Saturday, September 12, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 245 (Korban Di Luar Negara, Mandi Hadas Ikut Rukannya, Korban Nazar Tak Boleh Makan, Rawatan Santau Dan Cara-cara Kuatkan Iman.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 245 adalah menjelaskan korban di luar negara, mandi hadas ikut rukannya, korban nazar tak boleh makan, rawatan santau dan cara-cara kuatkan iman.

1181. Soalan :  Bolehkan ustaz jelaskan konsep ibadah korban sebenarnya dan syiar-syiar yang terdapat di dalam ibadah korban. Manakah lebih afdhal berkorban di negara miskin luar negara atau berkorban di dalam negara terutama di kawasaan kariah tempat kita tinggal?

Jawapan :


Kenapa Allah SWT mensyariatkan ibadah korban kepada umat Nabi Muhammad SAW? Kerana ibadah korban mempunyai banyak manfaatnya selain daripada mendapat daging korban perkara yang lebih besar lagi mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT dengan meninggikan syiar-syiar Allah SWT.

Pada nas-nas Al-Qurân dan Sunnah di atas terdapat petunjuk yang jelas bahawa tujuan dari binatang korban itu tidak hanya sekadar dimanfaatkan dagingnya saja. Jika tujuannya hanya mengambil manfaat dagingnya saja, nescaya anak-anak dan orang dewasa boleh mengerjakannya.

Akan tetapi, tujuan yang paling utama adalah di balik semua itu, yaitu mengagungkan syiar-syiar Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan ibadah korban dan menyebut nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala ketika menyembelih syiar ini tidak akan terjadi, kecuali apabila dilakukan di dalam negeri dan tempat kita tinggal, sehingga boleh dilihat oleh orang dewasa mahupun anak-anak.

Dengan ini diketahui bahawa yang paling utama, paling sempurna, dan paling baik bagi syiar-syiar Allah Subhanahu Wa Ta’ala adalah hendaknya kaum Muslimin berkorban di negeri mereka sendiri dan tidak membawa korban mereka ke lain negeri. Kerana membawa ke lain negeri menghilangkan maslahat-maslahat yang banyak dan menimbulkan banyak persoalan.

Membawa ke lain negera menghilangkan maslahat-maslahat yang banyak , di antaranya:

1. Hilangnya syiar-syiar Allah Subhanahu Wa Ta’ala di negeri itu. Masing-masing rumah kosong dari syiar, apalagi apabila diikuti oleh orang lain.

2. Hilangnya kesempatan menyembelih haiwan korban secara langsung oleh yang berkorban, dalam rangka mengikuti sunnah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam. Orang yang berkorban disunnahkan menyembelih binatang korbannya sendiri; menyebut nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan bertakbir sebagai bentuk ittiba` (meneladani) Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam dan mengikuti firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala (yang ertinya):

"Maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). (Surah al-Hajj (22) ayat 36)

Para Ulama mengatakan, “Apabila orang yang berkorban tidak pandai menyembelih, hendaknya ia mewakilkan kepada Muslim yang lain.”

3. Hilangnya perasaan beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang didapatkan ketika seseorang menyembelih binatang korbannya secara langsung. Sesungguhnya menyembelih (korban) kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala, merupakan ibadah yang sangat agung dan utama.

Kerana itu, Allah Subhanahu Wa Ta’ala meletakkannya sejajar dengan solat dalam firman-Nya, “Maka dirikanlah solat kerana Rabb-mu; dan berkorbanlah”. Dan bertanyalah kepada orang yang mengirim dengan korbannya ke luar negera, apakah dia merasakan ibadah yang agung dan taqarrub kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala ini pada hari penyembelihan?

4. Hilangnya menyebut nama Allah Subhanahu Wa Ta’ala tatkala menyembelih dan bertakbir. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah memerintahkan orang yang mendekatkan diri kepada-Nya agar menyebut nama-Nya ketika menyembelih.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman maksudnya, "Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebagian dari syiar Allah. Kamu memperoleh kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). (Surah al-Hajj (22) ayat 36)

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman maksudnya, "Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. (Surah al-Hajj (22) yat 37)

Dalam hal ini ada dalil bahwa menyembelih binatang korban dan menyebut nama Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan berdiri merupakan tujuan inti ibadah ini. Dan ini merupakan bentuk tauhid kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Telah kita maklumi bahwa memindahkan korban ke luar negera akan menghilangkan tujuan yang agung ini.

