Thursday, August 20, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 241 (Kenduri Masuk Rumah Baru, Pinjaman Perlu di Tulis, Allah Turun ke Langit Dunia 1/3 Malam. Hari Raya Jatuh Hari Jumaat dan Wakaf.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 241 adalah menjelaskan kenduri masuk rumah baru, pinjaman perlu di tulis, Allah turun ke langit dunia 1/3 malam. hari raya jatuh hari Jumaat dan wakaf.

1161. Soalan : Ustaz saya nak bertanya lagi.. soalan saya .Apakah hukum buat kenduri masuk rumah baru ?

Jawapan :

1. mengadakan kenduri masuk rumah baru harus sahaja. Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda:

إذا ولج الرجل بيته فليقل اللهم إني أسألك خير المولج وخير المخرج بسم الله ولجنا وبسمالله خرجنا وعلى الله ربنا توكلنا ثم ليسلم على أهله 

(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia Berkata: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik Tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah”. Kemudian hendaklah seseorang itu memberi salam ke Atas keluarganya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak ada orang yang berada di dalamnya, maka berilah Salam ke atas diri sendiri dengan mengucapkan:

السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Ertinya: “Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang sahih.”

Adapun salah satu hikmat membaca atau menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah Itu adalah supaya mengindarkan syaitan turut masuk dan bermalam di dalam rumah. 

Berikut adalah beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan serta sesuai dengan ajaran Islam serta sunnah Rasulullah SAW ketika melangkah memasuki rumah baru :-

1. Azan.

Melaungkan azan ketika pertama kali masuk opis/umah baru. Ia juga baik bg bangunan yg telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sbgai Al-’Ammar) yg suka tinggal di umah yg tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah.

Sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda yg bermaksud; “Jangan lah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya utk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.”

3. Banyakkan solat dan membaca Al-Quran.

Dlm sebuah hadis lain pula, Rasulullah SAW. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yg bermaksud;
“Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

4. Baca Surah yassin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.

Amalkan membaca surah Yassin setiap malam terutamanya tujuh malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas nabi senayak 7 kali, ayat Kursi sekali, tetapi di ayat terakhir bacalah sebanyak 7 kali.

5. Pagar rumah cara menggunakan ayat-ayat al-Quran ..

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut2 tertentu di rumah atau bangunan yg diduduki dgn kepercayaan bhw benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam. Bgmanapun ada cara yg dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. 

Caranya dengan dengan membaca surah yasin  kemudian baca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas). kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan2 hingga habis nafas. Setelah itu, renjis keliling rumah  dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru dalam rumah dengan mulai dengan penjuru yg terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya mengikut arah berlawanan jarum jam. Membaca ayat kursi semasa merenjiskan air tersebut. Air jampi yang telah di bacakan ayat-ayat al-Quran mengandungi gelombang yang laju dan sangat tak di sukai oleh syaitan dan jin kafir.

Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah, antaranya;

1.1. Memasuki rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi SAW. Begitu juga ketika keluar dari rumah.

1.2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan munkar. Firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…” (Surah at-Tahrim ayat 6). Berkata Imam Qatadah (tatkala menghurai ayat ini); ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

1.3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut agama; kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi SAW.; “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin Negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya…”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.).

2. Menghidupkan bi-ah Islam di dalam rumah, antaranya dengan;

a) Membaca al-Quran di dalam rumah. Sabda Nabi SAW.; “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

b) Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah. Sabda Nabi SAW.; “Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu” (HR Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.)

c) Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah. Sabda Nabi SAW.; “Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir” (HR Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.).

d) Hidupkan budaya memberi salam. Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda kepadanya; “Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu” (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.). Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda; “Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

e) Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah. Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka. Umar bin Abi Salamah r.a. menceritakan: “Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah SAW., suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w. menasihatkan saya; “Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (membaca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

3) Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda. Sabda Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca “أعُوذُ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرّ مَا خَلَقَ” (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya), nescaya tidaka ada sesuatupun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah” (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.a.)

