Wednesday, August 26, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 243 (Binatang Dabbah Di Akhir Zaman, Orang Baru Masuk Islam Letak Nama Asal, Pesakit Sudah Mati Otak, Wanita Mengandung 2 Bulan Anak Tak Sah Taraf Dan Pahala Wanita Mengandung.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 243 adalah menjelaskan binatang dabbah di akhir zaman, orang baru masuk Islam letak nama asal, pesakit sudah mati otak, wanita mengandung 2 bulan anak tak sah taraf dan pahala wanita mengandung.

1171. Soalan :  Bolehkan ustaz huraikan apakah dia binatang Dabbah yang akan muncul di akhir zaman nanti?

Jawapan :

Di akhir zaman nanti sebelum berlakunya hari kiamat maka akan datang 10 tanda-tandanya. Salah satu tandanya adalah keluarnya binatang dabbah. Daripada Huzaifah bin AsidAl-Ghifari ra. berkata: “Datang kepada kami Rasulullah SAW. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.

Lalu Nabi SAW bersabda maksudnya :“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang (dabbah), terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.(Hadis Riwayat Muslim ). 


Di antara tanda-tanda kiamat besar ialah keluarnya Dabbah (binatang) dari dalam bumi yang dapat berbicara dengan manusia dengan bahasa yang fasih yang dapat dipahami oleh semua yang mendengarnya. Dabbah itu mengkhabarkan kepada mereka bahwa manusia dahulu tidak beriman kepada ayat-ayat Allah. Dabbah ini muncul di akhir zaman pada saat manusia telah mengalami kerosakkan, mereka meninggalkan perintah-perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan mengganti agama yang benar. Lantas Dabbah berbicara kepada mereka, “Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat kami.”
 

Di antara tanda Kiamat Besar –setelah pintu taubat ditutup dengan terbitnya matahari dari barat– adalah keluarnya binatang (dabbah) daripada bumi yang lain dari biasanya, di mana ia boleh berbicara kepada manusia dan memilah-milah mana mukmin dan mana kafir untuk melengkapi maksud ditutupnya pintu taubat. Munculnya tanda ini sama dengan tanda-tanda yang lain berdasar kepada al-Qur’an dan sunnah.

Firman Allah, “Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahwa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.” (Surah An-Naml ayat 82).

Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Zur’ah berkata, Ada tiga orang kaum muslimin yang duduk di sisi Marwan bin al-Hakam, mereka mendengarnya –sementara dia menyinggung tanda-tanda Kiamat– menyatakan bahwa Dajjal adalah tanda pertama yang muncul. Maka Abdullah bin Amru berkata, “Marwan tidak mengucapkan apa-apa, saya telah menghafal suatu hadis dari Rasulullah SAW yang tidak aku lupakan sesudah aku mendengarnya dari baginda, baginda bersabda, ‘Tanda yang pertama kali muncul adalah terbitnya matahari dari barat dan munculnya binatang bumi kepada manusia di waktu Dhuha. Apa pun dari keduanya mendahului yang lain maka yang lain menyusul tidak lama kemudian’.”


1172. Soalan : Bolehkah orang yang baru memeluk islam membintikan nama asal bapa beliau sedangkan bapa beliau masih beragama bukan islam ,kebiasaan membintikan abdullah....?

Jawapan :


Boleh seorang yang bukan Islam apabila dia masuk Islam dia nak kekalkan namanya yang asal dan dia tak pilih nama islam dan bin atau bintikan Abdullah.

Dalam Majlis Fatwa Kebangsaan : Perlu atau Tidak Mengekalkan Nama Asal Apabila Memeluk Islam?

ISU:

Saya ada satu soalan iaitu kalau nama asal seorang muallaf itu ialah Christine, perlu atau tidak dia menukar nama bila memeluk Islam sebab nama tersebut dilihat mrmpunyai unsur agama Kristian. Setakat yang saya semak, perkataan Christ ialah terjemahan Greek untuk perkataan Hebrew 'Messiah'. Maksud 'Messiah' pula ialah yang disapu dengan minyak. Kalau pandangan saya, nama Christine tersebut tidak perlu ditukar kerana maksudnya yang tak bertentangan dengan Islam. Mohon penjelasan daripada pihak tuan.


PENJELASAN:

Dalam Islam sebaik-baik nama ialah yang menuruti nama-nama mereka yang disanjungi oleh agama seperti nama para Nabi, para sahabat atau ulama’. Atau nama dengan makna-makna yang baik. Dalam satu hadis yang diriwayat oleh Muslim, nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman.

Bagi seorang muallaf yang memeluk Islam, pada dasarnya tidak salah untuk mengekalkan nama asal apabila seseorang itu memeluk Islam. Namun sekiranya nama tersebut mempunyai konotasi yang tidak selari dengan Islam atau mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain yang tidak sesuai dengan Islam , ia perlu ditukar kepada nama yang lebih sesuai.

