Sunday, March 15, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 230 (Hukum Jumpa Bomoh Guna Sihir, Hari-hari Sunat Berbekam, Hadis Bercakap Semasa Azan, Hukum Musafir dan Talkin Si Mati di Gunakan Nama Ibunya.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 230 adalah menjelaskan persoalan hukum jumpa bomoh guna sihir, hari-hari sunat berbekam, hadis bercakap semasa azan, hukum musafir dan talkin si mati di gunakan nama ibunya.

1106. Soalan : Apakah hukumnya jika seseorang berjumpa bomoh untuk melakukan sihir kepada orang ayng dia benci sehingga orang tersebut sakit (denagn izin Allah). Adakah orang yang melakukan sihir tersebut akan  tanggung segala dosa orang yang di aniaya sehingga tak mampu melakukan ibadah dengan sempurna?

Jawapan :  

Orang yang menggunakan khidmat bomoh untuk sihir orang lain bukan saja berdosa besar tetapi telah melakukan syirik . 

Berdasarkan surah al-Baqarah ayat 102 firman Allah SWT yang bermaksud, " Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahwa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaiu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cubaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya . Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfa'at. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahwa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya sendiri dengan sihir, kalau mereka mengetahui. (Surah al-Baqarah ayat 102)

Sabda Rasulullah SAW;

إِنَّ الرُّقَي وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi-jampi, tangkal-tangkal dan sihir tiwalah adalah syirik”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Mas’ud r.a./al-Jami’ as-Saghir, no. 2002)

(At-Tiwalah ialah sejenis sihir pengasih iaitu yang digunakan untuk menjadikan seorang perempuan dikasihi oleh seorang lelaki. Lihat Faidhul Qadier, hadis no. 2002)

Jika seseorang menggunkan sihir (dengan izin Allah) menyebabkan seorang menderita sakit sehinga membawa kematian maka betapa besar dosa yang akan di tanggung oleh orang yang melakukan sihir tersebut termasuk bomoh yang memberikan khidmat. tersebut dan sesiapa yang bersyubhat dengan mereka. (termasuk orang yang memberitahu tempat tinggal bomoh tersebut).

1107. Soalan : Saya ingin tahu adakah hadis ini hadis sahih : "Barang siapa yang berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (Kalender Hijrah), maka ia akan sembuh dari segala penyakit"

Jawpan : 

Hadis tersebut adalah  hadis sahih sunan Abu Dawud). Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda:
"Barang siapa yang berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (Kalender Hijrah), maka ia akan sembuh dari segala penyakit" (Lihat Shahih Sunan Abi Dawud)

Berbekam adalah amalan sunah Rasulullah SAW . 

Hadis Mengenai Bekam.

Terdapat banyak hadis mengenai bekam di antaranya ialah:

1. Dari Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW. bersabda;
"Kalian harus berbekam dan menggunakan al-qushtul bahri"
(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

2. Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasulullah SAW. bersabda;
"Sesungguhnya sebaik-baik sarana yang kalian gunakan untuk berubat adalah bekam, al-kist dan syuniz" (lihat Kasyful Astaar 'an Zawaaa-idil Bazaar) 

3. Rasulullah SAW. bersabda: "Sesungguhnya dengan berbekam itu terdapat kesembuhan." (Lihat Mukhtashar Muslim, Shahiihul Jaami' dan Silsilah al-Ahaadiits ash-Shahiihah)

4. Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasulullah SAW. bersabda:
"Jika ada suatu kesembuhan pada perubatan kalian maka pengubatan itu terdapat pada hirisan alat bekam atau dengan meminum madu" (Lihat Kasyful Astaar 'an Zawaa-idil Bazzar)

5. Dari 'Uqbah bin 'Amir, Rasulullah SAW. bersabda:
"Ada tiga hal yang jika pada sesuatu ada kesembuhan, maka kesembuhan itu terdapat pada hirisan alat bekam atau meminum madu atau dengan membakar di tempat yang sakit. Dan aku membenci pembakaran" (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

6. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda:
"Barang siapa yang berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21 (Kalender Hijrah), maka ia akan sembuh dari segala penyakit"
(Lihat Shahih Sunan Abi Dawud)

7. Dari Abu Kabsyah al-'Anmari r.a., bahawa Rasulullah SAW. pernah berbekam di bahagian tengah kepalanya dan di antara kedua bahunya. Dan Baginda bersabda:
"Barangsiapa mengalirkan darah ini, maka tidak ada mudharat baginya untuk mengubati sesuatu dengan sesuatu"
(Lihat Shahih Sunan Abi Dawud dan Jaami'ul Ushuul) 

8. Diriwayatkan oleh Ibnu Sunni dan Abu Nu'aim, Nabi Muhammad SAW. bersabda: "Kalian harus berbekam di jauzatil qamahduwah, kerana sesungguhnya ia dapat menyembuhkan 70 penyakit"

9. Dari Anas bin Malik r.a., dia bercerita:
"Rasulullah SAW. biasa berbekam di bahagian urat merih (jugular vein) dan pada bahagian belakang. Baginda biasa berbekam pada hari ke 17, 19 dan 21". (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

10. Dari Ibnu 'Umar r.a., Rasullah SAW. bersabda:
"Berbekam dalam keadaan perut kosong adalah yang paling baik, di mana ia akan menambah ketajaman menghafal. Ia akan menjadikan seseorang penghafal lebih mudah menghafal. Oleh kerana itu, sesiapa yang hendak berbekam, maka sebaiknya dia melakukannya pada hari Khamis dengan menyebut nama Allah. Hindarilah berbekam pada hari Jumaat dan Sabtu serta Ahad. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa. Hindarilah berbekam pada hari Rabu kerana hari tersebut merupakan hari di mana Nabi Ayyub tertimpa malapetaka. Tidaklah timbul penyakit kusta dan lepra kecuali pada hari Rabu atau malam hari Rabu" (Lihat Shahih Sunan Ibni Majah)

11. Dari Anas r.a., dia bercerita: "Rasulullah SAW. bersabda:
"Jika terjadi panas memuncak, maka neutralkannya dengan berbekam sehingga tidak berlaku darah tinggi pada seseorang dari kalian yang akan membunuhnya" (Hadis Riwayat Hakim).

12. Dari Ibnu 'Abbas r.a., dia bercerita: "Nabi Allah SAW bersabda:
"Sebaik-baik hamba adalah tukang bekam, mengeluarkan darah dan meringankan tulang rusuk serta memperjelaskan pandangan."(Sunan Abni Majah)
“Malah, dalam hadis qudsi yang diriwayatkan oleh al-Tarmizi menyatakan ketika Nabi Muhammad dalam perjalanan Israk Mikraj, Baginda menemui malaikat yang menyuruh umat Islam menggunakan bekam untuk tujuan kesihatan,” katanya.

Katanya, Nabi Muhammad juga diriwayatkan berbekam di atas kepala dan antara dua bahu, sekali gus menunjukkan berbekam mempunyai banyak manfaat.

1108. Soalan : Saya ingin bertanya adakah hadis ini adalah hadis palsu atau dhaif: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allahakan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.” Minta ustaz memberikan pencerahannya.

Jawapan : 

Orang yang mengatakan tidak boleh bercakap-cakap ketika azan mungkin menggunakan hadis:

"Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allahakan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya.”

Berkenaan Hadis di atas ianya adalah TIDAK SAHIH (samada DHAIF atau PALSU), ini kerana bukan sahaja ianya tidak diriwayatkan dalam mana-mana kitab-kitab matan hadis dan takhrij, malah hadis ini bertentangan dengan dalil-dalil Sahih yang menyebut bahawa Baginda SAW dan para Sahabat pernah bercakap-cakap ketika azan.