4. Demikianlah sebahagian dari amalan-amalan di dalam rumah yang digalakkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang soheh dari Nabi s.a.w.. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah.

Wallahu a’lam.

1162. Soalan : Adakah hukum hutang dan pinjaman sama iaitu kena ada saksi mata & akad? Serta menyatakan tempoh?

Jawapan : 

Perjanjian kena bentuk tulisan dan ada 2 orang saksi. Video atau gambar hanya tambahan saja dan tak boleh membatalkan surat perjanjian dan 2 saksi lelaki. 

Firman Allah SWT  yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah di rencanakan oleh walinya dengan adil (benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil disisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjualbeli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah ayat 282) 

1163. Soalan : Ustaz..mohon perjelasan betul ke hadis tersebut..ALLAH turun setiap malam ke langit dunia waktu 1/3 malam?

Jawapan : 

Kita harus beriman kepada nama dan sifat yang Allah menamakan dan menyifati diri-Nya di dalam kitab-Nya, melalui lisan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tanpa mengubah, tanpa mempersoalkannya, tanpa dan tanpa membuat permisalan. Melakukan perubahan terhadap nash, mempermasalahkan keyakinan, mempertanyakan sifat, dan juga membuat permisalan dalam sifat merupakan hal-hal yang harus kita hindari. Akidah kita harus bersih dari keempat bahaya ini. Manusia harus menahan diri dari mempertanyakan masalah ini dengan “mengapa?” dan “bagaimana?”, yang berkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT. Apabila seseorang berjumpa masaalah seperti ini, maka dia akan istirahat dengan tenang. Demikianlah keadaan para salaf.

Imam Malik bin Anas rahimahullah pernah ditanya, “Wahai Abu Abdullah (gelaran beliau), Allah bersemayam di atas ‘Arsy, bagaimana Dia bersemayam?” Imam Malik bin Anas terantuk kepalanya seraya berkata, “Istiwa (bersemayam) itu difahami maknanya (secara bahasa), bagaimana caranya bersemayam tidak diketahui, mengimaninya wajib, dan mempertanyakannya adalah bid’ah dan saya tidak melihatmu kecuali pembuat bid’ah.”

Begitu juga orang yang mengatakan bahawa Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir. Pertanyaan ini mengharuskan Allah berada di langit dunia sepanjang malam kerana malam itu berpusing secara bergiliran di seluruh dunia, dan sepertiga malam terakhir datang bergantian dari satu tempat ke tempat yang lain.

Seandainya masalah ini tidak boleh diterima oleh hati orang mukmin yang berserah diri, tentu Allah dan Rasul-Nya telah menjelaskan. Kami katakan bahawa selama sepertiga malam terakhir itu masih ada, maka Allah akan turun ke langit dunia dan jika sepertiga malam terakhir itu habis, maka Allah pun naik. Kami tidak mengatahui bagaimana turunnya Allah SWT dan tidak memahaminya. Kita ketahui bersama bahawa tidak ada sesuatu yang menyamai Allah SWT, maka kita harus menerima dan mengatakan kami mendengar, kami beriman, kami mengikuti, dan kami menaati. Itulah kewajiban kita.

Kesimpulan: Allah SWT turun ke langit dunia pada sepertiga malam akhir adalah berita yang shahih dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam Iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman, ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan. Dan siapa yang yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari, no.1145 dan Muslim, no.758)

Sikap yang perlu ada pada diri kita dalam memahami hadis ini iaitu dengan menerima dan mengimaninya dan tidak mempertanyakan caranya. Dan dua sikap yang berlebihan dalam permasalah ini adalah menolak hadis shahih tersebut dan membuat-buat bagaimana cara Allah turun ke langit dunia.

