Wednesday, August 26, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 244 ( Solat Jamak Selain Bermusafir, Zikir Selepas Solat, Doa Qunut Waktu Subuh, Majlis Tahlil, Membaca al-Fatihah di Belakang Imam, Kenapa Perlu Mazhab, Cium Anak Semasa Tidur, Solat Semasa Sakit, Mati Hari Jumaat dan Bersuka Ria Semasa Isteri Haid.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 244 adalah menjelaskan solat jamak selain bermusafir, zikir selepas solat, doa qunut waktu subuh, majlis tahlil, membaca al-Fatihah di belakang imam, kenapa perlu mazhab, cium anak semasa tidur, solat semasa sakit, mati hari Jumaat dan bersuka ria semasa isteri haid.

1176. Soalan : Ustaz.. saya ada kemuskilan tentang beberapa perkara yg diajarkan mengikut fahaman Wahabi. Kebanyakan yang diajarkan kepada saya tidak pernah diketahui sebelum ini.

Antaranya ialah:-

1) Solat jamak boleh dilakukan ketika pergi atau blk drpd tpt kerja. krna takut terlepas waktu solat. walaupun tidak cukup 2 marhalah.

2) Tiada zikir beramai-ramai selepas solat.

3) Tiada doa qunut.solat subuh.

4) Tiada majlis tahlil. walau pun arwah pernah maninggalkan amanat kepada anak-anaknya supaya buat tahlil untuknya.

5) Tidak perlu membaca al-fatihah dalam solat selepas imam membacanya.dengan kuat kecuali rakaat yang berikutnya imam tidak membacanya. dengan kuat.

6) Boleh mengikut mana-mana mazhab pada bila-bila masa. tidak tetap kepada 1 mazhab sahaja. Mohon pencerahan ustaz..

Jawapan :

1. Solat jamak dan qasar tidak boleh di buat pada jarak yang dekat kerana jarak musafir adalah sejauh 2 marhala iaitu 89 km. Pernah seketika Ibnu Umar dan Ibnu Abbas mengqasarkan solatnya dan berbuka di dalam perjalanan sejauh empat burud iaitu enam belas farsakh (dua marhalah). (Hadis Riwayat Al-Bukhari.)

Ukuran kadar jauh yang diistilahkan dengan dua marhalah itu ialah jarak di antara rumah/tempat tinggal seseorang dengan tempat yang dia pergi. Adapun mengikut ukuran zaman sekarang adalah sejauh 89 km.

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya "Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh" menyebut bahawa ukuran dua marhalah itu adalah bersamaan dengan 89km.

2. Nabi SAW pernah berzikir beramai-ramai selepas solat. Zikir selepas solat yang di lakukan oleh Rasulullah SAW :

أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ

كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ:

كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ.

Abdullah ibnu Abbas radhiallahu’anhuma berkata bahawa orang ramai berzikir dengan suara yang kuat selepas berakhirnya solat berjemaah dan ini berlaku pada zaman Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Ibnu Abbas melanjutkan: “Aku dapat mengetahui apabila solat telah selesai dengan mendengar zikir tersebut.”[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 841.]

Hadis Kedua Nabi SAW berzikir selepas solat.

عَنْ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ يَقُولُ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إذَا سَلَّمَ

مِنْ صَلاَتِهِ يَقُولُ بِصَوْتِهِ الأَعْلَى:لاَ إلَهَ إلاَّ اللَّهُ....

Abdullah ibnu Zubair (radhiallahu 'anh berkata): "Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wasallam apabila memberi salam daripada solatnya, mengucapkan zikir berikut dengan suara yang keras: "La ilaha illAllah..."[Dikeluarkan oleh al-Syafi’i di dalam Kitab al-Umm, jld.1, mukasurat 150. Dikeluarkan juga oleh Muslim di dalam Shahihnya – hadis no. 594]

 3. Doa qunut ada di baca semasa solat subuh : Rasulullah SAW sendiri membaca doa qunut ketika solat Subuh sebagaimana terdapat hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Dari Muhammad bin Sirin, bahawa ia berkata, “Aku berkata kepada Anas bin Malik r.a, “Apakah Rasulullah SAW. qunut pada solat subuh? ‘Ia menjawab, ‘Ya, sesaat setelah rukuk.” (Hadis Sahih Riwayat Muslim ( I:468no.298)

Di dalam hadis yang lain : Dikatakan oleh Umar bin Ali Al Bahiliy, dikatakan oleh Khalid bin Yazid, dikatakan Abu Ja’far Ar-Razy, dari Ar-Rab i’ bin Anas berkata : Anas r.a ditanya tentang qunut Nabi SAW bahawa apakah betul baginda SAW berqunut sebulan, maka berkata Anas ra : Baginda SAW selalu terus berqunut hingga wafat, lalu mereka mengatakan maka qunut Nabi SAW pada solat subuh selalu berkesinambungan hingga baginda SAW wafat, dan mereka yang meriwayatkan bahawa qunut Nabi SAW hanya sebulan kemudian berhenti maka yang dimaksud adalah qunut setiap solat untuk mendoakan kehancuran atas musuh-musuh, lalu (setelah sebulan) baginda SAW berhenti, namun qunut di solat subuh terus berjalan hingga baginda SAW wafat.

Berkata Imam Nawawi : Mengenai qunut subuh, Rasulullah SAW tidak meninggalkannya hingga baginda SAW wafat, demikian riwayat sahih dari Anas r.a. (Syarah Nawawi ala shahih Muslim)

Dan hadis tersebut juga disahihkan an-Nawawi dalam al-Majmu’-nya (III:504). Ia berkata, ‘Hadis tersebut sahih dan diriwayatkan oleh sejumlah penghapal hadis, dan mereka mensahihkannya. Diantaranya yang mensahihkannya adalah al-Hafizh Abu Abdillah Muhammad bin ‘Ali al-Balkhi, al-Hakim Abu ‘Abdillah dalam beberapa judul kitabnya, dan al-Baihaqi. Hadis itu diriwayatkan juga oleh ad-Daruquthni dari berbagai jalan periwayatan dengan sanad yang sahih”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik r.a katanya : "Sentiasalah Rasulullah SAW berqunut pada solat Subuh sehinggalah baginda wafat."

4. Membaca al-Quran di sedekahkan kepada si mati adalah khilaf ulama. Dalili ulama yang membenarkannya adalah seperti berikut : Menurut Prof Dr Wahbah al-Zuhaili, Mazhab Imam Ahmad dan jumhur salaf dan mazhab empat dan di antara mereka Malikiyah dan Syafi’iyah yang kemudian berpendapat sampai pahala amalan tersebut.

Pendapat Imam Abu Hanifah :

“Segala pahala dari sedekah dan lainnya sampai kepada mayat. Ia juga berkata : “Bacalah ayat Kursi tiga kali dan surah al-Ikhlas dan katakanlah : “Ya ALlah, Ya Tuhan kami, pahalanya untuk ahli kubur.”

DALIL AL-QURAN :

Al-Sya’ani juga menyebutkan dalil pendapat kedua dari al-Quran, sunnah dan ijmak serta kaedah syariat. Iaitu mereka yang mengatakan bahawa mayat mendapat manfaat atas apa yang dilakukan oleh orang-orang yang masih hidup untuknya.

Dalil dari al-Quran adalah firman Allah S.W.T yang bererti :

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan tangan), berkata : “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kamu yang mendahului kami dalam iman.” (Surah al Hasyr : Ayat 10)

Maka Allah S.W.T memuji mereka atas istighfar mereka kepada kaum Mukminin sebelum mereka. Maka hal itu menunjukkan bahawa mayat mendapat manfaat daripada doa terhadap mereka seperti juga doa dalam solat jenazah.

DALIL HADITH :

Ibn Hibban dalam kitab sahihnya meriwayatkan hadith Jundab bin Abdillah, Rasulullah S.A.W bersabda yang bererti :

“Surah al-Baqarah adalah tulang belakang al-Quran, ia diturunkan oleh lapan puluh malaikat dengan membawa satu persatu ayat. Sedangkan ayat kursi diturunkan dari bawah Arsy’. kemudian ia dikumpulkan dengan ayat-ayat surah al-Baqarah. Surah Yasin pula adalah hati al-Quran, tidak ada orang yang membacanya dengan mengharap redha Allah dan pahala akhirat melainkan dia akan mendapat ampunan dari-Nya. Bacalah surah Yasin untuk saudara-saudara kamu yang telah meninggal dunia.“

(Ditakhrij oleh Ibn Hibban di dalam Kitab Sahihnya pada bab Fadhilat Surah al Baqarah. Demikian juga al-Haithami meriwayatkannya di dalam kitab Mawarid al-Dzam’an. Imam Ahmad juga meriwayatkannya di dalam al-Musnad dari Ma’qal bin Yasar.

Al-Haithami mengulas hadith tersebut di dalam kitab Majma’ al-Zawaid, “Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di dalamnya ada salah seorang perawi yang tidak disebut namanya, bagaimanapun perawi-perawi lainnya adalah sahih.

Pendapat dari Imam An Nawawi :

Imam Nawawi berkata :

“Adalah sunnah hukumnya bagi para penziarah kubur untuk mengucapkan salam kepada mereka (penghuni kubur), mendoakan kepada orang yang diziarahi dan juga kepada ahli kubur semuanya. Lebih utama lagi, jika penziarah itu membaca doa-doa yang telah diterangkan dalam al hadith. Dan hukumnya sunnah pula membaca ayat-ayat al Quran dan setelah itu mendoakan para penghuni kubur. Ini semua adalah nas (pendapat) dari Imam al Syafie dan disepakati oleh murid-muridnya (para pengikutnya) – al majmu’ syarh al muhazzab -

Pendapat Imam Ahmad :

Imam Ahmad pada mulanya pernah melarang seorang buta daripada membaca al-Quran di atas kubur, kemudian beliau (imam Ahmad) mengizinkannya setelah mendengar khabar yang mengatakan Ibnu Umar pernah berwasiat supaya dibacakan permulaan dan penghujung surah al-Baqarah di sisinya ketika dikebumikan.

Kisah ini disebut oleh Ibnu Qudamah di dalam kitabnya ‘Al Mughni di dalam masalah : Ziarah Kubur.

Berdoalah kepada ALLah agar pahala kita membaca ayat al Quran sampai kepada si mayyit kerana ALlah sendiri telah berfirman yang bererti :

“Dan Tuhan kamu berfirman:

“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah al-Mukmin : Ayat 60)

Antara ulama’ terkini lain yang mengatakan sampainya pahala seperti : Profesor Dr Sayyid Muhammad ‘Alawi Almaliki Al Hasani, Dr Abd Malik Abd Rahman As Sa’adi, dan ramai lagi.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 9 September 2002 telah membincangkan mengenai Hukum Membaca Surah Yasin Dan Tahlil Berjemaah.

Fatwanya adalah :

Segala bentuk sedekah seperti kenduri, membaca ayat-ayat Al-Quran dan segala bentuk zikir, tahlil adalah harus dan pahalanya إن شاء الله sampai kepada simati yang ditujukan dengan syarat diniatkan semua pahala amalan-amalan kebajikan tersebut untuk simati dengan penuh keikhlasan.

Ulama telah membahaskan samaada bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada simati sampai atau tidak? Ada yang berpendapat pahala bacaan al-Quran tersebut sampai dan ada yang berpendapat tidak sampai.

Majoriti ulama berpendapat bacaan tersebut akan sampai apabila di niatkan untuk individu tertentu yang telah meninggal dunia.