Sesungguhnya perbuatan ini lebih utama dari sekedar memanfaatkan daging dan menyedekahkannya. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman,

"Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. (Surah al-Hajj (22) ayat 37)

5. Hilangnya kesempatan memakan daging binatang sembelihannya. Sesungguhnya orang yang berkorban diperintahkan untuk memakan daging korbannya, bahkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mendahulukan perintah untuk memakan daging itu dari pada memberikannya kepada fakir miskin.

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman,

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَآئِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya, "Maka makanlah sebagian daripadanya dan (sebagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. (Surah al-Hajj (22) ayat 28)

Apabila seseorang yang hendak berkorban mencari yang murah dan memilih berkorban ke luar negara adalah satu sikap yang kurang baik kerana tujuan kita berkorban adalah mencari keredhaan Allah SWT dan untuk mendapatkan syiar-syiar yang di jelaskan di atas. Walaubagimana pun tidaklah menjadi satu kesalahan jika kita berkorban ke luar negara adalah bertujuan memberikan sedekah kepada golongan fakir miskin yang amat memerlukan kerana niat yang baik ini akan di berikan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

Kesimpulannya jika kita belum pernah berkorban maka utamakanlah di negeri kita sendiri supaya kita dapat melaksanakan syiar-syiar Islam di dalam ibadah korban. Jika kita mempunyai wang yang lebih satu amalan yang soleh jika kita niat untuk berkorban di sana untuk bersedekah kepada fakir miskin di luar negara terutama mereka yang berada di zon peperangan seperti di Syria , Yaman atau Palestin . Wallahu a'lam


1182. Soalan : Ustaz boleh tak jelaskan panduan mandi hadas besar mengikut rukunnya?

Jawapan :


Mandi wajib atau dinamakan mandi hadas disebabkan keluarnya mani, keluar darah haid, nifas dan berjunub (bersetubuh) antara suami dan isteri. Menurut pandangan As-Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh Sunnah jilid 1 mengatakan bahawa :

“Mandi adalah meratakan air ke seluruh tubuh”.

Mandi disyariatkan berdasarkan Firman Allah yang bermaksud : “…dan jika kamu Junub (berhadas besar) maka bersucilah Dengan mandi wajib…”. (Surah Al-Maidah ayat 6)

Jelas di sini bahawa mandi wajib adalah menyampaikan air keseluruh anggota-anggota zahir tanpa ada halangan seperti cat, sisik ikan, minyak dan seumpamanya. Jika ada perkara yang menghalang air sampai ke seluruh anggota badan, maka tidak sah mandi tersebut dan ia perlu mengulangi mandi tersebut.

Perkara-perkara yang mewijibkan mandi

1. Bertemu dia khitan atau bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).

2. Keluar mani walaupun sedikit.

3. Mati melainkan mati syahid.

4. Keluar haid bagi perempuan.

5. Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).

6. Wiladah atau melahirkan anak.

Fardu mandi

Pertama :

Niat. (Niat bermula apabila air sampai ke atas tubuh kita)

Keluar mani atau keluar haid dan nifas

“Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.

“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri

“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.

Mandi disebabkan keluarnya darah nifas

“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.

Kedua :

Menghilangkan najis daripada anggota badan. Iaitu sebelum memulakan mandi, perlulah terlebih dahulu membersihkan atau menghilangkan najis daripada anggota badan.

Ketiga :

Mengalirkan atau meratakan air ke seluruh anggota badan. Maksudnya ialah menyampaikan air ke seluruh bulu, rambut, seluruh anggota badan dan mengalirkan air kepada tempat-tempat yang zahir daripada khubul dan dubur.

Cara mandi

Sebelum memulakan mandi hadas, maka terlebih dahulu mandi biasa untuk membersihkan tubuh, menghilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalangkan air sampai ke anggota badan. Perlulah disabun terlebih dahulu sebagai tanda menghilangkan kotoran sebelum mandi hadas. Ingatan saya, jangan ketika mandi hadas anda sabun, kerana sabun itu bukan dari air yang mutlak dan mandi hadas anda boleh menjadi tidak sah di sebabkan sabun tersebut.