Imam Bukhari yang merupakan pakar dan imam mujtahid hadis yang juga merupakan seorang yang faqih dan mujtahid dalam bidang fiqh ada meletakkan bab ‘’Berkata-kata ketika (dalam) Azan’’ dalam kitab Sahihnya. Contohnya:

“Sulaiman bin Shurad berbincang-bincang (berkata-kata) sewaku ia mengumandangkan azan” (Sahih Bukhari)

Dalam riwayat lain,

“Mereka dahulu berbincang-bincang pada hari Jum’at dan Umar duduk di atas mimbar. Jika muadzin selesai adzan, maka Umar bangun dan tak seorangpun berbicara”. [HR Asy Syafi’i dalam Al Um, dan dishahihkan An Nawawi, sebagaimana dijelaskan Albani dalam Tamamul Minnah, hlm. 339]

Hukum bercakap-cakap/berbual-bual ketika azan

Para fuqaha’ berselisih pendapat:
1) Dibolehkan dan Tiada Masalah: Yang berpendapat bahawa ianya dibolehkan (tiada masalah) adalah al-Hasan , al-Awzaie, al-Bukhari dan lain-lain.

2) Makruh tetapi dibolehkan jika untuk maslahah: Yang berpendapat bahawa ianya makruh adalah Ibn Sirin, al-Sya’bi, Abu Hanifah, Malik, al-Thauri, Syafie. Namun demikian sebahagian mereka mengecualikan dan berpendapat jika percakapan itu untuk maslahah maka ianya tidak makruh (iaitu seperti menjawab salam, menjawab bersin, menyuruh kebaikan dan mencegah mungkar dan sebagainya) sebagaimana kata Ishaq ‘’sekiranya untuk maslahah seperti menjawab salam dan menyuruh kepada kebaikan maka ianya tidak makruh…”. 

3) Makruh ketika Iqamah dan tidak makruh ketika Azan: Dan ada juga fuqaha’ yang berpendapat makruh bercakap-cakap ketika iqamah tetapi tidak makruh (dibolehkan berkata-kata) ketika azan, dan pendapat ini masyhur pada Imam Ahmad. (lebih lanjut - rujuk Fathul Bari syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Rajab al-Hanbali, jilid 4, m/s 224, bab ‘’berkata-kata ketika azan’’)

Pendapat yang terpilih adalah pendapat yang pertama iaitu dibolehkan berkata-kata ketika azan selama mana menjaga adab-adab ketika mendengar azan, kerana tiada dalil yang jelas dan kuat menyatakan ianya tertegah.

Kita dapat lihat di sini, tiada para fuqaha’ mengatakan yang haram berbual-bual ketika azan dikumandangkan.

Hukum menjawab azan

Imam as-Son'ani dalam Subulas Salam menyebut:

"Dan telah berbeza pendapat (di kalangan para ulama) tantang kewajipan menjawab azan…. Jumhur ulama' berpendapat tidak diwajibkan. Mereka berdalilkan dengan satu perbuatan Nabi saw suatu ketika baginda mendengar tukang azan melaungkan takbir, baginda bersabda : "(kamu berada) atas Fitrah." ketika baginda mendengar syahadah, baginda bersabda : "Kamu selamat daripada neraka." (Hadith Riwayat Imam Muslim, Kitab Solat, hadis no. 575). Jumhur Ulama berkata : "Jika menjawab azan itu wajib, sudah pasti Nabi saw akan menyahut azan tersebut sepertimana yang dilaungkan oleh muazzin. Maka apabila (terdapat perbuatan Nabi yang tidak menyahud azan seperti laungan muazzin) menjadi tanda bahawasanya arahan (menjawab azan seperti hadith dari Abi Sa'id) menunjukkan kepada sunat atau istihab..." (rujuk Subulas Salam, as-Son’ani, bab ‘’apa yang dikata pabila mendengar azan’’, jilid 1, m/s 428)

1109. Soalan : Ustaz saya ingin bertanya kalau kita musafir,kasatu negara, tinggal di situ salama 5 mlm, lepas tu terbang lagi ka satu negara dan tinggal 3 mlm.bagaimana nak tunaikan solat jamak, ada yg di bolehkan pada negara yg pertama dan negara yg kedua tidak di bolehkan jamak? Mohon penjelasan, t.kasih.

