Saturday, September 12, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 246 (Anak Perempuan Sudah Baligh Siapa Tanggung Dosa, Dosa Jika Membuka Aib Saudaranya, Larangan Semasa Ihram, Sebab-sebab Malaikat Rahmat Tak Masuk Rumah, Dan Konsep Qada' dan Qada)r.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 246 adalah menjelaskan anak perempuan sudah baligh siapa tanggung dosa, dosa jika membuka aib saudaranya, larangan semasa ihram, sebab-sebab malaikat rahmat tak masuk rumah, dan konsep qada' dan qadar.

1186. Soalan : Soalan saya...Dosa anak perempuan berumur 15 tahun, sudah baligh tapi belum berkahwin. Siapakah yang menanggung dosanya?
Dirinya sendiri atau ayahnya? Kalau dia berzina siapakah yang dirotan 100 kali? Anak perempuan itu atau ayahnya?

Jawapan :


Apabila seorang anak perempuan atau anak lelaki sudah sampai usia baligh maka mereka tanggung dosa mereka sendiri. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak mereka dengan didikan agama dan di ajarkan asas akidah, ibadah, akhlak dan ilmu tasauf supaya mereka menghiasi hidup mereka dengan sifat-sifat mahmudah. Seorang anak perempuan yang belum berkahwin nafkah masih di tanggung oleh bapanya jika dia belum bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri tetapi dosa-dosa yang di lakukan maka dia tanggung sendiri. Jika ibu bapanya tahu si anak perempuan melakukan dosa maka wajib , mereka menegur dan memberi nasihat yang baik dan cuba cegah dengan kuasa yang di miliki oleh ibu bapa. Jika anak perempuannya berzina dan cukup 4 orang saksi yang adil maka hukum hudud boleh di kenakan kepadanya iaitu di sebat 100 kali di khalayak ramai bukan bapanya yang bertanggungjawab kerana perbuatan tersebut di lakukan di luar pengetahuan ibu bapanya. Tetapi jika ibu bapa tidak mendidik anak-anaknya sehingga mereka melakukan dosa dan maksiat ibu bapa akan tanggung dosa kerana gagal mendidik tetapi si anak yang buat dosa mereka tetap menanggung dosa mereka sendiri.

Firman Allah SWT maksudnya, “(yaitu) bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Al Najm [53] ayat 38)

“Dan seorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain” (Surah Al Israa [17] ayat 15)

“Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikitpun dan kamu tidak dibalasi, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan. (Surah Yaa Siin [36] ayat 54)

“Dan takutlah kamu kepada suatu hari di waktu seseorang tidak dapat menggantikan seseorang lain sedikitpun dan tidak akan diterima suatu tebusan daripadanya dan tidak akan memberi manfaat sesuatu syafa’at kepadanya dan tidak (pula) mereka akan ditolong.” (Surah Al Baqarah [2] ayat 123)



1187. Soalan :Minta pandangan atau pendapat ustaz tentang hukum membuka aib. Contoh kalau di sebarkan sesuatu atas tujuan nak orang lain berjaga2 bukan atas niat memalukan adakah termasak membuka aib?

Jawapan :


Islam melarang sesiapa saja umatnya yang suka membuka aib saudaranya. Dosa membuka aib ini adalah dosa besar dan dosa ini tidak boleh di hilangkan dengan bertaubat melainkan orang yang membuka aib meminta maaf kepada orang yang di aibkan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Tidaklah seorang hamba menutupi aurat (aib ) orang lain di dunia kecuali Allah menutupi auratnya ( aibnya ) di akhirat " (Hadis Riwayat Muslim)
 

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang maksudnya : "Muslim ( orang Islam ) adalah saudara bagi orang Islam lainnya, dia tidak menganiayanya dan tidak pula menyerahkannya kepada musuhnya ( tidak juga meninggalkannya tanpa pertolongan ), barangsiapa menolong saudaranya untuk memenuhi hajatnya, maka Allah bersamanya dalam memenuhi hajatnya, dan barangsiapa melapangkan suatu kesusahan dari seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat, dan barangsiapa menutupi (aib) seorang muslim, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat. (Hadis Riwayat Muslim).

Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah SAW naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya. (Hadis Riwayat Tirmidzi).