Syeikh Ali Jumuah Mufti Republik Arab Mesir menghuraikan permasaalahan tersebut seperti dibawah ini :

Kitab : البيان لما يشغل الأذهان

Para ulama’ telah bersepakat (berijma’ atau berpendapat) mengatakan bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah tidak haram, bahkan tidak berdosa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama’ Hanafiah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas R.A ( hadis marfu’ ):

من دخل المقابرفقرأ فيها (يس) خفف عنهم يومئذ، و كلان له بعددهم حسنات

Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan”1

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa :

“Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah”.2

Adapun ulama’ Malikiyyah berpendapat bahawa membaca Al-Quran di atas kubur adalah makruh. Akan tetapi, Syeikh Dardir memberikan komentar beliau di dalam masalah ini :

“Ulama’ mutaakh’khirin berpendapat bahawa tidak mengapa membaca Al-Quran dan berzikir serta menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada si mati bahkan si pembaca juga akan mendapat/beroleh pahala, Insya Allah”.3

Perselisihan pendapat pada masalah ini adalah terlalu lemah (dhoif). Pendapat yg mengatakan hukumnya adalah sunat adalah pendapat yg kuat. Sesungguhnya sebahagian ulama berpendapat bahawa masalah ini adalah masalah ijma’. Antara ulama’ yg berpendapat sedemikian adalah Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi Al-Hanbali. Beliau mengatakan bahawa :

“Apa-apa kebaikan yg dilakukan dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati yg muslim (beragama Islam), maka itu adalah perkara yg bermanfaat. Berkata sebahagian ulama’, apabila dibacakan Al-Quran di sisi si mati atau menghadiahkan pahalanya kepada si mati maka beroleh pahala, maka pembacanya juga akan mendapat/beroleh pahala dan seolah-olah si mati juga membacanya, maka diharapkan si mati beroleh rahmat. Sesungguhnya, apa yg kami sebutkan itu tadi adalah disepakati/dipersetujui (ijma’) oleh para ulama’. Mereka ( para ulama’ yg bersepakat ) bersama-sama berkumpul membacakan Al-Quran serta menghadiahkan pahalanya kepada si mati tanpa ada yg membantah di kalangan mereka (tanpa saling membantah antara satu sama lain).4

Sesungguhnya, Syeikh Al-Uthmani telah memberikan komentar berikut di dalam masalah ini :

“Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa istighfar, doa, sedekah, haji, pembebasan hamba adalah bermanfaat bagi si mati dan pahala kebaikan tersebut sampai kepadanya. Hukum membaca Al-Quran di atas kubur adalah sunat”.5

Dalil bagi sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati adalah diqiyaskan dgn hukum sampainya pahala “haji ganti/haji badal” kepada si mati kerana haji terkandung di dalamnya solat dan solat dibaca di dalamnya surah Al-Fatihah dan surah-surah yg lain. Apa-apa yg sampai ke semuanya, pasti akan sampai satu juzu’ daripadanya. Maka pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati dgn izin Allah sekiranya si pembaca memohon supaya Allah memberikan pahala kepada si mati sepertimana diberikan pahala kepadanya (si pembaca).

Berdasarkan kepada apa yang diterangkan, sesungguhnya ulama’ telah bersepakat bahawa membaca Al-Quran utk si mati adalah harus manakala sebahagian ulama’ berpendapat bahawa menghadiahkan pahala kpd si mati adalah harus. Para ulama’ Syafi’iyah berpendapat bahawa pahala tersebut sampai kepada si mati dgn diiringi bacaan doa :

اللَّهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلان

Maksudnya: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaan Al-Quran aku ini kepada si fulan” dan ianya bukanlah hanya semata-mata dengan amalan tersebut sahaja.

Perselisihan yang berlaku adalah sedikit dan sepatutnya tidak berlaku pada masalah ini.

Penterjemah :

Al-Fadhil Ustaz Shahrizan Bin Mohd Hazime. Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar Al-Syarif.

Nota kaki :

1. Al-Khilal beserta sanadnya, Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225), Tuhfatul Ahwazi (Jilid 3/275)

2. Al-Khilal beserta sanadnya, Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225), Tuhfatul Ahwazi (Jilid 3/275)

3. Syarah Kabir (Allamah Dardir-Jilid 1/423)

4. Al-Mughni (Ibnu Qudamah-Jilid 2/225)

5. Rohmatal Ummah Fi Ikhtila’fil A’Immah (Syeikh Uthmani)

JAKIM juga telah memberikan pendapatnya dalam persoalan ini :

Para ulama telah bersepakat (berijma’ atau berpendapat) mengatakan bahawa bagi mereka yang melakukannya dan jumhur ulama’ Hanafiah, Syafi’iyah dan Hanabilah berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat, berdasarkan riwayat daripada Anas r.a. ( hadis marfu’ ):

Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki kawasan perkuburan lalu membaca di dalamnya surah Yasin maka diringankan azab kepada ahli kubur di hari tersebut dan bagi mereka (orang yang membaca al-Quran) adalah memperoleh pahala kebaikan”

Dan telah thabit daripada Ibnu Umar bahawa : “Sesungguhnya beliau berwasiat bahawa apabila beliau dikebumikan, maka dibacakan disisinya dengan awal permulaan surah Al-Baqarah dan akhir surah Al-Baqarah”.

(Rujukan: Jakim – http://kemusykilan.islamgrid.gov.my/questions/view/28365)

5. Dalam mazhab Syafie membaca al-Fatihah adalah wajib semasa solat walaupun mendengar imam membaca surah al-Fatihah dengan kuat. Diriwayatkan hadis daripada ‘Ubadah bin Samit (r.a) berkata hadis daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak ada solat (yakni, tidak sah solat) bagi barangsiapa (yang) tidak membaca dengan al-Fatihah al-Quran."(Hadis riwayat Nasa’i, Termidzi dan Muslim). Hadits ‘Ubadah bin Shamit ra.:

Dari ‘Ubadah bin Shamit ra. bahwa Rasulullah SAW solat mengimami kami siang hari, maka bacaannya terasa berat baginya. Ketika selesai baginda berkata, Aku melihat kalian membaca di belakang imam. Kami menjawab, Ya. Baginda berkata, Jangan baca apa-apa kecuali Al-Fatihah saja. (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud ( 823 ), At-Tirmidzi ( 311 ) dan dia berkata hadis ini hasan.)

6. Seseorang yang alim , berilmu dan memahami pandangan keempat-empat imam dan mampu mengkaji dan meneliti setiap dalil yang di kemukakan oleh para imam maka tidak menjadi kesalahan jika dia memilih pendapat yang paling sahih di antara pendapat tersebut. Tetapi jika kita baru belajar dan bertatih dan tak pernah mengkaji dan memahami pendapat para imam sebaik-baiknya berpegang pada satu pendapat imam supaya tidak keliru terutama orang awam yang kurang arif di dalam hukum feqah.


1177. Soalan :  Ustaz..betul ke kita tidak boleh cium anak masa dia sedang tidur..tolong di penjelasan ustaz..?

Jawapan :


Boleh kita mencium anak kita sedang tidur kerana tak ada nas yang melarangnya. Terdapat hadis Nabi SAW menggalakkan mencium anak-anak tanda kita kasih dan sayang padanya.

Abu Hurairah r.a berkata :

قَبَّلَ النَّبِىّ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِىٍّ ، وَعِنْدَهُ الأقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِىُّ جَالِسًا ، فَقَالَ الأقْرَعُ : إِنَّ لِى عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا ، فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، ثُمَّ قَالَ : مَنْ لا يَرْحَمُ لا يُرْحَمُ

"Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa sallam mencium Al-Hasan bin 'Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqro' bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro' berkata, "Aku punya 10 orang anak, tidak seorangpun dari mereka yang pernah kucium". Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa sallampun melihat kepada Al-'Aqro' lalu baginda berkata, "Barangsiapa yang tidak merahmati / menyayangi maka ia tidak akan dirahmati" (HR Al-Bukhari no 5997 dan Muslim no 2318)

Dalam kisah yang sama dari 'Aisyah r.ha- ia berkata :

جَاءَ أَعْرَابِى إِلَى النَّبِى صلى الله عليه وسلم فَقَالَ : تُقَبِّلُونَ الصِّبْيَانَ ، فَمَا نُقَبِّلُهُمْ ، فَقَالَ النَّبِى صلى الله عليه وسلم أَوَأَمْلِكُ لَكَ أَنْ نَزَعَ اللَّهُ مِنْ قَلْبِكَ الرَّحْمَةَ

"Datang seorang arab badui kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa sallam lalu berkata, "Apakah kalian mencium anak-anak laki-laki?, kami tidak mencium mereka". Maka Nabi Shallallahu 'Alaihi Wa sallam berkata, "Aku tidak boleh berbuat apa-apa kalau Allah mencabut rasa rahmat / sayang dari hatimu" (HR Al-Bukhari no 5998 dan Muslim no 2317)

Ibnu Batthool rahimahullah berkata, "Menyayangi anak kecil, memeluknya, menciumnya, dan lembut kepadanya termasuk dari amalan-amalan yang diredhai oleh Allah dan akan diberi ganjaran oleh Allah. Tidakkah engkau perhatikan Al-Aqro' bin Haabis menyebutkan kepada Nabi bahawa ia memiliki 10 orang anak laki-laki tidak seorangpun yang pernah ia cium, maka Nabi pun berkata kepada Al-Aqro' ((Barang siapa yang tidak menyayangi maka tidak akan disayang)


1178 . Soalan :Ustaz...saya ada kemuskilan...sesungguhnya islam itu tidak memberatkan...tentang solat...berdiri...duduk dan baring...itu kiranya tak mampu berdiri...betul ke apa bila kita "uzur"...lalu kita solat duduk @ baring..pahala kita akan berkurangan...jika di bandingkan solat berdri...?

Jawapan :


Islam memberikan kelonggaran kepada umatnya jika sakit ada kelonggaran untuk solat mengikut kemampuan individu tersebut. Jika tak boleh berdiri maka di bolehkan solat dengan duduk (samaaad duduk di kerusi atau duduk di lantai), jika tak boleh duduk boleh berbaring dan jika tak boleh berbaring buat setakat mampu walaupun dengan solat cara isyarat. Solat wajib berwuduk dan jika diri sendiri tak mampu ambil wuduk maka boleh minta tolong waris ambilkan wuduk. Pahalanya tak di kurangkan sama saja dengan solat cara sempurna. Untuk pesakit yang kronik sukar untuk mengambil wuduk dan perlu banyak berihat di haruskan solat jamak sahaja bukan qasar.

Seorang yang dalam keuzuran diberi kelonggaran oleh Syarak (yakni Allah dan Rasul) untuk melakukan ibadat mengikut kemampuannya. Firman Allah SWT (bermaksud); "Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya mampu kamu" (surah at-Taghabun, ayat 16). Nabi SAW bersabda; "Bila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, lakukannya mengikut yang mampu kamu lakukan" (ٍٍHadis Sahih Riwayat al-Bukhari; no. 7288).

Khusus tentang solat Nabi SAW bersabda maksudnya ; "Solatlah dengan berdiri. Jika tidak mampu berdiri, solatlah sambil duduk. Jika tidak mampu duduk, solatlah dengan mengiring di atas rusuk kamu" (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari; no. 1117).

Jika setengah rukun solat mampu dilakukan seperti biasa dan setengah lagi tidak mampu dilakukan seperti biasa, maka yang mampu wajib dilakukan seperti biasa dan yang tidak mampu barulah dilakukan mengikut yang terdaya. Ini kerana para ulamak menegaskan dalam kaedah mereka; "Yang mudah dilakukan tidak akan gugur dengan kerana ada yang susah dilakukan". Oleh itu, jika saudara mampu berdiri dan rukuk seperti biasa, wajiblah saudara memulaikan solat dengan berdiri dan ketika hendak sujud barulah saudara duduk di atas kursi dan melakukan sujud dan duduk antara dua sujud di atas kursi mengikut kemampuan saudara. Jika perpindahan dari berdiri kepada duduk itu menyulitkan saudara atau menyakitkan, gugurlah kewajipan berdiri itu dan saudara boleh terus duduk. Begitu juga, jika tidak menemui kerusi untuk duduk, saudara boleh solat dengan duduk di atas lantai sama ada dengan terus duduk (jika tidak mampu berdiri dari awal) atau duduk ketika hendak sujud dan duduk antara dua sujud sahaja, yakni; lakukan apa yangmampu dilakukan.

Itu adalah bagi solat fardu. Adapun solat sunat, harus dilakukan sambil duduk dari awal sekalipun mampu berdiri, namun pahalanya separuh dari solat sambil berdiri jika ia sengaja duduk. Adapun orang yang duduk kerana keuzuran, pahalanya sama seperti orang yang solat berdiri. Sabda Nabi SAW maksudnya ; "Apabila seorang itu sakit atau bermusafir, akan ditulis pahala untuknya sebagaimana amalannya ketika sihat dan ketika dalam negeri" (Hadis Sahih Riwayat al-Bukhari; no. 2996. Musnad Ahmad; no. 19679). Wallahu a'lam.