Jawapan :

Dalam mazhab Syafie jika sudah niat bila sampai hendak menetap lebih daripada 3 hari tak boleh solat jamak dan qasar setelah sampai ke distinasi. Tetapi jika berlepas ke negara lain selepas itu boleh solat jamak dan qasar.

Jika kita berhasrat tinggal di negera A , 5 Hari baru kita berlepas ke negara B , maka bila sampai di negara A maka kita solat tamam. Apabila kita mula bertolak ke negara B maka kita boleh solat jamak dan qasar .

Dalam mazhab Syafie maksud 3 hari itu tak termasuk hari sampai dan hari bertolak balik. Contoh jika kita bertolak hari Ahad sampai ke negara A hari isnin, maka kita boleh solat jamak dan qasar pada hari isnin, selasa, rabu , khamis dan jumaat (hari bertolak balik).

Dalam membicarakan solat jamak dan qasar untuk orang musafir terdapat khilaf ulama ada ulama yang membenarkan melebihi 3 hari berdasarkan hadis sahih daripada Rasulullah SAW. 

Dalil mensyari'atkan Solat Qasar.

1. Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. (Surah an-Nisaa' 04 ayat 101)

2. Ya'laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah - "maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir" ; sedangkan pada masa sekarang manusia telahpun berada dalam keadaan aman. Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu-Alaihi Wasallam tentang hal ini lalu baginda bersabda:" Itu adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada kalian maka terimalah sedekahNya itu." (Hadis riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1156.)

Dari ayat al-Qur'an dan sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam di atas, para ilmuan menetapkan bahawa solat boleh di qasar apabila sahaja seseorang itu berada dalam perjalanan yang keluar dari tempat asalnya sehinggalah dia kembali semula ke tempat asalnya itu. Dua dalil di atas jelas mensyari'atkan kebolehan mengqasar solat apabila seseorang itu berada dalam perjalanan tanpa sebarang syarat atau keadaan tambahan .[Imam Ibnu Taimiyah - Majmoo al-Fatawa, 22/291, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/259, Shaikh Muhammad Abduh dan Rashid Risda - Tafsir al-Manar, surah ke-4, ayat 101, Prof. Hamka - Tafsir al-Azhar, 2/1389 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/369, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/214.]

3. Anas bin Malik radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah musafir bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu baginda melakukan solat secara dua raka'at (qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Orang bertanya: Apakah kalian sempat menginap di Kota Mekah ? Anas menjawab: Kami menginap di Kota Mekah selama 10 hari. [Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari - no: 1009.]

4. Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari (dan baginda) mengqasarkan solat. " [Maksud atsar sahabat riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1191.]

Dalil-dalil ketiga dan empat menerangkan bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melaksanakan solat-solatnya secara qasar tanpa mengira bilangan hari dia berada dalam perjalanan atau duduk di destinasinya. Hadis ketiga ialah musafir kerana ibadah haji, hadis keempat ialah musafir kerana perang. Dua suasana berlainan ini menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara qasar kerana perang atau selain dari perang. Wallahu a'lam

1110. Soalan : Ustaz, orang yg masih hidup di bin binti kepada bapanya. Adakah diwajibkan di bin binti kepada ibunya setelah meninggal? Harap dapat ustaz jelaskan. Terima kasih.