Setelah selesai mandi biasa, di sunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.

Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan.

Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas).
Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri.

Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardu mandi.

Gosot atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkok, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan.

Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki. Saya rasa ini sahaja untuk perbahasan bab mandi hadas bagi lelaki dan perempuan.Semasa mandi sebaiknya cangkunglah biar punggung itu terbuka. Wanita pun sama, agar bukaan faraj tu terbuka (Bibir faraj dan dinding faraj ialah anggota yang wajib kena basuh ketika mandi wajib)

mandi wajib tak batal jika kita memegang dan membasuh kemaluan semasa mandi wajib tadi cuma wuduk yang diambil sebelum mandi akan batal melainkan tangan di alas dengan kain basahan.

Menurut pendapat jumhur ulama', tersentuh kemaluan dengan tapak tangan membatalkan wuduk iaitu al-hadath al-asghar, akan tetapi ia tidak membatalkan mandi janabah (mandi wajib - bersuci dari al-hadath al-akbar).

Perkara-perkara seperti terkentut, buang air kecil semasa mandi dsb tidak membatalkan mandi tersebut, tetapi jika seseorang itu ingin melakukan solat dan seumpamanya, hendaklah membersihkan diri dari hadath kecil dan mengambil wuduk.

Malah menurut Syiekh Ibn Utsaimin, bekas Mufti Arab Saudi didalam bukunya al-Sharh al-Mumti’ dan fatawa Utsaimin, jika lebihan air mani terkeluar lagi selepas mandi yang bukan disebabkan oleh ransangan, seseorang itu tidak perlu mandi lagi. Menurut beliau :

"Ia itu jika ia melakukan mandi untuk ini akan sesuatu yang telah keluar (mani), kemudian ia keluar (lagi) semasa dia bergerak, maka dia tidak perlu melakukan mandi semula. Dalilnya adalah : Sesungguhnya sebabnya yang sama (satu sebab), maka tidak perlu melakukan 2 kali mandi.

Kerana ia keluar selepas itu tanpa mempunyai perasaan keseronokan (ransangan), dan mandi tidak diwajibkan melainkan ia keluar disertakan dengan rasa keseronokan" - [al-Sharh al-Mumti’ - 1/281]

Perlu diingat bahawa perkara-perkara yang membatalkan wuduk hanya memerlukan seseorang itu membersihkan diri dari al-hadath al-asghar (hadath kecil) dan mengambil wuduk kembali, dan ia tidak sekali-kali membatalkan mandi yang dilakukan keatas al-hadath al-akbar (hadath besar). Wallahu a'lam


1183. Soalan :Bolehkah ustaz huraikan adakah orang yang melakukan korban nazar dia boleh memakan dagingnya? 

Jawapan :

Setiap orang yang berkorban, dianjurkan untuk makan daging korbannya. Sebagaimana yang Allah SWT tegaskan dalam al-Quran:

فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ

“Jika unta korban itu sudah jatuh (mati), makanlah darinya dan juga berikanlah kepada orang yang meminta dan yang tidak meminta..” (Surah Al-Hajj ayat 36).

Ulama sepakat, ayat ini berlaku untuk korban yang sunat bukan wajib.

Koban kerana nazar, termasuk korban yang hukumnya wajib. Ulama berbeza pendapat tentang hukum makan daging korban wajib, bagi shohibul korban (pelaku qurban).

Pertama, pemilik korban nazar tidak boleh ikut memakannya, dan wajib dia serahkan seluruhnya kepada orang lain. Ini adalah pendapat Hanafiyah, Syafiiyah, dan majoriti Mazhab Hanbali.

Imam An-Nawawi mengatakan:

فرع في مذاهب العلماء في الاكل من الضحية والهدية الواجبين. قد ذكرنا أن مذهبنا أنه لا يجوز الاكل منهما سواء كان جبرانا أو منذورا وكذا قال الاوزاعي وداود الظاهري لا يجوز الاكل من الواجب

(pasal) tentang pendapat para ulama mengenai hukum makan haiwan korban yang wajib. Telah kami tegaskan bahawa mazhab kami berpendapat, tidak boleh makan korban yang wajib, baik kerana memaksa diri sendiri atau kerana nazar. Demikian yang menjadi pendapat Al-Auza’i, Daud Ad-Dzahiri, tidak boleh akan korban wajib. (al-Majmu’, 8:418).

