebab Turun Ayat: 

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas (ra) katanya: Ketika turun ayat 87 Surah Al-Maidah (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas), lalu kaum yang dulunya telah mengharamkan ke atas diri mereka menggauli isteri-isteri mereka dan mengharamkan ke atas diri mereka dari makan daging, mereka bertanya: Ya Rasulallah, apakah yang kami patut lakukan terhadap sumpah-sumpah yang telah kami ucapkan itu? Maka turunlah ayat di atas (Surah Al-Maaidah (5) ayat 89). 

Tafsiran Ayat: 

Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah) 

Maksudnya: Allah tidak akan menghukum kamu disebabkan sumpah yang kamu ucapkan sedangkan kamu tidak bermaksud bersumpah, seperti kata seseorang yang tidak bermaksud sumpah: Tidak, demi Allah; Memang betul, demi Allah. Kata-kata sumpah yang tidak bermaksud sumpah seperti ini tidak ada hukumannya, iaitu di dunia tidak perlu dikaffarah, dan di akhirat tidak akan disiksa oleh Allah. 

tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja 

Maksudnya: Tetapi Allah akan menghukum kamu jika sumpah yang kamu ucapkan itu benar-benar dengan maksud sumpah dan kamu bertekad akan melaksanakannya lalu kamu langgar ketetapan sumpah itu, 

Maka kaffarah (melanggar) sumpah ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak .

Maksudnya: Jika sumpah tersebut dilanggar atau bercadang untuk melanggarnya maka orang yang bersumpah itu mestilah membayar kaffarah sebagaimana berikut:

1. Memberi makan sepuluh orang miskin. Ukuran makanan tersebut ialah seperti makanan yang biasa kita berikan kepada keluarga kita. Tidak memadai jika lebih rendah mutunya atau kadarnya dan jangan pula berlebih-lebihan seperti jamuan Hari Raya. Menurut Imam Abu Hanifah: Juga boleh kalau memberi makan untuk seorang miskin selama 10 hari.

atau.

2. Memberi pakaian sepuluh orang miskin. Keadaan pakaian berbeza-beza menurut negeri masing-masing. Oleh itu, kebiasaan (‘urf) dalam masyarakat bolehlah dijadikan sebagai ukuran umpamanya: Seluar dengan kemeja, sarung dengan baju kurung dan sebagainya.

atau

3. Memerdekakan seorang hamba sahaya. Para Fuqahaa berbeza pendapat tentang hamba (budak). Imam Malik, Syafi’I dan Ahmad mensyaratkan budak tersebut mestilah beriman. Sedangkan Abu Hanifah berkata: Memadai walaupun budak itu kafir.

Catatan: Ketiga-tiga jenis kaffarah di atas tidak diwajibkan tertib tetapi kita bebas memilih salah satu daripadanya. Tetapi yang afdhal ialah jika dimulai dari bawah, iaitu memerdekakan seorang hamba atau memberi pakaian sepuluh orang miskin atau memberi mereka makan. (Lihat hadis di bawah)

atau

4. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffarahnya puasa selama tiga hari.

Maksudnya: Barangsiapa tidak sanggup melakukan salah satu daripada tiga jenis kaffarah di atas maka diwajibkan ke atasnya berpuasa selama tiga hari berturut-turut.

Ibnu Mardawiyah meriwayatkan dari Ibnu Abbas (ra) katanya: Ketika ayat kaffarah di atas diturunkan, Huzaifah bertanya: Ya Rasulallah, kami diperbolehkan memilih? Jawab Rasulullah SAW:
“Kamu boleh memilih, jika kamu merdekakan seorang hamba, jika kamu mahu berikan pakaian, jika kamu mahu berikan makanan. Dan bagi yang tidak memperolehinya maka wajib ke atasnya puasa selama tiga hari berturut-turut”.
Yang demikian itu adalah kaffarah sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu."

Jika puan nak memberi makan orang miskin seramai 10 orang setiap makanan perlu ada nasi, lauk ikan / ayam dan sayur dan air mineral cukup untuk makanan yang mengenyangkan untuk seorang.

No comments:

Post a Comment