 Allah 'Azza wa Jalla cinta untuk menutupi aib makhluk-Nya, dan memerintahkannya (menutupi aib orang lain ), oleh kerana itu Allah mengharamkan tindakan mata-mata (mencari-cari) dan melarangnya, dan Rasulullah SAW telah memberitahukan bahawa siapa saja yang menutupi aib seseorang, maka Allah menutupi aibnya di hari kiamat, dan melarang mencari-cari aib kaum muslimin dan tindakan memata-matai (mencari-cari) mereka tentang pekerjaan yang mereka sembunyikan.

 Sekarang ini sudah menjadi satu trend bahawa seorang begitu mudah untuk menabur fitnah dan mendedahkan aib seseorang yang menjadi musuhnya samaada artis sesama artis, ahli politik sesama ahli politik, usahawan sesama usahawan dan pemimpin pertubuhan sesama pemimpin pertubuhan yang lain. Hari-hari dada akhbar arus perdana mendedahkan pertelingkahan , perbalahan, tuduh menuduh di antara kumpulan-kumpulan tertentu yang bermusuhan saling mencari kelemahan dan kesalahan lalu mendedahkannya tanpa menyiasat sahih atau tidaknya suatu berita itu. Trend yang biasa dibuat adalah membuat lapuran polis, membayangkan seolah-olah apa yang mereka lakukan adalah mempunyai bukti dan kebenaran.
 

Hakikat sebenarnya perbuatan mereka adalah amat bertentangan dengan ciri-ciri akhlak Islam kerana banyak kes di dapati isu-isu yang dibawa hanyalah propaganda kosong yang hanya menambahkan kebencian, permusuhan dan perpecahan dikalangan umat Islam.

Jika nak sebarkan sesuatu perkara yang belum pasti betul atau salahnya maka lebih baik kita pilih jangan di sebarkan kerana jika kesilapan berlaku sukar nak perbetulkan perkara yang palsu. Dalam Islam terdapat beberapa perkara yang dilakukan tidak di kira mendedahkan aib seseorang. Tetapi tetap tak boleh di sebarkan di media sosial dan di sebut pula nama dan alamat orang tersebut. Mereka yang tak sepatutnya tahu telah mengetahuinya., Bentuk-bentuk Mengumpat (ghibah) yang Diperbolehkan.
 

Imam Nawawi dalam kitab Syarah Shahih Muslim dan Riyadhu As-Shalihin, menyatakan bahawa ghibah hanya diperbolehkan untuk tujuan syara’ iaitu yang disebabkan oleh enam hal, iaitu:
 

1. Orang yang mazhlum (teraniaya) boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzhaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berwenang memutuskan suatu perkara dalam rangka menuntut haknya.

Hal ini dijelaskan dalam Al-Qur’an surat An-Nisa ayat 148:
 

“Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS. An-Nisa’ : 148).

 Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang teraniaya boleh menceritakan keburukan perbuatan orang yang menzhaliminya kepada khalayak ramai. Bahkan jika ia menceritakannya kepada seseorang yang mempunyai kekuasaan, kekuatan, dan wewenang untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, seperti seorang pemimpin atau hakim, dengan tujuan mengharapkan bantuan atau keadilan, maka sudah jelas boleh hukumnya.

 Tetapi walaupun kita boleh mengghibah orang yang menzhalimi kita, pemberian maaf atau menyembunyikan suatu keburukan adalah lebih baik. Hal ini ditegaskan pada ayat berikutnya, iaitu Surat An-Nisa ayat 149:

 Maksudnya,“Jika kamu menyatakan kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah An-Nisa ayat 149)
 

2. Meminta bantuan untuk menyingkirkan kemungkaran dan agar orang yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar. Pembolehan ini dalam rangka isti’anah (minta tolong) untuk mencegah kemungkaran dan mengembalikan orang yang bermaksiat ke jalan yang hak. Selain itu ini juga merupakan kewajiban manusia untuk ber-amar makruf nahi munkar. Setiap muslim harus saling bahu membahu menegakkan kebenaran dan meluruskan jalan orang-orang yang menyimpang dari hukum-hukum Allah, hingga nyata garis perbedaan antara yang haq dan yang bathil.
 

3. Istifta’ (meminta fatwa) akan sesuatu hal.

Walaupun kita diperbolehkan menceritakan keburukan seseorang untuk meminta fatwa, untuk lebih berhati-hati, ada baiknya kita hanya menyebutkan keburukan orang lain sesuai yang ingin kita adukan, tidak lebih.