Dalam Fatawa ar-Ramli –ulama Mazhab Syafiiyah– beliau ditanya tentang orang yang menentukan, bahawa kambing tersebut miliknya akan dikorbankan. Bolehkan pemiliknya makan?

Beliau menjawab:

بأن الشاة المذكورة تصير بلفظه المذكور أضحية, وقد زال ملكه عنها فيحرم عليه أكله من الأضحية الواجبة

Kambing yang disebutkan di pertanyaan di atas, statusnya menjadi kambing korban disebabkan ucapan pemiliknya (menegaskan bahawa itu untuk korban). Sehingga kepemilikan dia telah hilang. Kerana itu, haram baginya untuk makan daging korban wajib. (Fatawa ar-Ramli, 4:69)

Sementara Ibnu Qudamah mengatakan:

وَإِنْ نَذَرَ أُضْحِيَّةً فِي ذِمَّتِهِ ثُمَّ ذَبَحَهَا، فَلَهُ أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا.وَقَالَ الْقَاضِي: مِنْ أَصْحَابِنَا مَنْ مَنَعَ الْأَكْلَ مِنْهَا.وَهُوَ ظَاهِرُ كَلَامِ أَحْمَدَ

Jika ada orang yang nazar untuk korban, kemudian dia menyembelih korban, maka dia boleh memakannya. Sementara al-Qodhi Abu Ya’la menyatakan: Diantara ulama mazhab kami (Hanbali) ada yang melarang memakannya, dan itu yang nampak dari perkataan Imam Ahmad. (al-Mughni, :/444).

Kedua, shohibul korban (orang yang berkorban) untuk korban nazar boleh memakannya. Ini adalah pendapat Mazhab Maliki dan sebagian ulama Hambali

Dalam Ensiklopedi Fikih dinyatakan:

أمّا إذا وجبت الأضحيّة ففي حكم الأكل منها اختلاف الفقهاء وَوُجُوبُهَا يَكُونُ بِالنَّذْرِ أَوْ بِالتَّعْيِينِ …. فعند المالكيّة ، والأصحّ عند الحنابلة، أنّ له أن يأكل منها ويطعم غيره

“Untuk korban wajib, ada perselisihan ulama tentang hukum memakannya. Dimana korban menjadi wajib disebabkan nazar atau dengan penunjukan (misal: kambing tertentu untuk korban tahun ini)… menurut Mazhab Maliki dan pendapat yang kuat dalam Mazhab Hambali, shohibul korban boleh memakannya, dan mensedekahkan kepada orang lain. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah, 6/115)

Dalam Fatawa Syabakah Islamiyah, terdapat kesimpulan :

ومن هنا يعلم الأخ السائل أن حكم الأكل من الأضحية التي وجبت بالنذر أو التعيين محل خلاف بين الفقهاء، والأحوط ترك الأكل منها

Dari sini, anda boleh menyimpulkan bahawa hukum makan daging korban wajib kerana nazar mahupun penunjukkan, termasuk masalah yang diperselisihkan ulama. Yang lebih hati-hati, tidak ikut memakannya. (Fatawa Syabakah Islamiyah, no. 103330)

Korban nazar atau wasiat yang tak boleh makan adalah orang yang bernazar sahaja sedangkan ahli keluarganya boleh makan. Jika seorang anak buatkan korban wasiat (wajib) untuk bapanya maka dia saja yang tak boleh makan sedangkan adik beradik yang lain boleh makan.



1184 : Soalan : Bagaimanakah cara-cara amalan untuk melindungi daripada terkena sihir dan cara rawatan untuk pulihkan santau?


Jawapan :

KAEDAH PELINDUNG (pendinding diri daripada sihir dan santau)

1) Sentiasa menjaga solat dan amalan fardhu yang wajib dan melakukan yang sunat seperti solat sunat malam.
2) Berzikir, membaca Al Quran, dan amalkan zikir al-Matsurat (waktu pagi dan petang)

Setiap amalan hendaklah membaca al quran dan surah-surah yang dibaca dan berzikir hendaklah diniatkan memohon kepada Allah SWT supaya dilindungi diri dan ahli keluarga dari segala bentuk kejahatan makhluk syaitan, jin, iblis, manusia dan sebagainya.