Jawapan :

Nabi Muhammad SAW Mengharuskan Talqin 

Mari kita singkap hadis Nabi Muhammad SAW sendiri menyuruh amalan talqin yang diriwayatkan oleh Imam At-Tabarani dalam Mu’jam Soghir dan Mu’jam Kabir daripada Abi Umamah Al-Bahily berkata :

إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نصنع بموتانا، أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال: إذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب على قبره فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل: يا فلان ابن فلانة فإنه يسمعه ولا يجيب، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يستوي قاعداً، ثم يقول: يا فلان ابن فلانة فإنه يقول أرشدنا يرحمك الله ولكن لا تشعرون، فليقل: اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمداً عبده ورسوله وأنك رضيت بالله رباً وبالإسلام ديناً وبمحمد نبياً وبالقرءان إماماً فإن منكراً ونكيراً يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول: انطلق بنا ما يقعدنا عند من لُقّن حجته، قال [أي أبو أمامة]: فقال رجل: يا رسول الله فإن لم يُعرف أمه، قال: ينسبه إلى أمه حواء، يا فلان ابن حواء" . 

Yang bermaksud : "Apabila aku mati nanti, lakukan padaku sepertimana yang disuruh oleh Rasulullah agar dilakukan kepada mayat, Rasulullah telah memerintah kita dengan sabda baginda: 

“ Apabila matinya seorang daripada kalanganmu, maka tanamlah dan berdirilah seorang di kalangan kamu semua pada bahagian kepala dikuburnya kemudian katakan Wahai si fulan anak si fulanah (binti ibunya), orang itu mendengarnya tetapi dia tidak akan menjawab, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia duduk, kemudian katakan Wahai fulan anak fulanah maka dia berkata semoga Allah merahmati kamu tetapi kamu semua tidak merasai (apa yang telah berlaku pada si mayat), maka hendaklah dikatakan :

Ingatlah apa yang telah menyebabkan kamu dilahirkan ke dunia iaitu syahadah tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hambaNya dan rasulNya dan engkau telah meredhai dengan Allah sebagai Tuhanmu dan Islam itu agamamu dan Muhammad itu Nabimu dan al-Quran itu petunjukmu maka malaikat mungkar dan nakir akan mengambil tangannya lantas berkata :" Ayuh bersama kami bawakan kepada siapa yang telah ditalqinkan hujahnya” 

Abu Umamah bertanya kepada Rasulullah Wahai Rasulullah! “Bagaimana sekiranya tidak diketahui nama ibunya? 

Rasulullah menjawab “Maka hendaklah dinasabkan kepada ibu manusia iaitu Hawa dengan mengatakan Wahai si fulan anak Hawwa.” (Hadith riwayat Imam Al-Hafiz Tabarani Dalam kitabnya Mu'jam Soghir Wal Kabir). 

Hadis yang mengharuskan talqin diatas telah disolehkan sanadnya (ulama hadis menyatakan hadis itu boleh digunakan) oleh Imam Muhaddith dari kalangan ulama hadith iaitu Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqolany dalam kitab beliau berjudul At-Talkhis Al-Habir. 

Sepertimana yang juga dibawah Kitab Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 muksurat 243 : وإسناده صالح وقد قواه الضياء في أحكامه Yang bermaksud : “ Sanad hadis ini adalah boleh digunakan dan hadis ini telah dikuatkan oleh Imam Al-Hafiz Ad-Dhiya’ dalam kitabnya Ahkam”. 

Maka hadis Nabi Muhammad ini jelas mengharuskan amalan talqin sepertimana juga para Ulama Salafus soleh berpegang dengan hukum mengenainya. Tiada seorangpun ulama islam yang mu’tabar mengingkari amalan talqin ini kecuali sebilangan kecil ajaran sesat di zaman kini yang suka sangat memecah belahkan umat islam dengan mendakwa amalan talqin adalah satu bid’ah yang teramat buruk dan siapa melakukan talqin maka dia sesat dan akan masuk Neraka Jahannam. 

Disini dibawa kata-kata ulama islam ahli sunnah Wal Jamaah mengharuskan amalan talqin dari mazhab Hanafi, mazhab Maliki, mazhab Syafie dan juga tidak lupa dari mazhab Hambali . 

Mazhab Islam Mengharuskan Talqin 

Mazhab Al-Hanafi Mengharuskan Talqin :

1-Berkata As-Syeikh Al-Alim Abdul Al-Ghony Al-Ghonimy Ad-Dimasyqy Al-Hanafi dalam kitab beliau berjudul Al-Lubab Fi Syarhil Kitab pada jilid 1 mukasurat 125 menyatakan : : "وأما تلقينه (أي الميت) في القبر فمشروع عند أهل السنة لأن الله تعالى يحييه في قبره". 