1179. Soalan :  Ustaz, ada pendapat yang mengatakan keistimewaan orang Islam yg mati pada Hari Jumaat.  Ada kah ianya benar dan ada hadis sahih mengenainya ?

Jawapan :

Diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi didalam sunan-nya hadis daripada Abdullah bin Amru, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tiada seorang pun daripada kalangan orang muslim yang meninggal dunia pada hari jumaaat atau pada malam jumaat melainkan dia dipelihara oleh Allah SWT daripada azab kubur.”

Pandangan ulama’ berkenaan taraf hadis :

Berkata Abu Isa : Hadis ini dho’if (gharib) dan sanadnya (rantaian perawinya) tidak bersambung. Imam Ibnu Hajar Al-Athqolani pula berkata bahawa hadis ini daripada kategori hadis dho’if

Secara keseluruhan, kebanyakan ulama’ hadis berpendapat bahawa hadis ini adalah hadis dho’if (lemah).Maka hadis dho’if tidak boleh dijadikan sandaran dalam perkara yang berkaitan dengan aqidah (kerana azab kubur merupakan perkara ghaib yang wajib diimani dan merupakan sebahagian dari pegangan aqidah umat islam).

Walaupun hadis dhoif masih lagi didalam kategori hadis yang diterima, namun antara syarat untuk beramal dengannya adalah tidak meyakini sepenuhnya ia datang dari Nabi SAW. Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh meyakini 100% bahawa orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat akan dipelihara oleh azab kubur merujuk kepada taraf hadis tersebut.

Kerana sesungguhnya apa yang membantu seseorang muslim itu didalam kubur nanti adalah amalannya, bahkan ramai daripada kalangan Sahabat -radhiallahu ‘anhum- yang meninggal dunia pada hari selain daripada hari Jumaat. Saidina Abu Bakar r.a sendiri meninggal dunia pada hari selasa menurut satu riwayat akan tetapi beliau sendiri telah dijanjikan syurga baginya.

Sebahagian ahli ilmu pula manjadikannya sebagai tanda-tanda husnul khatimah bersandarkan kepada hadis ini.

Maka seadil-adil pegangan dalam perkara ini adalah sekiranya muncul tanda-tanda seperti ini maka sebagai seorang muslim kita tidak boleh mengatakan secara pasti bahawa si mati dijauhkan dari azab kubur, akan tetapi tidak salah untuk merasa tenang dengan pemergiannya pada hari yang mulia ini,

Begitu juga sebaliknya, kita tidak boleh berkeyakinan bahawa jika tidak muncul tanda-tanda husnul khatimah (meninggal dunia pada hari Jumaat atau malam Jumaat) pada si mati, maka secara pasti dia bukan daripada kalangan orang-orang soleh dan dikenakan azab kubur kerana perkara ini tergolong dalam perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Luqman ayat ke 24 :

“Sesungguhnya hanya disisi Allah ilmu tentang hari kiamat; dan Dia yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam Rahim. Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok, dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui dibumi mana dia akan mati.Sungguh, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Sesungguhnya manusia tidak mengetahui dimana dan bila dia akan mati kerana ilmu tentang kematian milik Allah SWT secara mutlak.Oleh sebab itu,yang lebih penting bagi seorang hamba itu adalah beramal dengan amal yang soleh serta mencari keredhaan-Nya dalam setiap perkara yang dilakukan. Wallahua’lam.


1180. Soalan : Apakah kita di benarkan bersuka ria dengan suami semasa haid maksud saya selain daripada berjimak?

Jawapan :


Jika puan mengalami haid di haramkan berjimak dengan suami kerana ianya di haramkan oleh Allah SWT tetapi masih boleh tidur bersama , berciuman dan bersuka ria hanya tidak di benarkan berjimak sahaja. Jika dengan melakukan perkara tersebut terkeluar air mani suami maka suami wajib mandi hadas besar dan puan tak perlu mandi junub.
August 22 at 4:16pm · Like · 3

Abu Basyer Ada berbagai cara untuk memuaskan suami ketika isteri sedang haid. Kerana islam tidak menghukumi fisik wanita haid sebagai benda najis yang selayaknya dijauhi, sebagaimana praktek yang dilakukan orang yahudi. Anas bin Malik menceritakan,

أن اليهود كانوا إذا حاضت المرأة فيهم لم يؤاكلوها ولم يجامعوهن في البيوت فسأل الصحابة النبي صلى الله عليه وسلم فأنزل الله تعالى : ويسألونك عن المحيض قل هو أذى فاعتزلوا النساء في المحيض
Sesungguhnya orang yahudi, ketika isteri mereka mengalami haid, mereka tidak mau makan bersama isterinya dan tidak mau tinggal bersama isterinya dalam satu rumah. Para sahabatpun bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam. kemudian Allah menurunkan ayat, yang ertinya:

“Mereka bertanya kepadamu tentang haid, katakanlah bahwa haid itu kotoran, kerana itu hindari wanita di bagian tempat keluarnya darah haid…” (HR. Muslim 302).

Dengan demikian, suami masih oleh melakukan apapun ketika isteri haid, selain yang Allah larang dalam Al-quran, yaitu melakukan hubungan intim.

3 MACAM INTERAKSI SUAMI ISTRI KETIKA ISTRI HAID

Ada 3 macam interaksi intim antara suami & istri ketika haid:

PERTAMA, interaksi dalam bentuk hubungan intim (jima’/senggama) ketika haid. Perbuatan ini haram dengan sepakat ulama, berdasarkan firman Allah,

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّى يَطْهُرْنَ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ

Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah suatu kotoran”. Karena itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. apabila mereka telah Suci, Maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Orang yang melanggar larangan ini, wajib bertaubat kepada Allah, dan membayar kaffarah, berupa sedekah satu atau setengah dinar. Keterangan tentang ini boleh anda simak di: Hukum Berhubungan Badan setelah Haid Berhenti tetapi Belum Mandi Wajib

KEDUA, interaksi dalam bentuk bermesraan dan bercumbu selain di daerah antara pusar sampai lutut isteri ketika haid. Interaksi semacam ini hukumnya halal dengan sepakat ulama. A’isyah radhiyallahu ‘anha menceritakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حِضْتُ يَأْمُرُنِي أَنْ أَتَّزِرَ، ثُمَّ يُبَاشِرُنِي
Apabila saya haid, RasulullahSshallallahu ‘Alaihi Wa sallam menyuruhku untuk memakai sarung kemudian bercumbuan bercumbu denganku. (HR. Ahmad 25563, Turmudzi 132 dan dinilai shahih oleh Al-Albani).

Hal yang sama juga disampaikan oleh Maimunah radhiyallahu ‘anha,

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَاشِرُ نِسَاءَهُ فَوْقَ الْإِزَارِ وَهُنَّ حُيَّضٌ
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bercumbu dengan isterinya di daerah di atas sarung, ketika mereka sedang haid. (HR. Muslim 294)

KETIGA, interaksi dalam bentuk bermesraan dan bercumbu di semua tubuh isteri selain hubungan intim dan anal seks. Interaksi semacam ini diperselisihkan ulama.

1. Imam Abu Hanifah, Malik, dan As-Syafii berpendapat bahwa perbuatan semacam ini hukumnya haram. Dalil mereka adalah praktek Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam, sebagaimana keterangan A’isyah dan Maimunah.

2. Imam Ahmad, dan beberapa ulama Hanafiyah, Malikiyah dan Syafiiyah berpendapat bahawa itu dibolehkan. Dan pendapat inilah yang dikuatkan An-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim (3/205).

Diantara dalil yang mendukung pendapat kedua adalah

a. Firman Allah

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ
“Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: “Haid itu adalah suatu kotoran”. Kerana itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari Al-Mahidh..”

Ketika Allah hanya memerintahkan untuk menjauhi tempat keluarnya darah, ini dalil bahwa selain itu, hukumnya boleh. (Al-Mughni, 1/243)

b. Hadis dari Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, ketika para sahabat menanyakan tentang isteri mereka pada saat haid. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Lakukanlah segala sesuatu (dengan isteri kalian) kecuali nikah.” (HR. Muslim 302).

Ketika menjelaskan hadis ini, At-Thibi mengatakan,

“Makna kata ‘nikah’ dalam hadis ini adalah hubungan intim.” (Aunul ma’bud, 1/302)

c. Disebutkan dalam riwayat lain, bahawa terkadang Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam juga melakukan praktek yang berbeda seperti di atas.

Diriwayatkan dari Ikrimah, dari beberapa istri Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam,

“Bahwa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam ketika hendak melakukan hubungan intim dengan isterinya yang sedang haid, baginda menyuruhnya untuk memasang pembalut ke kemaluan isterinya.” (HR. Abu Daud 272 dan Al-Hafidz Ibn Hajar mengatakan: Sanadnya kuat).

ONANI MENGGUNAKAN TANGAN ISTERI

Memahami hal ini, selayaknya suami tidak perlu risau ketika isterinya haid. Dan jangan sekali-kali melakukan onani tanpa bantuan tubuh isteri (artinya: Boleh melakukan masturbasi atau onani dengan anggota tubuh istri). Mengeluarkan mani dengan selain tubuh isteri adalah perbuatan yang terlarang, sebagaimana firman Allah ketika menyebutkan kriteria orang mukmin yang beruntung,

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ ( ) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ( ) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
Orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki; Maka Sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu, maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas. (QS. Al-Mukminun: 5 – 7)

Diantara sifat mukminin yang beruntung adalah orang yang selalu menjaga kemaluannya dan tidak menyalurkannya, selain kepada isteri dan budak wanita. Artinya, selama suami menggunakan tubuh isteri untuk mencapai klimaks syahwat, maka tidak dinilai tercela. Berbeda dengan “orang yang mencari selain itu”, baik berzina dengan wanita lain, atau menggunakan bantuan selain isteri untuk mencapai klimaks (baca: onani), Allah sebut perbuatan orang ini sebagai tindakan melampaui batas.

Wallahu a’lam

Tanyalah Ustaz Siri 243 (Binatang Dabbah Di Akhir Zaman, Orang Baru Masuk Islam Letak Nama Asal, Pesakit Sudah Mati Otak, Wanita Mengandung 2 Bulan Anak Tak Sah Taraf Dan Pahala Wanita Mengandung.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 243 adalah menjelaskan binatang dabbah di akhir zaman, orang baru masuk Islam letak nama asal, pesakit sudah mati otak, wanita mengandung 2 bulan anak tak sah taraf dan pahala wanita mengandung.

1171. Soalan :  Bolehkan ustaz huraikan apakah dia binatang Dabbah yang akan muncul di akhir zaman nanti?

Jawapan :

Di akhir zaman nanti sebelum berlakunya hari kiamat maka akan datang 10 tanda-tandanya. Salah satu tandanya adalah keluarnya binatang dabbah. Daripada Huzaifah bin AsidAl-Ghifari ra. berkata: “Datang kepada kami Rasulullah SAW. Dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?”. Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.

Lalu Nabi SAW bersabda maksudnya :“Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian baginda menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang (dabbah), terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam a.s, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”.(Hadis Riwayat Muslim ). 


Di antara tanda-tanda kiamat besar ialah keluarnya Dabbah (binatang) dari dalam bumi yang dapat berbicara dengan manusia dengan bahasa yang fasih yang dapat dipahami oleh semua yang mendengarnya. Dabbah itu mengkhabarkan kepada mereka bahwa manusia dahulu tidak beriman kepada ayat-ayat Allah. Dabbah ini muncul di akhir zaman pada saat manusia telah mengalami kerosakkan, mereka meninggalkan perintah-perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala, dan mengganti agama yang benar. Lantas Dabbah berbicara kepada mereka, “Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat kami.”
 

Di antara tanda Kiamat Besar –setelah pintu taubat ditutup dengan terbitnya matahari dari barat– adalah keluarnya binatang (dabbah) daripada bumi yang lain dari biasanya, di mana ia boleh berbicara kepada manusia dan memilah-milah mana mukmin dan mana kafir untuk melengkapi maksud ditutupnya pintu taubat. Munculnya tanda ini sama dengan tanda-tanda yang lain berdasar kepada al-Qur’an dan sunnah.

Firman Allah, “Dan apabila perkataan telah jatuh atas mereka, Kami keluarkan sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahwa sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.” (Surah An-Naml ayat 82).