Senantiasa mengamalkan dalam doa harian atau setiap lepas solat membaca surah Al fatihah, 3 Qul ( Al Ikhlas, Al Falaq, An Nas), Ayatul Kursi, Doa pengerak , "Bismillahillazi layadurrumaasmihi saiun filardi wallafis samai wahuwas samiul alim' (maksudnya : Dengan nama Allah, yang dengan nama-Nya tidak ada mudharat sedikit pun baik di bumi dan di langit, dan Ia Maha Melihat dan Maha Mengetahui.) kecuali bahawa tidak ada sesuatu yang membahayakannya." (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)

Melazimkan diri membaca ketika doa sebelum makan dan minum, sebelum keluar rumah , lazimkan juga membaca 2 ayat terakhir dari surah at taubah (ayat 128 dan 129)

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (١٢٨) فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (١٢٩)

Maksudnya, "Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w.), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat lobakan (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-oarng yang beriman.

Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai ‘Arasy yang besar “. (Surah at-Taubah ayat 128-129)
 

Apabila pesakit terkena santau membaca ayat al-Quran dan berdoa minta di keluarkan apa saja yang ada di dalam perutnya maka dengan izin Allah SWT barang kotortersebut keluar dan kesan luka di dalammulut atau perutnya yang menyebabkan muntah darah. Atau darah beku sudah ada di dalam perutnya maka bila jin tersebut keluar maka darah itu pun ikut keluar sama.

Apabila kita niat nak berubat dengan ayat al-Quran, surah al-Anbiya ayat 83 dan baca doa jika di dalam diri kita ada santau atau sihir dengan izin Allah boleh keluar semua santau atau sihir yang di hantar ke dalam perut kita.

Firman Allah SWT maksudnya, "dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Rabbnya: ` (Ya Rabbi), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Rabb Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.`(Surah al-Anbiya ( 21) ayat 83)

Tafsir Surah Al Anbiyaa' 83.

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (83)

Dengan ayat ini Allah SWT. mengingatkan Rasul-Nya dan umat Muslimin kepada kisah Nabi Ayub a.s. yang ditimpa suatu penyakit yang berat sehingga berdoa memohon pertolongan Tuhannya untuk melenyapkan penyakitnya itu, kerana ia yakin bahwa Allah SWT. adalah Rabb Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Walaupun berbeda-beda riwayat yang diperoleh tentang Nabi Ayub, baik mengenai peribadinya, masa hidupnya dan macam penyakit yang dideritanya, namun ada hal-hal yang dapat dipastikan tentang dirinya, iaitu bahawa dialah seorang hamba Allah yang soleh, telah mendapat cubaan dari Allah SWT, baik mengenai harta benda, keluarga, dan anak-anaknya, mahupun cobaan yang menimpa dirinya sendiri. Dan penyakit yang dideritanya adalah berat. Meskipun demikian semua cubaan itu dihadapinya dengan sabar dan tawakal serta memohon pertolongan dari Allah SWT. dan sedikitpun tidak mengurangi keimanan dan ibadahnya kepada Allah SWT.



1185. Soalan : Bagaimanakah cara untuk kuatkan iman dan dorongan untuk istiqamah tidak meninggalkan solat fardu?


Jawapan :

Terdapat 10 Cara-cara Untuk Kuatkan Iman. dan jika iman kuat akan sentiasa menjaga waktu solat.

Firman Allah SWT maksudnya, " “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benarnya takwa kepada-Nya dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Surah Ali-Imran ayat 102)

Begitulah perintah Allah kepada kita agar kita bertakwa. Namun, iman di dalam hati kita bukanlah sesuatu yang statis. Iman kita begitu dinamis. Bak gelombang air laut yang kadang pasang naik dan kadang pasang surut.