“Manakala hukum mentalqin mayat pada kubur adalah merupakan syariat islam disisi Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana Allah Ta’ala menghidupkannya dalam kuburnya”. 

Telah jelas bahawa dalam mazhab Hanafi amalan talqin adalah diharuskan bahkan disyariatkan.

Mazhab Maliki Mengharuskan Amalan Talqin 

1- Imam Al-Qurtuby Al-Maliky pengarang kitab tafsir terkenal telah menulis satu bab yang khusus mengenai amalan talqin disisi mazhab Maliki dalam kitab beliau berjudul At-Tazkirah Bil Ahwal Al-Mauta Wal Akhiroh pada mukasurat 138-139 : باب ما جاء في تلقين الإنسان بعد موته شهادة الإخلاص في لحده 

Di dalam bab itu juga Imam Qurtuby telah menjelaskan amalan talqin dilakukan oleh para ulama Islam di Qurtubah dan mereka mengharuskannya. 

Dalam mazhab Maliki juga bercanggah dengan mereka yang mengharamkan amalan talqin. 

Mazhab Syafi’e Mengharuskan Dan Mengalakkan Amalan Talqin 

1- Imam An-Nawawi As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Al-Majmuk pada jilid 5 mukasurat 303-304 : قال جماعات من أصحابنا يستحب تلقين الميت عقب دفنه" ثم قال: "ممن نص على استحبابه: القاضي حسين والمتولي والشيخ نصر المقدسي" 

Yang bermaksud : “ Telah menyatakan oleh ramai para ulama dari mazhab Syafi’e bahawa disunatkan talqin pada mayat ketika mengebumikannya”. Kenyataan mazhab Syafi’e dari kitab yang sama : "وسئل الشيخ أبو عمرو بن الصلاح رحمه الله عنه فقال: التلقين هو الذي نختاره ونعمل به" Imam Nawawi menyatakan : “ Telah ditanya kepada As-Syeikh Abu Amru Bin As-Solah mengenai talqin maka beliau menjawab Amalan talqin merupakan pilihan kita (mazhab Syafi’e) dan kami beramal dengannya” . 

2- Imam Abu Qosim Ar-Rofi’e As-Syafi’e menyatakan dalam kitab beliau berjudul Fathul ‘Aziz Bi Syarhi Al-Wajiz tertera juga pada bawah kita Al-Majmuk oleh Imam Nawawi pada jilid 5 mukasurat 242 : "ويستحب أن يُلقن الميت بعد الدفن فيقال: يا عبد الله بن أمة الله ..." إلى اخره . 

Yang bermaksud : Digalakkan dan disunatkan mentalqin mayat selepas mengebumikannya dan dibaca : Wahai hamba Allah binti hamba Allah…(bacaan talqin). Di malaysia kita umat islam kebanyakannya berpegang dengan mazhab Syafi’e. Lantaran itu hukum talqin adalah harus berdalilkan dari hadith Nabawi. 

Mazhab Hambali Mengharuskan Talqin 

1- Imam Mansur Bin Yusuf Al-Buhuty Al-Hambaly menyatakan hukum pengharusan talqin dalam kitab beliau berjudul Ar-Raudul Mari’ mukasurat 104. 2- Imam Al-Mardawy Al-Hambaly dalam kitabnya Al-Insaaf Fi Ma’rifatil Rajih Minal Khilaf pada jilid 2 mukasurat 548-549 menyatakan : "فائدة يستحب تلقين الميت بعد دفنه عند أكثر الأصحاب" Yang bermaksud : “ Kenyataan yang penting : Disunatkan hukum talqin mayat selepas mengkebumikannya disisi kebanyakan ulama ( selainnya hanya mengaruskan sahaja).

No comments:

Post a Comment