Muslim, Abu Dawud dan at-Tirmidzi meriwayatkan dari Abu Zur’ah berkata, Ada tiga orang kaum muslimin yang duduk di sisi Marwan bin al-Hakam, mereka mendengarnya –sementara dia menyinggung tanda-tanda Kiamat– menyatakan bahwa Dajjal adalah tanda pertama yang muncul. Maka Abdullah bin Amru berkata, “Marwan tidak mengucapkan apa-apa, saya telah menghafal suatu hadis dari Rasulullah SAW yang tidak aku lupakan sesudah aku mendengarnya dari baginda, baginda bersabda, ‘Tanda yang pertama kali muncul adalah terbitnya matahari dari barat dan munculnya binatang bumi kepada manusia di waktu Dhuha. Apa pun dari keduanya mendahului yang lain maka yang lain menyusul tidak lama kemudian’.”


1172. Soalan : Bolehkah orang yang baru memeluk islam membintikan nama asal bapa beliau sedangkan bapa beliau masih beragama bukan islam ,kebiasaan membintikan abdullah....?

Jawapan :


Boleh seorang yang bukan Islam apabila dia masuk Islam dia nak kekalkan namanya yang asal dan dia tak pilih nama islam dan bin atau bintikan Abdullah.

Dalam Majlis Fatwa Kebangsaan : Perlu atau Tidak Mengekalkan Nama Asal Apabila Memeluk Islam?

ISU:

Saya ada satu soalan iaitu kalau nama asal seorang muallaf itu ialah Christine, perlu atau tidak dia menukar nama bila memeluk Islam sebab nama tersebut dilihat mrmpunyai unsur agama Kristian. Setakat yang saya semak, perkataan Christ ialah terjemahan Greek untuk perkataan Hebrew 'Messiah'. Maksud 'Messiah' pula ialah yang disapu dengan minyak. Kalau pandangan saya, nama Christine tersebut tidak perlu ditukar kerana maksudnya yang tak bertentangan dengan Islam. Mohon penjelasan daripada pihak tuan.


PENJELASAN:

Dalam Islam sebaik-baik nama ialah yang menuruti nama-nama mereka yang disanjungi oleh agama seperti nama para Nabi, para sahabat atau ulama’. Atau nama dengan makna-makna yang baik. Dalam satu hadis yang diriwayat oleh Muslim, nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman.

Bagi seorang muallaf yang memeluk Islam, pada dasarnya tidak salah untuk mengekalkan nama asal apabila seseorang itu memeluk Islam. Namun sekiranya nama tersebut mempunyai konotasi yang tidak selari dengan Islam atau mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama lain yang tidak sesuai dengan Islam , ia perlu ditukar kepada nama yang lebih sesuai.

Rasulullah sendiri pernah meminta seorang sahabat yang masuk Islam menukar namanya dari Abd al-Syams bin Sakhr kepada Abd Rahman bin Sakhr kerana nama Abd Syams bermaksud hamba kepada matahari.

Mengenai nama Christine, sebaiknya seorang muallaf yang mempunyai nama tersebut menukarkan nama tersebut ke nama Islam kerana nama tersebut amat berkait dengan nama keagamaan dalam Kristian. Istilah Christine adalah nama feminin kepada istilah ‘Christian’ dalam bahasa Latin dan Greek yang merujuk kepada Jesus Christ atau pengikutnya. Ia adalah terjemahan dari istilah Messiah dalam bahasa Hebrew bermaksud ‘penyelamat’ yang juga merujuk kepada Jesus pada fahaman agama Kristian.

Dalam sejarah, kebiasaannya nama Christine diberikan kepada seseorang wanita sebagai penghormatan kepada St. Christina of Tyre, seorang ahli agama Kristian abad ke-3 yang mati disiksa oleh bapanya yang beragama pagan kerana keteguhan kepercayaanya terhadap agama Kristian. Wallahu a’lam


1173. Soalan : Saya nak bertanya tentang seseorang yang telah mati otak tapi jantung masih berfungsi dengan bantuan mesin pernafasan..apakah hukum jika alat bantuan penafasan tersebut di cabut dan seseorang tu meninggal.sebab bayak pendapat yang berbeza.? Terima kasih.

Jawapan :


Dr. Ahmad Syaraf al-Din (Ketua bahagian Undang-undang Sivil, Fakulti Undang-undang, Universiti Ain Syam, al-Qahirah, apabila pesakit telah diisytiharkan mengalami mati otak, pada masa itu bolehlah dihentikan mesin bantuan pernafasan yang diberikan kepada pesakit.

Beliau beralasan bahawa orang yang mengalami mati otak, sudah tidak mampu lagi berinteraksi dengan dunia luar.Kehidupan kemanusiaannya sudah hilang. Beliau telah berada pada hukum orang yang telah meninggal. Oleh kerana mesin ventilator sudah tidak dapat mengembalikan segala fungsi elemen penting yang terdapat didalam tubuh badannya, kesedaran dan kemampuannya untuk berinteraksi dengan dunia luar, menghentikan mesin tersebut tidaklah dianggap menafikan haknya untuk hidup kepada pesakit berkenaan.

Doktor yang bertindak menghentikan mesin tersebut tidak dianggap sebagai membunuh pesakit, kerana perkiraan jenayah berlaku apabila mesin dihentikan daripada orang yang jelas masih belum mengalami mati otak.

Pandangan belaiu ini juga dipersutujui oleh Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi. Akademi Fiqh Islam yang bersidang di Amman, Jordan pada tahun 1407 H bersamaan dengan 1986M memutuskan: "Seseorang dikira mati dan terkena segala hukum hakam yang diakui oleh syarak berhubung dengan orang yang mati, apabila nyata salah satu daripada dua tanda:

1. Apabila denyutan jantung berhenti sama sekali dan pakar-pakar perubatan memutuskan, ia tidak akan kembali lagi.

2. Apabila terhenti sama sekali segala fungsi otak dan pakar-pakar perubatan menghukumkan, ia tidak akan kembali lagi. Otaknya mula hancur. Di dalam situasi ini, harus menghentikan alat bantuan pernafasan yang digunakan padanya, sekalipun sebahagian daripada anggota badannya masih berfungsi dengan bantuan alat tersebut. [Isu-Isu Fiqh Halal & Haram Semasa m/s 554-555 oleh Dr. Basri bin Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari]


1174. Soalan : Ustaz, mohon penjelasan. Jika seorang perempuan tu didapati mengandung 2 bulan tanpa nikah. Kemudian dia kahwin dgn pasanganya. Adakah sah pernikahannya?

Jawapan :


Jika seorang perempuan mengandung 2 bulan kemudian dia bernikah dengan lelaki yang menyebabkan dia mengandung maka nikahnya sah menurut jumhur ulama.Di dalam "Fatawa al-Hindiyah" dari fiqh al-Hanafi disebut : "Seandainya seseorang telah berzina dengan seorang permpuan, lalu perempuan itu hamil kemudian dia berkahwin dan melahirkan anak, jika ana itu lahir (selepas perkahwinan) dalam tempoh 6 bulan atau lebih maka thabit nasabnya kepada bapanya. Jika anak itu lahir kurang dari 6 bulan tidak thabit nasab anak itu kepadanya..."

Berkata Dr. Sobri Abdul Rauf iaitu seorang Ustaz Fiqh al-Muqaran di University al-Azhar : "Jika lelaki yang berzina kawin dengan perempuan yang berzina dengannya, kemudian mereka memperolehi anak selepas 6 bulan daripada al-Dukhul al-Syar'ie. Maka anak itu dinasabkan kepada bapaknya, kerana ia datang dari jalan yang dibenarkan. Adapun jika ia dilahirkan sebelum tempoh 6 bulan dari tarikh al-Dukhul, maka anak itu tidak dinasabkan kepada suaminya, maka ia dinasabkan kepada ibunya saja. Dalam kes puan jika dia mengandung 2 bulan kemudian dia bernikah dengan lelaki yang menyebabkan dia mengandung jika masa kelahiran bayi yang di kandung itu 6 bulan ke atas maka anak tersebut boleh di nasabkan kepada lelaki yang menyebabkan wanita tersebut mengandung.

Fatwa Kebangsaan menjelaskan : Terdapat tiga syarat penting yang perlu dipenuhi dalam menasabkan anak yang lahir hasil daripada pernikahan yang sah iaitu:

1. Ada kemungkinan anak tersebut adalah daripada suami berkenaan, maknanya suami adalah orang yang mempunyai faktor-faktor yang boleh menyebabkan kehamilan isterinya seperti tidak lemah syahwat yang menyebabkan dia tidak mampu menyetubuhi isteri atau dia mandul atau sebab-sebab lain yang boleh menafikan anak itu daripada suami berkenaan.

2. Suami tidak menafikan nasab anak itu daripadanya melalui proses li`an.

3. Isteri melahirkan anak berkenaan dalam tempoh mengandung yang minimum.

• Para ulama’ telah bersepakat menetapkan bahawa tempoh minimum seseorang wanita itu hamil dan melahirkan anak ialah enam bulan. Penentuan tempoh enam bulan tersebut adalah berdasarkan maksud dua ayat Al-Qur'an yang menerangkan tentang masa hamil (tempoh mengandung) dan penyusuan.

1. Firman Allah subhanahu wata`ala:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }
 

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

2. Firman Allah subhanahu wata`ala yang lain:

{ وَفِصَلُهُ فِى عَامَيْنِ }
 

Maksudnya: “Dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun.”
(Surah Luqman 31:14)

Daripada maksud kedua-dua ayat di atas, jika ditolak tempoh masa penyusuan anak iaitu 2 tahun atau 24 bulan daripada tempoh 30 bulan (masa keseluruhan hamil dan menyusukan anak), bererti masa yang bakinya, iaitu tempoh hamil ialah 6 bulan.

• Ash-Shaykh Muhammad `Ali As-Sabuni dalam kitabnya “Rawa’i` Al-Bayan” menyebutkan bahawa telah diriwayatkan, bahawa seorang perempuan berkahwin, kemudian melahirkan anak setelah enam bulan daripada perkahwinannya. Dia dihadapkan kepada khalifah `Uthman radhiyallahu `anh. Beliau mahu merejam perempuan berkenaan, tetapi Ibnu `Abbas berkata kepada `Uthman: “Perempuan ini, jika dia menentang kamu dengan kitab Allah, kamu akan kalah.”

Allah berfirman:

{ وَحَمْلُهُ وَفِصَلُهُ ثَلَـثُونَ شَهْرًا }

Maksudnya: “Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.” (Surah Al-Ahqaf 46:15)

Firman Allah selanjutnya:

{ وَالْوَلِدَتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ }
 

Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.”
(Surah Al-Baqarah 2: 233)

Maka, tempoh hamil ialah 6 bulan dan penyusuan pula 24 bulan. Berdasarkan dalil itu, Sayyidina `Uthman radhiyallahu `anh pun membebaskan wanita berkenaan daripada hukuman.

• Ahmad Mustafa Al-Maraghiy di dalam kitab “Tafsir Al-Maraghiy” turut menyebutkan bahawa tempoh kehamilan dan menghentikan anak daripada menyusu memakan masa selama 30 bulan. Ayat 233 Surah Al-Baqarah itu menunjukkan bahawa tempoh hamil yang paling singkat ialah selama 6 bulan dan tempoh menyusu yang paling lama ialah genap 2 tahun. Masa yang tinggal untuk mengandung hanya 6 bulan. Dengan demikian dapat diketahui masa mengandung yang paling pendek dan masa menyusu yang paling lama.