Sumber: Tuntunan Tanya Jawab Akidah, Shalat, Zakat, Puasa dan Haji (Fatawa Arkanul islam), Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Darul Falah, 2007.

1164. Soalan : Ustaz.Terdapat dlm facebook yg menyatakan jika raya jatuh hari Jumaat maka kewajipan menghadiri JUMAAT jatuh sunat. BETUL KE HADIS NI ?

Jawapan :

Secara ummnya ia terbahagi kepada dua pendapat:

Pertama: Gugur kewajipan solat jumaat bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, tetapi wajib ke atasnya solat Zohor. Dengan erti kata lain tidak wajib solat Jumaat. Ia adalah pendapat Imam Ahmad (241H)

Kedua: Solat hari raya tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Maknanya solat Jumaat tetap wajib ke atas mereka yang telah melakukan solat hari raya. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiah, al-Malikiah dan al-Shafi’iah.

Pendapat pertama berpegang kepada dalil-dalil seperti yang dinyatakan di atas. Ia dikuatkan lagi dengan riwayat daripada ‘Ato’katanya: 

Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas berada di To’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah. (Hadis Riwayat Abu Daud). Imam al-Nawawi (676H) pula menyatakan dalam al-Majmu’bahawa isnad hadith ini baik. Selain itu, Riwayat daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: 

Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menurut pendapat yang pertama, kesemua dalil ini menunjukkan gugurnya kewajipan solat Jumaat bagi seseorang yang telah melakukan solat sunat hari raya jika berhimpun kedua-duanya pada hari yang sama. Tetapi solat Zohor tetap wajib dilakukan sebagai ganti solat Jumaatnya. Ini bermakna solat hari raya hanya menggugurkan kewajipan solat Jumaat bukannya solat Zohor. 

Solat Zohor tetap wajib : Jika ada yang mengatakan bahawa kewajipan solat zohor juga gugur dengan solat sunat hari raya berdasarkan perbuatan Ibn al-Zubair, ia adalah tidak tepat dan bertentangan dengan jumhur ulama’ dahulu mahupun kontemporari. Ini kerana solat Jumaat yang telah gugur kewajipannya dengan sebab rukhsah (kelonggaran), keuzuran, atau terlupa maka ia wajib digantikan dengan solat Zohor.

Bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada umumnya dalil yang menyatakan kewajipan solat Jumaat pada setiap minggu. Ia adalah syi’ar Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana solat sunat hari raya, melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya tidak boleh menampung yang yang satu lagi. Kedua-duanya mesti dilaksanakan tanpa pengecualian. Mereka berpandangan bahawa hadith dan athar yang sampai kepada mereka dalam persoalan ini tidak kuat sehingga ke peringkat boleh mengkhususkan umumnya dalil kewajipan Jumaat yang telah thabit (tetap) dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan ijma’. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 9 bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Ayat ini adalah umum iaitu pada setiap Jumaat bagi mereka yang cukup syarat-syarat wajibnya, sama ada berbetulan dengan hari raya atau tidak. Terdapat juga pelbagai hadith nabi SAW lain yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat dan peringatan keras bagi mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, di antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Sama ada satu kaum berhenti daripada meninggalkan Jumaat, atau Allah akan menutup hati-hati mereka, kemudian menjadikan mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai. (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan : Islam itu ajarannya praktikal dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan semua tempat. Persoalan ini ada keluasannya selagi ia adalah permasalahan khilafiyah (perbezaan pandangan) yang berdiri di atas ijtihad kerana dalalah (pendalilan) nya yang dzonni. Oleh itu, solat Jumaat di masjid hendaklah didirikan kerana beramal dengan nas asal dan mengambil yang ahwat (lebih berat). Maka imam bertugas hendaklah keluar untuk solat Jumaat bersama orang ramai khususnya yang tidak melakukan solat sunat hari raya, kerana kewajipan solat Jumaat tidak gugur ke atas mereka. Ini disebabkan yang gugur hukum wajib solat Jumaat menurut pendapat pertama adalah bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya sahaja.

Bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, jika mempunyai kesukaran untuk menghadiri Jumaat boleh memilih untuk mengikut pendapat pertama, iaitu rukhsah (kelonggaran) solat Jumaatnya sudah tidak wajib ke atasnya. Solat sunat hari raya yang dikerjakannya sudah memadai baginya, dengan syarat dia wajib melaksanakan kewajipan solat Zohor selepas masuk waktunya. Dilarang memperkecilkan orang lain yang pergi menunaikan solat Jumaat, dan tidak boleh mengingkari orang ramai yang melaksanakan Jumaat di masjid kerana ia boleh menyalakan api fitnah yang boleh membawa kepada ketidaktenteraman dan perpecahan.

Pendapat mazhab Syafie walaupun sudah solat Aidil Fitri solat Jumaat tetapi perlu di kerjakan kerana solat Jumaat wajib dan solat Aidil Fitri sunat. Sebaik-baiknya kita solat fardu Jumaat walaupun kita sudah mengerjakan solat sunat Aidil Fitri , mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

1165. Soalan : Ustaz saya ada soalan,,apa ertinya wakaf,,sebab saya ada hutang  kawan yang sekarang saya tak tahu sekarang dia tinggal di mana.macamana saya nak bayar hutang saya .Terima kasih atas pencerahanya.

Jawapan :


Dari sudut bahasa perkataan Wakaf adalah berasal dari perkataan Arab ” Al-Waqf ” (اَلْوَقْفُ) yang bermaksud harta yang diwakafkan.

Ia juga bermakna harta yang ditahan “Al-Habs” ( اَلْحَبْسُ ) atau harta yang dihalang ” Al-Mana’ “( اَلْمَنْعُ ).

Mengikut istilah syarak pula, wakaf membawa maksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf sepertimana yang dinyatakan didalam hujjah wakaf dari mula harta itu diwakafkan hinggalah ke akhirnya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Taala buat selama-lamanya dan ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Jenis-jenis Wakaf

Secara umumnya wakaf terbahagi kepada 2 iaitu:

1. Wakaf Ahli (wakaf keluarga)

wakaf ini dikhususkan manfaatnya kepada ahli keluarga yang telah ditentukan oleh pewakaf.

2. Wakaf Khairi (Wakaf Kebajikan)

Wakaf ini terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas.

Bagi wakaf am ianya boleh diertikan sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat umum umat islam mengikut hukum syarak seperti untuk kemudahan atau pembangunan ekonomi umat islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan berasaskan hukum syarak.

Bagi Wakaf khas pula ianya diertikan sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat tertentu umat islam mengikut hukum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

Dari definisi Wakaf di atas, dapat menjelaskan bahawa amalan soleh yang utama adalah yang mempunyai kesinambungan manfaat dan pahalanya pula akan berterusan selama mana harta wakaf itu masih dimanfaatkan. Ada harta yang menjangkau tempoh yang amat lama maka pahala itu berterusan selama mana penderma itu masih hidup (di dunia) sehingga selepas dia mati (Akhirat).

Jika saudari ada hutang nak bayar hutang tetapi tak jumpa orang yang memberikan hutang maka saudari perlu cari warisnya terlebih dahulu. Jika warisnya juga tak berjumpa maka saudari boleh sedekahkan jumlah hutang tersebut sebagai sedekah jariah untuk membina masjid, sekolah agama atau rumah anak yatim.

Saudari niatkan wang tersebut untuk membayar hutang dan pahalanya untuk orang yang saudari berhutang. Jika di izinkan Allah SWT saudari berjumpa orang tersebut beberapa tahun akan datang maka wajib saudari bayar hutang kepadanya dan pahala untuk niat sedekah jariah tadi kembali kepada diri saudari sendiri.

No comments:

Post a Comment