Ketika keadaan iman kita lemah dan ketika ia lemah itu kita masih ada dalam kebaikan, kita beruntung. Namun, bila ketika iman kita lemah dan kedaan lemah itu membuat kita ada di luar sunnah dan ajaran Rasulullah SAW, kita akan rugi. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Engkau mempunyai amal yang bersemangat, dan setiap semangat mempunyai kelemahan. Barangsiapa yang kelemahannya tertuju pada sunnahku, maka dia telah beruntung. Dan, siapa yang kelemahannya tertuju kepada selain itu, maka dia telah binasa.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Begitulah keadaan hati kita. Sesuai dengan namanya, hati –dalam bahasa Arab qalban selalu berubah-ubah (at-taqallub) dengan cepat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Dinamakan hati kerana perubahannya. Sesungguhnya hati itu ialah laksana bulu yang melekat di pangkal pohon yang diubah oleh hembusan angin secara terbalik.” (Hadis Riwayat Ahmad dalam Shahihul Jami’ no. 2365)

Oleh itu Rasulullah SAW. mengajarkan kepada kita sebuah doa agar Allah SWT menetapkan hati kita dalam ketaatan. “Ya Allah Yang membolak-balikan hati-hati manusia, balikanlah hati kami untuk taat kepada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim no. 2654)

Hati kita akan kembali pada keadaan ketaatan kepada Allah SWT. jika kita senantiasa memperbaharui keimanan kita. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya iman itu dijadikan di dalam diri salah seorang di antara kamu sekalian sebagaimana pakaian yang dijadikan, maka memohonlah kepada Allah agar Dia memperbaharui iman di dalam hatimu.” (Al-Hakim di Al-Mustadrak, 1/4; Al-Silsilah Ash-Shahihain no. 1585; Thabrany di Al-Kabir)

Bagaimana cara memperbaharui iman? 


Ada 10 cara yang boleh kita lakukan, iaitu sebagai berikut. :

1. Perbanyaklah membaca ayat-ayat Al-Quran


Al-Qur’an diturunkan Allah sebagai cahaya dan petunjuk, juga sebagai ubat bagi hati manusia. “Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an sesuatu yang menjadi ubat dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Isra’ ayat 82).

Kata Ibnu Qayyim, yang seharusnya dilakukan oleh seorang muslim untuk menyembuhkan hatinya melalui Al-Quran, “Caranya ada dua macam:

Pertama, engkau harus mengalihkan hatimu dari dunia, lalu engkau harus menempatkannya di akhirat.

Kedua, sesudah itu engkau harus menghadapkan semua hatimu kepada pengertian-pengertian Al-Qur’an, memikirkan dan memahami apa yang dimaksud dan mengapa ia diturunkan. Engkau harus mengamati semua ayat-ayat-Nya. Jika suatu ayat diturunkan untuk mengubati hati, maka dengan izin Allah hati itu pun akan sembuh.”

2. Rasakan keagungan Allah seperti yang digambarkan Al-Qur’an dan Sunnah

Al-Qur’an dan Sunnah banyak sekali mengungkap keagungan Allah SWT Seorang muslim yang ketika dihadapkan dengan keagungan Allah, hatinya akan bergetar dan jiwanya akan tunduk. Kekhusukan akan hadir mengisi relung-relung hatinya.

Jangan sampai kita termasuk orang yang disebut ayat ini, “Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi dan seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya.” (Surah Az-Zumar ayat 67)

3. Carilah ilmu syar’i

Sebab, Al-Qur’an berkata, “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya ialah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fathir ayat 28). Karenanya, dalamilah ilmu-ilmu yang mengantarkan kita pada rasa takut kepada Allah.

Allah berfirman, “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” (Surah Az-Zumar: ayat 9).

Orang yang tahu tentang hakikat penciptaan manusia, tahu tentang syariat yang diturunkan Allah sebagai tata cara hidup manusia, dan tahu ke mana tujuan akhir hidup manusia, tentu akan lebih khusyuk hatinya dalam ibadah dan kuat imannya dalam aneka gelombang ujian ketimbang orang yang jahil.

Orang yang tahu tentang apa yang halal dan haram, tentu lebih boleh menjaga diri daripada orang yang tidak tahu. Orang yang tahu bagaimana dahsyatnya siksa neraka, tentu akan lebih khusyuk. Orang yang tidak tahu bagaimana nikmatnya syurga, tentu tidak akan pernah punya rasa rindu untuk meraihnya.