Orang pertama yang membuat kesimpulan ini berdasarkan ayat tersebut ialah `Ali karamallahu wajhah yang kemudiannya dipersetujui oleh `Uthman radhiyallahu `anh bersama para sahabat Nabi sallallahu `alayhi wasallam. Muhammad Ishaq iaitu pengarang kitab “As-Sirah” meriwayatkan daripada Ma`mar ibn `Abdullah Al-Juhaniy yang berkata:

“Ada seorang lelaki dari kalangan kami yang mengahwini seorang wanita daripada Bani Juhaynah. Wanita itu melahirkan anak setelah perkahwinannya genap selama enam bulan. Maka suaminya menemui `Uthman radhiyallahu `anh untuk menceritakan perkara tersebut. Selepas itu, `Uthman pun menyuruh wanita itu menemuinya, dan ketika wanita itu mahu memakai pakaiannya, saudara perempuannya pun menangis. Lalu wanita itu berkata kepadanya, “Mengapa kamu menangis? Demi Allah, tidak ada seorang pun antara makhluk Allah subhanahu wata`ala yang telah mencampuri aku sama sekali selain dia. Kemudian Allah subhanahu wata`ala pun memberi keputusan kepadaku menurut kehendakNya.” Ketika wanita itu ditempatkan di hadapan `Uthman, maka `Uthman pun menyuruh wanita itu direjam. Apabila perkara itu didengar oleh `Ali, beliau pun menemui `Uthman lalu berkata: “Apakah yang kamu lakukan?” `Uthman pun menjawab: “Wanita itu bersalin setelah usia perkahwinannya genap enam bulan dan mustahil perkara ini berlaku.” `Ali pun berkata kepadanya: “Tidakkah engkau membaca Al-Qur’an?” “Tentu”, jawab `Uthman. `Ali pun berkata lagi: “Tidakkah engkau mendengar Allah subhanahu wata`ala berfirman: “Mengandungnya sehingga memutuskan susu itu selama 30 bulan.” FirmanNya pula: “... selama enam bulan penuh.” Kamu dapati bakinya hanya enam bulan. Kemudian `Uthman pun berkata: “Demi Allah, aku tidak berfikiran sejauh itu. Bawalah ke mari wanita itu.” Ternyata wanita itu benar-benar telah dipersiapkan untuk menerima hukuman.” Ma`mar pun berkata: “Demi Allah, tidak ada gagak yang serupa gagak, dan tidak ada telur yang serupa telur sehingga melebihi persamaan anak itu dengan bapanya.” Ketika ayahnya tahu, beliau pun berkata: “Anakku, demi Allah, aku tidak ragu mengenainya.”

Diriwayatkan juga bahawa Ibn `Abbas berpendapat apabila ada wanita yang bersalin setelah mengandung sembilan bulan, maka cukuplah baginya untuk menyusui anaknya selama 21 bulan. Seterusnya apabila wanita itu bersalin setelah mengandungkan anaknya selama tujuh bulan, hendaklah dia cukupkan baginya untuk menyusui anaknya selama 23 bulan. Begitu juga apabila dia bersalin setelah mengandung selama enam bulan, hendaklah dia menyusui anaknya selama dua tahun secara genap.

• Oleh yang demikian, para ulama’ telah menetapkan hukum bahawa mana-mana anak yang dilahirkan dalam tempoh enam bulan atau lebih yang dikira daripada masa suami isteri boleh bersatu melalui nikah yang sah, maka nasab anak tersebut disabitkan kepada suami wanita berkenaan pada zahir sahaja dan berjalanlah segala hukum-hakam nasab ke atasnya. Sebaliknya, jika anak tersebut lahir kurang daripada enam bulan, maka nasabnya tidak bersambung dengan suami kepada ibu atau wanita yang melahirkan anak berkenaan. Anak tersebut hendaklah dinasabkan kepada ibu yang melahirkannya sahaja dan jika hendak dibin atau dibintikan, boleh dinasabkan kepada ibunya atau kepada nama `Abdullah atau salah satu daripada Asma’ullah Al-Husna.


1175. Soalan :  Betul ke klu org lagi mengandung apa yg di kerjakan orang mengandung pahala berlipat2 dan doa nya makbul? Dan betul ke malaikat,tumbuhan dan haiwan memohon ampun atas dosa orang yg mengandung(mohon ampun kepada Allah) mohon pencerahan ustaz? Trimakasih

Jawapan :


 Firman Allah SWT (31:14):

وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu- bapanya; ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertimpa-timpa dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah tempat kembali”

Sabda Rasulullahi SAW:

وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ. رواه مالك وأحمد وأبو داود وغيرهم

“Wanita yang meninggal kerana mengandung adalah syahid (orang yang mati syahid). (H.R Malik, Ahmad, Abu Daud dll. Disahihkan oleh Albani. )
Jika wanita bersabar ketika dia mengandung maka akan di berikan pahala yang besar oleh Allah SWT kerana pahala bersabar dan redha dengan kesusahan.
Di bawah ini adalah hadis palsu mengenai kelebihan wanita mengandung dan bersalin yang tidak boleh digunakan atau disebarkan:

– Wanita yang hamil akan mendapat pahala berpuasa pada siang hari dan pahala beribadat pada malam hari di jalan Allah.

– Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin, akan dikurniakan penyejuk mata yang tidak diketahui oleh penduduk bumi dan langit.

– Wanita yang menyusukan anaknya akan mendapat satu pahala dari setiap titikan susu dan satu pahala dari setiap sedutan susu.

– Wanita yang berjaga malam kerana menjaga anaknya akan mendapat pahala seperti membebaskan 70 orang hamba.

Hadis ini palsu kerana perawinya ‘Amru al-khawlani banyak meriwayatkan hadis palsu, seperti yang dijelaskan oleh Ibn Hibban, Ibn Jauzi dan Zahabi.

Rujukan: Silsilah Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Albani: 5/76

Wallahu a'lam

Tanyalah Ustaz Siri 242 (Cara Nak Redha Di Atas Ujian Allah, Ikhlas Dalam Islam, Buku Kasut Semasa Ziarah Kubur, Isteri Bermusafir Tanpa Suami Dan Tiada Solat Musafir.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    


Tanyalah Ustaz Siri 242 adalah menjelaskan cara nak redha di atas ujian Allah, ikhlas dalam Islam, buku kasut semasa ziarah kubur, isteri bermusafir tanpa suami dan tiada solat musafir.

1166. Soalan : Macamana untuk kita belajar redha walaupun ada ketika rehda itu sakit tapi manis akhirnya . Terima kasih.

Jawapan :

 
Cara nak redha adalah kita merasakan semua kejadian yg berlaku ada hikmahnya di sisi Allah SWT. Jika kita sabar dan redha besar ganjarannya kepada Allah SWT.Sebagai insan biasa hidup kita tidak sunyi daripada kegembiraan dan kedukaan. Adakalanya kita berbahagia dan merasa seronok di atas kejayaan yang kita perolehi, tetapi tidak kurang juga merasai terharu kerana tidak tercapai hajat yang diimpikan. Kedua-dua perkara tadi adalah lumrah kehidupan.

Fitrah manusia mahukan semuanya berlaku seperti yang dirancangkan dengan sempurna . Namun, sebagai syarat bagi ujian di dunia, banyak perkara yang berlaku tidak seperti yang dijangkakan. Sementara seseorang merasakan keadaan hidupnya sekarang ini cukup selesa dan berbahagia, tetapi di masa akan datang belum tentu berlaku seperti yang dirancangkan, mungkin berlaku sebaliknya dan tampak merugikan pada tanggapan awal.

Dalam keadaan itu, apa yang menimpa orang mukmin adalah untuk menyedarkanya bahawa setiap kajadian bagi setiap detik kehidupan seseorang, pasti ada hikmah di sebaliknya. Seseorang perlu ingat bahawa setiap yang dijangkakan berlaku, mungkin berubah menjadi tidak baik baginya.

Dalam Surah Al-Baqarah, Allah SWT mengaitkan setiap apa yang manusia sangka baik, mungkin buruk manakala apa yang disangka buruk, adalah baik untuknya seperti firmanNya yang bermaksud :

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah ayat 216)

Di antara rahasia ayat ini bahwa ayat ini menghendaki seorang hamba untuk menyerahkan urusan kepada Zat yang mengetahui akibat segala perkara serta reda dengan apa yang Dia pilihkan dan takdirkan untuknya, kerana dia mengharapkan daripada Allah SWT akibat-akibat yang baik.

Dalam ayat yang lain firman Allah SWT maksudnya : “Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah Menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada siapa sahaja yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Surah Yunus ayat 107)

Seseorang yang berfikiran positif dan reda dengan takdir Allah SWT akan menilai setiap saat dalam kehidupannya dengan panduan al-Quran, iman, kebijaksanaan dan panduan mata hati meyakini bahawa Allah SWT adalah sebagai 'Penolong' dan 'Teman' yang sebenarnya, mencipta sesuatu dengan kebaikan. Walaupun nampak susahnya pada pandangan zahir . Dia juga tahu bahawa Allah SWT akan melindunginya dan dia tidak ragu-ragu meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Seseorang boleh melihat bagaimana takdir yang telah ditetapkan Allah SWT berlaku serta akibatnya hanya dalam waktu yang singkat. Takdir Allah SWT adalah suatu yang terbaik untuk kita.

Firman Allah SWT maksudnya : "Jika Allah Menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapa yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.” (Surah Ali ‘Imran ayat 160)

Kita perlu merancang kehidupan kita sebaik-baiknya. Jika berjaya apa yang kita rancangkan maka sebenarnya berlaku disebabkan keizinan Allah SWT maka hendaklah kita banyak bersyukur. Tetapi jika sekirannya rancangan kita gagal dan apa yang kita hajatkan tidak berhasil, percayalah itu semua berlaku disebabkan Allah SWT ada perancangan yang lebih baik untuk kita sedangkan kita tidak mengetahuinya. Hikmah dan hikmatnya yang tersirat berada di dalam ilmu Allah SWT. maka kita perlu banyak bersabar dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Jika perkara ini kita boleh terima dan reda insya Allah kita akan menjadi hamba Allah yang dirahmati dan dikasihi-Nya di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT maksudnya : “Katakanlah, 'Siapakah yang dapat melindungi kamu dari (ketentuan) Allah jika Dia "mengkehendaki bencana atasmu atau mengkehendaki rahmat untuk dirimu?” mereka itu tidak akan mendapatkan pelindung dan penolong selain Allah.” (Surah al-Ahzab ayat 17)


1167. Soalan : Ustaz boleh jelaskan pengertian KEIKLASAN. Secara terpeninci Dari sudup pandangan ulama?

Jawapan :


Sifat ikhlas adalah antara sifat terpuji yang menghiasi peribadi muslim bertakwa. Keikhlasan juga adalah asas penilaian di sisi Allah SWT sama ada amalan dilaksanakan setiap muslim diterima Allah SWT atau sebaliknya.

Maknanya, keikhlasan menjadi penentu kepada kejayaan dan kebahagiaan muslim di dunia dan di akhirat.

Jika ditinjau rangkaian ayat suci al-Quran, kita dapati betapa ciri keikhlasan adalah ciri utama bagi perhiasan peribadi muslim yang bertakwa.

Di antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya." (Surah al-Zumar, ayat 2).

Rasulullah SAW tidak ketinggalan memperlihatkan kepada kita akan kepentingan sifat ikhlas dibajai dalam sanubari muslim melalui sabda baginda yang bermaksud: "Sesungguhnya segala amalan itu tergantung atas niat. Sesungguhnya bagi seseorang itu di atas apa yang dia niatkan. Maka sesiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah untuk Allah dan Rasul-Nya, dan juga sesiapa yang berhijrah kerana dunia atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu terpulang kepada niatnya dari penghijrahannya itu." (Hadis riwayat Bukhari).

Berdasarkan nas ini, dapat disimpulkan keikhlasan memainkan peranan penting dalam menentukan penerimaan amalan di sisi Allah SWT.

Yang lebih penting lagi ialah keikhlasan menjadi bukti kepada kesempurnaan dan ketulusan iman muslim kepada Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menahan diri pun kerana Allah, maka sesungguhnya dia mencapai kesempurnaan imannya." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Sesungguhnya, sifat ikhlas amat penting disemai dan dibaja dalam hati setiap muslim dalam semua lapangan hidup agar dapat menempatkan dirinya di kalangan hamba Allah SWT yang bertakwa.

Perlu disedari sifat ini tidak hanya perlu diserlahkan ketika pelaksanaan ibadat seperti solat, puasa, sedekah dan haji, malah niat yang ikhlas akan meningkatkan mutu amalan yang dianggap keduniaan semata-mata dan menjadikannya sebagai satu ibadat diberi ganjaran pahala.

Sebaliknya, niat tidak baik seperti riak atau ujub (mengharap pujian ramai) akan menjatuhkan nilai sesuatu amalan walaupun ia adalah amalan ibadat dan akan menukarkannya menjadi amal maksiat yang pastinya disediakan balasan seksaan pedih di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam agar menjauhi perkara boleh menodai dan menghakis sifat keikhlasan kepada Allah SWT seperti sifat riak, ujub dan sombong.