4. Memperingatkan kaum muslimin dari beberapa kejahatan seperti:


i. Apabila ada perawi, saksi, atau pengarang yang cacat sifat atau kelakuannya, menurut ijma’ ulama kita boleh bahkan wajib memberitahukannya kepada kaum muslimin. Hal ini dilakukan untuk memelihara kebersihan syariat. Ghibah dengan tujuan seperti ini jelas diperbolehkan, bahkan diwajibkan untuk menjaga kesucian hadits. Apalagi hadits merupakan sumber hukum kedua bagi kaum muslimin setelah Al-Qur’an.
 

ii. Apabila kita melihat seseorang membeli barang yang cacat atau mencari seorang pembantu rumah tangga dia itu berakhlak buruk seperti suka mencuri, malas bekrja, suka buat fitnah, dan sejenisnya, sedangkan si pembelinya tidak mengetahui kecacatan barang itu maka kita di bolehkan untuk memberi nasihat atau mencegah kejahatan terhadap saudara kita, bukan untuk menyakiti salah satu pihak. Cerita yang benar akan sikap penjual tersebut suka menipu supaya pembeli tidak di aniaya terhadap pembelian tersebut . Kita ceritakan itu pun sekadar keperluan saja buka dedahkan aib si penjual secara berlebih-lebihan.

 iii. Apabila kita melihat seorang penuntut ilmu agama belajar kepada seseorang yang fasik atau ahli bid’ah dan kita khawatir terhadap bahaya yang akan menimpanya. Maka kita wajib menasihati dengan cara menjelaskan sifat dan keadaan guru tersebut dengan tujuan untuk kebaikan semata.
 

5. Menceritakan kepada khalayak tentang seseorang yang berbuat fasik atau bid’ah seperti, minum-minuman keras, menyita harta orang secara paksa, memungut pajak liar atau perkara-perkara bathil lainnya. Ketika menceritakan keburukan itu kita tidak boleh menambah-nambahinya dan sepanjang niat kita dalam melakukan hal itu hanya untuk kebaikan.

6. Bila seseorang telah dikenal dengan julukan si pincang, si pendek, si bisu, si buta, atau sebagainya, maka kita boleh memanggilnya dengan julukan di atas agar orang lain langsung mengerti.
 

Tetapi jika tujuannya untuk menghina, maka haram hukumnya. Jika ia mempunyai nama lain yang lebih baik, maka lebih baik memanggilnya dengan nama lain tersebut. Wallahu a’lam .

7. Boleh kita ceritakan aib seorang ahli politik yg rasuah, menipu rakyat, mungkir janji, hidup bermewah- mewah kepada org ramai supaya tak pilih pemimpin tersebut, dan rakyat tak tertipu lagi dgn pemimpin seperti ini.


1188. Soalan : Apakah larangan-larangan semasa ihram dan kaffarah yang di kenakan jika melakukan larangan ihram?

Jawapan :   

Meninggalkan perkara-perkara larangan semasa ihram

Perkara-Perkara Yang Dilarang Semasa Berihram Sebaik sahaja seorang itu berniat haji atau umrah maka wajiblah menjaga pantang larang ihram seperti berikut :

1. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya bagi lelaki, seperti memakai songkok, serban dan sebagainyatetapi tidak menjadi larangan sekiranya berteduh di bawah pokok atau payung.

2. Memakai pakaian bersarung sama ada berjahit atau sebagainya bagi lelaki seperti seluar, baju kemeja dan sarung kaki.

3. Menutup muka bagi wanita.

4. Memakai sarung tangan.

5. Memakai bau-bauan pada badan atau pakaian atau pada makanan, minuman atau menyedut ke dalam hidung.

6. Memakai minyak rambut pada kepala atau janggut.

7. Menanggalkan rambut atau menghilangkan mana-mana bulu pada anggota badan.

8. Mengerat atau membuang kuku.

9. Memotong, menebang atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah Haram.

10. Memburu binatang buruan yang halal dimakan atau membinasakannya sama ada di Tanah Haram atau di Tanah Halal.

11. Bersetubuh.

12. Melakukan perkara pendahuluan bersetubuh seperti bercium, berkucup-kucupan atau berpeluk yang menaikkan nafsu syahwat.

13. Akad nikah sama ada ijab atau qabul untuk diri sendiri atau mewakili orang lain.

Jika seseorang yang berihram mencukur rambut, memotong kuku, memakai wewangian, memakai pakaian yang berjahit atau menutup kepala bagi laki-laki); memakai cadar atau sarung tangan bagi wanita, maka ia wajib membayar fidyah dengan jalan memilih diantara tiga pilihan berikut:

1. Berpuasa selama 3 hari

2. Bersedekah 1/2 sha dari makanan yang mengenyangkan (=2 mud= 1,5 Kg beras) kepada masing-masing 6 orang miskin

3. Menyembelih seekor kambing

Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT yang artinya sebagai berikut: "Jika ada di antara kamu yang sakit atau gangguan di kepalanya (lalu bercukur), wajib baginya membayar fidyah, (yaitu) berpuasa, bersedekah, atau berkurban. (Surah Al- Baqarah ayat 196)

Dari Sabda Rasulullah SAW kepada Ka'ab bin Ujrah r.a. Rasulullah SAW bersabda kepadanya, "Tampaknya rasa pusing di kepalamu itu membuatmu sakit?" Ia menjawab, "Betul, ya Rasulullah!" Rasulullah SAW pun bersabda, "Cukurlah rambutmu itu, lalu berpuasalah selama tiga hari, memberi makan enam orang miskin, atau berkurban satu ekor kambing." (Hadis muttafaqun 'alaih).

Ayat dan hadis itu menetapkan tentang mencukur rambt. Para lama menganggap memotong kuku, memakai pakaian berjahit dan memakai wewangian serupa dengan mencukur rambut. Para imam mazhab empat setuju dengan ketetapan ini. Jika puan rasa nak bayar fidyah kerana melakukan kesalahan semasa ihram (walaupun tak sengaja) bolehlah sedekah 1.5 kg beras kepada 6 orang miskin.



1189. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah perkara-perkara yang menyebabkan malaikat rahmat tak masuk rumah kita?


Jawapan :

Antara Sebab KENAPA Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah anda

1- Rumah orang yang memutuskan hubungan Silatul Rahim.

2- Rumah orang yang memakan harta anak yatim secara haram.

3- Rumah yang memelihara anjing.

4- Rumah yang banyak menyimpan gambar yang mencerca Para Sahabat Nabi, orang yang telah mati dan sebagainya.

5- Rumah yang mengumandangkan nyanyian yang memuja selain daripada Allah SWT.

6- Rumah yang sering meninggikan suara.

7- Rumah yang didiami mereka yang syirik kepada Allah SWT seperti tukang tilik, ahli sihir dan nujum.

8- Rumah yang menggunakan perhiasan daripada emas seperti pinggan dan mangkuk daripada emas.

9- Rumah yang makan makanan yang berbau seperti bauan rokok, perokok, penagih dadah .

10- Rumah yang didiami mereka yang sentiasa bergelombang dengan maksiat.

11- Rumah yang didiami mereka yang melakukan dosa-dosa besar.

12- Rumah yang didiami mereka yang derhaka kepada kedua ibu bapa.

13- Rumah pemakan riba,intres.

14- Rumah yang mengamalkan budaya syaitan seperti kumpulan rock.

15- Rumah yang memiliki patung-patung.

16- Rumah yang memiliki loceng seperti loceng gereja.

17- Rumah yang didiami peminum arak.

18- Rumah yang mempercayai tukang tilik.

19- Rumah yang didiami mereka yang mendapat laknat Allah SWT, pemakan rasuah, pemberi rasuah dan mereka yang mengubah kejadian Allah SWT seperti wanita yang mencukur bulu kening, wanita yang memakai gelang atau rantai di kaki.

20- Rumah yang didiami mereka yang berhadas besar tanpa mandi Janabah/Junub.

21- Rumah yang melakukan pembaziran ( berhias dengan berlebihan ).

22- Rumah yang melakukan maksiat di dalamnya.



1190. Soalan : Bolehkah ustaz jelaskan konsep qada' dan qadar kerana ada orang malas bekerja dengan mengatakan " rezeki saya jika sudah ada tercatat maka saya tak bekerja pun akan dapat juga rezeki". Minta tolong huraikan kerana saya tak tahu nak ceritakan kepada kawan yang bertanya.


Jawapan : 

Apabila membicarakan konsep qada' dan qadar perlu dengan kefahaman yang betul mengikut Ahli Sunnah Wal jamaah. Dalam memahami qada' dan qadar Allah, jelas difahami segala perkara telah ditetapkan dan diketahui oleh Allah Azzawajalla. lni temasuk dalam cakupan ilmu Allah yang meliputi segala-galanya. la juga berlaku dengan kehendak Allah.

Ini berdasarkan kaedah:

Maksudnya: “Perkara yang Allah kehendaki ia pasti berlaku, dan perkara yang Allah tidak kehendaki berlaku maka ia tidak akan berlaku.”

Namun, timbul persoalan tentang ungkapan bahawa qada' dan qadar mungkin boleh berubah. Ada disebutkan ungkapan bahawa qada' tidak ditolak melainkan dengan doa. Jika qada' menetapkan kita sakit, bukankah kita boleh berusaha untuk menjadi tidak sakit? Kalau qada' menetapkan kita akan terlibat dengan kemalangan, tidakkah kita boleh berusaha untuk mengelakkan daripada kemalangan itu berlaku?

Qada' Allah

Untuk menjelaskan isu ini, keterangannya seperti berikut:

1. Tiada ilmu bagi kita tentang qada' Allah.

Hakikatnya, tiada sesiapa mengetahui tentang qada' Allah kepadanya. Tiada manusia tahu bila dia akan sakit, apa penyakitnya, tentang kemalangan, kecurian dan sebagainya. Seorang pelajar tidak tahu ketentuan Allah sama ada dia akan berjaya atau gagal dalam peperiksaannya.

Seorang pelajar juga tidak tahu berapa nilai kecemerlangan atau gred A yang akan dia peroleh. Oleh sebab itu, kita tidak perlu menunggu qadar datang, sebaliknya berusaha mendapatkan qada' ketentuan yang terbaik daripada Allah. Firman Allah SWT maksudnya, " “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” (Surah al-Ra'd (13) ayat 11)

2. Allah menghapuskan suatu ketetapan dan menetapkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghapuskan apa-apa yang dikehendakinya dan Dia juga menetapkan apa-apa yang dikehendakinya.” (Surah al-Ra‘d (13) ayat 39)

Menurut Ibn ‘Abbas r.a. dalam Tafsir Ibn Kathir ayat ini menjelaskan bahawa Allah menetapkan urusan selama setahun, lalu Dia memadamkan apa-apa yang dikehendakinya. Ini bermakna Allah SWT menetapkan apa-apa yang dirancang dan juga mengubah perkara yang sudah dirancang.

3. Qada' mubram dan qada' mu‘allaq.

Qada' mubram ialah qada' Allah yang terdapat di Loh Mahfuz. Qada' Mubram adalah takdir yang pasti. Sebagai contoh, wanita sahaja yang boleh mengandung dan melahirkan anak, manusia memerlukan oksigen, makan dan minum yang mencukupi untuk hidup. Itu adalah satu ketetapan yang pasti. Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai bila-bila masa. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat.

Seterusnya, qada' mu‘allaq iaitu qada' yang tergantung. Qada' ini tergantung pada faktor dan sebab. Ia disebut sebagai qada' yang ada dalam kitab-kitab di sisi para malaikat. Maka, rezeki, ajal, jodoh , kematian dan usia tetap di sisi Allah SWT. Namun, catatan yang ada di sisi para malaikat adalah tidak tetap dan berubah dengan perintah daripada Allah.Qada' Muallaq pula adalah ketetapan yang boleh berubah. Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata, “Mengikut pendapat yang hak, Loh Mahfuz menerima penghapusan dan penetapan.”

Salman radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Tidak tertolak Qada' itu melainkan oleh doa dan tidak bertambah di dalam umur itu melainkan oleh kebajikan.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Doa itu sendiri sebagai satu ibadat dan menjadi bentuk perhambaan kepada Allah.Mereka yang berdoa perlu mempunyai keyakinan kerana ada dinyatakan, Allah tidak akan mempersia-siakan mereka.

Rasulullah SAW. yang diriwayatkan daripada Salman Al-Farisi:“Sesungguhnya Allah itu Hidup dan Maha Pemberi, Dia malu jika seseorang mengangkat kedua tangannya kepada-Nya lalu Dia mengembalikan kedua tangannya (membalas doa orang itu) dalam keadaan kosong serta rugi.”(Hadis riwayat Tirmidzi)

Contohnya, di sisi Allah usia setiap insan adalah tetap. Walau bagaimanapun, kadar usia seseorang insan di sisi para malaikat adalah tidak tetap. Ia bergantung dengan sebab tertentu.