4. Sentiasa berzikir kepada Allah SWT.

Suatu hari Saidinah Abu Bakar mengunjungi Hanzhalah. “Bagaimana keadaanmu, wahai Hanzhalah?” Hanzhalah menjawab, “Hanzhalah telah berbuat munafik.” Abu Bakar menanyakan apa sebabnya. Kata Hanzhalah, “Jika kami berada di sisi Rasulullah SAW., baginda mengingatkan kami tentang neraka dan syurga yang seakan-akan kami boleh melihat dengan mata kepala sendiri. Lalu setelah kami pergi dari sisi Rasulullah SAW kami pun disibukkan oleh urusan isteri, anak-anak, danckehidupan, lalu kami pun banyak lupa.”

Lantas keduanya mengadukan hal itu kepada Rasulullah SAW Kata Rasulullah, “Demi jiwaku yang ada di dalam genggaman-Nya, andaikata kamu sekalian tetap seperti keadaanmu di sisiku dan di dalam zikir, tentu para malaikat akan menyalami kamu di atas kasurmu dan tatkala kamu dalam perjalanan. Tetapi, wahai Hanzhalah, sa’atah, sa’atan, sa’atan.” (Hadis Riwayat Muslim no. 2750)

Begitulah perlunya sentiasa berzikir. Boleh menambahkan iman kita. Makanya para sahabat sangat bersemangat mengadakan pertemuan halaqah zikir. “Duduklah besama kami untuk mengimani hari kiamat,” begitu ajak Muadz bin Jabal. Di halaqah itu, kita boleh melaksanakan hal-hal yang diwajibkan Allah kepada kita, membaca Al-Qur’an, membaca hadis, atau mengkaji ilmu pengetahuan lainnya.

5. Perbanyaklah amal soleh

Suatu ketika Rasulullah SAW. bertanya, “Siapa di antara kalian yang berpuasa di hari ini?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Rasulullah SAW. bertanya lagi, “Siapa di antara kalian yang hari ini menjenguk orang sakit?” Abu Bakar menjawab, “Saya.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah amal-amal itu menyatu dalam diri seseorang malainkan dia akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Begitulah seorang mukmin yang shaddiq (sejati), begitu istiqamah menggunakan setiap kesempatan untuk memperbanyak amal soleh. Mereka berlumba-lumba untuk mendapatkan syurga. “Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Rabb-mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.” (Surah Al-Hadid ayat 21)

Begitulah mereka. Sehingga keadaan mereka seperti yang digambarkan Allah SWT, “Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam, dan pada akhir-akhir malam mereka memohon ampunan (kepada Allah). Dan, pada harta-harta mereka ada hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak mendapat bagian.” (Surah Adz-Dzariyat ayat 17-19)

Banyak beramal soleh, akan menguatkan iman kita. Jika kita sentiasa dengan amal-amal soleh, Allah SWT akan mencintai kita. Dalam sebuah hadits qudsI Rasulullah SAW. menerangkan bahawa Allah berfirman, “Hamba-Ku senantiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan mengerjakan nafilah sehingga Aku mencintainya.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 6137)

6. Lakukan berbagai macam ibadah

Ibadah memiliki banyak ragamnya. Ada ibadah fizikal seperti puasa, ibadah harta seperti zakat, ibadah lisan seperti doa dan zikir. Ada juga ibadah yang yang memadukan semuanya seperti haji. Semua berbagai bentuk ibadah itu sangat bermanfaat untuk menyembuhkan lemah iman kita.

Puasa membuat kita khusyu’ dan mempertebal rasa muraqabatullah (merasa diawasi Allah). Solat rawatib dapat menyempurnakan amal-amal wajib kita kurang sempurna kualitinya. Berinfak mengikis sifat bakhil dan penyakit cintakan dunia. Tahajjud menambah kekuatan iman dan rohani kita.

Banyak melakukan berbagai macam ibadah bukan hanya membuatkan iman kita makin baru dan cemerlang, tapi juga menyediakan bagi kita begitu banyak pintu untuk masuk syurga.

Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang menafkahi dua isteri di jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari pintu-pintu syurga: ‘Wahai hamba Allah, ini adalah baik.’ Lalu barangsiapa yang menjadi orang yang banyak mendirikan solat, maka dia dipanggil dari pintu solat. Barangsiapa menjadi orang yang banyak berjihad, maka dia dipanggil dari pintu jihad. Barangsiapa menjadi orang yang banyak melakukan puasa, maka dia dipanggil dari pintu ar-rayyan. Barangsiapa menjadi orang yang banyak mengeluarkan sedekah, maka dia dipanggil dari pintu sedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 1798)

7. Hadirkan perasaan takut mati dalam keadaan su’ul khatimah

Rasa takut su’ul khatimah akan mendorong kita untuk taat dan senantiasa menjaga iman kita. Penyebab su’ul khatimah adalah lemahnya iman menenggelamkan diri kita ke dalam jurang kederhakaan kepada Allah SWT. Sehingga, ketika nyawa kita dicabut oleh malaikat maut, lidah kita tidak mampu mengucapkan kalimat laa ilaha illallah di hembusan nafas terakhir.

8. Banyak-banyaklah ingat mati

Rasulullah SAW bersabda, “Dulu aku melarangmu menziarahi kubur, ketahuilah sekarang ziarahilah kubur kerana hal itu boleh melunakan hati, membuat mata menangis mengingatkan hari akhirat, dan janganlah kamu mengucapkan kata-kata yang kotor.” (Shahihul Jami’ no. 4584)

Rasulullah SAW juga bersabda, “Banyak-banyaklah mengingat penebas kelezatan-kelezatan, yakni kematian.” (Hadis Riwayat Tirmidzi no. 230)

Mengingat-ingat mati boleh mendorong kita untuk menghindari diri dari berbuat derhaka kepada Allah; dan dapat melunakkan hati kita yang keras. Oleh itu Rasulullah SAW menganjurkan kepada kita, “Kunjungilah orang sakit dan iringilah jenazah, nescaya akan mengingatkanmu terhadap hari akhirat.” (Shahihul Jami’ no. 4109)

Melihat orang sakit yang sedang sakaratul maut sangat memberi bekas. Saat berziarah kubur, bayangkan keadaan orang yang sudah mati. Tubuhnya rosak membusuk. Ulat memakan daging, isi perut, lidah, dan wajah. Tulang-tulang hancur.

Bayangan seperti itu jika berkesan di dalam hati, akan membuat kita menyegerakan taubat, membuat hati kita puas dengan apa yang kita miliki, dan tambah rajin beribadah.

9. Mengingat-ingat dahsyatnya keadaan di hari akhirat

Ada beberapa surat yang menceritakan kedahsyatan hari kiamat. Misalnya, surah Qaf, Al-Waqi’ah, Al-Qiyamah, Al-Mursalat, An-Naba, Al-Muththaffifin, dan At-Takwir. Begitu juga hadis-hadis Rasulullah SAW

Dengan membacanya, mata hati kita akan terbuka. Seakan-akan kita menyaksikan semua itu dan hadir di pemandangan yang dahsyat itu. Semua pengetahuan kita tentang kejadian hari kiamat, hari kebangkitan, berkumpul di Mahsyar, tentang syafa’at Rasulullah SAW., hisab, pahala, qisas, timbangan, jambatan (sirat), tempat tinggal yang kekal di syurga atau neraka; semua itu menambah tebal iman kita.

10. Berinteraksi dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan fenomena alam

Aisyah pernah berkata, “Wahai Rasulullah, aku melihat orang-orang jika mereka melihat awan, maka mereka gembira kerana berharap turun hujan. Namun aku melihat engkau jika engkau melihat awan, aku tahu ketidaksukaan di wajahmu.” Rasulullah SAW menjawab, “Wahai Aisyah, aku tidak merasa aman jika di situ ada azab. Sebab ada suatu kaum yang pernah diazab di sebabkan angin, dan ada suatu kaum yang melihat azab seraya berkata, ‘Ini adalah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami’.” (Hadis Riwayat Muslim no. 899)

Begitulah Rasulullah SAW. berinteraksi dengan fenomena alam. Bahkan, jika melihat gerhana, terlihat raut takut di wajah baginda. Kata Abu Musa, “Matahari pernah gerhana, lalu Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan ketakutan. Baginda takut kerana gerhana itu merupakan tanda kiamat.”







1 comment:

  1. Assalammualaikum uztaz...saya nak bertanyakan soalan.....apakah hukum jika kita melihat gambar berunsurkan negatif seperti gambar bogel tetapi tanpa niat hawa nafsu...contohnya apabila terlihat atau tertengok kerana terkeluar dan terpampang di media massa....saya harap uztaz dapat menjelaskan...kerana saya mempunyai perasaan ragu-ragu...

    ReplyDelete