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW menganggap riak itu sebahagian daripada syirik tersembunyi kepada Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sedikit daripada sifat riak itu adalah syirik. Maka sesiapa memusuhi wali Allah, nescaya dia memusuhi Allah. Sesungguhnya Allah amat mengasihi orang yang berbakti dan bertakwa serta tidak dikenali ramai akan hal ehwal dirinya. Jika mereka tidak ada dan hilang (ghaib) dalam mana-mana majlis, mereka tidak dicari, dan jika mereka hadir di situ, mereka tidak begitu dikenali ramai. Hati nurani mereka umpama lampu petunjuk yang menyuluh mereka keluar dari tempat gelap gelita." (Hadis riwayat Hakim).

Demikian gambaran indah diterangkan Rasulullah terhadap hamba-Nya yang mengikhlaskan diri kepada Allah SWT.

Mereka sama sekali tidak mengharapkan habuan dan kemewahan dunia, sebaliknya hanyalah limpahan keredaan Ilahi dan syurga Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)." (Surah al-An'am, ayat 162-163).

Dari satu segi, gambaran orang tidak ikhlas dalam amalan mereka dan mengharapkan pujian manusia dan kemewahan dunia amatlah menggerunkan hati orang beriman.

Ini kerana Rasulullah SAW sebagai rasul yang amat sayangkan umatnya awal-awal lagi sudah memperingatkan balasan buruk yang akan menimpa kepada orang tidak ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan apa-apa dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Baihaqi).

Di samping itu, Islam adalah agama amat unik kerana setiap gerak geri dan perlakuan harian yang dilakukan muslim dianggap sebagai ibadat.
Setiap muslim dituntut supaya mengikhlaskan kerjanya kerana Allah Subhanahuwata’ala.

Rasulullah SAW sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud dan An-Nasa-i, menjelaskan (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah Azzawajalla tidak akan menerima sesuatu amalan melainkan ikhlas kepadaNya, dan ditujukan hanya untukNya”

Dalam hadis riwayat Ahmad dijelaskan tentang kepentingan niat dan ikhlas serta implikasinya dalam realiti kehidupan (yang bermaksud): “Barangsiapa menikahi wanita dengan mas kahwinnya, sedangkan ia tidak berniat memberinya, maka ia berzina. Dan sesiapa berhutang, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya, maka ia adalah pencuri”

Al-Bukhari dan Muslim pula meriwayatkan: “Hanyasanya amalan-amalan itu dengan niat, dan hanyasanya setiap urusan dengan apa yang diniatkannya”

Muslim yang ikhlas dalam kerjanya akan terhindar daripada sombong, riyak dan mengharapkan penghargaan makhluk. Ali bin Abi Talib k.wj pernah berkata (yang bermaksud):

“Orang riyak itu memiliki empat tanda:
1. Malas ketika bersendirian
2. Bersemangat ketika berada di tengah manusia ramai
3. Bertambah amalannya jika dipuji, dan
4. Berkurangan amalan jika tidak mendapat pujian”

Oleh itu, setiap amalan sama ada berbentuk duniawi atau ukhrawi memperoleh ganjaran pahala jika diniatkan penuh ikhlas kerana Allah SWT.

Hal ini ditegaskan sendiri Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud: "Tiada sesuatu yang engkau belanjakan kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan engkau akan diberi pahala hinggakan apa yang engkau suapkan ke dalam mulut isteri engkau."(Hadis riwayat Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Apa yang engkau beri makan kepada diri engkau sendiri ada padanya pahala sedekah, dan apa engkau beri makan kepada anak isteri engkau ada padanya pahala sedekah, dan juga apa yang engkau beri makan kepada khadam di rumah, ada padanya pahala sedekah." (Hadis riwayat Ahmad).

Marilah sama-sama kita menyerahkan dirinya kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan semata-mata mencari keredaan-Nya. Oleh itu segala tingkah laku dan diam kita, tidur dan jaga kita akan dinilai sebagai ibadah apabila kita lakukan semata-mata menuju kepada keredaan Allah.

Jika begini kedudukan seorang ikhlas kepada Allah SWT dengan pelbagai kemuliaan dan keistimewaan di sisi Allah SWT, maka kita sebagai umat Islam sewajarnya menghiaskan diri dengan sifat mulia dalam usaha memartabatkan kembali kegemilangan ummah di persada dunia.

Dengan penjanaan sifat ikhlas ini barulah hati bersih dan suci dari sebarang kekotoran serta penyakit yang boleh menghancurkan ummah.

Harta dan kemewahan dunia tidak bererti, sebaliknya harta paling bernilai adalah hati yang ikhlas.

Ia bertepatan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya, Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu." (Hadis riwayat Muslim).

Allah tidak memandang kepada paras rupa,tetapi melihat kepada hati dan amalan tidak ada beza seseorg di sisi Allah kecuali iman dan takwa kepada-Nya.

Sabda Nabi SAW maksudnya, “Sesungguhnya setiap amalan harus disertai dengan niat. Setiap orang hanya akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya. Barangsiapa yang hijrah kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana menginginkan perkara dunia atau kerana wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya (hanya) mendapatkan apa yang dia inginkan” (HR. Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907)

Perkataan Para Ulama Tentang Ikhlas :

1. “Baiknya hati dengan baiknya amalan, sedangkan baiknya amalan dengan baiknya niat” (Mutharrif bin Abdullah, dinukil dalam Jami’ul Ulum wal Hikam)

2. “Betapa banyak amal kecil menjadi besar kerana niat. Dan betapa banyak pula amal besar menjadi kecil gara-gara niat” (Abdullah bin Mubarak, dinukil dalam Jami’ul Ulum wal Hikam)

3. “Amalan yang dilakukan tanpa disertai ikhlas dan tanpa mengikuti tuntunan Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bagaikan seorang musafir yang membawa bekal berisi pasir. Bekal tersebut hanya memberatkan, namun tidak membawa manfaat apa-apa” (Ibnul Qayyim, dalam Al Fawaid)

4. “Segala sesuatu yang dilakukan tidak untuk mencari keredhaan Allah, pasti akan pupus sirna” (Rabi’ bin Khutsaim, dinukil dalam Shifatush Shafwah)

5. “Ikhlas dalam beramal karena Allah ta’ala merupakan rukun paling mendasar bagi setiap amal soleh. Ia merupakan pondasi yang melandasi keabsahan dan diterimanya amal di sisi Allah SWT, sebagaimana halnya mutaba’ah (mengikuti tuntunan) dalam melakukan amal merupakan rukun kedua untuk semua amal soleh yang diterima di sisi Allah” (Syaikh Ibrahim Ar Ruhaili, dalam Tajrid al-Ittiba’ fi Bayan Asbab Tafadhul al A’mal)

6. “Meninggalkan suatu amal kerana orang lain adalah riya’. Sedangkan beramal kerana orang lain adalah syirik. Adapun ikhlas adalah ketika Allah menyelamatkanmu dari keduanya” (Fudhail bin Iyadh, dimuat dalam Tazkiyatun Nufuus wa Tarbiyatuha Kama Yuqarrirruhu ‘Ulama As Salaf)

Ikhlas adalah intisari dari keimanan seseorang dan kualiti tertinggi kemurnian hati, kerana segala sesuatu yang dikerjakan adalah “kerana Allah dan hanya untuk Allah”. Dalam setiap perbuatan, hal yang pertama kali kita harus lakukan adalah bertanya kepada diri sendiri, apakah niatnya benar-benar ikhlas untuk Allah atau ada niat lain di belakangnya. Rasulullah SAW bersabda, “Innamal a’malu bin niat, wa innamaa likullimri in maanawaa”, yang ertinya “sesungguhnya segala amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan setiap orang akan mendapatkan balasan tergantung pada niatnya”.(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Jika seseorang berkata ,"saya berikan sumbangan ini ikhlas semata-mata kerana Allah SWT" Belum tentu apa yg di ucapkannya itu benar-benar dia ikhlas walaupun kita kena bersangka baik, semoga kata-kata tersebut dengan hatinya sama iaitu dia berikan benar-benar ikhlas.


1168. Soalan : Adakah ada hadis sahih jika kita memasuki tanah perkuburan di sunatkan membuka kasut? 

Jawapan : 

Tidak memakai kasut atau selipar. hukumnya sunat apabila amsuk ke tanah perkuburan.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pernah melihat seorang lelaki yang berjalan di antara kubur dengan memakai sepasang kasut, lalu baginda menegurnya:

"يَا صَاحِبَ السِّبْتِيَّتَيْنِ وَيْحَكَ أَلْقِ سِبْتِيَّتَيْكَ."

فَنَظَرَ الرَّجُلُ فَلَمَّا عَرَفَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَلَعَهُمَا فَرَمَى بِهِمَا.

“Wahai pemilik kasut al-Sibtiyyah! Celakalah engkau! Lemparkanlah kasut al-Sibtiyyah engkau itu.”

Maka lelaki itu menoleh lalu tatkala mengenali yang menegur itu ialah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam, dia membuka kedua-dua kasutnya itu dan melemparnya.[ Hadis Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 3230 (Kitab al-Janaiz, Bab berjalan dengan memakai kasut di antara kubur). Kasut al-Sibtiyyah ialah kasut yang diperbuat dari kulit yang telah disamak.]

Oleh itu apabila berjalan di antara kubur atau di celah-celah kubur, tanggalkanlah kasut atau selipar. Jika kawasan perkuburan itu tidak sesuai untuk berjalan tanpa alas kaki, maka memadai berdiri di tepi kawasan kubur. Ini kerana manfaat ziarah kubur dapat diperolehi oleh penziarah dengan berdiri di tepi perkuburan, tidak semestinya di tengah-tengah perkuburan.


1169. Soalan : Boleh kah isteri pergi melancong tanpa suami.walaupun dengan izin suami?

Jawapan :

Hukum wanita bermusafir tanpa mahram adalah antara soalan yang kerap diajukan oleh umat Islam. Hadis sahih telah melarangnya, seperti yang disabda oleh Nabi Muhammad SAW:

لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ وَلَا يَدْخُلُ عَلَيْهَا رَجُلٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أَخْرُجَ فِي جَيْشِ كَذَا وَكَذَا وَامْرَأَتِي تُرِيدُ الْحَجَّ فَقَالَ اخْرُجْ مَعَهَا

"Jangan seorang wanita bermusafir melainkan bersama dengan mahram. Dan jangan bersendirian seorang lelaki dengan seorang wanita melainkan bersama wanita itu mahramnya.” Tiba-tiba seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku akan keluar untuk berperang, dan isteri-ku pula hendak pergi menunaikan haji.” Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab: “Pergilah kamu bersama isteri-mu (menunaikan haji).” (Muttafaqun alaihi).

Dalam sepotong hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang lain, nabi Muhammad SAW dilaporkan bersabda:

“لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تسافر سفرًا يكون ثلاثة أيام فصاعدًا إلا ومعها أبوها أو أخوها أو زوجها أو ابنها أو ذو محرم منه

"Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk keluar tiga hari ke atas melainkan bersama-samanya bapanya atau saudara kandung lelakinya atau suaminya atau anak lelakinya atau mana-mana mahramnya. (di dalam riwayat lain, ada dinyatakan satu hari satu malam, dan dua hari dua malam)"

Kedua-dua hadis di atas ialah sebahagian daripada beberapa hadis yang melarang wanita daripada keluar berjalan tanpa mahram. Ulama menyatakan pengharaman itu adalah mutlaq tanpa penentuan berjalan jauh atau pendek, sekejap atau panjang, berseorangan atau secara berkumpulan dengan wanita tanpa mahram yang lain.