Rasulullah sendiri pernah meminta seorang sahabat yang masuk Islam menukar namanya dari Abd al-Syams bin Sakhr kepada Abd Rahman bin Sakhr kerana nama Abd Syams bermaksud hamba kepada matahari.

Mengenai nama Christine, sebaiknya seorang muallaf yang mempunyai nama tersebut menukarkan nama tersebut ke nama Islam kerana nama tersebut amat berkait dengan nama keagamaan dalam Kristian. Istilah Christine adalah nama feminin kepada istilah ‘Christian’ dalam bahasa Latin dan Greek yang merujuk kepada Jesus Christ atau pengikutnya. Ia adalah terjemahan dari istilah Messiah dalam bahasa Hebrew bermaksud ‘penyelamat’ yang juga merujuk kepada Jesus pada fahaman agama Kristian.

Dalam sejarah, kebiasaannya nama Christine diberikan kepada seseorang wanita sebagai penghormatan kepada St. Christina of Tyre, seorang ahli agama Kristian abad ke-3 yang mati disiksa oleh bapanya yang beragama pagan kerana keteguhan kepercayaanya terhadap agama Kristian. Wallahu a’lam


1173. Soalan : Saya nak bertanya tentang seseorang yang telah mati otak tapi jantung masih berfungsi dengan bantuan mesin pernafasan..apakah hukum jika alat bantuan penafasan tersebut di cabut dan seseorang tu meninggal.sebab bayak pendapat yang berbeza.? Terima kasih.

Jawapan :


Dr. Ahmad Syaraf al-Din (Ketua bahagian Undang-undang Sivil, Fakulti Undang-undang, Universiti Ain Syam, al-Qahirah, apabila pesakit telah diisytiharkan mengalami mati otak, pada masa itu bolehlah dihentikan mesin bantuan pernafasan yang diberikan kepada pesakit.

Beliau beralasan bahawa orang yang mengalami mati otak, sudah tidak mampu lagi berinteraksi dengan dunia luar.Kehidupan kemanusiaannya sudah hilang. Beliau telah berada pada hukum orang yang telah meninggal. Oleh kerana mesin ventilator sudah tidak dapat mengembalikan segala fungsi elemen penting yang terdapat didalam tubuh badannya, kesedaran dan kemampuannya untuk berinteraksi dengan dunia luar, menghentikan mesin tersebut tidaklah dianggap menafikan haknya untuk hidup kepada pesakit berkenaan.

Doktor yang bertindak menghentikan mesin tersebut tidak dianggap sebagai membunuh pesakit, kerana perkiraan jenayah berlaku apabila mesin dihentikan daripada orang yang jelas masih belum mengalami mati otak.

Pandangan belaiu ini juga dipersutujui oleh Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi. Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Amman, Jordan pada tahun 1407 H bersamaan dengan 1986M memutuskan: "Seseorang dikira mati dan terkena segala hukum hakam yang diakui oleh syarak berhubung dengan orang yang mati, apabila nyata salah satu daripada dua tanda:

1. Apabila denyutan jantung berhenti sama sekali dan pakar-pakar perubatan memutuskan, ia tidak akan kembali lagi.

2. Apabila terhenti sama sekali segala fungsi otak dan pakar-pakar perubatan menghukumkan, ia tidak akan kembali lagi. Otaknya mula hancur. Di dalam situasi ini, harus menghentikan alat bantuan pernafasan yang digunakan padanya, sekalipun sebahagian daripada anggota badannya masih berfungsi dengan bantuan alat tersebut. [Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa m/s 554-555 oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari]


1174. Soalan : Ustaz, mohon penjelasan. Jika seorang perempuan tu didapati mengandung 2 bulan tanpa nikah. Kemudian dia kahwin dgn pasanganya. Adakah sah pernikahannya?

Jawapan :


Jika seorang perempuan mengandung 2 bulan kemudian dia bernikah dengan lelaki yang menyebabkan dia mengandung maka nikahnya sah menurut jumhur ulama.Di dalam "Fatawa al-Hindiyah" dari fiqh al-Hanafi disebut : "Seandainya seseorang telah berzina dengan seorang permpuan, lalu perempuan itu hamil kemudian dia berkahwin dan melahirkan anak, jika ana itu lahir (selepas perkahwinan) dalam tempoh 6 bulan atau lebih maka thabit nasabnya kepada bapanya. Jika anak itu lahir kurang dari 6 bulan tidak thabit nasab anak itu kepadanya..."

Berkata Dr. Sobri Abdul Rauf iaitu seorang Ustaz Fiqh al-Muqaran di University al-Azhar : "Jika lelaki yang berzina kawin dengan perempuan yang berzina dengannya, kemudian mereka memperolehi anak selepas 6 bulan daripada al-Dukhul al-Syar'ie. Maka anak itu dinasabkan kepada bapaknya, kerana ia datang dari jalan yang dibenarkan. Adapun jika ia dilahirkan sebelum tempoh 6 bulan dari tarikh al-Dukhul, maka anak itu tidak dinasabkan kepada suaminya, maka ia dinasabkan kepada ibunya saja. Dalam kes puan jika dia mengandung 2 bulan kemudian dia bernikah dengan lelaki yang menyebabkan dia mengandung jika masa kelahiran bayi yang di kandung itu 6 bulan ke atas maka anak tersebut boleh di nasabkan kepada lelaki yang menyebabkan wanita tersebut mengandung.