Ini telah jelas kepada kita sebuah sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang suka jika diluaskan rezeki dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Dengan ini, kita boleh mengandaikan Allah menetapkan usia seseorang sekitar 50 tahun sahaja. Namun jika dia menghubungkan tali silaturahim sesama manusia, maka usianya akan ditambah sehingga mencapai 70 tahun. Malaikat
hanya mengetahui usia seseorang antara 50 dengan 70 tahun. Malaikat tidak tahu sama ada usia seseorang bertambah atau tidak kerana malaikat tidak tahu sama ada seseorang itu menghubungkan tali silaturahim atau tidak. Namun, hanya Allah mengetahui hakikat sebenar. Oleh sebab itu, menghubungkan tali silaturahim menjadi sebab pertambahan usia.
 

 Tentukan Hala Tuju Diri

Apabila kita memahami qada' dengan spek begini, kita sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju diri kita. Qada' dan qadar bukan asas untuk kita menjadi seorang yang pemalas. Jika Allah menentukan kita miskin, maka kita tetap akan miskin walaupun kita rajin berusaha.

Persoalannya, bagaimana kita tahu bahawa Allah menetapkan bahawa kita miskin? Mungkin Allah telah menetapkan kita sebenarnya kaya, cuma kekayaan itu diikat dengan satu syarat iaitu kita mesti rajin berusaha. Alangkah ruginya jika berhujah dengan alasan qada' Allah dan malas untuk berusaha.

Begitu juga persoalan kebahagian.

Kita tidak tahu hakikat sebenar yang ditentukan oleh Allah. Namun, orang yang berusaha untuk mencari kebahagiaan akan menemui kebahagiaan tersebut.

Inilah ketetapan Allah yang umum dan pasti. Ada diriwayatkan dalam satu hadis bahawa sesiapa yang berusaha maka dia akan mendapatnya. Kaedah dalam hadis ini adalah kaedah umum yang mengikat kejayaan dengan usaha. Ini juga daripada qadar Allah. Oleh sebab itu, kejayaan yang sebenar diikat dengan jauhnya daripada azab api neraka.

Allah SWT berfrman yang bermaksud: “Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya dengan kejayaan yang besar.” (Surah Ali ‘Imran (3) ayat 185)

Justeru, bagaimana kaedah untuk dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga? Adakah dengan menyerah bulat-bulat kepada ketentuan llahi?

Jika Allah menetapkan seseorang itu sebagai ahli syurga dan dijauhkan daripada azab api neraka, maka ia nikmat yang amat besar. Namun jika Allah menetapkan seseorang itu dimasukkan ke nenaka dan diazab, maka adakah dia perlu reda sahaja?
Kaedahnya telah dibentangkan dengan jelas dalam al-Quran iaitu keimanan kepada Allah dan melakukan amalan soleh.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesiapa yang beramal dengan amalan soleh sama ada Ielaki mahupun wanita, sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk ke syurga dan mereka tidak dizalimi walaupun sedikit.” (Surah al-Nisa’(4) ayat 124)

Iman dan amal soleh adalah sebab untuk menjauhkan seseorang daripada api neraka. Oleh sebab itu, setiap insan mesti berusaha untuk beriman dan melakukan amalan soleh. Kita tidak boleh memberi alasan berikut: “Jika Allah mentakdirkan saya sebagai ahli syurga, maka saya tetap akan masuk syurga walaupun saya jahat dan melakukan kejahatan. Begitu juga jika Allah mentakdirkan saya masuk ke neraka, maka saya tetap akan masuk ke dalamnya walaupun saya beriman dan beramal soleh.”

Cuba tanya kepada diri sendiri bagaimana kita sebagai manusia biasa mengetahui bahawa Allah mentakdirkan kita sebagai ahli syurga atau neraka? Rasulullah SAW datang membawa risalah yang benar iaitu al-Quran dan sunah Nabawi maka atas pilihan kita nak ikut yang mana? Jika kita mengikut ajaran Nabi SAW kita akan selamat dunia dan akhirat tetapi jika ikut langkah-langkan syaitan , maka syaitan akan menyesatkan kita ke jalan yang di murkai Allah SWT. Tepuk dada tanya iman, dan kita di beri peluang untuk membuat pilihan dan pilhan kita ini yang akan menentukan kita masuk syurga dengan rahmat Allah atau masuk neraka dengan kemurkaan Allah SWT nauzubilahiminzalik.

Justeru, kaedah dan konsep yang sama hendaklah diaplikasikan dalam kehidupan ini.




No comments:

Post a Comment