Akan tetapi, ada juga pandangan yang menyatakan sekiranya terjamin keselamatan dan fitnah kepada si perempuan sepanjang perjalanannya, maka ianya dibenarkan. Itupun sekiranya perjalanan itu merupakan perjalanan yang perlu sahaja, bukan perjalanan tanpa tujuan. Majlis Fatwa Al-Azhar Mesir berpegang kepada pendapat ini. Menurut mereka, sebahagian ulamak mazhab Maliki dan yang Shafi’e membolehkan perempuan untuk bermusafir tanpa mahram sekiranya ada keperluan dan jalan yang akan ditempuhinya serta tempat yang akan didatanginya terjamin keselamatannya. Ini berdasarkan kepada sepotong hadis sahih Bukhari yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim:

فَإِنْ طَالَتْ بِكَ حَيَاةٌ لَتَرَيْنَ الظَّعِيْنَةَ تَرْتَحِلُ مِنَ الْحِيْرَةَ حَتَّى تَطُوْفَ بِالْكَعْبَةِ لاَ تَخَافُ أَحَدًا إِلاَّ اللهَ

Jika kamu panjang umur, nescaya kamu akan melihat wanita berjalan bersendirian dari Hirah (sebuah kawasan di Iraq) hingga melakukan tawaf di Ka’bah (Makkah). Dia tidak takut sesuatu pun melainkan Allah (dalam perjalanan itu)

Walaupun hadis ini lebih merujuk kepada hadis ramalan akhir zaman, akan tetapi sebahagian ulama mengeluarkan hukum yang menyatakan kebenaran kepada wanita untuk bermusafir tanpa mahram. Syaratnya ialah, ada keperluan yang hampir sama hukumnya seperti haji, atau sekurang-kurangnya keperluan mendesak untuk berjalan tanpa mahram, dan terjamin keselamatan semasa di dalam perjalanan dan di destinasi permusafirannya.

Di akhir zaman ini, realiti hidup memang memerlukan wanita kerap keluar rumah atau berjalan tanpa mahramnya. Sebagai contoh, ada sesetengah isteri yang menjadi surirumah, di mana suaminya pergi bekerja selama beberapa hari. Sudah tentu si isteri perlu keluar tanpa mahram bagi mendapatkan bahan makanan dan seumpamanya, dengan syarat ada kebenaran suami, perjalanan yang terjamin selamat dan perjalanan itu tidak melencong ke tujuan lain.

Begitu juga dengan golongan pelajar wanita. Kebiasaannya institut pengajian sama ada di peringkat sekolah atau universiti letaknya jauh dari rumah. Kadang-kadang memerlukan pelajar wanita keluar bermusafir tanpa mahram untuk pergi ke kelas, tempat pengajian, kursus-kursus dan seumpamanya. Sekiranya pelajar wanita itu menaiki pengangkutan awam, maka ianya dibenarkan sekiranya diketahui umum syarikat pengangkutan awam itu mempunyai kredibiliti terhadap jaminan keselamatan penumpangnya. Sekiranya perlu menaiki kenderaan atau berjalan kaki, maka dibenarkan juga dengan syarat memang diketahui umum bahawa perjalanan ke destinasinya itu adalah selamat daripada kekacauan dan fitnah, dan pelajar wanita itu juga bersungguh-sungguh mematuhi undang-undang keselamatan ketika dalam perjalanan, dan memaklumkan perjalanan mereka kepada mahram mereka.

Begitu juga pekerja-pekerja wanita, maka dibenarkan untuk keluar tanpa mahram dengan syarat-syarat yang sama seperti di atas.

Sekiranya tiada keperluan, maka wanita perlu mengelakkan diri daripada berjalan tanpa mahram supaya tidak terjebak dengan larangan di atas. Pandangan Majlis Fatwa al-Azhar ini turut disokong oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dan ditulis di dalam Ensiklopedia Feqh Islam. Sebahagian mereka meletakkan syarat, iaitu perlu wanita tadi bergerak keluar bersama-sama dengan kumpulan wanita yang lain yang mana secara adatnya akan terjamin daripada kekacauan dan fitnah.

Hukum ini perlu dilihat sebagai memberikan perlindungan dan penghormatan kepada wanita, dan bukannya satu diskriminasi gender atau meletakkan wanita di taraf yang rendah. Kesan fitnah ke atas wanita adalah berbeza dengan kesan fitnah ke atas lelaki, justeru banyak undang-undang perlindungan dikenakan ke atas wanita berbanding lelaki.


1170. Soalan :  Ustaz.nak tanya solat Safar boleh tak dikerjakan selepas waktu Asar. Sesetengah pendapat kata boleh sesetengah pendapat kata tak boleh dikerjakan seleps waktu Asar.

Jawapan :


Sebenarnya tiada dalil sahih yang mensyari'atkan solat sunat sebelum musafir kecuali sebuah hadis daif yang bermaksud: "Tidak ada satupun yang lebih utama ditinggalkan seseorang kepada keluarganya selain solat 2 rakaat yang dilakukannya di saat hendak berpergian. [Maksud hadith diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani dan Ibnu Asakir, dinyatakan kelemahannya oleh Shaikh Sayid Sabiq dalam Fiqh-us-Sunnah, 5/10 ; daif kerana perawi-perawinya terputus melebihi dua orang secara berturut-turut (mudlal) sementara perawinya yang pertama pula tidak hidup di zaman Nabi SAW (mursal). Hadith yang mudlal dan mursal tidak boleh dijadikan sumber hukum agama.]

Hadis-hadis yang daif, yakni lemah, tidak boleh dijadikan hujah mahupun dalil dalam hal-hal agama, apatah lagi sebagai sesuatu yang mensyari'atkan sesuatu bentuk ibadah. Justeru sesiapa yang menelaah kitab-kitab hadis mahupun kitab-kitab fiqh muktabar tidak akan menemui sebarang dalil sokongan atau hujah penjelasan bagi mengesahkan kewujudan solat sunat ini di sisi syari'at Islam.

Selain riwayat daif di atas, tidak ada sebarang dalil lain yang dapat mewujudkan solat sunat sebelum musafir ini, sebagaimana terang Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris: "Tidak ada hadis sahih yang menyunatkan solat 2 rakaat di kala hendak keluar rumah untuk bermusafir dan tidak ada pula hadis sahih yang menyunatkan solat sunat di kala berhenti dalam perjalanan dan apabila sampai ke tempat yang dituju". [Drs. Abdul Ghani Azmi Hj. Idris - Pedoman Solat-solat Sunat Menurut Sunnah Rasulullah SAW, ms 302.]



Thursday, August 20, 2015

Tanyalah Ustaz Siri 241 (Kenduri Masuk Rumah Baru, Pinjaman Perlu di Tulis, Allah Turun ke Langit Dunia 1/3 Malam. Hari Raya Jatuh Hari Jumaat dan Wakaf.)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh                                                                              

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيم  


Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat. 


Sahabat yang dirahmati Allah,    

Tanyalah Ustaz Siri 241 adalah menjelaskan kenduri masuk rumah baru, pinjaman perlu di tulis, Allah turun ke langit dunia 1/3 malam. hari raya jatuh hari Jumaat dan wakaf.

1161. Soalan : Ustaz saya nak bertanya lagi.. soalan saya .Apakah hukum buat kenduri masuk rumah baru ?

Jawapan :

1. mengadakan kenduri masuk rumah baru harus sahaja. Abu Malik al-Asy’ari Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda:

إذا ولج الرجل بيته فليقل اللهم إني أسألك خير المولج وخير المخرج بسم الله ولجنا وبسمالله خرجنا وعلى الله ربنا توكلنا ثم ليسلم على أهله 

(رواه أبو داود)

Maksudnya: “Apabila seorang lelaki hendak masuk ke rumahnya maka hendaklah dia Berkata: “Ya Allah! Aku memohon kepadaMu sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik Tempat keluar. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan kepada Allah Tuhan kami, kami berserah”. Kemudian hendaklah seseorang itu memberi salam ke Atas keluarganya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jika rumah yang hendak dimasuki itu tidak ada orang yang berada di dalamnya, maka berilah Salam ke atas diri sendiri dengan mengucapkan:

السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين

Ertinya: “Salam sejahtera ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang sahih.”

Adapun salah satu hikmat membaca atau menyebut nama Allah ketika hendak masuk rumah Itu adalah supaya mengindarkan syaitan turut masuk dan bermalam di dalam rumah. 

Berikut adalah beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan serta sesuai dengan ajaran Islam serta sunnah Rasulullah SAW ketika melangkah memasuki rumah baru :-

1. Azan.

Melaungkan azan ketika pertama kali masuk opis/umah baru. Ia juga baik bg bangunan yg telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan (tanpa penghuni) ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yg dikenali sbgai Al-’Ammar) yg suka tinggal di umah yg tidak berpenghuni.

2. Membaca surah Al-Baqarah.

Sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW. bersabda yg bermaksud; “Jangan lah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya utk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.”

3. Banyakkan solat dan membaca Al-Quran.

Dlm sebuah hadis lain pula, Rasulullah SAW. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yg bermaksud;
“Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)

4. Baca Surah yassin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.

Amalkan membaca surah Yassin setiap malam terutamanya tujuh malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas nabi senayak 7 kali, ayat Kursi sekali, tetapi di ayat terakhir bacalah sebanyak 7 kali.

5. Pagar rumah cara menggunakan ayat-ayat al-Quran ..

Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut2 tertentu di rumah atau bangunan yg diduduki dgn kepercayaan bhw benda tersebut akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang bertentangan di sisi Islam. Bgmanapun ada cara yg dibolehkan dan digalakkan mengikut ajaran Islam. 

Caranya dengan dengan membaca surah yasin  kemudian baca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas). kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan2 hingga habis nafas. Setelah itu, renjis keliling rumah  dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru dalam rumah dengan mulai dengan penjuru yg terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya mengikut arah berlawanan jarum jam. Membaca ayat kursi semasa merenjiskan air tersebut. Air jampi yang telah di bacakan ayat-ayat al-Quran mengandungi gelombang yang laju dan sangat tak di sukai oleh syaitan dan jin kafir.

Islam tidaklah menekankan amalan yang hanya khusus ketika masuk rumah, tetapi amalan-amalan yang berterusan yang perlu dihidupkan di dalam rumah, antaranya;

1.1. Memasuki rumah dengan membaca Bismillah dan doa yang makthur dari Nabi SAW. Begitu juga ketika keluar dari rumah.

1.2. Menjaga ahli rumah agar sentiasa berada dalam ketaatan dan menjauhi maksiat dan munkar. Firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…” (Surah at-Tahrim ayat 6). Berkata Imam Qatadah (tatkala menghurai ayat ini); ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

1.3. Setiap ahli rumah menunaikan kewajipan masing-masing mengikut agama; kewajipan sebagai suami dan bapa, kewajipan sebagai isteri dan ibu dan kewajipan sebagai anak. Sabda Nabi SAW.; “Setiap kamu adalah penjaga dan setiap kamu akan ditanya tentang orang-orang di bawah jagaannya. Pemimpin Negara adalah penjaga bagi rakyatnya dan dia akan ditanya berkenaan orang di bawah jagaannya (yakni rakyatnya). Seorang lelaki adalah penjaga bagi ahli keluarganya dan dia akan ditanya tentang ahli keluarga di bawah jagaannya. Seorang wanita adalah penjaga bagi rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang apa yang berada di bawah jagaannya…”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.).

2. Menghidupkan bi-ah Islam di dalam rumah, antaranya dengan;

a) Membaca al-Quran di dalam rumah. Sabda Nabi SAW.; “Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

b) Mengerjakan solat-solat sunat di dalam rumah. Sabda Nabi SAW.; “Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu” (HR Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.). Dalam hadis yang lain baginda bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (HR Imam Muslim dari Jabir r.a.)

c) Mengajak ahli keluarga bersama-sama beribadah. Sabda Nabi SAW.; “Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir” (HR Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…” (HR Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.).

d) Hidupkan budaya memberi salam. Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda kepadanya; “Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu” (HR Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.). Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda; “Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu” (HR Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

e) Mempraktikkan adab-adab Islam di dalam rumah. Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka. Umar bin Abi Salamah r.a. menceritakan: “Semasa saya masih kanak-kanak di bawah jagaan Rasulullah SAW., suatu ketika saya makan dalam keadaan tangan saya bergerak sana sini mengambil makanan yang ada di dalam talam (sedang orang makan bersama). Lalu Rasulullah s.a.w. menasihatkan saya; “Wahai anakku! Mulakan makan dengan menyebut nama Allah (membaca Bismillah), kemudian makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari makanan yang berada di depanmu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

3) Jika ingin memohon perlindungan untuk rumah, lakukanlah sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW, antaranya ialah dengan membaca al-Quran dan doa-doa perlindungan yang makthur dari baginda. Sabda Nabi s.a.w.; “Janganlah kamu menjadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur. Sesungguhnya rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah, rumah itu tidak akan dimasuki Syaitan” (HR Imam Muslim dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa singgah/berhenti di satu tempat, lalu ia membaca “أعُوذُ بِكَلِماتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرّ مَا خَلَقَ” (Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan segala makhluk ciptaannya), nescaya tidaka ada sesuatupun dapat memudaratkannya hingga ia berpindah” (HR Imam Muslim dari Khaulah binti Hakim r.a.)

4. Demikianlah sebahagian dari amalan-amalan di dalam rumah yang digalakkan oleh Islam yang sabit dari hadis-hadis yang soheh dari Nabi s.a.w.. Dengan melakukan amalan-amalan tersebut, Insya Allah rumah kita akan sentiasa dilindungi dari Iblis dan Syaitan dan ahli keluarga kita akan senantiasa diberkati Allah.

Wallahu a’lam.

1162. Soalan : Adakah hukum hutang dan pinjaman sama iaitu kena ada saksi mata & akad? Serta menyatakan tempoh?

Jawapan : 

Perjanjian kena bentuk tulisan dan ada 2 orang saksi. Video atau gambar hanya tambahan saja dan tak boleh membatalkan surat perjanjian dan 2 saksi lelaki. 

Firman Allah SWT  yang bermaksud : " Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). Dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat itu), maka hendaklah di rencanakan oleh walinya dengan adil (benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil disisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjualbeli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah ayat 282) 

1163. Soalan : Ustaz..mohon perjelasan betul ke hadis tersebut..ALLAH turun setiap malam ke langit dunia waktu 1/3 malam?

Jawapan : 

Kita harus beriman kepada nama dan sifat yang Allah menamakan dan menyifati diri-Nya di dalam kitab-Nya, melalui lisan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam tanpa mengubah, tanpa mempersoalkannya, tanpa dan tanpa membuat permisalan. Melakukan perubahan terhadap nash, mempermasalahkan keyakinan, mempertanyakan sifat, dan juga membuat permisalan dalam sifat merupakan hal-hal yang harus kita hindari. Akidah kita harus bersih dari keempat bahaya ini. Manusia harus menahan diri dari mempertanyakan masalah ini dengan “mengapa?” dan “bagaimana?”, yang berkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah SWT. Apabila seseorang berjumpa masaalah seperti ini, maka dia akan istirahat dengan tenang. Demikianlah keadaan para salaf.

Imam Malik bin Anas rahimahullah pernah ditanya, “Wahai Abu Abdullah (gelaran beliau), Allah bersemayam di atas ‘Arsy, bagaimana Dia bersemayam?” Imam Malik bin Anas terantuk kepalanya seraya berkata, “Istiwa (bersemayam) itu difahami maknanya (secara bahasa), bagaimana caranya bersemayam tidak diketahui, mengimaninya wajib, dan mempertanyakannya adalah bid’ah dan saya tidak melihatmu kecuali pembuat bid’ah.”

Begitu juga orang yang mengatakan bahawa Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir. Pertanyaan ini mengharuskan Allah berada di langit dunia sepanjang malam kerana malam itu berpusing secara bergiliran di seluruh dunia, dan sepertiga malam terakhir datang bergantian dari satu tempat ke tempat yang lain.

Seandainya masalah ini tidak boleh diterima oleh hati orang mukmin yang berserah diri, tentu Allah dan Rasul-Nya telah menjelaskan. Kami katakan bahawa selama sepertiga malam terakhir itu masih ada, maka Allah akan turun ke langit dunia dan jika sepertiga malam terakhir itu habis, maka Allah pun naik. Kami tidak mengatahui bagaimana turunnya Allah SWT dan tidak memahaminya. Kita ketahui bersama bahawa tidak ada sesuatu yang menyamai Allah SWT, maka kita harus menerima dan mengatakan kami mendengar, kami beriman, kami mengikuti, dan kami menaati. Itulah kewajiban kita.

Kesimpulan: Allah SWT turun ke langit dunia pada sepertiga malam akhir adalah berita yang shahih dari Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dari Abu Hurairah bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam Iaitu ketika sepertiga malam terakhir. Dia berfirman, ‘Siapa yang berdoa kepada-Ku, maka akan Aku kabulkan. Siapa yang meminta kepada-Ku, maka akan Aku berikan. Dan siapa yang yang memohon ampun kepada-Ku, maka akan Aku ampuni.” (HR. Bukhari, no.1145 dan Muslim, no.758)

Sikap yang perlu ada pada diri kita dalam memahami hadis ini iaitu dengan menerima dan mengimaninya dan tidak mempertanyakan caranya. Dan dua sikap yang berlebihan dalam permasalah ini adalah menolak hadis shahih tersebut dan membuat-buat bagaimana cara Allah turun ke langit dunia.

Sumber: Tuntunan Tanya Jawab Akidah, Shalat, Zakat, Puasa dan Haji (Fatawa Arkanul islam), Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin, Darul Falah, 2007.

1164. Soalan : Ustaz.Terdapat dlm facebook yg menyatakan jika raya jatuh hari Jumaat maka kewajipan menghadiri JUMAAT jatuh sunat. BETUL KE HADIS NI ?

Jawapan :

Secara ummnya ia terbahagi kepada dua pendapat:

Pertama: Gugur kewajipan solat jumaat bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, tetapi wajib ke atasnya solat Zohor. Dengan erti kata lain tidak wajib solat Jumaat. Ia adalah pendapat Imam Ahmad (241H)

Kedua: Solat hari raya tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Maknanya solat Jumaat tetap wajib ke atas mereka yang telah melakukan solat hari raya. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ daripada mazhab al-Hanafiah, al-Malikiah dan al-Shafi’iah.

Pendapat pertama berpegang kepada dalil-dalil seperti yang dinyatakan di atas. Ia dikuatkan lagi dengan riwayat daripada ‘Ato’katanya: 

Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas berada di To’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah. (Hadis Riwayat Abu Daud). Imam al-Nawawi (676H) pula menyatakan dalam al-Majmu’bahawa isnad hadith ini baik. Selain itu, Riwayat daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa: 

Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Menurut pendapat yang pertama, kesemua dalil ini menunjukkan gugurnya kewajipan solat Jumaat bagi seseorang yang telah melakukan solat sunat hari raya jika berhimpun kedua-duanya pada hari yang sama. Tetapi solat Zohor tetap wajib dilakukan sebagai ganti solat Jumaatnya. Ini bermakna solat hari raya hanya menggugurkan kewajipan solat Jumaat bukannya solat Zohor. 

Solat Zohor tetap wajib : Jika ada yang mengatakan bahawa kewajipan solat zohor juga gugur dengan solat sunat hari raya berdasarkan perbuatan Ibn al-Zubair, ia adalah tidak tepat dan bertentangan dengan jumhur ulama’ dahulu mahupun kontemporari. Ini kerana solat Jumaat yang telah gugur kewajipannya dengan sebab rukhsah (kelonggaran), keuzuran, atau terlupa maka ia wajib digantikan dengan solat Zohor.

Bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada umumnya dalil yang menyatakan kewajipan solat Jumaat pada setiap minggu. Ia adalah syi’ar Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana solat sunat hari raya, melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya tidak boleh menampung yang yang satu lagi. Kedua-duanya mesti dilaksanakan tanpa pengecualian. Mereka berpandangan bahawa hadith dan athar yang sampai kepada mereka dalam persoalan ini tidak kuat sehingga ke peringkat boleh mengkhususkan umumnya dalil kewajipan Jumaat yang telah thabit (tetap) dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan ijma’. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 9 bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

Ayat ini adalah umum iaitu pada setiap Jumaat bagi mereka yang cukup syarat-syarat wajibnya, sama ada berbetulan dengan hari raya atau tidak. Terdapat juga pelbagai hadith nabi SAW lain yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat dan peringatan keras bagi mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, di antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Sama ada satu kaum berhenti daripada meninggalkan Jumaat, atau Allah akan menutup hati-hati mereka, kemudian menjadikan mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai. (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan : Islam itu ajarannya praktikal dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan semua tempat. Persoalan ini ada keluasannya selagi ia adalah permasalahan khilafiyah (perbezaan pandangan) yang berdiri di atas ijtihad kerana dalalah (pendalilan) nya yang dzonni. Oleh itu, solat Jumaat di masjid hendaklah didirikan kerana beramal dengan nas asal dan mengambil yang ahwat (lebih berat). Maka imam bertugas hendaklah keluar untuk solat Jumaat bersama orang ramai khususnya yang tidak melakukan solat sunat hari raya, kerana kewajipan solat Jumaat tidak gugur ke atas mereka. Ini disebabkan yang gugur hukum wajib solat Jumaat menurut pendapat pertama adalah bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya sahaja.

Bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, jika mempunyai kesukaran untuk menghadiri Jumaat boleh memilih untuk mengikut pendapat pertama, iaitu rukhsah (kelonggaran) solat Jumaatnya sudah tidak wajib ke atasnya. Solat sunat hari raya yang dikerjakannya sudah memadai baginya, dengan syarat dia wajib melaksanakan kewajipan solat Zohor selepas masuk waktunya. Dilarang memperkecilkan orang lain yang pergi menunaikan solat Jumaat, dan tidak boleh mengingkari orang ramai yang melaksanakan Jumaat di masjid kerana ia boleh menyalakan api fitnah yang boleh membawa kepada ketidaktenteraman dan perpecahan.

Pendapat mazhab Syafie walaupun sudah solat Aidil Fitri solat Jumaat tetapi perlu di kerjakan kerana solat Jumaat wajib dan solat Aidil Fitri sunat. Sebaik-baiknya kita solat fardu Jumaat walaupun kita sudah mengerjakan solat sunat Aidil Fitri , mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

1165. Soalan : Ustaz saya ada soalan,,apa ertinya wakaf,,sebab saya ada hutang  kawan yang sekarang saya tak tahu sekarang dia tinggal di mana.macamana saya nak bayar hutang saya .Terima kasih atas pencerahanya.

Jawapan :


Dari sudut bahasa perkataan Wakaf adalah berasal dari perkataan Arab ” Al-Waqf ” (اَلْوَقْفُ) yang bermaksud harta yang diwakafkan.

Ia juga bermakna harta yang ditahan “Al-Habs” ( اَلْحَبْسُ ) atau harta yang dihalang ” Al-Mana’ “( اَلْمَنْعُ ).

Mengikut istilah syarak pula, wakaf membawa maksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf sepertimana yang dinyatakan didalam hujjah wakaf dari mula harta itu diwakafkan hinggalah ke akhirnya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Taala buat selama-lamanya dan ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.

Jenis-jenis Wakaf

Secara umumnya wakaf terbahagi kepada 2 iaitu:

1. Wakaf Ahli (wakaf keluarga)

wakaf ini dikhususkan manfaatnya kepada ahli keluarga yang telah ditentukan oleh pewakaf.

2. Wakaf Khairi (Wakaf Kebajikan)

Wakaf ini terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas.

Bagi wakaf am ianya boleh diertikan sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat umum umat islam mengikut hukum syarak seperti untuk kemudahan atau pembangunan ekonomi umat islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan berasaskan hukum syarak.

Bagi Wakaf khas pula ianya diertikan sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat tertentu umat islam mengikut hukum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.

Dari definisi Wakaf di atas, dapat menjelaskan bahawa amalan soleh yang utama adalah yang mempunyai kesinambungan manfaat dan pahalanya pula akan berterusan selama mana harta wakaf itu masih dimanfaatkan. Ada harta yang menjangkau tempoh yang amat lama maka pahala itu berterusan selama mana penderma itu masih hidup (di dunia) sehingga selepas dia mati (Akhirat).

Jika saudari ada hutang nak bayar hutang tetapi tak jumpa orang yang memberikan hutang maka saudari perlu cari warisnya terlebih dahulu. Jika warisnya juga tak berjumpa maka saudari boleh sedekahkan jumlah hutang tersebut sebagai sedekah jariah untuk membina masjid, sekolah agama atau rumah anak yatim.

Saudari niatkan wang tersebut untuk membayar hutang dan pahalanya untuk orang yang saudari berhutang. Jika di izinkan Allah SWT saudari berjumpa orang tersebut beberapa tahun akan datang maka wajib saudari bayar hutang kepadanya dan pahala untuk niat sedekah jariah tadi kembali kepada diri saudari sendiri.