Fatwa Kebangsaan menjelaskan : Terdapat tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah iaitu:

1. Ada kemungkinan anak tersebut adalah daripada suami berkenaan, maknanya suami adalah orang yang mempunyai faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab-sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.

2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li`an.

3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.

• Para ulama’ telah bersepakat menetapkan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan tempoh enam bulan tersebut adalah berdasarkan maksud dua ayat Al-Qur'an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.

1. Firman Allah subhanahu wata`ala:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }
 

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

2. Firman Allah subhanahu wata`ala yang lain:

{ وَفِصَلُهُ فِى عَامَيْنِ }
 

Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”
(Surah Luqman 31:14)

Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu 2 tahun atau 24 bulan daripada tempoh 30 bulan (masa keseluruhan hamil dan menyusukan anak), bererti masa yang bakinya, iaitu tempoh hamil ialah 6 bulan.

• Ash-Shaykh Muhammad `Ali As-Sabuni dalam kitabnya “Rawa’i` Al-Bayan” menyebutkan bahawa telah diriwayatkan, bahawa seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak setelah enam bulan daripada perkahwinannya. Dia dihadapkan kepada khalifah `Uthman radhiyallahu `anh. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu `Abbas berkata kepada `Uthman: “Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah.”

Allah berfirman:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

Firman Allah selanjutnya:

{ وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }
 

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah Al-Baqarah 2: 233)

Maka, tempoh hamil ialah 6 bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Sayyidina `Uthman radhiyallahu `anh pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

• Ahmad Mustafa Al-Maraghiy di dalam kitab “Tafsir Al-Maraghiy” turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama 6 bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap 2 tahun. Masa yang tinggal untuk mengandung hanya 6 bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah `Ali karamallahu wajhah yang kemudiannya dipersetujui oleh `Uthman radhiyallahu `anh bersama para sahabat Nabi sallallahu `alayhi wasallam. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma`mar ibn `Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

“Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui `Uthman radhiyallahu `anh untuk menceritakan perkara tersebut. Selepas itu, `Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Demi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata`ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata`ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendakNya.” Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan `Uthman, maka `Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh `Ali, beliau pun menemui `Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” `Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.” `Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab `Uthman. `Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata`ala berfirman: “Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” FirmanNya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan. Kemudian `Uthman pun berkata: “Demi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.” Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma`mar pun berkata: “Demi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Diriwayatkan juga bahawa Ibn `Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan. Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan. Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

• Oleh yang demikian, para ulama’ telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka nasab anak tersebut disabitkan kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya. Sebaliknya, jika anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka nasabnya tidak bersambung dengan suami kepada ibu atau wanita yang melahirkan anak berkenaan. Anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibin atau dibintikan, boleh dinasabkan kepada ibunya atau kepada nama `Abdullah atau salah satu daripada Asma’ullah Al-Husna.


1175. Soalan :  Betul ke klu org lagi mengandung apa yg di kerjakan orang mengandung pahala berlipat2 dan doa nya makbul? Dan betul ke malaikat,tumbuhan dan haiwan memohon ampun atas dosa orang yg mengandung(mohon ampun kepada Allah) mohon pencerahan ustaz? Trimakasih

Jawapan :


 Firman Allah SWT (31:14):

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertimpa-timpa dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kembali”

Sabda Rasulullahi SAW:

وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ. رواه مالك وأحمد وأبو داود وغيرهم

“Wanita yang meninggal kerana mengandung adalah syahid (orang yang mati syahid). (H.R Malik, Ahmad, Abu Daud dll. Disahihkan oleh Albani. )
Jika wanita bersabar ketika dia mengandung maka akan di berikan pahala yang besar oleh Allah SWT kerana pahala bersabar dan redha dengan kesusahan.
Di bawah ini adalah hadis palsu mengenai kelebihan wanita mengandung dan bersalin yang tidak boleh digunakan atau disebarkan:

– Wanita yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari dan pahala beribadat pada malam hari di jalan Allah.

– Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin, akan dikurniakan penyejuk mata yang tidak diketahui oleh penduduk bumi dan langit.

– Wanita yang menyusukan anaknya akan mendapat satu pahala dari setiap titikan susu dan satu pahala dari setiap sedutan susu.

– Wanita yang berjaga malam kerana menjaga anaknya akan mendapat pahala seperti membebaskan 70 orang hamba.

Hadis ini palsu kerana perawinya ‘Amru al-khawlani banyak meriwayatkan hadis palsu, seperti yang dijelaskan oleh Ibn Hibban, Ibn Jauzi dan Zahabi.

Rujukan: Silsilah Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Albani: 5/76

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment